Kesetaraan jadi sasaran

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 30 Mac 2006


APABILA Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein baru-baru ini menyatakan bahawa usaha akan dilakukan merapatkan jurang perbezaan antara sekolah di bandar dan luar bandar melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), maka dapat dikesan mesej yang bakal dibawa oleh dokumen itu.

RMK-9 dijadualkan dibentangkan Jumaat ini di Parlimen dan ia menjadi dokumen nasional yang penting untuk rakyat Malaysia.

Mesej keseimbangan ini dipercayai bukan saja dalam hal sekolah tetapi juga kesemua sektor negara, baik pendidikan, infrastruktur, malah dalam soal teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Hishammuddin juga menyebut tentang merapatkan jurang digital antara sekolah di bandar dan di luar bandar tetapi ia berkemungkinan meliputi sektor bukan pendidikan. Maknanya, jurang digital yang merujuk kepada perbezaan pendedahan masyarakat terhadap kemudahan ICT seperti komputer dan Internet di antara bandar dan luar wajar diperkecilkan, yang boleh dilakukan melalui RMK-9 ini.

Soal merapatkan jurang bandar dan luar bandar bukanlah perkara baru. Ia juga disebut dalam rancangan-rancangan Malaysia terdahulu. Malah sudah dianggap sebahagian daripada idealisme rancangan pembangunan ekonomi untuk menghapuskan perbezaan antara bandar dan luar bandar. Malah ia menjadi sebagai salah satu agenda menentang penindasan atau peminggiran segolongan manusia oleh sebilangan kecil manusia yang memiliki kuasa.

Apabila disebut jurang, rancangan pembangunan ekonomi tidak akan hanya menyentuh hubungan antara bandar dengan luar bandar tetapi juga perkara-perkara lain seperti antara dua golongan, kaya dan miskin.

Berhubung dengan jurang digital, yang fenomenanya bertambah pesat sejak lima tahun kebelakangan ini, iaitu sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-8, perluasannya melebarkan jarak antara bandar dengan luar bandar, dan antara golongan kaya dan miskin.

Maka rancangan pembangunan ekonomi bukan saja berusaha untuk menghalang meluas lagi jurang ini tetapi juga merapatkannya. Jika dibiarkan tanpa perancangan, seolah-olah seperti konsep entropi dalam sains, keadaan masyarakat akan melebarkan lagi jurang antara bandar dan luar bandar, dan kaya dan miskin.

Maknanya, adalah menjadi satu perkembangan semula jadi bagi meluaskan jurang antara dua pihak ini dan hanya usaha dengan penuh kesedaran dapat mengatasinya.

Untuk merapatkan jurang, tidak pula bererti menarik turun kedudukan bandar untuk setaraf dengan luar bandar. Sebaliknya, usaha hendak dibuat supaya pihak luar bandar yang dinaikkan taraf untuk menjadi bandar.

Begitu juga dengan layanan terhadap golongan miskin dan kaya. Rancangan pembangunan ekonomi bukan bertujuan untuk menurunkan pendapatan atau mutu kehidupan golongan kaya supaya menjadi setaraf dengan golongan seperti mana yang telah berlaku di negara-negara komunis dahulu. Sebaliknya usaha rancangan pembangunan adalah untuk menaikkan taraf golongan miskin supaya kehidupan menjadi bertambah baik.

Di sinilah timbul konsep kelas menengah. Iaitu cara untuk merapatkan jurang miskin kaya adalah dengan meningkatkan bilangan kelas menengah dalam negara. Maknanya rancangan pembangunan ekonomi negara bukan saja tidak mahu menjejaskan kedudukan golongan kaya tetapi ingin menambahkan bilangan anggota kelas menengah daripada kalangan golongan miskin.

Sementara itu satu tumpuan khas diberikan terhadap usaha menghapuskan kemiskinan tegar.

Pemahaman perkara ini juga boleh dibuat ke atas jurang antara bandar dan luar bandar. Maknanya, mutu kehidupan bandar bukan saja dipertahankan tetapi juga terus diperbaiki. Ia menjadi penanda aras kepada kemajuan negara. Sementara itu konsep kelas menengah juga diguna pakai terhadap hubungan bandar dengan luar bandar.

