Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 8 April 2007
PADA malam Rabu lalu sekitar pukul 11 malam waktu Malaysia, saluran Al-Jazeera menyiarkan siaran langsung suatu majlis bersejarah dari Teheran.
Ia bermula dengan ceramah politik oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmedinejad dengan beliau menghujahkan tentang sejarah serta politik kedaulatan negaranya. Tidak ada yang aneh tetapi ceramah itu memberi paparan jitu tentang pendirian Teheran mengenai isu-isu politik semasa.
Bagaimanapun majlis itu mempelawa anggota-anggota tentera Iran naik ke pentas, maka para pemerhati mula berasa ada sesuatu yang penting akan berlaku dalam majlis itu.
Pegawai dan anggota tentera Iran yang dipelawa naik ke pentas itu adalah mereka yang menahan 15 kelasi Britain. Tentera Iran itu dipuji kerana berjaya melindungi sempadan Iran daripada diceroboh oleh tentera asing. Kemudian mereka dianugerahkan pingat-pingat penghormatan negara. Mahmoud menyemat pingat-pingat ke atas dada para tentera itu.
Sebaik saja majlis itu berakhir, maka tiba-tiba dunia dikejutkan dengan pengumuman pengampunan serta pembebasan askar-askar Britain itu. Malah mereka turut diundang naik ke pentas, siap berpakaian sut kemas. Kesemua berjabat tangan dengan Presiden Iran yang tersenyum sambil menyatakan sesuatu kepada mereka.
Pembebasan askar-askar Britain mendatangkan kejutan ke seluruh dunia dengan kesimpulannya bahawa Iran menang dalam perang diplomatiknya dengan Britain. Ia juga merupakan tamparan kepada Amerika Syarikat (AS).
Di sinilah imej Republik Islam Iran yang dianggap ganas dan degil tiba-tiba dapat membebaskan kelasi-kelasi Britain itu tanpa sebarang perbicaraan.
Apa yang berlaku ini hanya mengesahkan bahawa askar Britain itu telah memasuki perairan Iran secara haram. Walaupun pada mulanya Britain menafikan dengan menegaskan bahawa mereka berada di perairan Iraq, tetapi Iran mendedahkan bahawa negara Barat itu telah pun meminta maaf hingga perkara ini membawa kepada pengampunan dan pembebasan askar-askar itu.
Maka berlaku suara-suara kesal dari AS. Ia adalah seolah-olah terdapat beberapa pihak di negara kuasa besar itu yang mahu hubungan Britain dan Iran bertambah tegang. Mereka mahu Iran terus menahan kelasi-kelasi itu hingga menyebabkan Britain terpaksa bertindak balas yang terus menjadikan hubungan kedua negara bertambah buruk.
Hubungan buruk antara Britain dan Iran adalah penting supaya negara Islam itu terus diburukkan pada mata dunia. Kesalahan demi kesalahan dilemparkan pada Iran supaya akhirnya negara itu nampak sebagai jahat dan perlu dihukum. Taktik yang serupa dilakukan oleh AS terhadap Iraq pada zaman Saddam Hussein.
Apabila dunia sudah dapat menerima bahawa Iran adalah negara jahat, maka mudah bagi AS meyakinkan dunia bahawa Teheran mesti diserang supaya berlaku perubahan kerajaan. Maknanya kerajaan Iran hendak ditumbangkan seperti mereka melakukan ke atas Saddam.
Justeru, pembebasan askar-askar Britain ini merupakan tamparan kepada rancangan AS.
Sememangnya menarik untuk mengetahui bahawa adakah askar-askar Britain itu berada dalam perairan Iran atau Iraq?
Pada mulanya Britain menafikan. Gambarannya ialah askar-askar itu berada di perairan Iraq dan tentera Iran telah memasuki perairan Iraq dan menahan askar-askar Britain.
Persoalannya ialah jika perkara ini betul, untuk apakah tindakan Iran itu? Sudah tentu akan berlaku ketegangan dengan Britain dan dunia memandang buruk pada Iran. Maka Teheran tentu tidak mahu perkara ini berlaku.
Senario kedua ialah askar Britain itu telah memasuki Iran sebagai satu tindakan provokasi. Pihak Iran tidak boleh membenarkan pencerobohan asing ke atas perairannya kerana ia boleh membawa petanda kelemahan. Maka mereka menahan kelasi-askar ini dan ia menimbulkan ketegangan diplomatik.
