Showing posts with label Afrika. Show all posts
Showing posts with label Afrika. Show all posts

Petanda buruk dari Algeria

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 15 April 2007


DUA serangan bom berani mati di Algiers, Algeria mengakibatkan kematian 33 orang awam memberi petanda buruk yang membawa implikasi mendalam di dunia Islam. Semua negara Islam termasuk Iran mengecam serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan-kumpulan berkaitan rangkaian Al-Qaeda. Sementara penganalisis di Kolej Nasional Sweden, Magnus Ranstop meramalkan kebangkitan keganasan baru di rantau Afrika Utara meliputi negara-negara dari Maghribi hingga Somalia.

Tetapi apa yang berlaku di Algiers wajar dilihat dari dua sudut, nasional dan global. Ini kerana apa yang dilihat sebagai ancaman keganasan global adalah kesemuanya mendapat sumbangan daripada masalah nasional dan tempatan yang masing-masing berbeza.

Umpamanya, apa yang dikatakan sebagai ancaman dari Al-Qaeda di Iraq sudah tentu mempunyai pertalian dengan pendudukan Amerika Syarikat (AS).

Begitu juga di Afghanistan. Pastinya berkaitan dengan politik tempatan membabitkan Taliban, Mujahidin dan kehadiran tentera asing. Senario yang sama berlaku di Indonesia dan Filipina berhubung Jemaah Islamiyah (JI), pasti berkait dengan politik tempatan.

Melihat ke dalam sejarah, Algeria pernah menjadi tanah jajahan Perancis. Malah pernah Perancis ingin menjadikannya sebahagian daripada wilayah dan penempatan. Maknanya ia adalah sebahagian daripada Perancis dan penduduknya diwakili dalam Parlimen di Paris. Tetapi sudah tentu penduduknya bukanlah rakyat asal Algeria tetapi orang Perancis yang berhijrah.

Komuniti Eropah, yang terdiri bukan saja orang Perancis tetapi pendatang dari Sepanyol, Itali dan negara-negara jiran yang lain semakin membesar di Algiers sebelum kebangkitan nasionalisme di Algeria. Ingatlah kepada penulis eksistensialis Perancis, Albert Camus. Dia sebahagian daripada komuniti Perancis di Algeria.

Andai kata Republik Keempat Perancis ini tidak tumbang dan tidak ada penentangan daripada rakyat asal Algeria, mungkin wilayah ini terus menjadi sebahagian daripada Perancis, iaitu sebahagian daripada Eropah.

Walaupun tuntutan kemerdekaan mula kedengaran di kalangan intelektual tetapi Perancis tidak tunduk kepada perjuangan demokrasi. Imperialisme dan kolonialisme dianggap suatu yang tidak salah oleh Barat.

Maka tidak ada jalan lain selain daripada menggunakan senjata. Maka Barisan Pembebasan Kebangsaan (FLN) digerakkan oleh Ben Bella dan nasionalis lain untuk berjuang secara gerila menuntut kemerdekaan.

Bagaimanapun bendera yang mereka kibarkan adalah panji-panji Syeikh Abdul Qadir Al-Jazairi. Bendera berwarna hijau putih dengan bulan sabit bintang lima berwarna merah yang kini merupakan bendera kebangsaan Algeria adalah asalnya panji-panji perjuangan Syeikh Abdul Qadir. Siapakah ulama ini?

Maka perlulah melihat lagi jauh ke dalam sejarah Algeria. Sebelum kedatangan imperialis Perancis, Algeria atau bahasa Arabnya, Aljazair adalah wilayah dalam khilafah Uthmaniah yang berpusat di Istanbul.

Apabila khilafah ini lemah pada kurun ke-19, ia membuka ruang bagi kemasukan Perancis. Ketika menunaikan haji, Syeikh Abdul Qadir bertemu Imam Shamil, pemimpin dan pejuang Chechnya yang berperang menentang penjajahan Rusia di negaranya. Mereka berbincang mengenai politik dan nasib umat Islam.

Sekembalinya ke Algeria, Syeikh Abdul Qadir mengangkat panji-panji perjuangan dan menentang penjajahan Perancis. Penentangan beliau kuat walaupun akhirnya Perancis berjaya juga menjajah negara itu.

Perancis datang dengan misi membawa tamadun barat termasuk idealisme Revolusi Perancis. Tetapi kalau Perancis menjunjung kebebasan, persamaan dan persaudaraan; tetapi apa yang diterapkan ke atas rakyat Algeria adalah kongkongan, penindasan dan perbalahan. Sedangkan dalam Islam sudah ada nilai-nilai pembebasan, persamaan dan persaudaraan. Manusia mudah membuat slogan daripada mengamalkan nilai-nilai murninya.

Maka pada 1950-an, gerakan nasionalisme Algeria menggabungkan semangat dan nilai Islam yang dipelopori Syeikh Abdul Qadir dengan fahaman moden Perancis seperti demokrasi.

Justeru Revolusi Algeria ini mengambil inspirasi dari kedua- dua Revolusi Perancis dan perjuangan Sheikh Abdul Qadir. Perang gerila yang dinamakan Perang Kemerdekaan ini adalah berdarah dan sengit. Perancis tidak mahu berganjak secara aman daripada tanah jajahannya. Di Vietnam juga Perancis enggan memberikan kemerdekaan kepada jajahannya.

Kedua-dua gerakan kemerdekaan Algeria dan Vietnam turut mendapat inspirasi daripada fahaman politik Perancis sendiri, termasuk dari segi ideologi sosialisme. Kalau gerakan nasionalisme kiri Vietnam pimpinan Ho Chi Minh berbau komunisme, maka di Algeria, gerakan pimpinan Ben Bella itu bersifat sosialis, seperti apa yang berlaku di Indonesia, India dan Mesir.

Akhirnya Perancis kalah dan harapan besar rakyat Algeria untuk melihat FLN bukan saja dapat memimpin negara secara bermaruah tetapi mampu memberi pembangunan, kemakmuran dan kebebasan demokratik.

Tetapi perkara itu tidak berlaku. Seperti banyak negara pascamerdeka yang mengambil jalan kiri, Algeria juga gagal memberi kemakmuran dan demokrasi sebaik mungkin. Kepimpinan Ben Bella juga digulingkan dan FLN muncul sebagai parti mengongkong dalam bentuk sistem bernegara satu parti. Sudahlah demokrasi barat dan kemakmuran ekonomi Barat gagal dilaksanakan, nilai-nilai Islam juga tidak begitu diendahkan.

Maka dalam awal tahun 80-an, muncul gerakan Islam yang anak-anak muda menyertai kerana kecewa dengan sistem kediktatoran dan sosialis yang diamalkan.

Tetapi berbeza dengan banyak negara Arab dan Islam lain, pada 1990, Algeria pimpinan FLN memperkenalkan demokrasi sedikit demi sedikit sekurang-kurangnya untuk menghalang revolusi atau kebangkitan rakyatnya.

