Sekular berasas Islam kukuh

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 29 Julai 2007


KEMENANGAN besar Perdana Menteri Turki. Reccep Tayyip Erdogan dalam pilihan raya umum Ahad lalu disambut dengan ikrarnya untuk mempertahankan sistem sekular. Jadi siapakah yang menang dalam pilihan raya itu? Islam atau sekularisme?

Ini kerana penentang-penentang Erdogan ialah golongan sekular yang berjaya menghalang calon Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) daripada jawatan presiden April lalu. Kegagalan rakan karib Erdogan, iaitu Menteri Luar Abdullah Gul mendorong Perdana Menteri membubarkan Parlimen.

Kemenangan 47 peratus AKP mengalahkan golongan sekular terdiri daripada Parti Rakyat Republikan (CHP) dan Parti Gerakan Nasionalis (MHP) disambut gembira oleh golongan gerakan Islam seluruh dunia.

Sementara pihak Barat yang berulang kali mengingatkan dunia bahawa AKP adalah parti berasas Islam memperlihatkan kekecewaan mereka. Lebih-lebih lagi mereka mengharap dan menjangkakan Erdogan, AKP dan golongan Islam akan kecundang memandangkan demonstrasi besar-besaran oleh penyokong sekularisme yang disokong CHP, MHP dan pihak tentera pada April dan Mei sempena tindakan menghalang Gul daripada menjadi presiden.

Mereka mempunyai persepsi bahawa sekularisme sedang mengukuh di dunia Islam di mana golongan Islam sedang melemah, dengan tanda-tanda turut dilihat di Lebanon apabila penyokong bekas Perdana Menteri Rafik Hariri berdemonstrasi menentang Syria dan golongan pro-Syria. Hariri dianggap sekular sementara Syria, golongan pro-Syria yang di dalamnya disertai Hizbullah dipandang sebagai Islamis.

Seterusnya pihak penganalisis Barat melihat betapa politik keganasan berbentuk bunuh diri yang dikaitkan dengan kumpulan Islam mendorong umat Islam menolak fundamentalisme dan menerima sekularisme.

Pandangan ini berlaku kerana penganalisis Barat melihat umat Islam dan juga gerakan Islam sebagai monolitik dan statik. Sedangkan hakikatnya, umat Islam seperti penganut agama lain mempunyai kepelbagain dan dinamik. Justeru mereka melihat Erdogan dan aktivis AKP sebagai gerakan Islam yang berbentuk tahun-tahun 80-an dan 90-an.

Hakikat bahawa AKP mewarisi aktivis dari parti-parti Islam sebelum ini seperti Parti Fazilat, yang menggantikan Parti Kebajikan dan sebelumnya pula adalah Parti Milli Salamat ditekankan dan menganggap cakap- cakap sekular oleh Erdogan hanyalah taktikal dan bukannya idekologikal.

Maka persoalannya adakah Erdogan serta AKP parti sekular atau Islam? Sejak awal penubuhan AKP, Erdogan berikrar mendukung sekularisme dan berazam melaksanakan reformasi demokrasi dan ekonomi serta berusaha membawa Turki ke dalam Kesatuan Eropah (EU). Tetapi kalau Erdogan sekular mengapakah pihak tentera, CHP dan MHP beria-ia menentang AKP? Mereka terus menuduh Erdogan sebagai Islamis tetapi majoriti rakyat sebaliknya memilih Erdogan. Mengapa rakyat Turki memilih AKP? Adakah kerana AKP itu Islamis?

Kepercayaan

Maka tidak dapat dielakkan untuk membaca kemenangan Erdogan sebagai kepercayaan rakyat terhadap AKP. Mereka memilih Erdogan kerana beliau mewakili kedua-dua sisi ciri-ciri Turki iaitu sekularisme dan Islam. Erdogan memilikinya tetapi di atas soal fahaman, mereka melihat kerajaan Erdogan sejak bermula dengan mentadbir bandar raya Istanbul merupakan golongan yang efisien dan efektif. Maka tidak menghairankan bahawa pendukung sekularisme yang kental turut memberi undi kepada AKP.

Tetapi dilihat keseluruhannya, keempat- empat elemen politik di Turki adalah sekular, bukan saja tentera, CHP dan MHP tetapi juga AKP. Apabila Erdogan mengisytiharkan diri dan partinya sekular, beliau bukan berpura-pura atau bertindak sebagai taktik politik membolehkan mereka bertanding. AKP memang sekular. Pada waktu yang sama, AKP sememangnya pro-Islam. Cara hidup aktivisnya adalah seperti orang Islam biasa.

Maknanya fahaman sekularisme juga mempunyai banyak aliran. Kalau di pihak tentera, fahamannya adalah berpegang teguh kepada apa yang diperjuangkan oleh pengasas Republik Turki iaitu Kemal Attaturk. Sekularisme tentera bersifat antiagama, ultranasionalis dan tidak demokratik. Sementara CHP bersifat sosialis dan MHP adalah liberal demokrat.

Sedangkan sekularisme AKP adalah bersandarkan kepada demokrasi, liberal dan Islam. Bagi Erdogan tidak ada percanggahannya antara sekularisme, liberalisme dan demokrasi dengan Islam. Justeru, apa yang dialami oleh AKP adalah keadaan pascafundamentalis iaitu landasan Islam yang menerima perspektif sekularisme, iaitu pemisahan antara agama dengan urusan profesionalisme politik, dan juga menerima ciri-ciri liberalisme dan demokrasi. Sudah tentu nilai Islam yang murni tidak akan menjadi penghalang kepada sebarang cita-cita baik dalam fahaman-fahaman itu.

Sebaliknya sekularisme tradisi Attaturk yang ultranasionalis dan antiagama bukan saja bercanggah dengan Islam tetapi juga semangat liberalisme dan demokrasi. Inilah dinamik perubahan yang dialami oleh gerakan Islam sedunia. Justeru Erdogan dan AKP tetap diterima sebagai sebahagian daripada gerakan Islam walaupun ia mempertahankan sekularisme.

Justeru kemenangan AKP bukan saja mengukuhkan Islam tetapi sekularisme dalam bentuk yang boleh diterima oleh Islam.

Dengan penyertaan lebih 80 peratus daripada pengundi, kemenangan AKP itu adalah jelas dan merupakan undi terbesar pernah diraih oleh mana-mana parti politik sejak 1960. Apabila diterjemahkan kepada kerusi, AKP akan memperoleh 340 kerusi dalam Parlimen yang dianggotai 550 orang.

Bagi Erdogan, pilihan raya itu merupakan ujian demokrasi bagi Turki. Katanya, Turki telah lulus ujian demokrasi. Apa yang disebutkan beliau merujuk kepada pihak tentera. Rakyat menolak penglibatan dan campur tangan tentera dalam politik.

Akhbar Turki turut melahirkan sentimen serupa. Akhbar Hurriyet menyatakan rakyat tidak suka kerajaan yang berkelahi dengan tentera, tetapi mereka menolak campur tangan pihak bersenjata. Maksudnya walaupun rakyat tidak suka AKP bertelagah dengan tentera kerana ia mengganggu keharmonian, dan perkara ini ditunjukkan demonstrasi menyokong sekularisme pada April lalu, tetapi zaman tentera campur tangan dalam politik sudah berakhir.

Sementara akhbar Zaman yang dianggap sederhana berkata: ‘‘Rakyat telah menyatakan suara mereka.’’

Bagi tentera, sekularisme adalah mengelak campur tangan ulama ke dalam politik. Ini kerana dibimbangi agama digunakan untuk kepentingan ulama dan akhirnya mendatangkan keburukan negara. Itulah hasrat awal Attaturk memansuhkan institusi khalifah dan menubuhkan Republik Turki yang menjunjung sekularisme.

Bagaimanapun sekularisme yang ditafsirkan tentera bercanggah dengan demokrasi. Ini kerana campur tangan tentera mengakibatkan kepentingan mereka yang mempunyai senjata disalah guna hingga menjejaskan kepentingan rakyat dan negara. Itu yang berlaku selama ini dan mahu diubah.

