Penstrukturan politik Asia Barat

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 30 Januari 2005


PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) George W. Bush membayang akan menyerang Iran kerana sumber perisikan memaklumkan pelan pembangunan senjata nuklear di Iran. Ini sebenarnya tidak mengejutkan sama ada ia sekadar perang saraf atau benar-benar akan menyerang negara yang berjiran dengan Iraq itu.

Pengumuman akan menyerang Iran tidak memperlihatkan satu sikap yang baru daripada Bush dan orang di sekelilingnya, Setiausaha Pertahanan Donald Rumsfeld, Setiausaha Negara Condoleezza Rice serta Timbalan Presiden Dick Cheney. Sebaliknya pengumuman yang dibuat pada penggal kedua menduduki kerusi Presiden AS adalah satu modus operandi yang dilakukan di Afghanistan dan Iraq.

Bush bukan saja dilihat sebagai bongkak malah tidak kelihatan membanteras keganasan yang dilaung-laungkan. AS telah melakukan keganasan di Afghanistan dan Iraq. Dunia semakin terbuka dan Iraq membuktikan AS bukan memperjuangkan kepada keamanan dunia.

Sikap mengugut Iran ini lebih kepada strategi pengstrukturan politik dan sosial di Asia Barat supaya semuanya dibawah teraju AS. Sebelum ini AS pernah mengugut akan menyerang Syria. Iran yang diulangi akan diserang hanya dengan alasan kononnya negara itu membangunkan program senjata nuklear.

Majalah Time 13 Januari 2003 yang kulit depannya bertajuk The Bigger Threat? memfokuskan kepada pelan pembangunan senjata nuklear Korea Utara. Fokus yang menyelongkar senjata nuklear Korea Utara itu dibuat selepas Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya menyerang Iraq. AS menyerang Iraq kerana Ejen Perisikan Pusat (CIA) percaya Iraq membangunkan senjata nuklear.

Time mengemukakan banyak fakta kenapa Korea Utara dilihat sangat berbahaya. Persoalan ini ditimbulkan setelah AS gagal menemui pusat pembangunan senjata nuklear Iraq. Ketika itu Iraq telah hancur dalam eksperimen perang digital Doktrin Rumsfeldisme. Tetapi pada masa yang sama AS tidak menghiraukan Korea Utara yang mencetuskan kebimbangan dan ketegangan di kalangan negara Asia.

Persoalannya apakah bahayanya Iraq berbanding Korea Utara yang secara terang-terangan mengakui mempunyai pelan pembangunan senjata nuklear? Korea Utara tidak pernah berselindung program senjata nuklearnya. CIA tahu, Rumsfeld juga tahu keadaan sebenar. Apabila AS menyerang Iraq, ini menunjukkan serangan itu bukanlah kerana senjata nuklear sekiranya Iraq mempunyai senjata bahaya itu.

Serangan ke atas Iraq ada motif lain. Ini adalah salah satu doktrin yang menganjurkan pre-emptive striking atau menyerang kemudian baru mencari bukti. Ini dilakukan semasa menyerang Afghanistan alasan memburu teroris Islam Al-Qaeda dan Osama bin Ladin. Kemudian AS menyerang Iraq kerana senjata nuklear. Kedua-duanya tidak ada bukti yang boleh ditunjukkan kepada dunia.

Selepas tumbangnya Presiden Saddam Hussein, Iraq kini diperintah oleh kerajaan boneka AS. Kejayaan AS menstrukturkan politik dan sosial di Iraq supaya mengikut telunjuk AS memberikan kesan yang besar kepada Asia Barat. AS mempunyai sebuah lagi negara di Asia Barat dan merancang menyerang Iran tentunya membuktikan serangan bukan kerana Iran ada senjata nuklear. Ini untuk menstrukturkan negara-negara penting yang anti-AS selepas runtuhnya negara-negara blok komunis lebih satu dekad lalu.

Israel misalnya mempunyai senjata yang jauh lebih moden daripada Iran. Tetapi kerana Israel ejen AS di Asia Barat, Israel dilepaskan dan mangsanya bukan sekadar Palestin malah Asia Barat. Korea Utara pun begitu juga. Negara ini tidak diganggu oleh AS buat masa ini kerana belum mengganggu AS kecuali beberapa negara yang mempunyai kepentingan AS seperti Korea Selatan.

Korea Utara sebenarnya jauh lebih bahaya daripada Iran. Setakat ini Korea Utara telah membangunkan peluru berpandu Scud B yang boleh mencapai jarak hingga 300 kilometer atau sebahagian daripada Korea Selatan, Scud C sejauh 550 kilometer yang boleh sampai ke seluruh Korea Selatan dan sebahagian Jepun. Peluru berpandu Nodong pula mampu menepati sasaran sejauh 1,300 kilometer iaitu seluruh Korea Selatan dan sebahagian besar Jepun.

Peluru berpandu Taepo Dong-1 sejauh 2,000 kilometer. Sementara Taepo Dong-2 dalam pembikinan. Peluru ini dijangka mampu mencapai 6,000 kilometer atau sampai ke Alaska dan sebahagian Hawaii. Program pembangunan senjata nuklear Korea Utara juga dalam pembikinan Taepo Dong-2 (peringkat ketiga) yang dijangka siap pada 2015. Peluru berpandu ini yang beratnya hanya 200 kilogram mampu mencapai 12,000 kilometer atau mencecah AS.

Kalau benar AS prihatin untuk membanteras negara yang menjadi paksi keganasan, sasarannya bukanlah Iran dan juga Iraq. AS perlu menghala serangan ke Korea Utara yang ternyata sangat bahaya kepada dunia. Tidak ada negara yang lebih bahaya daripada Korea Utara apabila pelan pembangunan senjata nuklear begitu agresif.

Jadi apabila ugutan untuk menyerang itu ditujukan kepada Iran, maknanya bukanlah kerana senjata nuklear. Itu hanya tiket untuk mewajarkan AS membuat pre-emptive striking ke atas Iran. Selepas diserang, Iran menjadi negara terbaru di Asia Barat yang distrukturkan politik dan sosialnya oleh AS.

Profesor Suhail Zakkar dari Universiti Damascus di Damsyik pernah memberi amaran sekiranya AS menyerang Syria, AS akan berdepan dengan tentangan sengit. Tentangan itu datang daripada 18 juta rakyat Syria, 300 juta Arab dan 2,000 juta umat Islam di seluruh dunia.

Keruntuhan Kesatuan Soviet pula dijangka akan berulang sekiranya AS meneruskan agenda penstrukturan politik di Asia Barat. Maknanya AS akan tercabar kerana Kesatuan Soviet yang kuat itu juga hancur selepas menyerang Afghanistan.

Dalam buku The Clash of Civilization, Profesor Samuel Huntington menjangka selepas kejatuhan Kesatuan Soviet lebih sedekad lalu akan wujud pertembungan tamadun antara Islam dan Barat. Memang benar AS telah lama melabelkan Islam sebagai teroris sebelum 11 September 2001 lagi.

Tetapi melihat keadaan semasa yang berlaku di Asia Barat, barangkali Samuel Huntington perlu menulis semula The Clash of Civilization. Beliau perlu melihat yang berlaku di dunia Arab selepas kejatuhan Kesatuan Soviet bukan semata-mata pertembungan tamadun. Sebaliknya pertembungan yang mencetuskan keganasan bagi memudahkan AS menstrukturkan politik di Asia Barat dan dunia Arab. Iraq adalah buktinya.

Read more!

Sarjan Graner jadi kambing hitam

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 23 Januari 2005


Nasib awaklah Sarjan Charles Graner. Awak hanya seorang sarjan, maka jadi kambing hitamlah kepada tuan-tuan yang bijak menyuci tangan.

Demikian malangnya seorang sarjan tentera Amerika Syarikat (AS) yang dikambinghitamkan untuk menutup perlakuan "binatang'' tuan-tuannya, Presiden George Bush, bekas Setiausaha Negara Colin Powell dan Setiausaha Pertahanan Donald Rumsfeld.

Graner dihukum penjara sepuluh tahun selepas didapati bersalah menyeksa tawanan perang Iraq di penjara Abu Gharib, Baghdad. Ini dianggap penutup kepada skandal penderaan di penjara Abu Gharib.

Barangkali sesetengah pihak berasa puas apabila pihak yang melakukan "kerja binatang'' itu dihukum. Hukumannya pula berat; penjara 10 tahun dan dipecat dari perkhidmatan tentera.

Tunggu. Jangan gembira dulu. Menghukum seorang sarjan sebenarnya tidak membawa apa-apa makna dalam isu skandal Abu Gharib. Pencabulan hak asasi manusia itu tidak selesai kalau hanya seorang sarjan saja menerima hukuman.

