Pengorbanan alam sekitar: Impak cadangan mewujudkan ladang raksasa di Kalimantan

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 19 Februari 2006


APABILA Malaysia menjadi negara maju pada tahun 2020, maka rakyatnya akan mengecapi nikmat sama seperti dirasa oleh penduduk Barat dan Jepun.

Sebagai sebuah negara kecil, kedudukan Malaysia tidak akan membebankan dunia dari segi keperluan sumbernya.

Justeru mana-mana negara kecil di dunia yang menjadi maju seperti Singapura tidak akan menjejaskan sumber atau alam sekitar dunia, yang berbentuk global.

Tetapi bayangkan jika negara-negara besar yang mempunyai penduduk ramai menjadi negara maju. Sudah tentu keperluan tenaga mereka meningkat mendadak dan persoalan sama ada bumi mampu menampung kedudukan itu perlu difikirkan.

Selama ini, negara-negara maju hanya terhad di Amerika Utara dan Eropah Barat, di samping Jepun, Australia dan New Zealand dan mereka pun sudah menggunakan hampir keseluruhan tenaga dan sumber dunia. Maknanya, kemajuan industri yang mereka nikmati didukung daripada sumber dari negara-negara membangun dan miskin.

Dunia sememangnya tidak seimbang, sumber dunia keseluruhannya tertumpu kepada kemajuan dan pembangunan sebahagian kecil negara saja.

Eropah Barat, Amerika Utara dan Australia dapat menjadi negara maju setelah berjaya memusnahkan hutan masing-masing yang ditukarkan untuk menjadi ladang dan wilayah-wilayah perindustrian. Bukan itu saja, alam sekitar negara-negara miskin dan membangun turut dimusnahkan untuk menyumbang kepada pembangunan mereka sepanjang zaman penjajahan dan imperialisme dahulu.

Tetapi bukan saja mereka yang hendak maju dan membangun. Negara-negara lain juga mahu mencapai kedudukan demikian. Umpamanya China, India dan Brazil yang merupakan negara-negara besar turut mahu menjadi negara perindustrian.

Untuk itu, terpaksalah negara-negara ini mengeksploit alam sekitar mereka. China membina empangan raksasa bagi keperluan pembangunan mereka. Begitu juga dengan Brazil yang membersihkan hutan-hutan tropika amat berharga.

Kesemua tindakan ini akan menjejaskan alam sekitar dunia tetapi adakah jalan lain bagi negara-negara ini untuk mencapai kemajuan?

Dapat dibayangkan betapa jika China dan India membangun dengan pesat dan menjadi negara maju. Betapa besar keperluan tenaga mereka dan rebutan pasti berlaku dengan negara-negara yang sudah sememangnya maju. Jika tidak mereka terpaksa mencari sumber lain dan ini akan menjejaskan kedudukan alam sekitar seluruh dunia.

Gejala seumpama ini sudah mula dirasakan apabila China yang pesat berkembang menyedari keperluan minyak sawitnya. Apabila penduduknya semakin mencapai kedudukan yang lebih selesa, sudah tentu keperluan terhadap minyak sawit meningkat. Bukan saja sebagai makanan tetapi pada masa akan datang, keperluan terhadap komoditi ini mencakupi dalam bentuk tenaga iaitu biofuel.

Sememangnya apabila keperluan terhadap komoditi ini, negara pengeluar minyak sawit seperti Malaysia akan memperoleh manfaatnya. Malah minyak sawit Malaysia sememangnya mempunyai masa depan amat cerah kerana pasarannya meningkat di China. Apabila keperluan meningkat maka pastinya harga juga naik.

Tetapi keperluan China pada masa akan datang amat besar dan Malaysia tidak akan mampu membekalkannya. China sudah mula melihat sumber baru bagi menampung keperluannya.

Pembekal

Dua negara yang menjadi sasarannya ialah Vietnam dan Indonesia. Dilihat pada keseluruhannya, sekali lagi Asia Tenggara menjadi pembekal komoditi kepada negara-negara besar yang hendak menjadi maju.

Kalau dahulu, Asia Tenggara menjadi rebutan kerana rempahnya yang menjadi komoditi penting bagi membangunkan tamadun Eropah yang berpusat di Sepanyol dan Portugis. Kemudian getah menjadi komoditi Asia Tenggara yang menyumbang kepada kemajuan Britain, Belanda dan Perancis. Akibat rebutan komoditi ini juga, berlaku Perang Dunia Kedua di mana Jepun lapar terhadap keperluan sumber bagi membangunkan negaranya untuk mencapai kedudukan negara maju.