Pencalonan Gul untuk presiden adalah usaha AKP untuk meleraikan cengkaman kuasa tentera ke atas politik. Bukan saja ulama yang perlu disisihkan daripada politik, tetapi juga tentera. Maksud sekularisme dalam konteks demokrasi meliputi jaminan bahawa kerajaan tidak dikuasai atau dimonopoli oleh sesuatu golongan kerja hingga kuasa boleh disalahgunakan.

Maksudnya biarlah kuasa datang daripada rakyat tanpa mengira profesion. Justeru sesiapapun wajar dibenarkan menjadi ahli politik, iaitu bukanlah mana-mana institusi profesional seperti ulama, tentera, peguam, ahli akademik atau lain-lain golongan.

Amanah

Dalam Islam, kuasa dianggap sebagai amanah dan yang boleh menilai kejujuran seseorang walaupun tidak secara mutlak masih pada tangan orang ramai atau rakyat. Konsep sekularisme pada asalnya timbul apabila golongan bangsawan Eropah memberontak ke atas penguasaan Pope ke atas urusan pemerintahan di Rom hingga agama digunakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan golongan paderi. Vatican mengamalkan teokrasi hingga akhirnya dicabar elit bukan agama dalam masyarakat apabila mereka melihat agama disalah guna untuk kuasa.

Sejarah Islam tidak menyaksikan sebarang teokrasi, dan oleh itu konsep sekularisme tidak relevan bagi umat Islam. Namun begitu, kemunculan Attaturk hingga menyebabkan sekularisme menjadi ideologi kental oleh elit tentera di Turki disebabkan antara banyak faktor ialah kebobrokan khalifah di penghujung pemerintahannya.

Khilafah Uthmaniah pada penghujung zamannya, seperti juga maharaja-maharaja besar di bahagian dunia lainnya iaitu Dinasti Ching di China, kerajaan Moghul di India, juga pelbagai raja di Eropah mengamalkan cara hidup dekaden, iaitu bermewah-mewahan dengan istana besar dan memiliki gundik yang ramai menjadi lumrah hingga menggalakkan revolusi daripada rakyat.

Maka sekularisme yang dibawa Attaturk pada zaman itu merupakan reaksi kepada cara pemerintahan khalifah yang sebenarnya tidak menepati kehendak nilai-nilai Islam. Tentunya pentadbiran AKP di bawah Erdogan dalam kerangka Republik Turki berbeza pada zaman khalifah yang dekaden. Erdogan dan partinya diminati rakyat bukan hanya kerana agamanya tetapi keberkesanan pemerintahannya di samping mengambil berat terhadap golongan terpinggir.

Sikap terbuka Erdogan terhadap Eropah merupakan lanjutan dasar Attaturk untuk integrasi Turki dengan Eropah. Attaturk sedar Eropah benua yang maju dan mahu negaranya turut berada dalam keadaan yang serupa. Maka begitu juga dengan Erdogan yang mahukan Turki menyertai EU.

Tetapi Eropah tetap menolak Turki walaupun Attaturk memansuhkan khalifah dan mengamalkan sekularisme. Alasan menolak Turki selama ini ialah soal demokrasi dan layanan tidak adil Ankara terhadap kaum Kurdis dan Armenia. Tetapi setelah Turki mengamalkan demokrasi dan rakyat memilih parti-parti berasal dan berasas Islam, EU tetap menolak dan kali ini mereka menyatakan syak terhadap Erdogan dan AKP yang dikatakan sedang membawa Islam secara tersembunyi di sebalik demokrasi.

Hakikatnya EU, lebih-lebih lagi di bawah pimpinan Perancis menolak Turki kerana agama Islam yang dianuti mereka. Walaupun demokrasi dan sekularisme tidak mengambil kira soal agama, tetapi sikap yang ditunjukkan oleh EU itu adalah sifat fobia terhadap Islam. Mereka gagal untuk bersifat demokratik dan sekular. Sedang demokrasi menjamin kebebasan amalan agama dan sekular tidak mengambil kira soal agama.

Di sudut lain, mungkinkah Eropah masih kecewa dengan kegagalan mereka dalam Perang Galipoli di mana usaha untuk menawan Turki bagi diserahkan kepada Greece telah gagal. Orang yang menggagalkan usaha itu ialah Attaturk. Walaupun pewaris Attaturk membawa Turki menjadi sekutu Barat dengan menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), namun sikap tidak mahu menerima negara itu berkekalan.

Akhirnya siapa yang sebenarnya mengamalkan demokrasi dan sekularisme bernilai positif adalah mereka yang menjadi aktivis dalam AKP, sebuah parti berasal dan berasaskan Islam, yang menerima inspirasi daripada perjuangan Beiduzzaman Nursi, seorang yang menentang Attaturk, tetapi pada waktu sama menolak Khalifah Uthmaniah di hujung zamannya.

Read more!

Bayangan Perang Dingin kedua?

Oleh: ZIN MAHMUD
Smber: Mingguan Malaysia 22 Julai 2007


Sebaik saja Rusia mengusir empat kakitangan kedutaan Britain di Moscow sebagai satu tindak balas, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Condoleeza Rice mengingatkan London bahawa tidak bijaksana Rusia dipencilkan.

Walaupun Washington tidak senang dengan pendekatan Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam hubungannya dengan dunia Barat, berbanding keadaan zaman Boris Yeltsin tetapi AS tidak mahu Rusia berasa dipinggirkan apatah lagi mengizinkan suatu keadaan Perang Dingin yang baru.

Tindakan Moscow mengusir kakitangan kedutaan Britain itu adalah sebagai tindak balas kepada apa yang dilakukan oleh London terhadap duta-duta mereka Selasa lalu. Ia berkaitan tuntutan ekstradisi oleh London terhadap seorang yang terlibat dengan pembunuhan.

Dalam keadaan perspektif Washington terhadap bayangan Perang Dunia Kedua ini begitu rupa, iaitu untuk mengelakkannya tetapi cara pendekatan Putin menampakkan perbezaan. Beliau dilihat lebih bersikap konfrontasi, termasuk dalam soal senjata dan ketenteraan. Hinggakan dunia Barat melihat bahawa Rusia di bawah Putin tidak berbeza seperti zaman Kesatuan Soviet.

Bagaimanapun di pihak Rusia pula, di mana sentimen mereka dapat dirasakan melalui laporan-laporan media Moscow di Internet, menganggap Barat adalah pihak yang mengenakan tekanan terhadap mereka. Rusia dianggap sudah dipinggirkan sejak kejatuhan Soviet dahulu, dan AS terus-menerus menekan negara besar itu.

Yeltsin dipandang telah banyak mengalah dan apa yang dilakukan oleh Putin sekarang hanyalah mendapatkan kembali kedudukan Rusia sebagai negara yang perlu dihormati pada peringkat sewajarnya pada mata Barat.

Sejak berakhirnya Perang Dingin, Barat khususnya AS memperlihatkan kejayaannya mengalahkan Rusia. Yang jelas ialah apabila Eropah Timur beralih arah ke Barat. Mereka berebut-rebut ingin menyertai Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Bukan itu saja, negara-negara di Asia Tengah juga memandang ke Washington lebih daripada Moscow. Tidak kira lagi terhadap konflik di bekas Yugoslavia, di mana pengaruh AS sudah mengatasi Rusia. Malah dalam soal Chechnya, Moscow berasa diceroboh oleh Washington.

Dalam keadaan begini, kemaraan pengaruh Barat ke atas Rusia seperti tidak terhalang. Maka apa yang diharapkan oleh rakyat Rusia dalam memilih Putin ialah untuk mempertahankan negara itu daripada penguasaan oleh Barat khususnya AS.

Condoleeza Rice mesti memahami benar emosi nasional Rusia. Beliau yang tahu berbahasa Rusia dalah seorang sarjana negara itu. Sesiapa yang dibesarkan semasa Perang Dingin di AS pasti perlu mempelajari dan memahami Rusia jika ingin memegang jawatan politik tinggi. Ini kerana pesaing AS adalah Rusia walaupun selepas kejatuhan Soviet.