Graner yang baru berusia 36 tahun ini sebenarnya berjasa besar kepada tuan-tuannya. Pengorbanan dengan menanggung semua perlakuan itu adalah menyelamat dan menyucikan nama pihak atasan daripada ikut terlibat dalam babak "binatang gila'' di Iraq itu.

Ini menunjukkan untuk "kelihatan'' ada keadilan bukanlah suatu yang sukar. Lesen keadilan boleh diberikan oleh mahkamah, biarpun mahkamah tentera. Apabila dunia menuding bahawa ideologi Rumsfeldisme yang mencetuskan skandal penyeksaan itu, mangsakan saja si kambing hitam yang tidak punya kuasa. Setidak-tidaknya ini mampu memulihkan keyakinan kepada kepimpinan Bush dan Rumsfeld.

Skandal penyeksaan tawanan Iraq di penjara Abu Gharib menggoncangkan Bush, Powell dan Rumsfeld. Perlakuan kebinatangan itu dikaitkan Rumsfeldisme yang dibayangi oleh Setiausaha Pertahanan AS, orang paling penting dalam misi menyerang Iraq.

Menghukumkan Graner sekadar menunjukkan AS "mengambil berat'' kecaman dunia khususnya pejuang hak asasi manusia. Riuh-rendah dan kecaman yang membara di seluruh dunia selama ini ternyata tidak akan padam dengan muslihat bahawa Graner melakukan tanpa arahan daripada pihak atasan.

Graner antara tujuh anggota tentera AS yang didakwa berhubung skandal penderaan yang tidak berperikemanusiaan itu. Graner dihukum penjara 10 tahun dan dipecat daripada perkhidmatan tentera.

Semasa wartawan AFP bertanyakan Graner mengenai hukuman tersebut, sarjan itu hanya berkata, "Saya hanyalah seorang tentera. Jika saya melakukan sebarang kesalahan, beginilah kesudahannya.''

Sarjan ini yang gambarnya tertera berdiri di sisi batang tubuh manusia yang disusun sebagai piramid sambil ketawa sebenarnya bukanlah manusia baik. Dia memang melakukan penderaan bersama-sama yang lain.

Masih ingat lagi dengan seorang anggota tentera wanita yang mengheret tawanan Iraq bagai binatang? Itu adalah Lynndie England teman wanita Graner yang hamil hasil hubungan dengan Graner dan telah pun melahirkan anak itu di sebuah hospital tentera di Baghdad.

Tetapi yang terus menjadi persoalan selepas Graner dihukum adalah perbuatan kejam itu dilakukan dengan pengetahuan kalaupun bukan keizinan pihak atasan.

Mujurlah skandal tawanan Iraq yang dikencing, dilumur najis, dikenakan kejutan elektrik selain kehormatan mereka sebagai manusia dicabulkan didedahkan oleh media AS sendiri.

Pendedahan eksklusif penderaan tawanan perang Iraq dibuat oleh saluran TV CBS menerusi program 60 Minute pada 29 April tahun lalu. Pendedahan itu kembali mengingatkan kekejaman tentera AS terhadap tawanan perang Afghanistan di penjara Teluk Guantanamo, Cuba.

Penderaan mental dan fizikal di Teluk Guantanamo tidak kurang dahsyatnya. Lupakan dulu yang ditangkap itu bersalah atau tidak. Tetapi modul soal siasat sangat menyeksakan. Siapa yang mewajarkan pencabulan hak asasi manusia di Teluk Guantanamo kalau bukan teraju perang yang paling berkuasa, Rumsfeld?

Media seperti saluran CBS juga mempunyai kepentingannya sendiri hasil pendedahan ini. Jangan terlalu awal menganggap telah wujud kebebasan media di AS. Selepas pendedahan CBS, skandal ini turut didedahkan oleh akhbar Daily Mirror dan Washington Post.

Skandal ini kemudian menjadi agenda utama media di negara-negara Islam khususnya di negara-negara Teluk. Matlamat AS menyerang Iraq untuk membebaskan rakyat daripada kekejaman Saddam Hussein kembali dipersoalkan. Apa bezanya penjara Abu Gharib pada era Saddam dan AS? Apa bezanya penjara Abu Gharib dengan Guantanamo?

Bush, Powell dan Rumsfeld menyembunyikan tangan dan pada masa yang sama mempunyai cara untuk meredakan kemarahan dunia.

Lihat saja kenyataan awal Bush sebelum tujuh tentera yang dituduh didapati bersalah; "Tujuh tentera AS ini memalukan dan mencalarkan imej AS.'' Bush telah menghukum sebelum dijalankan penyiasatan rapi terhadap tuduhan itu.

Ditubuhkan sebuah panel penyiasat yang kononnya bebas. Kelihatan dari luar ada ketelusan untuk menghukum mereka yang terlibat dalam penyeksaan tersebut. Pihak atasan menafikan terlibat dan menganggap penyeksaan di penjara Abu Gharib sebagai kes-kes terpinggir.

Maka reaksi ibu Graner, Irma di Texas selepas anaknya didapati bersalah ada relevannya dengan Bush dan konco-konconya dengan kambing hitam ini.

Kata Irma, "Anak saya telah dihukum apabila Bush berkata melalui televisyen bahawa tujuh tentera AS memalukan negara. Sebenarnya Bush dan Rumsfeld yang memalukan negara.''

Rumsfeld menafikan terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam skandal penyeksaan itu. Tetapi banyak yang percaya semua yang berlaku adalah dengan restu pemimpin Pentagon dan Rumah Putih.

Malah dipercayai ini sebahagian daripada arahan untuk dilakukan ke atas tawanan Iraq bagi tujuan "soal siasat''. Tetapi apabila skandal ini pecah dan menjadi kontroversi tidak ada siapa yang mahu bertanggungjawab. Dunia memerhati dan pihak perjuang hak asasi manusia mendesak mereka yang terlibat mesti dihukum.

Akhirnya seorang sarjan yang gambarnya ada bersama-sama tawanan yang diseksa dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun. Sarjan itu menjadi kambing hitam kepada "tuan-tuan'' yang sepatutnya menerima hukuman itu.

Bekas Setiausaha Pertahanan AS, James Schlesinger yang dilantik sebagai ketua panel penyiasat percaya, pihak atasan yang bertanggungjawab dan Washington bersetuju dengan apa yang berlaku.

Panel penyiasat juga mengkritik bekas komander tentera AS di Iraq, Leftenan Jeneral Ricardo Sanchez kerana tidak memberi perhatian terhadap Abu Gharib hingga tidak terkawal.

"Pihak pemimpin tentera dan awam di Pentagon wajar bertanggungjawab,''
demikian ulas Schlesinger mengenai hasil siasatan terhadap skandal di Abu Gharib.

Malah media AS juga percaya skandal penderaan tawanan itu mendapat restu daripada pihak atasan Pentagon termasuk Rumsfeld. Akhbar Washington Post misalnya dalam laporan pada Jun tahun lalu melaporkan Jabatan Kehakiman menganggap penderaan di luar AS sebagai "wajar''. Ini bermakna Bush, Rumsfeld dan Powell tahu apa berlaku di penjara Abu Gharib.

Read more!

Apa itu 9 skala Richter?

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 2 Januari 2005


Gempa bumi di luar perairan Acheh dikesan pada 8.45 pagi Ahad lalu. Radio RTM menyiarkan kenyataan Jabatan Kaji Cuaca seawal 9 pagi. Ombak besar tsunami pula hanya melanda pantai di utara negara ini pada 1.30 tengah hari. Dalam tragedi itu antara yang menjadi korban adalah mereka yang sedang berkelah dan menjalankan aktiviti harian di tepi laut.

Banyak yang mengikuti siaran radio RTM tahu tentang gempa bumi yang gegarannya 9 skala Richter. Tetapi orang ramai tidak diberi amaran kesan daripada gegaran sedahsyat gempa di Alaska 40 tahun lalu.

Jarak masa antara gempa bumi dan ombak tsunami di bahagian utara negara ini lebih tiga jam. Apa yang kita lakukan dalam masa tiga jam itu?

Banyak bertanya adakah Jabatan Kaji Cuaca yang di dalamnya ada bahagian seismologi yang khusus memantau gempa bumi tidak menjangka tsunami berlaku? Di Alaska, gegaran yang sama kuat telah mencetuskan tsunami.

Tsunami yang melanda 11 negara Asia termasuk Malaysia tercetus daripada gempa bumi itu. Malaysia bernasib baik kerana ia mengambil masa lebih tiga jam untuk sampai ke sini.

Cuba bayangkan kalau semasa radio RTM melaporkan berita gempa bumi itu disusuli dengan jangkaan awal oleh Jabatan Kaji Cuaca bahawa kemungkinan berlaku ombak besar yang mencecah ke pantai utara negara ini.