Maka sebagai langkah pertama, ia memperkenalkan pilihan raya kerajaan tempatan. Parti-parti politik bebas ditubuhkan. Maka gerakan Islam di Algeria yang mengambil semangat perjuangan Syeikh Abdul Qadir menyusun organisasi mereka. Ketika orang mula kecewa dengan ideologi Barat, mereka beralih kepada Islam termasuk pejuang kemerdekaan awal iaitu Ben Bella.

Gerakan Islam Algeria menubuhkan Barisan Penyelamat Islam (FIS) dan dalam pilihan raya tempatan itu mereka menang dan mengatasi FLN.

Dunia Barat terkejut. Perancis walaupun tidak menjadi penjajah lagi mengambil berat apa yang berlaku di Algeria. Lagipun ramai rakyat Algeria berhijrah ke Perancis. Antaranya keluarga pemain bola sepak, Zineddine Zidane.

Walaupun pada mulanya Barat, khususnya Perancis yang disokong AS memberi tekanan kepada Algiers supaya melaksanakan demokrasi, tetapi apabila mendapati FIS menang, mereka mula menghalang sebarang kebangkitan gerakan Islam.

Maknanya bagi mereka demokrasi dan pilihan raya bebas hanya boleh dilaksanakan jika parti atau pihak yang mereka sokong menang. Jika demikian, apa yang mereka pejuangkan bukanlah demokrasi tetapi hipokrisi. Sering kali kemenangan Nazi di Jerman pada tahun 1930-an dijadikan hujah bahawa demokrasi mampu membawa kemenangan parti yang antidemokrasi.

Tetapi Nazi walaupun menang dalam pilihan raya Jerman sebenarnya melakukan rampasan kuasa melalui serangan ke atas kumpulan-kumpulan kiri di Parlimen. Makanya apa yang menyebabkan Jerman menjadi negara diktator bukannya kerana kemenangan Nazi, tetapi lebih kepada tindakan melanggar demokrasi oleh Hitler.

Apa pun FIS tidak boleh disamakan dengan Nazi. Setelah menang pilihan raya tempatan, ia cuba memerintah kerajaan tempatan dalam lingkungan demokratik tetapi menurut nilai-nilai Islam yang dipercayai.

Bagaimanapun, atas sokongan Perancis dan AS, kerajaan Algiers mengharamkan FIS dan pemimpin-pemimpin mereka ditangkap. Sudah tentu tidak semua penyokong dan pengikut FIS bersedia berdiam diri.

Dengan semangat kekecewaan ini, ada yang menyertai kumpulan militan. Pada mulanya mereka melakukan perang secara gerila yang menjadikan tentera sebagai sasaran. Tetapi tentera Algeria melakukan tindakan-tindakan kejam yang akhirnya mewujudkan kumpulan militan yang lebih kejam. Apabila tidak diketahui lagi siapa sebenarnya yang melakukan kekejaman, sama ada tentera Algeria atau militan Islam, maka keganasan semakin berleluasa yang dilakukan oleh kedua belah pihak dan untuk meredakan keadaan lebih sukar lagi.

Tentunya golongan gerakan Islam yang sebenar, dan pastinya tidak terlibat dengan keganasan itu menyertai proses politik yang damai. Tetapi mereka sedar bahawa senjata berada di tangan pihak kerajaan.

Akhirnya gerila itu dapat dipatahkan kerana tentera kerajaan lebih terlatih dan mempunyai kelengkapan dengan bantuan dari Perancis dan AS sendiri. Maka apabila gejala serangan bunuh diri mula diamalkan oleh kumpulan-kumpulan Islam yang ekstrem dan mereka dikaitkan dengan Al-Qaeda, maka tidak hairan ada kalangan di Algeria turut mengambil jalan berdarah ini.

Selagi tidak ada usaha drastik mewujudkan keadilan politik, ekonomi dan sosial di Afrika Utara dan negara-negara Arab lain, maka kumpulan ini akan terus membesar. Mereka bergerak dan operasi di padang pasir Sahara dan rantau Sahel, dari Maghribi di Barat hingga ke timur di Somalia melalui Algeria, Tunisia dan Libya.

Maka gerakan Islam di seluruh dunia terpaksa bersatu dengan golongan sekular untuk menentang golongan ekstrem dan pengganas. Pihak Barat pula mahu menyamakan saja pelampau dan gerakan Islam arus perdana. Bagi mereka gerakan Islam, walaupun sederhana akan memberi ruang kepada kemunculan pengganas.

Tetapi hakikatnya munculnya pengganas daripada kalangan umat Islam ini juga adalah hasil daripada reaksi kepada kekejaman dan keganasan pihak yang memiliki kuasa. Bagaimana muncul pengganas di Algeria adalah sesuatu yang boleh menjadi contoh.

Begitu juga dengan bagaimana munculnya Al-Qaeda di Iraq, sudah tentu ia adalah reaksi kepada pendudukan AS. Sementara dapat dibayangkan bagaimana kerajaan Mujahidin gagal di Afghanistan, adalah antara sebabnya mereka tidak mendapat sokongan dan bantuan kewangan bagi mewujudkan kerajaan yang mantap.

Selepas komunis dipatahkan, AS dan sekutunya meninggalkan Mujahidin begitu saja. Apabila mereka gagal menubuhkan kerajaan yang kuat, maka ia memudahkan kemunculan Taliban yang dibantu Al-Qaeda.

Pengajaran mesti diambil daripada semua perkembangan ini. Jika Thailand dan Filipina, umpamanya gagal memberikan keadilan kepada rakyatnya yang beragama Islam, maka akhirnya apabila kumpulan pengganas muncul, semua rakyat akan menanggung kesusahan.

Read more!

Iktibar kekejaman Barat

Oleh: Muhammad Alias
Sumber: Utusan Malaysia 28 Mac 2007


Pada 25 Mac lalu, Ghana merayakan ulang tahun ke-200 penghapusan perdagangan hamba abdi. Perdagangan manusia yang dianggap tersangat kejam dalam sejarah tamadun manusia berakhir pada 23 Mac 1807.

Tahun itu Britain yang memonopoli perdagangan hamba abdi melarang kemasukan hamba abdi Afrika ke negara tersebut.

Bagaimanapun, Britain hanya mengharamkan hamba abdi pada tahun 1833. Sementara perdagangan hamba abdi diteruskan oleh beberapa pihak lain.

Majlis ulang tahun pengharaman hamba abdi berlangsung di Elmina, Ghana dianggap amat signifikan. Elmina sebuah bandar kecil di pesisiran pantai negara itu merupakan lokasi bermulanya perdagangan hamba abdi secara sistematik dan besar-besaran.

Di bandar inilah Portugis yang merupakan pengasas pedagang hamba abdi kalangan negara-negara Eropah membina sebuah pos perniagaan hamba abdi trans atlantik yang pertama dan kekal pada tahun 1492.

Tahanan

Pos tersebut yang dikenali sebagai Elmina Castle merupakan tempat pemprosesan dan tahanan hamba abdi sebelum dihantar ke Eropah dan benua Amerika selama 450 tahun. Bangunan tersergam berwarna putih, dua tingkat siap dengan gereja dan pejabat serta kediaman gabenor jeneral.

