Di sebalik amukan Virginia Tech

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 22 April 2007


APABILA mendapat berita berlaku amukan seorang pelajar di Universiti Virginia Tech, Amerika Syarikat (AS) yang menembak mati 32 pensyarah dan pelajar sebelum membunuh diri pada Isnin lalu, antara pertanyaan awal timbul di fikiran ialah bangsa dan agama pelaku itu.

Ternyata pelaku itu ialah Cho Seung-Hui, seorang warga Korea Selatan yang menjadi penduduk tetap AS. Apabila diumumkan pelakunya, maka kalangan komuniti Korea berasa bimbang kalau-kalau berlaku reaksi ganas terhadap mereka. Bukan saja terhadap komuniti Korea tetapi Asia umumnya. Walaupun apa yang berlaku itu tidak berkaitan dengan kaum, tetapi manusia mempunyai sentimen prejudis yang akan mengaitkan perbuatan ganas kepada sesuatu etnik atau agama pelakunya.

Maka terfikirlah andai kata pelajar yang mengamuk ini seorang beragama Islam, maka tidak dapat digambarkan betapa media massa menyiarkan pelbagai komentar yang menjurus kepada Islamofobia. Mereka pasti mengaitkan keganasan dan Islam, lebih parah lagi agama turut dikaitkan dengan kedudukan mental pelaku berkenaan.

Adalah jelas Seung-Hui menderita penyakit mental hingga tergamak melakukan keganasan di kampus. Kekesalan yang timbul di kalangan pihak berkaitan di AS itu ialah mereka tidak bertindak dengan lebih teliti serta tegas apabila ditampilkan dengan banyak petanda bermentalkan ganas daripada pelajar itu.

Sememangnya salah untuk mengaitkan keganasan dengan sesuatu bangsa atau agama. Tetapi manusia cenderung bersifat prejudis. Apabila tercetusnya peristiwa ini, akhbar Chicago-Sun Times melaporkan bahawa pelajar berkenaan adalah seorang keturunan China.

Maklumat salah ini menimbulkan kemarahan orang China di AS kerana ia mengandungi unsur-unsur prejudis terhadap komuniti dari negara berkenaan. Juga dapat dibayangkan betapa kalau seorang keturunan China menjadi pelakunya, maka dapat digambarkan media massa AS menyiarkan komentar berunsur anti-China.

Perasaan prejudis terhadap China memang wujud di AS walaupun terdapat banyak warganegara itu yang berasal daripada negara berkenaan.

Secara geopolitiknya, pada waktu ini pesaing utama AS, baik dari segi ekonomi mahupun politik adalah China. Tetapi kaca mata perkauman juga mengaitkan sesuatu etnik dalam bentuk rumpun. Maka tidak hairanlah, apabila diumumkan bahawa pelaku, yang turut bimbang terhadap serangan balas rambang adalah bukan saja dari kalangan komuniti Korea tetapi keseluruhan rumpun Asia Timur: China, Jepun dan Korea.

Tetapi apabila difikirkan pula, negara yang paling berani mencabar AS di dunia hari ini ialah Korea Utara. Pyongyang membangun senjata nuklear tanpa mengendahkan amaran AS. Walaupun Korea Selatan memihak kepada AS, tetapi hakikatnya bangsa yang menentang AS adalah Korea. Perang Korea adalah pertembungan pertama AS selepas Perang Dunia Kedua.

Walaupun Korea terbahagi dua tetapi unsur-unsur sebagai bangsa yang menentang AS ada pada mereka.

Sudut pandangan serong kepada rumpun Asia Timur tidak terhad kepada Korea. Jepun adalah yang paling utama. Bukan saja negara itu pernah berperang dengan AS dalam Perang Dunia Kedua, tetapi apabila ia muncul menjadi negara paling pesat membangun selepas itu menjadikannya momok baru bagi kuasa besar itu.

Prejudis anti-Jepun jelas berlaku pada masa Perang Dunia kedua ketika warga AS keturunan Jepun diasing dan dipencilkan dengan kesetiaan mereka diragukan.