RTM hanya melaporkan gempa bumi dan berita gempa bumi di luar negara tidak lebih sebagai berita, bukan amaran. Jabatan Kaji Cuaca juga melaporkan kekuatan gempa iaitu 9 skala Richter. Bagi orang biasa, bukan semua tahu bahawa skala yang begitu tinggi menggambarkan suatu yang dahsyat berlaku.

Tambahan pula negara ini bukanlah selalu dilanda gempa dan kejadian begitu sangat asing dan jarang diambil perhatian. Tetapi pakar-pakar seismologi di Jabatan Kaji Cuaca tentu dapat membayangkan dahsyatnya 9 skala Richter dan sudah boleh menjangka tsunami melanda beribu-ribu kilometer jaraknya dari tempat gempa bumi.

Memang benar tsunami tidak pernah berlaku di negara ini. Tetapi tidak pernah berlaku bukan bermakna tidak akan berlaku apa lagi dengan skala gempa bumi yang begitu besar. Pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini tentu mempunyai kemampuan membayangkan kesan alam daripada gegaran tersebut.

Gempa ini dikatakan sama kuat dengan gempa yang berlaku pada 27 Mac 1964 di Alaska. Maknanya dalam masa 40 tahun inilah gempa kedua terbesar berlaku di dunia. Gempa yang berlaku di Alaska juga menyebabkan berlakunya ombak tsunami, sama seperti yang melanda 11 negara Asia dalam tragedi kali ini.

Semasa gempa bumi besar itu berlaku di Alaska, serangan ombak tsunami tidak dapat dikesan semua pihak kerana tidak ada pengalaman sebelumnya. Tragedi 40 tahun lalu itu meninggalkan satu pengalaman yang sangat berharga kepada manusia selepas itu. Pengalamannya ialah apabila berlaku gempa bumi di dasar laut yang kuat, akan wujud ombak luar biasa tinggi dan kuatnya.

Orang biasa mungkin tidak banyak tahu tentang tragedi gempa bumi di Alaska dan ombak tsunami akibat gempa itu. Tetapi orang yang mengkaji bidang ini, semua tragedi ini bukanlah asing bagi mereka. Alangkah baiknya kalau pihak yang arif dalam bidang ini menggunakan pengalaman Alaska dalam masa tiga jam sebelum tsunami melanda di pantai utara negara ini.

Yoshinobu Tsuji profesor Institut Kajian Gempa Bumi Universiti Tokyo mendakwa, semua seismologis tahu apabila gempa bumi dasar laut mencecah skala 6.3 akan mencetuskan tsunami dan di peringkat bahaya apabila melebihi 7 skala Richter.

Jepun antara negara yang pernah menjadi sasaran tsunami. Dalam tragedi tsunami di Pulau Hokkaido tahun 1993 jumlah kehilangan nyawa pada relatifnya kecil ialah hanya 239 orang. Semua ini bertolak daripada amaran awal yang diberikan oleh Agensi Kaji Cuaca Jepun.

Dalam tragedi tsunami di perairan Acheh ini, ombak besar mengambil masa sejam selepas gempa bumi untuk sampai ke pantai di selatan Thailand. Selepas dua setengah jam pula ombak itu bergerak sejauh 1,600 kilometer dan menyerang India dan Sri Lanka.

Tsunami memang tidak dapat dihalang. Hujah di atas ini pun bukan untuk menghalang tsunami. Sama seperti tragedi gempa bumi dan gunung berapi. Tetapi dengan pengalaman yang pernah dialami oleh negara lain tidak mustahil kita boleh mengurangkan jumlah kehilangan nyawa apabila memberikan amaran awal.

Dalam masa tiga jam barangkali banyak nyawa dapat diselamatkan, setidak-tidaknya tidak ada yang menjadi mangsa ketika sedang bersuka ria di pantai. Ini sangat menyedihkan kerana mereka tidak diberitahu apa-apa tentang tsunami yang sedang datang kepada mereka.

Tentu saja dalam masa tiga jam kita tidak dapat menyelamatkan harta benda. Mustahil untuk menyelamatkan bot atau calet di tepi pantai. Tidak dinamakan tragedi kalau manusia mampu menyelamatkan semua milik mereka. Tetapi kita mempunyai peluang untuk mengurangkan kehilangan nyawa.

Jangan bandingkan kemusnahan di Acheh. Di sana yang kedudukan geografinya tidak sampai 150 kilometer dari tempat gempa bumi tentu saja tsunami mengambil masa lebih cepat menenggelamkan Acheh. Malah dengan kelajuan dan ketinggian ombak melanda Acheh, mangsa di sana memang hanya mampu menyerah kepada takdir.

Tetapi tsunami yang berlaku di negara ini berbeza. Selain mengambil masa untuk sampai ke sini, jarak air laut melimpah ke daratan juga tidak sejauh Acheh. Kerana itu kehilangan nyawa akibat tragedi tsunami di negara ini bukanlah kerana Malaysia tidak mempunyai sistem amaran awal seperti yang dipasang di Lautan Pasifik.

Laut di perairan negara ini tidak termasuk dalam rantaian pusat gempa bumi atau gunung berapi seperti di Indonesia. Maka keperluan memasang sistem amaran untuk negara ini tidak ada. Cuma yang perlu dipertingkatkan ialah pertukaran maklumat dengan negara-negara lain yang berada dalam rantaian itu.

Apabila Jabatan Kaji Cuaca Malaysia mengeluarkan kenyataan selepas gempa bumi itu berlaku, ini bermakna kita telah menerima isyarat mengenai gempa itu dengan pantas. Cuma yang terlambat malah tidak terfikir ialah kesan daripada gempa bumi itu.

Memang banyak baiknya kalau negara-negara yang terlibat dengan tragedi tsunami ini mempunyai sistem amaran awal yang dipasang di Lautan Hindi seperti yang terdapat di Lautan Pasifik. Sistem canggih itu tentunya memerlukan kos yang besar. Tetapi sebelum memikir tentang sistem itu, mendapat tahu skala Richter sudah cukup untuk kita mengambil langkah wajar.

Kepada Jabatan Kaji Cuaca mungkin tragedi boleh memberikan pengalaman yang sangat bermakna pada masa depan. Keseriusan misalnya mungkin boleh dipertingkatkan lagi. Akhbar melaporkan Jabatan Kaji Cuaca Pulau Pinang menerima faksimile mengenai gempa bumi itu pukul 11.12 pagi. Tetapi tidak dinyatakan amaran atau tindakan segera untuk diambil. Sementara kakitangan Jabatan Kaji Cuaca Langkawi pula mendakwa mereka menerima faksimile yang sama pukul 12.30 tengah hari.

Hari ini setelah 66 nyawa terkorban, beribu orang lagi hilang tempat tinggal, terjejas mata pencarian dan kemungkinan serangan wabak penyakit, kita terpaksa menerima semua ini sebagai takdir. Kelewatan Jabatan Kaji Cuaca membuat jangkaan awal tentang kehadiran tsunami juga mungkin satu takdir. Apa lagi kalau bukan takdir.

Read more!

Bush pilihan Time

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 26 Disember 2004


PRESIDEN George W. Bush telah dipilih oleh majalah Time sebagai Person of The Year 2004. Ini adalah pemilihan Bush kali kedua selepas 2000.

Tetapi pemilihan kali ini agak mudah berbanding tahun-tahun sebelum ini. Antaranya tidak ada tokoh yang meninggalkan kesan besar, jadi bahan berita dan selari dengan dasar Time. Pemilihan Person of The Year sebenarnya tidaklah semudah yang dijangka.

Sekalipun ada calon yang lebih menggegarkan dunia sepanjang tahun ini, Time terpaksa mengambil kira banyak sudut lain terutamanya sentimen politik, pemerintah, nilai ekonomi dan prinsip. Sentimen pembaca, pengiklan dan politik antara perkara penting yang menentukan Time tidak diketepikan hanya semata-mata memperjuangkan prinsip.

Maka Person of The Year 2004 bukanlah kerana keterampilan Bush biarpun Time mendakwa pemilihan itu disebabkan kejayaan Bush membentuk peraturan politik yang sesuai dengan gaya kepimpinannya. Selebihnya kejayaan Bush menewaskan John Kerry dalam pilihan raya lalu.

Sepanjang tahun ini John Kerry juga menjadi bahan berita yang hebat. Kerry pencabar Bush untuk duduk di Rumah Putih dan kalah tipis. Tapi dalam senarai pencabar terdekat untuk Person of The Year 2004, Kerry tidak wujud langsung. Pencabar Bush adalah pengarah filem Michael Moore dan penasihat politik Presiden Karl Rove.

Person of The Year tahun ini adalah orang yang bertanggungjawab melancarkan perang dan memusnahkan Afghanistan kemudian Iraq. Di kedua-dua negara ini saja, beribu manusia tidak berdosa menjadi korban. Malah secara tidak bermaruah pula Bush menstrukturkan politik dalaman negara supaya menyokong dasar Amerika Syarikat (AS).

