Berpadalah memperjuangkan hak asasi

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 18 Disember 2005


MISTERI telah terurai tetapi persoalan tidak berjawab apabila pihak yang galak mendedahkan "penderaan'' dalam lokap polis kini kunci mulut dan cuci tangan.

Hari kedua dan ketiga inkuiri awam suruhanjaya bebas baru-baru ini telah menyuraikan dua persoalan utama. Pertama; adakah benar wanita yang diarahkan ketuk-ketampi sambil berbogel itu antara lima warganegara China yang mendakwa dikasari polis sebelum ini? Keduanya, adakah ketuk-ketampi dan bogel dalam lokap polis itu satu penderaan dan menyalahi hak asasi manusia?

Kedua-dua persoalan ini menjadi kunci kepada kontroversi klip video tahanan wanita di Balai Polis Petaling Jaya yang disebarkan kepada umum hingga ke lobi Parlimen. Kontroversi akibat kenyataan demi kenyataan oleh beberapa pihak menggambarkan yang berlaku dalam lokap polis itu satu penderaan kepada warganegara China.

Kerana ada pihak yang begitu galak mengeluarkan kenyataan hingga mengeruhkan hubungan dua hala Malaysia-China, kerajaan terpaksa mewujudkan sebuah suruhanjaya bebas untuk menyiasat isu ini. Kewujudan suruhanjaya bebas ini membuktikan kerajaan telus dan tidak bias kepada mana-mana kaum.

Hasil daripada inkuiri awam suruhanjaya itu, kontroversi ini sudah tidak kontroversi lagi. Ini kerana wanita dalam kilp video itu bukan warganegara China. Walaupun tidak pernah disebut secara khusus tetapi persepsi dibentuk wanita itu warganegara China. Wanita itu sebenarnya rakyat tempatan keturunan Melayu. Jadi bias kaum yang dibentuk oleh beberapa kenyataan sebelum ini salah sama sekali.

Inkuiri awam juga mendedahkan bahawa ketuk-ketampi antara lima hingga sepuluh kali bukanlah penderaan. Sebaliknya ini adalah amalan biasa untuk memeriksa tahanan wanita dalam kes-kes seperti dadah. Maka jelaslah tidak ada isu yang boleh dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi manusia seperti yang dihebohkan oleh pihak tertentu. Adakah selama ini polis kita melakukan penderaan?

Difahamkan kaedah ketuk-ketampi ini digunakan di banyak negara lain. Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Musa Hassan pula kurang setuju dengan istilah "ketuk-ketampi'' yang mencerminkan tahanan didera. Tahanan bangun dan mencangkung supaya pemeriksaan dapat dijalankan ke atasnya.

Barangkali ada yang bertanya kenapa klip video ini sampai hingga ke lobi Parlimen? Malah yang lebih menimbulkan tanda tanya kenapa semacam ada imuniti kepada individu menjaja klip video yang mengaibkan tahanan wanita itu? Inikah cara pihak tertentu memperjuangkan hak asasi manusia?

Sebab itulah kontroversi ini perlu dibaca dan disorot bukan saja isu hak asasi manusia malah daripada kaca mata politik. Motif politik ternyata lebih terserlah apabila makna "hak asasi manusia'' seolah-olah untuk kaum tertentu tambahan pula dibangkitkan oleh parti tentu saja.

Kalau sebelum ini pihak yang membangkitkan isu ini dilihat seumpama wira, Selasa lalu mereka dilihat dengan imej yang berbeza. Mereka tidak matang berpolitik, hujah tidak mantap, fakta salah dan tidak bertanggungjawab di atas tindakan.

Adakah selepas mencetuskan kontroversi yang menggegarkan negara, pihak ini boleh mengundurkan diri daripada kontroversi ini begitu saja? Mereka mesti bertanggungjawab di atas "perjuangan hak asasi'' yang memalukan negara dan pihak polis.

Mesti ada satu bentuk tindakan supaya pada masa akan datang tidak ada pihak yang sewenang-wenang mencetuskan suasana tegang dalam ataupun luar negara. Ini bukan perkara kecil dan boleh didiamkan begitu saja. Apabila kerajaan terpaksa wujudkan sebuah suruhanjaya bebas bermakna perkara ini serius.

Lihatlah perkara yang tidak sepatutnya menjadi isu telah menjadi kontroversi besar akibat menyalahgunakan kebebasan bersuara. Ruang kebebasan ini digunakan melampaui yang sewajarnya.

Mungkin yang isunya di sini ialah mengambil gambar tahanan dalam keadaan bogel. Ini isu individu dan pihak atasan polis tentu ada tindakan tertentu di atas perbuatan ini. Tetapi yang jelas ini sama sekali bukan dasar polis negara ini terhadap tahanan terutamanya dari China.

Kontroversi ini juga wajar memberi pengajaran kepada banyak pihak terutama yang terlalu cepat mengeluarkan kenyataan. Mereka perlu lebih berhati-hati. Teliti dahulu hujung pangkal sebelum mengeluarkan kenyataan sama ada menyokong atau sebaliknya. Ini kerana kenyataan daripada persepsi yang keliru tentu akan mengelirukan.

Kenyataan-kenyataan begini akan membentuk persepsi umum yang silap terhadap sesuatu isu. Lihatlah secara logiknya apakah kaitannya tindakan polis menahan dan memeriksa seorang wanita Melayu dengan kemasukan pelancong dari China?

Tetapi apabila persepsi dijuruskan bahawa wanita yang diarah bogel itu warganegara China, maka bertalu-talu kenyataan yang menyentuh kebimbangan menurunnya kemasukan pelancong China.

Satu lagi persoalan yang tidak kurang pentingnya ialah tindakan polis berdiam diri dan tidak mendedahkan bahawa wanita itu bukan warganegara China. Tentunya polis tidak memerlukan masa yang panjang untuk mengesahkan bahawa wanita itu adalah rakyat tempatan.

Kalaulah awal-awal lagi identiti warganegara wanita itu didedahkan, tentu tidak ada peluang pihak tertentu untuk menyemarakkan kontroversi hingga sampai ke China. Sikap berdiam diri pihak polis juga membentuk persepsi seolah-olah dakwaan itu benar.

Perjuangan hak asasi manusia kini sudah menjadi lesen untuk tujuan yang lain. Kontroversi tahanan wanita ini boleh dijadikan contoh bagaimana mudahnya benda-benda kecil seperti ketuk-ketampi sengaja dilihat sebagai isu hak asasi manusia.

Kalau benar memperjuangkan isu hak asasi manusia berpada-padalah. Jangan kelihatan melampau kerana ketuk-ketampi bukan bentuk hukuman yang luar biasa di sekolah-sekolah suatu ketika dulu.

Adakah pihak yang menghangatkan kontroversi ini terlalu gopoh atau sengaja menggunakan isu sekecil ketuk-ketampi sebagai modal politik?

Read more!

Rusia menyumbang semangat multipolar

Oleh: Zin Mahmud (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 14 Disember 2005

Walaupun Rusia hanya berjaya mendapat status pemerhati dalam Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) pertama semalam, tetapi kedudukannya lebih mantap di rantau ini apabila Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia pertama berlangsung Selasa lalu.

Rusia yang memohon untuk menjadi anggota EAS adalah rakan dialog ASEAN selama sembilan tahun.

Sebagai pemerhati dalam EAS, sudah cukup bagi negara terbesar dunia itu mengesankan kehadirannya di rantau ini. Sekali gus ia menyumbang pada semangat multipolar yang menjadi aspirasi kepada banyak negara yang tidak bersetuju dengan peranan unipolar Amerika Syarikat (AS).

Sejak kejatuhan Kesatuan Soviet yang diterajui Rusia, politik global berubah daripada dwipolar kepada unipolar. Semasa Perang Dingin, kedudukan dwipolar dunia ditandai oleh dua kuasa besar iaitu AS dan Soviet.

Tetapi dengan perpecahan Soviet, Rusia tidak mampu lagi menjadi kuasa besar dan ini menyebabkan AS mengamalkan peranan unipolar dengan nama Order Dunia Baru (NWO) di mana ia berani membuat sesuatu inisiatif politik global tanpa perlu mengambil kira bangkangan kepada kuasa pesaingnya. Peristiwa paling besar yang menandakan peranan unipolar AS ialah peperangan yang dilancarkan terhadap Iraq.

Dari situ negara-negara lain mula membimbangi sikap unipolar AS itu dengan menyeru supaya diwujudkan sistem multipolar dalam politik global dunia.

Pendukung-pendukung multipolar ini, termasuk Malaysia menentang peperangan yang dilancarkan oleh AS dan sekutu-sekutunya ke atas Iraq. Negara-negara besar lain yang mendukung amalan multipolar ialah Rusia, Jerman, Perancis, China dan India.

Di kalangan negara ASEAN, ada yang menyokong peperangan AS ke atas Iraq seperti Filipina, Thailand dan Singapura. Sementara negara-negara seperti Malaysia, Indonesia dan Vietnam menentang tindakan AS itu.

Sementara di kalangan 16 negara yang menjadi anggota EAS, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand dianggap sebagai sekutu AS sementara China dan India mendukung amalan multipolar.

ASEAN secara keseluruhan sejak penubuhannya pada tahun 1967 dianggap sebagai himpunan negara-negara menentang komunis. Ketika itu, Thailand, Indonesia dan Filipina yang menjadi sekutu AS, maka pertubuhan serantau ini dianggap pro-Washington.

Pun begitu, dengan mengisytiharkan gagasan Zon, Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), ASEAN mengambil sikap berkecuali antara Moscow dan Washington bagi mengelak daripada terheret ke dalam peperangan di Indochina.

Setelah kejatuhan Saigon, Vietnam dan Laos menjadi sekutu Soviet. Kemboja di bawah Khmer Rouge merupakan sekutu China sementara Burma (kini Myanmar) mengambil sikap menyendiri dan menutup pintu luar tetapi memiliki hubungan strategik dengan Beijing.