Malaysia menjadi contoh dan model baik bagi kejayaan ekonominya sebagai pembekal komoditi kepada negara-negara maju. Kemampuan negara ini sejak dari zaman penjajahan dahulu membolehkan Malaysia bersedia untuk mencapai Wawasan 2020.

Sudah tentu negara lain di Asia Tenggara juga mahu meniru kaedah Malaysia ini. Maka Indonesia juga melihat pembukaan ladang-ladang baru sebagai kunci kemajuan bagi masa depan.

Selama ini banyak ladang kelapa sawit telah dibuka khususnya di Sumatera termasuk oleh syarikat-syarikat Malaysia. Industri ini dipercayai boleh menjadi ekonomi Indonesia dan keluar daripada kedudukan ekonomi yang menyedihkan hari ini.

Industri perladangan pernah dirintis di Indonesia pada zaman penjajahan Belanda di mana penduduk Jawa dipaksa mengubah tanaman makanan mereka kepada komoditi. Kesannya besar kepada alam sekitar dan sosiologi penduduk.

Begitu juga apabila banyak ladang baru dibuka di Sumatera. Ia bukan saja merosakkan alam sekitar sebagai pengorbanan bagi mendapatkan kehidupan ekonomi lebih baik tetapi juga kesan berbentuk jerebu juga sudah disaksikan.

Maka cadangan bagi mewujudkan kawasan ladang raksasa baru di Kalimantan adalah lebih besar impaknya kepada alam sekitar, malah dunia kerana hutan hujan tropika sudah semakin berkurangan. Sedangkan hutan hujan tropika di pulau Borneo adalah juga seperti di Congo dan Brazil menjadi paru-paru hijau bagi planet bumi.

Cadangan yang dikemukakan oleh Kementerian Ekonomi Indonesia pada pertengahan tahun lalu itu berbentuk pemusnahan hutan tropika seluas 1.8 juta hektar ini untuk dijadikan ladang kelapa sawit. Ia terletak berhampiran dengan sempadan Sarawak dan merentasi tiga taman negara termasuk Taman negara Betung-Keriohun yang terkenal.

Projek ini dicadangkan akan dibiayai oleh China yang melihat potensi keperluan minyak sawitnya pada masa depan.

Di sinilah dilema manusia hari ini. Pada satu sisi, sudah tentu manusia mahu mengecapi tinggal di negara maju dengan segala kemudahan teknologi moden. Indonesia dan China juga mengimpikan perkara ini. Mengapa pula hanya Amerika Utara dan Eropah Barat yang dibenarkan mendapat nikmat ini.

Tetapi masalahnya negara-negara maju ini mendapat kedudukan hari ini atas pemusnahan alam sekitar yang dilakukannya di negara sendiri dan negara-negara yang dijajah dahulu.

Kini hutan yang amat diperlukan oleh bumi dan penduduknya sudah terhad. Hutan di Amerika Utara dan Eropah Barat sudah lama musnah.

Apa yang perlu dilakukan oleh manusia adalah mempertahankan hutan yang sedia ada, khususnya hutan hujan tropika. Tetapi masalahnya hutan ini perlu dipugar supaya mendatangkan hasil dan kemakmuran ekonomi pada negara berkenaan.

Indonesia, umpamanya perlukan satu anjakan besar daripada sumber alamnya untuk mencapai kemajuan. Justeru kerjasamanya dengan China adalah paling sesuai kerana masing-masing memerlukan antara satu sama lain untuk pembangunan.

Tetapi masalahnya jika projek ini diteruskan, pasti hutan itu musnah dan tidak akan dapat diganti. Maknanya hutan Borneo itu menjadi korban kepada kemajuan yang ingin dicapai oleh China dan Indonesia.

Cabaran

Mungkin ada caranya melalui konsep pembangunan mapan bahawa di samping mendapat kejayaan dalam ekonomi melalui eksploitasi hutan, pada waktu yang sama alam sekitar dapat dipelihara.

Itulah yang menjadi cabaran besar dan ia kini dijadikan isu oleh gerakan pemeliharaan alam sekitar seluruh dunia.

