Jangan memalukan gadis Kelantan

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 27 Jun 2004


GRO adalah singkatan daripada Guest Relation Officer. Dalam bahasa Melayu ialah Pegawai Perhubungan Pelanggan. Dalam bahasa yang semua orang faham GRO adalah pekerja seks. Sama ada bahasa Inggeris atau bahasa Melayu GRO disekutukan dengan kegiatan memperagakan dan menjual diri untuk mendapatkan wang. Maknanya GRO bukan saja satu kerjaya yang tidak mulia malah sangat menjijikkan.

Kalau ada pihak mahu mempertahankan GRO bekerja mengikut aturan hidup yang betul dan mencari rezeki halal, kita boleh bahas pada forum yang lain. Tetapi untuk kali ini GRO hanya disamaertikan dengan pelacur yang menjual diri untuk mendapatkan wang. Simpan dulu hujah anda kalau anda menemui ada GRO yang baik dan mulia.

Apabila istilah GRO membawa pengertian yang tidak baik sekali gus boleh memalukan kalangan wanita. Maka hujah mengenai GRO wajar berhati-hati. Dakwaan mesti disokong dengan fakta-fakta supaya tidak kelihatan ada unsur prejudis, retorik dan hujah yang dangkal.

Kesan psikologi, trauma dan dimalukan bukan dirasai oleh GRO. Sebaliknya wanita lain yang menanggung kesan psikologi ini. Apalagi kalau spesifik kepada kelompok tertentu. Maka atas alasan apa sekalipun, hujah mesti berasaskan fakta. Malah bukan saja fakta, kredibiliti pihak yang mengeluarkan fakta juga sangat penting.

Kerana itu apabila Penasihat Majlis Belia Kelantan (MBK) Mustapa Yaacob mendakwa 13,000 gadis Kelantan jadi GRO di Lembah Klang, seluruh negara menjadi gempar. Mereka terkejut, kecewa dan sekali gus menyoal kembali, benarkah semua itu?

Gadis itu tentulah gadis Melayu. Lagilah menggemparkan. Orang tertanya-tanya begitu teruk sangatkah gadis Kelantan? Gadis Melayu terutama dari Kelantan tertekan dengan isu ini. Malangnya mereka ini tidak boleh mempertahankan diri daripada prejudis dan persepsi serong orang sekeliling.

Mustapa atau siapa saja boleh mendakwa bukan saja 13,000 malah 30,000 sekalipun. Tetapi mereka mesti bertanggungjawab dan mempertahankan dengan statistik yang sah. Kalau benar 13,000 gadis Kelantan jadi GRO di Lembah Klang, sedih atau kecewa macam mana sekalipun kita terpaksa terima kenyataan ini. Tetapi sampai sekarang, statistik yang didedahkan secara terbuka di Wacana Ekonomi dan Sosial Negeri Kelantan itu tidak dipertahankan dengan fakta.

Beberapa pihak mempersoalkan kebenaran dakwaan Mustapa. Mereka tanya dari mana Mustapa dapat statistik itu? Tetapi malangnya sehingga kini tidak ada hujah dan fakta yang meyakinkan.

Dakwaan bahawa 13,000 gadis Kelantan jadi GRO sangat serius. Sekalipun barangkali statistik ini dimanfaatkan untuk menggambarkan ketiadaan peluang pekerjaan di Kelantan, ia tetap memberikan kesan yang buruk kepada aspek moral dan juga sosial.

Ini boleh dilihat sebagai memberikan satu perspektif moral yang rendah kepada wanita. Dalam erti kata lain, wanita Melayu - Islam sanggup menjual maruah untuk mendapatkan wang. Bukanlah tidak ada yang melakukan pekerjaan itu. Tetapi soalnya kesan menjadi lebih besar dengan statistik yang luar biasa itu.

Daripada satu aspek, Mustapa mungkin mendapat keuntungan politik untuk memberikan gambaran bahawa kerajaan Kelantan pimpinan Pas gagal memberikan kemewahan kepada rakyat. Malah dakwaan ini juga mengajak khalayak melihat dasar-dasar kerajaan negeri yang gagal hingga 13,000 gadis sanggup jadi GRO.

Tetapi kita kena realistik bahawa keuntungan di segi politik tidak selalunya memberikan keuntungan jangka panjang. Dalam konteks 13,000 gadis Kelantan ini kesannya lebih memalukan golongan wanita. Malah lebih mendukacitakan lagi apabila semua gadis Kelantan menjadi bahan jenaka kerana "rakan-rakan'' mereka yang ke Lembah Klang jadi GRO.

Percayalah trauma ini bukan kecil. Golongan yang menjadi mangsa jenaka hitam ini menjadi pemarah kerana mereka semacam kehilangan keadilan sosial. Gadis Kelantan dilihat secara rambang sebagai murah dan materialistik. Tentu saja ini sangat tidak adil kepada mereka.

Berapa statistik peluang pekerjaan yang diwujudkan oleh kerajaan Kelantan dan berapa pula statistik penganggur di Kelantan? Apabila isu sesensitif ini dilontarkan tanpa hujah yang kukuh, kredibiliti individu yang memperkatakannya juga terjejas. Bagaimanapun kita tidak pasti adakah Mustapa sengaja menyembunyikan sumber, statistik dan hujah lain berkaitan isu 13,000 gadis Kelantan ini.

Secara mudah, kalau statistik menunjukkan 13,000 gadis Kelantan menjadi GRO, ini bermakna 13,000 itu telah diberkas oleh pihak berkuasa. Selalunya setelah diberkas oleh pihak berkuasa, butir-butir diri direkodkan oleh pihak berkuasa. Mustahil kita boleh membilang mereka yang jadi GRO dan tahu pula dari Kelantan tanpa penglibatan pihak berkuasa. Soalnya sekarang pihak berkuasa itu siapa?

Menurut statistik tangkapan maksiat di Kuala Lumpur oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun lalu ialah 1,173 tangkapan. Sementara tahun ini sehingga April lalu ialah 393 tangkapan. Statistik 1,173 itu belum dipecahkan mengikut kaum dan tentunya penglibatan gadis Melayu sebagai GRO tidak sampai 1,173 orang.

Cuba lihat statistik pelacur di bawah umur di seluruh negara. Tahun 2000 sebanyak 373 orang dan tahun 2002 sebanyak 175 orang. Semua mereka ini diselamatkan oleh pihak berkuasa dan statistik ini didapati selepas menahan gadis-gadis terbabit.

Maknanya statistik yang tidak terbabit dalam tangkapan oleh pihak berkuasa tidak ada siapa yang tahu. Maka kerana itu kita boleh beranggapan 13,000 gadis Kelantan itu sudah ditahan oleh pihak berkuasa. Tanda tanya besar kalau tidak ada pihak berkuasa yang tampil mengaku statistik itu wujud dan betul. Kalau benar mereka kena tampil menjernihkan kekeruhan ini.

Tetapi masih jadi persoalan, misalnya pekerja seks (semua kaum) yang ditahan di Kuala Lumpur tahun lalu hanya 1,173. Bagaimana dengan dakwaan 13,000 gadis Kelantan jadi GRO di Kuala Lumpur? Adakah ini tidak termasuk dalam statistik yang dikeluarkan oleh pihak polis? Kalau bukan polis, siapa pula?

Kita juga mahu tahu adakah 13,000 orang gadis Kelantan jadi GRO itu dikira dalam jangka masa bila? Adakah 13,000 itu dalam setahun, sepuluh tahun atau sejak negara ini wujud? Kita percaya Mustapa sangat yakin dengan statistik itu. Buktinya beliau membuat spesifik bahawa 13,000 gadis itu kini berada di Lembah Klang dan bukan di Johor Bahru, Ipoh atau tempat-tempat lain.

Apabila ada elemen-elemen "sangat pasti'' ini, kita pula mempunyai kewajaran untuk mempersoalkan pihak berkuasa kenapa tidak membendung gejala sosial yang nazak ini? Ini mengalih tumpuan daripada mengkritik kerajaan Kelantan kepada mendedahkan kegagalan pihak berkuasa seperti polis, pihak berkuasa tempatan (di Kuala Lumpur) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Malangnya statistik Mustapa sangat bercanggah dengan statistik oleh PDRM iaitu pekerja seks Melayu di Kuala Lumpur yang ditahan sejak 1998 hingga 2003 ialah 274 orang, Cina 283 orang dan India 41 orang. Kalau diperincikan lagi, tahun 2001 sebanyak 77 orang dan tahun 2003 hanya enam orang.

Pegawai Turus Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat Kuala Lumpur (D7), Deputi Supritenden Azhar Hamzah memberitahu majalah MASSA, kebanyakan GRO yang ditangkap adalah daripada golongan ibu tunggal, janda dan orang susah.

Berdasarkan kenyataan itu, maka kita boleh menganggap terjebaknya wanita Melayu sebagai GRO kerana desakan hidup tidak seperti dakwaan Mustapa mereka menjadi GRO kerana kemiskinan.

MASSA juga melaporkan statistik oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 2000 mengatakan di negara ini terdapat 142,000 pelacur dan 10,000 daripadanya bergiat di Kuala Lumpur. Bagaimanapun bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Tan Sri Zaleha Ismail memberitahu agensi berita AP tahun 1998, kerajaan tidak mempunyai data terperinci mengenai pelacur atau GRO. Ini kerana sukar untuk mendapatkan statistik secara sukarela oleh pekerja-pekerja seks di negara ini. Maknanya statistik direkodkan hasil daripada tangkapan.

Sebenarnya tidak ada siapa pun yang menafikan penglibatan wanita Melayu sebagai pekerja seks di negara ini. Ia memang wujud. Tetapi usaha membanteras memerlukan pendekatan yang bijaksana, bertanggungjawab dan berniat murni.

Read more!

Antara festival dan mimpi filem Malaysia

Oleh: Ku Seman Ku Hussain (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 26 Jun 2004


Untuk apa sesebuah festival filem diadakan? Untuk bersuka ria dalam suasana pesta, mengagih-agihkan trofi atau menilai pencapaian pada tahun yang sama? Sewajarnya bagi iklim penghayatan seni yang nipis negara ini, festival filem wajar didukung oleh ketiga-tiga perkara itu.

Sebenarnya di negara luar, festival filem adalah acara penghayatan seni.