Sementara bilik-bilik kurungan lelaki dan perempuan, bilik seksaan, dan pintu kecil mengarah ke laut yang dikenali the door of no return terletak di bahagian bawah bangunan. Itulah pintu akhir bagi hamba abdi sebelum berjalan bagi satu jarak kira-kira 50 ela ke kapal-kapal yang akan membawa mereka ke Eropah atau ke benua Amerika.

Elmina Castle merupakan satu struktur batu bata yang sangat kukuh terletak di atas bukit kecil. Ia merupakan satu lokasi yang amat strategik baik dari segi mempertahankan diri dari serangan atau mengawal hamba abdi dari melarikan diri.

Selain daripada laut, pos tersebut juga disediakan dengan terusan. Peluang melarikan diri adalah amat nipis.

Penulis pernah beberapa kali melawat Elmina Castle. Ia merupakan tempat pertama dilawati sebaik sahaja tiba di Ghana untuk memulakan tugas.

Ketika mengunjungi Elmina Castle perasaan sedih tidak dapat dibendung. Bilik kurungan yang hanya layak untuk seratus orang penuh sesak dengan hamba abdi. Akibatnya hamba abdi termasuk kanak-kanak kecil hanya boleh tidur sambil duduk. Mereka tidak dibenarkan keluar dari kurungan kecuali untuk mandi sekali sekala dan perjalanan terakhir sebelum memasuki kapal.

Hingga hari ini perigi yang digunakan 450 tahun lalu masih wujud dan boleh digunakan.

Buang air besar dan kecil serta makan semuanya dilakukan di dalam bilik kurungan. Bilik yang sempit dan dicampur dengan udara panas dan bau najis manusia menyebabkan ramai yang diserang penyakit. Jumlah sebenar yang mati di dalam castle tersebut tidaklah diketahui.

Cerita-cerita mengenai castle ini amat memilukan. Hamba abdi perempuan menjadi bahan untuk pihak berkuasa memuaskan nafsu. Mereka boleh memilih sesiapa saja yang mereka suka. Tidak ada yang berani membantah.

Kalau diamati the door of no return pertanyaan timbul bagaimanakah orangorang Afrika yang berbadan besar dapat meluluskan diri melalui pintu yang hanya muat untuk seorang. Apatah lagi ketika melalui pintu ini kaki dan tangan mereka dirantai. Ini membuktikan bahawa tubuh mereka menjadi begitu kurus.

Elmina Castle merupa satu testimoni kepada kekejaman manusia khususnya orang-orang Barat yang mengaku lebih tinggi tamadunnya daripada orang-orang berkulit warna.

Sejarah Elmina Castle banyak dipengaruhi perkembangan politik di kalangan negara-negara Eropah. Selepas Portugis, Belanda mengambil castle tersebut dan akhir sekali Britain. Paling penting bermulalah penjajahan Britain di Ghana.

Sepanjang 450 tahun dianggarkan seramai 11 hingga 60 juta orang hamba abdi dihantar ke Eropah dan benua Amerika. Jumlah sebenar masih menjadi perdebatan. Ini tidak termasuk antara 9 hingga 14 juta hamba abdi dari Afrika Timur yang dihantar ke negara-negara Arab oleh pedagang-pedagang Arab dan Afrika.

Beberapa buah negara Eropah terlibat di dalam perdagangan hamba abdi. Bagaimanapun, Britain, Portugis, Belanda, Sepanyol dan Perancis memainkan peranan yang cukup besar.

Sepanyol merupakan kuasa Barat yang pertama membawa hamba abdi ke benua Amerika iaitu pada tahun 1503. Sementara Britain mendominasikan perniagaan ini buat satu jangka masa yang lama selepas Sepanyol dan Belanda.

Selain dari Elmina terdapat satu lagi pos perniagaan hamba abdi di Senegal. Namun Elmina memainkan peranan yang cukup besar.

Hamba-hamba abdi ini ditawan dengan kerjasama orang-orang Afrika sendiri. Mereka bukan sahaja terdiri daripada orang-orang Ghana bahkan dari negara-negara lain di Afrika Barat seperti Mali, Burkina Fasso, Ivory Coast, Niger dan beberapa buah negara lain.

Hamba-hamba abdi ini terdiri daripada penduduk yang berfahaman animisme dan penduduk Islam. Ketika kuasa-kuasa Eropah tiba di Afrika Barat dan bermulanya perniagaan hamba abdi Islam telah pun berkembang di beberapa buah negara seperti Senegal, Burkina Fasso, Mali dan Niger.

Bagaimanapun, hamba-hamba abdi telah dipaksa menukar nama mengikut nama tuan-tuan mereka selain daripada dipaksa memeluk agama Kristian. Tidak hairanlah sejak beberapa tahun lalu ramai orang-orang Afrika-Amerika yang memeluk Islam menganggap mereka sebagai revert to Islam.

Ramai hamba-hamba abdi yang mati. Antaranya dalam perjalanan darat ke Elmina, ketika ditahan di Elmina Castle, dalam kapal ke Eropah dan benua Amerika dan ketika bekerja di ladang-ladang. Ini tidak termasuk yang dibunuh kerana menentang tuan-tuan mereka.

Banyak implikasi buruk terhadap benua Afrika ekoran dari perniagaan hamba abdi. Penduduk Afrika dikatakan beku buat beberapa ketika. Selain daripada kehilangan rakyatnya yang terbaik. Hamba abdi banyak mempengaruhi psikologi orang-orang Afrika.

Sebaliknya hamba abdi menjadikan negara-negara Eropah dan benua Amerika kaya-raya melalui tenaga buruh percuma.

Perdana Menteri Britain, Tony Blair meluahkan rasa kesal di atas kekejaman yang dilakukan terhadap orang Afrika. Bagaimanapun, beliau enggan memohon maaf terbuka. Mungkin bimbang akan implikasinya khususnya dalam soal pampasan.

Namun beberapa pemimpin Afrika mengakui kekejaman yang dilakukan adalah terlalu besar. Tiada jumlah wang yang boleh menebus kekejaman tersebut.

Read more!

Apabila Amerika gagal di Somalia

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 18 Jun 2006


PADA Rabu lalu, kumpulan pejuang sekular yang disokong Amerika Syarikat (AS) melalui Agensi Perisikan Pusat (CIA) berundur dari bandar terakhir yang dipegangnya di Jowhar, Somalia selatan apabila ia jatuh ke tangan gerakan Kesatuan Mahkamah Islam (UIC).

Ini bermakna kumpulan Islam itu menguasai keseluruhan Somalia selatan termasuk ibu negara Mogadishu dan Perikatan bagi Pemulihan Perdamaian dan Menentang Keganasan (APRCT) sokongan AS telah kalah.

Kerajaan rasmi pimpinan Presiden Abdullahi Yusuf yang berpangkalan di Baidoa hanya memerhatikan perkembangan itu tanpa memiliki keupayaan untuk menentangnya.

Sekali lagi AS gagal di Somalia dan UIC dijangka terus bergerak untuk menguasai keseluruhan wilayah negara itu.

Di AS, kritikan dilemparkan kepada CIA dan kerajaan disebabkan kegagalan strategik kerana gagal membendung UIC yang disifatkan mereka sebagai gerakan ala Taliban dan berbahaya kerana dibimbangi membenarkan pengganas Al-Qaeda bergerak di situ.