Maknanya, rancangan pembangunan perlu meningkatkan mutu luar bandar supaya memiliki kemudahan bandar secara wajar. Untuk itu, akan diwujudkan separa bandar atau bandar menengah, yang kedudukannya adalah antara bandar dengan luar bandar.

Konsep yang serupa juga boleh diguna pakai terhadap jurang digital. Kemuncak kepada masyarakat digital adalah penggunaan sepenuhnya kemudahan ICT, daripada komputer, pengaksesan Internet hingga kepada telefon selular.

Tetapi tidaklah semua orang mampu memiliki komputer. Selain itu, banyak kawasan di negara ini yang tidak mempunyai infrastruktur jalur lebar hingga membantutkan perkembangan ICT.

Maka di sinilah juga terletak konsep kelas menengah dalam jurang digital. Maknanya di antara mereka yang penuh bestari dari segi ICT kepada yang langsung terpinggir, maka diwujudkan satu medan menengah antara kedua- duanya.

Sebagai contoh, jika di luar bandar, kemudahan komputer dan Internet tidak wujud di rumah-rumah, maka usaha untuk menubuhkan pusat-pusat Internet awam, baik secara komersial melalui kafe siber atau perpustakaan awam dapat mewujudkan medan menengah digital ini. Begitu juga dengan penggunaan telefon selular yang boleh meletakkan pengguna daripada kedudukan terpinggir dalam ICT kepada medan menengah.

Berkait dengan jurang antara bandar dan luar bandar ialah perbezaan kedudukan ekonomi wilayah. Majoriti penduduk Malaysia tinggal di luar bandar dan kemajuan antara wilayah juga menunjukkan perbezaan ketara.

Contoh paling ketara ialah antara Semenanjung Malaysia dengan Sarawak serta Sabah. Dalam Semenanjung Malaysia pula, adalah antara Pantai Barat dengan Pantai Timur.

Maknanya, konurbasi atau himpunan penempatan manusia padat paling utama terletak di Lembah Klang yang melebar hingga mencakupi Negeri Sembilan. Kemudian terdapat konurbasi lebih kecil di Pulau Pinang dan sekitarnya. Begitu juga dengan Johor Bahru dan sekitarnya.

Wahana yang boleh merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar, dalam erti kata wilayah bandar dengan wilayah luar bandar ialah komunikasi dan pengangkutan.

Kedua-duanya, pengangkutan dan komunikasi dipercayai menjadi perkara penting yang ditangani dalam RMK-9 ini boleh menyumbang kepada peningkatan kedudukan penduduk luar bandar.

Melalui pengangkutan dan komunikasi, modal insan di luar bandar dapat ditingkatkan. Perdagangan dan penghijrahan antara kedua-dua tempat, bandar dan luar bandar atas tujuan kegiatan ekonomi akan memperbaiki tahap luar bandar.

Begitu juga dengan sekolah dan institusi pengajian, khususnya di luar bandar. Mereka amat memerlukan keberkesanan pengangkutan dan komunikasi. Nantinya, universiti di luar bandar dan di bandar mempunyai kedudukan kemudahan yang serupa.

Ilmu pengetahuan boleh bergerak melalui buku yang diangkut secara cekap di atas lebuh raya di samping laluan Internet yang tidak membezakan antara kota dan desa.

Sememangnya harga minyak yang meningkat mampu menjejaskan pengangkutan. Tetapi dipercayai keadaan ini mendorong rasionalisasi pengangkutan supaya lebih cekap. Maka RMK-9 wajar memberi ruang besar kepada pengangkutan awam, dan dalam hal ini, masa depan terletak pada pembangunan kereta api yang tidak menggunakan bahan api petroleum.

Read more!