Apabila Vietnam menakluk Kemboja dan menubuhkan kerajaan bonekanya di Phnom Penh, ASEAN memihak kepada Khmer Rouge. Justeru dalam keadaan sedemikian, ASEAN bersifat menentang Moscow.

Kejatuhan Soviet mengubah segala-galanya dan kini ASEAN yang dianggotai oleh 10 negara mengukuhkan hubungannya di antara satu sama lain.

Rusia sudah tidak menjadi ancaman kepada AS tetapi ternyata bahawa di mana-mana pun kehadirannya, bekas kuasa besar itu juga mahukan sistem multipolar di dunia. Maka kehadiran Rusia dalam Sidang ASEAN-Rusia dan EAS sebagai memberi sumbangan kepada aspirasi multipolar.

AS pasti berasa cemburu dengan kehadiran Rusia dalam EAS. China menyatakan kesediaannya menerima Rusia sebagai anggota EAS jika ASEAN menyetujuinya.

Tetapi ASEAN tidak akan terburu-buru menerima Rusia kerana perasaan AS juga patut dipelihara.

Semalam Bernama melaporkan dari Washington betapa Dana Dillon dari Heritage Foundation berkata EAS tidak mungkin berjaya merintis jalan ke arah pembentukan satu pasaran tunggal Asia.

Heritage Foundation yang menyatakan nada cemburu AS ini merupakan agensi pemikir konservatif yang menyumbang kepada fahaman politik Parti Republikan yang berkuasa di AS sekarang.

``Tidak ada sebarang tarikan yang boleh menyatukan mereka. Selepas 30 tahun pun, ASEAN belum menjadi pasaran bersepadu. India dan China (pula) bersaing sesama mereka. China dan Jepun sedang bertelagah. Satu-satu perkara yang mereka bersepakat ialah untuk tidak memasukkan AS dalam sidang kemuncak itu,'' kata pegawai pertubuhan itu.

Malah, menurut Dillon yang sentiasa mengikuti perkembangan di Asia Tenggara, beliau tidak hairan jika EAS kedua tidak akan diadakan.

Washington menolak gagasan Kumpulan Ekonomi Asia Timur (EAEC) dan memandang Sidang ASEAN+3 dengan penuh curiga. Tetapi EAS yang turut dianggotai oleh sekutunya, Australia meredakan kecemburuannya.

Read more!

Model integrasi Perancis tercalar

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 13 November 2005


Rusuhan di beberapa bandar di Perancis termasuk Paris yang berlarutan selama dua minggu wajar menjadi iktibar kepada negara yang dihuni oleh pelbagai etnik. Rusuhan yang meletus pada 27 Oktober lalu itu mengakibatkan kerugian dianggarkan AS$235 juta apabila lebih 6,400 kenderaan dibakar oleh perusuh.

Sebahagian besar perusuh terdiri daripada generasi muda pendatang Arab dan Afrika dan mereka tidak mempunyai peluang mendapat pekerjaan. Sebabnya mereka berada dalam kelas yang berbeza sekalipun sudah dua generasi berhijrah ke Perancis.

Rusuhan yang berterusan ini adalah memerangi politik kelas dan jurang kaum. Mesej rusuhan ini sangat jelas kepada dunia; Perancis tidak pernah memikirkan golongan minoriti. Maka merusuh dan membakar harta benda barangkali boleh menarik perhatian Perancis dan dunia.

Diskriminasi dan polarisasi kaum menjadi kata kunci kepada rusuhan terburuk sejak 44 tahun lalu itu. Rasa tidak puas hati, tertindas secara terhormat dan ditambah dengan krisis ekonomi telah meluaskan lagi jurang antara rakyat tempatan dengan kaum pendatang.

Semua ini dipendamkan oleh pendatang minoriti Arab dan Afrika termasuk yang beragama Islam sejak lama dulu. Mereka ini dilabelkan bukan "berkulit putih'' dan peluang pekerjaan sangat tipis. Kota Paris hanya untuk yang "berkulit putih'' dan kaum pendatang pula sekadar berada di pinggir kota. Bukan itu saja malah mereka menderita disebabkan oleh kadar pengangguran yang tinggi dan peluang pendidikan yang terbatas.

Menangani masalah kepelbagaian etnik sebenarnya tidak semudah kenyataan angkuh Menteri Dalam Negeri Perancis, Nicholas Sarkozy yang melabelkan semua itu angkara perusuh. Maknanya orang yang merusuh itu tidak mempunyai alasan yang kukuh terhadap tindakan mereka.

Dalam satu wawancara di sebuah stesen televisyen Perancis, Sarkozy mengulangi istilah "rabble'' (perusuh) merujuk kepada anak-anak muda bermasalah di kawasan mundur di pinggir bandar. Kenyataan itu menyemarakkan kemarahan dan menyumbang kepada lebih banyak harta benda dimusnahkan.

Beliau tidak melihat aspek lain misalnya ekonomi dan rasisme. Pertumbuhan ekonomi yang sangat perlahan menyumbang kepada peningkatan pengangguran. Peluang pekerjaan hanya lebih kepada rakyat tempatan menyuburkan krisis sosial yang membawa kepada rasisme seterusnya keganasan.

Pengangguran

Memang benar pertumbuhan ekonomi yang pesat bukan jaminan boleh memadamkan rasisme di mana-mana negara sekalipun. Tetapi dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat, kadar pengangguran dapat dikurangkan sekalipun peluang untuk kaum minoriti terbatas. Kini pendatang Arab dan Afrika tidak mempunyai harapan di Perancis, kerana itu mereka menuntut kesamarataan mengecapi kehidupan sebagai rakyat Perancis.

Pertumbuhan ekonomi Perancis empat tahun kebelakangan ini purata 1.5 peratus dan tahun ini hanya 1.2 peratus. Sementara pengangguran mencatatkan kadar 10 peratus dan 25 peratus di kalangan yang berusia bawah 25 tahun.

Sebenarnya kadar pengangguran yang tinggi di kalangan pendatang terutama generasi muda bukan saja di Perancis. Senario ini berlaku di beberapa negara Eropah lain. Maka tidak hairanlah kalau rusuhan di Perancis dengan cepat tempias kepada Jerman, Sepanyol dan Belgium.

Di Jerman misalnya kadar pengangguran di kalangan pendatang Turki mencapai 25 peratus. Orang Islam British di Britain pula mencatatkan pengangguran 14 peratus dan di Itali, Sepanyol serta Belgium mencatatkan kadar pengangguran 20 peratus.

Rusuhan di Perancis terutamanya di kota Paris bukan jenayah semata-mata. Tragedi ini menuntut pengamatan dari aspek sosial apabila Perancis sengaja menutup mata dengan diskriminasi dan polarisasi kaum ke atas lebih 6 juta orang Islam di negara itu.

Kerajaan tidak sensitif kepada amalan diskriminasi peluang pekerjaan yang mengakibatkan kadar pengangguran di kalangan pendatang begitu tinggi. Ini mencetuskan pula jurang kaum dan remaja pendatang mulai bungkam dan menunggu masa untuk meluahkan protes.

Kenyataan angkuh Nicholas Sarkozy kelihatan sangat bertentangan dengan Presiden Jacques Chirac. Sarkozy tidak menyusuri rusuhan itu maka dia melabelkan sebagai salah satu perlakuan jenayah oleh pendatang. Chirac sebaliknya lebih terbuka dan mengakui kegagalan Perancis mengecilkan jurang kaum dan diskriminasi faktor utama rusuhan.

Sejak rusuhan meletus, Chirac mengambil pendekatan berdiam diri. Kenyataan hanya dikeluarkan oleh Sarkozy yang bertanggungjawab dalam hal ehwal dalam negara. Bagaimanapun Khamis lalu Chirac membuat pengakuan terbuka kegagalan Perancis terhadap dua perkara tersebut.

Chirac setidak-tidaknya realistik dengan kegagalan Perancis untuk menjadi model integrasi kaum. Barangkali beliau akan belajar banyak perkara selepas tragedi rusuhan yang mengoyak label "masyarakat Perancis yang bertamadun tinggi'' di mata dunia.

Rencana editorial akhbar berbahasa Perancis, L'Humanite menganggap kenyataan Menteri Dalam Negeri Perancis sebagai angkuh. Akhbar itu menulis, "Perancis adalah diskriminasi, pengangkutan awam yang teruk dan perumahan yang buruk. Kecuali kita memberikan mereka (pendatang Arab dan Afrika) harapan negara ini membangun dengan kesamarataan.''

Sementara rencana editorial akhbar Le Figaro pula menulis, "Perancis telah menerima padah kerana keangkuhan. Di mata dunia, model integrasi sosial kita yang masyhur itu dibuang ke dalam longkang.''

Jadi kematian dua remaja yang dikejar polis bukanlah puncanya yang mengakibatkan berpuluh-puluh bandar di Perancis termasuk Paris menjadi kancah rusuhan. Kalau boleh dikatakan punca, maka inilah punca yang tersurat daripada tragedi rusuhan terburuk sejak 44 tahun lalu di Perancis.

Rusuhan terburuk ini meninggalkan kesan yang tebal kepada imej Perancis dan semakin tebal prejudis kaum antara orang tempatan dan pendatang. Protes menuntut keadilan sosial ini menjadi tembok yang tebal menyukarkan proses integrasi.

Dunia luar hampir tidak percaya Perancis yang dilihat tidak bergolak sama ada politik atau sosial itu terpaksa mengisytiharkan darurat. Katakan bila kali terakhir kita mendengar rusuhan di Perancis khususnya Paris?

Bertamadun

Catatan menunjukkan ini adalah pertama kali dalam 44 tahun Perancis terpaksa menggunakan akta darurat yang diwartakan tahun 1955. Ia pertama kali digunakan tahun 1961 untuk menyuraikan rusuhan antara pendatang Algeria dengan orang tempatan.