Kedudukan geopolitik Rusia menjadikannya pesaing semula jadi pada AS. Adalah menjadi kecenderungan banyak pihak untuk melihat China sebagai pesaing baru AS selepas kejatuhan Soviet. Lebih-lebih lagi pada masa ini dengan kepesatan perkembangan China dalam ekonomi global. Tetapi hakikatnya percaturan geopolitik global tidak berubah. China masih bimbang terhadap Rusia, dan ia mudah menjadi sekutu kepada AS.

Buat masa ini ketika Rusia lemah, perkara ini kembali tersembunyi. Tetapi lama-kelamaan Rusia pasti mahu membangun dan maju. Katakan Barat dan China berusaha menghalang kemajuan Rusia, mereka tidak boleh melakukan secara berlebih-lebihan, kerana ia boleh mendatangkan permusuhan. Dalam hubungan antara kuasa global, imbangan amat penting. Bagi rakyat Rusia, imbangan ini telah terjejas dengan kemaraan Barat ke dalam ruang pengaruh mereka. Justeru, mereka mahu Putin membetulkannya.

Sebaiknya Perang Dingin tidak wajar dilihat dari sudut persaingan ideologikal komunis lawan kapitalis. Kerana ia lebih bersifat nasionalistik, iaitu antara Rusia dan AS. Sementara AS pula lebih wajar dilihat sebagai pewaris kepada empayar British.

Di sinilah relevannya krisis hubungan antara London dan Moscow dalam konteks persaingan geopolitik Barat dan Rusia. Dari satu sudut, tindakan politik Rusia terhadap Britain adalah seperti amaran kepada AS. Di sudut lain pula, sikap Britain itu adalah seperti negara itu memberi amaran kepada Rusia bagi pihak AS.

Tetapi AS dan Britain perlu dianggap serupa. Bagi Rusia, baik masa sekarang sebagai persekutuan demokratik ataupun negara komunis Soviet, malah sebelum itu pun, sebagai empayar Czar, mereka menjadi pesaing Anglo-Saxon, iaitu kalau dulu adalah Britain, kini AS.

Sebelum tahun 1917, iaitu pada zaman Czar, maharaja Rusia menjalankan pemerintahan kuku besi di mana penentang-penentang mereka ditekan. Kebanyakan penentang mereka terdiri daripada golongan kiri, daripada anarkis, sosialis hinggalah kepada komunis. Akibat ditindas Czar, golongan ini menjadi pelarian dan mendapatkan perlindungan di Britain.

Maka di akhir kurun ke-18 dan awal ke-20, banyak pelarian politik Rusia berada di London. Antara mereka adalah golongan anarkis yang terkenal sebagai pengganas yang mula menggunakan bom. Berlaku pengeboman di London bukanlah perkara zaman ini. Selain daripada serangan yang dilakukan oleh pihak Ireland Utara, golongan anarkis merupakan pelopor bidang ini. Tokoh anarkis terkemuka dunia ialah Kroptkin dari Rusia yang menolak sebarang bentuk kerajaan. Mereka menganggap kerajaan adalah institusi penindas. Suasana ini diabadikan oleh novelis Britain zaman itu, John Conrad bertajuk The Secret Agent.

Czar yang mempunyai ibu kota di St. Petersburg menghantar perisik-perisik ke London untuk membunuh penentang-penentangnya yang datang dalam bentuk golongan kiri. Jadi apa yang dialami oleh London dari segi Moscow menghantar perisiknya bukanlah perkara baru.

Britain tidak disenangi oleh Rusia pada zaman itu kerana melindungi penentang-penentang Czar. Walaupun Britain melakukan dasar perlindungan kepada pelarian politik atas nama demokrasi, tetapi ia juga mempunyai agenda politik terhadap Rusia. Di peringkat global akhir abad ke-19, Britain bersaing dengan Rusia di Asia Tengah khususnya di Parsi (Iran sekarang) dan Afghanistan.

Mungkin kebetulan tetapi hakikatnya Karl Marx membuat kajiannya yang melahirkan ideologi komunis di Perpustakaan British, dengan dibantu oleh seorang usahawan Britain, Friedrich Engels. Akhirnya ideologi ini yang menjatuhkan Czar dan melahirkan negara Soviet. Kemudian Soviet muncul dan mencabar Barat, yang akhirnya tumbang juga. Kini digantikan dengan Persekutuan Rusia yang demokratik, dan Putin mahu mengembalikannya kepada kedudukan sewajarnya.

Dari sudut politik dalaman Britain, krisis diplomatik London-Moscow ini merupakan ujian terkini bagi Perdana Menteri Gordon Brown. Kalau dalam sejarah Perang Dunia lalu, kerajaan Soviet menemui lebih banyak masalah dengan London ketika diperintah oleh Parti Buruh. Malah Josef Stalin pernah membayangkan bahawa mereka lebih selesa berurusan dengan Perdana Menteri dari Parti Konservatif.

Ini kerana walaupun Parti Buruh dan Parti Komunis mempunyai asal usul ideologi tradisi yang serupa, mereka menjadi seteru yang lebih ketara di mana pihak masing-masing menganggap pesaingnya itu telah mengkhianati prinsip perjuangan. Dengan mengamalkan cara pemerintahan yang kejam, kerajaan Soviet dianggap oleh Parti Buruh telah mengkhianati perjuangan pekerja. Begitu juga anggapan pihak Soviet terhadap Parti Buruh yang dilihat telah menyertai sistem kapitalis. Maka dalam keadaan begini, adalah lebih mudah. Bagi Moscow untuk berurusan dengan kerajaan pimpinan Parti Konservatif.

Justeru, semasa Perang Dunia Kedua, Soviet menjadi sekutu Britain semasa London dipimpin oleh Parti Konservatif. Sebaliknya ketika Perang Dingin meletus, London diperintah oleh Parti Buruh. Semasa dasar Détente dan kewujudan bersama (co-existence), London diperintah oleh Parti Konservatif. Akhirnya apabila Soviet tumbang, Britain dipimpin oleh Margaret Thatcher dan John Major dari Parti Konservatif.

Bagaimanapun kini, pihak komunis tidak lagi memerintah Rusia. Namun apa yang jelas cara Yeltsin dan Putin adalah berbeza. Bagi Rusia, masalah yang dihadapi dengan Britain adalah ketika Parti Buruh memerintah. Di sini tidak timbul lagi soal ideologikal. Ia adalah lebih kepada nasionalisme geopolitik Rusia yang ingin dipulihkan oleh Putin.

Walaupun Putin dan kerajaan bukanlah lagi bersifat komunis, banyak pihak di Barat termasuk di kalangan penganalisis aliran Parti Buruh, melihat cara pemerintahan Putin, baik dari segi sikapnya terhadap demokrasi dan dasar luar adalah bayangan kepada apa yang ditampilkan oleh Rusia di zaman Soviet. Inilah yang disebut sebagai bayangan Perang Dingin. Bukanlah Perang Dingin dalam erti kata dalam bentuk yang dahulu. Tetapi hanya dalam bentuk bayangan kepada yang dahulu.

Seorang penganalisis dari Rusia memberitahu penulis bahawa Moscow menolak sebarang bentuk Perang Dingin baru. Tetapi cara Putin dan persekitaran dunia yang sudah bosan dengan sikap unipolar AS akan mendorong Rusia untuk kembali tampil sebagai kuasa pengimbang kepada Barat.

Maka adalah menarik jika dilihat sejarah hubungan London-Moscow, baik dari zaman Czar, Soviet dan pasca-Soviet. Hubungan Barat dengan Rusia mengalami turun dan naik mengikut pemimpin pada zaman tertentu. Justeru ia tidak berkaitan dengan ideologi atau sistem pemerintahan, lebih kepada kepentingan nasional dalam medan geopolitik.