Festival filem akan dimuatkan dengan forum, diskusi yang topiknya serius selain menayangkan filem-filem pelbagai genre. Tujuannya menghayati dan menghargai karya seni yang dihasilkan.

Festival filem penting bagi sesebuah negara yang mempunyai aktiviti pembikinan filem. Ia boleh saja dianggap sebagai `kenduri' yang diusahakan oleh warga karyawan filem untuk mereka sendiri.

Elemen `kenduri' dalam masyarakat Melayu ini juga wajar ada dalam festival filem tempatan.

Tujuannya untuk melupakan sementara kekangan birokrasi, protokol dan soal remeh-temeh yang selalu menjadi perkara penting dalam birokrasi.

Tetapi nampaknya kita belum bersedia untuk menjadikan festival filem sebagai kenduri, sambil bersuka ria, bertegur sapa, kita menilai hasil yang dituai pada tahun yang sama.

Festival Filem Malaysia (FFM) yang masuk kali ke-17 malam ini tidak meminjam konsep di atas. FFM sejak dulu lagi meminjam konsep Anugerah Academy yang kelihatan lebih kemilau berbanding acara kenduri.

Dalam direktori festival, Festival Filem Cannes dianggap lebih berprestij. Filem-filem yang dinobatkan oleh Festival Filem Cannes jauh lebih hebat dan kontroversi berbanding Anugerah Academy di Amerika Syarikat (AS).

Sejak 1929, Anugerah Academy memang merangka konsep yang gemerlapan dengan bintang-bintang. Di atas pentas, pemberi trofi silih berganti dan mereka adalah kalangan celebrity Hollywood. Tetapi Festival Filem Cannes memilih konsep yang lebih ringkas dan padat.

Bagi warga filem di dunia, mereka lebih menghormati Festival Filem Cannes berbanding Anugerah Academy. Tetapi kalangan masyarakat tempatan kita, mereka lebih mengenali Anugerah Academy yang selalu disebut Anugerah Oscar.

Lalu tidak hairanlah kalau di sini Oscar lebih popular daripada Anugerah Palm d'Or dari Cannes.

Malam ini adalah acara kemuncak FFM-17 yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Malam ini juga akan diumumkan penerima beberapa anugerah utama seperti Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Aktor Terbaik dan Aktres Terbaik.

Setakat ini belum diketahui siapa yang akan menjulang trofi kemenangan. Cuma yang pasti malam ini tetamu di Dewan Merdeka akan sesak nafas dengan ucapan terima kasih yang berjela-jela oleh pemenang.

Malah tetamu juga kena bersedia untuk merasa rimas dengan pertanyaan "Apa khabar?'' oleh pasangan artis yang akan menyampaikan trofi. Itulah dialog yang paling banyak disebut sejak FFM-1 dan mungkin juga yang ke-17 ini.

Mungkinkah ucapan di atas pentas perlu diskripkan? Kita boleh sama-sama memikirkan kewajarannya setelah artis-artis kita `kehilangan' kata-kata yang tajam dan bernas di pentas.

Dari segi pertandingan, kali ini memperlihatkan persaingan sengit. Antara 23 filem yang bertanding, ada tiga atau empat filem yang dihasilkan dengan baik.

Sekiranya filem-filem ini tewas di gelanggang sendiri, bintangnya mungkin menyinar di festival lain di luar negara.

Secara umum, biarpun selepas 23 tahun bidang perfileman diberi perhatian oleh kerajaan dengan penubuhan Finas, kilauan yang boleh membanggakan kita masih jauh. Kalau filem-filem yang menyertai FFM-17 dijadikan indikator, yang bergerak hanya waktu bukan mutu karya.

Acuan pemikiran filem-filem yang menyertai FFM-1 dua dekad lalu masih wujud dalam filem-filem yang menyertai FFM-17 ini.

Maknanya selepas dua dekad kita tidak menyaksikan perubahan yang ketara sama ada dari segi mutu dan jumlah filem yang dihasilkan.

Malam ini selepas Dewan Merdeka ditinggalkan dengan cebisan-cebisan perada (kertas kilat) berkilau di pentas, tamatlah mimpi sementara filem kita.

Esok realiti hidup seperti biasa, wira Hollywood Spiderman 2 menunggu akan menguasai panggung kita. Korporat pun turut menaja.

Katakan apa lagi kalau bukan kita terpaksa bersaing dengan mereka?

Read more!

Filem kita bersaing di gelanggang sendiri

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Utusan Malaysia 14 Jun 2004


Kita semua selalu mendengar kata-kata memujuk seperti ini; "Filem itu kalau tahap filem Malaysia dikira sudah baik''. Kemudian kita memujuk lagi atau dalam bahasa indah memberi semangat padahal sebenarnya kita hipokrit terhadap orang yang kita puji apabila berkata; "Itu filem terbaik Festival Filem Malaysia.''

Maknanya ada gelaran terbaik, sudah cukuplah bagi kita. Sebaliknya kita tidak pernah bertanya terbaik antara terbaik atau terbaik daripada yang tidak ada apa-apa. Kita boleh memuji filem kita. Terpulanglah kalau mahu memuji peningkatan kutipan di pawagam atau peningkatan mutu pembuatannya. Tetapi pada masa yang sama memuji atau tidak, bukanlah persoalan penting lagi.

Hakikatnya sama ada kita setuju atau tidak, gelanggang filem kita adalah gelanggang antarabangsa. Terbaik atau berjaya bukan lagi dalam konteks filem Malaysia. Filem kita bersaing dengan filem yang dibawa dari luar. Lalu `standard Malaysia' perlu dilupakan kerana filem kita hari ini bukan bersaing sesama sendiri. Tetapi hakikat ini yang sesetengah kita selalu sangkal. Kita masih lagi menganggap filem tempatan cukuplah sekadar ukuran Malaysia.

Memang kejam membiarkan filem Malaysia seperti yang kita semua maklum ini bersaing dengan filem dari Hollywood di pawagam. Adil atau tidak sebenarnya bukan masanya untuk kita berhujah. Hakikatnya filem tempatan berada dalam pasaran bebas dan terserah kepada kuasa pengguna untuk menentukan jatuh bangunnya.

Nampaknya tidak ada mekanisme lagi untuk membantu filem tempatan kecuali turut menjadi pemain yang aktif dalam persaingan yang kini banyak orang anggap tidak adil. Persaingan filem kita di pawagam bukan seperti filem Iran di Iran atau filem tempatan di China. Negara-negara itu menutup pintu kepada kemasukan filem luar khususnya Hollywood. Kalau ada pun peratusannya sangat kecil. Tetapi di negara ini filem tempatan menjadi minoriti dan pawagam hidup dengan keuntungan menayangkan filem Hollywood. Dengan kuasa yang ada, kita boleh memaksa pawagam memanjangkan tayangan filem tempatan. Tetapi berapa lama kita boleh memaksa pawagam untuk memberikan `khidmat sosial' yang terpaksa ini?

Jawapannya filem tempatan kena bersaing dengan filem Hollywood. Apabila sebut bersaing, orang kita mulalah berhujah bab teknologi yang tidak tergapai oleh industri filem tempatan. Kemudian kita sekali lagi rasa rendah diri disebabkan ketiadaan teknologi. Tetapi kita lupa bahawa kekuatan filem adalah cerita. Cerita dihasilkan dengan daya kreatif yang tinggi daripada lingkungan budaya dan sosial tempatan. Teknologi hanya kosmetik untuk mencantikkan wajah yang telah sedia cantik.

Kalau teknologi boleh menjawab semua persoalan tentang filem, Hollywood tentu tidak beralih ke Jepun dan Korea Selatan malah ke Thailand untuk meminjam cerita dari negara berkenaan. Di negara kita, Shuhaimi Baba telah memberikan cahaya apabila Pontianak Harum Sundal Malam masih bertahan di pawagam. Filem ini bersaing dengan sekian banyak filem Hollywood di pawagam kita. Diharapkan kita tidak lagi menafikan hakikat yang satu ini. Gelanggang kita gelanggang antarabangsa.

Read more!

Apa yang kelas menengah dan elit baca

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 13 Jun 2004


MASSA tidak sepatutnya mati. Tetapi hakikatnya hayat majalah mingguan bahasa Melayu yang tunggal ini terpaksa berakhir sekalipun baru berusia sembilan tahun atau 448 keluaran pada 5 Jun lalu.

Massa bukan majalah hiburan atau majalah cerita hantu yang persaingannya cukup sengit. Tetapi Massa sebagai majalah berita mingguan langsung tidak ada saingan (dalam bahasa Melayu). Kalau adapun mungkin majalah Minda tetapi diterbitkan sebulan sekali. Jadi kenapa ditutup?

Tentu banyak yang tidak bercakap tentang penutupan Massa kerana keluaran terakhir hanya mencatatkan jualan 6,000 naskhah. Kalau bercakap pun hanya kalangan 6,000 pembeli atau lebih kurang 18,000 pembaca setia yang memanjangkan hayat Massa hingga keluaran ke 448.

Kenapa begitu malang sekali nasib majalah yang berunsur serius, sama ada bahasa Inggeris atau Melayu? Apakah kita tidak mempunyai banyak orang cerdik pandai dalam kelas menengah dan elit untuk membeli majalah jenis ini?

Apakah penutupan Massa disebabkan oleh kebiasaan rakyat kelas menengah dan elit membaca majalah bahasa Inggeris keluaran asing seperti Time, Newsweek, Far Eastern Economic Review, The Economist dan sebagainya? Tanggapan ini sebenarnya tidak semuanya benar. Penjualan majalah bahasa Inggeris ini juga tidak terlalu jauh berbanding Massa. Jadi persoalannya apa sudah jadi dengan budaya membaca bahan serius di kalangan masyarakat kita?

Persoalan ini dilontarkan bukan kerana Massa ditutup. Sebaliknya faktor yang mendorong penutupan Massa wajar menjadi satu indikator untuk kita melihat secara mikro tahap membaca bahan-bahan serius di negara ini.

Faktor penutupan majalah seperti Massa sebenarnya berkait-kait antaranya prejudis bahasa, sikap pengiklan, sikap masyarakat dan akhir sekali mungkin sajian yang diberikan kepada pembaca. Semuanya ada kemungkinan.