Perancis sebenarnya bukanlah dikenali kerana Menara Eifel berkerangka besi di tengah kota Paris. Menara Eifel hanya sebahagian kecil monumen yang memperlihatkan Perancis sebagai negara bertamadun tinggi terutama dalam seni dan budaya.

Perancis memiliki sejarah kegemilangan yang panjang hingga menjadi sebuah negara yang disegani di Eropah. Semua ini kerana tamadun manusia di mana keamanan yang dilihat oleh dunia luar sebagai kunci kecemerlangannya.

Malah negara yang mempunyai ribuan muzium ini tidak terjebak dalam percaturan politik dalam mahupun luar negara yang besar. Perancis lebih banyak mengikut kuasa besar misalnya Amerika Syarikat (AS) dalam isu-isu antarabangsa.

Sekian banyak sasterawan dan seniman bertaraf dunia telah dilahirkan oleh Perancis. Maka tidak hairanlah kalau tamadun seni dan budayanya dilihat dari luar sebagai sangat tinggi dan mempesonakan.

Paris pula muncul sebagai syurga mempergayakan gaya hidup elitis, kota fesyen terunggul dan tempat yang paling menakjubkan bagi pengagum seni bina di seluruh dunia. Biarpun wajahnya sebagai kota lama tetapi legasi silam terserlah di perut kota Paris.

Tetapi Paris sebagai kota romantis dan elitis tercalar dengan rusuhan yang berterusan selama dua minggu itu. Perancis dan Paris akan diingati dengan tragedi lebih 6,400 kenderaan dibakar.

Kepada Perancis, tragedi buruk ini memberikan banyak iktibar supaya lebih sensitif terhadap elemen-elemen yang menjurus kepada rasisme dan diskriminasi. Malah Perancis memerlukan pelan pembangunan yang menyeluruh untuk memastikan pendatang yang berupa generasi kedua atau ketiga dan seterusnya menikmati standard kehidupan yang sama dengan orang tempatan.

Memang benar orang pendatang tidak mempunyai kuasa politik. Tetapi jangan lupa, bukan pemegang kuasa politik saja yang boleh menggugatkan keadaan apabila membelakangkan undang-undang. Inilah yang menimpa Perancis apabila generasi muda menggunakan kaedah mereka untuk menyuarakan protes.

Read more!

Filem dan bahasa Melayu

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 6 November 2005


FILEM Sepet arahan Yasmin Ahmad baru-baru ini memenangi Anugerah Filem Terbaik Asia di Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke-18 (TIFF-18). Sebelum itu Sepet memenangi Anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-18 (FFM-18).

Kemenangan Sepet di FFM-18 mencetuskan kontroversi. Antara yang dipersoalkan kenapa filem yang tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya boleh memenangi anugerah itu? Malah dipersoalkan lagi apakah dengan menggunakan bahasa Melayu, Cina dan Inggeris, Sepet boleh dianggap sebuah filem nasional?

Dalam Anugerah Skrin TV3 tidak lama dulu, ada juga yang bertanya kenapa filem Buli arahan Afdlin Shauki dipilih sebagai filem terbaik? Untuk makluman, filem Buli menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris serta bahasa rojak.

Dalam Akta Finas, definisi filem nasional antaranya adalah filem yang menggunakan medium bahasa Melayu. Maka kalau dilihat dalam kes ini Sepet bukanlah filem nasional kerana tidak menggunakan bahasa Melayu. Lalu keistimewaan sebagai filem nasional tidak diberikan kepada Sepet antaranya pulangan cukai hiburan.

Kita tentu setuju usaha memartabatkan bahasa Melayu sewajar dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu sebenarnya tidak diendahkan bukan saja dalam filem tetapi pada majlis-majlis rasmi yang sewajarnya digunakan bahasa Melayu.

Baiklah, kita boleh memaksa Sepet menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam filem ini. Kerana kita setuju bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu mesti menjadi medium dalam filem tempatan. Tetapi pada masa yang sama kita juga wajar realistik bahawa masalah penghinaan bahasa Melayu tidak selesai hanya mewajibkan filem menggunakan bahasa Melayu.

Kita juga jangan lupa bahawa filem adalah cermin psikik dan pemikiran sesuatu bangsa. Untuk mengenali sesuatu bangsa, tontonlah filem-filem yang dihasilkan oleh bangsa berkenaan. Maka apabila ada sebuah karya yang baik menggunakan medium bahasa Melayu, Cina dan Inggeris, kita wajar faham apa yang berlaku di luar filem terhadap bahasa Melayu.

Terlebih dulu sebelum menghukum filem yang tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya sebagai tidak patriotik, kita kena tengok apakah dasar bahasa kebangsaan kita sudah cukup mantap? Realitinya dasar bahasa kebangsaan kita tidak diendahkan.

Penggunaan bahasa Melayu dalam acara-acara rasmi sangat memalukan. Malah orang tanpa segan silu atau rasa bersalah memberikan reaksi spontan di depan kamera di televisyen dalam bahasa Inggeris. Kalau orang ramai menggunakan bahasa Inggeris, kita pasti boleh memaafkan sekalipun tidak wajar dimaafkan. Tetapi yang menggunakan bahasa Inggeris dan sebahagian besarnya bahasa rojak di kalangan pembuat dan pelaksana dasar.

Lihat saja bagaimana sikap orang-orang ini dalam program berita atau bual bicara di kaca televisyen. Mereka menggunakan bahasa rojak yang Melayu bukan, Inggeris pun bukan. Tetapi cara menggunakan bahasa itu seolah-olah suatu yang dimuliakan. Apabila ada filem atau sekian banyak drama di kaca televisyen menggunakan bahasa rojak (Inggeris campur Melayu), itu adalah gambaran kegagalan yang memalukan dasar bahasa kebangsaan kita. Untuk mencari jalan penyelesaian, tidak adillah menyalahkan filem atau drama seratus peratus. Ini kerana persoalan yang lebih besar adalah kegagalan dasar bahasa kebangsaan.

Bahasa rojak

Sebenarnya kita semua tidak gembira apabila ada filem-filem atau drama yang menggunakan bahasa rojak. Kita tentu malu dengan filem atau drama dari Indonesia misalnya yang menggunakan bahasa Indonesia biarpun ada slanga tertentu. Tetapi isu bahasa rojak dalam filem tempatan tercetus daripada isu lain yang lebih besar. Maknanya tidak salah kalau ada kalangan kita sensitif dengan penggunaan bahasa Melayu campur Inggeris campur Cina dalam filem tempatan. Tetapi kita wajar melihat pangkal isu bahasa dalam filem tempatan. Tentu ada pangkalnya dan kita jangan sama sekali cuba menyembunyikan pangkal dengan menilai pucuknya saja.

Soalnya kenapa kita terlalu beria-ia sangat mempersoalkan filem yang tidak menggunakan bahasa Melayu yang baik sedangkan dalam perkara lain bahasa Melayu tidak pernah dimuliakan? Kalau ada yang berkata bahasa Melayu menjadi alat penyatuan kaum, anggaplah itu satu propaganda murahan dalam konteks negara ini.

Jadi jangan sama sekali membuat sesuatu yang melulu untuk kelihatan patriotik. Itu suatu yang tidak sihat. Perbetulkan dulu pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan dan menjadikan bahasa Melayu bahasa rakyat Malaysia, bukan kaum Melayu. Kegagalan melaksanakan dasar bahasa kebangsaan ini sebenarnya mempengaruhi penghasilan filem dan drama.

Orang filem tidak wajar dipersalahkan tetapi tanyalah kenapa yang digambarkan dalam filem benar-benar berlaku di dalam masyarakat? Kita percaya kalau semua kaum di negara ini bertutur dalam bahasa Melayu tentu tidak ada filem yang dibuat menggunakan bahasa Melayu, Inggeris dan Cina. Filem Indonesia menggunakan bahasa Indonesia kerana dasar bahasa kebangsaan mereka kuat. Maka tidak ada filem atau drama yang menggunakan bahasa rojak. Kalau digunakan juga, sudah tentu berasa sangat janggal.

Maka definisi filem nasional dalam Akta Finas wajar diteliti semula. Gugurkan peraturan hanya filem berbahasa Melayu saja yang diiktirafkan sebagai filem nasional. Ini sekadar untuk memberikan keadilan kepada karyawan yang menghasilkan filem dalam bahasa lain. Dalam filem, bahasa verbal hanya medium yang kecil untuk menjelaskan jati diri sesebuah filem kepada khalayak dunia.

Memang baik kalau dibuat dalam bahasa Melayu tetapi ini bukan kayu ukur untuk menonjolkan jati diri dan pemikiran bangsa dalam sesebuah filem. Filem ada bahasanya sendiri. Bahasa filem akan difahami oleh semua orang di seluruh dunia. Bahasa filem inilah yang menentukan sama ada sesebuah filem mampu menonjolkan jati diri atau sebaliknya.

Isu filem tempatan bukanlah kerana menggunakan bahasa rojak. Malah menggunakan bahasa Melayu yang baik sekalipun, masalah filem tempatan tidak akan selesai. Masalah utama filem tempatan adalah soal mutu pemikiran yang sangat rendah. Itu yang perlu ditekan kalau pihak berkuasa jujur mahu menangani masalah filem tempatan.

Lalu apabila ada filem yang bahasa Melayunya kurang baik, tetapi jelas mencerminkan sosiobudaya masyarakat majmuk negara ini, apakah ini bukan filem yang boleh mewakili negara sebagai filem nasional? Laksanakan dasar bahasa kebangsaan dengan betul dulu baru tanya kenapa filem tempatan guna bahasa Melayu, Cina dan Inggeris? Kalau pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan hangat-hangat tahi ayam, lebih baik diam.

Read more!