Pada waktu ini sentimen anti-Jepun di AS tidaklah sekuat dahulu kerana kedudukan ekonomi negara matahari terbit itu tidak mencabar kuasa besar itu.

Sebaliknya negara yang menggantikan Jepun sebagai pencabar kuat AS ialah China. AS pernah bertempur dengan China ketika Perang Korea. China menjadi pendukung Korea Utara. Sekarang kedudukan Korea Utara yang mencabar AS juga dikaitkan dengan China.

Sepanjang pemerintahan Mao Zedong, China sememangnya negara yang bersikap anti-AS, lebih-lebih lagi sebelum Beijing berpecah dengan Moscow. Retorik dan propaganda Beijing ketika itu adalah anti-AS. Hanya selepas berlaku perpecahan Beijing-Moscow dan kunjungan Presiden Richard Nixon ke AS, keadaan berubah.

Dalam zaman Deng Xiaoping, hubungan China dan AS lebih baik. Tetapi kebangkitan ekonomi China yang pesat menimbulkan sentimen tercabar di pihak China. Tetapi sikap Sinofobia atau Japanofobia dan Koreafobia tidaklah sehebat Islamofobia. Islam dianggap ancaman. Walaupun Islam dijenis-jeniskan, iaitu ada yang dianggap tidak anti-

Barat, tetapi tidak kurang berpandangan bahawa sifat asas Islam adalah songsang dengan nilai-nilai Barat.

Barat diterajui AS dianggap sebagai pihak yang rasional, demokratik, liberal, saintifik dan benar. Sementara Islam pula dipandang tidak rasional, autokratik, terkongkong, penuh khurafat dan palsu.

Malangnya pandangan yang tidak betul dikukuhkan dengan perangai orang Islam di mana ada antara negara orang Islam yang bersifat menindas dan menekan golongan intelektual dan melanggar hak asasi manusia.

Hakikat bahawa Islam yang dalam tamadunnya pernah menyerlahkan nilai rasional dan saintifik lama sebelum Barat mengamalkannya tidak diambil kira.

Tetapi jurus perspektif Barat terhadap tamadun Islam dan Asia Timur sememangnya serong. Tamadun China, Jepun dan Korea juga dipandang tidak rasional, tidak demokratik dan tidak saintifik.

Maka tidak menghairankan apabila Samuel Huntington dalam The Clash of Civilization membariskan peradaban Islam dengan Konfusius, meliputi Asia Timur di satu pihak yang mencabar Barat sebagai pihak lagi satu.

Dilihat secara mendalam lagi walaupun tidak diucapkan, pandangan di pihak barat, khususnya AS ialah bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada tamadun bukan Barat, sama ada Islam atau Asia Timur.

Bagi mereka mentaliti yang dilahirkan oleh Islam dan Konfusius adalah bercanggah dengan sifat sebenar manusia. Manusia kesemuanya mesti menerima nilai- nilai Barat. Inilah yang menjadi bahan perjuangan pada badan-badan tertentu di AS. Mereka memperjuangkan demokrasi diterapkan di dunia Islam dan Asia Timur.

Institusi seperti American Enterprise Institute (AEI) dan Freedom House berusaha menebarkan ideologi Barat ini ke seluruh dunia. Gerakan neokonservatif juga berazam mendemokrasikan Asia Barat dan ia adalah antara pendorong kepada pencerobohan ke atas Iraq.

Bagi mereka, seluruh Asia Barat mesti menjadi demokrasi. China juga mesti digugat sampai menjadi demokrasi. Korea juga begitu. Korea Utara mesti diubah hingga mengamalkan demokrasi dan dicantumkan dengan Korea Selatan. Jepun yang mengamalkan demokrasi sejak Perang Dunia Kedua juga dianggap mengamalkan nilai-nilai Jepun yang belum liberal seperti di Eropah.

Hakikat sejarah ialah banyak nilai barat bersumberkan daripada peradaban Islam.

Pemikiran politik Greek yang merintis pada demokrasi masuk ke dalam falsafah politik Islam, sebelum ia berpindah ke Eropah melalui Perang Salib yang membawa kepada kemunculan Renaisans dan Enlightenment.

