Kaedah memerangi jenayah seperti melawan komunis

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 7 April 2007


BEBERAPA hari lalu ketika pulang dari pejabat, penulis terasa sedih apabila melihat sebuah kawasan kediaman banglo di atas bukit telah pun didirikan pondok pengawal dengan kayu palang menghalang jalan.

Melihat saja pondok pengawal dengan kayu penghalang itu teringat seolah-olah penulis berada dalam kem tentera. Pada waktu yang sama terkenang betapa pada zaman darurat dahulu, pemandangan seperti ini adalah perkara biasa bagi melindungi keselamatan.

Sememangnya tidak lama dahulu, penulis terdengar bahawa sebuah rumah banglo di situ menjadi sasaran pecah rumah dan rompakan di mana penghuninya pasti trauma kerana dikatakan diikat.

Di kawasan perumahan penulis, terdapat tiga kategori kediaman. Satu di kawasan banglo yang kebanyakan penghuninya adalah ahli-ahli perniagaan, politik dan profesional berjaya. Kedua ialah kediaman rumah teres, penghuninya adalah orang biasa termasuk wartawan. Ketiga ialah rumah apartmen yang penghuninya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan anak-anak muda yang baru bekerja.

Dengan mengadakan kawalan ketat, maka perompak akan sukar untuk pecah rumah banglo-banglo itu. Tetapi mereka tidak akan berdiam diri. Pastinya sasaran gantian adalah rumah-rumah teres pula.

Maka selepas ini tidak mustahil akan kedengaran lebih banyak rumah teres menjadi sasaran pecah rumah. Akhirnya penghuni-penghuni terpaksa berpakat untuk mewujudkan sistem pondok pengawal dan kayu penghalang jalan.

Sekarang pun kita sudah melihat banyak tempat yang mempunyai kawalan keselamatan. Kawasan-kawasan perumahan baru diwujudkan dalam bentuk komuniti berpagar.

Cuba ingat betapa pihak berkuasa British mewujudkan kampung-kampung baru yang berpagar pada zaman darurat.

Maka timbul persoalan, apakah akan jadi pada negara kita?

Mungkin keadaan akan bertambah buruk dan akhirnya Kuala Lumpur boleh menjadi Johannesburg, kota paling tinggi kadar jenayah di dunia di mana rumah-rumah kediaman dipagar dengan duri berelektrik kerana terdapat banyak jenayah pecah rumah dan rompakan.

Orang perempuan pun sudah tidak selamat untuk berjalan sendirian. Beberapa hari lalu dua pelajar wanita di Bangi nyaris dirogol apabila menaiki bas yang menyamar sebagai kenderaan pengangkutan universiti.

Bagaimana hendak mengalahkan penjenayah-penjenayah ini?

Walaupun komunis pada zaman darurat dan penjenayah hari ini tidak boleh disamakan kerana yang satu didorong oleh ideologi politik sementara perompak hanyalah bermotif ekonomi, kaedah melawannya boleh dibuat contoh.

Pada satu peringkat, iaitu sekitar tahun 1950, kerajaan kolonial Malaya seolah-olah berputus harap untuk melawan komunis. Usaha menggunakan ketenteraan masih tidak menampakkan hasil.

Keadaan inilah yang mendorong kerajaan penjajah British untuk berpendapat bahawa kekuatan bersenjata saja tidak boleh mengalahkan pengganas komunis. Mereka juga mesti memenangi hati rakyat supaya tidak membantu komunis, lebih penting lagi tidak menyertai perjuangan mereka.

Maka dua sudut penyelesaian yang dilihat perlu dibuat ialah bentuk politik dan ekonomi. Oleh kerana komunis berjuang atas nama untuk kemerdekaan dan membela rakyat tertindas, maka penjajah British menimbangkan bahawa dengan memberikan kebebasan politik, maka dapat dielakkan negara ini jatuh ke tangan pengganas.

Bagi sudut ekonomi pula, penjajah British melihat bahawa jika penduduk Tanah Melayu mempunyai kedudukan ekonomi yang baik, maka tidak ada sebab bagi mereka untuk menyertai pengganas komunis.

Dalam usaha membanteras jenayah, kaedah penyelesaian berbeza daripada melawan pengganas komunis.

Tetapi persoalan timbul adakah dengan penambahan polis secara besar-besaran akhirnya kita dapat mengalahkan penjenayah-penjenayah itu? Untuk menambah bilangan polis pada angka yang betul-betul sepadan dengan kadar bilangan penduduk negara ini pun sukar untuk dicapai.

Ingatlah ketika melawan pengganas dahulu kerjasama luas antara tentera-tentera Komanwel dikerahkan bagi melawan pengganas.

Seringkali apabila ditanya apakah punca terbesar penambahan kadar jenayah negara? Maka jawapannya adalah kehadiran banyak pendatang tanpa izin dan kewujudan bilangan penagih dadah yang tinggi.

Maka ia berkaitan pula dengan kegagalan kawalan imigresen dan program pencegahan penyalahgunaan dadah. Tetapi terdapat juga faktor lain dalam peningkatan jenayah khususnya yang melibatkan pengangguran dan masalah sosio ekonomi dalam masyarakat.

Atau mungkinkah ada golongan yang terpinggir dalam masyarakat, baik dari segi sosial dan ekonomi hingga mereka tidak mempunyai rasa hormat kepada harta benda manusia lain serta undang-undang negara yang akhirnya membawa mereka terjerumus ke dalam kegiatan jenayah?

Mungkinkah jurang ekonomi antara golongan masyarakat semakin bertambah luas hingga sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan jenayah di negara ini?

Atau adakah terdapat sesuatu dalam minda penjenayah yang dibentuk oleh suasana masyarakat yang terlalu bersifat materialistik hingga menghakis nilai-nilai murni. Sesuatu yang institusi agama dan sistem pendidikan negara kurang berjaya menanganinya.

Peristiwa di mana penjenayah mencuri harta benda masjid hingga baru-baru ini tergamak merosakkan al-Quran perlu diberi perhatian berat.

Adakah kita berjaya membina masjid-masjid cantik, tersergam dan mempunyai banyak harta perhiasan tetapi gagal menjadikannya institusi masyarakat yang menyemai nilai-nilai murni.

Read more!

Tekanan terhadap IPTA

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 5 April 2007


Tindakan mempertikaikan institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menyertai Pameran Antarabangsa Geneva mengenai Reka Cipta, Produk dan Perkhidmatan oleh seorang ahli Parlimen, Dr. Wee Ka Siong di Dewan Rakyat Isnin lalu adalah salah satu tekanan yang dihadapi universiti-universiti tempatan.

Dr. Wee mempersoalkan betapa IPTA berbelanja banyak wang untuk menyertai satu pameran yang nilai anugerahnya diragui dari segi akademik.

Keraguan Dr. Wee itu telah dijawab Selasa lalu oleh pihak Universiti Sains Malaysia (USM) yang menyatakan bahawa usaha IPTA telah memberi pendedahan reka cipta negara ini di mata dunia supaya ia boleh dikomersialkan.

Usaha ini juga dilakukan kerana industri tempatan memandang rendah kepada penemuan dan ciptaan IPTA.

Minggu lalu juga timbul isu betapa industri tempatan tidak berminat terhadap penemuan dan ciptaan IPTA walaupun banyak usaha dilakukan dengan mengadakan pameran-pameran dalam negara.

Apa yang ketara ialah IPTA sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah berjaya melakukan banyak ciptaan dan penemuan ekoran daripada kerja-kerja penyelidikan yang dilakukan bersungguh-sungguh melalui sokongan dana kerajaan.

Keadaan ini berlaku kerana fokus IPTA kini ialah penyelidikan sebagai usaha menaikkan kedudukannya dalam dunia akademik.

Ia juga bagi memenuhi tekanan daripada pihak industri yang mempersoalkan bahawa IPTA terlalu bersifat akademik dan tidak memenuhi keperluan mereka.

Selain itu, IPTA juga menerima tekanan daripada pihak industri yang mempertikaikan mutu dan orientasi graduan dikatakan tidak memenuhi kehendak mereka.