Tetapi dengan membebaskan mereka, Iran telah berjaya membuktikan bahawa ia mampu mengelak ketegangan jika dilakukan sesuatu yang menurut kepentingan mereka.
Mesej jelas adalah kepada AS. Apa saja krisis termasuk soal nuklear boleh dielakkan jika AS dapat menerima tuntutan adil dari Iran. Teheran bukannya rejim degil seperti yang digambarkan oleh pihak AS.
Perlu diingat, Iran tidak pernah menceroboh AS dan Britain. Tetapi Britain telah menguasai politik Iran pada kurun ke-19. Bersama AS, kedua-dua negara Barat telah menggulingkan kerajaan Dr. Ahmad Mossadegh yang popular di kalangan rakyat Iran ketika itu.
Sebaliknya melalui Shah Iran, AS terus mendominasi politik Iran sehinggalah berlakunya Revolusi Islam pada tahun 1979.
Bukan itu saja, AS dan Britain secara aktif membantu Saddam menceroboh wilayah Iran dalam perang Iran- Iraq.
AS telah menggunakan pelbagai platfom menekan Iran. Daripada politik, diplomasi antarabangsa hinggalah kepada sekatan ekonomi, belum dikira tekanan melalui budaya dan propaganda filem Hollywood.
Pentadbiran Bush dan penyokong-penyokongnya di kalangan neokonservatif masih bercakap mengenai pertukaran rejim, iaitu mereka mahu menjatuhkan kerajaan Republik Islam Iran seperti apa yang dilakukannya ke atas kerajaan Baathis Iraq.
Antara mesej yang boleh disampaikan oleh Teheran dalam penahanan kelasi Britain ialah ketegasan dalam mengawal sempadan negara dan integriti wilayah Iran. Walaupun penahanan itu mungkin hanya dilihat dari sudut simbolik tetapi dalam politik, apa saja tindakan akan diterjemahkan dan ditafsirkan dalam banyak segi.
Iraq jatuh dengan mudah ke tangan AS dan sekutu-sekutunya kerana kegagalan Saddam mempertahankan integriti wilayah negaranya.
Iran amat berbeza dengan Iraq tetapi cara yang dilakukan oleh AS terhadap isu ini adalah hampir serupa. AS mempersoalkan tentang pembangunan tenaga nuklear yang dianggap sebagai proses pembinaan senjata. Iraq juga dituduh sebagai pihak memiliki senjata pemusnah besar-besaran (WMD).
Iraq dituduh sebagai diktator yang mengancam Israel dan perlu dijatuhkan. Iran dibesar-besarkan sebagai sebuah rejim fundamentalis yang mahu menghapuskan Israel dari muka bumi. Maka hujah-hujah ini menjurus kepada proses untuk suasana perang dengan Iran.
Semasa menjelang serangan AS ke atas Iraq dahulu, Presiden Mesir, Hosni Mubarak telah mengingatkan Saddam supaya mengambil serius terhadap ancaman AS. Apabila mereka menyerang, Iraq akan mengalami padah yang buruk.
Kali ini, Raja Arab Saudi, Raja Abdullah juga telah mengingatkan Presiden Iran supaya mengambil serius ancaman AS.
Bagaimanapun bagi Iran, kedudukan mereka jauh berbeza daripada apa yang ditanggung oleh Iraq.
Pergolakan politik di AS juga membezakan keadaan. Semasa menjelang serangan ke atas Iraq, AS sedang dalam kedudukan teguh dengan semangat kuat patriotisme rakyatnya ekoran peristiwa 11 September dan kejayaan Washington menjatuhkan rejim Taliban di Afghanistan.
Kali ini, AS tidak berada pada kedudukan menang di Iraq. Sementara Presiden George W. Bush pula sedang berhadapan dengan Kongres yang dikuasai oleh Parti Demokratik. Bukan saja parti ini menentang perang di Iraq, tetapi juga menunjukkan sikapnya yang berbeza dengan menghantar Speaker Kongres, Nancy Pelosi ke Damsyik, Syria.
Selain itu, sekutu AS iaitu Britain juga tidak berada pada kedudukan yang baik. Kalau dahulu ketika berdepan dengan Iraq, Perdana Menteri Tony Blair berupaya meyakinkan rakyat negaranya menyokong dasarnya.