Putar belit pendatang asing

Oleh: Muhammad Alias
Sumber: Utusan Malaysia 29 Mac 2006


DI kalangan rakyat asing khususnya dari negara-negara Dunia Ketiga, Malaysia merupakan sebuah negara idaman. Negara ini mewah, banyak pekerjaan dan rakyatnya cukup baik hati. Lantaran itu dewasa ini terdapat pelbagai jenis rakyat asing di Malaysia.

Mereka datang dengan pelbagai cara – sebagai pelajar, pelancong dan pesara di bawah Program Malaysia Rumah Keduaku. Ini tidak menghairankan kerana Malaysia terkenal hingga ke kampung-kampung kecil di Afrika.

Kita sebenarnya tidak mempunyai masalah sekiranya mereka benar-benar datang atas tujuan sebagaimana kelulusan visa. Pokoknya, ramai yang datang dengan tujuan untuk menetap dan bekerja.

Perkara ini telah berterusan sejak beberapa tahun lalu. Jadi apabila Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, membongkar mengenai penipuan dan penyalahgunaan visa baru-baru ini, tidak ramai yang terkejut.

Menurut menteri itu, rakyat Bangladesh mendaftar sebagai ‘pelajar' dengan beberapa buah kolej, tetapi menghabiskan 80 peratus dari masa mereka bekerja di restoran dan tapak pembinaan.

Sebagai orang Perlis, Radzi mesti masih ingat tentang pendatang haram yang memasuki Malaysia melalui sempadan Malaysia-Thai pada tahun-tahun 1990-an. Hingga Malaysia terpaksa membina tembok sempadan. Tindakan Malaysia ini telah mengeruhkan hubungan dua hala Malaysia-Thai di kala itu.

Peliknya ramai warga asing ini jatuh cinta dengan Malaysia meskipun ada orang Malaysia yang tidak senang dengan negaranya sendiri. Begitu juga dalam keadaan 80,000 orang graduan Malaysia menganggur.

Sebenarnya segala penipuan ini berlaku oleh kerana dasar Malaysia yang sering berubah-ubah. Dalam keadaan kita menghadapi masalah pendatang tanpa izin, kita telah mengeluarkan satu dasar baru iaitu membenarkan pelajar asing bekerja.

Tujuannya semata-mata untuk menggalakkan pelajar-pelajar asing belajar di Malaysia.

Begitu juga, dalam usaha menggalakkan pelancongan, Malaysia telah mempermudahkan permohonan visa. Kini permohonan visa boleh dibuat secara online dan melalui agensi-agensi pelancongan.

Pegawai-pegawai imigresen di pintu-pintu masuk pula tidak boleh menyoal pelancong-pelancong ini. Kita bimbang pelancong-pelancong lain dari negara mereka akan takut datang ke Malaysia.

Tindakan Malaysia dalam soal visa ini nampaknya terlalu terkehadapan dibandingkan negara-negara maju di dunia.

Saya terbaca cerita mengenai Program Malaysia Rumah Keduaku juga telah disalahgunakan. Khabarnya ada antara peserta program bukan pesara. Malahan ada yang bekerja. Ini bertentangan dengan dasar program itu.

Kita lupa dasar kita mudah diputarbelitkan oleh pihak-pihak yang memang pakar dalam soal putar-belit atau ‘putaq alam’ kata orang utara.

Pihak berkuasa mesti sedar pelancong tidak akan datang sekadar mempermudahkan permohonan visa. Yang penting ialah produk dan pegawai-pegawai pejabat pelancongan yang berkelayakan dalam pelbagai bidang.

Siapakah yang harus dipersalahkan?

Pastilah pihak-pihak tertentu di Malaysia. Sebagai mana kata menteri berkenaan, pihak agensi (pekerjaan) membawa masuk ‘pelajar-pelajar’ ini atas dasar untuk belajar di beberapa buah kolej dan apabila sampai di negara ini, mereka dihantar bekerja di restoran-restoran dan sektor pembinaan.

Pelajar-pelajar ini pula dikeluarkan visa oleh kedutaan-kedutaan kita selepas mendapat kelulusan Jabatan Imigresen.