Maka debat antara industri-komersial dan pendidikan-akademik timbul dari semasa ke semasa. IPTA dianggap sebagai institusi yang dibiaya oleh kerajaan, dan seterusnya antara pembayar cukai yang besar adalah daripada kalangan industri. Jadi mereka berasa berhak untuk menuntut bahawa IPTA mesti memenuhi keperluan industri.

Bagaimanapun, IPTA di negara ini juga mempunyai tugas politik dalam proses pembinaan negara. Dalam konteks semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB), IPTA perlu menurut hasrat rakyat yang mahukan ia beperanan menghasilkan banyak siswazah bumiputera dalam pelbagai bidang supaya akhirnya nanti sesuatu bidang pekerjaan tidak dikaitkan dengan sesuatu kaum semata-mata.

Maka dalam hal ini, ada dimensi perkauman yang mesti ditangani dengan hati-hati. Umumnya, IPTA dipimpin dan didominasi oleh bumiputera.

Sebaliknya di pihak industri-komersial pula, ia didominasi oleh bukan bumiputera. Di kalangan bukan bumiputera pula rasa tidak puas hati timbul dari semasa ke semasa dalam soal pendidikan tinggi.

Read more!

Jangan tergesa-gesa iktiraf ijazah luar

Oleh: MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 4 April 2007


MINGGU lalu ramai pelajar junior sekolah tinggi seluruh Amerika Syarikat (termasuk anak penulis) mendapat jemputan mengikuti seminar di beberapa buah universiti terkemuka di seluruh Amerika Syarikat (AS).

Pelajar-pelajar yang dijemput terdiri daripada mereka yang bercadang memasuki kolej perubatan.

Tujuan utama seminar adalah untuk mendedahkan para pelajar kepada kolej perubatan, kurikulum yang akan dipelajari dan paling penting dugaan-dugaan yang bakal dihadapi.

Badan yang menganjurkan seminar terletak di Washington DC. Sebagai satu badan tidak berasaskan keuntungan, bayaran dikenakan ke atas pelajar yang mengambil bahagian.

Meskipun begitu, usaha-usaha badan ini amat luar biasa sekali. Pelajar-pelajar yang terpilih adalah berdasarkan pencapaian mereka dalam mata pelajaran. Maklumat-maklumat mengenai pelajar-pelajar ini diperoleh dari sekolah-sekolah, keputusan peperiksaan di peringkat negeri dan nasional, pelajar-pelajar yang mendapat sijil penghargaan pelajaran dan sumber-sumber lain.

Jelaslah keupayaan badan ini mengawasi jutaan pelajar sekolah tinggi seluruh AS adalah menakjubkan.

Seminar seumpama ini dikira penting kerana memasuki kolej perubatan adalah amat sukar sekali. Pelajar-pelajar yang dipilih merupakan yang terbaik. Ramai yang memohon tetapi ramai juga yang kecewa. Dianggarkan cuma 30 peratus daripada pemohon diterima memasuki kolej perubatan setiap tahun. Untuk menjadi doktor bukanlah mudah.

Mengikut sistem pelajaran California, setiap pelajar yang ingin memasuki kolej perubatan hendaklah mempunyai ijazah pertama terlebih dahulu. Selepas itu mereka memasuki sekolah perubatan selama lima tahun termasuk housemanship. Jadi sebelum dipanggil doktor setiap pelajar mesti belajar selama sembilan tahun di universiti.

Sungguhpun begitu, sistem ini berlainan antara sebuah negeri dengan negeri yang lain.

Perbelanjaan di kolej perubatan juga dikira tinggi. Bagi rakyat Amerika mereka boleh mendapat biasiswa atau pinjaman.

Namun pelaburan ini menerima pulangan yang cukup lumayan. Doktor merupakan antara kerjaya yang menerima gaji tertinggi di AS. Dalam beberapa tahun sahaja boleh jadi jutawan khususnya doktor pakar.

Tetapi risikonya amat tinggi. Saman menyaman merupakan perkara biasa. Kalau tersilap sedikit pesakit boleh menyaman doktor. Pampasan berjuta-juta. Silap-silap boleh jadi muflis. Lantaran itu mereka terpaksa berhati-hati ketika menjalankan tugas.

Bercakap fasal kolej perubatan diperhatikan sejak beberapa tahun ini Malaysia telah mengiktiraf ijazah perubatan luar termasuk negara-negara bekas komunis Eropah Timur. Terkini ialah Poland.

Sebagai rakyat biasa, penulis tertanya-tanya kenapa Malaysia begitu mudah mengiktiraf kolej-kolej perubatan dari negara-negara dunia ketiga sedangkan mutu kolej-kolej perubatan ini dikira meragukan. Seperti mana yang berlaku di Ukraine. Apakah faktor utama kerana kos pengajian di negara-negara yang dahulunya menjadi tumpuan pelajar Malaysia meningkat begitu tinggi hinggakan penaja (kerajaan dan separuh kerajaan) tidak lagi mampu menghantar pelajar-pelajarnya? Apakah kos merupakan satu-satunya faktor?

Kriteria

Kriteria utama memilih sesebuah universiti di luar negara kerana taraf yang tinggi. Ijazah perubatan diiktiraf oleh negara-negara maju. Pencapaiannya dalam penyelidikan dan paling penting kemampuan ilmu-ilmu yang dipelajari diamalkan di Malaysia.

Kalau tidak lebih baik pelajar-pelajar tajaan ini dihantar ke kolej-kolej perubatan dalam negara termasuk kolej swasta. Adalah lebih mudah mengawasi kolej-kolej perubatan dalam negara dibandingkan dengan di luar khususnya di negara-negara yang taraf ekonomi adalah rendah.

Agak pelik ketika Malaysia menggalakkan pelajar-pelajar asing datang belajar di Malaysia, pelajar-pelajar Malaysia pula belajar di negara-negara yang mutu pelajarannya masih dipertikaikan.

Sepatutnya kos pengajian dan kos hidup yang murah sahaja tidak boleh dijadikan kayu pengukur. Pertengahan tahun 1980-an penulis bertugas di sebuah negara komunis Eropah Timur. Kemudahan perubatan amat buruk hingga kerajaan membenarkan kakitangan kedutaan mendapat rawatan perubatan di Eropah Barat ataupun di Malaysia.

Ramai pelajar asing terutama dari negara-negara Timur Tengah belajar di kolej-kolej perubatan di negara tersebut kerana gagal ke negara-negara lain yang lebih maju.

Menurut ceritanya ramai yang lulus melalui pintu belakang.

Mungkin keadaan telah banyak berubah. Tetapi terdapat negara-negara Eropah Timur yang ekonominya masih belum pulih meskipun setelah 17 tahun bebas daripada pemerintahan komunis. Dikhuatiri kolej-kolej perubatan tidak dapat menyediakan peralatan moden di samping pensyarah-pensyarah yang berkualiti.

Peliknya hingga ke hari ini Malaysia masih belum menghantar para pelajar untuk belajar di kolej-kolej perubatan AS. Alasannya kerana pengajian perubatan di negara itu terlalu lama.

Meskipun begitu, ramai rakyat Malaysia mendapat rawatan perubatan di AS.

Persoalannya adakah Malaysia mementingkan taraf perubatan, tempoh pengajian atau kos semata-mata. Memang kalau kos rendah yang menjadi kriteria eloklah hantar ke negara-negara ketiga yang murah tetapi taraf yang rendah juga.

Read more!

Halang AS daripada serang Iran

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 1 April 2007


PADA tahun 2004, suasananya serupa, setelah menceroboh Iraq, Amerika Syarikat (AS) kelihatan hendak menyerang Iran. Teluk Parsi di ambang perang. Pada masa itu Hollywood menerbitkan filem Alexander yang mengisahkan keperwiraan Alexander the Great yang di kalangan orang Melayu disebut Iskandar Zulkarnain, walaupun lebih baik dipanggil Iskandar Agung.

Iskandar, seorang Yunani dari Macedonia menawan sebahagian daripada benua Asia dan kejayaan besarnya mengalahkan Raja Parsi dan menumpaskan empayar Parsi. Paparan itu seolah-olah hendak menunjukkan bahawa AS akan mengalahkan Iran. Ini kerana Washington dianggap sebagai pewaris Yunani, sementara Iran hari ini pewaris kepada empayar Parsi.