Secara mudah majalah yang seperti Massa tidak dapat diteruskan penerbitannya kerana jumlah jualan yang kecil. Apabila jualan kecil tidak ada pengiklan yang memasukkan iklan mereka. Apabila jualan kecil dan tidak ada iklan, tidak ada majalah yang dapat bertahan kecuali yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tetapi jawapan mudah dari sudut perniagaan itu sebenarnya tidak mudah untuk menjawab pertanyaan lain yang lebih rumit misalnya di mana tahap membaca bahan serius di kelas menengah dan elit? Sebenarnya bukan Massa saja yang mendepani krisis ketiadaan pembaca, penerbitan serius dalam bahasa Inggeris juga serupa. Lalu apa masalah sebenarnya?

Tetapi penerbitan dalam bahasa Inggeris agak lebih bernasib baik kerana sikap prejudis kepada bahasa Melayu memberi laluan kepada pengiklan memilih penerbitan berkenaan. Statistik oleh Audit Bureau of Circulation (ABC) menunjukkan majalah Melayu hanya meraih RM31 juta peruntukan iklan berbanding majalah Inggeris sebanyak RM91 juta.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Mohamad Md. Yusof dalam tulisannya dalam Utusan Malaysia 9 Jun lalu bertanya, adakah majalah bahasa Melayu tidak layak untuk iklan? Pertanyaan ini juga menarik untuk dihubungkan dengan penutupan Massa kerana majalah itu tidak ada iklan.

Mohamad menghujah mitos majalah bahasa Inggeris lebih berkomunikasi dengan orang yang mempunyai kuasa membeli juga mendorong pengiklan memilih medium kerana faktor bahasa.

Itu statistik yang memperlihatkan kedudukan majalah Melayu dari sudut industri. Bagaimanapun di luar sudut perniagaan dan prejudis pengiklan, kecundangnya majalah berunsur serius wajar juga dilihat daripada faktor sikap masyarakat terhadap bahan bacaan serius.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Prof. Madya Dr. Darussalam Abu Bakar berkata, minat membaca tidak disemai di peringkat sekolah lagi. Sekarang ini pelajar kurang membaca pun boleh lulus cemerlang dalam peperiksaan.

"Lalu mereka pula bertanya apa perlunya membaca kalau kurang membaca pun boleh lulus peperiksaan?'' kata Dr. Darussalam. Beliau pernah membuat kajian mengenai hubungan media dan bahan hiburan mendapati tidak ada keseimbangan antara kecenderungan memilih bahan bacaan hiburan atau santai dengan bahan bacaan serius.

"Orang boleh mendapat maklumat dengan pantas secara online dan ini juga menyumbang kepada faktor kenapa mereka tidak membaca bahan bercetak untuk mendapat maklumat,'' jelas Dr. Darussalam.

Jumlah jualan majalah serius berbahasa Inggeris menunjukkan masyarakat tempatan tidak gemar membaca bahan-bahan serius. Kita boleh menjadikan majalah Massa, Malaysian Business atau sebelum ini Era sebagai indikator bahawa masyarakat yang kelihatan moden dan elit sebenarnya menjauhkan diri daripada bahan bacaan seperti ini.

Sejak awal lagi Kumpulan Utusan realistik dengan kesukaran mengumpul pembaca bagi Massa. Sebelum Massa, sebuah majalah berita mingguan, Era diterbitkan pada 1985 tetapi berakhir dua tahun kemudian. Selepas ketiadaan Era, wujud satu vakum dan tidak ada penerbit yang berani mengambil risiko untuk menyambung impian Era. Lalu pada 16 September 1995 Massa dengan penuh tanggungjawab berusaha mengisi vakum itu; mingguan berita bahasa Melayu.

Dr. Darusaalam menambah, dalam bahan bacaan hiburan atau santai seperti cerita hantu wujud satu elemen yang dipanggil wild and crazy yang memancing pembaca. Tetapi elemen ini tidak ada dalam bahan bacaan serius atau separuh ilmiah.

Penerbit majalah Era tahun 1985, Datuk Baha Zain mengakui perit dan jerihnya untuk menjual majalah berita mingguan Era sekalipun Era tidak ada persaingan di pasaran.

Beliau agak kecewa dengan penutupan Massa kerana katanya, Era terpaksa ditutup kerana beliau hanya mempunyai Era dan tidak ada majalah lain yang boleh menyumbangkan sedikit keuntungan kepada Era.

"Saya berasa rugi apabila Massa ditutup kerana sudah tiada lagi majalah berita mingguan berbahasa Melayu di pasaran,'' kata Baha.

Jadi benarlah kelas menengah dan elit kita sangat malas membaca bahan yang separuh ilmiah atau serius. Kecenderungan membaca bahan begini tidak berubah dari tahun 1985 dengan Era hingga Massa 2004. Pembaca keluaran terakhir Era tahun 1985 sebanyak 6,000 naskhah sama dengan jumlah pembaca keluaran terakhir Massa sekalipun senggang masanya hampir dua dekad.

Bagaimanapun Ketua Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof Dr. Rahman Saari tidak setuju kalau dikatakan kelas menengah dan elit tidak banyak membaca. Bagi Dr. Rahman, ada faktor lain yang membuatkan mereka tidak membaca majalah-majalah yang dimaksudkan.

"Kalau mereka tidak membaca, Pesta Buku Antarabangsa tidak diadakan setiap tahun. Orang pergi pesta buku hendak membeli buku, selepas beli mereka baca,'' tegas Dr. Rahman.

Beliau melihat majalah berkenaan tidak sampai kepada sasaran sekalipun isi kandungannya bermutu. Dr. Rahman mengesyorkan penerbit majalah lebih proaktif untuk membawa majalah berkenaan kepada pembaca daripada menunggu pembaca datang kepada mereka.

Suatu yang banyak pihak lupa ialah pengeluaran permit untuk bahan bacaan ringan terlalu banyak. Malah bahan-bahan bacaan yang bercorak hiburan atau misteri tidak pula disukat kewajarannya seperti pengeluaran barangan lain menerusi Sirim. Pengeluaran majalah tidak ada kelulusan sebuah badan seumpama Sirim untuk memastikan bahan bacaan itu selamat atau sebaliknya kepada masyarakat.

Wajar ada sukatan, kalau untuk majalah hiburan mesti ada sukatan hiburan yang bagaimana, begitu juga untuk majalah cerita misteri supaya industri penerbitan majalah dilihat secara makro memang berkembang pesat. Tetapi secara mikro, yang berkembang pesat sebahagian besarnya menyumbang kepada sikap menolak bahan bacaan yang serius dan membina.

Orang kita wajar berasa malu dengan tradisi membaca bahan serius oleh masyarakat Indonesia. Lihat saja majalah Tempo, pengaruh dan jumlah pembacanya bukan kepalang. Selepas ``dibunuh'' oleh rejim Suharto, muncul bagai cendawan majalah yang membawa bahan bacaan dan idealisme yang serupa; Editor dan Gatra. Kemudian muncul pula Forum, Tiras dan Sinar.

"Nasib yang menimpa Massa sama seperti majalah saya, Minda. Jualan hanya 6,000 naskhah saja. Entah sampai bila boleh tahan,'' demikian kata Jalil Ali Ketua Pengarang Kumpulan Karangkraf yang menerbitkan majalah bulanan Minda.

Orang kita membaca apa? Satu majalah Massa pun mereka tidak dapat pertahankan? Massa menjadi terlalu kerdil berbanding Tempo bukan kerana kerdilnya pengisian Massa. Tetapi Massa kerdil kerana sikap sebahagian daripada kita yang tidak membacanya. Adakah masyarakat hari ini berundur dan memilih kisah-kisah hantu atau bahan bacaan yang bertaraf wild and crazy sebagai santapan minda?

Read more!

AS eksploitasi sentimen D Day

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 6 Jun 2004


Amerika Syarikat (AS) sentiasa menjadikan semua perkara sebagai alasan supaya tindakan menyerang dan membunuh orang awam di Iraq sebagai satu kewajaran. Ketika dunia mempersoalkan kewajaran menyerang Iraq setahun lalu tanpa menemui apa yang didakwa loji senjata nuklear Iraq, AS menjadikan sejarah Perang Dunia Kedua sebagai gambaran bahayanya Iraq kepada dunia.

Dunia kini melihat AS sebagai penjajah atau pembuli dan bukan pelindung rakyat Iraq daripada cengkaman kuku besi rejim bekas Presiden Saddam Hussein. Setelah lebih setahun menjatuhkan Saddam, AS tidak berbuat apa-apa untuk membuktikan janjinya untuk membantu membebaskan Iraq.

AS sebaliknya menggunakan sejarah kekejaman Nazi ke atas Eropah sebagai perbandingan bahaya Iraq pimpinan Saddam kepada dunia. Nazi satu gerakan yang menggegarkan Eropah dengan melancarkan pembersihan etnik terhadap orang Yahudi.

Nazi bukan kecil dalam Perang Dunia Kedua. Mereka menakluk Perancis dan memberikan ancaman besar kepada Britain dan Itali. AS cuba mengingatkan kembali bahaya Nazi dengan menyamakan dengan Iraq.

Hari ini adalah ulang tahun ke-60 memperingati pendaratan tentera Amerika Syarikat (AS) dan Britain ke Normandy untuk membebaskan Perancis daripada ditakluk tentera Nazi. D Day atau hari memperingati pendaratan itu dianggap AS sebagai kejayaan besar menghalang kemaraan tentera Nazi pimpinan Adolf Hitler dalam Perang Dunia Kedua dulu.

Hari ini lebih 100 veteran perang antara ribuan orang yang datang ke Normandy, Perancis untuk memperingati hari pendaratan tertera AS pada 6 Jun 1944 itu. Difahamkan lebih 20 pemimpin negara antaranya Presiden Perancis Jacques Chirac, Presiden AS George W. Bush, Perdana Menteri Britain Tony Blair, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Konselor Jerman Gerhard Schroeder datang ke Normandy. Ini merupakan kali pertama pemimpin Rusia dan Jerman turut serta dalam sambutan D Day itu.

Hari memperingati pendaratan yang penting dalam sejarah AS dan juga Perancis ini digunakan oleh Setiausaha Negara AS, Colin Powell untuk kepentingan politik AS dalam isu Iraq. Powell yang tiba di Paris kelmarin menganggap memerangi Iraq sama dengan memerangi Nazi.