Mungkin juga Britain di bawah Parti Buruh adalah lebih bersikap nasionalis berbanding dengan Parti Konservatif. Sebab itu sering kali hubungan tidak selesa antara keduanya adalah berasaskan kepada pertembungan kepentingan nasional. Nampaknya dalam bentuk bayangan Perang Dingin, pertembungan antara Barat dan Timur akan berterusan. Timur merujuk kepada Rusia dan bukannya China atau negara-negara Islam. Moscow tidak akan dianggap sebagai sebahagian daripada Barat.

Read more!

Reputasi helikopter lama

Oleh: MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 21 Julai 2007


HELIKOPTER Huey UH-1H milik tentera Filipina dibawa turun dari kapal kargo sebaik tiba di Subic Bay, barat Manila.Pesawat buatan Amerika itu masih digunakan untuk operasi menentang keganasan dan bantuan kemanusiaan.

Pada 29 Januari 1995, penulis yang ketika itu bertugas di Manila menyertai program bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad ke Pangasinan dan Baguio. Tun Dr. Mahathir ketika itu dalam rangka lawatan kerja ke Filipina.

Perjalanan ke destinasi-destinasi tersebut menggunakan helikopter Tentera Udara Filipina (PAF). Penulis dan beberapa orang ahli rombongan menaiki helikopter jenis UH-1 Huey buatan Amerika Syarikat (AS). Huey terkenal sebagai helicopter gunship dan mula digunakan di Vietnam tahun 1963.

Ketika mendaftar diri di lapangan terbang PAF di Pasay City, Manila, atas nasihat beberapa pihak meminta supaya isteri penulis menaiki helikopter yang berasingan. Cadangan tersebut berkait rapat dengan reputasi helikopter Huey milik PAF.

Penulis sebagai bekas anggota tentera, jadi menaiki kapal terbang tentera adalah perkara biasa. Di tahun-tahun 1960-an dan 1970-an penulis sering menaiki Dart Herald, satu-satunya kapal terbang penumpang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berulangalik dari Semenanjung ke Sarawak (sebelum C 130 menyertai TUDM).

Hakikatnya, helikopter Huey menjadi bahan jenaka rakyat Filipina. Usianya ketika itu baru memasuki tiga puluh tahun tetapi mengalami masalah penyelenggaraan dan alat ganti. Rakyat Filipina mempersendakan helikopter tersebut sebagai ‘mayat terbang’.

Ketika itu beberapa buah sahaja yang masih digunakan kerana banyak yang rosak atau terhempas dengan memakan korban yang besar.

Pelbagai pihak menggesa supaya kerajaan negara itu menggantikan Huey dan lain-lain pesawat PAF dengan yang lebih moden. Bagaimanapun, kerajaan Filipina menghadapi masalah kegawatan ekonomi yang serius.

Lantaran itu, apabila berita pembelian MIG 29 oleh Malaysia tersebar luas, ramai yang mencadangkan supaya Filipina membeli kapal terbang tentera buatan Rusia secara perniagaan barter dengan pisang (Filipina merupakan pengeksport pisang yang utama).

Cadangan ini juga menjadi bahan ketawa rakyat Filipina yang memang suka berjenaka.

Pagi itu penulis dan penumpang-penumpang lain mendarat di Pangasinan dengan selamat. Sebagaimana yang diminta, isteri penulis tidak menaiki helikopter yang sama.

Bagaimanapun, kira-kira lima belas minit perjalanan dari Pangasinan ke Baguio, helikopter yang penulis naiki terpaksa berpatah balik ke Pangasinan kerana kerosakan teknikal. Helikopter tersebut berjaya mendarat di Pangasinan, tetapi kami tidak dapat menyertai program di Baguio.

Baru-baru ini penulis terbaca berita tentang arahan supaya perkhidmatan helikopter Huey diberhentikan.

Peristiwa dua belas tahun lalu kembali semula ketika membaca tragedi yang menimpa helikopter Nuri baru-baru ini. Nuri yang pernah penulis naiki awal 1970-an telah berusia hampir 40 tahun. Sejak tahun 1969, Nuri terlibat dalam lapan belas kemalangan yang mengorbankan 95 nyawa.

Sayang sekali ramai pegawai dan anggota TUDM yang terkorban kerana kemalangan yang melibatkan pesawat terhempas dan bukannya dalam peperangan.

Orang ramai sering tertanya-tanya kenapakah pesawat TUDM sering terlibat dalam kemalangan. Ia bukan sahaja melibatkan helikopter malahan pesawat pejuang.

Keputusan Kabinet untuk menggantikan Nuri dengan helikopter yang baru memangnya telah lama ditunggu-tunggu. Malaysia tidak lagi mampu kehilangan pegawai dan anggota yang berpengalaman. Bukan mudah untuk melatih juruterbang dan anggota-anggota teknikal.

Di samping itu ia menimbulkan pelbagai persolan tentang keupayaan Malaysia menghadapi sebarang kemungkinan.

Read more!

Makna serangan Masjid Merah

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 15 Julai 2007


MASJID Lal atau Masjid Merah di Islamabad pastinya akan menjadi tarikan baru bagi pelawat-pelawat yang mengunjungi ibu negara Pakistan. Para wartawan antarabangsa dan sesiapa yang berminat mengenai politik global akan tertarik untuk mengunjungi masjid tragis itu.

Ia kini menjadi simbol baru konflik antara esktrem Islam dan dunia. Di satu pihak, militan Islam yang berada di masjid itu mewakili gerakan ekstrem Islam, sementara tentera kerajaan Pakistan mewakili dunia. Dalam konflik ini, Presiden Pervez Musharraf mewakili bukan saja Barat dan mereka yang anti-Islam tetapi juga umat Islam pada umumnya. Ini kerana umat Islam umumnya menolak ekstremisme Islam, apatah lagi berbentuk militan Islam berkaedahkan serangan bunuh diri.

Bayangkan andai kata kepungan dan serangan ini berlaku di sebuah negara bukan majoriti Islam umpamanya, India atau Britain, maka umat Islam akan terdorong untuk marah kepada pihak berkuasa negara berkenaan kerana menceroboh, dan menyerang masjid. Tetapi oleh kerana Musharraf mewakili sebuah kerajaan Islam, walaupun beliau dipandang oleh banyak pihak sebagai pemimpin sekular yang bersekutu dengan Amerika Syarikat (AS) tetapi beliau tetap seorang pemimpin Islam yang bertanggungjawab terhadap keselamatan rakyatnya.

Tentulah umat Islam berasa pilu melihat masjid yang dianggap tempat suci menjadi medan pertempuran dan pertumpahan darah. Apa pun kedua-dua pihak adalah orang Islam, dan orang awam yang terkorban ialah Muslim biasa. Lebih tragis militan yang berada dalam masjid itu berjuang atas nama Islam, dan mereka percaya perjuangan mereka adalah jihad dan mati mereka mati syahid. Tetapi keikhlasan dan keyakinan tidak dapat menggantikan pertimbangan waras terhadap nilai-nilai Islam yang menolak kekerasan, keganasan dan bunuh diri.

Tetapi dalam sejarah Islam, serangan lebih dahsyat pernah berlaku pada awal-awal pemerintahan Khilafah Umayah apabila khalifah yang berpusat di Damsyik menyerang Masjidilharam. Kejadian itu lebih tragis kerana ia lebih berupa perang saudara. Pihak yang berada dalam Masjidilharam itu bukanlah ektremis. Sementara di pihak khalifah pula juga merupakan sebuah kerajaan Islam yang sah, walaupun dipertikaikan oleh banyak golongan. Bagaimanapun, kedua- duanya memiliki senjata, justeru boleh dianggap sebagai militan.

