Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 1 April 2007
PADA tahun 2004, suasananya serupa, setelah menceroboh Iraq, Amerika Syarikat (AS) kelihatan hendak menyerang Iran. Teluk Parsi di ambang perang. Pada masa itu Hollywood menerbitkan filem Alexander yang mengisahkan keperwiraan Alexander the Great yang di kalangan orang Melayu disebut Iskandar Zulkarnain, walaupun lebih baik dipanggil Iskandar Agung.
Iskandar, seorang Yunani dari Macedonia menawan sebahagian daripada benua Asia dan kejayaan besarnya mengalahkan Raja Parsi dan menumpaskan empayar Parsi. Paparan itu seolah-olah hendak menunjukkan bahawa AS akan mengalahkan Iran. Ini kerana Washington dianggap sebagai pewaris Yunani, sementara Iran hari ini pewaris kepada empayar Parsi.
Kali ini ketika ketegangan berlaku antara AS dengan Iran ekoran isu program nuklear, Hollywood mengeluarkan satu lagi filem menunjukkan peperangan antara pihak Yunani dengan Parsi. Filem 300 memaparkan kisah warga kota Sparta di Yunani mengalahkan tentera Parsi yang lebih besar, pimpinan Raja Xerxes.
Filem ini seolah-olah memaparkan kegagahan Yunani dan kegagalan Parsi. Sekali lagi terdapat paparan bahawa AS adalah pewaris Yunani yang akan mengalahkan Iran, sebagai pewaris empayar Parsi.
Terdapat laporan bahawa ada pihak di Iran membantah filem 300 ini. Tetapi bantahannya ialah kerana filem ini memaparkan Raja Xerxes sebagai homoseks. Sememangnya terdapat kecenderungan di Barat untuk mengaitkan tokoh-tokoh sejarah sebagai homoseks. Walaupun tiada bukti sejarah, melalui fiksyen mereka bebas memaparkan seseorang itu sebagai homoseks. Dalam Alexander, raja Yunani digambarkan sebagai homoseks.
Maka seorang kolumnis di akhbar Financial Times London mengingatkan pihak Iran yang membantah bahawa 300 hanyalah sebuah filem dan tidak perlu diambil berat. Mungkin kebetulan, filem Alexander dan 300 dilancarkan ketika berlaku ketegangan AS dan Iran.
Barat sejak zaman Renaisans sentiasa menyifatkan diri mereka pewaris tamadun Yunani khususnya dari segi idea mengenai demokrasi, falsafah, rasional dan sains. Maka lawan Barat ialah Timur dan apa yang dimaksudkan dengan Timur termasuklah Islam, India dan China. Islam dianggap Barat sebagai mewarisi tamadun Arab dan Parsi. Jadi apabila berlaku pertembungan antara Barat dan Timur, ia bermakna persaingan antara pewaris Yunani di satu pihak dan pewaris Arab-Parsi di pihak lagi satu.
Tetapi hakikat sejarah tidak begitu. Yunani juga merupakan tamadun yang mempunyai banyak sisi, bukan saja demokrasi dan rasional, tetapi juga autoritarian dan penuh mitos. Simbol jelas ialah melalui dua kota iaitu Athen dan Sparta. Kalau Athen mewakili demokrasi, maka Sparta adalah sisi autokrasi.
Walaupun Yunani berperang dengan Parsi tetapi tamadun kedua-duanya saling pengaruh-mempengaruhi dan menyumbang kepada kewujudan tamadun Rom.
Semasa lahirnya Rasulullah s.a.w. di Mekah, yang mana ulang tahunnya adalah semalam, kuasa utama dunia ialah Rom di Barat dan Parsi di Timur. Tamadun Islamlah kemudian mewarisi Rom dan Parsi, yang juga bermakna turut mewarisi Yunani. Daripada kajian-kajian ulama Abasiah, maka pemikiran silam itulah kemudiannya diambil oleh cendekiawan Renaisans, yang muncul sebagai hasil daripada Perang Salib.
Justeru, bukan saja Barat yang menjadi pewaris kepada tamadun Yunani, tetapi juga peradaban Islam sendiri. Maka untuk menggambarkan Yunani lawan Parsi dalam ketegangan antara AS dan Iran jelas tidak tepat. Kalaulah Hollywood ada tujuan itu dalam melancarkan filem Alexander dan Sparta adalah tidak wajar.
