Petanda buruk dari Algeria

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 15 April 2007


DUA serangan bom berani mati di Algiers, Algeria mengakibatkan kematian 33 orang awam memberi petanda buruk yang membawa implikasi mendalam di dunia Islam. Semua negara Islam termasuk Iran mengecam serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan-kumpulan berkaitan rangkaian Al-Qaeda. Sementara penganalisis di Kolej Nasional Sweden, Magnus Ranstop meramalkan kebangkitan keganasan baru di rantau Afrika Utara meliputi negara-negara dari Maghribi hingga Somalia.

Tetapi apa yang berlaku di Algiers wajar dilihat dari dua sudut, nasional dan global. Ini kerana apa yang dilihat sebagai ancaman keganasan global adalah kesemuanya mendapat sumbangan daripada masalah nasional dan tempatan yang masing-masing berbeza.

Umpamanya, apa yang dikatakan sebagai ancaman dari Al-Qaeda di Iraq sudah tentu mempunyai pertalian dengan pendudukan Amerika Syarikat (AS).

Begitu juga di Afghanistan. Pastinya berkaitan dengan politik tempatan membabitkan Taliban, Mujahidin dan kehadiran tentera asing. Senario yang sama berlaku di Indonesia dan Filipina berhubung Jemaah Islamiyah (JI), pasti berkait dengan politik tempatan.

Melihat ke dalam sejarah, Algeria pernah menjadi tanah jajahan Perancis. Malah pernah Perancis ingin menjadikannya sebahagian daripada wilayah dan penempatan. Maknanya ia adalah sebahagian daripada Perancis dan penduduknya diwakili dalam Parlimen di Paris. Tetapi sudah tentu penduduknya bukanlah rakyat asal Algeria tetapi orang Perancis yang berhijrah.

Komuniti Eropah, yang terdiri bukan saja orang Perancis tetapi pendatang dari Sepanyol, Itali dan negara-negara jiran yang lain semakin membesar di Algiers sebelum kebangkitan nasionalisme di Algeria. Ingatlah kepada penulis eksistensialis Perancis, Albert Camus. Dia sebahagian daripada komuniti Perancis di Algeria.

Andai kata Republik Keempat Perancis ini tidak tumbang dan tidak ada penentangan daripada rakyat asal Algeria, mungkin wilayah ini terus menjadi sebahagian daripada Perancis, iaitu sebahagian daripada Eropah.

Walaupun tuntutan kemerdekaan mula kedengaran di kalangan intelektual tetapi Perancis tidak tunduk kepada perjuangan demokrasi. Imperialisme dan kolonialisme dianggap suatu yang tidak salah oleh Barat.

Maka tidak ada jalan lain selain daripada menggunakan senjata. Maka Barisan Pembebasan Kebangsaan (FLN) digerakkan oleh Ben Bella dan nasionalis lain untuk berjuang secara gerila menuntut kemerdekaan.

Bagaimanapun bendera yang mereka kibarkan adalah panji-panji Syeikh Abdul Qadir Al-Jazairi. Bendera berwarna hijau putih dengan bulan sabit bintang lima berwarna merah yang kini merupakan bendera kebangsaan Algeria adalah asalnya panji-panji perjuangan Syeikh Abdul Qadir. Siapakah ulama ini?

Maka perlulah melihat lagi jauh ke dalam sejarah Algeria. Sebelum kedatangan imperialis Perancis, Algeria atau bahasa Arabnya, Aljazair adalah wilayah dalam khilafah Uthmaniah yang berpusat di Istanbul.

Apabila khilafah ini lemah pada kurun ke-19, ia membuka ruang bagi kemasukan Perancis. Ketika menunaikan haji, Syeikh Abdul Qadir bertemu Imam Shamil, pemimpin dan pejuang Chechnya yang berperang menentang penjajahan Rusia di negaranya. Mereka berbincang mengenai politik dan nasib umat Islam.

Sekembalinya ke Algeria, Syeikh Abdul Qadir mengangkat panji-panji perjuangan dan menentang penjajahan Perancis. Penentangan beliau kuat walaupun akhirnya Perancis berjaya juga menjajah negara itu.