Tetapi kini Britain tidak mampu lagi berbuat demikian lebih-lebih lagi Blair berada di penghujung pemerintahannya dengan Parti Buruh akan menghadapi pilihan raya baru. Episod pembebasan askar Britain oleh Iran juga menunjukkan betapa London mampu berlembut dengan Iran dan tidak bergantung pada kehendak Washington semata-mata.
Pada keseluruhannya kepentingan AS pada waktu ini lebih terjejas berbanding sebelum ia menceroboh dan menduduki Iraq. Kalau sekarang di Iraq terdapat dua pihak yang memusuhi AS.
Pertama di kalangan puak Sunah yang antaranya ada kaitan dengan rangkaian Al- Qaeda telah bertapa di Iraq. Kedua, yang lebih besar ialah pengaruh serta rangkaian kumpulan yang menyokong Iran mempunyai tapak yang lebih kuat di Iraq.
Sedangkan pada zaman Saddam, dasar Baathisnya menghalang sebarang kumpulan ekstremis Sunah dan juga kumpulan pro- Iran untuk bertapak di bumi Iraq.
Ketika mula masuk ke Iraq, panji-panji pencerobohan AS ke negara itu ialah untuk menegakkan negara yang demokratik dengan harapan fahaman ini akan merebak ke seluruh Asia Barat. Andaiannya ialah Iraq yang demokratik akan akhirnya turut menarik Syria, Iran dan akhirnya Arab Saudi untuk menjadi demokratik.
Pihak-pihak di Washington juga membayangkan bahawa rantau Asia Barat yang demokratik akan menjamin keselamatan Israel dan seterusnya menjaga kepentingan bekalan minyak AS di rantau Teluk Parsi.
Tetapi persoalannya ialah mengapa negara-negara yang menjadi sekutu AS tidak pernah diyakinkan untuk menjadi demokratik sekiranya Washington benar-benar memperjuangkan fahaman ini? Iran zaman Shah, Arab Saudi, Jordan dan Mesir adalah negara-negara sekutu AS yang tidak pernah diyakinkan secara sungguh-sungguh supaya mengamalkan sistem demokrasi.
Malah negara Algeria yang cuba untuk menjadi demokratik telah dihalang daripada berbuat demikian oleh AS kerana parti yang menang dalam pilihan raya bebas adalah dari kalangan kumpulan Islam.
Secara demokrasi, negara-negara Arab akan memilih parti Islam. Itu pun telah terbukti di Turki, Lebanon, Palestin dan Iraq.
Mana-mana kerajaan di dunia Arab dan Iran juga, sekiranya dipilih secara demokratik tidak akan menyokong Israel. Hasrat rakyat adalah seperti itu. Rakyat mana-mana negara juga akan mempertahankan integriti wilayah masing-masing dan memelihara hak milik sumber asli nasional.
Negara-negara Asia Barat yang diperintah secara demokratik akan menjaga kepentingan nasionalnya dari segi minyak. Apabila berlaku konflik antara AS dan kepentingan nasional, sudah tentu kerajaan yang dipilih rakyat mengutamakan hak patriotik mereka.
Justeru andaian AS hendak melihat negara-negara demokratik di Asia Barat berbaik dengan Israel adalah impian kosong. Israel hanya boleh dilayan dengan baik jika menjadi jiran yang adil khususnya pada Palestin. Tetapi jika Israel terus berlagak seperti wakil kuasa penjajah AS di Asia Barat, maka pasti ia terus ditentang walaupun negara itu dan keseluruhan Asia Barat mengamalkan demokrasi.
Kunci kepada keamanan dunia terletak pada penyelesaian politik di Palestin. Israel hanya boleh mengubah sikapnya jika AS bersungguh-sungguh memberi tekanan kepadanya. Tetapi AS hanya berbuat demikian jika lobi Yahudi di negara itu sedar tentang hak keadilan rakyat Palestin.
Orang Yahudi di Amerika Utara dan Eropah dianggap sebagai golongan berpengaruh dan intelektual yang mendominasi tamadun dunia hari ini. Sayangnya kedudukan mereka tidak diterjemahkan kepada menyebar keadilan ke seluruh dunia.
Dalam sejarah silam, Parsi pernah mengalahkan kerajaan-kerajaan di bumi Mesopotamia dan Palestin. Walau apa pun politik yang dimainkan oleh kerajaan-kerajaan, akhirnya apa yang menjadi perkiraan ialah kesenangan penduduk di wilayah-wilayah yang diperintahnya.