Rakyat Bangladesh ini tidak harus dipersalahkan. Sebagai sebuah negara miskin, rakyatnya akan berbuat apa saja untuk mendapat wang. Pada tahun 1990-an, ribuan rakyat Bangladesh memasuki Malaysia setelah bersembunyi di hutan-hutan perbatasan Malaysia-Thai. Mereka masuk dengan bantuan rakyat Malaysia.

Bagi memastikan masalah ini tidak berulang, kerajaan harus mengambil tindakan yang cukup tegas dan keras. Memandangkan isu ini melibatkan keselamatan negara, pihak-pihak yang terlibat dengan penipuan ini hendaklah dihukum di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Jelaslah kedatangan para pelajar ini dirancang terlebih dahulu. Kalau tidak masakan mereka terus mendapat pekerjaan.

Ketika saya bertugas (Kementerian Luar) dahulu, didapati ada antara pihak-pihak yang mengeluarkan surat kelulusan imigresen yang palsu dan begitu juga surat penerimaan masuk dari kolej-kolej swasta.

Sebagai bekas pegawai kerajaan, saya sedih bila jabatan-jabatan kerajaan dikritik sebagai tidak efisien dan rasuah.

Namun, masyarakat mesti faham, tidak semua buah yang berulat. Banyak yang manis dan harum. Tetapi buah yang berulat inilah yang sering diperkatakan orang.

Read more!

As-Britain terima bahana Iraq

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 26 Mac 2006


PERBAHASAN mengenai patutkah Iraq diperangi dan diduduki oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutu-sekutunya berlaku di seluruh dunia, oleh semua negara khususnya yang terlibat secara langsung dengan konflik itu.

Pelbagai hujah dikemukakan dengan menggunakan pelbagai bahasa, bukan saja Inggeris tetapi juga Perancis, Jerman, Rusia dan sudah tentu Arab yang mengupas dan mengulas mengenai perang Iraq sejak ia berlaku tiga tahun lalu.

Tetapi sudah tentu perbahasan paling banyak dilakukan dalam bahasa Inggeris, bukan saja ia merupakan bahasa global tetapi juga pemain peranan dalam perang Iraq itu didominasi oleh negara bertutur Inggeris.

AS, Britain dan Australia yang menjadi pemain peranan utama dalam konflik itu menggunakan bahasa Inggeris. Sebuah lagi negara berbahasa Inggeris utama dunia, iaitu Kanada tidak pula terlibat dalam perang berkenaan.

Maka dalam media dan ruang perbahasan politik negara-negara ini, AS, Britain dan Australia menyerlahkan inti-inti perdebatan mengenai perang itu.

Maka perdebatan mengenai perang ini di ketiga-tiga negara tersebut dapat diikuti dengan mudah oleh banyak orang di seluruh dunia kerana penggunaan bahasa Inggeris yang bersifat global itu.

Pun begitu di Australia, perdebatan tidaklah seimbang kerana pada keseluruhannya rakyat negara itu menyokong pembabitan negara mereka dalam peperangan berkenaan.

Perkara ini dapat dilihat bukan daripada kemenangan pilihan raya kerajaan pimpinan Perdana Menteri John Howard, dalam hal ini, Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan Presiden AS, George W. Bush juga turut menikmati kejayaan yang sama, tetapi sikap yang ditunjukkan oleh rakyat Australia, majoriti berkulit putih dan keturunan Inggeris adalah menyebelahi AS.

Sememangnya Australia dilihat malah menonjolkan diri sebagai timbalan bagi AS untuk rantau Asia. Tetapi kedudukan Australia yang berjiran dengan negara-negara Asia lain, ditambah pula mereka mahu menyifatkan diri mereka sebagai negara benua itu menunjukkan bahawa keseimbangan perlu dilakukan untuk keselamatan politik mereka.

Dari segi ekonomi, Australia sentiasa menampilkan diri mereka sebagai negara Asia. Bukan saja kerana Asia Timur muncul sebagai rantau paling pesat berkembang tetapi masa depan politik negara itu dilihat sebagai berkait rapat dengan benua berkenaan, dan ini diserlahkan melalui keanggotaannya ke dalam Sidang kemuncak Asia Timur (EAS).