Kalau pada zaman sebelum moden, memiliki senjata adalah perkara biasa bagi sesiapa untuk mempertahankan diri. Boleh dianggap sifat militan adalah suatu yang lumrah. Tetapi dalam istilah politik moden, perkataan militan hanya ditujukan kepada golongan bukan kerajaan yang memiliki senjata. Kalau pihak berkuasa dan kerajaan yang sah memiliki senjata tidaklah disebut sebagai militan. Mereka disebut sebagai tentera atau pasukan keselamatan. Tidak semua ektremis adalah militan. Ekstremis disifatkan sebagai golongan pelampau, dalam hal ini, dari segi amalan beragama. Melampau dalam erti kata norma arus perdana. Terdapat golongan Islam tertentu yang memiliki pandangan ekstrem tetapi oleh kerana mereka tidak bersenjata, tidaklah mereka boleh dirujuk sebagai militan Islam. Di Pakistan seperti juga di banyak negara Islam, terdapat golongan ekstremis. Tetapi mereka tidak pula menyokong militan Islam. Bagi mereka usaha untuk melaksanakan cara hidup Islam ekstrem tidak semestinya melalui cara militan. Cara demokrasi umpamanya boleh dilakukan.

Begitu juga tidak semua militan Islam adalah pengganas. Kalau pihak Taliban mengangkat senjata menentang tentera Afghanistan dan Barat, mereka bukan pengganas walaupun bertindak sebagai militan. Tetapi apabila mereka menyerang orang awam yang tidak bersenjata, maka cara itu adalah keganasan. Umumnya, keganasan adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Tetapi tidak semua pengganas itu penyerang bunuh diri. Kalau mereka tidak meletupkan diri, maka mereka hanya menjadi pengganas tetapi bukan penyerang bunuh diri. Tindakan membunuh diri adalah jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

Bagaimanapun di pihak kerajaan Islam juga, ukuran yang sama boleh digunakan. Tentera Pakistan umpamanya perlu menyerang golongan militan itu tetapi mereka tidak boleh menjadikan orang awam sebagai sasaran. Jika itu yang berlaku, maka tentera kerajaan juga boleh dianggap sebagai pengganas. Umpamanya tentera Israel yang menyerang orang awam adalah jelas pengganas, walaupun mereka merupakan tentera kerajaan yang diiktiraf oleh dunia. Maka jika mereka menggunakan kaedah membunuh diri dalam peperangan, maka itu merupakan pasukan penyerang membunuh diri. Kaedah sebegitu pernah digunakan dalam Perang Iran-Iraq oleh tentera kerajaan Iran.

Tetapi keseluruhan contoh-contoh ini membawa unsur tragis bagi umat Islam. Perang Iran-Iraq dahulu adalah sesama orang Islam. Kini Iraq berada dalam perang saudara sesama Islam. Di Afghanistan, perang juga adalah sesama Islam. Begitu juga di Pakistan antara kerajaan Islamabad dan militan-ekstremis Islam itu. Sedangkan ajaran Islam adalah jelas, jangan membunuh sesama Islam. Dalam pada itu Palestin terus ditindas oleh pengganas Zionis.

Masjid Merah mendapat nama berkenaan daripada bahan binaannya yang diperbuat daripada bata merah. Bahan yang biasa digunakan di benua kecil India khususnya oleh kerajaan Moghul dahulu. Sebab itu ada satu kota terkenal di Delhi bernama Red Fort atau Kota Merah, juga dibuat daripada bahan yang sama.

Tetapi masjid ini bukanlah bangunan purba. Ia dibina pada tahun 1965. Dalam sejarahnya, ia mendapat naungan daripada anggota-anggota kerajaan yang berpengaruh termasuk perdana menteri, panglima tentera dan presiden. Ia sememangnya dikenali pusat apa yang disebut sebagai ajaran Islam berbentuk radikal dan fundamentalis. Dalam hal ini perlu diingatkan mengenai perbezaan maksud istilah antara radikal, fundamentalis, ekstremis dan militan. Sering kali semua istilah ini dicampuradukkan dan disamaertikan.

Radikal bermaksud golongan yang mahukan perubahan besar secara mendadak. Fundamentalis pula adalah mereka yang berpegang kepada asas asal agama secara teliti sering kali berbentuk literal. Tetapi tidak semua fundamentalis adalah radikal. Ini kerana banyak penganut Islam yang berpegang kepada cara fikir fundamentalisme tetapi mereka tidak menuntut atau berjuang bagi perubahan segera. Juga tidak semua radikal adalah fundamentalis. Malah tidak semua fundamentalis adalah ekstremis. Banyak orang Islam bersikap sederhana atau moderat, walaupun mereka adalah fundamentalis. Istilah-istilah seperti konservatisme, tradisionalis dan progresif juga membawa makna berbeza. Bagaimanapun media massa Barat mudah menyamakan antara fundamentalis, ekstremis, radikal, garis keras (hardline) dan konservatif, yang akhirnya disamakan dengan teroris berani mati. Sedangkan istilah penyerang berani mati pun berbeza dengan pejuang membunuh diri. Seseorang boleh bersikap berani untuk menghadapi maut tetapi menolak sebarang kaedah membunuh diri, kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam. Garis keras dan garis lembut pula lebih terletak kepada pendekatan, sama ada secara tanpa kompromi atau boleh dirundingkan.

Jadi Masjid Merah adalah pusat fundamentalis dan radikal sepanjang 40 tahun kewujudannya. Ia memiliki madrasah yang menepati ribuan pelajar lelaki dan wanita. Bekas Presiden Pakistan, Jeneral Zia ul-Haq yang dianggap cenderung kepada Islam tetapi merupakan sekutu AS mempunyai hubungan rapat dengan bekas imam masjid ini, Maulana Abdullah. Imam ini dikenali sebagai kuat fahamannya terhadap mazhab Sunah Wal- jamaah dan bersikap anti-Syiah.

Masjid Merah memainkan peranan penting dalam memupuk semangat jihad dan melatih mujahidin bagi perjuangan menentang pendudukan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan dari tahun 1979 hingga 1989. Sekarang peranan ini dipandang serong bukan saja oleh Barat tetapi banyak kalangan dunia Islam. Bagaimanapun ketika menentang komunis dahulu, AS menggalakkan peranan seperti ini.

Maulana Abdullah dibunuh pada tahun-tahun 1990-an, digantikan oleh anak-anaknya Abdul Aziz Ghazi dan Abdul Rashid Ghazi yang berpegang kepada kuat pada fahaman Sunni Deobandi, dan dengan jelas menentang kerajaan Pakistan. Deobandi merujuk kepada madrasah di Deoband, India yang sejak sebelum kemerdekaan lagi telah melahirkan ulama yang menetapkan fikiran bagi kebangkitan agama Islam.

Selepas peristiwa 11 September, Pakistan yang sebelumnya menyokong kerajaan Taliban di Kabul telah mengubah pendirian. Musharraf mengisytiharkan penentangannya bukan saja terhadap Al-Qaeda tetapi Taliban. Maka kepimpinan Masjid Merah menentang dasar kerajaan mereka, malah dibuat seruan supaya Musharraf dibunuh.

Ekoran penyiasatan pengeboman 7 Julai 2005 di London, pihak berkuasa Pakistan menyerang masjid ini tetapi dihalang oleh pelajar wanita yang bersenjatakan kayu. Sejak tahun lalu, Masjid Merah secara terang- terangan memberontak terhadap Islamabad. Mereka menubuhkan kerajaan berasingan dengan menubuhkan Mahkamah Syariah sendiri. Malah pelajar-pelajar di sana dikerahkan melakukan pelbagai perkara yang mencabar pihak berkuasa termasuk penculikan, kerosakan harta benda dan pembunuhan.

Pertempuran antara pihak berkuasa Pakistan dengan kepimpinan Masjid Merah dan pelajar-pelajar itu bermula pada 3 Julai lalu. Musharraf masih bersifat lembut kerana memahami sensitiviti berhubung agama.

Musharraf mahu menangkap Ghazi bersaudara itu atas tuduhan pelbagai jenayah daripada penculikan, pembunuhan, keganasan hinggalah kepada pengkhianatan kepada negara. Apabila tawaran pengampunan dibuat pada keesokan harinya, 1,000 orang pelajar menyerah diri.

Abdul Aziz Ghazi cuba melepaskan diri dengan menyamar sebagai wanita memakai burka. Tetapi tubuhnya yang besar dan perutnya yang buncit menarik perhatian polis, dan akhirnya ditangkap.