Perancis datang dengan misi membawa tamadun barat termasuk idealisme Revolusi Perancis. Tetapi kalau Perancis menjunjung kebebasan, persamaan dan persaudaraan; tetapi apa yang diterapkan ke atas rakyat Algeria adalah kongkongan, penindasan dan perbalahan. Sedangkan dalam Islam sudah ada nilai-nilai pembebasan, persamaan dan persaudaraan. Manusia mudah membuat slogan daripada mengamalkan nilai-nilai murninya.

Maka pada 1950-an, gerakan nasionalisme Algeria menggabungkan semangat dan nilai Islam yang dipelopori Syeikh Abdul Qadir dengan fahaman moden Perancis seperti demokrasi.

Justeru Revolusi Algeria ini mengambil inspirasi dari kedua- dua Revolusi Perancis dan perjuangan Sheikh Abdul Qadir. Perang gerila yang dinamakan Perang Kemerdekaan ini adalah berdarah dan sengit. Perancis tidak mahu berganjak secara aman daripada tanah jajahannya. Di Vietnam juga Perancis enggan memberikan kemerdekaan kepada jajahannya.

Kedua-dua gerakan kemerdekaan Algeria dan Vietnam turut mendapat inspirasi daripada fahaman politik Perancis sendiri, termasuk dari segi ideologi sosialisme. Kalau gerakan nasionalisme kiri Vietnam pimpinan Ho Chi Minh berbau komunisme, maka di Algeria, gerakan pimpinan Ben Bella itu bersifat sosialis, seperti apa yang berlaku di Indonesia, India dan Mesir.

Akhirnya Perancis kalah dan harapan besar rakyat Algeria untuk melihat FLN bukan saja dapat memimpin negara secara bermaruah tetapi mampu memberi pembangunan, kemakmuran dan kebebasan demokratik.

Tetapi perkara itu tidak berlaku. Seperti banyak negara pascamerdeka yang mengambil jalan kiri, Algeria juga gagal memberi kemakmuran dan demokrasi sebaik mungkin. Kepimpinan Ben Bella juga digulingkan dan FLN muncul sebagai parti mengongkong dalam bentuk sistem bernegara satu parti. Sudahlah demokrasi barat dan kemakmuran ekonomi Barat gagal dilaksanakan, nilai-nilai Islam juga tidak begitu diendahkan.

Maka dalam awal tahun 80-an, muncul gerakan Islam yang anak-anak muda menyertai kerana kecewa dengan sistem kediktatoran dan sosialis yang diamalkan.

Tetapi berbeza dengan banyak negara Arab dan Islam lain, pada 1990, Algeria pimpinan FLN memperkenalkan demokrasi sedikit demi sedikit sekurang-kurangnya untuk menghalang revolusi atau kebangkitan rakyatnya.

Maka sebagai langkah pertama, ia memperkenalkan pilihan raya kerajaan tempatan. Parti-parti politik bebas ditubuhkan. Maka gerakan Islam di Algeria yang mengambil semangat perjuangan Syeikh Abdul Qadir menyusun organisasi mereka. Ketika orang mula kecewa dengan ideologi Barat, mereka beralih kepada Islam termasuk pejuang kemerdekaan awal iaitu Ben Bella.

Gerakan Islam Algeria menubuhkan Barisan Penyelamat Islam (FIS) dan dalam pilihan raya tempatan itu mereka menang dan mengatasi FLN.

Dunia Barat terkejut. Perancis walaupun tidak menjadi penjajah lagi mengambil berat apa yang berlaku di Algeria. Lagipun ramai rakyat Algeria berhijrah ke Perancis. Antaranya keluarga pemain bola sepak, Zineddine Zidane.

Walaupun pada mulanya Barat, khususnya Perancis yang disokong AS memberi tekanan kepada Algiers supaya melaksanakan demokrasi, tetapi apabila mendapati FIS menang, mereka mula menghalang sebarang kebangkitan gerakan Islam.

Maknanya bagi mereka demokrasi dan pilihan raya bebas hanya boleh dilaksanakan jika parti atau pihak yang mereka sokong menang. Jika demikian, apa yang mereka pejuangkan bukanlah demokrasi tetapi hipokrisi. Sering kali kemenangan Nazi di Jerman pada tahun 1930-an dijadikan hujah bahawa demokrasi mampu membawa kemenangan parti yang antidemokrasi.