Ironinya 60 tahun lalu AS cuba menghalang perang dengan membebaskan Perancis daripada Jerman, ketika ini AS pula menjadi pencetus perang ke atas Iraq dan sebelum itu Afghanistan.

Bagi Eropah terutama Britain, Perancis dan Itali, Nazi adalah mimpi ngeri yang tidak pernah dilupakan. Nazi sentiasa diingati kerana kejam yang tiada taranya. Antara yang mengingati kekejaman Nazi ialah membunuh enam juta Yahudi di mana sebahagiannya dengan menggunakan gas beracun.

Powell cuba mengeksploitasikan sentimen D Day tahun ini dengan membawa isu perang ke atas Iraq. Hari memperingati pendaratan tentera AS di Perancis itu tidak ada kena-mengena dengan Iraq. Tetapi dengan tanpa maruah dan tanggungjawab, Powell memanjangkan sentimen benci terhadap Nazi itu kepada Iraq.

"Saya fikir kita boleh membandingkan perang menentang Nazi dengan perang menentang komunisme dan sekarang memerangi keganasan. Iraq adalah sebahagian daripadanya,'' demikian kata Powell semasa diwawancara oleh stesen televisyen France 3 kelmarin.

Sejarah penting kepada manusia. Begitulah jugalah pentingnya sejarah kepada AS. Sejarah memberi peluang kepada manusia melihat yang lalu untuk menembusi yang di depan. Sejarah memerangi Nazi dilakukan secara bersama oleh AS, Britain, Itali dan Perancis. Mereka bersepakat untuk menyekat kemaraan Nazi selepas Perancis jatuh ke tangan Nazi.

Hari memperingati pendaratan tentera AS itu adalah simbol kesepakatan dalam konteks memerangi Nazi 60 tahun lalu. Sentimen kesepakatan itu cuba dibangkitkan semula untuk mencari sokongan dalam isu Iraq. Selepas meranapkan Iraq, melakukan tindakan di luar perikemanusiaan kepada rakyat, AS semakin dipinggirkan oleh sekutunya semasa mula menyerang Iraq setahun lalu.

AS sebenarnya bukanlah terlalu kuat untuk mendepani kritikan dunia dalam isu Iraq. Kerana itu AS perlu meyakinkan sekutunya terutama Perancis dan Britain bahawa perang ke atas Iraq adalah untuk kepentingan bersama; bukan untuk AS semata-mata.

Maka tidak hairanlah kalau Powell dengan tanpa rasa bersalah mengheret isu memerangi Iraq dalam sentimen benci Nazi pada hari memperingati pendaratan tentera AS di Normandy itu. Semua yang dilakukan oleh "orang penting'' dalam perang ke atas Iraq ini adalah satu eksploitasi terhormat sempena D Day.

"Kita menghadapi dengan pendekatan yang sama, kita semua bekerjasama. Kepada pengganas, kamu tidak akan selamat, kami akan memerangi kamu,'' kata Powell yang sama sekali menyimpang jauh daripada tujuan memperingati kejayaan AS menyekat kemaraan Nazi menakluki Eropah.

Powell ternyata mahu sekutu-sekutu melihat jasa AS dalam memerangi keganasan Nazi. Maka hari ini AS seolah-olah menagih kembali jasanya terhadap Perancis, Britain dan Itali untuk terus menyokong perang yang berterusan ke atas Iraq. Dengan cara ini, AS menjangka akan padam suara-suara kritik dari seluruh dunia.

Semasa Perancis mahu menarik diri daripada menjadi sekutu AS memerangi Iraq, banyak tokoh politik dan penganalisis politik AS menganggap tindakan itu sebagai tidak mengenang budi dan pengorbanan tentera AS membebaskan Perancis daripada Jerman.

Lalu yang dilakukan oleh Powell ialah mengingatkan kembali pengorbanan AS dalam membebaskan Perancis. Itu yang dieksploitasikan dalam menangani kritikan dan hilang sokongan daripada sekutu dalam isu Iraq.

Dalam kaji selidik yang dibuat oleh Pew Research Centre menunjukkan ketika ini hanya 37 peratus rakyat Perancis setuju dengan tindakan AS ke atas Iraq berbanding 43 peratus pada Mei tahun lalu. Rating ini adalah yang paling bawah di antara sembilan negara Eropah.

Tetapi adil dan bertanggungjawabkah kenyataan yang menyamakan Iraq pimpinan Saddam dengan Nazi pimpinan Hitler? Rejim Saddam dengan Nazi? Nazi penakluk sebaliknya rejim Saddam mempertahankan tanah air mereka yang kaya dengan minyak daripada diceroboh. Malah bahaya rejim Saddam dan Nazi kepada AS juga sangat jauh jurangnya.

Rejim Saddam tidak memburu tentera AS atau sekutunya di luar sempadan geografi Iraq. Tetapi Nazi mahu menakluk Eropah, kesannya Perancis jatuh ke tangan Jerman. Adakah kalau kita mempertahankan diri daripada diceroboh dengan mudah disamakan dengan Nazi yang mempunyai ideologi politik yang sangat berbeza?

AS dengan sekutunya boleh memerangi keganasan. Semua negara boleh malah wajar memerangi keganasan. Tetapi keganasan bukanlah hak mutlak Iraq atau Islam. Keganasan boleh dilakukan oleh sesiapa saja dan berlaku di mana-mana juga.

Malangnya dengan pelbagai cara misalnya membangkitkan sentimen benci Nazi untuk membenci Iraq, AS mengecilkan ruang definisi mengenai keganasan kepada Iraq. Maka Iraq diserang dan dimusnahkan dengan satu alasan; loji nuklear.

Loji nuklear yang didakwa tidak ada tetapi AS terus menceroboh sekali gus menjadi dalang dalam mengstrukturkan semula politik dalaman Iraq supaya pro - AS. Di mana nazisme yang didakwa oleh Powell dalam konteks Iraq pada masa ini?

Kalau kembali melihat sejarah, selepas Perang Dunia Kedua, AS melindungi Eropah dengan melancarkan Perang Dingin ke atas Kesatuan Soviet. Dalam kata lain AS memerangi komunisme. Tetapi selepas runtuhnya ideologi komunis dan hancurnya Kesatuan Soviet, AS menjadi kuasa besar yang bukan lagi sebagai pelindung tetapi penceroboh sekali gus memusnahkan harta paling berharga bagi manusia iaitu perikemanusiaan. D Day bagi AS sebenarnya bukan memperingati pendaratan menghalang kemaraan Nazi. D Day satu peluang untuk menjaja kembali jasa dan pengorbanan AS yang kononnya memerangi pencerobohan dan keganasan.

Read more!

Lirik, bahasa tepi longkang

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Utusan Malaysia 27 April 2004


Kenapa karyawan muzik terlalu pantas melabelkan pengharaman dua atau tiga lagu daripada beribu lagu yang diluluskan untuk siaran radio dan TV sebagai menyekat kreativiti? Adakah label ini menunjukkan sesetengah karyawan muzik kita terlalu manja atau merasa besar kepala?

Lagu-lagu mereka yang mencemarkan bahasa hanya diharamkan di TV dan radio, tetapi tetap boleh dijual tanpa sebarang sekatan. Adakah kerana terlalu dimanja, mereka menganggap setiap karya sekalipun bertaraf longkang mesti disiarkan?

Sewajarnya lagu yang ada lirik buruk bukan saja diharamkan di TV atau radio malah untuk jualan. Ini kerana sudahlah mereka menjadi ejen yang menghina bahasa Melayu. Tetapi pada masa yang sama hendak menjadi jaguh perjuangan kebebasan berkarya. Mereka meminta pula kerajaan memberi garis panduan yang mana boleh dan tidak boleh.

Apabila mereka menjadi karyawan atau seniman, mereka mesti peka kepada hal-hal yang menjadi teras budaya. Bahasa adalah terasnya dan mereka tentu tidak akan melanggar dengan sesuka hati dan biadab. Berkarya tidak memerlukan garis panduan. Kalau tidak tahu sensitiviti seni dan budaya jangan menjadi seniman atau karyawan.

Mereka yang menulis lirik mesti faham apa itu yang dimaksudkan dengan lirik atau seni kata. Kata-kata yang dipilih adalah sedarjat dengan puisi, mesti ada nilai artistik dan estetika. Kalau tidak faham dua perkara ini jangan tulis lirik untuk diperdengarkan kepada orang lain.

Tetapi kita juga yang membiarkan sekian banyak lirik-lirik lagu bertaraf sampah sarap dalam dunia muzik kita. Ini bukan menolong tetapi kita tidak adil kepada yang bersungguh-sungguh mendaulatkan perjuangan dengan lirik yang baik.

Kita (kerajaan dan rakyat) telah membiarkan lirik-lirik sampah yang langsung tidak ada metafora berkembang dengan pesatnya. Maka apabila sesekali mahu bertegas, pihak yang banyak menghasilkan karya sampah ini menganggap peraturan itu menyekat kreativiti mereka menghasilkan sekian banyak sampah.

Ada sebuah kumpulan muzik mendakwa mereka menulis lirik berdasarkan bahasa percakapan harian. Kalau mahu mengangkat bahasa harian yang rojak itu, bercakap saja, jangan nyanyikan dalam lagu. Ini kerana lirik lagu mesti tinggi nilai bahasa, artistik, estetika dan paling utama ada tonggak budaya.

Ada penulis lirik menganggap lirik yang kaya dengan metafora dan artistik tidak difahami. Mereka ini sebenarnya golongan yang maha hipokrit. Bukannya khalayak tidak dapat memahami sebaliknya kepala otak mereka yang tidak mampu memikirkan lirik yang baik.

Maka tidak hairanlah diulang berkali-kali frasa yang bangang dan kontang seperti "Aku cinta kepadamu'', "Aku rindu kepadamu'' dan ini belum lagi dikira slanga tepi jalan yang diangkat sebagai lirik. Kalau penulis lirik kita belajar daripada lirik lagu Negaraku pun mereka akan tahu nilai lirik yang baik.

Dalam lirik Negaraku disebut, "Tanah tumpahnya darahku'' dan tidak menggunakan ungkapan biasa misalnya "tempat aku dilahirkan''? Nilai artistik dan estetikanya ada pada frasa "tanah tumpahnya darahku.''

Kepada penulis lirik jangan sesekali mahu menjadi jaguh memperjuangkan kebebasan berkarya cara begini. Anda sebenarnya memperjuangkan bahasa tepi longkang.