Kali ini ketika ketegangan berlaku antara AS dengan Iran ekoran isu program nuklear, Hollywood mengeluarkan satu lagi filem menunjukkan peperangan antara pihak Yunani dengan Parsi. Filem 300 memaparkan kisah warga kota Sparta di Yunani mengalahkan tentera Parsi yang lebih besar, pimpinan Raja Xerxes.

Filem ini seolah-olah memaparkan kegagahan Yunani dan kegagalan Parsi. Sekali lagi terdapat paparan bahawa AS adalah pewaris Yunani yang akan mengalahkan Iran, sebagai pewaris empayar Parsi.

Terdapat laporan bahawa ada pihak di Iran membantah filem 300 ini. Tetapi bantahannya ialah kerana filem ini memaparkan Raja Xerxes sebagai homoseks. Sememangnya terdapat kecenderungan di Barat untuk mengaitkan tokoh-tokoh sejarah sebagai homoseks. Walaupun tiada bukti sejarah, melalui fiksyen mereka bebas memaparkan seseorang itu sebagai homoseks. Dalam Alexander, raja Yunani digambarkan sebagai homoseks.

Maka seorang kolumnis di akhbar Financial Times London mengingatkan pihak Iran yang membantah bahawa 300 hanyalah sebuah filem dan tidak perlu diambil berat. Mungkin kebetulan, filem Alexander dan 300 dilancarkan ketika berlaku ketegangan AS dan Iran.

Barat sejak zaman Renaisans sentiasa menyifatkan diri mereka pewaris tamadun Yunani khususnya dari segi idea mengenai demokrasi, falsafah, rasional dan sains. Maka lawan Barat ialah Timur dan apa yang dimaksudkan dengan Timur termasuklah Islam, India dan China. Islam dianggap Barat sebagai mewarisi tamadun Arab dan Parsi. Jadi apabila berlaku pertembungan antara Barat dan Timur, ia bermakna persaingan antara pewaris Yunani di satu pihak dan pewaris Arab-Parsi di pihak lagi satu.

Tetapi hakikat sejarah tidak begitu. Yunani juga merupakan tamadun yang mempunyai banyak sisi, bukan saja demokrasi dan rasional, tetapi juga autoritarian dan penuh mitos. Simbol jelas ialah melalui dua kota iaitu Athen dan Sparta. Kalau Athen mewakili demokrasi, maka Sparta adalah sisi autokrasi.

Walaupun Yunani berperang dengan Parsi tetapi tamadun kedua-duanya saling pengaruh-mempengaruhi dan menyumbang kepada kewujudan tamadun Rom.

Semasa lahirnya Rasulullah s.a.w. di Mekah, yang mana ulang tahunnya adalah semalam, kuasa utama dunia ialah Rom di Barat dan Parsi di Timur. Tamadun Islamlah kemudian mewarisi Rom dan Parsi, yang juga bermakna turut mewarisi Yunani. Daripada kajian-kajian ulama Abasiah, maka pemikiran silam itulah kemudiannya diambil oleh cendekiawan Renaisans, yang muncul sebagai hasil daripada Perang Salib.

Justeru, bukan saja Barat yang menjadi pewaris kepada tamadun Yunani, tetapi juga peradaban Islam sendiri. Maka untuk menggambarkan Yunani lawan Parsi dalam ketegangan antara AS dan Iran jelas tidak tepat. Kalaulah Hollywood ada tujuan itu dalam melancarkan filem Alexander dan Sparta adalah tidak wajar.

Apa yang berlaku di Asia Barat sekarang ialah pertembungan kuasa penjajah, iaitu AS ke atas sebuah negara berdaulat, Iran. Perancis, Jerman dan Rusia juga sebahagian daripada Barat, tetapi mereka tidak menyokong AS dan Britain di Asia Barat. Apabila tentera Britain ditahan oleh Iran, maka Washington dan London berhujah bahawa askar-askar itu berada di wilayah Iraq, bukan Iran. Jadi Iran tidak berhak menahan mereka.

Hak Britain

Tetapi apakah hak Britain berada di Iraq? Sepatutnya Iraq mengusir tentera Britain dari tanah mereka. Oleh kerana Iraq sudah membenarkan penjajah di negara mereka, maka ia terbuka kepada kemasukan tentera Iran.

Iran lebih berhak ke atas Iraq daripada AS. Pada zaman Parsi purba, Iraq adalah sebahagian daripada empayar Iraq. Pada zaman Abasiah, Iran dan Iraq adalah satu. AS dan Britain tidak ada kena-mengena dengan Iraq kecuali sebagai penjajah zaman moden.

AS dan Britain menggerakkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menyekat Iran. Puncanya ialah usaha berterusan Iran untuk memperkayakan uranium. Iran berulangkali menyatakan teknologi nuklearnya untuk tenaga dan bukannya senjata. Tetapi pastinya AS dan Britain tidak percaya.

Mengapa pula AS dan Britain boleh memiliki senjata nuklear tetapi tidak Iran? Begitu juga dengan Israel. Tetapi usaha Iran untuk memiliki senjata nuklear bukan saja dibimbangi Israel tetapi juga negara-negara Arab.

Maka Sidang Kemuncak Liga Arab di Riyadh, Arab Saudi Khamis lalu mengeluarkan resolusi supaya rantau Asia Barat harus bebas daripada senjata nuklear. Maka, bukan saja Iran tidak wajar membangunkan senjata nuklear tetapi Israel mesti melupuskan senjata mereka.

Resolusi itu juga menegaskan bahawa mana-mana negara Arab berhak membangunkan tenaga nuklear bagi tujuan keamanan. Hendak dihujahkan bagaimanapun, senjata nuklear tidak boleh diterima dalam Islam.

Tamadun Barat, sama ada demokrasi, komunis atau Zionis semuanya membangunkan senjata nuklear tanpa segan silu. Tetapi senjata nuklear yang membunuh manusia, mereka yang tidak bersenjata, haiwan dan tumbuhan tidak dapat diterima oleh Islam.

Kalau fiqh peperangan Islam melarang mujahidin daripada membunuh tumbuh-tumbuhan, apatah lagi senjata pemusnah besar-besaran (WMD). Seorang ulama rasmi Iran yang datang ke negara ini tahun lalu ketika ditemui oleh penulis dengan tegas menyatakan bahawa Islam melarang WMD.

Pakistan, satu-satunya negara Islam yang memiliki senjata nuklear pun patut melupuskannya. Namun begitu, di Iran memang banyak ulama yang menyokong supaya senjata nuklear dibangunkan dan mereka mempunyai hujah-hujah agama untuk menyokongnya.

Tetapi dalam hal ini cuba difikirkan betapa dengan membangun senjata nuklear serta ikut terheret dengan logik kekerasan AS, negara-negara Islam akan terperangkap dengan kejahatan tamadun Barat.

Kalau hendak difikirkan, adakah nabi-nabi dahulu mengajar pengikutnya membuat senjata yang boleh membunuh banyak orang secara kejam dan menderita hanya kerana hendak mengejar kuasa?

Rasulullah s.a.w., Nabi Isa dan nabi Musa tidak pernah mengajar perkara seumpama itu. Dunia Islam mesti bersih daripada melakukan kejahatan membuat senjata dahsyat. Begitu juga dengan AS yang kononnya mengikut fahaman golongan Kristian Kanan. Tidak masuk akal jika Nabi Isa atau Jesus Christ yang mereka faham mahu memusnahkan manusia sebegitu rupa. Begitu juga Zionis di Israel. Sebagai beragama Yahudi yang dikatakan pengikut Nabi Musa atau Moses, kezaliman seperti itu tidak dapat diterima.

Malah kalau mengikut ajaran ahli-ahli falsafah Yunani, sama ada Socrates, Plato atau Aristotles, mereka mungkin juga menolak kejahatan senjata nuklear itu. Mungkin raja- raja Sparta akan suka kepada senjata seperti nuklear ini.

Pastinya masalah senjata nuklear ini bukan datang daripada kalangan Islam. Ia berpunca dari AS yang mendakwa diri sebagai pejuang demokrasi. Kesengsaraan yang ditanggung oleh penduduk Hiroshima dan Nagasaki akibat bom atom wajar sentiasa diingati oleh manusia. Sehingga ke hari ini AS tidak menganggap perbuatan itu salah, apatah lagi mahu meminta maaf.