Bagaimanapun cuba bayangkan senario masa depan apabila China dan India terus berkembang pesat dan memerlukan lebih banyak sumber. Minyak akan kehabisan. Maka dibangunkan biofuel yang menghasilkan minyak daripada tumbuhan. Tetapi harganya juga tinggi kerana ladang-ladang baru dibuka dengan mengorbankan hutan.

Begitu juga apabila banyak empangan baru dibina untuk mendapatkan elektrik. Pastinya ia merosakkan alam sekitar dan kesannya lebih buruk juga. Pengalaman di Brazil, China dan Amerika Syarikat mendedahkan perkara ini.

Sumber lain untuk mendapatkan tenaga ialah melalui tenaga nuklear. Ia juga mempunyai risiko dan kosnya.

Maka akhirnya berlaku rebutan sumber. Negara-negara maju yang sedar keadaan ini akan mempertahankan kedudukannya dan menghalang negara lain daripada turut mencapai kedudukan yang sama. Ini kerana sumber bumi tidak mencukupi untuk semua negara.

Penduduk manusia pula kian bertambah dan mereka menjadi lebih berpendidikan dan sedar tentang hak masing-masing.

Malah demokrasi yang meluas di seluruh dunia juga akan membawa ketegangan antara negara-negara. Rakyat menuntut hak masing-masing dan ia bertembung dengan kuasa-kuasa yang mempertahankan hegemoni sedia ada.

Sekarang pun, minyak sudah menjadi rebutan dan banyak pihak melihat penindasan Israel ke atas rakyat Palestin dan perang Iraq oleh Amerika Syarikat (AS) adalah semata-mata kerana minyak di situ.

Ancaman yang dihadapi oleh AS dalam bentuk keganasan ini juga merupakan kos kepada keperluan minyak oleh kuasa besar itu.

Presiden George W. Bush dalam ucapan negara pada hujung tahun lalu menyarankan agar rakyat AS menghentikan "ketagihan minyak'' mereka untuk menamatkan segala masalah politik di Asia Barat.

Adakah perkara itu boleh berlaku? Tamadun memerlukan tenaga. Tanpa minyak, AS akan mencari alternatif lain.

Atau bagi mendapatkan keadilan, dunia Barat mesti menghentikan cara hidup yang berasaskan kepada pembaziran dan ketamakan terhadap untung yang tidak berkesudahan. Maknanya, dalam mengejar keuntungan, mesti ada perimbangan beretika bagi memastikan alam sekitar dunia dapat diselamatkan dan lebih banyak negara dapat mencapai tahap lebih baik.

Bagi mengelak dunia jadi korban kemajuan, negara-negara Barat mesti berkorban dengan mengehadkan ketamakan mereka dan sebaliknya memberi peluang kepada negara lain untuk maju.

Hutan hujan tropika di Borneo mesti diselamatkan demi manusia keseluruhannya. Tetapi kos yang ditanggung oleh Jakarta kerana tidak dapat membangunkan ladang di kawasan itu harus ditanggung oleh dunia sendiri.

Maknanya, pembiayaan bagi pemeliharaan hutan hujan tropika serta peluang ekonomi yang terlepas akibatnya mesti diganti oleh dana dari negara-negara maju di dunia.

Begitu juga dengan China yang mesti mencari jalan lain bagi menampung keperluan minyak sawitnya, baik untuk makanan mahupun tenaga biofuel.

Pertumbuhan pesat China mesti dianalisis dan dicari jalan supaya ia tidak membebankan dunia. Begitu juga dengan India yang akan mengikut jejak China.

Penduduk kedua-dua negara itu sudah lama menderita dan ketinggalan dalam kemiskinan ketika mana rakyat di Amerika Utara dan Eropah Barat mengecapi kemakmuran dan kemajuan.

Kemudian timbul satu soalan, adakah wajar semua manusia di dunia hidup dalam negara maju? Maknanya adakah semua negara patut mencapai tahap negara maju?

Mungkin seperti tidak akan dapat dicapai bahawa semua penduduk sebuah negara itu menjadi kaya, kerana pasti ada yang miskin, begitu juga akan tetap wujud negara kaya dan miskin. Cumanya usaha boleh dilakukan supaya tidak ada negara yang berada pada kemiskinan tegar.

Walaupun begitu hakikatnya, Malaysia hendak dipastikan tidak akan tergolong ke dalam negara-negara mundur.