Sejak peristiwa 11 September dan menjadi sebahagian daripada perang menentang keganasan yang dilancarkan oleh Presiden George W. Bush, Somalia sememangnya menjadi sasarannya untuk menghalang ia menjadi lapangan baru bagi Al-Qaeda bergerak.

Oleh itu mereka menyokong kumpulan bersenjata di Somalia Selatan yang menentang UIC. Mereka yang menamakan APRCT itu diberi bantuan senjata dan wang tetapi ternyata gagal membendung UIC.

Kerajaan rasmi Somalia yang dianggap sebagai kerajaan peralihan hanya memiliki kumpulan militia kecil untuk mempertahankan diri. Pada asasnya Somalia adalah negara tanpa kerajaan dan kekosongan diisi oleh UIC.

Siapakah UIC? Tidakkah pelik sebuah gerakan bernama Mahkamah Islam atau mahkamah syariah? Adakah mereka benar-benar satu gerakan yang mahu menerapkan amalan seperti yang dilakukan oleh Taliban?

Pertamanya, Somalia adalah sebuah negara gagal dan tidak mempunyai kerajaan sejak kejatuhan Presiden Siad Barre pada tahun 1991. Kemasukan AS ke negara itu ditentang secara kuat, sesuatu yang jarang berlaku dan peristiwa Black Hawk Down terkenal sebagai tanda kegagalan tentera AS berhadapan dengan pejuang Somalia.

Tentera Malaysia bersama dengan tentera negara Islam lain pernah dihantar ke situ bagi mewujudkan keamanan ekoran kegagalan AS itu.

Somalia kemudian ditinggalkan kerana kumpulan- kumpulan yang bertarung di situ membahagi-bahagikan Somalia tanpa usaha untuk menubuhkan kerajaan berkesan. Malah kawasan di sebelah di utara diisytiharkan sebagai Somaliland dan berpisah daripada Mogadishu. Bagaimanapun, mereka tidak diiktiraf dunia.

AS pun tidak mahu mempedulikan keadaan negara itu hinggalah selepas peristiwa 11 September.

Di Somalia, tidak ada kumpulan Islam yang kuat untuk menguasai kesemua wilayah itu dan ia membuka ruang bagi kemasukan Al-Qaeda.

Dalam keadaan tanpa undang-undang, maka daerah-daerah tempatan mewujudkan kaedah menyusun peraturan dan undang-undang. Maka ia berkisar pada imam-imam dan masjid-masjid tempatan untuk wujudkan undang-undang.

Rujukan

Oleh kerana mereka beragama Islam dan hanya imam menjadi rujukan dalam keadaan kacau-bilau itu, maka muncullah mahkamah-mahkamah syariah.

Mewujudkan sistem mahkamah syariah adalah paling mudah kerana undang-undang sudah tergubal dan ia pula dihormati oleh penduduk tempatan.

Apabila mahkamah ini beroperasi, maka perlulah penguatkuasaan. Apabila ada penguat kuasa, sudah tentu ada pejuangnya. Maka muncul pula penentangnya.

Maka mahkamah-mahkamah ini berpakat dan bersatu bagi pelaksanaannya dan muncullah gerakan Mahkamah Syariah atau Kesatuan Mahkamah Islam.

Mendengar saja nama Syariah, maka AS pasti bimbang akan muncul pemerintahan Islam di Somalia dan seterusnya memberi perlindungan kepada Al-Qaeda seperti Afghanistan.

Maka sebab itu ia menyokong APRCT. Tetapi APRCT tidak mendapat sokongan rakyat. Sudah tentu dalam masyarakat Islam, mereka cenderung menyokong Mahkamah Syariah daripada kumpulan yang diketahui didukung oleh AS.

Walaupun media Barat menggambarkan gerakan Mahkamah Syariah ini seperti Taliban, tetapi keadaannya tidaklah serupa.

AS juga faham dan mereka tidak mahu campur tangan dalam hal-ehwal dalaman Somalia selagi ia tidak menjadi pangkalan Al-Qaeda yang mencabar keselamatan AS.

Washington hanya mahu gerakan Mahkamah Syariah ini bekerjasama dengan mereka bagi menyerahkan pengganas atau pejuang Al-Qaeda.

Terhadap Taliban dahulu, begitu juga. Andai kata, Taliban bekerjasama dengan AS dan menyerahkan Osama bin Laden dan Al-Qaeda, mungkin Kabul masih diperintah oleh kumpulan itu.

Tetapi adakah gerakan mahkamah Syariah itu berfahaman serupa dengan Taliban?

Satu petanda yang menunjukkan persamaan adalah munculnya satu laporan AFP yang menyatakan bahawa pihak berkuasa Mahkamah Syariah mengharamkan penduduk Mogadishu daripada menonton Piala Dunia.

Penduduk Mogadishu minggu lalu dikatakan melancarkan protes terhadap pengharaman itu. Timbalan Pengerusi Kesatuan Mahkamah Islam itu, Abdul Kadir Ali Omar mengingatkan bahawa mereka akan menutup pawagam, kedai video dengan menggambarkan bahawa filem barat dan televisyen adalah tidak bermoral.

Tindakan-tindakan seperti ini memang membimbangkan penduduk Somalia, umat Islam dan dunia Barat. Masing-masing dengan pandangan yang berbeza.

Penduduk Somalia sudah tentu bimbang terhadap kehidupan mereka yang lebih tertekan. Dunia Islam pula bimbang bahawa amalan Mahkamah Syariah Somalia ini akan memburukkan lagi imej agama Islam.

Bagaimana perlawanan Piala Dunia dianggap haram sedangkan Republik Islam Iran dan Arab Saudi turut mengirim pasukan bola sepak masing-masing?

Tetapi mungkin laporan itu hanyalah mengenai satu kejadian terpencil yang dilakukan oleh seorang pejuang Mahkamah Syariah dari jenis ekstrem daripada biasa.

Mungkin tidak semua pendukung Mahkamah Syariah bersifat begitu.

Pemimpin gerakan itu, Sheikh Sharif Sheikh Ahmed menyatakan bahawa beliau tidak akan melaksanakan undang-undang syariah kecuali diminta oleh penduduk tempatan.

Begitulah mulanya gerakan Mahkamah Syariah di Somalia. Ia ditubuhkan hanya apabila penduduk tempatan berhadapan dengan masalah pertikaian sesama sendiri. Jadi apabila timbul masalah jenayah umpamanya, maka dalam keadaan tidak wujud kerajaan, mereka terpaksa pergi mencari imam di masjid sebagai ketua kawasan tempatan bagi melaksanakan undang-undang, sudah tentu berasaskan pada syariah.

Isu

Undang-undang syariah boleh dikuatkuasakan di mana-mana saja dan bila-bila masa walaupun dalam ketiadaan kerajaan. Ia tidak perlu menunggu Parlimen untuk menggubalkan undang-undang dan kerajaan bagi penguatkuasaan.

Semuanya ada dalam al-Quran dan kitab-kitab muktabar yang hanya perlu imam yang faham tentang agama untuk melaksanakannya.