Tetapi pengeboman Hiroshima dan Nagasaki mengakibatkan pembunuhan orang tidak berdosa, haiwan dan tumbuhan. Ia tidak jauh bezanya dengan Holocaust. Tetapi apakah pencapaian besar dari tamadun Yunani yang kemudian membawa kepada Renaisans, Enlightenment dan Revolusi Sains akhirnya hanya membawa kepada manusia musnah akibat senjata nuklear?

Umat Islam mesti tidak boleh terperangkap dengan logik keganasan. Ajaran utama para nabi, baik Nabi Musa, Isa dan Muhammad adalah akhlak yang baik termasuklah keadilan serta kemanusiaan sejagat.

Tenaga nuklear

Jadi usaha AS hendak menghalang Iran daripada memiliki tenaga nuklear adalah kerana ia mahu memonopoli milikannya terhadap alat keganasan itu. Jika AS melupuskan senjata nuklear dan memaksa Israel melakukan perkara yang sama, tidak ada sebab bagi Iran untuk membangun alat berbahaya itu.

Untuk apa AS perlu memiliki senjata nuklear dalam soal penguasaannya ke atas Asia Barat? Yang jelas ia mahu memastikan Israel terus bertapak di dunia Arab atas penindasannya ke atas rakyat Palestin. Ia mahu memastikan minyak di Teluk Parsi terus dikuasai.

Walaupun perkara ini jelas tetapi banyak intelektual di AS yang berhujah bahawa apa yang dilakukan oleh kuasa besar itu adalah semata-mata untuk kebebasan dan demokrasi. Maka kedua-dua nilai ini dijadikan hujah bagi mendukung kezaliman Israel ke atas Palestin, pencerobohan ke atas Iraq dan kini tekanan terhadap Iran.

Nilai-nilai kebebasan dan demokrasi menjadi salah satu senjata AS bagi menguasai dunia selepas Perang Dunia Kedua. Ia dijadikan sebab untuk menundukkan musuh dan berjaya dilakukan ke atas Kesatuan Soviet dan sistem politik komunis.

Senjata berbentuk fahaman ini berjaya kerana kebenaran nilai-nilai ini dengan musuh-musuh AS pula tidak memilikinya. Bayangkan jika Soviet dan sekutu-sekutunya dahulu mengamalkan kebebasan dan demokrasi walaupun dalam konteks pelaksanaan komunisme, maka tidak ada sebab AS hendak menjatuhkannya.

Contohnya India, sebuah negara bebas dan demokrasi tetapi menjadi sekutu Soviet. Parti Komunis di India pula memerintah beberapa bahagian negara itu melalui sistem demokrasi. Maka tidak ada sebab bagi AS untuk menguasainya. Tetapi negara-negara Arab tidak mengamalkan kebebasan dan demokrasi. Yang jelas adalah Iraq dan ia menjadi hujah bagi AS untuk menceroboh dan meraih sokongan rakyat negara itu.

Cuba bayangkan kalau Saddam Hussein memerintah Iraq melalui demokrasi seperti Hugo Chavez di Venezuela sekarang. Maka tidak ada sebab bagi AS hendak menceroboh negara itu. Malah tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa dunia Arab dan Islam yang bebas dan demokrat mampu membebaskan Palestin.

Tetapi demokrasi hari ini, ada dua bentuk – baik dan jahat. Kalau negara-negara Scandinavia, ia tidak memberi ancaman kepada negara lain. Demokrasi AS malangnya mendatangkan ancaman kepada dunia Islam.

Read more!

Menjadikan keperibadian Rasulullah s.a.w. contoh bagi abad ke-21

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 31 Mac 2007


Hari ini umat Islam di seluruh dunia menyambut Maulidur Rasul dan sewajarnya kita berhenti sejenak dalam kesibukan hidup abad ke-21 ini untuk memperingati Rasulullah s.a.w., keperibadian dan ajarannya.

Perkara ini penting kerana kehidupan abad ke-21 khususnya di kalangan umat Islam di Malaysia dipenuhi dengan pelbagai tarikan kepada minda hingga melalaikan seseorang terhadap hakikat kewujudan mereka di muka bumi ini.

Dua unsur utama yang paling kuat menjadi tarikan abad ke-21 ini ialah budaya hiburan dan kebendaan. Budaya hiburan yang ditandai oleh media elektronik dengan kegilaan terhadap program televisyen realiti mendominasi masyarakat Islam di negara ini. Untuk menyokong budaya itu pula ia memerlukan dokongan nilai-nilai kebendaan yang antara ikon-ikonnya ialah televisyen, telefon bimbit, sistem pesanan ringkas (sms), talian prabayar, kad kredit dan segala apa yang didorong oleh industri pengiklanan.

Dalam suasana budaya hiburan dan kebendaan yang memukau ini, maka sewajarnya hari-hari kebesaran Islam yang utama seperti Awal Muharam, Maulidur Rasul, bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Aidil-adha menjadi tanda-tanda peringatan bagi umat Islam tentang siapakah mereka.

Maka Maulidur Rasul ini menjadi istimewa kerana peringatan ini adalah kepada seorang manusia unggul untuk dijadikan contoh abadi bagi umat Islam. Sewajarnya hari ini sekurang-kurangnya kita memikirkan sejenak mengenai keperibadian Rasulullah s.a.w.

Secara tradisinya umat Islam di negara ini akan mengadakan majlis-majlis berzanji bagi memuji-muji Baginda dan mengadakan majlis-majlis syarahan untuk mendengar riwayat kehidupannya. Tetapi dalam zaman maklumat dan sudah lebih banyak orang terpelajar di kalangan umat Islam hari ini, sewajarnya kita tidak lagi hanya sekadar mendengar syarahan ataupun berzanji.

Apa yang perlu dilakukan pada satu hari ini ialah berusaha untuk berfikir mengenai Rasulullah s.a.w., kalaupun tidak dapat mengadakan majlis-majlis perbincangan mengenai Baginda, sekurangnya kita membaca buku-buku mengenai Rasulullah s.a.w.

Kalau zaman-zaman dahulu mungkin kita hanya membaca sirah yang serupa setiap tahun, tapi kali ini, ada baiknya kita membaca kajian-kajian segar yang lebih mencabar minda mengenai Rasulullah s.a.w. yang ditulis oleh ulama dan ahli-ahli akademik. Kalau tidak pun, layarilah internet sepanjang hari ini untuk melihat apa yang orang tulis mengenai Rasulullah s.a.w.

Maka dalam internet, juga daripada buku-buku yang pernah diterbitkan, manusia ini boleh dibahagi kepada tiga. Di satu pihak ialah golongan yang mencintai Rasulullah s.a.w., moga-moga kita adalah sebahagian daripadanya.

Kedua, golongan yang membenci Rasulullah s.a.w. Golongan ini banyak terdapat di Eropah dan Amerika yang menulis, melukis kartun dan bercakap bukan saja memfitnah Nabi tetapi juga menghina Baginda. Antara mereka adalah bekas orang Islam sendiri. Berdoalah agar kita tidak tergolong dalam kumpulan ini. Golongan ketiga ialah mereka yang tidak peduli terhadap Rasulullah s.a.w., sama ada kerana kejahilan atau, saja tidak berminat.

Bagaimanakah kita hendak mencintai Rasulullah s.a.w. kalau kita tidak berusaha mengenal Baginda. Tidak semestinya oleh kerana kita beragama Islam, secara automatik kita akan mengenal dan menyayangi Rasulullah s.a.w.

Sudah tentu ia memerlukan usaha dan perhatian. Dengan pengetahuan, barulah kita dapat menangkis segala tohmahan yang dilemparkan oleh golongan yang membenci Nabi.

Dalam banyak-banyak buku, ada sebuah buku kecil dan tipis yang menarik mengenai Rasulullah s.a.w. Ia berupa novelet. Tajuknya ialah Bilik-Bilik Muhammad oleh A.R. Baswedan, seorang pejuang kemerdekaan Indonesia terbitan sekitar tahun 1940-an. Buku ini ditulis dengan mengambil hadis-hadis sebagai landasannya.