Pada 5 Julai, Operasi Senyap dilancarkan, Abdul Rashid Ghazi terbunuh dalam serangan oleh pihak keselamatan. Ratusan orang terbunuh, semuanya Muslimin dan Muslimat. Konflik seperti ini ialah menang jadi arang, kalah jadi abu. Berulang kali peristiwa seumpama ini berlaku dalam sejarah Islam, dan ia hanya merugikan umat.

Read more!

Halang Pakistan jadi Taliban

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 8 Julai 2007


JUMAAT lalu Pakistan berada dalam keadaan resah, dengan satu percubaan membunuh Presiden Pervez Musharraf dan kepungan ke atas Masjid Lal di Islamabad yang ketika itu masih belum berakhir.

Suasana ini membimbangkan kalau-kalau negara itu boleh terjerumus ke kancah ketidakstabilan yang berpanjangan.

Bagaimanapun, daripada laporan agensi berita, pihak yang dianggap sedang berperang menentang kerajaan Pakistan itu, dinamakan sebagai militan Islam dengan fahaman seperti Taliban tidaklah ramai dan kurang mendapat sokongan rakyat.

Kebanyakan rakyat Pakistan menolak fahaman Taliban dan tindakan militan Islam itu. Sekarang istilah militan Islam digunakan oleh Barat untuk merujuk satu gerakan memperjuangkan sistem pemerintahan seperti apa yang pernah dilakukan oleh Taliban di Afghanistan dengan menggunakan kaedah serangan berani mati.

Juga apabila merujuk kepada militan Islam, pihak Barat akan mengaitkan Abdul Rashid Ghazi, timbalan imam Masjid Lal itu dengan Taliban, Al-Qaeda, penyerang berani mati dan pengganas.

Pada kaca mata Barat, Musharraf adalah sekutu Amerika Syarikat (AS) yang dengan sendirinya dianggap tokoh yang boleh mempertahankan demokrasi, kebebasan dan perdamaian.

Tetapi hakikatnya tidak seringkas itu. Pihak pembangkang yang menentang Musharraf bukan saja terdiri daripada kalangan militan Islam tetapi juga golongan liberal dan sekular. Baru-baru ini timbul krisis pemecatan Ketua Hakim Negara yang muncul kerana Musharraf dikatakan mahu memastikan dia dapat terus memerintah lagi pada jangka waktu yang panjang. Maka pertembungannya adalah dengan golongan sekular dan liberal.

Di kalangan gerakan Islam juga, mereka yang dikatakan sebagai militan Islam hanyalah sebahagian. Begitu juga yang berpegang kepada apa yang disebut Barat sebagai fahaman Taliban. Golongan ini juga terdiri daripada pelbagai aliran. Ada yang menolak kekerasan. Malah banyak di kalangan pejuang penubuhan negara Islam adalah demokratik dan mereka bersama golongan sekular dan liberal yang menentang Musharraf.

Tetapi tidak kurang pula adanya golongan yang menyokong fahaman Islam berada di sebelah pihak Musharraf. Justeru apabila Barat seolah-olah mengajak supaya dunia menyokong Musharraf dalam usahanya menentang militan Islam, maka ia suatu yang tidak kena. Ini kerana pemikiran seperti ini adalah seolah-olah peranan Barat hanyalah untuk menjaga kepentingan sendiri, dan Musharraf dijadikan boneka untuk itu.

Mereka seolah-olah tidak melihat dari sudut pandangan kepentingan rakyat Pakistan sendiri. Umpamanya soalan-soalan ini mesti ditanyakan. Mengapakah ada orang yang menentang Musharraf walaupun dia berusaha mewujudkan kestabilan di Pakistan? Mengapakah wujud militan Islam? Begitu juga dengan fahaman yang dikaitkan pada Taliban. Bagaimana Taliban diwujudkan dan fahamannya semakin meluas?

Rakyat Pakistan seperti juga manusia lain di dunia mahukan perdamaian, kestabilan, kemakmuran dan masa depan cerah bagi generasi akan datang. Melalui didikan agama dalam keluarga dan masyarakat, mereka berpegang bahawa Islam adalah jalan penyelesaian. Pihak Barat atau mereka yang sealirannya tidak dapat faham mengenai ini. Bagi Barat, fahaman yang boleh menyelamatkan manusia adalah kebebasan, demokrasi dan kapitalisme. Islam bagi mereka adalah agama memundurkan, bukan progresif.

Penyelamat

Sedangkan bagi orang Islam di seluruh dunia, Islam adalah penyelamat. Tidak ada manusia yang lebih hebat daripada Rasulullah s.a.w. Baginda berjaya mewujudkan negara yang aman, stabil, makmur dan sarat dengan kandungan kerohanian. Sedangkan demokrasi adalah konsep yang asalnya dari amalan masyarakat Athens di Yunani purba, kemudian dimantapkan oleh bangsawan-bangsawan Inggeris yang menggubal Magna Carta dan perjanjian dengan Raja England.

Tentu bagi umat Islam, apa yang diperjuangkan oleh Rasulullah begitu dihayati. Dalam suasana begini, meletakkan konflik di Pakistan sebagai Islam lawan Barat adalah bahaya. Apa yang berlaku adalah semata-mata kekecewaan rakyat terhadap sistem yang ada.

Penggunaan serangan berani mati, atau lebih tepat pengebom bunuh diri, menjadi militan Islam, berfahaman Taliban, menjadi pengganas dan menyertai Al-Qaeda adalah ekspresi kekecewaan. Pada suatu masa, di Barat, ekspresi kekecewaan ditunjukkan melalui perjuangan militan anarkis dan komunis. Bukan itu saja, fenomena fasisme dan Nazisme adalah ekspresi kekecewaan rakyat yang kemudian digunakan oleh tokoh-tokoh mereka dan akhirnya memusnahkan dunia Barat seperti disaksikan dalam Perang Dunia Kedua.

Islam yang dibawa oleh Rasulullah memiliki nilai-nilai, semangat dan konsep jelas. Antara yang paling utama adalah keselamatan dan keadilan. Ia menjadi asas kepada fiqah. Jika ada sesuatu yang dikatakan datang daripada fiqah tetapi menghasilkan kezaliman dan bahaya, maka pasti bercanggah dengan nilai dan konsep Islam itu.

Maka banyak penyimpangan berlaku selepas Rasulullah wafat. Bagaimanapun tetap ada ulama yang sentiasa berusaha mempertahankan kesucian ajaran Islam. Dari beberapa segi, zaman kegemilangan Islam yang ditandai Khilafah Umayah dan Abasiah memiliki penyimpangan daripada semangat Islam. Tetapi ulama-ulama zaman itu terus mempertahankannya dalam pelbagai usaha, termasuk berbentuk ilmu. Maka di situlah lahirnya banyak mazhab fiqah. Bukan saja empat seperti diketahui hari ini, tetapi ada juga yang pupus.

Khilafah Abasiah merosot apabila Baghdad tumbang di tangan gerombolan Mongol yang memusnahkan begitu besar hasil karya tamadun Islam. Banyak yang telah musnah. Yang tinggal dan menjadi warisan hanyalah cebisan-cebisan. Tidak dapat digambarkan andai kata semua karya itu dapat diselamatkan, agama Islam yang difahami pastinya berbeza.

Suku-suku kaum Mongol itu kemudian memeluk agama Islam. Tetapi cara mereka mengamalkan Islam dipertikaikan oleh banyak ulama. Antaranya turut bangkit menentang kerajaan Mongol yang disifatkannya menyelewengkan konsep-konsep asas Islam. Penentang utama dalam sejarah ialah Ibnu Taimiyyah. Ulama ini menjadi inspirasi dan ajarannya sebagai asas kepada fahaman Wahhabi.

Sementara itu, empayar mereka merentasi Iraq, Iran dan Afghanistan. Salah seorang raja Mongol yang memerintah di Kabul, bernama Babur kemudian menyerang India dan menumpaskan kerajaan Delhi, sebuah kesultanan Islam. Mereka inilah yang menubuhkan kerajaan dan tamadun dikenali sebagai Moghul, yang maknanya ialah Mongol.

