Kemelut Iraq satu pengajaran

Oleh: Rosnah Majid
Sumber: Utusan Malaysia 11 Februari 1999


KENAPAKAH Iraq menjadi sasaran bom-bom Amerika Syarikat (AS) dan Britain? Itulah persoalan yang berlegar pada pemikiran mereka yang cintakan keamanan sejagat.

AS telah memberi jawapan yang berterus-terang. Mereka berbuat apa saja untuk menumbangkan Presiden Saddam Hussein. Apa yang telah, sedang dan akan berlaku di Iraq adalah satu kajian kes yang menarik untuk menjadi pengajaran kepada semua.

Iraq adalah sebuah negara yang kaya. Kebanyakan negara Timur Tengah hanya kaya dengan minyak, tetapi miskin air. Tetapi Iraq mempunyai kedua-duanya. Dengan terbentang dua batang sungai yang besar - Tigris dan Euphrates - di tengah-tengah negara itu, Iraq dapat membangunkan negaranya dengan lebih mudah, lebih-lebih lagi dengan adanya kenaikan harga minyak di tahun-tahun akhir 70-an dan 80-an di mana OPEC menjadi raja dunia ketika itu.

Saddam yang menjadi Presiden mulai tahun 1979, setelah menjadi Timbalan Presiden selama 11 tahun di bawah Presiden Ahmad Hasan al-Bakr, telah membangunkan Iraq secara hebat. Dengan visi menjadikan Iraq sebagai kuasa besar di rantau Teluk, Saddam telah menyusun strategi dalam berbagai bidang - pendidikan, industri, pertanian, infrastruktur dan ketenteraan. Sewaktu kunjungan dua kali saya ke Iraq (kali pertama pada tahun 1981 dan kedua pada tahun 1984), saya dapat saksikan kehebatan pembangunan Iraq ini. Sektor pertanian dimajukan dengan bersungguh-sungguh untuk membolehkan Iraq membekalkan sendiri makanan mereka. Sistem tali air yang baik telah menukar padang pasir yang seluas saujana mata memandang kepada ladang-ladang pertanian.

Zon-zon industri pembuatan telah dibangunkan. Saya berpeluang melawat salah satu zon perindustrian berdekatan Baghdad pada tahun 1981. Salah satu kilang yang kami lawati mengeluarkan barangan elektrik seperti peti sejuk, dapur gas dan pendingin hawa - semuanya buatan Iraq.

Saddam juga memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur. Jalan-jalan raya, jambatan, lapangan terbang, sistem telekomunikasi dan sebagainya telah dibangunkan. Lebuh raya dua hala yang baik menghubungkan semua bandar-bandar di Iraq, sebagaimana Lebuh Raya Baghdad - Basra sepanjang kira-kira dari Perlis ke Singapura.

Saddam yang berkiblat ke blok sosialis ketika itu banyak memberi kontrak pembangunan infrastruktur kepada Yugoslavia, Rusia dan Poland. Pada tahun 1981, terdapat lebih 20,000 pekerja Yugoslavia di bumi Iraq, kebanyakannya tenaga mahir dan separuh mahir, yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan lebuh raya, jambatan dan pengeluaran senjata.

Beliau juga memberi tumpuan kepada pembangunan sumber manusia. Ketika itu Iraq menghantar begitu ramai para pelajarnya menuntut di merata dunia dari AS, Eropah (Timur dan Barat), India, Pakistan dan Timur Tengah, sebagai sebahagian perancangan untuk menjadikan Iraq negara maju serta kuasa besar di rantau Teluk.

Iraq sedang membangunkan sistem telekomunikasinya yang moden pada tahun 1981 sebagai persediaan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Negara-negara Berkecuali (NAM) yang dijadualkan diadakan di Baghdad pada tahun 1984. Tetapi oleh kerana Iraq terlibat dalam perang dengan Iran ketika itu, tempat persidangan telah dipindahkan ke India. Khabarnya, untuk menjayakan sidang kemuncak NAM itu, India terpaksa meminjam peralatan telekomunikasi dari Iraq.

Untuk menjadi negara kuasa besar, Iraq memerlukan bilangan rakyat yang ramai, iaitu lebih daripada 13 juta (pada tahun 1981). Oleh itu Saddam menggalakkan rakyatnya berkahwin dengan memberi hadiah perkahwinan daripada kerajaan kira-kira RM10,000 kepada setiap pasangan bagi memulakan hidup berkeluarga.

Kecuali politik dikawal rapi, lain-lain aspek kehidupan berjalan dengan bebas. Baghdad menjadi bandar raya yang meriah, terutama di waktu malam dengan restoran dan kafe sibuk melayani pelanggan. Jika di Iran, wanitanya diwajib menutup aurat dan di Arab Saudi wanita tidak dibenarkan memandu kereta, Saddam memberi kebebasan kepada kaum wanita Iraq.

Semua komitmen beliau ini menjadikannya sebagai pemimpin yang disanjungi oleh rakyat Iraq. Tetapi malangnya, Saddam juga tidak dapat membendung nafsunya untuk menjadi pemimpin terulung di rantau Teluk khasnya dan pemimpin teragung dunia Arab amnya.