Bukan saja soal jenayah, masalah mengenai hubungan dalam keluarga juga boleh dirujuk kepada Mahkamah Syariah.

Jika kemudian daripada gerakan ini muncul sebuah kerajaan, iaitu daripada kekuatan bersenjata para pejuang Mahkamah Syariah, maka sistem ini kemudian tertakluk kepada institusi pemerintahan yang ditubuhkan.

Sememangnya tafsiran terhadap syariah bergantung kepada imam-imam dan disokong oleh pengikut-pengikutnya. Politik di antara mereka pasti berlaku. Tafsiran mereka pula bergantung pada di mana dan sedalam mana mereka mempelajari agama.

Jadi mengapakah mereka mengharamkan menonton Piala Dunia? Menurut laporan itu apa yang mereka haramkan bukan kerana bola sepak semata-mata tetapi apa yang ada di sekitarnya.

Piala Dunia berkait rapat dengan pengiklanan. Antara iklan yang ditayangkan ialah arak. Itulah yang menjadi isu bagi imam-imam itu.

Tetapi di seluruh dunia, perlawanan Piala Dunia amat berkait rapat dengan perjudian. Tetapi yang salah ialah judi dan arak, bukannya bermain bola sepak.

Sementara keganasan juga merupakan jenayah. Begitu juga dengan penjajahan, penindasan dan mengaut keuntungan secara melampau hingga meminggirkan orang miskin di seluruh dunia.

Read more!

Cabaran krisis Congo

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 9 Januari 2006


Empat puluh enam tahun lalu, Tanah Melayu baru tiga tahun mencapai kemerdekaan, Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman membuat satu keputusan besar bagi menunjukkan kepada dunia bahawa negara ini berhasrat untuk aktif dalam pentas antarabangsa dengan menjalankan tanggungjawabnya selaku ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Langkah untuk memberi sumbangan kepada PBB ini bukan saja hendak menunjukkan kepada dunia bahawa Tanah Melayu yang dikenali oleh badan dunia itu sebagai Malaya bukan saja mahu menjadi anggota pada nama saja tetapi juga mahu bergerak secara aktif dengan memberi sumbangan bererti.

Tanah Melayu pada tahun 1960 adalah sebuah negara lebih kecil daripada Malaysia hari ini. Pertahanan dan dasar luarnya masih berkait rapat dengan bekas penjajahnya Britain melalui mekanisme Komanwel.

Kedudukan ekonominya juga masih rendah. Malah Sri Lanka dan Filipina masa itu mempunyai kedudukan lebih baik.

Tetapi Tanah Melayu mempunyai sahabat-sahabat di peringkat antarabangsa. Selain daripada Britain dan negara-negara Komanwel lain, negara jiran Indonesia dan Thailand turut menyokong, mengiktiraf kemerdekaan Tanah Melayu dan seterusnya mengundi supaya negara ini menjadi anggota PBB.

Hanya negara yang merdeka diterima menjadi anggota PBB. Keanggotaan dalam PBB merupakan pengiktirafan dunia terhadap kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah negara.

Mana-mana negara yang menyertai PBB mestilah mendukung Piagam PBB di mana ia komited terhadap usaha memerdekakan tanah-tanah jajahan di seluruh dunia. Inilah antara hasil positif dari Perang Dunia Kedua yang dimenangi oleh pihak Berikat terdiri daripada dua kuasa pimpinan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet.

Washington mewakili negara-negara yang mengamalkan sistem pasaran bebas sementara Moscow adalah ketua blok komunis. Tetapi tanah-tanah jajahan berada pada tangan sekutu-sekutu AS seperti Britain, Perancis, Belanda dan Belgium.

Moscow memberi tekanan supaya tanah-tanah jajahan itu dimerdekakan dengan memberi sokongan secara moral dan material kepada gerakan kebangsaan di seluruh dunia.

Salah sebuah negara yang tersepit ini ialah tanah jajahan Belgium bernama Congo, negara ketiga paling luas Afrika. Ia berada di tengah-tengah benua itu, kaya dengan khazanah bumi.

Terdapat dua negara Congo di dunia. Congo yang besar beribu negarakan Leopoldville. Nama Leopold mengambil sempena Raja Belgium, Leopold II yang berjaya menjajah negara itu. Kini ia bernama Kinshasa. Maka rujukan kepada negara ini ialah Congo-Kinshasa. Nama rasminya ialah Republik Demokratik Congo.

Nama Congo berasal daripada nama Sungai Congo. Di tebing timur sungai ini terletak Kinshasa sementara bersetentangannya ialah bandar Brazzaville, ibu negara Congo yang lebih kecil, bekas tanah jajahan Perancis. Selain dikenali sebagai Congo-Brazzaville, nama rasminya ialah Republik Congo.

Membantu

Tetapi negara yang banyak masalah hingga ke hari ini ialah Congo besar itu. Dalam pilihan raya umum pertamanya pada 31 Mei 1960, gerakan kemerdekaan Congo pimpinan tokoh kiri Patrice Lumumba menang dan diisytiharkan sebagai Perdana Menteri. Republik Congo merdeka diisytiharkan pada 30 Jun 1960.

Pihak barat tidak berpuas hati dengan kemenangan Lumumba kerana beliau dipandang sebagai nasionalis kiri yang pro-komunis. Maka barat menyokong dan membantu golongan pemberontak melalui tentera Belgium yang masih bertapak di situ. Kekacauan pertama berlaku.

Tetapi Majlis Keselamatan PBB pada 9 Ogos 1960 mengarahkan tentera Belgium berundur untuk digantikan dengan tentera pengaman PBB. Badan dunia itu memanggil mana-mana negara anggota untuk menghantar tentera.

Tunku Abdul Rahman menyahut panggilan PBB itu. Buat pertama kalinya tentera negara ini dihantar keluar negara untuk menjadi pengaman. Askar Melayu Diraja telah dihantar ke sana. Anak-anak Melayu biasa yang tidak pernah termimpi untuk pergi ke luar negara ini buat kali menjejak kaki ke benua Afrika. Tunku menghantar mereka di Pelabuhan Klang (ketika itu bernama Port Swettenham) Mereka pergi dengan kapal dan belayar menuju Mombasa, pelabuhan Kenya sebelum diterbangkan ke Congo.

Maka di kalangan rakyat negara ini, Congo mula dikenali. Ada pelawak mengambil sempena nama negara itu apabila dia dikenali sebagai Alias Congo. Terdapat tentera yang pulang dan bersara dibenarkan tinggal di satu tempat di Cheras, Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Kampung Congo. Ia kini bernama Bandar Tun Razak.

Pihak pemberontak Congo yang mendapat sokongan barat berjaya menjatuhkan Lumumba. Bukan saja Lumumba dilucut jawatannya sebagai perdana menteri tetapi dibunuh pada Februari 1961. Pembunuhannya diratapi oleh penyokong-penyokong gerakan kiri di seluruh dunia. Ia turut menjadi tema sebuah sajak oleh Kassim Ahmad, yang disiarkan di Utusan Zaman dan kemudian dimasukkan ke dalam antologi Kemarau di Lembah.

