Pahit maung generasi pramerdeka

Oleh: MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 7 April 2007


LIMA bulan lagi Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-50. Kepada generasi yang dilahirkan selepas perang dunia kedua pasti tidak dapat melupakan tarikh keramat 31 Ogos 1957.

Meskipun generasi ini berumur dalam lingkungan 10-12 tahun ketika negara mencapai kemerdekaan, tetapi sebagaimana juga dengan generasi “baby boomers” di Amerika Syarikat (AS) generasi ini mempunyai tempat tersendiri dalam sejarah negara.

Generasi ini ketika dilahirkan mengalami pelbagai kesukaran akibat sisa-sisa perang pasifik. Makanan bayi seperti Lactogen atau Dumex tidak pernah kedengaran. Sebaliknya pisang atau ubi kayu bakar yang dilecekkan merupakan makanan pertama bayi. Kain lampin daripada kain batik atau kain pelekat usang yang diturunkan daripada nenek hingga ke cucu.

Generasi ini juga banyak mengharungi keperitan hidup akibat suasana politik dan keselamatan negara khususnya di Semenanjung Malaysia. Sebagaimana saudara mara mereka yang dilahirkan di zaman Jepun generasi ini sering diundang bahaya.

Ramai ibu bapa yang menyembunyikan diri bersama anak-anak kecil ketika Bintang Tiga (Parti Komunis Malaya) bermaharajalela sebaik sahaja Jepun menyerah kalah. Beribu-ribu rakyat Semenanjung yang dianggap tali barut Jepun khususnya orang-orang Melayu dibunuh dengan kejam termasuk kanak-kanak.

Generasi ini seterusnya mengalami perit maung ekoran daripada perang gerila yang dilancarkan PKM setelah British mengisytiharkan darurat bulan Jun 1948. Makanan dicatu dan hanya boleh dibeli melalui kad catuan. Bahkan di satu ketika sekitar tahun 1952 pihak berkuasa memperkenalkan satu program baru “common kitchen”.

Setiap penduduk sesebuah kampung tidak dibenarkan memasak nasi di rumah sebaliknya mengambil nasi dan lauk yang telah disediakan pihak berkuasa. Meskipun masih terlalu kecil, tetapi kenangan mengenai “nasi kawah” masih segar di ingatan.

Di sekolah murid-murid darjah satu masih menggunakan papan batu. Darjah dua dan tiga menggunakan pensel. Penggunaan pen bermula di darjah empat. Itu pun pen yang menggunakan dakwat. Seringkali botol dakwat biru dan merah tumpah di dalam beg. Akibatnya buku bahkan pakaian sering terdapat tanda-tanda dakwat.

Keadaan negara yang menghadapi konflik bersenjata mempengaruhi kanak-kanak. Ramai yang ingin menjadi askar atau polis bila besar. Mungkin mereka dipengaruhi oleh belia-belia kampung yang cukup ramai memasuki tentera, polis, special constable (SC) dan pasukan kawalan kampung (Home Guard).

Meskipun hidup penuh dengan halangan tetapi semangat untuk hidup, bebas dan maju tidak dapat dibendung oleh sesiapa. Menariknya ramai yang maju di dalam pelajaran dan pekerjaan meskipun orang Melayu merupakan golongan yang kurang bernasib baik.

Sebelum 1971 tidak ada Dasar Ekonomi Baru (DEB). Pelajar-pelajar Melayu terpaksa bertarung dengan pelajar-pelajar bukan Melayu untuk memasuki pusat-pusat pengajian tinggi. Meskipun ramai yang berjaya, tidak kurang pula yang gagal di tengah jalan.

Satu yang menarik perhubungan ras dikira agak akrab. Meskipun anggota-anggota PKM sebahagian besarnya kaum Cina dan mangsa utama PKM orang Melayu. Masa kecil-kecil anak-anak Cina bermain dengan anak Melayu. Agak pelik juga kerana anak Melayu ke sekolah Melayu dan Cina ke sekolah Cina.

Sebahagian besar penduduk kampung saya adalah Melayu. Namun kaum Cina memegang tampuk ekonomi. Semua 20 buah kedai runcit, kedai kopi dan kedai getah di kampung saya dipunyai oleh kaum Cina. Sedangkan kedai dibangunkan di atas tanah Melayu.

