Oleh: Muhammad Alias
Sumber: Utusan Malaysia 24 April 2007
APRIL tercatat sebagai bulan paling malang bagi pelajar-pelajar di Amerika Syarikat apabila 32 orang pelajar dan pensyarah terbunuh di Virginia Tech, Brooksburg, Virginia.
Secara mendadak nama Virginia Tech dan pelajar yang menjadi pembunuh, Cho Seung-Hui menghiasi media massa dunia.
Tragedi yang disifatkan sebagai pembunuhan terbesar di pusat-pusat pengajian di Amerika Syarikat terjadi kurang seminggu dari tarikh 20 April. Pada tarikh tersebut pada tahun 1999, sebanyak 12 pelajar mati apabila dua orang pelajar melepaskan tembakan rambang di Columbine High School di Colorado.
Terdapat kira-kira 220 kejadian menembak di sekolah dalam masa lima tahun iaitu dari tahun 1994 hingga 1999. Mengikut laporan Pusat Pengawalan Penyakit 2002 kejadian tersebut mengakibatkan 253 kematian melibatkan para pelajar dan guru-guru.
Seperti mana dua orang pelajar yang membunuh rakan-rakan sedarjahnya di Columbine High School, Cho Seung- Hui, 23, rakyat Korea Selatan membabitkan beberapa peristiwa sebagai motif tindakannya. Antaranya akibat dibuli atau dimalukan oleh pelajar-pelajar atau pensyarah.
Jadi motif utama adalah membalas dendam. Mereka bukan sekadar membenci teman-teman pelajar, malahan menyalahkan keadaan sekeliling. Dalam kes Seung-Hui beliau menyalahkan pelajar-pelajar kaya yang menunjuk-nunjuk kekayaan mereka.
Ibu bapa Cho yang dilaporkan bekerja di kedai mencuci dry cleaning kepunyaan etnik Korea. Mereka bukan daripada keluarga senang. Mereka bekerja begitu kuat sejak tiba di Amerika pada tahun 1992 apatah lagi kedua-duanya mengalami masalah kesihatan.
Kemungkinan rasa bencinya kepada para pelajar yang dikatakan menunjuk-nunjuk kemewahan mereka berpunca daripada latar belakang keluarganya sendiri.
Kini berbagai pihak mula mempersoalkan beberapa aspek yang berkaitan dengan kejadian-kejadian seumpama itu. Antaranya keselamatan sekolah dan kampus serta kebebasan membeli senjata api.
Namun untuk menjaga setiap inci sesebuah kampus bukanlah mudah khususnya kampus besar seperti Virginia Tech dengan pelajar sekitar 26,000. Tambahan pula kampus-kampus mengamalkan dasar terbuka.
Sementara itu, rakyat Amerika boleh membeli senjata api asalkan sudah dewasa dan tidak mempunyai rekod jenayah. Menurut laporan seramai 192 juta (dari 300 juta) rakyat Amerika mempunyai senjata api.
Tragedi Virginia Tech wajar mendapat perhatian berbagai pihak di Malaysia. Meskipun senjata api tidak boleh dibeli dengan bebas tidak bermakna rakyat tidak boleh memperolehnya.
Insiden-insiden seperti pergaduhan dan perbuatan membuli pelajar di sekolah-sekolah seperti mana yang pernah disiarkan oleh media massa meskipun tidak melibatkan senjata api tidak bermakna ia tidak boleh berlaku di masa-masa hadapan.
Perhatian hendaklah ditumpukan kepada pelajar-pelajar bermasalah baik dari segi pelajaran atau tingkah laku. Ini dibuktikan oleh pelajar-pelajar yang menjadi pembunuh di Virginia Tech dan Columbine High school.