Nuklear: Dunia belum selamat

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 25 September 2005


Dunia khususnya Asia belum selamat sekalipun Korea Utara memperlihatkan sedikit kompromi tentang program senjata nuklear yang dibangunkan sejak Perang Korea lalu. Kompromi yang diperlihatkan dalam rundingan enam negara di Beijing baru-baru ini bagaimanapun tidak menjanjikan toleran negara komunis itu.

Rundingan selama dua tahun sebelum ini gagal mencapai persefahaman. Malah Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) saling mempertahankan kebenaran mengenai senjata nuklear. Korea Utara tidak mudah mengalah dengan keangkuhan AS. Maka perjanjian sebelum ini berakhir dengan dendam dan tuduh-menuduh.

Presiden George W. Bush sebelum ini mengelaskan Korea Utara antara negara ``paksi kejahatan'' bersama Iran dan Iraq. Tetapi AS tidak tergopoh gapah membuat perhitungan ketenteraan terhadap Korea Utara. Sebaliknya beralih kepada Iraq kononnya Iraq mempunyai program senjata nuklear yang membahayakan dunia.

Bagaimanapun hingga hari ini AS khususnya Bush gagal membuktikan dakwaan itu. Sebaliknya itu sekadar lesen untuk mengabui mata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ketika Iraq dibelasah tanpa perikemanusiaan, Korea Utara tanpa berselindung mendedahkan program senjata nuklearnya yang dibangunkan mengikut jadual.

Kenapa AS tidak menyerang Korea Utara? Kenapa digembar-gemburkan rundingan untuk menghentikan program senjata nuklear di Korea Utara?

Keangkuhan Korea Utara menarik diri daripada menjadi anggota Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) adalah tamparan kepada AS. Dalam lain perkataan, dengan tidak menganggotai NPT, rejim komunis itu secara terang-terangan bak bom jangka yang akan meletup pada bila-bila masa.

Rundingan enam buah negara di Beijing itu disertai oleh AS, Jepun, Korea Selatan, China dan Rusia. Dengan pembangunan program senjata nuklear yang terancang, Korea Utara menjadi kuasa besar yang baru. Ia menggugat kestabilan di rantau Asia sekali gus menakutkan AS yang mempunyai kepentingan di rantau sebelah sini.

Rundingan itu pada mulanya dikatakan membuahkan harapan apabila Korea Utara bersetuju menghentikan program senjata nuklearnya serta membuka pintu kepada pasukan pemeriksa senjata Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Tetapi 24 jam kemudian, Korea Utara mengemukakan syarat baru, sekali gus membayangi kegagalan rundingan dua tahun lalu.

Korea Utara nyata tidak mudah memusnahkan program senjata nuklear yang dianggap terhebat itu. Kontroversi kebocoran rahsia pada Mac 2001 dulu bahawa AS akan menggunakan senjata nuklear untuk menentang Korea Utara tentunya memberikan kesan kepada rundingan kali ini.

Syarat yang diberikan oleh Korea Utara untuk menghentikan program senjata nuklear ialah membenarkan loji tenaga nuklear untuk kegunaan awam. Tetapi syarat itu ditolak dengan penuh prasangka oleh lima negara lain itu, dan nuklear mesti dihapuskan di Korea Utara.

Ketika ini Korea Utara mempunyai peluru berpandu jenis Scud B yang mampu mencapai sasaran sejauh 300 kilometer. Jarak itu bermakna Korea Utara boleh melancarkan peluru berpandu itu bagi mana-mana lokasi di Korea Selatan. Sementara Scud C pula boleh mencapai sasaran 550 kilometer yang boleh sampai ke seluruh Korea Selatan dan sebahagian besar Jepun.

Bahayanya Korea Utara kepada dunia bukan main-main. Dengan program pembangunan senjata nuklear yang terancang mereka juga menghasilkan peluru berpandu Nodong yang boleh mencapai sasaran 1,300 kilometer dengan berat 770 kilogram. Jenis Teapo Dong-1 pula dalam peringkat ujian yang boleh mencapai jarak hingga 2,000 kilometer atau mencakupi seluruh Jepun.

Program terhebat Korea Utara ialah membina peluru berpandu Teapo Dong-2 yang dijangka siap sepenuhnya pada 2015 nanti. Keupayaan peluru berpandu ini sangat luar biasa. Ia mencapai jarak 12,000 kilometer yang membolehkan Korea Utara menghantar ``hadiah'' dari Pyongyang ke mana-mana lokasi di AS.

Nah, dengan kehebatan yang dimiliki itu, apakah Korea Utara akan berhenti setengah jalan dan tunduk kepada tekanan lima negara dalam rundingan terbaru ini? Tidak ada faktor yang lebih meyakinkan kenapa Korea Utara harus bersetuju dengan desakan enam negara itu bagi menamatkan program nuklearnya. Maka rundingan terbaru ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru bagi menjanjikan kestabilan politik dan keselamatan di rantau sebelah sini.

Menurut Bulletin of the Atomic Scientists edisi Mei/Jun lalu, Korea Utara membangunkan program nuklearnya sejak lebih setengah abad lalu. Semua ini bermula dengan Perang Korea (1950-1953) apabila AS menggunakan senjata nuklear ke atas Korea Utara.

Dalam kata lain AS yang bertanggungjawab apabila Korea Utara membangunkan senjata nuklear. Tanpa pengajaran daripada AS dalam Perang Korea, barangkali Korea Utara tidak membangunkan senjata yang bahaya itu. Ketika mula membangunkan program senjata nuklear, Korea Utara mendapat sokongan padu daripada Kesatuan Soviet dan dua dekad kemudian China pula membantu Korea Utara membangunkan program nuklear ini.

Negara-negara yang memberi tekanan kepada Korea Utara sekarang adalah yang pernah menyokong ketika Korea Utara menentang AS. Ini memperlihatkan pendirian negara-negara seperti China dan Rusia ditentu kan oleh AS.

Rundingan baru-baru ini juga dilihat memberikan pulangan politik kepada AS di bawah pimpinan Bush. Selepas Bush dilihat sebagai ``paksi kejahatan'' sebenarnya apabila mengetepikan PBB, rundingan ini seolah-olah membuktikan Bush dan Setiausaha Negara, Condoleezza Rice sebenarnya mengimpikan keamanan. Rundingan lebih kepada mahu menonjolkan bahawa mereka tidak mahu bertindak secara kekerasan sebaliknya menjurus kepada penyelesaian diplomatik.

Maka rundingan baru ini tidak lebih untuk mengalih perhatian dunia terhadap kegagalan Bush membuktikan Iraq mempunyai loji senjata nuklear, selepas beribu-ribu orang awam terkorban di Iraq akibat serangan AS.

Kini perhatian dunia dibawa ke Korea Utara. Seperti biasa AS mahu kelihatan sebagai pentadbir dunia yang baik dan berunding supaya Korea Utara menghentikan program yang boleh mengganggu kestabilan dunia hari ini. Sebenarnya tidak ada yang hendak diharapkan daripada rundingan ini.

Apabila Korea Utara bertegas mahu memiliki tenaga nuklear untuk kegunaan awam dan AS bersama Rusia dan China tidak bersetuju akan terbantutlah rundingan ini. Lihatlah dalam masa 24 jam saja Korea Utara memberikan syarat baru untuk menamatkan program senjata nuklearnya. Maknanya negara komunis itu tidak pernah kompromi ke arah kestabilan dan kesejahteraan di rantau ini. Dunia akan terlupa bahawa AS tanpa kompromi mahu menyerang Iran yang didakwa membangunkan senjata nuklear, sebaliknya mahu berbincang dulu dengan Korea Utara yang ternyata mempunyai senjata nuklear. Apa maknanya semua ini?

Read more!

Berjuang menuntut kemerdekaan - Belasungkawa Afrini Adham

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 25 September 2005


Ketika ada kalangan orang kelas bangsawan dan berpendidikan Inggeris memperleceh gerakan memperjuangkan kemerdekaan oleh nasionalis Melayu, dia dengan lantang berkata, "Malaya pasti merdeka.'' Dia sangat optimis dengan gerakan beberapa nasionalis Melayu, yang diikuti juga oleh golongan guru dan sasterawan akan membawa kemerdekaan kepada Malaya.

Kini tidak banyak yang ingat namanya, tetapi bukan menghairankan kerana dia bukan tokoh politik. Dia seorang sasterawan, berjuang untuk Malaya dengan pena, kertas dan minda yang terbuka. Dia tegas dan sangat percaya kepada idealisme perjuangan yang dipegangnya.

Ketika dia menulis puisi Malaya Pasti Merdeka, fajar merdeka masih jauh untuk digapai. Tetapi dia yakin dan puisi Malaya Pasti Merdeka dianggap mahakarya yang ditinggalkan kepada generasi hari ini selepas 48 kali 31 Ogos melewati kalendar kita.

Dia Afrini Adham yang senama dengan ledakan dan cetus perjuangan yang digerakkan menerusi landas sastera dan bahasa. Afrini Adham antara sasterawan besar yang kita miliki sekalipun dia lebih tersorok di Kedah daripada kemilau dan tertonjol di tengah kota.

Sebagai sasterawan dan nasionalis, Afrini Adham meninggalkan banyak khazanah dan cerminan hidup kepada kita. Sebagai sasterawan yang memuncak pada dekad 50-an, Afrini Adham tidak menjulang slogan seni untuk masyarakat atau seni untuk seni yang dipelopori oleh Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50).

Afrini Adham mempunyai prinsip perjuangan yang tersendiri dalam relung sasteranya. Maka tidak hairan kalau Afrini Adham memperjuangkan seni untuk perjuangan dan ini membuatkan dia berbeza daripada sasterawan Asas 50.

Dia menjulang idealisme perjuangan menuntut kemerdekaan, inilah anak muda yang membakar semangat orang Melayu bahawa Malaya pasti akan merdeka pada tahun 1955 lagi.