Orang-orang Melayu keluar masuk kedai makan Cina. Mereka minum kopi dan makan kuih asalkan tidak makan babi. Orang-orang Melayu juga sukakan kuih Cina seperti kuih bakul. Malahan emak saya sendiri membuat nasi lemak dan pulut udang untuk dijual di kedai kopi Cina.

Kerana hubungan rapat begini, orang-orang Cina boleh dikatakan mengenali anak-anak Melayu dan begitu juga sebaliknya. Seringkali tauke-tauke kedai mengadu kepada ibu bapa sekiranya ada anak-anak Melayu yang nakal dan membuat honar di kedai-kedai.

Bahasa Melayu merupakan bahasa pengantara utama. Paling pelik orang-orang Cina khususnya tauke kedai diberi nama Melayu. Umpamanya Ubi, Botol, Panjang, Pendek dan lain-lain. Nama-nama ini mungkin berdasarkan tubuh badan. Menariknya nama-nama ini juga digunakan oleh orang- orang Cina.

Generasi ini kini rata-rata menjangkau 60 tahun ke atas, bercucu dan bercicit. Malahan ramai juga yang telah meninggal dunia. Ketika pulang ke kampung rasa sunyi kerana ramai kawan-kawan lama yang telah pergi di umur yang dirasa masih muda. Sedangkan “baby boomers” di AS terus aktif meskipun menjangkau 70-an.

Ramai yang meninggal dunia kerana sakit jantung, kanser dan kencing manis. Ia berpunca daripada cara permakanan dan makanan Melayu dari segi kesihatan dikira tidak begitu sihat. Makanan Melayu tidak sah kalau tidak ada santan, gula dan mesti pedas. Lantaran itu wujudlah gulai lemak, sayur lemak, nasi minyak, bubur kacang dan lainlainnya.

Baru-baru ini heboh kempen memboikot iklan makanan segera. Tetapi bagaimana pula dengan makanan Melayu yang penuh dengan minyak, santan,kanji, dan gula. Dalam keadaan memboikot iklan makanan segera dari Barat gerai-gerai tetap laris dengan roti canai, teh tarik, dan nasi lemak.

Sebenarnya memboikot iklan sahaja tidak memberi kesan tanpa mengubah tabiat pemakanan. Bukan tidak boleh makan nasi lemak, roti canai, teh tarik, kentucky fried chicken, hot dog atau burger. Tetapi biarlah berpatutan.

Di tahun-tahun 1950-an, orang-orang Melayu rata-rata miskin. Bertani, penoreh getah, buruh kasar dan sedikit sekali memegang jawatan tinggi kerajaan. Namun, mereka ikhlas dan sanggup berkorban untuk negara. Setiap kampung ada saja anak muda yang mati dalam perjuangan menentang pengganas komunis.

Kini keadaan telah banyak berubah. Kekayaan harta benda boleh dilihat di mana-mana dan di kalangan setiap kaum. Sungguhpun begitu terdapat beberapa ketandusan. Hubungan ras nampaknya semakin renggang. Pemikiran dan pegangan hidup semakin ekstrem. Tanpa disedari wujudnya segrigasi antara kaum.

Perasaan ini amat dirasa ketika membaca buku Dato Sri J.J. Raj (Jr.) The Struggle for Malaysian Independence. Membaca buku ini membawa kenangan silam, pahit dan manis. Khususnya perjuangan menentang PKM dan kempen-kempen menuntut kemerdekaan. Tanpa sokongan setiap kaum sudah pasti negara tidak mencapai kejayaan seperti hari ini.

Secara tidak langsung pembaca akan membuat perbandingan antara zaman yang berlalu dengan yang wujud sekarang.

Ketika negara di ambang 50 tahun kemerdekaan, eloklah generasi muda disedarkan dengan sejarah perjuangan generasi yang telah hampir-hampir pupus. Paling penting setiap kaum jangan membuat tuntutan yang melampau. Tuduhan-tuduhan berasaskan kaum boleh menjahanamkan negara. Apatah lagi di era Internet yang tidak terkawal.