Read more!

Indonesia jadi USSR?

Oleh: ROSNAH MAJID
Sumber: Utusan Malaysia 12 Oktober 1999


KALAU Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR) berjaya dihancurkan pada tahun 1991 melalui perestroika dan glasnost, kini kita sedang melihat pula bagaimana Indonesia diporak-perandakan melalui 'reformasi dan demokrasi'.

Pembentukan sebuah negara 'The Great Russia' yang mula dilahirkan sejak kurun ke-14 lagi akhirnya berjaya membina kesatuan yang lebih besar pada tahun 1922 apabila beberapa republik bercantum menjadi USSR.

Untuk selama 69 tahun USSR muncul sebagai kuasa besar yang telah berjaya mencorakkan sejarah dunia dalam berbagai bidang - politik, ketenteraan dan sains angkasa lepas. USSR muncul sebagai satu-satunya kuasa besar yang menjadi pencabar Amerika Syarikat (AS) dalam ketiga-tiga bidang ini.

Selama tujuh dekad dunia terbelah dua - blok USSR dan blok AS. Negara-negara lain mempunyai pilihan untuk menerima mana satu ideologi - sosialis/komunis ataupun kapitalis/demokrasi. Selama itu dunia mempunyai satu perimbangan kuasa sehinggalah USSR hancur berkecai pada tahun 1991.

Usaha untuk menghancurkan USSR sebagai satu kuasa besar merupakan kejayaan paling besar Agensi Perisik Pusat (CIA) dalam abad ini. Setelah sekian lama berusaha akhirnya AS dapat memasuki 'jarum' mereka menerusi Mikhail Gorbachev yang dipilih menjadi pemimpin Parti Komunis Rusia pada tahun 1985.

Pada tahun 1987 Gorbachev melakukan reformasi politik dan sosial menerusi dua panggilan keramat bernama glasnost (keterbukaan) dan perestroika (penyusunan semula). Waktu itu kedua-dua perkataan ini menjadi begitu penting menghiasi dada akhbar dan peti TV di seluruh dunia, khasnya media Barat.

Beliau menjadi pemimpin USSR paling popular di Barat dan mendiang isterinya, Raisa dijulang sebagai wanita moden Rusia. Gorbachev tenggelam dalam pujian Barat sehingga lupa bahawa perestroika dan glasnost menjadi punca hancurnya USSR sebagai sebuah negara/kuasa besar.

Program reformasi Gorbachev ini walaupun dipuji oleh Barat tetapi mendapat tentangan daripada pemimpin komunis lain dalam Politburo, berlaku percubaan rampasan kuasa pada bulan Ogos 1991. Presiden Republik Russia, Boris Yeltsin mengambil kesempatan memimpin mogok dan tunjuk perasaan besar-besaran.

Gorbachev yang meletak jawatan kerana dikatakan sakit telah dilantik semula menjadi Presiden pada 19 Ogos 1991, tetapi lima hari kemudiannya beliau meletak jawatan sebagai pemimpin Parti Komunis Soviet, namun masih menjadi pemimpin kerajaan.

Keadaan kacau-bilau ini akhirnya mencapai kemuncaknya pada 21 Disember 1991 apabila 11 dari 12 republik yang membentuk USSR - Ukraine, Armenia, Azerbijan, Belarus, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Moldova, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan dan Rusia mengisytiharkan diri mereka lalu membentuk Commonwealth of Independent States (CIS).

Kemudiannya Gorbachev pun meletak jawatan sebagai pemimpin USSR pada 25 Disember dan Parlimen mengesahkan pembubaran USSR pada 26 Disember tahun tersebut. Demikianlah tamatnya riwayat sebuah kuasa besar di abad ini yang berpunca daripada langkah reformasi glasnost dan perestroika.

Sesungguhnya sejarah begitu sarat dengan pengajaran. Tetapi sayangnya manusia tidak pernah belajar daripadanya. Inilah yang berlaku ke atas Indonesia hari ini. Mereka kini sedang menyaksikan bagaimana mereka kehilangan satu daripada wilayahnya iaitu Timor Timur dalam keadaan yang sungguh menghinakan.

Jika rakyat dan kerajaan Indonesia mengambil pengajaran daripada nasib yang menimpa USSR, mereka mungkin tidak terjebak seperti sekarang. Jika mereka bertindak tegas seperti China dan Vietnam, negara Islam terbesar itu mungkin tidak menderitai nasib seperti kini.

China dan Vietnam juga menerima tekanan hebat untuk membuat reformasi politik dan doi moi dengan melaksanakan demokrasi bagi menggantikan sistem komunis. Tetapi kedua-dua negara itu memilih untuk melakukan reformasi ekonomi mendahului reformasi politik, kerana mereka belajar daripada kesilapan USSR. Sehingga kini mereka terselamat daripada keruntuhan.

Dengan melumpuhkan ekonomi Indonesia melalui serangan ke atas rupiah, negara Melayu terbesar itu terseret dalam kancah kekacauan politik. Gerakan apa yang dipanggil 'reformasi dan demokrasi' telah memenuhi jalan-jalan raya di Jakarta, Jogjakarta, Surabaya, Bandung hinggalah ke Medan.

Anak-anak muda yang mendapat sokongan oleh para pemimpin reformasi dan demokrasi seperti Amein Rais, Megawati Sukarnoputri, Abdurrahman Wahid yang disokong oleh media tempatan dan asing telah berjaya menumbangkan Suharto pada bulan Mei tahun lalu. Reformasi dan demokrasi menjadi perkataan keramat bagi rakyat dan pemimpin Indonesia ketika itu.

Gema reformasi turut bergegar di Malaysia. Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terang menyokong gerakan reformasi Indonesia. Beberapa pemimpin reformasi Indonesia datang ke Kuala Lumpur atas undangan Institut Kajian Dasar (IKD) untuk memberi taklimat/ceramah mengenai cara-cara reformasi Indonesia menumbangkan Presiden Suharto.

Kemudiannya apabila Anwar dipecat, gerakan reformasi Malaysia menjadi formal. Para penyokongnya menjadikan reformasi sebagai perjuangan mereka selaras dengan reformasi Indonesia. Ketika itu reformasi Indonesia sentiasa saja menjadi rujukan. Malah para pemimpin reformasi - Mohd. Ezam Mohd. Noor, Saifudin Nasution dan Rahim Ghaus - lari ke Indonesia.

Sewaktu di Jakarta, Saifudin Nasution menjadi salah seorang ahli panel seminar yang menyokong kemerdekaan Timor Timur, walaupun sewaktu menjadi Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, beliau turut merempuh masuk persidangan APCET di Hotel Asia, Kuala Lumpur kerana membantah langkah beberapa NGO yang mahukan kemerdekaan wilayah itu daripada Indonesia.

Naib Presiden AS, Al Gore yang berucap di Dewan Merdeka, Kuala Lumpur pada bulan November 1998 secara terang menyokong gerakan reformasi dan menganggap para perusuh di jalan raya sebagai 'rakyat Malaysia yang berani'.

Setelah lebih setahun berlalu, kini barulah dunia dapat menyaksikan apa sebenarnya yang dirancang di sebalik serangan ke atas rupiah dan laungan reformasi serta demokrasi itu. Gerakan reformasi dan tuntutan demokrasi itu tidak lebih daripada gerakan melumpuhkan kesemua institusi yang mendokong sebuah negara besar bernama Republik Indonesia.

Apa hasil reformasi dan demokrasi ini? Ia tidak lain daripada runtuhnya sebuah negara Islam/Melayu terbesar di dunia dan musnahnya kuasa besar di rantau ekonomi paling dinamik di dunia. Bukan saja ekonomi tidak pulih dan kerajaan pimpinan Habibie terus lemah, kuasa-kuasa besar, khasnya AS dan Australia terus melakukan campur tangan dalam negara itu secara terang.

Australia yang ingin menjadi 'Timbalan AS' di Asia kini menguasai Timor Timur dengan kehadiran tenteranya paling ramai di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tanpa Indonesia berdaya menghalangnya.

Walaupun Indonesia telah nyata menjadi lemah hasil reformasi dan demokrasi, namun dalam lawatannya ke Jakarta baru-baru ini Setiausaha Pertahanan AS, William Cohen tetap memberi amaran kepada Habibie dan Panglima Tentera, Jeneral Wiranto supaya negara itu meneruskan usaha 'pembaharuan demokrasi' dan 'menjamin keamanan Timor Timur yang merdeka.'

Setelah berada di bawah penjajah Belanda hampir 5 abad, para pejuang kemerdekaan Indonesia berusaha keras untuk membentuk Republik Indonesia yang terdiri daripada beribu buah pulau dengan penduduk berbilang bangsa dan agama, tetapi muncul menjadi negara Islam terbesar di dunia dengan memiliki kekuatan tentera yang diakui.

Kini apa yang telah dibina ini sedang dalam proses menuju kemusnahan. Apakah Republik Indonesia akan menerima nasib yang sama seperti USSR? Bermula dengan Timor Timur dimerdekakan secara paksa, apakah selepas ini satu demi satu wilayah-wilayah yang membentuk Republik Indonesia ini akan juga dimerdekakan?

Bunga-bunga ke arah itu sudah pun ada. Acheh sudah pun menuntut kemerdekaan. Apakah selepas ini Ambon, Selawesi, Kalimantan, Sumatera akan juga dipaksa untuk dimerdekakan? Jika ini berlaku bermakna hancur berkecailah negara Islam paling besar di dunia. Inilah hasil terbesar gerakan reformasi.

Selain itu, dengan kemerdekaan Timor Timur, kuasa-kuasa Barat nampaknya sedang merancang pembentukan sebuah lagi negara Katholik di rantau ini selepas Filipina. Timor Timur yang sejak 1976 berada di bawah kerajaan yang dipimpin oleh umat Islam, kini berjaya menjadi negara satelit Australia dan kuasa Barat yang sangat strategik. Inilah hasil reformasi.

Sejak semakin jelas hasil reformasi Indonesia ini, maka para pendokong reformasi Malaysia pun mula menjauhkan diri mereka daripada reformasi Indonesia. Tiada lagi kedengaran suara-suara yang merujuk kepada reformasi Indonesia.