Apa yang berlaku di Asia Barat sekarang ialah pertembungan kuasa penjajah, iaitu AS ke atas sebuah negara berdaulat, Iran. Perancis, Jerman dan Rusia juga sebahagian daripada Barat, tetapi mereka tidak menyokong AS dan Britain di Asia Barat. Apabila tentera Britain ditahan oleh Iran, maka Washington dan London berhujah bahawa askar-askar itu berada di wilayah Iraq, bukan Iran. Jadi Iran tidak berhak menahan mereka.
Hak Britain
Tetapi apakah hak Britain berada di Iraq? Sepatutnya Iraq mengusir tentera Britain dari tanah mereka. Oleh kerana Iraq sudah membenarkan penjajah di negara mereka, maka ia terbuka kepada kemasukan tentera Iran.
Iran lebih berhak ke atas Iraq daripada AS. Pada zaman Parsi purba, Iraq adalah sebahagian daripada empayar Iraq. Pada zaman Abasiah, Iran dan Iraq adalah satu. AS dan Britain tidak ada kena-mengena dengan Iraq kecuali sebagai penjajah zaman moden.
AS dan Britain menggerakkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menyekat Iran. Puncanya ialah usaha berterusan Iran untuk memperkayakan uranium. Iran berulangkali menyatakan teknologi nuklearnya untuk tenaga dan bukannya senjata. Tetapi pastinya AS dan Britain tidak percaya.
Mengapa pula AS dan Britain boleh memiliki senjata nuklear tetapi tidak Iran? Begitu juga dengan Israel. Tetapi usaha Iran untuk memiliki senjata nuklear bukan saja dibimbangi Israel tetapi juga negara-negara Arab.
Maka Sidang Kemuncak Liga Arab di Riyadh, Arab Saudi Khamis lalu mengeluarkan resolusi supaya rantau Asia Barat harus bebas daripada senjata nuklear. Maka, bukan saja Iran tidak wajar membangunkan senjata nuklear tetapi Israel mesti melupuskan senjata mereka.
Resolusi itu juga menegaskan bahawa mana-mana negara Arab berhak membangunkan tenaga nuklear bagi tujuan keamanan. Hendak dihujahkan bagaimanapun, senjata nuklear tidak boleh diterima dalam Islam.
Tamadun Barat, sama ada demokrasi, komunis atau Zionis semuanya membangunkan senjata nuklear tanpa segan silu. Tetapi senjata nuklear yang membunuh manusia, mereka yang tidak bersenjata, haiwan dan tumbuhan tidak dapat diterima oleh Islam.
Kalau fiqh peperangan Islam melarang mujahidin daripada membunuh tumbuh-tumbuhan, apatah lagi senjata pemusnah besar-besaran (WMD). Seorang ulama rasmi Iran yang datang ke negara ini tahun lalu ketika ditemui oleh penulis dengan tegas menyatakan bahawa Islam melarang WMD.
Pakistan, satu-satunya negara Islam yang memiliki senjata nuklear pun patut melupuskannya. Namun begitu, di Iran memang banyak ulama yang menyokong supaya senjata nuklear dibangunkan dan mereka mempunyai hujah-hujah agama untuk menyokongnya.
Tetapi dalam hal ini cuba difikirkan betapa dengan membangun senjata nuklear serta ikut terheret dengan logik kekerasan AS, negara-negara Islam akan terperangkap dengan kejahatan tamadun Barat.
Kalau hendak difikirkan, adakah nabi-nabi dahulu mengajar pengikutnya membuat senjata yang boleh membunuh banyak orang secara kejam dan menderita hanya kerana hendak mengejar kuasa?
Rasulullah s.a.w., Nabi Isa dan nabi Musa tidak pernah mengajar perkara seumpama itu. Dunia Islam mesti bersih daripada melakukan kejahatan membuat senjata dahsyat. Begitu juga dengan AS yang kononnya mengikut fahaman golongan Kristian Kanan. Tidak masuk akal jika Nabi Isa atau Jesus Christ yang mereka faham mahu memusnahkan manusia sebegitu rupa. Begitu juga Zionis di Israel. Sebagai beragama Yahudi yang dikatakan pengikut Nabi Musa atau Moses, kezaliman seperti itu tidak dapat diterima.