Editor Urusan Time, Jim Kelly menulis; "Pemenang mesti terdiri daripada individu atau kumpulan yang mencorakkan berita dan kehidupan kita semua. Tidak kira sama ada baik atau jahat, berjaya atau gagal.''

Maka Bush yang menjadi paksi kejahatan kepada dunia memang wajar dipilih. Sepanjang tahun ini Bush antara manusia yang paling banyak mendapat liputan media, menjadi sebutan di mana-mana dan Presiden AS yang melancarkan perang ke atas dunia. Dia juga satu-satunya Presiden AS yang dasar luarnya paling hebat dikecam selepas Richard Nixon.

Kelly mendedahkan, Bush ditentang oleh dua calon lagi yang tidak kurang dominannya terhadap kerjaya politik Bush iaitu pengarah filem Michael Moore dan Rove.

Kenapa Moore? Kepada pengamat politik Bush, Moore menjadi dominan kerana lantang mengkritik dan mempermain-mainkan Bush dalam filem dokumentarinya, Fahrenheit 9/11. Filem ini memenangi hadiah utama Palm d'Or di Festival Filem Cannes tahun ini.

Fahrenheit 9/11 kritikan terbuka kepada Bush ekoran tragedi serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001. Moore menjadikan dokumentari ini sangat jelas pertentangan politiknya dengan Bush. Walaupun begitu, Moore masih berada di bawah Kerry kalau pencabar Bush itu dibariskan untuk dipilih sebagai Person of The Year.

Moore dan Rove tewas. Bush untuk muncul sebagai Person of The Year 2004. Time pula sudah tidak kontroversial lagi dalam menentukan siapakah penyandang Person of The Year yang menjadi lambang prestij majalah berita ini.

Time tidak mungkin memilih Moore dan mengetepikan Bush. Kelly juga mengakui bahawa banyak warga AS tidak mahu Bush menang. Malah Bush dalam satu rencana Time mengaku dia menyedari ada orang yang tidak sukakan dia.

Tentu banyak yang sudah tidak mengambil hirau dengan Person of The Year anjuran Time ini. Pilihlah siapa saja untuk dinobatkan sebagai "manusia yang paling dominan'' pada tahun ini. Persepsi umum Person of The Year kini lebih menjaga hati pembaca daripada ketelusan dan maruah editorial Time.

Person of The Year (sebelum ini Man of The Year hingga 1999) dimulakan oleh Time sejak 1927. Penyandang gelaran Man of The Year pertama ialah juruterbang AS, Charles Lindbergh. Dia adalah juruterbang pertama yang melintasi Lautan Atlantik.

Pengiktirafan yang diberikan oleh Time pada zaman awalnya adalah sangat tinggi. Time berani menjulang prinsip apabila memilih tokoh paling kontroversial seperti Adolf Hitler (1938), Martin Luther King Jr. (1963) dan Ayatollah Khomeini (1979). Time mengalami perubahan kepimpinan dan sudah tentulah dasar juga ikut berubah.

Daripada memperjuangkan prinsip tokoh yang menjadi bahan berita dan mencorakkan suasana tertentu, Time kini lebih berorientasikan perniagaan. Dasar Time hari ini tidak mungkin akan berulang di mana tokoh yang paling kontroversial dipilih sebagai Person of The Year. Ini memberikan kesan kepada pasaran serta pengiklan.

Pernahkah Time membariskan Osama bin Ladin sebagai calon Person of The Year untuk tahun 2001 selepas WTC diserang dan ranap ke bumi? Osama adalah individu yang menjadi bahan berita di mana-mana. Kalau Hitler yang membunuh enam juta Yahudi boleh dipilih, apa bezanya Osama? Barangkali yang berbeza adalah dasar Time ketika ini.

"Ia menjadi kengerian kepada Time,'' demikian ulas tokoh perhubungan awam Howard Rubenstein kepada akhbar USA Today merujuk kepada ura-ura pencalonan Osama tiga tahun lalu.

Person of The Year 2001 bersaing antara Bush dan Datuk Bandar New York Rudolph Giuliani. Giuliani dipilih sebagai Person of The Year 2001 sekalipun tidak menepati kriteria iaitu individu yang menjadi bahan berita paling hangat. Datuk Bandar ini terlalu jauh di belakang Osama dari segi bahan berita. Dia cuma orang yang paling banyak menyibuk selepas New York diserang dalam tragedi 11 September 2001.

Maka pemilihan Bush kali kedua tahun ini adalah keputusan bijak lagi selamat yang dibuat oleh Time. Malah sejak 1994, Person of The Year adalah tokoh Amerika sendiri. Tokoh bukan Amerika yang terakhir dipilih ialah Pope John Paul pada 1994.

Kalau tahun 2001, Osama dikatakan hanya layak mendapat Beast of The Year, tahun ini Bush juga setaraf dengan Osama.

Read more!

Asia Tenggara diancam

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 5 Disember 2004


IMEJ Australia sebagai pembantu sherif Amerika Syarikat (AS) semakin jelas. Ini membuatkan kedudukan geografi sebagai jiran kepada negara-negara Asia Tenggara lebih menimbulkan ketegangan daripada membina kesefahaman.

Dasar luar dan tindak-tanduk Australia jarang mengambil kira sensitiviti negara jiran. Sekalipun mempunyai jiran khususnya negara-negara Asia Tenggara tetapi yang jelas Australia lebih selari dengan dasar AS.

Malah dalam kempen pilihan raya umum Oktober lalu, isu menyerang negara-negara jiran di Asia Tenggara diangkat sebagai agenda utama. Perdana Menteri Australia, John Howard percaya sensitiviti anti-Asia boleh mendapat sokongan daripada rakyat. Atas tiket membanteras kegiatan pengganas khususnya Jemaah Islamiah (JI) dan Al-Qaeda, dasar luar Australia menjadi tidak ubah AS semasa menyerang Afghanistan dan diikuti ke atas Iraq.

Dalam konteks Asia Tenggara, pengganasnya bukan lagi JI atau Al-Qaeda tetapi Howard yang menjaja ``keganasan'' sebagai tatacara baru dasar luar negaranya. Gunakan apa saja istilah untuk mewajarkan serangan itu. Australia tetap dilihat menghormati prinsip kejiranan Asia Tenggara khususnya negara-negara ASEAN.

Rancangan serangan awal (pre-emptive) terhadap kubu pengganas di negara lain adalah kebiadaban dasar luar Australia. Kenyataan Howard mencetuskan ketegangan kepada Malaysia dan Indonesia yang didiami oleh majoriti penduduk beragama Islam. Malah kenyataan Howard itu dilihat khusus kepada Indonesia selepas serangan bom di Kedutaan Australia di Jakarta dan sebelum itu di pusat hiburan di Bali.

Sikap provokatif Australia juga tidak kurang hebatnya apabila meneruskan pendirian untuk membeli peluru berpandu jarak jauh dan campur tangan dalam konflik di Timur Timor (Timor Leste) tahun 1999. Inilah yang mengganggu gugat kestabilan politik dan keselamatan di Asia Tenggara.

Maka apabila Australia enggan menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-10, itu menambahkan lagi kecurigaan bahawa siapa pengganas sebenarnya? Negara-negara anggota ASEAN curiga terhadap kejujuran Australia untuk sama-sama mewujudkan kestabilan politik dan keselamatan di rantau ini.

Ini terbukti apabila pelawaan Australia buat pertama kali ke Sidang Kemuncak ASEAN di Vientiane, Laos itu tidak dimanfaatkan untuk kesejahteraan rantau ini. Bagi ASEAN perjanjian ini penting.

Selaras dengan dasar luar negara-negara ASEAN, TAC adalah tanda komited supaya tidak ada negara yang mencampuri hal-ehwal negara lain seperti yang dilakukan oleh AS. Pada masa yang sama TAC dilihat sebagai mengekang rancangan Australia untuk melancarkan serangan awal di negara luar yang dianggap kubu pengganas.

Akhbar Sydney Morning Herald melaporkan, pendirian Australia itu mengecewakan banyak diplomat ASEAN yang menghadiri sidang kemuncak itu. Malah akhbar itu melaporkan ada diplomat yang memberi amaran supaya Australia tidak diundang pada persidangan yang akan datang.

Keengganan itu memberi gambaran bahawa Australia akan meneruskan rancangannya untuk menyerang negara-negara jiran. Biarpun Howard sebelum ini pernah berjanji tidak akan menyerang "dengan mudah'' negara-negara jiran tetapi keengganan menandatangani TAC memperlihatkan sikap yang sebenarnya.