Jelas, jika gerakan reformasi Malaysia ditakdirkan berjaya tempoh hari, negara kita akan menjadi seperti Indonesia. Malah mungkin lebih buruk lagi kerana komposisi kaum di Malaysia lebih mudah menyemarakkan api perang perkauman yang boleh menghancurkan negara.

Indonesia yang selama ini merasakan Australia adalah pencabarnya dari segi keselamatan di rantau ini, sehingga hubungan kedua-duanya sentiasa tegang, kini mendapati negara kangaroo tersebut sedang menguasai Timor Timur. Dengan sokongan seluruh jentera Barat, Australia berjaya bertapak di bekas wilayah Indonesia itu.

Apakah kehadiran Australia di wilayah itu hanya dari segi ketenteraan saja? Kerap kali negara-negara maju tidak hanya menghantar tentera, tetapi turut menghantar pakar-pakar dalam berbagai bidang - ekonomi, kaji bumi, hasil mahsul alam - yang juga memakai uniform tentera.

Apa yang ada di Timor Timur? Wilayah yang pernah dijajah oleh Portugis selama 400 tahun ini, selain kedudukannya yang penting sebagai laluan Australia ke Asia, juga begitu kaya dengan hasil bumi yang belum lagi diterokai seperti minyak, gas asli, emas dan hasil balak.

Dengan menguasai Timor Timur, Australia sebenarnya melengkapkan penguasaannya terhadap wilayah Pasifik Selatan. Sejak berpuluh tahun, negara tersebut menjadi seolah-olah 'tuan' bagi negara-negara kepulauan kecil di rantau itu. Dari segi ekonomi mereka adalah pelabur terbesar serta negara rantau itu adalah pasaran bagi barangan Australia. Dari segi perhubungan dengan dunia luar ia berjalan hampir keseluruhannya melalui Australia.

Walaupun Perdana Menterinya, John Howard menafikan berkata yang negara itu mahu menjadi 'Timbalan AS' (setelah hampir seminggu berita itu tersiar), tetapi pada hakikatnya Australia memainkan peranan sebagai wakil kuasa Barat di Asia. Hakikat ini begitu terang lagi, sama ada mereka mengakuinya ataupun tidak. Inilah antara kejayaan gerakan reformasi.

Read more!

Maruah yang tercemar

Oleh: ROSNAH MAJID
Sumber: Utusan Malaysia 23 September 1999


ANDAINYA para pejuang kemerdekaan Indonesia bangun semula dari kubur, mereka sudah tentu akan menangisi keadaan yang sedang dilalui oleh negara itu sekarang.

Apa tidaknya, kemerdekaan yang diperoleh dengan nyawa dan darah telah tergadai kini.

Sejarah perjuangan kemerdekaan Indonesia daripada Belanda, sangatlah menyayat hati. Indonesia bukan menerima kemerdekaan pada tahun 1947 dalam dulang emas, sebaliknya membayar dengan jutaan nyawa terkorban. Inilah perkara yang sering menjadi kebanggaan rakyatnya. Malah para pejuang kemerdekaan negara itu berusaha keras membina sebuah republik besar yang terdiri daripada beribu pulau dengan penduduk berbagai suku kaum dan agama, tetapi disatukan melalui semangat nasionalisme ''satu bangsa Indonesia''.

Cerita bagaimana para penarik beca di Jakarta memasang bendera pada beca masing-masing di setiap 17 Ogos, hari kemerdekaan menggambarkan jiwa nasionalisme rakyatnya yang menjadi kebanggaan. Akan tetapi apa yang berlaku ke atas Indonesia sejak setahun lalu membuktikan betapa rapuhnya nasionalisme tersebut. Betapa dalam hanya satu generasi, kemerdekaan yang begitu sukar diperoleh telah tergadai.

Apa yang berlaku di Indonesia memberi pengajaran yang besar kepada kita di Malaysia. Nasib yang menimpa rakyat Indonesia bermula dengan masalah keruntuhan ekonomi yang disebabkan oleh serangan terhadap nilai rupiah oleh penyangak mata wang. Akibat serangan itu, ekonomi Indonesia yang sebelum itu merupakan salah sebuah ekonomi membangun yang dianggap ''naga'' runtuh. Tekanan ke atas ekonomi negaranya menyebabkan Presiden Suharto bersetuju menerima apa yang dijanjikan sebagai ''pakej bantuan IMF'' (tabung mata wang antarabangsa) yang dianggap boleh menyelamatkan negara itu.

Sebenarnya pakej bantuan itu adalah laluan kemasukan penjajahan bentuk baru yang menghakis kemerdekaan negara tersebut. Penerimaan bantuan IMF ini telah mendedahkan Indonesia kepada campur tangan asing, satu demi satu, yang telah menodai kemerdekaan negara tersebut tanpa had.

Sewaktu kempen pilihan raya umum awal tahun ini, beberapa pemimpinnya tanpa segan silu menjemput kuasa asing untuk turut campur tangan dalam hal ehwal politik negara itu. Pemimpin Parti PAN, Amien Rais secara terbuka meminta Amerika Syarikat (AS) mencampuri urusan politik Indonesia.

Demikian pula dengan media Indonesia, tidak mengecam campur tangan asing yang terang-terang berada di negara itu. Malah mereka umpama bersubahat merestui kemasukan orang-orang asing untuk menentukan hala tuju Indonesia. Kini selepas setahun menerima pakej bantuan IMF bagi memulihkan ekonomi serta keghairahan beberapa pemimpin politiknya menjemput AS campur tangan dalam politik negara itu, akhirnya rakyat Indonesia kini merasai kesannya.

Kalau sebelum ini tunjuk perasaan oleh anak-anak muda di Jakarta menuntut reformasi dan demokrasi sehingga kerajaan Suharto tumbang, kini anak-anak muda yang sama kembali semula ke jalan-jalan raya membantah campur tangan asing ke atas negara mereka. Mereka membakar bendera AS, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Australia.

''Setelah setahun menerima pakej bantuan IMF, kini barulah anak-anak muda Indonesia mahu membuat tunjuk perasaan membantah campur tangan asing. Sekarang baru timbul soal nasionalisme,'' demikian ulas wartawan CNBC dengan nada sinis. Apa yang dilihat sekarang ini adalah hasil tunjuk perasaan menuntut reformasi dan demokrasi. Apa yang mereka dapat? Buat permulaannya, mereka dapat pakej bantuan kewangan yang sering ditangguh-tangguhkan, yang ternyata lebih memburukkan keadaan ekonominya daripada memulihkannya.

Antara syarat IMF ialah menutup 16 buah bank dan menghapuskan subsidi minyak yang menyebabkan beratus ribu rakyat hilang pekerjaan serta harga barang melambung tinggi. Akibatnya, kegawatan ekonomi menjadi kegawatan politik. Kegawatan politik itu diperlukan untuk menjatuhkan Suharto.

Sebagai sebuah bangsa besar, Indonesia sanggup menerima kemasukan pemerhati asing bagi menjadi ''mata-mata'' kepada pilihan raya umum pada bulan Mei lalu. Ternyata tangan mereka telah dipulas. Mereka dalam tekanan. Mereka tidak berdaya melawannya. Keadaan begini menjadi lebih ketara dalam isu Timor Timur. Tekanan telah membuatkan Presiden B.J. Habibie bersetuju untuk mengadakan pungutan suara di kalangan penduduk wilayah yang strategik itu. Pungutan suara tersebut diawasi dengan ketat oleh pihak PBB. Seperti yang diduga, keputusannya, 78.5 peratus rakyat Timor Timur menolak tawaran autonomi dan memilih untuk merdeka.

Apabila berlaku kacau bilau di wilayah itu, PBB, AS dan Australia mahukan Indonesia menerima tentera PBB untuk memastikan Timor Timur aman. Kerajaan Habibie dan Panglima Angkatan Tenteranya, Jeneral Wiranto berkata Indonesia mampu memulihkan keamanan di wilayah bekas tanah jajahan Portugis itu tanpa campur tangan PBB. Ternyata Indonesia gagal bertahan. Tangan mereka sekali lagi dipulas. Akhirnya, Habibie membuat pengumuman dalam Bahasa Inggeris menyatakan Indonesia bersetuju menerima kemasukan tentera PBB.

Kemudiannya jurucakap Habibie, Dewi Fortuna Anwar berkata Indonesia ''lebih senang melihat wajah-wajah ASEAN'' yang merujuk kepada kemahuan negara itu supaya ASEAN mengetuai operasi tentera PBB dan tidak mahu Australia, AS, Portugal di dalamnya.

Dengan kata lain, Indonesia mahu mempunyai hak bersuara dalam menentukan negara mana yang akan menghantar tentera ke Timor Timur di bawah panji PBB.

Namun, Menteri Luar British, Robin Cook berkata, ''Indonesia tidak ada hak untuk menentukan negara mana yang akan dihantar ke Timor Timur.'' Perdana Menteri Australia, John Howard pula berkata, ''Australia tetap akan menghantar tenteranya ke Timor Timur sama ada Indonesia bersetuju atau tidak.'' Seperti diduga, keputusannya, PBB memilih Australia mengetuai operasi tentera PBB di Timor Timur.

Timor Timur mungkin kecil dari segi saiznya dan tidak signifikan di segi pembangunannya sebelum ini, tetapi kini ia membawa makna yang besar bagi masa depan Indonesia khasnya dan rantau Asia keseluruhannya. Australia yang telah lama mengidam untuk menjadi kuasa terulung di Asia sedang membuktikannya di Timor Timur. Bagi republik Indonesia, apakah kemerdekaan Timor Timur ini sebagai satu permulaan kepada keruntuhannya. Apakah selepas ini satu demi satu wilayah yang membentuk republik Indonesia menuntut kemerdekaan? Acheh, Kalimantan, Sumatera, Sulawesi, Ambon. Apakah akhirnya yang dikatakan Indonesia itu hanya tinggal Pulau Jawa sahaja, sebagaimana Rusia? Jika berlaku keruntuhan republik Indonesia bererti terjadinya keruntuhan negara Islam terbesar di dunia, kehancuran sebuah kuasa Melayu yang terkuat dan berkecainya kuasa besar terulung di ASEAN.

Apa yang berlaku kepada Indonesia ini tentu sekali disenangi oleh negara-negara yang bimbangkan kekuatan Indonesia selama ini, tetapi akan ditangisi oleh jiran serumpun sebangsanya. Jikalah Sukarno dengan karismanya menyatukan bangsa Indonesia dihidupkan semula hari ini, Allahyarham tentu akan menangisi akan nasib bangsanya. Apa agaknya yang akan diperkatakan kepada puterinya, Megawati Sukarnoputri?