Petang Khamis lalu Afrini Adham nama sebenarnya Ahmad Ariffin telah menutup usia ke-77 tahun. Pada 4 November ini genaplah usianya yang ke-78 tahun. Selepas beberapa lama menderita barah usus, Afrini Adham yang dikenal juga sebagai Kelana Muda, Mak Inang Moden dan Bidas menghembuskan nafas terakhir di Hospital Alor Star.

Allahyarham mempunyai riwayat yang panjang dalam kesusasteraan. Sebagai orang muda yang menggelegak darah ketika Malaya bermimpi kemerdekaan, Allahyarham sangat yakin dan menulis puisi Malaya Pasti Merdeka. Puisi itu disiarkan dalam akhbar Utusan Zaman tahun 1955.

Afrini Adham dilahirkan di Kampung Seberang Nyonya, Alor Star pada 4 November 1927. Mendapat didikan awal di Sekolah Seberang Perak, Alor Star kemudian ke Sekolah Melayu Sungai Korok dan Sekolah Melayu Sungai Petani hingga darjah lima.

Zaman kanak-kanaknya dilingkar kemiskinan. Tetapi Afrini Adham tetap percaya miskin atau kaya, ilmu akan menjadikan seseorang itu lebih berguna kepada bangsa dan negaranya. Maka tidak hairanlah di samping belajar agama, sebelah petang Afrini Adham belajar bahasa Inggeris di Seberkas Free School, Alor Star selama dua tahun mulai 1947.

Dalam pertemuan sasterawan yang diadakan di Kuala Lumpur, Afrini Adham jarang ketinggalan untuk hadir dan bertemu sasterawan generasi baru. Allahyarham seorang tua umpama ayah yang memahami orang muda kerana gelegak muda itulah yang menjulang namanya pada dekad 50-an.

Allahyarham mulai dirangsang untuk berkarya apabila sebuah puisinya disiarkan oleh Warta Negara pada 1946. Bermula di situ, Afrini Adham muncul satu demi satu di penerbitan ternama seperti Utusan Zaman, Warta Mingguan, Mingguan Melayu, Majlis, Mastika, Juita dan Majalah Guru.

Dalam kesusasteraan khususnya genre puisi, Afrini Adham banyak berbicara mengenai perjuangan kemerdekaan, bangsa dan tanah airnya. Allahyarham boleh diumpamakan sebagai pemerhati yang kemudian mengolah secara kritis dan kreatif dalam karya sastera.

Afrini Adham dalam konteks kesusasteraan Nusantara, bukanlah hanya sasterawan Kedah. Lingkarannya ke Nusantara, tinggi karyanya setanding Allahyarham Usman Awang atau Masuri SN di Singapura.

Allahyarham pernah dianugerah Tokoh Budaya Kedah dan Tokoh Penyair Gapena beberapa tahun lalu yang disampaikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Langkawi.

"Allahyarham seorang yang pentingkan isi bukannya kulit. Hidupnya sangat sederhana walaupun besar jasanya. Kita mungkin sukar untuk menemui lagi manusia seperti ini,'' demikian kata Timbalan Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin mengenai sasterawan yang pernah menjadi idolanya.

"Afrini Adham besar daripada apa yang kita lihat,'' tambah beliau yang mengakui kehilangan seorang kawan rapat.

Afrini Adham sebenarnya mempunyai pengalaman dalam penerbitan majalah. Pada tahun 1949, Allahyarham dilantik sebagai penolong pengarang majalah Juita terbitan Malay Press di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Pada tahun 1953 Allahyarham menjadi pengarang sekali gus mengendalikan halaman cerpen dan puisi serta menulis pojok dengan nama Mak Inang Moden.

Suatu yang menariknya, waktu itu Allahyarham tidak menetap di Kuala Pilah, sebaliknya terus tinggal di Alor Star. Semua manuskrip yang hendak disiarkan dihantar ke Alor Star, disunting kemudian dihantar semula ke pejabat Malay Press di Kuala Pilah.

"Saya selalu bertemu Afrini Adham semasa di Singapura tahun 50-an. Allahyarham selalu datang ke Singapura bertemu rakan-rakan dalam Asas 50,'' kata Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Beliau mengakui Afrini Adham antara orang yang memberi semangat kepadanya untuk berkarya kerana waktu itu Samad masih bersekolah.

``Afrini selalu mengingatkan saya waktu itu bahawa orang melayu mempunyai tradisi kesusasteraan yang tinggi. Malangnya tidak memanfaatkan ketinggian kesusasteraan itu,'' ujar Samad sambil memberitahu Afrini Adham bukan tergolong dalam Asas 50.

``Allahyarham hanya sezaman tapi bukan Asas 50. Malah Allahyarham ada prinsip juang tersendiri iaitu seni untuk perjuangan,'' kata Samad mengenai sasterawan yang dikelaskan sebagai sangat merendah diri itu.

Sementara Ketua Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Profesor Rahman Saari berkata, beliau selalu menyarankan kepada pelajar dan guru-guru sastera supaya menghayati puisi Malaya Pasti Merdeka karya Afrini.

``Allahyarham bukan saja meramal dalam puisinya tapi sangat yakin dengan perjuangan menuntut kemerdekaan. Ada hujah-hujah kenapa Malaya pasti akan merdeka,'' tegas Rahman.

Beliau juga memberitahu Afrini Adham mencipta slogan perjuangan tersendiri dalam kesusasteraan yang lain daripada Asas 50 iaitu seni untuk perjuangan. Maka yang tertonjol dalam puisi-puisi sasterawan tersohor itu adalah jurus perjuangan untuk tanah airnya.

``Bagi saya Afrini Adham sasterawan yang besar. Tetapi agak tersisih daripada media dan tidak seperti rakan seperjuangan di Kuala Lumpur, Usman Awang atau Masuri SN di Singapura,'' kata Rahman.

Baginya, sekiranya Afrini Adham berada di Kuala Lumpur, Allahyarham juga akan tertonjol seperti Usman Awang dan lain-lain yang seangkatan dengannya. Rahman juga menganggap Afrini Adham seorang yang sangat merendah diri malah dari luarnya tidak kelihatan karakter seorang sasterawan besar.

Ketika bertugas di Alor Star tahun 1983, saya telah menemu ramah seorang lelaki tua yang membahasakan dirinya "pak cik'' di Bangunan Peruda. Waktu itu bagi saya "pak cik'' ini sama dengan beberapa orang lain yang berada di kaki lima Bangunan Peruda hari itu.

Sebelah malamnya pada acara deklamasi puisi di Dewan Pelbagai Guna (sekarang Kompleks Belia dan Sukan), "pak cik'' yang ditemui siang tadi mendeklamasikan puisi Malaya Pasti Merdeka dengan garang dan lantang.

Saya tanya orang yang ada di situ, siapa lelaki tua itu? Kata mereka, "Itulah Afrini Adham.'' Hari ini setelah pemergiannya, pasti terasa bahawa kita semua banyak berhutang kepadanya.

Read more!

Kenanglah pejuang kemerdekaan

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 11 September 2005


Sempena melangkah ke alaf baru lima tahun lalu, majalah India Today menerbitkan 25 siri edisi khas tentang sejarah dan pencapaian India. Keluaran khas pertama bertajuk 100 People Who Shaped India. Tajuk ini memberi fokus kepada tokoh yang mengubah cara rakyat India hidup, fikir dan bekerja.

Makna daripada edisi khas itu adalah jasa tokoh-tokoh yang ``membentuk'' negara wajar dikenang sepanjang zaman. India mempunyai tokoh hebat umpamanya Mahatma Gandhi atau Indira Gandhi. Apabila menyenaraikan 100 tokoh, mereka tidak memadam atau meminggirkan tokoh yang turut menyumbang kepada kecemerlangan India.

Saya teringat kepada rencana ini apabila mengenangkan kemerdekaan kita. Kita menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-48 pada 31 Ogos lalu. Seperti biasa kita bersorak-sorai sambil mendongak ke langit melihat bunga api yang memercik kemudian berkecai dan hilang di angkasa.

Merdeka adalah harta pusaka peninggalan tokoh-tokoh Melayu pejuang kemerdekaan kepada kita. Sebahagian besar daripada kita telah sinonim dengan Allahyarham Tunku Abdul Rahman yang digelar Bapa Kemerdekaan. Jasa Tunku kepada kita tidak terbalas hingga ke hujung usia. Hingga ke anak cucu kita menikmati harta yang ditinggalkan Tunku dan pejuang-pejuang kemerdekaan yang sezaman dengannya.

Tetapi agak malang pejuang Melayu lain jarang diperkatakan. Padahal mereka juga merintis denai dan relung ke destinasi kemerdekaan. Jalannya bukan saja penuh dolak-dalik malah onak duri dan ranjau sengsara.

Semua ini mereka redah tanpa dijanjikan apa-apa kecuali merdeka. Tetapi sebahagian besar daripada mereka tertimbus dalam lipatan sejarah, cuma segelintir yang tertonjol dan diulang bicara tentang mereka. Sebagai generasi yang hari ini menikmati hasil kemerdekaan, kita kenanglah mereka.

Kita mempunyai lebih 100 tokoh yang membentuk negara zaman kesultanan Melaka hingga sekarang. Tetapi pada setiap kali ulang tahun kemerdekaan, mereka yang berjasa kepada kita hilang bak percikan bunga api malam kemerdekaan. Adakah ini kerana nilai patriotisme dalam erti kemerdekaan kita sangat nipis? Atau adakah kita lebih banyak memadam daripada menjernihkan lubuk sejarah yang menyimpan banyak rahsia sengsara untuk merdeka?

Sekadar bertanya, bilakah kali terakhir kita ingat tokoh-tokoh ini diperkatakan; Dato' Onn, Dr. Burhanudin Al-Helmi, Ahmad Boestamam, Dr. Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Ibrahim Yaakob atau Mustapha Hussain? Mustapha mungkin mudah diingati apabila terbitnya buku memoirnya, Nationalism Before UMNO: The Memoirs of Mustapha Hussain.