Tidak salah kalau menganggap negara Asia Tenggara destinasi serangan Australia. Tujuan serangan yang kononnya menghapuskan pengganas kini dilihat oleh banyak pihak di Asia Tenggara sebagai ancaman kepada penduduk yang beragama Islam. Apalagi dengan semangat anti-Asia yang sangat ketara yang mendukung Australia.

Australia sebenarnya prejudis terhadap Asia Tenggara khusus yang mempunyai majoriti penduduk Islam. Lalu serangan yang menjadi agenda membanteras keganasan ditujukan kepada Malaysia dan Indonesia. Melabelkan Malaysia dan Indonesia sebagai kubu pengganas hanya akan membawa kepada serangan pejuang Islam yang membenci Australia.

Campur tangan dalam konflik di Timor Leste mengundang kepada serangan bom di pusat hiburan di Bali di mana majoriti mangsa adalah orang Australia. Kemudian diikuti dengan serangan bom di pejabat Kedutaan Australia di Jakarta. Ini adalah isyarat bahawa Australia telah menyuburkan sentimen musuh untuk memusnahkannya.

Dalam buku Towards A New Pasific Order (laporan Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-6 1991) Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS), Tan Sri Noordin Sopiee menggariskan empat perkara yang wajar dijadikan asas persefahaman di Asia Tenggara. Pertama wujudkan kerjasama keamanan dan keduanya melupakan era konfrontasi.

Kalau dilihat daripada gagasan ini, apa yang dilakukan oleh Australia adalah sebaliknya. Dengan menyemarakkan konfrontasi ke atas negara lain, kerjasama dan keamanan tidak akan wujud.

Adakah ini kerana Australia tidak memahami budaya Asia? Banyak yang percaya bahawa semua keangkuhan ini berlaku disebabkan Australia bukan merujuk Asia sebagai jirannya. Australia merujuk kepada AS. Hubungan rapat AS disebabkan tidak ada negara Asia Pasifik lain yang secocok kecuali Australia. AS melihat Asia Pasifik atau Asia Tenggara mampu memberikan ancaman misalnya pengganas.

Maka hubungan akrab AS dengan Australia sekadar mahu menjadikan Australia sebagai pangkalan AS untuk memantau ancaman daripada Al-Qaeda di sebelah sini. Melihat kepada sistem pertahanan Australia seperti membeli peluru berpandu jarak jauh, ini bukan lagi untuk mempertahankan diri daripada serangan tetapi membuat serangan.

Maka kecurigaan ASEAN terhadap Australia bukan lagi prejudis dengan kisah-kisah silam. Kecurigaan dan kekecewaan ASEAN terhadap Australia sangat berasas. Sikap Australia pada Sidang Kemuncak ASEAN kali ini boleh dijadikan ukuran sama ada ASEAN masih memerlukan Australia atau sebaliknya.

Tidak ada alasan yang kukuh kenapa Australia menolak menandatangani TAC. Howard hanya menganggap perjanjian itu hanya penting kepada ASEAN dan tidak kepada Australia. Kepada sebuah stesen radio di Melbourne, Howard dilaporkan berkata, "Australia tidak mungkin mengikat diri dengan perjanjian seperti itu.''

Howard melihat tatacara itu sebagai mengikat bukan persefahaman. Sikap ini tidak membantu mengukuhkan hubungan dengan negara-negara di rantau ini. Malah persepsi seperti itu mencurigakan apakah sebenarnya muslihat Australia.

Australia sebelum ini kelihatan bersungguh-sungguh mahu menjadi sebagai sebahagian daripada ASEAN. Sandiwara atau sekadar menunjukkan kuasa? Banyak negara ASEAN pernah dijajah. Taktik penjajah adalah seperti yang diperlihatkan oleh Australia. Negara-negara yang pernah dijajah sangat arif menilai kebebasan.

Maka apabila Australia mahu menjadi penjajah zaman baru dengan sewenang-wenang menyerang negara-negara berkenaan, ini yang akan mewujudkan ketegangan. Pendirian ASEAN dalam hal ini sangat jelas. ASEAN menolak rancangan serangan awal kerana ini bukanlah cara terbaik memerangi pengganas. Ini lebih kepada penjajahan dan menafikan kedaulatan negara yang merdeka.

Lihatlah pendekatan AS memerangi pengganas di Afghanistan dan Iraq. Kedua-dua negara ini dijajah dan dinafikan kedaulatan. Kalau rancangan Australia tidak disekat, Australia akan menjadi AS di rantau ini.

AS juga sebenarnya bukan berhasrat bersungguh-sungguh membanteras pengganas. Keganasan dijadikan alat untuk mewajarkan serangan. Malah runtuhnya dua menara kembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) juga tiket untuk menyerang negara-negara yang majoriti penduduknya Islam.

Apabila Australia enggan berjanji tidak akan menyerang negara lain di rantau ini, inilah musuh ASEAN.

Dalam satu wawancara dengan majalah The Bulletin, Susilo yang baru saja dipilih menjadi Presiden Indonesia melontarkan kenyataan keras kepada Australia.

"Tentera Australia tidak diperlukan langsung di bumi Indonesia.'' Susilo merujuk kepada rancangan menyerang pengganas atau lebih tepat lagi menyerang Indonesia yang menjadi pangkalan JI.

Australia membeli kapal perang yang dilengkapi peluru berpandu jarak jauh. Peluru berpandu itu mampu memusnahkan sasaran sejauh 1,000 kilometer. Semua ini membuktikan Australia sememang tidak akan menerima pendekatan keamanan dan keselamatan cara ASEAN. Australia menolak TAC kerana TAC mengikat Australia daripada menjadi pengganas yang sama seperti AS.

Read more!

Idola dan budaya popular

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Utusan Malaysia 1 November 2004


Siapa sebenarnya yang layak menjadi idola? Tokoh korporat, sasterawan, ahli sukan atau artis yang berada dalam lingkungan budaya popular? Secara rambang artis dikatakan idola kepada sekian banyak remaja yang seusia.

Tidak banyak remaja yang menjadikan tokoh korporat idola mereka. Jauh sekali sasterawan kerana remaja kita rata-ratanya antisastera kononnya mereka cuba menjadi manusia maju. Kerana itu nilai seorang sasterawan pada ukuran komersialnya lebih kecil daripada artis.

Artis yang menjadi idola sebenarnya tidak bersendirian. Mereka tidak boleh menjadi idola remaja kalau sekarang ini bukan era pasca modenisme. Dalam era pasca modenisme, media khususnya elektronik memainkan peranan besar untuk mencipta idola demi idola.

Media pada era pasca modenisme mencipta keagungan budaya popular yang di dalamnya ada golongan artis. Media mencipta satu bayangan keunggulan hingga artis menjadi sangat luar biasa dan dihalang hidup secara biasa.

Memang agak aneh apabila khalayak pada umumnya mahu mengetahui apa saja perkembangan mengenai artis. Biarpun mereka sewajarnya ada perkara lain yang lebih besar untuk diketahui, mereka tetap tidak mahu ketinggalan perihal idola mereka.

Barangkali yang dianggap idola belum layak menjadi idola. Misalnya belum ada kejayaan besar yang menyumbang kepada masyarakat sekeliling mereka. Tetapi kerana ada elemen popular, maka artis menjadi pilihan terbanyak untuk dijadikan idola. Gaya berpakaian, beraksi di pentas malah cara berkomunikasi akan menjadi ikutan. Secara tanpa sedar budaya popular yang terpancar menerusi perilaku artis tadi menjadi perhatian para kapitalis untuk mengaut untung.

Lihat saja Zahid yang baru saja menjadi juara Akademi Fantasia 2, kini tidak ada manusia yang lebih popular daripada Zahid sekalipun dia menyanyikan lagu penyanyi lain. Budaya popular tidak pernah mempersoalkan kualiti tetapi pengaruh.

Maka jangan merasa cemburu kalau Zahid umpamanya menjadi model iklan kad prabayar dan mungkin banyak lagi tawaran selepas ini. Zahid dilahirkan dalam ledakan budaya popular yang menunya ditentukan oleh televisyen.

Dalam kehidupan pasca modenisme, yang berlaku kepada Zahid atau rakan-rakan artis lain bukanlah luar biasa. Ini kerana mereka menjadi sebahagian daripada faktor yang menyuburkan budaya popular di kalangan masyarakat.

Laras kehidupan pasca modenismelah yang menjadikan budaya popular lebih penting daripada budaya masyarakat. Maka idola yang lahir di sekeliling kita hari ini adalah hasil daripada hebatnya pengaruh budaya popular.

Kita sudah tidak ada masa untuk menyoal apakah seseorang itu layak menjadi idola kepada ke sekian banyak kelompok yang memujanya. Malah kita juga tidak mahu dianggap kolot untuk berada di luar arus perdana sekalipun kita mempunyai pendirian yang berbeza.