Pun begitu, dalam corak politik global, Australia adalah sebahagian daripada perikatan Barat pimpinan AS. Australia merupakan negara Komanwel yang berkait rapat dengan Britain tetapi juga bersekutu dengan AS yang turut berkongsi Lautan pasifik dengannya. Maka sifat sekutu Australia dengan AS adalah satu yang dianggap semula jadi.

Lebih-lebih lagi apabila dilihat dari sudut keturunan dan bangsa. Sesungguhnya Australia, AS dan Britain merupakan negara Anglo-Saxon daripada keturunan bangsa yang sama.

Tetapi dalam hal ini mengapakah Kanada dan New Zealand yang juga mempunyai pertalian rapat dengan Komanwel dan Britain tidak menunjukkan sifat seperti Australia?

Pada hakikatnya Kanada dan New Zealand yang juga berbahasa Inggeris dan keturunan Anglo-Saxon juga adalah sebahagian daripada keluarga AS-Britain.

Namun begitu, mereka mempunyai ciri-ciri yang menampilkan sifat kebebasan mereka daripada AS dalam hal-hal tertentu. Kanada tidak menyertai AS dalam perang Iraq itu. New Zealand dalam soal-soal nuklear umpamanya, mengambil jalan bebas daripada AS.

Mungkin ada dua ciri yang menjadikan mereka sebagai negara keluarga Inggeris yang bebas daripada AS-Britain.

Kanada, walaupun negara berbahasa Inggeris dan dalam Komanwel tetapi pada hakikatnya adalah negara dwiketurunan. Bahasa rasmi Kanada bukan saja Inggeris tetapi juga Perancis. Quebec merupakan wilayah utama Kanada yang mampu menjadi pengimbang kepada wilayah-wilayah lain yang berbahasa Inggeris.

Maka dengan mengambil kira bahawa Perancis menentang perang yang dilancarkan oleh AS ke atas Iraq, maka dapat difahami bahawa penduduk keturunan Perancis juga mempunyai sikap sedemikian. Maka Ottawa mengambil garisan bebas dengan tidak menjadi sekutu AS.

Dari segi sejarah, Kanada yang walaupun berjiran dan berkait rapat khususnya dari segi ekonomi dengan AS, tetapi mereka tidak mengikut Washington sepanjang masa.

Bergabung

Sememangnya pernah pada satu masa terdapat cadangan bahawa Kanada bergabung saja dengan AS untuk menjadi negara Amerika Utara yang lebih besar dan kuat. Gagasan seumpama ini pernah diperkirakan apabila Quebec diberi pilihan secara pungutan suara untuk sama ada merdeka dengan keluar dari Kanada. Maka jika perkara ini berlaku maka kanada menjadi kecil dan hanya berbahasa Inggeris yang menjadikan kewajaran untuknya menyertai AS.

Tetapi ternyata, majoriti, walaupun sedikit menolak kemerdekaan Quebec dan mereka memilih untuk berada dalam kanada. Dan ini menyelamatkan wilayah-wilayah Kanada yang lain daripada merasakan keperluan untuk bergabung dengan AS.

Sebelum merdeka, Kanada merupakan tanah-tanah jajahan yang setia dengan Britain, iaitu berbanding dengan 13 negeri di pesisiran pantai timur Amerika Utara yang memberontak menentang London untuk menubuhkan AS.

Selepas kemenangan 13 negeri ini dalam Perang Kemerdekaannya, maka penduduk yang setia dengan Britain berhijrah ke Kanada.

Tetapi akhirnya, Kanada juga mencapai kemerdekaan daripada Britain tetapi proses itu berlangsung secara evolusi dan tanpa pertumpahan darah. Mula-mula ia menjadi negara berpemerintahan sendiri yang diberikan status bernama Dominion.

Rakyat Kanada bersetuju dengan Britain dalam gagasan Komanwel yang berbentuk empayar. Mereka menyertai Perang Dunia pertama dengan semangat membela negara ibunda mereka iaitu Britain.