Kita tentu terpinga-pinga cuba mengingatkan yang lain. Kemerdekaan hakikatnya bukan boleh dicapai oleh seorang dua. Perjuangan kemerdekaan digerakkan antaranya oleh tokoh-tokoh yang namanya dipadam dalam sejarah perjuangan kemerdekaan. Tanpa menafikan usaha Tunku, tetapi gerakannya bukan dilakukan oleh Tunku seorang. Kalangan tokoh daripada jurus kewartawanan dan kaum guru misalnya merupakan peledak yang besar untuk mencetus gelombang patriotisme.

Tunku memang pejuang kemerdekaan malah tokoh penting yang berunding dengan penjajah British kerana ilmu undang-undangnya. Tetapi di sebalik Tunku, ada pejuang-pejuang lain yang meratah kepahitan; dihimbau ke rumah pasung, dihina dan tidak kurang diancam nyawanya. Kita terpaksa menerima hakikat bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan bukan saja oleh tokoh-tokoh dalam haluan kanan. Kanan maksudnya yang berada di sebelah raja-raja Melayu dan bekerja dengan penjajah British.

Perjuangan juga diperkuatkan oleh tokoh-tokoh daripada haluan kiri yang tidak berkompromi dengan penjajah British. Politik kepartian waktu sebelum merdeka dan masa kini wajar dilihat dalam konteks dan premis yang berbeza. Sekali pun memilih haluan kiri, destinasinya tetap satu iaitu merdeka.

Apabila sejarah lebih menonjolkan tokoh-tokoh berhaluan kanan, tentunya ini tidak adil kepada Ahmad Boestamam, Dr. Burhanudin Al-Helmi, Pak Sako dan sekian banyak lagi haluan kiri yang ikut berjuang.

Pengkaji sejarah Datuk Profesor Ramlah Adam pernah menulis, ``Walaupun bersifat radikal dan pembangkang, namun dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, perjuangan seperti ini sangat bermakna dalam memberi satu perjuangan yang kental dan tidak bersifat pak turut.''

Tulisan Ramlah membuktikan tanggapan bahawa ada tokoh-tokoh berhaluan kiri dipinggirkan. Ini kerana kecenderungan lebih ruang kepada tokoh berhaluan kanan. Apabila kita memadamkan perjuangan tokoh berhaluan kiri, maknanya kita cuba meminda sejarah. Kesannya generasi baru tidak dapat belajar daripada sejarah sebenarnya waktu negara ini masih muda. Belajar daripada sejarah adalah merenung ke depan dan menoleh ke belakang. Tetapi sejarahnya mesti benar.

Lalu sama ada tokoh dari haluan kiri atau kanan, mereka berhak mendapat tempat seadilnya dalam sejarah. Ini untuk membolehkan generasi hari ini menoleh ke belakang dan belajar daripada sejarah yang adil kepada generasi yang sebelumnya.

Kerana itu Dr. Burhanudin Al-Helmi dari Pas, Ahmad Boestamam dari Parti Rakyat, Dato' Onn Jaafar dari Parti Negara misalnya wajar diberikan hak sejarah yang sama dengan Tunku. Kalau kita mahu menulis 100 tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan, tokoh-tokoh ini tidak wajar terlepas pandang hanya kerana berhaluan kiri.

Empat tokoh ini adalah pemimpin utama parti politik yang berpengaruh menjelang Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Mereka berempat juga antara pejuang kemerdekaan dan di belakangnya ratusan lagi yang tidak kurang besar jasanya.

Apabila berlaku apa yang disebut sebagai ``pensejarahan semula'' yang memadam tokoh-tokoh berhaluan kiri dalam perjuangan kemerdekaan, kita perlu menulis semula sejarah kemerdekaan negara ini. Sama ada tokohnya datang dari haluan kanan atau kiri, sejarah mesti berlaku adil kepada mereka.

Perbezaan fahaman politik sebelum merdeka tidak memesongkan tujuan perjuangan kemerdekaan. Semua tokoh Melayu ini berjuang untuk merdeka. Mereka adalah nasionalis dan wajar ditonjolkan kepada generasi hari ini tanpa ada bias politik yang sempit.

Dua tahun lagi kita akan menyambut setengah abad kemerdekaan negara ini. Barangkali kita boleh mulai memikirkan 100 tokoh yang berjuang mendapatkan kemerdekaan. Ini setidak-tidaknya membuktikan kita generasi yang tahu mengenang jasa pejuang-pejuang kemerdekaan yang tidak diperkatakan selama ini.

Read more!

Sepinya penghayatan kemerdekaan

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 21 Ogos 2005


DI PERUT kota raya Kuala Lumpur pada ketika ini masih belum terasa bahang ulang tahun kemerdekaan. Sepuluh hari lagi genaplah 48 tahun negara ini mencapai kemerdekaan. Nilai satu catatan sejarah 48 tahun lalu yang menelan sekian banyak nyawa dan sengsara berbayar apabila kemerdekaan berada dalam genggaman rakyat negara ini.

Kisah-kisah tentang kekejaman penjajah; sama ada Jepun, British, Portugis dan Belanda banyak diperkatakan. Semuanya tragis dan seksa menjadi satu bangsa yang bertuankan orang lain yang berbeza geografi, budaya dan juga agama.

Tidak ada cerita gembira kepada bangsa yang dijajah. Semuanya cerita duka, penuh air mata dan darah. Maka apabila kemerdekaan jatuh ke tangan rakyat, nilainya tentulah sangat besar.

Kalau melihat daripada betapa tingginya nilai kemerdekaan, kita tentu tidak percaya bahawa sekalipun hanya tinggal 10 hari lagi belum ada apa-apa yang menandakan kebesarannya. Kemerdekaan semacam ditinggalkan dalam sejarah dan menjadi terlalu usang untuk dikenang.

Negara menjadi sebegini maju dan rakyat mengecapi keamanan dan kemewahan, apa lagi yang menjadi faktornya kalau bukan kemerdekaan? Maknanya kemerdekaan sangat berjasa kepada kita semua, tidak kira mereka generasi ke berapa. Tetapi dengan suasana yang tidak mencerminkan kecintaan kepada sebuah kemerdekaan, apakah generasi hari ini ada rasa terhutang budi kepada kemerdekaan dan generasi yang merintisnya?

Beberapa tahun lalu sempena sambutan Bulan Kemerdekaan yang diadakan mulai 15 Ogos hingga 15 September, bendera Jalur Gemilang terpacak pada hampir semua kenderaan; kecil dan besar, mewah dan murah. Bendera sebesar telapak tangan menjadi paparan di mana-mana. Demikianlah hebatnya kempen mengibar bendera dengan tawaran hadiah yang juga tinggi nilainya.

Waktu itu di mana-mana penuh dengan bendera. Malah dekorasi dalaman juga ada yang berkonsepkan Jalur Gemilang. Suasana menjelang ulang tahun kemerdekaan terasa dan banyak mengharapkan suasana itu berulang pada tahun-tahun seterusnya. Mereka yang mengharapkan menjelang ulang tahun kemerdekaan sama dengan riuh dan riangnya Hari Valentine pada setiap 14 Februari.

Tetapi hari ini bangunan-bangunan tinggi, canggih lagi prestij lokasinya terpisah daripada Jalur Gemilang. Mahu tunggu bila lagi untuk mengibarkan Jalur Gemilang yang menjadi ekspresi kebanggaan bangsa yang merdeka? Apakah kita atau mereka terlupa bahawa tanpa kemerdekaan apakah mungkin bangunan itu mampu berdiri di situ?

Apakah tanpa kemerdekaan mereka boleh mengecapi hidup yang ultra mewah daripada kestabilan politik dan ekonomi negara ini? Terasa kemerdekaan semakin susut nilainya di kalangan sesetengah korporat kita. Lalu berlakulah endah tidak endah saja dengan rayuan kerajaan untuk menghidupkan suasana menjelang ulang tahun kemerdekaan.

Pengerusi Jawatankuasa Induk perayaan Hari Kebangsaan tahun ini, Datuk Seri Kadir Sheikh Fadzir pernah meluahkan rasa kecewanya apabila pihak korporat sangat dingin dalam menaja pintu gerbang. Pintu gerbang itu dibuat sebagai salah satu yang memeriahkan ulang tahun kemerdekaan.

Kadir yang juga Menteri Penerangan berhak untuk berasa kecewa. Ini kerana yang dilakukan bukanlah satu pembaziran sebaliknya satu apresiasi rakyat yang mengecapi kemewahan hasil kemerdekaan.

Apakah kerana hari ulang tahun kemerdekaan tidak ada elemen budaya kepenggunaan, maka nilainya di kalangan korporat kita jauh lebih rendah daripada Hari Valentine? Pada setiap tahun menjelang 14 Februari, semua pusat membeli-belah seolah-olah turut merayakan Hari Valentine.

Warna merah jambu yang menjadi lambang cinta melitupi hampir semua pusat membeli-belah. Produk dan aksesori berbentuk hati ada di mana-mana. Maka tidak hairanlah kalau semua orang terasa suasana yang dinanti-nantikan itu.

Hari Valentine menjadi sebahagian daripada budaya kepenggunaan. Peniaga sibuk mengira untung daripada ledakan industri iklan dan penyiaran yang memberikan promosi kepada Hari Valentine ini. Pengguna didesak supaya turut serta dalam ``pesta'' menjelang 14 Februari.

Maka apabila ulang tahun kemerdekaan tidak menjadi sebahagian daripada budaya kepenggunaan, ia menjadi sepi. Industri pengiklanan tidak ada apa yang hendak dijual kepada pengguna menjelang ulang tahun kemerdekaan.