Sekiranya yang menjadi idola tidak mampu dijadikan motivasi, yang ruginya adalah pengagum mereka. Pengagum hanya arif isu skandal idolanya. Idolanya tidak rugi apa-apa. Lebih-lebih lagi kapitalis yang akan memperdagangkan idola baru selepas idola lapuk ditelan zaman.

Read more!

Jangan lambakkan gelaran Datuk

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 24 Oktober 2004


PERTAMA sekali kita wajar berbangga dengan ketegasan kerajaan negeri Selangor menggantung gelaran enam Datuk yang dianugerahkan oleh Sultan Selangor. Pada masa yang sama kita juga berterima kasih dengan sikap proaktif kerajaan Selangor selepas heboh sana sini mengenai perilaku sesetengah Datuk yang tidak menjunjung kemuliaan gelaran itu.

Enam yang digantung gelaran itu adalah mereka yang sedang dan akan dihadapkan ke mahkamah kerana kes salah laku. Sebelum ini gelaran Datuk seolah-olah hak mutlak penerima sekalipun terlibat dalam jenayah.

Selangor adalah negeri pertama yang mengambil tindakan pantas selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju gelaran berkenaan ditarik balik sekiranya penerima terlibat dalam kes salah laku atau jenayah.

Ada dua perkara penting mengenai penganugerahan Datuk. Pertama mereka yang dianugerahkan gelaran itu tidak mampu menjaga kemuliaan gelaran tersebut. Ini termasuklah banyak Datuk yang dihadapkan ke mahkamah kerana salah laku seperti rasuah dan sebagainya.

Seperti biasa, sesetengah manusia boleh berubah lebih cepat daripada anak sungai. Sebelum dapat gelaran Datuk lain, selepas dapat Datuk jadi lain pula. Persepsi serong bahawa Datuk kebal daripada undang-undang membuatkan ada yang menyalahgunakan gelaran tersebut.

Manusia cepat berubah. Kalau berubah daripada yang sewajarnya kepada yang paling tidak wajar, pihak istana kena bertindak pantas untuk menggantung atau melucutkan. Ini untuk menunjukkan salah laku yang dilakukan oleh Datuk adalah perkara yang dipandang serius.

Tindakan yang barangkali dilihat sebagai "memalukan'' penerima gelaran sebenarnya bertujuan memastikan hanya yang mulia dan berjasa saja dianugerahkan kemuliaan.

Perkara kedua syarat pemilihan yang longgar. Mereka yang tidak menepati syarat dan etika untuk diberi kemuliaan itu juga terpilih menerimanya. Makna dan justifikasi "sumbangan'' wajar ditelaah dengan jelas lagi bertanggungjawab.

Memanglah gelaran Datuk untuk mereka yang memberikan sumbangan dan kejayaan. Tetapi sumbangan atau kejayaan yang bagaimana untuk mewajarkan dianugerahkan gelaran? Sekarang kelihatan mudah untuk ahli sukan, artis atau ahli perniagaan mendapat gelaran Datuk. Benar-benar menepatikah justifikasi "sumbangan kepada negara'' yang diberikan oleh mereka ini?

Bayangkan setiap tahun lebih kurang 6,000 orang dipilih untuk dianugerahkan pelbagai darjah kebesaran. Angka 6,000 bukan kecil dan adakah semuanya menepati jasa dan sumbangan kepada negara? Jangan terkejut kalau daripada jumlah itu 600 menerima gelaran Datuk.

Mengikut statistik tahun 2002, sebanyak 6,314 orang dianugerahkan darjah kebesaran dan 513 daripadanya dianugerah gelaran Datuk. Kalau diperincikan, Johor hanya menganugerahkan gelaran Datuk kepada dua penerima, Kedah (38), Kelantan (25), Melaka (78), Negeri Sembilan (53), Pahang (98), Perak (61), Perlis (15), Pulau Pinang (64), Sabah (57), Sarawak (14), Selangor (5) dan Terengganu (23).

Lebih memburukkan lagi apabila tidak dirujuk kepada pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan penerima benar-benar mempunyai moral dan perilaku yang bersih.

Anugerah Jaksa Pendamai (JP) misalnya adalah satu pelantikan yang dibuat di bawah Akta Mahkamah Rendah 1948. Tetapi anugerah Datuk tidak ada syarat-syarat yang jelas.

Isu ini timbul selepas kerajaan negeri Melaka mengurniakan gelaran Datuk kepada 84 penerima. Jumlah ini pada relatifnya sangat luar biasa kalau dibandingkan dengan pengurniaan Datuk di negeri-negeri lain tahun 2002.

Lambakan "Datuk'' dari Melaka sempena hari ulang tahun Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob itu telah mencetuskan isu yang pernah dibangkitkan akhir tahun lalu. Kenapa gelaran tradisi dan selaras pula dengan sistem Raja Berperlembagaan menjadi bahan mainan?

Pada September lalu bekas Ketua Setiausaha Negara Senator Tan Sri Abdullah Ayub pernah menyuarakan kebimbangannya apabila negara ini mempunyai terlalu banyak yang bergelar Datuk.

Beliau bimbang apabila terlalu banyak, nilainya menjadi susut di mata rakyat. Kebimbangan beliau dikongsi dengan banyak pihak lain yang sebenarnya memendam rasa apabila ada yang membuat jenaka; kalau baling batu, yang kena adalah Datuk kerana banyak sangat.

Memang wajar ditelaah semula syarat dan etika penerima gelaran Datuk. Ini supaya mereka yang dipilih dan dikurniakan gelaran semulia itu berada di tempat yang sepatutnya. Sultan dan raja mempunyai kuasa mutlak untuk menarik balik gelaran yang dikurniakan itu.

Menerima gelaran bererti menjunjung kemuliaan yang diberikan oleh pihak istana. Dalam budaya Melayu, istana itu tinggi dan mulia. Memberi gelaran adalah salah satu amalan yang diterima oleh semua. Ternyata amalan ini tidak ada apa salah silapnya kerana rakyat menerima bahawa yang terpilih diberi gelaran itu adalah kerana percaya sumbangan Datuk kepada negara.

Maka dalam kesempatan rakyat masih percaya bahawa Datuk adalah orang yang berjasa, pihak yang memberi tidak boleh teragak-agak untuk menggantung atau melucutkan mana-mana penerima yang didapati tidak wajar lagi menjunjung gelaran itu. Ini bertujuan menjaga imej pihak istana dan tidak mencemarkan amalan yang selaras dengan sistem Raja Berperlembagaan.

Alasannya mudah saja. Kepada mereka yang memberi sumbangan bakti kepada bangsa dan negara berilah tanda yang membezakan dengan orang biasa. Tetapi sumbangan atau kejayaan yang bagaimana? Itu satu bab penting yang mesti ditekankan. Misalnya tidak semua kejayaan membina empayar perniagaan boleh disamaertikan dengan sumbangan kepada bangsa dan negara. Wajarkah gelaran untuk mereka?

Apabila berlaku penganugerahan gelaran tidak mengikut syarat yang selayaknya, ini dengan sendiri mencetuskan satu fenomena sosial yang buruk di kalangan rakyat. Misalnya tujuan gelaran sebagai tanda mereka ini berada di tahap yang lain daripada orang biasa. Ukuran di sini ialah sumbangan mereka.

Tetapi apabila penganugerahan menjadi begitu murah, ia sudah tidak bernilai lagi. Fenomena buruknya apabila rakyat tidak menghormati penerima gelaran Datuk kerana ia bukan lagi satu tanda ketinggian nilainya.

Selain pihak pemberi, penerima juga mempunyai tanggungjawab untuk berlaku jujur kepada dirinya dan masyarakat sekelilingnya. Empunya diri pasti tahu apa sumbangan yang telah diberikan hingga dianugerahkan setinggi itu? Kalau merasa tidak wajar menerima, semulia-mulia tindakan ialah menolak. Bukannya menerima kemudiannya memberikan nilai yang buruk kepada gelaran mulia itu. Adakah yang telah dan akan berbuat begitu? Cubalah jujur kepada diri sendiri.

Jangan permurahkan nilai bintang kebesaran dalam tradisi Melayu itu sama dengan kulit siput.

Read more!

Kemboja kehilangan raja berjiwa rakyat - Sihanouk turun takhta

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 10 Oktober 2004


DALAM sejarah moden Kemboja, tidak ada tokoh atau personaliti yang lebih menonjol daripada Raja Norodom Sihanouk. Dia menonjol bukan kerana menjadi raja Kemboja. Dia menonjol sebagai nasionalis yang memerdekakan Kemboja dari Perancis.

Frasa "raja berjiwa rakyat'' kini menjadi terlalu klise kerana kerap kali digunakan pada tempat yang salah. Tetapi apabila memperkatakan tentang Sihanouk, kita terpaksa mengulangi frasa klise ini, "Sihanouk memang raja berjiwa rakyat.''