Begitu juga dalam Perang Dunia Kedua. Tetapi dalam Perang Dunia kedua, pemimpin-pemimpin Kanada sudah merasakan bahawa mereka semacam diperalatkan oleh Britain untuk kepentingan London. Dasar-dasar yang dibuat di London termasuk berperang dengan Jerman tidak mengambil kira kepentingan Komanwel pada keseluruhan. Ia lebih kepada kepentingan London.

Kanada hanya dipanggil untuk membantu Britain semasa timbul ancaman perang. Tetapi dalam waktu damai, Kanada tidak dipedulikan. maka gerakan berpemerintahan sendiri muncul dengan lebih kuat di Kanada yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan. Proses ini disertai juga oleh Australia dan New Zealand, yang secara langsung mengubah kedudukan Komanwel daripada sebuah empayar kepada ikatan negara-negara berdaulat.

Suasana ini kemudian memudahkan gerakan kemerdekaan India, yang akhirnya meruntuhkan empayar Britain.

Dengan kejatuhan empayar Britain, AS pula masuk menggantikannya. Gambarannya adalah seolah-olah Britain menyerahkan empayarnya kepada AS dalam konteks pascakolonialisme. Sementara pascakolonialisme ini muncul dalam bentuk neokolonialisme.

Penanda besar perubahan daripada kolonialisme Britain kepada neokolonialisme AS adalah Israel dan itulah yang terus menjadi masalah sehingga hari ini.

Maka AS kemudian terlibat langsung sebagai penjajah bentuk baru bagi rantau Asia Barat. Ia pernah berlaku di Iran, dan kini berlangsung di Iraq. Britain pernah menjajah Iraq dan kemudian berundur. Kini AS menghadapi keadaan yang serupa.

Perbahasan mengenai perang Iraq berlaku dengan meluas di AS dan Britain. Nama-nama seperti Michael Moore di AS dan Robert Fisk di Britain muncul mempersoalkan perang di Iraq.

Perdebatan ini berlaku semasa AS belum masuk Iraq hingga ke hari ini. Walaupun Bush dan Blair terus memenangi pilihan raya tetapi boleh dikatakan majoriti rakyat AS menolak peperangan itu. Setiap tahun, mereka yang menentangnya bertambah dan itulah yang berlaku pada hari ini.

Bush memberi hujahnya tetapi dibalas balik oleh para intelektual awam di AS. Bagaimanapun, jika diteliti perbahasan yang berlaku, melalui pelbagai media dapat dirumuskan bahawa Britain lebih banyak mengalaminya, lebih-lebih lagi ia mempunyai penduduk yang jauh lebih kecil.

Malah media utama Britain yang pernah menyokong Blair iaitu The Economist dan The Guardian menegaskan bahawa Blair wajar berundur kerana peperangan ini.

Bahasa Inggeris yang digunakan oleh kedua-dua pihak memudahkan pertukaran hujah dan jika kedua-dua pemimpin itu bekerjasama, maka begitu jugalah dengan penentang-penentangnya dari kalangan intelektual awam.

Tetapi secara keseluruhan media yang menyiarkan hujah-hujah bagi menentang perang itu lebih terserlah di Britain.

Perlu diingat juga bahawa Bush datang daripada parti konservatif iaitu Republikan sementara Blair merupakan wakil parti kiri iaitu Parti Buruh. Umumnya, anggota Parti Buruh menentang perang dan mereka mempunyai para intelek yang cekap memainkan hujah.

Justeru, tekanan yang diterima oleh Blair lebih kuat daripada Bush. Tetapi hubungan AS-Britain tidak semudah perkiraan demokratik. Andai kata tinjauan umum menyatakan bahawa kedua-dua pemimpin itu harus berundur tidaklah semudah untuk mematuhinya.

Keputusan

Dalam sistem demokrasi AS dan Britain, pemimpinnya tidak menentukan segala-galanya. banyak pertimbangan lain yang melibatkan pelbagai kepentingan sama ada terdedah atau tersembunyi. Ia berangkai hingga akhirnya tidak dapat dipastikan siapa yang membuat keputusan.