Read more!

Nasib parti berbilang kaum -- Pembangkang tidak dapat bentuk pakatan politik seperti BN

Oleh: Rosnah Majid
Sumber: Mingguan Malaysia 6 Jun 1999


BUKAN mudah untuk menjadi parti politik berbilang kaum di Malaysia. Apalagi parti berbilang agama. Dan lebih susah lagi untuk membentuk pakatan politik terdiri daripada parti-parti yang berlandaskan kaum.

Datuk Onn Jaafar telah cuba membuka pintu UMNO kepada bukan Melayu pada tahun 1950, tetapi ditolak mentah-mentah. Ekorannya beliau keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Negara yang tidak dapat bertahan lama.

Idea membuka pintu UMNO kepada bukan Melayu terpendam selama 41 tahun sehinggalah pada tahun 1991 apabila parti Melayu terbesar itu membenarkan kaum bumiputera bukan Islam menjadi ahli iaitu orang-orang Siam di Perlis, Kedah dan Kelantan serta kaum bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

Oleh kerana bilangan bumiputera bukan Islam ini kecil, UMNO terus menjadi parti dominan Melayu hingga kini.

DAP memutuskan menjadi parti berbilang kaum sejak lama dengan membuka pintu kepada orang-orang bukan Cina, tetapi hingga kini ia tetap menjadi parti dominan Cina. Walaupun ada satu dua tokoh Melayu, India dan Sikh di dalamnya, namun imej parti berbilang kaumnya tidak tertonjol.

Gerakan juga merupakan parti berbilang kaum pada dasarnya, tetapi pada realitinya ia terus menjadi parti dominan Cina. Pemimpin parti itu sedar yang kebanyakan sokongan datang daripada kaum Cina yang tidak mahu menyertai MCA ataupun DAP.

Pengalaman DAP dan Gerakan yang telah begitu lama mahu menjadi parti berbilang kaum tetapi belum berjaya sepenuhnya, menceritakan hakikat sebenar politik Malaysia. Rakyat negara ini masih terus mahukan parti yang berlandaskan satu kaum sahaja.

Parti terbaru yang ditubuhkan sebagai parti berbilang kaum ialah Parti Keadilan Nasional (Adil). Sejauh mana parti ini dapat benar-benar menjadi parti berbilang kaum masih belum dapat dipastikan. Apakah ia juga akan menjadi seperti DAP dan Gerakan, hanya masa menentukan.

Perkembangan paling mutakhir ialah Pas bercadang membuka keahliannya kepada bukan Islam. Pas yang menonjolkan dirinya sebagai parti Islam sejak ia ditubuhkan pada tahun 1951, kini berura-ura untuk menjadi parti berbilang agama.

Di akhir muktamar parti tersebut di Kuala Lumpur pada 30 Mei lalu, Naib Presidennya Hassan Shukri memberitahu yang Pas sudahpun menyiapkan satu cadangan pindaan perlembagaan untuk membuka parti itu kepada bukan Islam sebagai ahli bersekutu.

Apa yang sangat menarik ialah betapa sebuah parti yang selama ini "tidak mahu berkawan dengan kafir'' dan menuduh UMNO "kurang Islam'' kerana berganding dengan bukan Melayu dalam Barisan Nasional (BN), kini berhasrat untuk membuka pintu parti itu kepada bukan Islam.

Cadangan pindaan perlembagaan itu akan diteliti sebelum dikemukakan di dalam muktamar khas yang akan diadakan kemudian. Apakah cadangan itu akan diterima, masih belum dapat dipastikan.

Setakat ini sudah kedengaran suara ahli-ahli Pas yang memberi pandangan. Bekas Penasihat Undang-undang Pas, Datuk Wan Mustapha Ali berkata yang beliau akan keluar Pas jika parti itu menerima bukan Islam sebagai ahli. Beliau percaya ramai lagi ahli Pas akan meninggalkan parti itu kerana tindakan tersebut dilihat sebagai mengkhianati perjuangan asal Pas.

Cadangan ini akan meletakkan ahli-ahli Pas dalam keadaan tidak menentu. Ia memperlihatkan pertembungan dua kumpulan dalam Pas yang jelas iaitu golongan modenis yang mahukan pembaharuan dan golongan konservatif yang mahu menjaga Pas terus kekal dengan perjuangan Islamnya.

Jika cadangan itu diterima bermakna Pas tidak lagi boleh mendakwa ia sebuah parti Islam, tetapi ia adalah parti berbilang agama. Apa perasaan ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi? Mereka selama ini berkempen menggunakan nama Islam, apakah bunyi kempen mereka kali ini?

Walau apapun hujah yang diberikan oleh para pemimpin parti itu, Pas ternyata mengambil keputusan paling berat yang menukar sama sekali haluan parti itu daripada matlamat asal penubuhannya.

Apakah orang-orang bukan Melayu berminat menyertai sebuah parti berbilang agama? Ini satu perkembangan menarik untuk dilihat. Kalau Adil menarik orang-orang bukan Melayu (berdasarkan kaum), Pas mahu menarik orang bukan Islam (berdasarkan agama).

Dari komen yang didengari hingga kini, bukan Islam nampaknya tidak berminat menyertai sebuah parti berbilang agama yang mengenakan label Islam. Bukan setakat itu, mereka berhak merasa tersinggung dengan cadangan itu yang meletakkan taraf mereka sebagai ahli kelas ketiga selepas wanita Pas menjadi ahli kelas kedua.

Mereka hanya dibenarkan menjadi ahli bersekutu yang ada hak menjadi calon menggunakan lambang Pas, tetapi tidak ada hak memegang jawatan dalam parti serta hak menentukan pucuk pimpinan parti. Tidak mungkin orang bukan Islam mahu diperbodohkan sehingga begitu sekali.

Cadangan pindaan perlembagaan itu bukan saja mengubah imej Pas, tetapi juga akan memberi kedudukan yang berbeza dalam pakatan pembangkang. Jika Pas meluluskan pindaan perlembagaan itu, bermakna dalam pakatan pembangkang terdapat tiga parti yang merebut ahli daripada kumpulan yang sama.

Kalau kini hanya DAP dan Adil merebut ahli bukan Melayu, kelak Pas terlibat sama dalam perebutan itu. Kalau BN memberi tanggungjawab untuk menarik undi Melayu kepada UMNO, undi Cina kepada MCA dan Gerakan, undi India kepada MIC, ini nampaknya tidak berlaku dalam pakatan pembangkang. Cadangan Pas itu serta penubuhan Adil sebagai parti berbilang kaum membuktikan yang kedua-dua parti itu tidak yakin dengan DAP untuk membawa undi Cina kepada pakatan pembangkang.

Dalam suasana yang begini, apakah akan wujud pakatan pembangkang yang kuat?

Pakatan pembangkang yang dinamakan Gagasan terbentuk ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Isu Anwar menjadi faktor penyatu. Apabila Anwar tidak lagi menjadi isu, apa akan jadi pada Gagasan?

Perbalahan antara DAP dan Adil berhubung kemasukan bekas Ketua DAP Sarawak, Sim kwang Yang yang dipecat kerana dituduh merancang menggulingkan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang, sebagai ahli Adil adalah permulaan kepada drama rebutan ahli antara ahli-ahli pakatan pembangkang. Perbalahan lama antara Pas dan DAP mengenai pembentukan negara Islam masih belum selesai hingga kini.

Kenapa pakatan politik seperti BN boleh kekal, sedangkan pakatan politik pembangkang seperti APU tidak dapat bertahan lama?

Kebanyakan pakatan politik pembangkang dibuat berdasarkan perasaan kecewa, dendam, marah, benci. Sedangkan BN yang asalnya Perikatan dibentuk di atas asas yang murni iaitu untuk membolehkan negara mendapat kemerdekaan daripada British.

Pihak Inggeris memberi syarat supaya ketiga-tiga bangsa - Melayu, Cina dan India bersatu, barulah mereka akan memberi kemerdekaan. Mereka mengenakan syarat ini dengan harapan supaya kemerdekaan akan lebih lambat lagi, kerana dalam perkiraan British tidak mungkin orang-orang Melayu, Cina dan India boleh bersatu.

Tetapi tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lok dan Tun Sambanthan telah melakukan satu "keajaiban'' dengan berjaya membentuk sebuah pakatan politik, - Perikatan - yang bukan saja berjaya mendapatkan kemerdekaan, tetapi telah berjaya meletak asas politik yang baik bagi Malaysia hingga ke saat ini.

Pakatan pembangkang dibentuk hanya untuk menghadapi pilihan raya, sedangkan BN untuk menyatukan rakyat negara ini di bawah satu payung politik yang lebih besar. BN memberi hak kepada 14 buah parti komponennya yang berlandaskan kaum mewakili kaum masing-masing dalam menjaga kepentingan mereka.

Inilah asas kekuatan BN dan kekuatan inilah yang memberi kestabilan politik kepada Malaysia sejak merdeka sehingga negara dapat dibangunkan dalam keadaan aman. BN muncul sebagai satu-satunya pakatan politik yang paling berjaya sekali di dunia sehingga kini.

Setiap kali pilihan raya, pembangkang akan cuba membentuk satu pakatan tetapi semuanya tidak kekal lama. Dalam pilihan raya 1990 mereka menubuhkan Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). APU - pakatan Pas dan Semangat 46 - berjaya menawan Kelantan, tetapi kini telah menjadi sejarah.

Hakikatnya adalah sangat sukar membentuk pakatan politik yang berjaya. Dalam konteks pilihan raya, BN telah dapat menyelesaikan masalah mencari formula pembahagian kerusi sejak pilihan raya pertama pada tahun 1951 lagi. Sedangkan pakatan pembangkang masih belum dapat menyelesaikan masalah paling sukar ini.

Malah mereka masih lagi di peringkat merebut ahli dan mencari faktor penyatu yang lebih mantap yang telahpun lama diselesaikan oleh BN. Inilah kelebihan BN dan inilah masalah pembangkang.

Read more!