Bagi sebuah negara yang situasi politik sentiasa berkocak, menjadi seorang raja bukanlah destinasi untuk hidup senang. Malah di Kemboja institusi raja dan politik hanya dipisahkan oleh satu garis nipis; raja berpolitik dan orang politik jadi macam raja.

Sekalipun beberapa kali berada dalam buangan, diturunkan takhta dan dikenakan tahanan dalam istana, Sihanouk membuktikan dia nasionalis yang lekat di hati rakyat. Dia bukan anak raja yang tipikal, mewah dan lupa perjuangan. Dia cuma kelihatan elitis dan sedikit kebaratan.

Maka tidak hairanlah kalau Sihanouk yang kini berusia 81 tahun lebih banyak menjadi rakyat biasa daripada raja. Misalnya dalam satu majlis negara di Kemboja, Sihanouk menyanyikan lagu-lagu Tom Jones kepada para diplomat luar negara.

Bukan itu saja, malah Sihanouk juga banyak mengarah filem selain mengubah lagu dalam bahasa Khmer dan memimpin sebuah kumpulan muzik jaz. Filem dan lagu juga membuatkan jurang status antara golongan marhaen dengan bangsawan hampir tidak ada.

Sesetengah orang percaya apabila menjadi raja, banyak perkara yang menjadi kegemaran mesti dilupakan terutama yang tidak sesuai dengan protokol sebagai raja. Tetapi Sihanouk membuktikan, seni satu ekspresi jiwa dan minda untuk dikongsikan dengan semua orang. Maka dialah satu-satunya seniman yang berada di atas takhta.

Personaliti Sihanouk sebenarnya penuh warna-warni. Perjalanan hidup yang berliku itu menjadikan dia sebagai monumen penting untuk melihat sejarah moden Kemboja enam dekad yang lalu. Hidupnya merentasi banyak peristiwa; penjajahan Perancis, Perang Vietnam, kekejaman Khmer Rouge, pertelagahan fahaman politik hinggalah dia sendiri jauh terbuang di negara orang.

Katakan pengalaman apa lagi yang harus dilalui untuk menjadi seorang yang memahami sepak terajang politik atau agenda tersembunyi imperialis?

Dia lelaki hebat dan tidak putus asa. Sekali- pun dalam buangan di China, Sihanouk masih memerintah Kemboja apabila mempunyai pengikut-pengikut yang setia dan sanggup lari ke gunung untuk memperjuangkan Sihanouk.

Kerana itu apabila Khamis lalu dia mengutuskan surat untuk turun takhta yang diduduki selama lebih setengah abad, rakyat di Kemboja semacam tidak dapat menerimanya. Ketika ini Sihanouk berada di Beijing, China kerana mendapatkan rawatan.

Rakyat menyayangi Sihanouk sekalipun dia seorang yang autokratik, tidak pernah toleran dengan kritikan.

Siapa sangka Sihanouk berani memutuskan hubungan diplomatik dengan AS tahun 1965 apabila banyak rakyat Kemboja terkorban dalam Perang Vietnam yang didalangi AS. Secara terbuka Sihanouk memberitahu agensi berita BBC ketika itu bahawa tragedi itu berlaku kerana, "Amerika Syarikat adalah imperialis.''

China dan Korea Utara menjadi negara keduanya. Di sinilah dia meneruskan pemerintahan dalam buangan ketika Perdana Menteri Lon Nol merampas kuasa.

Sihanouk dilahirkan pada 1922 mendapat pendidikan awal di Saigon (sekarang Ho Chi Minh City) dan di Paris. Semasa penjajahan Perancis, Sihanouk dinaikkan ke atas takhta sebagai raja. Lima tahun kemudian diturunkan takhta.

Bagi Sihanouk, antara menjadi raja atau tidak sebenarnya tidak banyak bezanya. Maka dia merasakan dia bukan raja tetapi rakyat Kemboja yang turut bertanggungjawab ke atas nasib tanah air. Lalu tidak hairanlah kalau Sihanouk pernah berkata, "Saya Sihanouk dan semua orang Kemboja adalah anak-anak saya.''

Sihanouk diingat kerana dianggap pejuang menentang penjajah Perancis selepas Perancis mengangkat dia menduduki takhta pada usia 18 tahun.

Perancis tersilap menjulang Sihanouk sebagai pemimpin tertinggi pada usia yang sangat muda. Buktinya tidak lama selepas menjadi raja, anak muda ini bukan lagi raja yang bergoyang kaki dan selesa dengan habuan diberikan penjajah.

Sihanouk menjadi pemimpin nasionalis muda Kemboja berjuang pula menuntut kemerdekaan dari Perancis. Dia berjaya dan Kemboja merdeka dari Perancis tahun 1953. Malangnya ayahnya Norodom Suramarit menurunkan dia dari takhta kerana dia lebih cenderung menjadi nasionalis daripada raja.

Sebenarnya jasa dan dosa Sihanouk kepada rakyat Kemboja sama banyak. Dalam pada dia berjasa, langkahnya tersilap. Semasa dalam buangan di China, dia menubuhkan pergerakan gerila komunis Khmer Rouge yang dipimpin oleh ultra-maoist, Saloth Sar. Nama ini tidak begitu popular kerana dia dikenali sebagai Pol Pot.

Apabila dia bersekongkol dengan manusia sekejam Pol Pot, dia berdosa kepada rakyatnya sendiri. Bayangkan dianggarkan 2 juta rakyat menjadi mangsa Khmer Rouge. Idealisme untuk kembali ke tanah air tercapai. Pendekatan kejam Khmer Rouge berjaya menjatuhkan Lon Nol pada 1975 dan Sihanouk balik ke Kemboja.

Tetapi kekejaman Pol Pot mengecewakan Sihanouk. Dia berasa berdosa kepada Kemboja tanah airnya. Sementara Pol Pot yang sangat kuat ideologi Marxisme curiga dengan agenda Sihanouk. Ini kerana Sihanouk berjaya mendapat simpati dari dalam dan luar negara.

Pendekatan Sihanouk yang menyebelahi rakyat jelata membuatkan Pol Pot mengenakan dia tahanan dalam istana selama empat tahun. Lima daripada 14 anaknya dibunuh Khmer Rough. dia juga akan dibunuh tetapi dapat diselamatkan oleh campur tangan seorang pemimpin Cina, Chou En Lai.

Dalam sejarah moden Kemboja, tidak ada tokoh yang sangat berwarna-warni personalitinya kecuali Sihanouk. Hidupnya berliku dan perjuangan politik tidak pernah berakhir hingga Khamis lalu apabila dia dengan sendirinya mahu turun dari takhta.

Sihanouk menjadi personaliti penting untuk melihat sejarah politik Kemboja yang juga tidak kurang warna-warninya. Malah Kemboja bukan saja berdepan dengan permainan politik yang sangat kotor oleh orang tempatan, sebaliknya menjadi medan politik kuasa luar seperti Perancis dan AS.

Banyak orang tidak percaya Sihanouk akan turun dari takhta yang didudukinya. Mereka tidak percaya kerana Sihanouk sangat strategis orangnya. Kalangan pemerhati politik masih belum percaya pengaruh Sihanouk akan hilang dalam percaturan politik Kemboja.

Malah ada pemerhati politik yang bimbang keputusan Sihanouk untuk memindahkan takhta kepada anaknya, Sihamoni yang menjadi penari balet ketika Kemboja dilanda perang. Pengganti Sihanouk dilihat sangat nipis ciri-ciri nasionalis sekalipun menjadi duta ke Unesco.

Read more!

Bunuh tebusan perjuangan yang hina

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 5 September 2004


Di mana dan apa perasaan mereka? Demikianlah persoalan yang mengasak pemikiran apabila pada zaman di mana manusia mengaku bertamadun memenggal kepala orang tidak bersalah sebagai "pertukaran'' kepada jenayah yang dilakukan oleh orang lain.

Memenggal kepala sebagai protes politik bukanlah jenayah pembunuhan biasa. Kesan terhadap psikologi khalayak sangat besar melampaui kejadian jenayah bunuh yang dipaparkan di media setiap hari.

Persoalannya apakah kesan ini yang dimahukan oleh militan supaya tuntutan mereka dipenuhi? Kalau inilah tujuannya, dunia berada dalam ketakutan lagi menyeksakan. Nyawa manusia tidak berdosa menjadi begitu murah. Malah tidak bernilai apa-apa.

Apakah ini satu jalan untuk menekan kuasa besar politik dunia? Bahayanya selepas ini siapa saja boleh menuntut apa saja dengan menculik kemudian mengugut dan seterusnya memenggal kepala tebusan. Apakah ini tamadun zaman moden dan selepas era kuno Greek dan Rom dulu?