Tetapi Nazi walaupun menang dalam pilihan raya Jerman sebenarnya melakukan rampasan kuasa melalui serangan ke atas kumpulan-kumpulan kiri di Parlimen. Makanya apa yang menyebabkan Jerman menjadi negara diktator bukannya kerana kemenangan Nazi, tetapi lebih kepada tindakan melanggar demokrasi oleh Hitler.

Apa pun FIS tidak boleh disamakan dengan Nazi. Setelah menang pilihan raya tempatan, ia cuba memerintah kerajaan tempatan dalam lingkungan demokratik tetapi menurut nilai-nilai Islam yang dipercayai.

Bagaimanapun, atas sokongan Perancis dan AS, kerajaan Algiers mengharamkan FIS dan pemimpin-pemimpin mereka ditangkap. Sudah tentu tidak semua penyokong dan pengikut FIS bersedia berdiam diri.

Dengan semangat kekecewaan ini, ada yang menyertai kumpulan militan. Pada mulanya mereka melakukan perang secara gerila yang menjadikan tentera sebagai sasaran. Tetapi tentera Algeria melakukan tindakan-tindakan kejam yang akhirnya mewujudkan kumpulan militan yang lebih kejam. Apabila tidak diketahui lagi siapa sebenarnya yang melakukan kekejaman, sama ada tentera Algeria atau militan Islam, maka keganasan semakin berleluasa yang dilakukan oleh kedua belah pihak dan untuk meredakan keadaan lebih sukar lagi.

Tentunya golongan gerakan Islam yang sebenar, dan pastinya tidak terlibat dengan keganasan itu menyertai proses politik yang damai. Tetapi mereka sedar bahawa senjata berada di tangan pihak kerajaan.

Akhirnya gerila itu dapat dipatahkan kerana tentera kerajaan lebih terlatih dan mempunyai kelengkapan dengan bantuan dari Perancis dan AS sendiri. Maka apabila gejala serangan bunuh diri mula diamalkan oleh kumpulan-kumpulan Islam yang ekstrem dan mereka dikaitkan dengan Al-Qaeda, maka tidak hairan ada kalangan di Algeria turut mengambil jalan berdarah ini.

Selagi tidak ada usaha drastik mewujudkan keadilan politik, ekonomi dan sosial di Afrika Utara dan negara-negara Arab lain, maka kumpulan ini akan terus membesar. Mereka bergerak dan operasi di padang pasir Sahara dan rantau Sahel, dari Maghribi di Barat hingga ke timur di Somalia melalui Algeria, Tunisia dan Libya.

Maka gerakan Islam di seluruh dunia terpaksa bersatu dengan golongan sekular untuk menentang golongan ekstrem dan pengganas. Pihak Barat pula mahu menyamakan saja pelampau dan gerakan Islam arus perdana. Bagi mereka gerakan Islam, walaupun sederhana akan memberi ruang kepada kemunculan pengganas.

Tetapi hakikatnya munculnya pengganas daripada kalangan umat Islam ini juga adalah hasil daripada reaksi kepada kekejaman dan keganasan pihak yang memiliki kuasa. Bagaimana muncul pengganas di Algeria adalah sesuatu yang boleh menjadi contoh.

Begitu juga dengan bagaimana munculnya Al-Qaeda di Iraq, sudah tentu ia adalah reaksi kepada pendudukan AS. Sementara dapat dibayangkan bagaimana kerajaan Mujahidin gagal di Afghanistan, adalah antara sebabnya mereka tidak mendapat sokongan dan bantuan kewangan bagi mewujudkan kerajaan yang mantap.

Selepas komunis dipatahkan, AS dan sekutunya meninggalkan Mujahidin begitu saja. Apabila mereka gagal menubuhkan kerajaan yang kuat, maka ia memudahkan kemunculan Taliban yang dibantu Al-Qaeda.

Pengajaran mesti diambil daripada semua perkembangan ini. Jika Thailand dan Filipina, umpamanya gagal memberikan keadilan kepada rakyatnya yang beragama Islam, maka akhirnya apabila kumpulan pengganas muncul, semua rakyat akan menanggung kesusahan.