Walaupun buku ini ditulis pada awal abad ke-20 ketika dunia Islam sedang berjuang menuntut kemerdekaan daripada penjajah, ia membawa dua lapis mesej. Pertama, ia berlandaskan pada hadis yang dirawikan secara turun-temurun sejak zaman Rasulullah s.a.w. Dan nilai yang dibawa terus relevan walaupun dalam abad ke-21 ini.

Hadis-hadis yang dijadikan sandaran adalah banyak diketahui umum, tetapi bagaimana seseorang mengolahkannya balik untuk dijadikan kisah pengajaran menjadi kelebihan penulis ini.

Dengan cara yang baik, buku ini berjaya memaparkan kemanusiaan Rasulullah s.a.w.

Cara bagaimana Baginda menguruskan keluarganya dan dari situ terpancar sifat mulianya yang wajar menjadi ikutan. Kesabaran, keadilan dan persaudaraan yang ditunjukkan dalam hubungannya sesama manusia.

Kulit buku bagi terbitan tahun 1980-an memaparkan gambaran pelukis tentang bagaimana bentuk rumah Rasulullah s.a.w. yang bersebelahan dengan masjid.

Di sinilah ciri utama kehidupan Rasulullah s.a.w., iaitu kesederhanaan Baginda. Bilik-biliknya yang ada hanya untuk memenuhi keperluan hidupnya.

Walaupun kehidupan zaman Baginda jauh berbeza daripada masa Khalifah Umaiyah dan Khalifah Abasiah yang memiliki istana gilang-gemilang apatah lagi dengan bangunan-bangunan besar dimiliki umat Islam hari ini, tetapi ciri kesederhanaan wajar dicontohi oleh umat Islam abad ke-21.

Bukanlah wajar umat Islam perlu hidup susah ala kadar dan menyisihkan harta benda mereka. Harta benda perlu sebagai modal untuk kekuatan ilmu dan politik. Umat Islam pun bila dibandingkan dengan orang bukan Islam masih jauh ketinggalan dengan kemiskinan dan kejahilan.

Tetapi ajaran Rasulullah s.a.w. yang ditunjukkan dengan cara hidupnya adalah bukan bermewah-mewah. Di kalangan sahabat, terdapat banyak Muslimin berharta seperti Sayidina Usman, Tetapi itu tidak bermakna Rasulullah s.a.w. mahu umatnya bermewah-mewah, angkuh dengan kekayaan dan berbudaya kebendaan.

Read more!

Iktibar kekejaman Barat

Oleh: Muhammad Alias
Sumber: Utusan Malaysia 28 Mac 2007


Pada 25 Mac lalu, Ghana merayakan ulang tahun ke-200 penghapusan perdagangan hamba abdi. Perdagangan manusia yang dianggap tersangat kejam dalam sejarah tamadun manusia berakhir pada 23 Mac 1807.

Tahun itu Britain yang memonopoli perdagangan hamba abdi melarang kemasukan hamba abdi Afrika ke negara tersebut.

Bagaimanapun, Britain hanya mengharamkan hamba abdi pada tahun 1833. Sementara perdagangan hamba abdi diteruskan oleh beberapa pihak lain.

Majlis ulang tahun pengharaman hamba abdi berlangsung di Elmina, Ghana dianggap amat signifikan. Elmina sebuah bandar kecil di pesisiran pantai negara itu merupakan lokasi bermulanya perdagangan hamba abdi secara sistematik dan besar-besaran.

Di bandar inilah Portugis yang merupakan pengasas pedagang hamba abdi kalangan negara-negara Eropah membina sebuah pos perniagaan hamba abdi trans atlantik yang pertama dan kekal pada tahun 1492.

Tahanan

Pos tersebut yang dikenali sebagai Elmina Castle merupakan tempat pemprosesan dan tahanan hamba abdi sebelum dihantar ke Eropah dan benua Amerika selama 450 tahun. Bangunan tersergam berwarna putih, dua tingkat siap dengan gereja dan pejabat serta kediaman gabenor jeneral.

Sementara bilik-bilik kurungan lelaki dan perempuan, bilik seksaan, dan pintu kecil mengarah ke laut yang dikenali the door of no return terletak di bahagian bawah bangunan. Itulah pintu akhir bagi hamba abdi sebelum berjalan bagi satu jarak kira-kira 50 ela ke kapal-kapal yang akan membawa mereka ke Eropah atau ke benua Amerika.

Elmina Castle merupakan satu struktur batu bata yang sangat kukuh terletak di atas bukit kecil. Ia merupakan satu lokasi yang amat strategik baik dari segi mempertahankan diri dari serangan atau mengawal hamba abdi dari melarikan diri.

Selain daripada laut, pos tersebut juga disediakan dengan terusan. Peluang melarikan diri adalah amat nipis.

Penulis pernah beberapa kali melawat Elmina Castle. Ia merupakan tempat pertama dilawati sebaik sahaja tiba di Ghana untuk memulakan tugas.

Ketika mengunjungi Elmina Castle perasaan sedih tidak dapat dibendung. Bilik kurungan yang hanya layak untuk seratus orang penuh sesak dengan hamba abdi. Akibatnya hamba abdi termasuk kanak-kanak kecil hanya boleh tidur sambil duduk. Mereka tidak dibenarkan keluar dari kurungan kecuali untuk mandi sekali sekala dan perjalanan terakhir sebelum memasuki kapal.

Hingga hari ini perigi yang digunakan 450 tahun lalu masih wujud dan boleh digunakan.

Buang air besar dan kecil serta makan semuanya dilakukan di dalam bilik kurungan. Bilik yang sempit dan dicampur dengan udara panas dan bau najis manusia menyebabkan ramai yang diserang penyakit. Jumlah sebenar yang mati di dalam castle tersebut tidaklah diketahui.

Cerita-cerita mengenai castle ini amat memilukan. Hamba abdi perempuan menjadi bahan untuk pihak berkuasa memuaskan nafsu. Mereka boleh memilih sesiapa saja yang mereka suka. Tidak ada yang berani membantah.

Kalau diamati the door of no return pertanyaan timbul bagaimanakah orangorang Afrika yang berbadan besar dapat meluluskan diri melalui pintu yang hanya muat untuk seorang. Apatah lagi ketika melalui pintu ini kaki dan tangan mereka dirantai. Ini membuktikan bahawa tubuh mereka menjadi begitu kurus.

Elmina Castle merupa satu testimoni kepada kekejaman manusia khususnya orang-orang Barat yang mengaku lebih tinggi tamadunnya daripada orang-orang berkulit warna.

Sejarah Elmina Castle banyak dipengaruhi perkembangan politik di kalangan negara-negara Eropah. Selepas Portugis, Belanda mengambil castle tersebut dan akhir sekali Britain. Paling penting bermulalah penjajahan Britain di Ghana.

Sepanjang 450 tahun dianggarkan seramai 11 hingga 60 juta orang hamba abdi dihantar ke Eropah dan benua Amerika. Jumlah sebenar masih menjadi perdebatan. Ini tidak termasuk antara 9 hingga 14 juta hamba abdi dari Afrika Timur yang dihantar ke negara-negara Arab oleh pedagang-pedagang Arab dan Afrika.

Beberapa buah negara Eropah terlibat di dalam perdagangan hamba abdi. Bagaimanapun, Britain, Portugis, Belanda, Sepanyol dan Perancis memainkan peranan yang cukup besar.

Sepanyol merupakan kuasa Barat yang pertama membawa hamba abdi ke benua Amerika iaitu pada tahun 1503. Sementara Britain mendominasikan perniagaan ini buat satu jangka masa yang lama selepas Sepanyol dan Belanda.

Selain dari Elmina terdapat satu lagi pos perniagaan hamba abdi di Senegal. Namun Elmina memainkan peranan yang cukup besar.

Hamba-hamba abdi ini ditawan dengan kerjasama orang-orang Afrika sendiri. Mereka bukan sahaja terdiri daripada orang-orang Ghana bahkan dari negara-negara lain di Afrika Barat seperti Mali, Burkina Fasso, Ivory Coast, Niger dan beberapa buah negara lain.