Pada 11 Mei lalu seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) Nicholas Berg telah disembelih di Iraq. Dia disembelih sebagai balasan ke atas kekejaman yang dilakukan oleh tentera AS ke atas tawanan Iraq di penjara Abu Gharib.

Tragedi penyembelihan ini disaksikan di seluruh dunia menerusi laman web. Militan Islam itu bukan memusuhi Berg malah menyembelih Berg bukan kerana marahkan Berg. Sebaliknya Berg menjadi satu manifestasi kemarahan terhadap kebinatangan tentera AS di penjara Abu Gharib.

Berg boleh dibunuh kemudian dihumban di Sungai Tigris. Atau boleh dilesapkan begitu saja. Tetapi kesan psikologinya tidak sehebat merakamkan penyembelihan manusia dan disiarkan seluruh dunia.

Selepas kepala Berg dipegang seperti sebiji buah kelapa, ugutan memenggal kepala menjadi suatu yang sangat serius. Ia bukan lagi ugutan main-main atau sekadar menakut-nakutkan pihak yang dituntut. Apabila rasa perikemanusiaan tiada, nyawa manusia pun turut tiada harganya.

Inilah sebenarnya yang berlaku kepada tragedi pembunuhan tebusan sebagai protes politik apabila tuntutan tidak dilayan. Satu bentuk perang psikologi kepada kuasa besar yang mempunyai kelengkapan pertahanan yang canggih dan kuat.

Sebelum ini pada 2001 warga AS, Guillermo Sobero yang diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf di Filipina. Dia ditemui telah dipenggal kepalanya. Ketika itu ugutan memenggal kepala tebusan dianggap sekadar menakut-nakutkan kerajaan Filipina.

Banyak pihak tidak percaya kumpulan militan itu akan memenggal kepala Sobero yang tidak langsung terlibat dalam pertikaian antara militan tersebut dengan kerajaan Filipina. Malah pada tahun yang sama juga militan Abu Sayyaf menculik dan memenggal kepala dua guru Kristian.

Pengarah Jabatan Psikologi Politik Universiti George Washington, Jerrold Post pernah berkata, memenggal kepala tebusan lebih kepada simbolik dan ternyata memberikan kesan psikologi kepada pihak yang satu lagi.

Memenggal kepala sebelum ini dianggap hanya dilakukan oleh manusia tidak bertamadun. Misalnya tentera Nazi memenggal kepala 16,000 orang Yahudi semasa era Hitler. Bayangkan Nazi memenggal kepala seorang Yahudi setiap tiga minit.

Tidak lama selepas Berg disembelih, seorang rakyat Korea Selatan Kim Sun il turut dipenggal kepala. Tujuannya sama. Militan menuntut Korea Selatan menarik balik tenteranya dari Iraq.

Sementara itu pada 18 Jun lalu, Paul Johnson seorang kontraktor AS diculik di Arab Saudi. Tujuannya sama iaitu menuntut AS keluar dari Iraq. Kesudahannya kepala dan badan Johnson terpisah dua dan kerja ini bukanlah menelan belanja yang besar dan tenaga yang banyak. Cuma yang diperlukan ialah tidak ada rasa perikemanusiaan dan kemarahan yang melampau kepada AS.

Kejadian yang terbaru, 12 tebusan Nepal ditembak dan salah seorang daripada mereka dipenggal kepalanya. Pembunuhan ini juga disiarkan di laman-laman web untuk menunjukkan ugutan bunuh bukan main-main dan semua orang boleh melakukannya.

Semua pembunuhan ini bukanlah kerana salah yang dilakukan oleh mereka sendiri. Sebaliknya mereka memikul kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan masing-masing. Mangsa penggal kepala tidak lebih tempat melepaskan kemarahan.

Tetapi pada era Greek, memenggal kepala bukanlah kerana protes politik. Sebaliknya hari ini kepala siapa saja yang menjadi tebusan boleh dipenggal apabila protes politik. Ini sebenarnya menjadi ketakutan baru dalam kehidupan zaman moden.

Menculik dan mengugut memenggal kepala sebenarnya lebih bahaya daripada ugutan perampas kapal terbang. Tidak semua perampas kapal terbang membunuh semua penumpang. Tetapi setakat ini militan mengotakan kata-kata mereka memenggal kepala tebusan.

AS wajar bertanggungjawab ke atas tebusan yang dipenggal kepala. Semuanya kerana ada manusia kecil yang tidak boleh melawan secara berdepan. Lalu mereka memilih cara lain yang boleh menggugat lawannya. Buktinya tebusan dipenggal kepala tidak menjadi-jadi sebelum AS menyerang Afghanistan dan Iraq. Mungkin inilah saja caranya untuk mengajar kebongkakan AS yang lebih dulu membunuh tamadun manusia.

Tetapi di atas alasan apa sekalipun, memenggal, menyembelih atau membunuh tebusan bukanlah cara berjuang yang mulia.

Malah yang paling dikesalkan semua tebusan yang dipenggal kepala atau disembelih seperti binatang ini bukan kerana kesalahan mereka sendiri. Mereka memikul kesalahan orang lain. Maka ternyatalah hari ini dunia diancam oleh manusia yang sudah tidak ada perikemanusiaan.

Read more!

Rugi tidak manfaatkan ilmu graduan seni

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Utusan Malaysia 30 Ogos 2004


Dalam akhbar Mingguan Malaysia semalam, Universiti Malaya mengiklankan program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Drama). Dalam akhbar yang sama juga ada iklan Finas dan Akademi Filem Malaysia menganjur kursus lakonan peringkat sijil.

Sebelum ini institusi pengajian tinggi seperti Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga ada kursus sama ada peringkat ijazah, diploma atau sijil dalam bidang drama dan lakonan. Semua kursus ini tidak lain untuk melahirkan pelakon yang berwibawa selain memiliki bakat.

Kita sangat mengharapkan mereka yang mengambil bidang lakonan tidak memilih pekerjaan yang tiada kena-mengena dengan ilmu yang dipelajari. Kita mahu mereka menjadi pelakon generasi baru Malaysia yang berbakat dan juga berilmu.

Tentu suatu yang merugikan kalau mereka akhirnya terpaksa memilih profesion yang terpisah daripada lakonan. Tetapi peluang mereka terlalu kecil.

Berapa banyak filem atau drama yang memberi laluan kepada mereka yang mendapat pendidikan seni? Tanyalah kepada produser kita, siapa yang mereka bayangkan apabila merancang membuat filem atau drama?

Biarlah sebanyak mana sekalipun pelakon yang dilahirkan oleh institut pengajian tinggi kita, produser tetap memilih `bintang' untuk menjual filem atau drama mereka.

Perkembangan yang berlaku dalam dunia filem kita sangat tidak sihat. Untuk apa bersusah payah mengadakan kursus lakonan kalau pelakon yang dipilih tetap pada sejauh mana dia boleh melariskan filem? Banyak produser filem yang tidak membuka mata kepada graduan di jurusan lakonan. Mereka membuka mata kepada selebriti.

Lihatlah bagaimana mudahnya peserta Akademi Fantasia mendapat peluang sekalipun hanya tiga bulan belajar berlakon. Masing-masing berebut menawarkan peluang berlakon kerana populariti yang ada pada peserta berkenaan.

Siapa yang peduli kepada ratusan graduan jurusan seni khususnya lakonan untuk dimanfaatkan ilmu yang mereka pelajari? Kita sebenarnya bukan ketandusan pelakon yang baik tetapi ketandusan produser dan pengarah yang celik dan bertanggungjawab.

Balik-balik ambil penyanyi untuk berlakon. Dalam filem bukan berlakon tetapi hadir sebagai dirinya yang sebenar. Produser dan pengarah peduli apa dengan kualiti lakonan asalkan mendapat untung.

Kerana itu untuk menjadi pelakon popular, mereka tidak perlu belajar berlakon. Asalkan ada cerita sensasi, popular di bidang lain bukan menjadi masalah kerana bagi produser, kualiti lakonan tidak pernah menjamin keuntungan.

Bidang perfileman negara ini tidak banyak mempunyai pengarah seperti Rahim Razali, U-Wei, Adman Salleh dan beberapa lagi yang percaya bahawa kualiti lakonan lebih penting daripada populariti.

Siapa yang memberi laluan kepada Eman Manan kalau bukan Rahim menerusi Matinya Seorang Patriot. Siapa Zaidi Omar atau Khalid Salleh dalam filem kalau tanpa keyakinan U-Wei bahawa mereka boleh berlakon dengan baik? Namron juga pelakon hebat tetapi tidak ada produser yang menjeling pun kepada Namron kecuali Adman.

Maka kalau lakonan dalam filem atau drama kita buruk, itu adalah sumbangan produser dan pengarah kepada industri filem kita.

Read more!