Peperangan saudara bertambah sengit di Congo apabila Leopoldville dikuasai oleh kumpulan pro-Barat. Pada tahun 1964, golongan kiri menubuhkan Republik Rakyat di Stanleyville (kini Kisangani). Tetapi pada tahun 1965, pemberontak kiri telah kalah. Jeneral Joseph Mobutu yang kemudian dikenali sebagai Mobutu Sese Seko menjadi presiden. Beliau kemudian menjadi diktator dan menukar nama negaranya kepada Zaire.

Ketika Tanah Melayu dan kemudian Malaysia bertambah makmur, Zaire merosot kerana korupsi dan perang saudara.

Mobutu tumbang pada 1997, di mana pemberontak pimpinan Laurent Kabila berjaya menguasai Kinshasa dan menukar kembali nama negara itu kepada Congo.

Kini Congo terus bergelumang dalam peperangan saudara dengan negara-negara jiran, Rwanda dan Uganda membantu pihak pemberontak. Kerajaan pula ditolong oleh Angola, Namibia dan Zimbabwe.

Jumaat lalu, tinjauan daripada jurnal Lancet beribu pejabat di London mengisytiharkan bahawa konflik kongo merupakan krisis kemanusiaan paling dahsyat di dunia sejak 60 tahun lalu.

Bantuan

Perang dari tahun 1998 hingga 2003 yang telah mengorbankan hampir empat juta orang itu menuntut supaya lebih banyak bantuan disalurkan dengan usaha meningkatkan keselamatan kepada rakyat.

Buat masa ini terdapat 17,000 anggota pasukan keselamatan PBB yang berusaha mewujudkan perdamaian di situ. Tetapi bagi Pengarah Kesihatan Jawatankuasa Penyelamatan Antarabangsa, Richard Brennan dalam laporannya kepada Reuters, bantuan dunia jauh daripada mencukupi untuk menyelamatkan nyawa di negara malang itu.

Sejak mengenali tamadun, rakyat Congo tidak pernah mengecapi kestabilan. Bermula dengan penjajahan Belgium, perjuangan kemerdekaan, kediktatoran selepas kemerdekaan dan kini, apabila perang saudara terus berlaku.

Dari segi menghadapi penyakit, Congo pernah mengalami wabak virus ngeri Ebola yang tiba-tiba muncul dan membunuh banyak orang, dan berakhir dengan begitu saja.

Namun begitu, dalam konteks serantau, Congo hanya sebahagian daripada konflik maut yang berterusan di benua itu. Pada masa ini kebuluran melalui konflik terus berlaku di Sudan, Eritrea, Somalia dan Habsyah.

Mungkin pada tahun 1960 ketika Congo mencapai kemerdekaan, harapan rakyat dan dunia kepada kemakmurannya adalah tinggi. Setelah 46 tahun, apa yang termampu adalah usaha tetapi tanpa harapan.

Read more!

Ceritera duka berajakan Mswati III

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 20 Februari 2005


KETIKA negaranya diancam kebuluran, kemiskinan dan penyakit AIDS yang sangat serius, rajanya terus dengan kegemaran yang diwarisi daripada ayahnya; kahwin baru setiap tahun. Kini raja itu berkahwin dengan isteri ke-13 berusia 16 tahun.

Ketika rakyat hidup melarat dan papa kedana, rajanya hidup mewah. Wang negara digunakan untuk membina 12 istana untuk isteri-isterinya sebelum ini.

Ironiknya tahun lalu Bank Dunia meluluskan pinjaman AS$113 juta untuk 19 projek dalam sektor-sektor utama. Tetapi gaya hidup si raja ini seolah-olah dia yang memberi pinjaman, bukan menerima pinjaman untuk rakyatnya hidup.

Barangkali ini disebabkan oleh sistem monarki yang raja bukan dipilih tetapi raja memilih dirinya sendiri. Lalu dia peduli apa dengan protes atau malah tidak ada ruang "untuk undi tidak percaya'' bagi menurunkan dia dari kayangannya.

Raja yang mendapat pendidikan British dan rakyatnya yang buta huruf memudahkan hasil negara diguna untuk tujuan peribadi. Padahal di persada dunia, negara ini macam tidak wujud di atas peta, ia hanya diingati sebagai sebuah negara yang mempunyai raja yang paling boros.

Demikianlah ceritera duka sebuah negara di Afrika bernama Swaziland. Negara ini kini diperintah oleh Raja Mswati III yang berusia 36 tahun. Tetapi gaya hidupnya seolah-olah dia memerintah Switzerland. Cerita malang rakyat Swaziland bukan rekaan.

Tetapi mereka tidak mempunyai suara dalam sistem monarki total ini. Negara yang mengamalkan sistem monarki terakhir di Afrika ini berdepan dengan krisis kemanusiaan yang paling serius.

Statistik mengenai Swaziland tidak ada suatu pun yang menggembirakan. Jauh sekali untuk dibanggakan. Ia membuktikan monarki total adalah sistem yang korup dan muflis. Monarki yang menolak pendemokrasian kuasa dan suara ternyata hanya akan melahirkan negara seperti Swaziland ini.

Rakyat kehilangan suara. Apabila kebencian dan kemarahan memuncak mereka hanya mampu keluar beramai-ramai ke jalan-jalan raya sambil memekik supaya raja yang korup itu sedar masalah mereka. Tetapi raja ini tidak peduli protes begitu.

Cuba lihat statistik tentang Swaziland; 37 peratus daripada 1.1 juta rakyatnya menghidap AIDS, 40 peratus rakyat menganggur, 70 peratus daripada rakyat pula berpendapatan RM3.80 sehari.

Sementara itu menurut Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) krisis kesihatan yang teruk mencatatkan 60 peratus daripada kanak-kanak di Swaziland mengalami masalah kerosakan otak yang disebabkan oleh kekurangan vitamin. Kematian kanak-kanak disebabkan penyakit ini mencatatkan 600 orang setiap tahun.

Melihat statistik ini agak sukar juga untuk mempercayai bahawa raja yang memerintah negara miskin ini hidup ultramewah selain gemar mengumpul isteri. Tetapi inilah yang berlaku di suatu sudut dunia yang agak terlindung daripada pandangan mata.

Sikap buruk

Negara ini tersorok kerana kemiskinan, diskriminasi warna kulit oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) serta suara pemimpinnya yang tidak didengar di pentas antarabangsa. Apabila suara pemimpin tidak didengar di pentas dunia ditambah dengan sikap buruk yang melampau, kesannya adalah seperti di Swaziland sekarang.

Dalam sebahagian besar media Barat, Swaziland hanya sinonim dengan hal-hal buruk yang sekali gus membuatkan masyarakat dunia membenci mereka. Sebenarnya semua ini bukan saja kerana kemiskinan tetapi sistem yang menutup pendemokrasian dalam banyak hal.

Raja Mswati III diibaratkan badut kepada orang luar. Dia menjadi bahan ketawa kerana mempunyai minat aneh mengumpul isteri. Khabarnya memang itulah tradisi monarki Swaziland. Kerana AIDS merupakan sesuatu yang biasa di Swaziland, maka bakal isteri ke-13 Raja Mswati III juga dikenakan ujian kesihatan.