Beliau yang menderitai perasaan terhina sewaktu dipaksa menandatangani Perjanjian Algiers pada tahun 1975 di mana Iraq terpaksa menyerahkan beberapa wilayahnya, termasuk beberapa buah pulau kecil yang menjadi rebutan dengan Iran sejak lama, kepada Iran, nampaknya telah menggunakan kuasanya sebagai Presiden bagi mengubati perasaan terhinanya itu.

Ketika itu rantau Teluk dikuasai oleh Shah Iran, sekutu kuat AS. Dengan kekuatan tentera di belakangnya, Shah memaksa Saddam yang ketika itu Timbalan Presiden, menandatangani perjanjian menyerahkan beberapa buah pulau yang kaya dengan minyak kepada Iran. Dengan itu Shah menghentikan bantuannya kepada pemberontak Kurdish di Iraq.

Jadi sebaik saja Shah ditumbangkan oleh revolusi rakyat Iran pada tahun 1979, Saddam yang melihat keadaan kacau-bilau di Iran sebagai peluang terbaik, telah melancarkan serangan ke atas wilayah jirannya itu pada tahun 1980.

Dengan itu bermulalah perang Iran-Iraq, yang hanya tamat pada tahun 1988 tanpa ada pihak yang menang. Yang ada hanyalah kematian dan kemusnahan. Antara yang paling teruk musnah ialah bandar Basra di Iraq dan Khorramshar di Iran.

Kedua-dua bandar ini terletak di tebing Shatt-al-Arab, sebuah terusan strategik yang memisahkan kedua-dua negara ini dan menjadi rebutan sejak lama.

Sewaktu membuat liputan perang Iran-Iraq untuk akhbar Utusan Malaysia, saya telah melawat kedua-dua bandar ini. Dalam liputan ke Khorramshar pada tahun 1983, saya menyaksikan sebuah ''padang jarak padang terkukur''. Seluruh bandar raya pelabuhan yang sebelumnya dihuni oleh kira-kira 350,000 penduduk musnah sama sekali, termasuk masjid.

Kemusnahan yang dahsyat ini berlaku ekoran tumpuan perang yang intensif di bandar raya ini.

Kemudiannya pada tahun 1984, saya membuat liputan di kawasan perang di Basra. Walaupun ia terletak di sempadan dengan Iran, suasana ketika itu tenang. Bandar ini sunyi kerana kebanyakan penduduknya lari ataupun mati.

Perang Iran-Iraq bukan saja menyatukan rakyat Iran, tetapi turut menjejaskan ekonomi Iraq. Jika Malaysia mengambil pendirian ''memajukan jiran-jirannya'', Saddam tetap berpendirian bermusuh dengan jiran-jirannya. Tanpa serik terhadap kesan perang selama lapan tahun ke atas rakyatnya, Saddam menyerang Kuwait pada 2 Ogos 1990.

Beliau yang diyakini oleh Duta AS ke Baghdad, April Glaspic dalam pertemuan pada 25 Julai 1990 bahawa AS tidak akan mencampuri urusan politik Iraq dengan jiran-jirannya, telah membuat perhitungan paling tragis. Tanpa sedari, beliau memasuki jerangkap samar AS yang membawa penderitaan teruk kepada rakyat dan negaranya. AS menggunakan sepenuhnya kesempatan ini untuk menghalalkan campurtangan langsungnya di rantau Teluk selepas dihalau keluar dari Iran bersama tumbangnya Shah Iran. Atas jemputan keluarga diraja Kuwait dan Arab Saudi, AS bukan saja berjaya mengawal rantau yang kaya dengan minyak, tetapi juga dapat menjual senjata dengan banyak kepada negara-negara kaya.

Secara sedar ataupun tidak, apabila AS menjaga pertahanan Arab Saudi, sekali gus ia turut mengawal tempat-tempat suci umat Islam - Mekah dan Madinah. Baitulmaqdis sudah pun berada di tangan Israel. Dengan menjadikan Iraq sasarannya sekarang, AS juga turut mengawal Karbala - 'Mekah kedua' bagi orang-orang Syiah.

Baru-baru ini White House mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan memperuntukkan sebanyak AS$97 juta (RM368 juta) sebagai tawaran kepada kumpulan-kumpulan anti-Saddam. Demikian bersungguh-sungguhnya AS menumbangkan seorang pemimpin yang dibencinya.

Parti Demokratik Kurdistan dan Majlis Tertinggi Revolusi Islam Iraq - dua kumpulan anti-Saddam - telah mengeluarkan kenyataan menolak bantuan itu. Mereka mungkin menerimanya secara senyap-senyap.

Jika AS terus mengganas di Iraq dan Saddam dapat bertahan lama, beliau kemungkinan besar akan dijulang sebagai hero bangsa Arab, memandangkan dunia Arab ketandusan hero begitu lama sejak kematian Gamal Nasser.

Permusuhan dengan Saddam sebenarnya menunjukkan yang AS begitu konsisten dalam dasar luarnya. Dari dahulu hingga sekarang, dasar luar AS akan sentiasa ''mencipta musuh'' pada setiap masa. Ia bukan saja penting kepada politik dalam negara dan luar negara, tetapi juga penting terhadap ekonominya. Saddam telah memberi peluang keemasan kepada AS untuk memenuhi kepentingan kuasa besar itu bukan saja di bidang politik dan ekonomi, malah Iraq kini menjadi medan menguji senjata terbaru yang paling ideal.

Read more!