Hamba-hamba abdi ini terdiri daripada penduduk yang berfahaman animisme dan penduduk Islam. Ketika kuasa-kuasa Eropah tiba di Afrika Barat dan bermulanya perniagaan hamba abdi Islam telah pun berkembang di beberapa buah negara seperti Senegal, Burkina Fasso, Mali dan Niger.

Bagaimanapun, hamba-hamba abdi telah dipaksa menukar nama mengikut nama tuan-tuan mereka selain daripada dipaksa memeluk agama Kristian. Tidak hairanlah sejak beberapa tahun lalu ramai orang-orang Afrika-Amerika yang memeluk Islam menganggap mereka sebagai revert to Islam.

Ramai hamba-hamba abdi yang mati. Antaranya dalam perjalanan darat ke Elmina, ketika ditahan di Elmina Castle, dalam kapal ke Eropah dan benua Amerika dan ketika bekerja di ladang-ladang. Ini tidak termasuk yang dibunuh kerana menentang tuan-tuan mereka.

Banyak implikasi buruk terhadap benua Afrika ekoran dari perniagaan hamba abdi. Penduduk Afrika dikatakan beku buat beberapa ketika. Selain daripada kehilangan rakyatnya yang terbaik. Hamba abdi banyak mempengaruhi psikologi orang-orang Afrika.

Sebaliknya hamba abdi menjadikan negara-negara Eropah dan benua Amerika kaya-raya melalui tenaga buruh percuma.

Perdana Menteri Britain, Tony Blair meluahkan rasa kesal di atas kekejaman yang dilakukan terhadap orang Afrika. Bagaimanapun, beliau enggan memohon maaf terbuka. Mungkin bimbang akan implikasinya khususnya dalam soal pampasan.

Namun beberapa pemimpin Afrika mengakui kekejaman yang dilakukan adalah terlalu besar. Tiada jumlah wang yang boleh menebus kekejaman tersebut.

Read more!

Khutbah pegang raifal tidak wajar

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 28 Mac 2007


Islam adalah agama perdamaian, dan bukannya peperangan. Islam adalah agama nasihat-menasihati, dan bukannya paksaan secara kekerasan.

Jihad paling utama ialah usaha perang melawan nafsu.

Peperangan hanya dilakukan untuk mempertahankan diri dan menuntut hak serta menebus maruah. Itu pun peraturan bagi peperangan amat ketat.

Dalam Islam, tidak ada pengganas, apatah lagi pengebom bunuh diri. Tidak ada senjata pemusnah besar-besaran (WMD), apatah lagi senjata nuklear.

Tetapi apa yang dilakukan oleh segelintir kumpulan Islam mencemarkan nama Islam. Islam dipaparkan sebagai agama pengganas, kekerasan dan peperangan. Jihad menjadi simbol keganasan paling besar. Maka Barat dengan mudah mengambil kesempatan dengan tindak-tanduk umat Islam sendiri untuk menunjukkan keganasan Islam.

Ada sesetengah kalangan intelektual Barat aktif memaparkan bahawa al-Quran adalah kitab keganasan, peperangan dan kekerasan. Mereka menyemai fahaman kebencian terhadap Islam, Islamofobia.

Justeru, dalam zaman di mana Islam dipaparkan demikian, adakah saranan supaya pegawai polis membaca khutbah dengan memegang raifal M-16 akan membantu Islam?

Raifal M-16 dibawa ke dalam masjid sudah cukup untuk dipaparkan kepada dunia bahawa Islam adalah agama kekerasan. Sedangkan orang Islam tidak mencipta raifal. Orang Baratlah yang menghasilkan pelbagai senjata, daripada raifal hingga ke bom nuklear. Merekalah yang ganas. Bukannya umat Islam.

Memang benar Rasulullah s.a.w. dan kemudian khalifah-khalifah memegang pedang semasa berkhutbah. Pedang itu simbol kekuasaan pada zaman itu. Ia bukan tanda kekerasan. Seperti di kalangan pembesar Melayu pada zaman dahulu yang memegang keris sebagai simbol kekuasaan.

Tetapi raifal adalah jauh lebih berbahaya dan ganas daripada pedang atau keris.

Zaman kemudian berubah dan khalifah mengarahkan supaya khatib-khatib tidak lagi memegang pedang semasa membaca khutbah. Atas sebab-sebab tertentu pada zaman itu, mungkin bagi menegah salah guna senjata itu, pedang digantikan dengan tongkat.

Tongkat walaupun hanya kayu tetapi sudah cukup menjadi simbol kekuasaan khatib di masjid.

Setelah beratus-ratus tahun keadaan ini berlaku, maka Revolusi Islam Iran pada tahun 1979 menyaksikan di mana ulama di sana memegang raifal semasa berkhutbah. Mungkin sesuai mereka berbuat demikian kerana ketika revolusi, simbol kekuasaan itu hendak ditegaskan sebagai telah beralih daripada istana Syah Iran kepada ulama.

Tetapi pada zaman dalam keadaan umat Islam diserang Islamofobia di seluruh dunia hari ini, dengan media global mempunyai pengaruh besar, kenyataan ahli politik Islam menggalakkan pegawai polis membaca khutbah memegang raifal hanya akan memburukkan lagi imej agama dan ummah.

Read more!

Semangat guru luar bandar tahun 50-an

Oleh: DATUK MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 26 Mac 2007


DAKWAAN keengganan guru-guru mengajar di luar bandar agak mengejutkan. Ini adalah kerana situasi di luar bandar dewasa ini amat berbeza dengan luar bandar tahun 50-an.

Lima puluh tahun lalu luar bandar disinonimkan dengan pelita minyak tanah, perigi dan kelambu. Sementara jalan raya seolah-olah tidak wujud. Yang ada cuma jalan tanah merah berlopak, berdebu dan ditakungi air di musim hujan.

Sementara basikal merupakan pengangkutan utama termasuk guru-guru.

Begitulah pemandangan sebahagian besar kampung-kampung di Perak Utara tahun 50-an termasuk kampung saya sendiri. Sekolah Melayu hanya setakat darjah 5. Menariknya guru besar saya, merupakan salah seorang guru ketika ibu saya bersekolah.

Guru-guru pula semuanya datang dari luar. Hinggalah ke hari ini. Sejajar dengan pembangunan negara kampung saya kini telah mempunyai sebuah sekolah menengah, balai polis dan pusat kesihatan. Perkhidmatan bas ke bandar berhampiran setiap setengah jam. Perkhidmatan teksi boleh didapati dengan mudah.

Penduduk tidak lagi menggunakan minyak tanah kerana sudah ada elektrik. Tidak lagi mandi air telaga kerana sudah ada air paip.

Namun kampung tersebut masih tetap kampung. Masih kawasan luar bandar. Masih ada guru-guru yang enggan tinggal di kampung tersebut. Sanggup berulang-alik dari bandar berdekatan. Mungkin ramai yang tidak mahu bertugas di kampung tanpa paksaan.

Keadaan amat berlainan ketika saya bersekolah dulu. Meskipun guru-guru semuanya orang luar, mereka datang membawa anak isteri. Tinggal sampai berpuluh tahun.

Rumah mereka sama taraf dengan orang kampung. Mandi air telaga atau sungai. Malam-malam pasang lampu minyak tanah dan tidur dalam kelambu kerana takutkan nyamuk malaria.

Namun mereka tidak bersungut. Tidak minta tukar. Sebaliknya menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab. Kalau tidak, sudah tentu beberapa kanak-kanak yang bernasib baik tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.

Kekurangan

Mungkin dimaksudkan luar bandar di abad ke-21 ini ialah penempatan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Tetapi apalah bezanya kampung-kampung ini dengan kampung-kampung di Persekutuan Tanah Melayu tahun 50-an. Kalaulah guru-guru di zaman itu sanggup menghadapi keadaan yang serba kekurangan kenapa tidak sekarang. Sebenarnya anggota angkatan tentera lebih awal dihantar bertugas di Sabah dan Sarawak dalam serba kekurangan.

Mungkin ramai guru-guru tidak bersetuju dengan kata dua Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar.