Malah kalau mengikut ajaran ahli-ahli falsafah Yunani, sama ada Socrates, Plato atau Aristotles, mereka mungkin juga menolak kejahatan senjata nuklear itu. Mungkin raja- raja Sparta akan suka kepada senjata seperti nuklear ini.
Pastinya masalah senjata nuklear ini bukan datang daripada kalangan Islam. Ia berpunca dari AS yang mendakwa diri sebagai pejuang demokrasi. Kesengsaraan yang ditanggung oleh penduduk Hiroshima dan Nagasaki akibat bom atom wajar sentiasa diingati oleh manusia. Sehingga ke hari ini AS tidak menganggap perbuatan itu salah, apatah lagi mahu meminta maaf.
Tetapi pengeboman Hiroshima dan Nagasaki mengakibatkan pembunuhan orang tidak berdosa, haiwan dan tumbuhan. Ia tidak jauh bezanya dengan Holocaust. Tetapi apakah pencapaian besar dari tamadun Yunani yang kemudian membawa kepada Renaisans, Enlightenment dan Revolusi Sains akhirnya hanya membawa kepada manusia musnah akibat senjata nuklear?
Umat Islam mesti tidak boleh terperangkap dengan logik keganasan. Ajaran utama para nabi, baik Nabi Musa, Isa dan Muhammad adalah akhlak yang baik termasuklah keadilan serta kemanusiaan sejagat.
Tenaga nuklear
Jadi usaha AS hendak menghalang Iran daripada memiliki tenaga nuklear adalah kerana ia mahu memonopoli milikannya terhadap alat keganasan itu. Jika AS melupuskan senjata nuklear dan memaksa Israel melakukan perkara yang sama, tidak ada sebab bagi Iran untuk membangun alat berbahaya itu.
Untuk apa AS perlu memiliki senjata nuklear dalam soal penguasaannya ke atas Asia Barat? Yang jelas ia mahu memastikan Israel terus bertapak di dunia Arab atas penindasannya ke atas rakyat Palestin. Ia mahu memastikan minyak di Teluk Parsi terus dikuasai.
Walaupun perkara ini jelas tetapi banyak intelektual di AS yang berhujah bahawa apa yang dilakukan oleh kuasa besar itu adalah semata-mata untuk kebebasan dan demokrasi. Maka kedua-dua nilai ini dijadikan hujah bagi mendukung kezaliman Israel ke atas Palestin, pencerobohan ke atas Iraq dan kini tekanan terhadap Iran.
Nilai-nilai kebebasan dan demokrasi menjadi salah satu senjata AS bagi menguasai dunia selepas Perang Dunia Kedua. Ia dijadikan sebab untuk menundukkan musuh dan berjaya dilakukan ke atas Kesatuan Soviet dan sistem politik komunis.
Senjata berbentuk fahaman ini berjaya kerana kebenaran nilai-nilai ini dengan musuh-musuh AS pula tidak memilikinya. Bayangkan jika Soviet dan sekutu-sekutunya dahulu mengamalkan kebebasan dan demokrasi walaupun dalam konteks pelaksanaan komunisme, maka tidak ada sebab AS hendak menjatuhkannya.
Contohnya India, sebuah negara bebas dan demokrasi tetapi menjadi sekutu Soviet. Parti Komunis di India pula memerintah beberapa bahagian negara itu melalui sistem demokrasi. Maka tidak ada sebab bagi AS untuk menguasainya. Tetapi negara-negara Arab tidak mengamalkan kebebasan dan demokrasi. Yang jelas adalah Iraq dan ia menjadi hujah bagi AS untuk menceroboh dan meraih sokongan rakyat negara itu.
Cuba bayangkan kalau Saddam Hussein memerintah Iraq melalui demokrasi seperti Hugo Chavez di Venezuela sekarang. Maka tidak ada sebab bagi AS hendak menceroboh negara itu. Malah tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa dunia Arab dan Islam yang bebas dan demokrat mampu membebaskan Palestin.
Tetapi demokrasi hari ini, ada dua bentuk – baik dan jahat. Kalau negara-negara Scandinavia, ia tidak memberi ancaman kepada negara lain. Demokrasi AS malangnya mendatangkan ancaman kepada dunia Islam.