Sebaliknya kediktatoran dahsyat berlaku dalam tamadun Barat. fasisme dan Nazisme adalah produk Barat. Begitu juga komunisme Soviet.

Malah komunisme China yang membawa kepada kediktatoran adalah produk Barat. Begitu juga dengan sistem Korea Utara dan Jepun adalah produk Barat. Demokrasi atau autokrasi hakikatnya bukan bergantung pada tamadun Barat atau Asia Timur. Ia adalah kehendak bangsa masing-masing.

Begitu juga apabila berlaku peristiwa amuk di Virginia Tech. Ia bukan berkaitan bangsa atau agama. Hakikatnya bukan bangsa pelaku itu yang perlu diberi perhatian. Sememangnya ia berpenyakit mental dengan kemurungan. Penyakit ini boleh tampil di mana-mana tanpa mengira bangsa. Tetapi di Virginia Tech, apa yang perlu diberi perhatian ialah hanya di AS perkara amuk menembak secara rambang boleh berlaku.

Sebelum ini terdapat 10 kejadian pembunuhan berbentuk amuk berlaku di universiti-universiti AS.

Ia hanya boleh berlaku di AS kerana dikatakan di negara itu seseorang bebas memiliki senjata api. Tetapi bukan itu saja, penyakit mental yang dideritai oleh pelakunya adalah faktor utama. Mengapa sebuah negara maju dan kaya seperti AS melahirkan individu-individu yang berpenyakit ganas seperti ini?

Bukanlah kerana Seung-Hui warga Korea, tetapi adalah kerana persekitaran AS yang menjadikannya begitu. Tidaklah wajar menyatakan bahawa sistem masyarakat AS teramat buruk. Sistem masyarakat lain di dunia juga mempunyai kelemahan termasuklah di dunia Islam. Mereka juga melahirkan pesakit mental. Penyakit ini pun bukanlah semata-mata terhasil daripada persekitaran. Soal biologi dan genetik juga merupakan faktor.

Apa yang hendak ditekankan ialah masyarakat AS bukanlah yang terbaik dan ideal. Sistem demokrasi dan liberal di AS bukanlah suatu yang paling istimewa hingga dapat memberi keselamatan dan keamanan.

Selain itu mesej yang dibawa oleh Seung-Hui sebelum ia membunuh diri juga perlu diberi perhatian walaupun ia merupakan hasil seorang pesakit mental. Apa yang mendorong dia mengamuk adalah antara lain kerana kebenciannya terhadap golongan kaya.

Ada sesuatu terhadap golongan kaya di AS yang mengganggu fikiran Seung-Hui. Bagaimanapun gangguan ini tidak jelas dan memerlukan kajian mendalam.

Tetapi ada di kalangan penganalisis AS yang menyebut bahawa betapa orang asing, khususnya di kalangan orang Islam yang cemburu terhadap kekayaan dan kejayaan AS. Malah mereka mengaitkan bahawa serangan pengganas terhadap AS adalah didorong oleh rasa cemburu ini.

Bagaimanapun secara umumnya sistem kapitalisme global yang berlaku menguntungkan AS. Walaupun negara-negara lain memperoleh keuntungan daripada kemakmuran AS melalui perdagangan dua hala tetapi kuasa besar itu lebih banyak mengaut keuntungan.

Hakikatnya mereka yang memiliki modal adalah paling berkuasa. Semua negara di dunia berebut-rebut mendapatkan modal. Sementara pemilik modal dan pemegang dana besar mempunyai pengaruh kuat di AS. Mereka bertambah kaya. Apabila sudah teramat kaya, lebihan wang itu digunakan untuk menderma dan kebajikan. Tetapi tidak kurang pula digunakan sebagai sumbangan politik, menyokong calon-calon tertentu.

Maka dengan mudahlah pihak yang disokong oleh pemilik dana besar akan menang. Dalam sistem ini bukannya orang miskin tidak terbela atau tidak berpeluang langsung meningkatkan kedudukan kewangan mereka.

Tetapi pengorbanan usaha dan bekerja serta pemerasan ke atas pengguna melalui keuntungan tinggi akhirnya menambahkan kekayaan mereka yang memiliki modal.