Tamadun ini berasaskan Islam tetapi terdapat penyelewengan daripada nilai-nilai Islam. Kerajaan ini suka bermewah-mewah, menggunakan kekerasan dan keutamaannya tidak seperti yang diajarkan Rasulullah. Sememangnya kerajaan Moghul menghasilkan tamadun besar meliputi pelbagai bidang, daripada budaya hingga kepada pertahanan. Urdu menjadi wadah ekspresi tamadun Moghul. Taj Mahal merupakan hadiah tamadun Moghul kepada dunia. Tetapi adakah Islam mengajar pembinaan makam begitu mewah dan besar?

Pemerintahan Moghul meliputi Afghanistan, Pakistan dan sebahagian India hari ini. Penjajah Britain yang datang berjaya menumbangkan kerajaan Moghul tetapi gagal menjajah Afghanistan. Sedangkan dari segi pemerintahan Moghul, Afghanistan, Pakistan dan India adalah sebenarnya satu negara.

Apabila India merdeka, Pakistan memisahkan diri dan menjadi pewaris kepada kerajaan Islam India, dalam erti kata lain, pewaris Moghul. Maka hakikatnya, Pakistan dan Afghanistan adalah pewaris Moghul. Mereka merupakan keturunan Mongol yang pernah memusnahkan tamadun Islam di Baghdad tetapi kemudian mengasaskan kerajaan Islam yang hebat di India.

Pergolakan

Maka apa yang hendak dihairankan dengan pergolakan dan konflik di Afghanistan dan Pakistan? Hampir kesemua kumpulan berjuang atas nama Islam. Ironinya, kumpulan Taliban mempunyai fahaman yang mempunyai asas dari sudut pandangan Wahhabi. Sementara Wahhabi pula bermula daripada ajaran Ibnu Taimiyyah yang fahaman kerasnya wujud akibat reaksi kepada penyelewengan yang dilakukan oleh penakluk-penakluk Mongol yang memeluk Islam.

Apabila ada usaha untuk membunuh Musharraf dan penguasaan militan Islam di Masjid Lal, ia merupakan fenomena manusia yang berusaha mendapatkan kuasa untuk diisi dengan fahaman mereka. Adalah ngeri dan tidak bertamadun melihat perbuatan pengganas dan pejuang berani mati di kalangan militan Islam. Tetapi Taliban dalam sejarahnya sebelum muncul Al-Qaeda tidak menggunakan cara serangan berani mati.

Tetapi bayangkan betapa orang yang berperang dahulu, umpamanya pada zaman Mongol yang datang memusnahkan Baghdad. Mereka mungkin dipaksa oleh raja dan masyarakat mereka untuk menyertai tentera Mongol. Mereka mempunyai tafsiran berbeza mengenai kematian. Serangan dalam peperangan yang memanjang sejak Genghiz Khan keluar dari Mongolia adalah kaedah berani mati. Ketika memasuki perang, tidak ada dalam fikiran kecuali membunuh, atau dibunuh.

Sedangkan Rasulullah seperti dikisahkan dalam hadis dan sirah mempunyai peradaban dalam bagaimana cara untuk berperang. Keadilan dalam cara Rasulullah berperang mendahului Konvensyen Geneva yang digubal dunia Barat daripada hasil Perang Dunia Pertama.

Untuk mengelak daripada menjadi sebuah negara gagal, Pakistan yang ditubuhkan atas nama Islam tidak wajar mencari laluan demokrasi, liberalisme dan AS. Ia perlu kembali kepada Islam yang diajar oleh Rasulullah dalam erti kata semangat, nilai dan konsep. Bukan cara Mongol, Moghul, Taliban atau Al-Qaeda.

Read more!

Bezanya Brown dengan Blair

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 1 Julai 2007


Apabila Perdana Menteri baru Britain, Gordon Brown berucap Khamis lalu, banyak orang di negara itu mula berasa mereka akan memiliki pemimpin yang berbeza daripada Tony Blair.

Perbezaan itu diungkapkan oleh analisis dan komen akhbar-akhbar Britain yang keseluruhannya menyokong Brown. Perbezaan ketara ialah personaliti Brown yang serius, tidak sewarna-warni seperti Blair.

Walaupun keseluruhannya rakyat Britain sudah letih dengan Blair, terutamanya soal perang Iraq yang dianggap titik hitam bagi kepimpinannya tetapi perawakan bekas perdana menteri itu akan terus menjadi kenangan manis.

Brown masih memiliki karakter sosialis yang serius dan gemar bekerja keras serta terperinci dalam pertimbangan serta pemerhatiannya. Sebagai menteri kewangan dalam kabinet Blair selama ini, beliau dianggap cemerlang dan pemilihannya untuk menjadi Perdana Menteri tidak dipertikaikan.

Malah boleh dianggap bahawa beliau adalah orang terbaik untuk menjadi Perdana Menteri Britain pada masa ini.

Bagaimanapun, sama ada beliau mampu memimpin Britain dengan cemerlang, hanya masa mengujinya. Termasuk usaha untuk memenangi pilihan raya akan datang seterusnya mengekalkan dominasi Parti Buruh untuk tempoh lebih lama lagi.

Walaupun buat masa ini kedudukan Parti Konservatif kurang mampu untuk mencabar Parti Buruh, tetapi jika Brown gagal memenuhi harapan rakyat Britain, ataupun berlaku perkembangan mengejut yang menjejaskan kepimpinannya, maka pihak era pemerintahan partinya boleh kecundang.

Sejarah menyaksikan Blair sebagai wira golongan kiri di Britain yang memecah dominasi Parti Konservatif selama 18 tahun dengan pemerintahan Margaret Thatcher dan John Major. Dengan Blair memerintah selama 10 tahun, Brown sekurang-kurangnya dapat menjadi Perdana Menteri lapan tahun lagi, barulah Parti Buruh boleh menyamai rekod Parti Konservatif sebelum ini.

Tetapi kejayaan Blair dalam pilihan raya Hari Buruh, pada 1 Mei 1997 disebabkan kejayaannya mengubah dasar Parti Buruh untuk meninggalkan sifat kirinya bergerak ke tengah dalam spektrum politik Britain.

Anjakan ini membawa kepada peralihan undi oleh penyokong-penyokong Parti Konservatif kepada Parti Buruh. Ditambah pula, Blair mempunyai personaliti menarik, banyak bercakap dan pandai berhujah yang membawa kepada tarikan pengundi.

Penulis masih ingat betapa CNN, yang pada tahun 1997 baru muncul dan popular, tanpa saingan daripada televisyen satelit lain menambahkan lagi populariti beliau di mata dunia. Ketika itu, televisyen satelit BBC baru hendak menyaingi CNN yang turut meletakkan perdana menteri mereka pada imej berita antarabangsa.

Satu lagi faktor populariti Blair di atas pentas antarabangsa, iaitu berbanding dengan pemimpin-pemimpin dunia lain ialah sifatnya yang disebut sebagai mesra media. Beliau pandai memanfaatkan media untuk meningkatkan imejnya. Inilah yang disebut oleh Brown pada hari pertama beliau sebagai perdana menteri ‘politik selebriti’.

Tetapi mungkin zaman Blair sememangnya era ‘politik selebriti’. Beliau digandingkan dengan pemimpin-pemimpin kiri dunia Barat seperti Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton dari Parti Demokratik yang menang pilihan raya pada tahun 1993 dan Canselor Jerman, Gerhard Schroeder dari Parti Sosial Demokratik yang menang pilihan raya pada tahun 1998 dalam apa yang disebut sebagai Jalan Ketiga.

Sokongan

Istilah Jalan Ketiga merujuk kepada dasar-dasar parti haluan kiri yang sudah bergerak ke spektrum tengah dan mendapat sokongan rakyat, termasuk daripada golongan kanan. Itulah yang dilihat sebagai apa yang berlaku di Britain, AS dan Jerman.