Kemelut Iraq satu pengajaran

Oleh: Rosnah Majid
Sumber: Utusan Malaysia 11 Februari 1999


KENAPAKAH Iraq menjadi sasaran bom-bom Amerika Syarikat (AS) dan Britain? Itulah persoalan yang berlegar pada pemikiran mereka yang cintakan keamanan sejagat.

AS telah memberi jawapan yang berterus-terang. Mereka berbuat apa saja untuk menumbangkan Presiden Saddam Hussein. Apa yang telah, sedang dan akan berlaku di Iraq adalah satu kajian kes yang menarik untuk menjadi pengajaran kepada semua.

Iraq adalah sebuah negara yang kaya. Kebanyakan negara Timur Tengah hanya kaya dengan minyak, tetapi miskin air. Tetapi Iraq mempunyai kedua-duanya. Dengan terbentang dua batang sungai yang besar - Tigris dan Euphrates - di tengah-tengah negara itu, Iraq dapat membangunkan negaranya dengan lebih mudah, lebih-lebih lagi dengan adanya kenaikan harga minyak di tahun-tahun akhir 70-an dan 80-an di mana OPEC menjadi raja dunia ketika itu.

Saddam yang menjadi Presiden mulai tahun 1979, setelah menjadi Timbalan Presiden selama 11 tahun di bawah Presiden Ahmad Hasan al-Bakr, telah membangunkan Iraq secara hebat. Dengan visi menjadikan Iraq sebagai kuasa besar di rantau Teluk, Saddam telah menyusun strategi dalam berbagai bidang - pendidikan, industri, pertanian, infrastruktur dan ketenteraan. Sewaktu kunjungan dua kali saya ke Iraq (kali pertama pada tahun 1981 dan kedua pada tahun 1984), saya dapat saksikan kehebatan pembangunan Iraq ini. Sektor pertanian dimajukan dengan bersungguh-sungguh untuk membolehkan Iraq membekalkan sendiri makanan mereka. Sistem tali air yang baik telah menukar padang pasir yang seluas saujana mata memandang kepada ladang-ladang pertanian.

Zon-zon industri pembuatan telah dibangunkan. Saya berpeluang melawat salah satu zon perindustrian berdekatan Baghdad pada tahun 1981. Salah satu kilang yang kami lawati mengeluarkan barangan elektrik seperti peti sejuk, dapur gas dan pendingin hawa - semuanya buatan Iraq.

Saddam juga memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur. Jalan-jalan raya, jambatan, lapangan terbang, sistem telekomunikasi dan sebagainya telah dibangunkan. Lebuh raya dua hala yang baik menghubungkan semua bandar-bandar di Iraq, sebagaimana Lebuh Raya Baghdad - Basra sepanjang kira-kira dari Perlis ke Singapura.

Saddam yang berkiblat ke blok sosialis ketika itu banyak memberi kontrak pembangunan infrastruktur kepada Yugoslavia, Rusia dan Poland. Pada tahun 1981, terdapat lebih 20,000 pekerja Yugoslavia di bumi Iraq, kebanyakannya tenaga mahir dan separuh mahir, yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan lebuh raya, jambatan dan pengeluaran senjata.

Beliau juga memberi tumpuan kepada pembangunan sumber manusia. Ketika itu Iraq menghantar begitu ramai para pelajarnya menuntut di merata dunia dari AS, Eropah (Timur dan Barat), India, Pakistan dan Timur Tengah, sebagai sebahagian perancangan untuk menjadikan Iraq negara maju serta kuasa besar di rantau Teluk.

Iraq sedang membangunkan sistem telekomunikasinya yang moden pada tahun 1981 sebagai persediaan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Negara-negara Berkecuali (NAM) yang dijadualkan diadakan di Baghdad pada tahun 1984. Tetapi oleh kerana Iraq terlibat dalam perang dengan Iran ketika itu, tempat persidangan telah dipindahkan ke India. Khabarnya, untuk menjayakan sidang kemuncak NAM itu, India terpaksa meminjam peralatan telekomunikasi dari Iraq.

Untuk menjadi negara kuasa besar, Iraq memerlukan bilangan rakyat yang ramai, iaitu lebih daripada 13 juta (pada tahun 1981). Oleh itu Saddam menggalakkan rakyatnya berkahwin dengan memberi hadiah perkahwinan daripada kerajaan kira-kira RM10,000 kepada setiap pasangan bagi memulakan hidup berkeluarga.

Kecuali politik dikawal rapi, lain-lain aspek kehidupan berjalan dengan bebas. Baghdad menjadi bandar raya yang meriah, terutama di waktu malam dengan restoran dan kafe sibuk melayani pelanggan. Jika di Iran, wanitanya diwajib menutup aurat dan di Arab Saudi wanita tidak dibenarkan memandu kereta, Saddam memberi kebebasan kepada kaum wanita Iraq.

Semua komitmen beliau ini menjadikannya sebagai pemimpin yang disanjungi oleh rakyat Iraq. Tetapi malangnya, Saddam juga tidak dapat membendung nafsunya untuk menjadi pemimpin terulung di rantau Teluk khasnya dan pemimpin teragung dunia Arab amnya.

Beliau yang menderitai perasaan terhina sewaktu dipaksa menandatangani Perjanjian Algiers pada tahun 1975 di mana Iraq terpaksa menyerahkan beberapa wilayahnya, termasuk beberapa buah pulau kecil yang menjadi rebutan dengan Iran sejak lama, kepada Iran, nampaknya telah menggunakan kuasanya sebagai Presiden bagi mengubati perasaan terhinanya itu.

Ketika itu rantau Teluk dikuasai oleh Shah Iran, sekutu kuat AS. Dengan kekuatan tentera di belakangnya, Shah memaksa Saddam yang ketika itu Timbalan Presiden, menandatangani perjanjian menyerahkan beberapa buah pulau yang kaya dengan minyak kepada Iran. Dengan itu Shah menghentikan bantuannya kepada pemberontak Kurdish di Iraq.

Jadi sebaik saja Shah ditumbangkan oleh revolusi rakyat Iran pada tahun 1979, Saddam yang melihat keadaan kacau-bilau di Iran sebagai peluang terbaik, telah melancarkan serangan ke atas wilayah jirannya itu pada tahun 1980.

Dengan itu bermulalah perang Iran-Iraq, yang hanya tamat pada tahun 1988 tanpa ada pihak yang menang. Yang ada hanyalah kematian dan kemusnahan. Antara yang paling teruk musnah ialah bandar Basra di Iraq dan Khorramshar di Iran.

Kedua-dua bandar ini terletak di tebing Shatt-al-Arab, sebuah terusan strategik yang memisahkan kedua-dua negara ini dan menjadi rebutan sejak lama.

Sewaktu membuat liputan perang Iran-Iraq untuk akhbar Utusan Malaysia, saya telah melawat kedua-dua bandar ini. Dalam liputan ke Khorramshar pada tahun 1983, saya menyaksikan sebuah ''padang jarak padang terkukur''. Seluruh bandar raya pelabuhan yang sebelumnya dihuni oleh kira-kira 350,000 penduduk musnah sama sekali, termasuk masjid.

Kemusnahan yang dahsyat ini berlaku ekoran tumpuan perang yang intensif di bandar raya ini.

Kemudiannya pada tahun 1984, saya membuat liputan di kawasan perang di Basra. Walaupun ia terletak di sempadan dengan Iran, suasana ketika itu tenang. Bandar ini sunyi kerana kebanyakan penduduknya lari ataupun mati.

Perang Iran-Iraq bukan saja menyatukan rakyat Iran, tetapi turut menjejaskan ekonomi Iraq. Jika Malaysia mengambil pendirian ''memajukan jiran-jirannya'', Saddam tetap berpendirian bermusuh dengan jiran-jirannya. Tanpa serik terhadap kesan perang selama lapan tahun ke atas rakyatnya, Saddam menyerang Kuwait pada 2 Ogos 1990.

Beliau yang diyakini oleh Duta AS ke Baghdad, April Glaspic dalam pertemuan pada 25 Julai 1990 bahawa AS tidak akan mencampuri urusan politik Iraq dengan jiran-jirannya, telah membuat perhitungan paling tragis. Tanpa sedari, beliau memasuki jerangkap samar AS yang membawa penderitaan teruk kepada rakyat dan negaranya. AS menggunakan sepenuhnya kesempatan ini untuk menghalalkan campurtangan langsungnya di rantau Teluk selepas dihalau keluar dari Iran bersama tumbangnya Shah Iran. Atas jemputan keluarga diraja Kuwait dan Arab Saudi, AS bukan saja berjaya mengawal rantau yang kaya dengan minyak, tetapi juga dapat menjual senjata dengan banyak kepada negara-negara kaya.

Secara sedar ataupun tidak, apabila AS menjaga pertahanan Arab Saudi, sekali gus ia turut mengawal tempat-tempat suci umat Islam - Mekah dan Madinah. Baitulmaqdis sudah pun berada di tangan Israel. Dengan menjadikan Iraq sasarannya sekarang, AS juga turut mengawal Karbala - 'Mekah kedua' bagi orang-orang Syiah.

Baru-baru ini White House mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan memperuntukkan sebanyak AS$97 juta (RM368 juta) sebagai tawaran kepada kumpulan-kumpulan anti-Saddam. Demikian bersungguh-sungguhnya AS menumbangkan seorang pemimpin yang dibencinya.

Parti Demokratik Kurdistan dan Majlis Tertinggi Revolusi Islam Iraq - dua kumpulan anti-Saddam - telah mengeluarkan kenyataan menolak bantuan itu. Mereka mungkin menerimanya secara senyap-senyap.

Jika AS terus mengganas di Iraq dan Saddam dapat bertahan lama, beliau kemungkinan besar akan dijulang sebagai hero bangsa Arab, memandangkan dunia Arab ketandusan hero begitu lama sejak kematian Gamal Nasser.

Permusuhan dengan Saddam sebenarnya menunjukkan yang AS begitu konsisten dalam dasar luarnya. Dari dahulu hingga sekarang, dasar luar AS akan sentiasa ''mencipta musuh'' pada setiap masa. Ia bukan saja penting kepada politik dalam negara dan luar negara, tetapi juga penting terhadap ekonominya. Saddam telah memberi peluang keemasan kepada AS untuk memenuhi kepentingan kuasa besar itu bukan saja di bidang politik dan ekonomi, malah Iraq kini menjadi medan menguji senjata terbaru yang paling ideal.

Read more!