Ketika bertugas di sebuah negara Afrika Barat beberapa tahun lalu, setiap tahun beratus-ratus orang sukarelawan Jepun terdiri daripada doktor, guru, jururawat dan jurutera datang bertugas sebagai sukarelawan selama 2-3 tahun. Mereka ditugaskan di kawasan-kawasan luar bandar yang kurang atau tidak ada langsung kemudahan asas.

Mereka tinggal dalam rumah-rumah yang dibuat daripada tanah liat, mandi dan minum air perigi, memakan makanan tempatan terdiri daripada ubi kayu. Mereka membuat apa saja tugas perlu. Termasuklah mengajar di sekolah-sekolah (sebenarnya bangsal tanpa kerusi meja dan ada juga di bawah pokok), mengajar ibu-ibu dalam bidang kraf tangan atau ilmu pertanian moden.

Malahan ada juga doktor-doktor perubatan yang dihantar membuat kajian membasmi berbagai penyakit terutama sekali malaria. Seorang daripada doktor pakar malaria bagaimanapun, meninggal dunia apabila beliau sendiri gagal menangkis serangan malaria.

Namun kematian tersebut tidak menakutkan para sukarelawan. Sementara program tersebut telah menjangkau 30 tahun.

Selain daripada sukarelawan Jepun terdapat ratusan dan ribuan sukarelawan dari negara-negara Barat bertugas di beberapa buah negara Afrika. Termasuklah mubaligh-mubaligh Kristian antaranya dari Filipina. Mereka sanggup tinggal di bangsal-bangsal kambing kerana agama. Membantu pesakit-pesakit termasuk yang mengalami AIDS.

Tahun 60-an ratusan sukarelawan American peace corps bertugas di Malaysia. Program bertujuan mengeratkan hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dengan negara-negara dunia ketiga inisiatif Presiden Kennedy. Sebahagian besar daripada mereka bertugas di luar bandar dalam berbagai bidang termasuk pendidikan (guru) dan sektor pertanian.

Beberapa orang daripada bekas sukarelawan ini saya temui ketika bertugas di Los Angeles. Kini mereka masih bertugas dan memegang jawatan penting dalam sektor awam dan swasta. Rata-rata mereka mempunyai kenangan manis terhadap Malaysia. Malahan ada yang masih boleh berbahasa Melayu.

Sekiranya masalah guru menjadi semakin serius, dicadangkan kerajaan membawa masuk guru-guru dari negara-negara maju khususnya Eropah dan AS. Ia sekali gus dapat menyelesaikan masalah guru-guru berkelayakan untuk mengajar matapelajaran Sains dan Matematik serta Bahasa Inggeris sebagai satu mata pelajaran.

Selain daripada itu, pesara-pesara kerajaan sama ada bekas guru atau kakitangan awam eloklah diberi peluang untuk mengajar dalam mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Bahasa Malaysia atau apa sahaja mata pelajaran.

Percaya pesara-pesara ini masih dapat memberi sumbangan berkesan apatah lagi generasi yang dilahirkan dalam tahun-tahun 40-an dan 50-an mendapat pendidikan di sekolah-sekolah aliran Inggeris.

Saya rasa mereka tidak keberatan dihantar ke kawasan-kawasan luar bandar.

Di California siapa sahaja boleh menjadi guru asalkan mereka mempunyai kelulusan dan lulus peperiksaan untuk mendapat tauliah mengajar. Umur tidak menjadi soal. Asalkan disahkan masih waras dan sihat tubuh badan.

Read more!

Biografi penuh makna

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 26 Mac 2007


Tahun ini ketika negara yang menyambut ulang tahun kemerdekaannya ke-50, sebuah buku biografi penuh makna bakal diterbitkan dalam masa dua bulan lagi.

Mengingatkan bahawa negara bukan dibina oleh pemimpin-pemimpin utama semata-mata, maka biografi yang memaparkan kisah hidup dan keperibadian Timbalan Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman akan memberikan perspektif segar mengenai perjuangan kemerdekaan dan pembinaan negara.

Biografi Dr. Ismail yang meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 akan menunjukkan betapa beliau mempunyai keperibadian tegas dalam soal urus tadbir negara yang baik. Beliau tidak akan bertolak ansur dalam soal-soal penyelewengan, rasuah atau pembaziran. Malah baginya, urus tadbir negara yang baik mesti didahulukan serta diutamakan berbanding pembangunan itu sendiri.

Buku bertajuk Bukan Kerana Pangkat: Tun Dr. Ismail dan Masanya itu adalah terjemahan kepada The Reluctant Politician: Tun Dr. Ismail and His Times yang diterbitkan Disember tahun lalu dan pelancarannya dilakukan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam pada Khamis lalu.

Penulis buku ini ialah Dr. Ooi Kee Beng, Fellow Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS) Singapura berdasarkan kepada koleksi kertas yang diserahkan oleh anak Allahyarham Dr. Ismail, iaitu Tawfik Tun Dr. Ismail.

Ooi melengkapkannya dengan penyelidikan serta wawancara saudara mara Dr Ismail dan tokoh-tokoh yang mengenalinya termasuk Allahyarham Tun Ghafar baba, Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Robert Kuok, Lee Kuan Yew dan Tan Sri Ghazali Shafie, iaitu berjumlah sehingga 50 orang.

Penulisan yang mengambil masa 15 bulan ini memaparkan peristiwa mengenai perjuangan menuju kemerdekaan, hubungan Malaysia dengan Singapura, asal- usul falsafah keserantauan Asia Tenggara, konflik dalaman UMNO, hubungan MCA-UMNO, masalah kesihatan Allahyarham Tun Razak, rusuhan 13 Mei dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Sementara The Reluctant Politician diterbitkan oleh ISEAS, buku Bukan Kerana Pangkat diterbitkan oleh ISEAS bersama Pusat Maklumat Strategik dan Pembangunan Penyelidikan (SIRD) Kuala Lumpur.

ISEAS disifatkan sebagai pusat penyelidikan sejarah, politik dan sosial Asia Tenggara paling berwibawa. Perpustakaannya dikenali sebagai terbaik bagi kajian Asia Tengara. Koleksi kertas peribadi Dr. Ismail menambahkan lagi kekayaan khazanahnya.

Sementara SIRD pula dikenali sebagai penerbit buku isu-isu politik dan sejarah Malaysia meliputi hal ehwal gerakan kiri.

Kerjasama

Apa yang menarik tentang buku ini ialah kerjasama penerbitannya yang melibatkan daripada kedua-dua pihak dari Malaysia dan Singapura. Walaupun penulisnya, Kee Beng ialah seorang warganegara Singapura, tetapi beliau adalah kelahiran Pulau Pinang dan memperoleh ijazah kedoktoran falsafah di Stockholm dalam bidang Sinologi (Kajian Tamadun China).

Beliau yang bidang penyelidikannya meliputi falsafah bahasa, falsafah China, pembinaan negara dengan fokus kepada Malaysia, ekonomi politik dan falsafah sains itu bertanggungjawab terhadap Program Kajian Malaysia di ISEAS.

Bagaimanapun, apa yang membolehkan ISEAS menerbitkan The Reluctant Politician ialah dorongan kuat daripada Pengarah ISEAS, K. Kesavapany, bekas Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia.

Beliau juga walaupun warganegara Singapura adalah kelahiran Malaysia iaitu di Kuala Lumpur. Antara buku tulisan beliau ialah Malaysia-Singapore Relations under Abdullah.

Penterjemahan The Reluctant Politician untuk dijadikan Bukan Kerana Pangkat dilakukan oleh Bashir Basalamah, seorang warga Singapura. Bagaimanapun, penerbitnya, SIRD dan pengedarnya di Malaysia, Gerakbudaya berpusat di Kuala Lumpur.

Hubungan Malaysia-Singapura yang tercermin dalam usaha penerbitan buku ini turut terlihat semasa pelancaran The Reluctant Politician yang dilakukan di Danga Bay, Johor Bahru di mana tetamu-tetamu dari Singapura turut hadir.

Adalah menarik juga betapa Musa yang melancarkan The Reluctant Politician adalah juga Ahli Majlis Penasihat Wilayah Pembangunan Iskandar. Di wilayah ini, negara akan menyaksikan kerjasama yang bertambah dalam bentuk pelaburan dari Singapura.

