Memahami ayat Al-Quran dalam konteks

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 27 April 2007


PADA ruangan Renungan dalam Utusan Malaysia bertarikh 19 April lalu, disiarkan satu ayat Al-Quran dari surah al-Mu‘minun ayat 37 bermaksud:

"Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini.

Kita mati dan kita hidup (silih berganti), dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula.”


Terjemahan daripada ayat ini diambil daripada Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran yang diterbitkan oleh Darulfikir dengan izin dan di bawah kawalan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tiada yang salah dari segi petikan dengan ayat ini. Tetapi apabila dibaca maka ia menimbulkan tanda tanya bahawa dalam akidah Islam, tidakkah terdapat kehidupan selain daripada apa yang ada di dunia ini?

Maknanya, selain daripada apa yang dialami oleh manusia, ada kehidupan lain. Maksud kehidupan lain ialah yang berbentuk abadi, iaitu selepas manusia dibangkitkan semula pada hari kiamat.

Dalam ayat itu dinyatakan bahawa manusia mati dan hidup secara bersilih ganti dan tidak akan dibangkitkan semula. Sedangkan dalam akidah Islam, manusia akan dibangkitkan semula untuk dihisab dan diadili.

Hakikatnya ialah ayat itu tidak boleh berdiri sendiri, ia perlu difahami dalam konteks dengan ayat sebelum dan sesudahnya. Untuk ruangan Renungan, ayat ini tidak sesuai untuk digunakan kerana boleh menimbulkan salah faham.

Ayat ini adalah sebahagian daripada kisah para nabi yang dipaparkan dalam surah al-Mu’minun.’

Sementara ayat 37 ini merujuk kepada kata-kata golongan kafir yang mempersoalkan tentang adanya hari kebangkitan bagi manusia setelah ia mati. Seperti nota yang dilampirkan dalam kitab Pimpinan Ar-Rahman itu, yang berbunyi:

"Golongan kafir yang tidak percayakan kebangkitan pada hari akhirat itu mengatakan bahawa kehidupan manusia hanyalah dalam dunia ini semata-mata; manusia yang mati akan digantikan oleh manusia yang baharu lahir, demikianlah seterusnya silih berganti, yang mati tidak tidak akan dibangkitkan lagi.”

Dibaca

Justeru, ayat itu mesti dibaca bersama dengan ayat-ayat yang terdahulu dan kemudian. Sekurang-kurangnya ayat 37 itu mesti dibaca mulai daripada ayat 32 hingga ke ayat 41. Tetapi itu pun sebaik-baiknya dibaca dari ayat 1 surah al-Mu’minun itu sendiri.

Ayat 32 bermaksud: Lalu Kami mengutus kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka (dengan berfirman melalui Rasul itu): "Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya ) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertakwa kepada-Nya?''

Ayat 33 bermaksud: Dan (bagi menolak seruan itu), ketua-ketua dari kaumnya yang kafir serta mendustakan pertemuan hari akhirat, dan yang Kami mewahkan mereka dalam kehidupan dunia, berkata (sesama sendiri): ‘‘Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia makan dari apa yang kamu makan, dan meminum dari apa yang kamu minum.”

Ayat 34 bermaksud: "Dan demi sesungguhnya, jika kamu taati manusia yang seperti kamu, tentulah kamu dengan membuat demikian, menjadi orang-orang yang rugi.”

Ayat 35 bermaksud: "Patutkah ia menjanjikan kamu, bahawa sesungguhnya apabila kamu mati dan menjadi tanah dan tulang, kamu akan dikeluarkan (dari kubur hidup semula)?”

Ayat 36 bermaksud: "Jauh, amatlah jauh (dari kebenaran) apa yang dijanjikan kepada kamu itu!”

Ayat 37 bermaksud: "Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti), dan tiadalah kita akan dibangkitkan hidup semula.

Ayat 38 bermaksud: "Tiadalah dia (Nabi Hud) itu selain dari seorang lelaki yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, dan kami tidak akan beriman kepadanya.”

Ayat 39 bermaksud: Nabi Hud berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, belalah daku, kerana mereka telah mendustakan seruanku."

Ayat 40 bermaksud: Allah berfirman: "Dalam sedikit masa lagi mereka akan menjadi orang-orang yang menyesal.”

Ayat 41 bermaksud: Akhirnya mereka dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, dengan benar lagi adil, lalu Kami jadikan mereka sebagai sampah sarap (yang dihanyutkan oleh banjir). Maka kebinasaannya bagi kaum yang zalim itu.''

Apabila dibaca dalam konteks, maka difahami bahawa ayat 37 itu adalah hujah golongan kafir yang mempersoalkan Nabi Hud. Mereka tidak percaya bahawa manusia akan dibangkitkan semula untuk diadili selepas mati.

Sementara Nabi Hud menyampaikan kebenaran bahawa manusia akan dibangkitkan setelah mati dan hari kiamat untuk diadili atas segala perbuatannya.

Ini adalah kunci kepada akidah Islam, yang dibawa bukan saja oleh Nabi Muhammad s.a.w. tetapi juga nabi-nabi terdahulu.

Tetapi bukan saja ayat ini perlu dibaca dalam konteks. Surah termasuk al-Mu’minun ini juga perlu dibaca dalam konteks. Iaitu seluruh al-Quran mengandungi pengajaran yang perlu difahami secara menyeluruh dan bukan cebisan-cebisan.

Amalan agama Islam sendiri perlu difahami bukan saja daripada Al-Quran semata-mata, tetapi juga perlu diambil kira sunah Rasulullah s.a.w.

Ajaran Islam itu perlu dilihat secara menyeluruh.

Justeru al-Quran bukan saja surah dan ayat-ayatnya perlu dibaca dalam konteks.

Ruangan Renungan itu hanyalah memetik satu ayat daripada al-Quran. Tujuannya adalah untuk menggalakkan pembaca berfikir dengan merenung maksud ayat al-Quran.

Tidak ada ayat al-Quran yang boleh berdiri sendiri kerana kesemuanya berkait di antara satu sama lain.

Maka ayat-ayat itu wajar dibaca sebagai usaha menggalakkan seseorang untuk menelaah al-Quran. Ia sama sekali tidak bermaksud untuk menimbulkan salah faham. Pembaca mesti faham bahawa mengamalkan agama tidak boleh berdasarkan pada sesuatu ayat. Agama mesti dipegang secara keseluruhan.

Konsep kebangkitan semula manusia selepas kematian dan hari kiamat mengingatkan tentang gagasan keadilan. Itulah mesej agama Islam.