Apakah hanya kerana tidak ada produk pengguna maka korporat tidak ambil endah dengan hari bersejarah ini? Mujurlah pada tahun-tahun sebelum ini korporat seperti Petronas, Telekom Malaysia, Penerbangan Malaysia dan beberapa lagi menaja iklan bermesej merdeka di televisyen.

Saban tahun juga stesen televisyen terutama RTM menyediakan program khas yang bertemakan kemerdekaan. Tetapi malangnya terasa agak superfisial dan dipaksa-paksa. Kemerdekaan tidak menjelma secara semula jadi sebagaimana yang sewajarnya. Pengisian di stesen televisyen agak didaktik. Mungkin ini juga menjadi faktor kemerdekaan yang baru berusia 48 tahun dirasakan terlalu usang dan tidak relevan lagi.

Sementara acara malam ulang tahun kemerdekaan pula sudah tidak boleh dijadikan ukuran patriotisme di kalangan kita. Pelbagai persembahan hiburan diadakan dan seperti biasa sambutan sangat luar biasa. Tetapi sambutan yang sama juga diberikan kepada persembahan pada hari-hari lain. Maknanya kalau sambutan hebat pada malam kemerdekaan bukanlah kerana tingginya nilai patriotisme. Sambutan hebat kerana ia sebuah persembahan hiburan dan generasi kita suka hiburan.

Kerana itu secara jujur kita perlu bertanya apakah wajar 31 Ogos dijadikan hari cuti umum? Tentu membazir cuti umum pada 31 Ogos kalau apresiasi terhadap kemerdekaan begitu rendah dan semakin susut nilainya. Apabila sesetengah pihak menganggap 31 Ogos tiada bezanya dengan hari lain, elok saja dimansuhkan cuti umum pada hari itu.

Maka apabila kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta sebagai belanja menyemarakkan 31 Ogos kepada 1.3 juta penghuni kampung baru Cina di seluruh negara, itu adalah realitinya hari ulang tahun kemerdekaan kita. Tujuan peruntukan itu adalah membolehkan penghuni di kampung baru Cina menghias kampung mereka dengan Jalur Gemilang.

Memanglah cantik apabila Jalur Gemilang berkibaran di sana sini. Tetapi apalah ertinya kalau mengibar Jalur Gemilang itu bukan datang daripada hati dan nurani untuk menghargai kemerdekaan?

Read more!

Toleransi dan kewarasan

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 7 Ogos 2005


Realiti televisyen telah mencetuskan kontroversi. Banyak pihak membidas program realiti televisyen yang dikatakan memberikan kesan yang buruk kepada budaya Melayu. Tetapi malangnya mereka tidak memperhalusi secara khusus kesan buruk itu.

Kritikan terhadap program realiti televisyen sebenarnya bukan baru. Program terawal American Family (1973) misalnya mendapat kritikan teruk terutama oleh akhbar The New York Times. American Family yang merupakan realiti televisyen pertama ini diparodi daripada filem pertama Albert Brooks, Real Life. Barat pun sensitif apabila kehidupan sebenar dipaparkan secara realiti.

Tetapi ledakan sebenar realiti televisyen pada 2000 dengan kemunculan program Survivor di Amerika Syarikat (AS) dan Big Brothers di Eropah. Ketika menghadiri forum televisyen interaktif di Cannes, Perancis tahun 2001, ahli-ahli panel juga membayangkan realiti televisyen akan menjadi satu fenomena seluruh dunia. Ini merujuk kepada ledakan Survivor hingga ke negara ini dan juga Big Brothers.

Kontroversi realiti televisyen di negara ini bermula selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegur secara umum supaya program realiti televisyen peka kepada norma dan susila tempatan.

Selepas teguran itu banyak pihak yang membentuk persepsi seolah-olah realiti televisyen kita sekarang ini sangat bahaya. Tetapi seperti biasa apabila terlalu banyak memberi reaksi, banyak pulalah kekeliruan yang timbul. Bukan saja keliru malah memberikan suatu gambaran yang agak menyimpang mengenai program realiti televisyen tempatan.

Mujurlah pada hari berikutnya Najib sendiri memperjelaskan bahawa kenyataan beliau bukan bermakna minta dihentikan realiti televisyen tetapi dikurangkan elemen-elemen yang bercanggah dengan nilai-nilai setempat.

Cuma apabila terlalu banyak pihak yang mahu memberi reaksi, hujah dan jurusnya menyimpang daripada topik yang sepatutnya dibahaskan. Program realiti televisyen di negara ini adalah Akademi Fantasia, Mentor, Malaysian Idol, Bersamamu, Mencari Cinta, Who Will Win dan Top Host.

Khalayak pula semacam panik apabila semua reaksi membentuk satu persepsi umum bahawa realiti televisyen sangat bahaya, tidak bermoral dan ancaman kepada budaya Melayu. Malah seolah-olah stesen televisyen seperti TV3, ntv7 dan Astro membawa bala yang sangat besar menerusi program realiti televisyen.

Teguran Najib suatu yang baik untuk industri penyiaran supaya ada kewarasan antara tanggungjawab moral dan juga perniagaan. Malah teguran Najib mengingatkan bahawa idea dan isi kandungan harus datang daripada orang tempatan.

Memang benar semua program realiti televisyen berkonsep hiburan negara ini tempias dari AS dan Eropah. Sama ada stesen televisyen mengambil secara francais atau meniru bukan lagi persoalannya. Ini kerana yang wajar menjadi isu daripada teguran Najib adalah apakah tidak ada idea yang asli boleh dikembangkan dalam konsep realiti televisyen?

Persoalannya apakah semua realiti televisyen mesti meniru dari Barat? Tiru satu hal, melangsungkan nilai Barat satu hal lagi.

Teguran Najib terhadap program realiti televisyen ini adalah cabaran kepada semua stesen televisyen negara ini. Apakah kita langsung tidak ada idea untuk menghasilkan konsep program seperti Akademi Fantasia selain dibeli konsepnya dari Mexico misalnya?

Jadi apa masalahnya dengan realiti televisyen? Adakah soal idea luar, populariti, isi kandungan atau kontroversi? Sebelum kita memberikan persepsi bahawa realiti televisyen di negara ini bagaikan satu virus yang bahaya kepada budaya dan moral, yang perlu dilakukan adalah tumpukan kepada isunya.

Kita semua juga wajar mengakui tentang masalah ketidakaslian idea. Tetapi yang banyak dibahaskan dalam media sejak akhir-akhir ini bukanlah tentang idea yang tidak asli. Sebaliknya mengenai isu ``budaya Melayu'' yang tentunya sangat luas ruang litupnya. Malah ada pula membahaskan isu ``budaya Timur''.

Seeloknya kita jangan tergesa-gesa menjuruskan kepada isu budaya kalau sekadar menyapu lapisan luar saja. Inilah yang meninggalkan kekeliruan seolah-olah hanya program realiti televisyen saja yang tidak berbudaya Melayu atau Timur.

Kita kena berlaku adil juga kepada program realiti televisyen. Caranya dengan menjuruskan perbahasan kepada isu-isu yang khusus dan bukan ``pukul rata'' secara umum. Kalau bercakap mengenai tidak berbudaya Melayu, kita kena mengakui hampir semua program bercorak hiburan di televisyen tidak berbudaya Melayu.

Apa itu budaya Melayu? Tentulah gerak geri, pakaian, muzik, lagu dan dekorasi pentas hiburannya. Apa pula yang ada pada semua program hiburan kita selain realiti televisyen? Tentulah tidak ada ``budaya Melayu'' yang diperkatakan di atas tadi.

Tambahan pula medium televisyen itu sendiri bukan daripada lingkungan budaya Melayu. Pakaian moden juga bukan busana tradisi Melayu, muzik moden memang bukan daripada budaya Melayu malah dekorasi pentas juga tidak ada seni bina Melayu.

Jadi, masalahnya bukanlah berbudaya Melayu atau tidak. Ini kerana banyak program hiburan lain juga tidak berbudaya Melayu kecuali beberapa program saja.

Apa bezanya pertunjukan nyanyian dalam Akademi Fantasia dengan program Hiburan Minggu Ini (HMI) di RTM? Kedua-duanya memperlihatkan orang menyanyi dan kedua-duanya dilakukan di atas pentas. Adakah kerana Akademi Fantasia atau Mentor di TV3 hebat diperkatakan maka itu menjadi satu kesalahan moral?

Program Mencari Cinta di TV3 pula tidak sedikit pun mengambil pendekatan The Bachelor yang berkonsepkan dating show. Pertemuan lelaki dan perempuan dalam Mencari Cinta disesuaikan dengan alam budaya setempat sekalipun sebaiknya rakaman program ini dibuat secara kandid tanpa pengetahuan peserta. Tetapi TV3 tidak melakukannya, tentu saja ini kerana faktor tatasusila.

Malah Akademi Fantasia juga sebenarnya tidak menepati konsep realiti televisyen dalam definisi Barat. Apa yang realitinya dalam Diari Akademi Fantasia kalau kamera tidak menyorot sepenuhnya aktiviti harian pelajar di premis itu.

Maka kita boleh membuat andaian bahawa konsep realiti televisyen di Barat tidak dilangsungkan dalam Akademi Fantasia. Memang banyak yang tidak ``realiti'' dalam Akademi Fantasia dan kita boleh menganggap ini sengaja dilakukan kerana faktor lingkungan budaya.

Malangnya tidak ada siapa yang membaca peringatan Najib supaya stesen televisyen tempatan tidak meniru bulat-bulat program realiti televisyen di Barat. Konsep realiti televisyen bermakna dalam satu premis, gerak-geri peserta akan dirakamkan oleh kamera yang diletakkan di pelbagai sudut secara rahsia.

Misalnya program realiti televisyen terbitan FOX, Who's Your Daddy. Program ini mencetuskan kontroversi serta membakar kemarahan khalayak apabila peserta wanitanya diambil sebagai anak angkat dan meneka identiti bapanya sendiri. Selain itu The Will terbitan CBS yang memaparkan rakaman realiti kehidupan sebuah keluarga.