Pada dekad 90-an, golongan pelajar dan buruh pernah melancarkan demonstrasi menuntut diadakan reformasi; menukar daripada monarki total kepada demokrasi. Tetapi usaha reformasi ini gagal. Dalam perlembagaan Swaziland, semua parti politik diharamkan dan yang ada cuma persatuan politik seperti Ngwane National Liberatory Congress (NNLC), Imbokodvo National Movement (INM) dan People's United Democratic Movement (PUDEMO).

Gerakan ke arah memperjuangkan sistem raja berperlembagaan telah lama tetapi selalu menemui jalan buntu. Ini kerana raja yang ada tidak memberi laluan kepada sistem demokrasi mengambil alih sistem monarki yang ada sekarang.

Boros dan pembaziran Raja Mswati III sangat luar biasa. Lihat saja bagaimana rancangannya untuk membeli sebuah jet peribadi berharga lebih 28 juta pound. Tetapi akhirnya dia akur kepada desakan rakyat dan membatalkan pembelian itu. Tetapi bayaran muka 2.8 juta pound hangus begitu saja. Bayangkan nilai 28 juta pound bagi sebuah negara yang 70 peratus rakyatnya berpendapatan RM3.80 sehari?

Tetapi rancangan membina 12 istana yang menelan belanja 5.6 juta pound diteruskan ketika negara dibayangi kebuluran dan kemiskinan yang paling serius.

Di sebalik kemiskinan rakyat, pembaziran Raja Mswati III di luar hukum akal yang logik. Untuk apalah kereta mewah berharga AS$630,000, mengundang 10,000 tetamu untuk meraikan hari lahirnya ke-36 yang menelan belanja AS$800,000? Ini belum lagi membeli 10 kereta mewah BMW lima siri kepada isteri-isterinya.

Pencabulan hak asasi manusia berlaku sewenang-wenang di Swaziland. Untuk acara memilih isteri Raja Mswati III misalnya, pada setiap tahun dianjurkan acara ritual Tarian Reed yang disertai oleh gadis-gadis belasan tahun yang berpakaian separuh bogel. Mereka dipaksa menarikan tarian erotik di depan Raja Mswati III dan pengawal peribadi raja akan mengambil gadis itu tanpa persetujuan keluarga untuk dihidangkan kepada raja.

Untuk memilih isteri ke-13, sebanyak 12 gadis yang bertaraf ratu cantik Swaziland membuat persembahan catwalk di depan Raja Mswati III. Raja yang bergelar singa itu memilih Ratu Remaja Swaziland berusia 16 tahun, Nothamdo Dube.

Kerana bimbang gadis ini dijangkiti HIV, calon isteri ini juga dibuat ujian dan didapati negatif HIV. Kegilaan berkahwin si raja ini semacam mahu mengatasi ayahnya yang meninggal dunia tahun lalu yang mempunyai 70 isteri.

Pihak pejuang hak asasi manusia meminta Raja Mswati puas dengan 13 isterinya sekarang sekalipun tradisi kaum Swazi tidak mengehadkan jumlah isteri bagi raja mereka.

Moral kisahnya, kemiskinan dan kemunduran selalunya menutup ruang rakyat berfikir jauh tentang hari esok. Maka akan wujud oportunis yang mengambil kesempatan untuk hidup mewah memperkudakan rakyat yang sudah malas berfikir tentang hidup dan kehidupan. Salah satunya Raja Mswati III.

Read more!

Lebih 50,000 dibunuh di Darfur dan sejuta jadi pelarian - Bantuan AS dan PBB ada muslihat

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 22 Ogos 2004


APAKAH yang sebenarnya berlaku di Darfur, Sudan hingga mengakibatkan 50,000 nyawa terkorban dan lebih sejuta lagi rakyat terpaksa meninggalkan kampung halaman masing-masing?

Sejak awal tahun ini Darfur tiba-tiba tercatat terang dalam peta dunia. Ia tercatat kerana mengikut media Barat di sini berlaku pembersihan etnik dan krisis kemanusiaan yang paling hebat. Benarkah wujud pembersihan etnik seperti yang berlaku di Bosnia?

Gambaran kekejaman di Bosnia melekat di fikiran sesiapa saja. Tidak kira Barat atau Timur, Bosnia adalah sejarah "Nazi moden'' yang meninggalkan trauma panjang. Lalu apabila Darfur dikaitkan dengan wujudnya pembersihan etnik, berita militan Janjaweed membunuh dan memperkosa di media Barat, dunia segera mempercayainya.

Sama ada benar atau sebaliknya wujud pembersihan etnik, bukan persoalannya. Media Barat dan aktivis hak asasi manusia yang pro-Amerika Syarikat (AS) sudah berjaya meyakini dunia dengan sokongan sebuah badan dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

AS berminat untuk campur tangan dalam hal dalaman Sudan. Hasrat ini dilakukan dengan memperalatkan PBB untuk menggunakan resolusi Majlis Keselamatan PBB ke atas Sudan. AS bukan mahu memberhentikan pembunuhan yang dilakukan oleh militan Arab, Janjaweed ke atas orang kulit hitam. Pecahan etnik di Sudan ialah 52 peratus etnik kulit hitam, 39 peratus Arab, 6 peratus Beja dan 2 peratus orang asing. Darfur bagi AS mempunyai potensi ekonomi sekiranya Sudan menjadi Iraq.

Orang awam terus dibunuh, wanita dan kanak-kanak diperkosa. Presiden Omar Al Bashir pula bukanlah seorang pemimpin yang baik. Dia merampas kuasa, memerintah dengan kuku besi dan kini menggunakan militan Arab untuk mencetuskan huru-hara di Darfur. Omar Al Bashir mempunyai musuh politik di Darfur.

Bekas Speaker Parlimen Sudan, Hassan Al Tarubi mempunyai pengaruh yang hebat malah cuba merampas kuasa daripada Omar Al Bashir. Orang awam yang dikorbankan di Darfur adalah kesan sengketa politik dan strategi untuk melumpuhkan musuh politik apabila Darfur menjadi medan perang.

Bagaimanapun pertelingkahan etnik di Darfur sebenarnya bukan perkara baru. Malah bukan saja Darfur, Sudan sendiri mencatatkan rekod perang saudara yang paling panjang iaitu 17 tahun.

Tetapi krisis politik yang melibatkan militan Arab, Janjaweed, ia membuka laluan kepada kuasa luar untuk menjadi dalang yang mengeksploitasi keadaan runcing ini. Media dan aktivis hak asasi manusia khususnya di Amerika Syarikat (AS) dengan tiba-tiba menjadi begitu "manusia'' dan memperjuangkan kemanusiaan.

Kalau merujuk kepada para aktivis hak asasi manusia yang condong kepada AS, Darfur mesti diselamatkan. Kuasa besar dalam konteks ini tentulah AS dan Britain dan mereka wajar memainkan peranan untuk mengembalikan kemanusiaan di Darfur. Bunyinya memang manis dan sangat "kemanusiaan''.