Terdapat juga lain-lain negara Eropah yang turut mengalami perubahan demikian. Bagaimanapun, Jalan Ketiga didapati hilang popularitinya bermula dengan kekalahan Al Gore, calon presiden Parti Republikan, yang kalah kepada George W. Bush.

Walaupun kemenangan Bush lebih berupa teknikal, tetapi ia merujuk kepada keadaan di mana Al Gore gagal memperoleh undi yang selesa untuk mengelak Bush daripada menjadi presiden.

Kemudian walaupun Blair menang pilihan raya secara berturut-turut tetapi hubungan rapatnya dengan Bush dari segi dasar luar khususnya berkaitan Iraq menjadikannya tidak lagi dianggap sebagai Jalan Tengah. Beliau dipandang berada di jalan kanan.

Akhirnya pada tahun lalu dengan kekalahan Schroeder kepada Angela Merkel dari Parti Kristian Demokrat, istilah Jalan Ketiga sudah dianggap berlalu.

Maka peranan Brown adalah kembali ke Jalan Tengah yang membawa kemenangan Blair. Apabila beliau menyebut mengenai perubahan, ia lebih merujuk kepada dasar luar yang berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Blair. Maknanya, tugas utama beliau ialah menyelesaikan masalah Iraq, daripada soal pengunduran tentera dari negara itu, meningkatkan hubungan dengan negara-negara Islam dan akhirnya hubungan yang berbeza dengan AS.

Hubungan Britain dengan AS akan menjadi lebih berbeza daripada sekarang apabila Washington mendapat presiden baru selepas Bush. Tidak kira sama ada dari Parti Demokratik atau Republikan, keadaan sudah tidak sama berbanding dengan Bush-Blair.

Sementara itu perubahan di Eropah yang mana penduduk di sana menolak aliran kiri seperti yang terserlah dalam kekalahan Schroeder di Jerman tahun lalu dan calon Parti Sosialis Perancis, Segolene Royale dalam pilihan raya presiden negara tidak lama dahulu memberi tanda-tanda yang diambil berat oleh Parti Buruh dan Brown.

Tetapi Brown telah meletakkan satu masa depan yang segar bagi Parti Buruh dan Britain. Ia berbentuk pelantikan David Miliband sebagai Menteri Luar Britain. Di negara itu, jawatan tersebut dipanggil setiausaha luar.

Miliband berusia 41 tahun dan kemudaannya dilihat sebagai wajah segar di samping dilihat sedang dididik untuk menjadi pemimpin masa depan Parti Buruh dan Britain. Beliau ialah menteri luar paling muda dalam sejarah 30 tahun Britain.

Walaupun Miliband dianggap sekutu Blair, malah pernah disebut sebagai calon yang mampu menentang Brown dalam pemilihan parti, tetapi pelantikannya dilihat sebagai usaha Brown membawa Britain ke zaman pascadasar luar Blair.

Hakikat bahawa bapa Miliband, Ralph seorang ahli teori politik Marxis juga diambil kira oleh para pemerhati. Politik Britain akan terus berkisar antara Parti Buruh dan Parti Konservatif dengan cabaran daripada Parti Nasionalis Scottish di Scotland.

Mampu

Keseluruhannya, tidak ada parti kecil di England yang mampu merungkai sistem dwiparti Buruh-Konservatif. Walaupun ada ketikanya Parti Liberal Demokrat memecah masuk ke kawasan-kawasan pilihan raya ketika kedua-dua parti ditolak oleh pengundi.

Dalam keadaan begini, kedua-dua pihak Buruh dan Konservatif membina tradisi intelektual politik mereka secara mendalam, dan dinamika mereka inilah yang mencorakkan negara Britain.

Walaupun Britain sebuah negara kecil dan tidak lagi memiliki empayar tetapi peranan perdana menterinya adalah besar dalam dunia yang didominasi kuasa tunggal iaitu AS. Dari segi dasar luar, AS dan Britain seperti sebuah kuasa. Ada tuduhan bahawa Blair dianggap sebagai pak turut kepada Bush.

Bagaimanapun dari sudut lain, AS seolah-olah tidak memiliki keyakinan diri dan mereka memerlukan sokongan Britain. Atau adakah ia lebih kepada sudut psikologi?

Maka tidak hairanlah ada penganalisis yang menamakan sistem kekuasaan global hari ini didominasi oleh paksi Anglo-Saxon, iaitu barisan AS-Britain. Bagaimanapun, apabila melihat gaya Australia dalam dasar luarnya, mereka juga seolah-olah tidak dapat melepaskan diri daripada dasar-dasar AS.

Hujah yang diberikan mereka seperti diungkapkan oleh agensi-agensi pemikir Australia mengenai mengapa negara itu menjadi sekutu AS, malah boleh dianggap sebagai leftenan kepada Washington ialah negara itu mempunyai pantai yang panjang dan terdedah kepada ancaman luar dari laut.

Untuk mempertahankan diri, Australia yang mempunyai penduduk 20 juta saja tidak mampu melakukannya sendiri tanpa bantuan AS. Tetapi adakah satu kebetulan bahawa ketiga-tiga negara, AS, Britain dan Australia berasal dari Anglo-Saxon dan oleh itu saling menjadi sekutu sesama sendiri?

Kanada dan New Zealand tidak dilihat menyertai sekutu ini walaupun kedua-duanya turut didominasi oleh Anglo-Saxon. Dari sudut etnik, Kanada mempunyai kaum daripada keturunan Perancis sementara kehadiran Maori yang besar di New Zealand menyebabkannya tidak serupa dengan Britain. Tetapi berkemungkinan juga, soal etnik adalah kebetulan, lebih penting lagi ialah budaya dan tradisi intelektual serupa.

Daripada sistem politik Westminster di London, ia berkembang ke Washington dan Canberra. Tetapi kedudukan intelektual politik London terus unik dan menjadi inspirasi kepada kedua-dua negara.

Atau kebetulan bahawa kedudukan geopolitik AS yang begitu besar dan berkuasa memerlukan sokongan Britain di Eropah dan Australia di Pasifik. Mungkin lebih tepat lagi paksi AS-Britain-Australia ini wujud dengan semua campuran faktor di atas iaitu geopolitik, budaya dan juga etnik.

Tetapi kesimpulannya, paksi inilah sekarang yang mendominasi dunia dengan bahasa mereka, Inggeris menguasai dunia begitu juga pencapaian-pencapaian lain seperti sains, teknologi dan hiburan.

Walaupun AS adalah kuasa besar tetapi penggerak inspirasinya terdapat di London. Ia tetap menjadi ibu ketamadunan dan Brown mewarisi jawatan yang penting dan berpengaruh.

Kalau dianggap bahawa beliau di tengah-tengah paksi kuasa London, maka di kanannya ialah Miliband sebagai Menteri Luar yang akan mencorak dasar luar Britain. Di sebelah kiri ialah Blair. Walaupun sudah melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau mahu dilantik sebagai utusan khas bagi Asia Barat.

Tidakkah suatu yang ironi melihat seorang yang membawa Britain ke dalam masalah di Iraq tetapi dilantik sebagai utusan damai untuk menyelesaikan masalah di Asia Barat? Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), AS, Rusia dan Kesatuan Eropah (EU) yang merupakan Quartet bagi Asia Barat menamakan Blair sebagai wakilnya. Beliau juga disokong oleh Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. Bagaimanapun Hamas menolak.

Britain terus perlu berperanan di Asia Barat, bukan saja sebagai pelindung Israel seperti yang dilakukan AS tetapi juga memiliki kecenderungan untuk memihak kepada Arab. Dari sejarahnya, sebelum kemasukan AS, Britain bertanggungjawab ke atas Palestin, Iraq, Jordan, Mesir dan negara-negara Arab Teluk. Masalah yang ada sekarang adalah warisan Britain semasa menjadi penjajah.

Tetapi kini ia menjadi tanggungjawab Brown, Miliband dan Blair. Mereka akan diperhatikan oleh media Britain yang akan terus menganalisis mereka untuk difahamkan oleh pengundi di negara itu.

Read more!