Tetapi selepas satu episod ke udara, The Will dihentikan penyiarannya. Ini menjadikan The Will satu-satunya siri televisyen yang diberhentikan selepas satu episod disiarkan. Maknanya rakaman secara langsung juga belum diterima secara terbuka oleh masyarakat Barat.

Kita wajar melontarkan kebimbangan sekiranya ada perancangan pihak stesen televisyen meniru bulat-bulat Who's Your Daddy, The Bachelor atau The Will dalam program realiti televisyen tempatan. Maka saranan Najib supaya stesen televisyen peka memang kena pada tempatnya.

Pada 1998, Peter Weir mengarahkan filem The Truman Show yang dilakonkan oleh James Carrey. Bagi pandangan umum, The Truman Show adalah filem komedi yang membuatkan panggung gegak gempita dengan ketawa.

The Truman Show menceritakan bagaimana seorang manusia yang sepanjang hayatnya diekori oleh kamera. Semua yang dilakukannya dirakam dan dipaparkan ke-pada umum. Dalam konteks dunia penyiaran, apa yang berlaku dalam The Truman Show adalah realiti televisyen.

Maka stesen televisyen kena pastikan kebebasan kreatif, perang rating dan desakan kepenggunaan tidak akan melahirkan sebuah realiti televisyen seumpama The Truman Show yang menafikan hak privacy manusia. Stesen televisyen wajar sensitif dengan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

Read more!

Tragedi Hiroshima tidak berakhir

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 7 Ogos 2005


SEMALAM genap 60 tahun pengeboman ke atas bandar raya Hiroshima dan Nagasaki di Jepun. Bom atom oleh tentera Amerika Syarikat (AS) itu pula menamatkan Perang Dunia Kedua antara pihak bersekutu dengan Jepun di Asia. Semalam bukanlah ulang tahun ke-60 kekalahan Jepun di tangan pihak Bersekutu, juga bukan kemenangan AS melenyapkan dua bandar raya dan membunuh lebih 210,000 nyawa.

Tetapi semalam adalah detik untuk kita mengenang satu tragedi buatan manusia ke atas manusia lain. Pengeboman Hiroshima dan Nagasaki adalah tragedi besar dalam sejarah moden dunia. Manusia yang tidak berdosa malah tidak tahu apa-apa tentang pertelagahan Jepun dengan AS tiba-tiba berkubur di tanah air sendiri bersama debu runtuhan kota raya.

Selepas 60 tahun nuklear digunakan dalam peperangan untuk menegakkan satu ideologi, apakah yang dunia belajar daripada tragedi besar ini? Semua orang tidak kira apa warna kulit, fahaman dan budaya percaya nuklear tidak wajar dijadikan senjata peperangan. Senjata nuklear bukan saja membunuh musuh malah segala hidupan di sekitarnya.

Tetapi dunia tidak belajar daripada tragedi ini untuk menghapuskan sama sekali penggunaan senjata nuklear. Banyak negara berlumba-lumba membangunkan program senjata nuklear masing-masing sekalipun kesengsaraan akibat dua bom atom itu sukar dijangkau di layar imaginasi kita.

Untuk apa program pembangunan senjata nuklear kalau bukan hasrat untuk membunuh manusia? Maknanya dalam keriuhan aktivis pejuang keamanan mendesak dihapuskan semua senjata nuklear, masih ada pihak yang mahu melihat tragedi Hiroshima dan Nagasaki berulang lagi.

Kuasa-kuasa besar seperti AS tidak melihat leburnya Hiroshima dan Nagasaki sebagai keruntuhan satu tamadun manusia. Apabila manusia direstui membunuh manusia lain dengan senjata yang begitu kuat kuasa pemusnahnya, hilanglah satu tamadun manusia.

Maka kita boleh membuat kesimpulan tragedi yang berlaku 60 tahun lalu ini tidak memberikan iktibar yang sepatutnya kepada dunia. Malah pemimpin besar dunia tidak pernah belajar daripada kerakusan AS yang dilihat sangat rendah moralnya sekalipun menang dalam Perang Dunia Kedua.

Apakah kemusnahan harta benda dan manusia di dua bandar raya Jepun itu tidak menginsafkan negara-negara yang rakus dengan kuasa nuklear mereka? Bayangkan ketika ini terdapat tidak kurang 30,000 bom nuklear yang dimiliki oleh lapan negara. Dengan jumlah yang begitu besar, kesannya bukan lagi bom atom di Hiroshima dan Nagasaki. Kemusnahan yang bakal dicatat oleh 30,000 bom nuklear ini berpuluh kali ganda berbanding Hiroshima dan Nagasaki.

Apakah ini akan melahirkan kembali Manhattan Project, kod rahsia yang digunakan untuk projek pembangunan bom atom oleh AS dengan bantuan Britain dan Kanada dalam Perang Dunia Kedua?

Pada ulang tahun ke-50 tragedi Hiroshima dan Nagasaki sepuluh tahun lalu, banyak pihak optimis dengan pengekangan bom nuklear apabila jatuhnya negara-negara blok komunis dan Kesatuan Soviet. Kejatuhan Kesatuan Soviet bermakna tamatlah satu kuasa besar selepas AS yang menggunakan senjata nuklear.

Para penganalisis politik melihat runtuhnya Kesatuan Soviet sebagai sinar untuk menghapuskan senjata nuklear selepas setengah abad tragedi Hiroshima dan Nagasaki. Mereka optimis hanya Kesatuan Soviet yang menjadi pemangkin perlumbaan senjata nuklear.

Bagaimanapun semua jangkaan itu jauh menyimpang. Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, India dan Pakistan berlumba-lumba antara satu dengan lain membangunkan program senjata nuklear masing-masing. Selain itu keruntuhan Kesatuan Soviet juga tidak menunjukkan tanda-tanda positif "negara nuklear''; AS, Rusia, Britain, China, Perancis dan Isreal menutup gedung nuklear masing-masing.

Perjanjian Mengehadkan Senjata Nuklear (Non Proliferation Treatry) atau NPT yang dikuatkuasakan pada 1970 pula terpaksa dilihat semula. Tetapi persidangan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Mei lalu gagal membuat penambahbaikan besar pada perjanjian tersebut. Ini memperlihatkan kalangan negara nuklear masih mahu meningkatkan keupayaan program senjata nuklear masing-masing.

Sementara AS pula selalu menggunakan alasan membanteras senjata nuklear untuk menyerang negara-negara yang menjadi musuh politiknya. Lihat saja bagaimana Iraq yang didakwa mempunyai program pembangunan senjata nuklear dan itu menjadi lesen untuk menyerang dan melakukan pemusnahan. Tetapi sehingga kini AS belum boleh menunjukkan bukti program nuklear Iraq sekalipun beribu-ribu orang awam terbunuh akibat perang di Iraq.

AS tidak belajar untuk menginsafi keterlanjuran mereka ke atas Hiroshima dan Nagasaki 60 tahun lalu. Usaha mengekang senjata nuklear AS lebih bersifat politik; membayangkan akan menyerang Iran tetapi membiarkan Korea Utara yang terang-terang mempromosi pembangunan senjata nuklear.

Kalau dunia (negara-negara nuklear) belajar daripada tragedi Hiroshima dan Nagasaki, tentunya tidak ada lagi ujian senjata nuklear oleh AS, Britain dan Perancis. AS misalnya membuat lebih 100 ujian nuklear di mana 67 daripadanya dilakukan di Pulau Bikini dan Enewetak di kepulauan Marshall.

AS tentunya tidak mengendahkan lagi amaran bekas presidennya, John F. Kennedy semasa berucap di PBB tahun 1961. Kata Kennedy, senjata nuklear perlu dihapuskan sebelum ia menghapuskan semua manusia. Perhimpunan PBB tahun berkenaan menggunakan draf resolusi Ireland yang akhirnya membawa kepada lahirnya NPT. Perjanjian itu kemudiannya dikuatkuasakan pada 1970.

Malangnya NPT tidak dikuatkuasakan selayaknya. Perjanjian hanya tinggal perjanjian. Maka tidak hairanlah kalau ketika ini selepas 60 tahun leburnya Hiroshima dan Nagasaki, 30,000 senjata nuklear berselerak di atas planet bumi ini. Ia hanya menunggu masa untuk menghancurkan manusia dan ketika itu tragedi bom atom di Hiroshima dan Nagasaki sangat kecil dibanding dengan tenaga pemusnah nuklear yang baru.

Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Mohamed El Baradei berkata, tiga faktor kenapa NPT perlu dikaji semula. Pasaran gelap senjata nuklear, banyak negara menghasilkan senjata nuklear dan hasrat pengganas memiliki senjata nuklear.

NPT hilang upaya untuk mengekang pertumbuhan program senjata nuklear apabila empat kuasa besar nuklear tidak menyertai perjanjian ini. India, Pakistan, Korea Utara dan Israel tidak ada dalam perjanjian ini. Lalu apa lagi yang hendak kita harapkan bagi menyedarkan dunia selepas tragedi 1945 itu?

Malah negara yang menyertai NPT seperti AS, Rusia, Perancis, Britain dan China pula belum menghapuskan senjata nuklear masing-masing. Bukan saja tidak menghapuskan senjata nuklear malah berlumba-lumba mempertingkatkan keupayaan membunuh senjata nuklear masing-masing.

Maka semalam yang genap 60 tahun kemusnahan paling besar dalam sejarah moden dunia hanya satu hari dalam catatan sejarah. Pemusnahan yang lebih besar menanti kita. Manusia terus berlumba-lumba menghasilkan teknologi membunuh yang paling canggih. Semua ini terus berlaku selepas 60 tahun debu Hiroshima mengaburkan pertimbangan antara idealisme perang dan kemanusiaan.

Read more!