Membaca krisis politik dalaman Sudan sesulit memahami kepelbagaian etnik yang mempunyai perjuangan berbeza di negara itu. Kerana itu sejarah Sudan dipenuhi dengan perang saudara.

Sementara AS pula selalu masuk dan membuat kacau di negara lain dengan alasan memperjuangkan kemanusiaan. Modus operandi ini digunakan di banyak negara di mana AS mempunyai kepentingan tertentu. Contohnya di Afghanistan. Motifnya menumbangkan rejim pemerintah yang anti-AS. Contoh terbaru di Iraq. Motifnya sama juga. Iraq mempunyai sumber minyak di bawah rejim Saddam Hussein anti-AS. Semua yang dilakukan oleh AS dengan tentera sekutunya menumpang krisis dalaman negara berkenaan. Apabila ada krisis dalaman, ada pula kekacauan. Lalu AS boleh campur tangan demi "untuk memperjuangkan kemanusiaan''.

Darfur yang terletak di selatan Sudan adalah kawasan yang subur dan kaya dengan hasil minyak. Darfur mengikut sejarah adalah sebuah negara Islam yang total tetapi menyertai Sudan pada 1916.

Bagi politik dalaman, Darfur menjadi kebimbangan Omar Al Bashir. Lalu membawa penglibatan Arab untuk menghalau rakyat ke Chad yang bersempadan dengan Sudan.

Kerana itu sejak awal tahun ini, Darfur meninggalkan mimpi yang paling ngeri kepada penghuni yang mendiami kawasan ini. Krisis politik dalaman Sudan memang buruk. Dua kelompok pemberontak utama Sudan, Tentera Pembebasan Sudan (SLA) dan Pergerakan Keadilan dan Kesaksamaan (JEM) menjadi musuh rejim pemerintah. Sementara militan Arab pula difahamkan mahu membalas dendam terhadap kumpulan etnik Afrika yang berkulit hitam.

Penglibatan AS di Darfur sangat licik. AS dan Britain mencampuri hal ehwal dalaman Sudan dengan tiket PBB yang ternyata telah lama diamerikakan. Maka yang kelihatan di Darfur bukanlah AS atau Britain tetapi PBB. Di dunia ini kalau tidak yakin kepada PBB, kepada siapa lagi biarpun semua tahu PBB adalah AS?

PBB pula mempunyai tiket "pembersihan etnik'' yang membolehkan badan dunia itu campur tangan dalam hal ehwal dalam negara Sudan.

Darfur atau dalam kata lain Sudan akan menjadi Iraq kedua. Negara yang merdeka daripada Britain pada 1956 ini akan dijajah oleh AS dengan modus operandi yang dilakukan di Iraq.

Dunia tidak mungkin melupakan tragedi krisis kemanusiaan yang paling besar di Bosnia. Tragedi di Bosnia adalah yang kedua selepas pembersihan etnik Yahudi yang dilakukan oleh tentera Nazi di dalam Perang Dunia Kedua dulu. Tetapi apakah yang dilakukan oleh PBB untuk menghalang orang awam Bosnia daripada disembelih oleh Serbia?

Adakah Majlis Keselamatan PBB bertindak pantas ke Bosnia seperti mereka memberikan tempoh 30 hari kepada rejim Omar Al Bashir untuk mengamankan Darfur? Penglibatan Majlis Keselamatan PBB dalam krisis di Darfur mempunyai helah untuk memberi laluan kepada AS dan Britain ke Sudan.

Pada Januari lalu saja dianggarkan 10,000 pelarian dari Darfur menyeberangi sempadan ke Chad. Mereka meninggalkan kampung halaman apabila militan Janjaweed mengganas membunuh dan memperkosa wanita dan kanak-kanak.

Sudan kini diancam kebuluran dan penyebaran wabak penyakit yang tidak terkawal lagi. Semua ini disebabkan oleh tahap kesihatan yang paling rendah di kem-kem pelarian. Selain 50,000 telah mati dibunuh, dianggarkan lebih sejuta orang lagi akan menghadapi kebuluran.

Dalam keadaan sekarang dianggarkan lebih sejuta orang akan mati kebuluran. Bayangkan apabila Majlis Keselamatan PBB mengenakan segala macam sekatan ke atas Sudan? Semua senario krisis kemanusiaan yang dicetuskan oleh AS ini telah berlaku di Iraq. Sebuah negara yang sekaya seperti Iraq akhirnya kebuluran, apatah lagi Sudan yang terkenal dengan kemiskinan?

Majlis Keselamatan PBB telah memberi tempoh 30 hari kepada Sudan untuk melucutkan senjata militan Janjaweed. Ini bermakna sekiranya Sudan gagal mematuhi ketetapan majlis itu, Sudan berdepan dengan sekatan diplomatik dan ekonomi.

Rejim pemerintah Sudan menganggap Majlis Keselamatan PBB telah melancarkan perang ke atas Sudan. Semua ini mencari helah dengan menggunakan kuasa-kuasa yang dimiliki oleh Majlis Keselamatan untuk memporak- perandakan negara yang terkenal dengan krisis politik dalaman itu.

Omar Al Bashir khabarnya tidak akan tunduk kepada tekanan AS menerusi Majlis Keselamatan PBB ke atas Sudan. Sementara itu sebuah akhbar Britain, The Telegraph melaporkan bahawa pengintip dan komando AS sudah berada di Sudan untuk memburu pengganas yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.

Malangnya menjadi rakyat di sebuah negara yang miskin lagi kucar-kacir. Sudan dihuni oleh 39.1 juta orang dengan pendapatan negara hanya AS$1.4 bilion. Perbelanjaan negara pula AS$1.6 bilion. Sudan mempunyai hasil minyak tetapi kemiskinan membuatkan hasil itu tidak mungkin dimanfaatkan sebanyak yang mungkin.

Kuasa-kuasa besar seperti AS dan Britain sebenarnya bukan bersimpati kepada mereka. Sebaliknya mencari peluang untuk menguasai Darfur serta telaga minyaknya secara sah dengan keizinan PBB. Inilah yang berlaku di Sudan. Pembunuhan yang dilakukan oleh pihak militan dan ancaman penyakit yang membawa kepada maut sentiasa menunggu mereka.

Bayangkan selama 17 tahun Sudan terperangkap dalam perang saudara, sebanyak 1.9 juta orang kehilangan nyawa terutama di selatan dan tengah Sudan. Mengikut perkiraan seorang daripada lima orang mati dalam perang saudara sebelum ini. Sudan barangkali hanya boleh berbangga apabila negara itu mencatatkan rekod perang saudara yang paling lama di dunia.

Demikianlah apabila pemimpin berkuku besi, naik takhta dengan rampasan kuasa dan dia sebenarnya tidak pernah kasih dan sayang kepada rakyatnya. Rakyat bagi orang seperti Omar Al Bashir tidak lebih biri-biri yang menyumbangkan kekayaan kepada dia.

Sekiranya Sudan kecundang di tangan AS, rakyat jelata akan terus menderita. Nasib rakyat tidak akan berubah apa-apa. Mereka akan terus jadi pelarian, mangsa pembunuhan dan kekayaan negara menjadi milik orang.

Read more!