Musa dan Dr. Ismail mempunyai persamaan dari segi kedudukan kedua-duanya sebagai orang yang pernah menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan juga merupakan tokoh politik UMNO Johor yang berpengaruh.

Musa dalam ucapan pelancaran buku itu menganggap dirinya sebagai pengkagum Allahyarham Dr. Ismail. Beliau menyatakan betapa Allahyarham berusaha keras untuk mewujudkan pelabuhan dan lapangan terbang Johor Bahru.

Kedua-dua infrastruktur di Johor itu dilihat sebagai menampung limpahan ekonomi dari Singapura. Johor pula diharap dapat memanfaatkan apa saja kemajuan pembangunan yang berlaku di republik itu.

Menurutnya, Allahyarham tidak mempunyai masalah apa yang disebut sebagai ‘‘Sindrom Singapura.’’ Apa yang dimaksudkan mungkin ialah perasaan takut atau bimbang kepada Singapura.

Beliau juga menyebut betapa rakan sejawat Allahyarham di pihak Singapura pada masa zamannya, iaitu Dr. Goh Keng Swee juga tidak mempunyai masalah ‘‘Sindrom Malaysia’', iaitu takut atau bimbang kepada Malaysia.

Keng Swee bagaimanapun adalah kelahiran Melaka.

Dalam hal ini, Musa melihat bagaimana Wilayah Pembangunan Iskandar boleh dianggap sebagai usaha yang dapat didedikasikan kepada wawasan Dr. Ismail terhadap negara ini.

Kee Beng pula menyatakan Dr. Ismail dan Musa adalah kedua-duanya anak Johor Bahru yang membesar dalam persekitaran budaya campuran dengan berada hampir pada Singapura yang rancak dan menarik.

‘‘Buku ini akan mengingatkan rakyat Malaysia tentang kepentingan Johor Bahru dalam proses membinaan negara Malaysia.

‘‘Penyelidikan yang saya lakukan untuk buku ini secara besar mengubah pandangan saya mengenai banyak perkara, dan ia membaharui optimisme saya terhadap masa depan Malaysia, dan juga hubungan Malaysia dengan jiran-jirannya,”
kata Kee Beng.

Read more!

Lindungi pengguna daripada godaan kad kredit

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 17 Mac 2007


Sistem kad kredit dicipta di Amerika Syarikat (AS) di mana produk berasal dari sana menguasai pasaran hingga ke seluruh dunia pada hari ini.

Bank-bank di sana telah lama memikirkan cara mana untuk mengaut lebih banyak keuntungan dan daripada penyelidikan serta inovasi, sistem kad kredit inilah antara hasilnya. Bagaimana bayaran minimum ditetapkan, serta yuran dan cara mana promosi dilakukan adalah kesemuanya hasil daripada pemikiran lampias otak yang mendalam. Kesemuanya berasaskan terhadap kesedaran mengenai kelemahan manusia dari sudut psikologi berbelanja dan berhutang. Matlamatnya adalah untuk keuntungan besar institusi-institusi kewangan di sana.

Dalam keadaan ini, persatuan-persatuan pengguna serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan melindungi pengguna bangkit dan mempertahankan orang ramai daripada godaan kad kredit.

Tetapi persatuan-persatuan pengguna tidak berupaya melawan bank-bank besar itu. Bank-bank itu mempunyai badan-badan penyelidikan masing-masing untuk mencari jalan bagaimana hendak mengaut keuntungan daripada pengguna. Mereka juga tidak mahu pengguna jatuh bankrap. Ini kerana jika bankrap, pengguna itu tidaklah dapat menggunakan kad kredit mereka.

Maka mereka menubuhkan unit-unit penasihat kewangan bagi membimbing para pengguna kad kredit supaya tidak jatuh muflis, dan terus dapat menggunakan perkhidmatan bank serta selanjutnya meningkatkan lagi keuntungan institusi kewangan itu.

Persatuan pengguna juga menubuhkan unit-unit kaunselor dan nasihat mereka tetapi ia lebih menjuruskan kepada menghalang terus penggunaan kad kredit. Ini kerana secara keseluruhannya penggunaan kad kredit merugikan pengguna.

Bagaimanapun, pengguna tidak berupaya melawan godaan kad kredit. Ini kerana terdapat dua ciri sistem ekonomi kapitalis. Pertama, pengguna digalakkan berbelanja. Kedua, pengguna digalakkan berhutang. Barulah sistem ini dapat bergerak dan berkembang.

Sistem ini di mana bank juga adalah sebahagian daripadanya berkempen melalui iklan dan promosi besar-besaran. Sedangkan iklan dan kempen bagi melindungi pengguna tidak banyak kerana motivasi serta dana yang dimiliki oleh persatuan pengguna adalah terhad.

Dalam keadaan ini, muncul pula industri kaunselor kewangan swasta. Mereka menawarkan khidmat motivasi untuk pengguna supaya merancang kewangan ini. Industri ini juga besar. Kejayaannya adalah kerana pengguna tidak mampu merancang kewangan mereka apabila berdepan dengan godaan berbelanja.

Sudahlah kena keluarkan wang untuk berbelanja, dan ditambah lagi membayar caj-caj kredit, pengguna pula membayar lagi untuk mendapat nasihat kewangan. Begitulah sistem ini berfungsi.

Maka amalan menggunakan kad kredit juga sampai ke Malaysia dan mula luas digunakan pada tahun 90-an apabila penduduk negara ini ghairah dengan pelbagai produk kewangan, termasuk saham dan pelbagai jenis pinjaman.

Tetapi kini dapat dilihat betapa terdapat empat pinjaman yang hampir terpaksa dibuat oleh pengguna di negara ini. Pertama, pinjaman pelajaran. Kedua, pinjaman kereta. Ketiga, pinjaman perumahan. Keempat, pinjaman melalui kad kredit.

Dari mana inovasi-inovasi kewangan ini dicipta? Sudah tentu kebanyakannya dari AS. Termasuk produk yang memaksa kepada pinjaman itu. Umpamanya konsep pembinaan taman-taman perumahan teres dimulakan di AS. Ia dapat dijayakan melalui pinjaman. Malah kereta serta cara mana menggalakkan pembeliannya melalui pinjaman bank juga dicipta di AS. Sementara perkembangan kad kredit juga dikaitkan dengan pertumbuhan kompleks membeli-belah, semuanya ciptaan AS.

Manusia moden tidak akan bebas daripada hutang dalam keadaan seperti ini, lebih-lebih lagi melalui adanya kad kredit.

Apabila amalan kad kredit mula meluas di Malaysia, persatuan pengguna khususnya Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dengan tegas menolak penggunaannya. Ia tidak mempersoalkan sistem atau syarat, tetapi terus menolaknya secara mutlak.

Tetapi promosi kad kredit semakin agresif dan digalakkan. Sudah tentu persatuan pengguna tidak berupaya berlawan dengan bank-bank yang bajet iklan dan promosinya adalah besar. Akhirnya masyarakat akan menerima dengan mudah.

Pihak yang harus melindungi pengguna adalah Bank Negara kerana mereka mempunyai kuasa untuk mengenakan peraturan. Tetapi sudah tentu Bank Negara juga menjaga kepentingan industri bank. Malah hubungannya yang rapat dengan bank adalah lebih kuat daripada kaitannya dengan persatuan pengguna.

Mungkin ada baiknya sebahagian daripada keuntungan besar yang dikaut oleh syarikat-syarikat kad kredit itu diperuntukkan kepada kempen mengurangkan penggunaan kad kredit.

Akhirnya, pengguna menanggung semua. Ia terpaksa berbelanja untuk menggunakan kad kredit. Sebahagian daripada wang itu pula digunakan untuk mendidik diri sendiri supaya mengurangkan penggunaan kad kredit.

Tetapi komuniti bisnes akan menolak usaha mengurangkan penggunaan kad kredit. Ini kerana pengurangan penggunaan kad kredit akan menjejaskan perniagaan mereka. Jika perniagaan mereka terjejas, ekonomi juga terganggu. Ada yang tidak kena dengan sistem ini. Pengguna biasa terus terbeban, terhimpit dan terkapai-kapai di bawah bayangan bangunan-bangunan pencakar langit milik bank-bank.

Read more!