Justeru, walaupun majoriti rakyat AS dan Britain mahukan tentera mereka berundur, tetapi keputusan berbuat demikian tidak boleh dibuat sekelip mata oleh Bush atau Blair. London harus melihat pertimbangan Washington. Sementara washington mempunyai rangkaian yang perlu diambil kira, dari New York, Los Angeles hinggalah ke Baitulmaqdis.

Kalau Ayatullah Khomeini dapat menghentikan perang Iran-Iraq dengan membuat keputusannya secara berseorangan walaupun akibat desakan, Bush dan Blair tidak dapat berbuat demikian.

Demokrasi di AS dan Britain menjadikan negara itu tidak diketahui siapa yang mempengaruhi sesuatu keputusan akhir.

Banyak kajian dibuat tentang sistem politik AS dan Britain yang memaparkan kuasa-kuasa di belakang Bush dan Blair.Tetapi perbahasan daripada kalangan intelektual awam mempunyai peranan besar mempengaruhi keputusan.

Bush berada di penggal akhir dan pengganti Blair juga sudah bersedia. Akhirnya Bush dan Blair akan berundur juga dalam tempoh yang kelihatan jelas. Keadaan ini membuka ruang perubahan.

Kesemua parti utama AS dan Britain iaitu Republikan, Demokratik, Konservatif dan Buruh mempunyai intelektual awam yang aktif menulis dan berbahas.

Pengunduran AS dari Vietnam dahulu dan Britain dari empayarnya atas pelbagai sebab juga disumbangkan oleh perdebatan intelektual awam ini.

Kebenaran hujah politik yang berasaskan idealisme ideologi masing-masing bertembung dengan kepentingan kuasa yang berasaskan pada harta dan kuasa.

Keadaan ini akan berterusan dari zaman ke zaman tetapi hujah wajar dikemukakan dan media menjadi medan perbahasan. Tekanan yang diterima oleh Bush dan Blair akan akhirnya mengundurkan tentera-tentera mereka dari Iraq.

Read more!

Perkasa bahasa galak kreativiti

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 23 Mac 2006


Teringat tahun-tahun tujuh puluhan dahulu apabila bas utama di Kuala Lumpur bernama Sri Jaya. Bukan itu saja, perkataan Sri Jaya itu juga ditulis dalam jawi di dinding-dinding bas itu.

Kemudian syarikat bas itu bertukar nama menjadi SJ Kenderaan. Setelah memasuki tahun 90-an, rombakan berlaku, syarikat bas utama Kuala Lumpur dinamakan Intrakota. Gabungan dua perkataan Melayu dan Inggeris. Tetapi "intra" yang bermaksud rangkaian dalaman boleh dianggap sebagai telah diadaptasi ke dalam bahasa Melayu.

Rombakan terbaru berlaku dan syarikat bas itu kini bernama RapidKL, langsung hilang perkataan Melayu.

Apabila diwujudkan laluan transit aliran ringan (LRT), maka nama yang digunakan ialah Star LRT, Putraline dan Monorail. Mengapa Star? Kini Star LRT dan Putraline menjadi sebahagian daripada RapidKL.

Dalam Star LRT dipaparkan puisi-puisi klasik Inggeris. Mengapa tidak puisi bahasa Malaysia?

Mengapa jadi begitu? Di Kuala Lumpur, apabila seseorang menggunakan lebuh raya MRR2 dari Ampang ke Batu Caves, akan kelihatan nama tempat seperti Beverly Hills dan Greenwood. Nama Batu Caves diwujudkan semasa penjajah lagi tetapi Beverly Hills dan Greenwood diwujudkan selepas negara mencapai kemerdekaan.

Adakah rakyat Malaysia mempunyai perasaan kompleks rendah diri hingga melihat keindahan daripada perkataan bahasa Inggeris?

Sementara melalui jalan Sentul ke Kuala Lumpur pada waktu pagi akan kelihatan papan tanda menyatakan berlakunya amalan lalu lintas yang dinamakan tidal flow.

Mengapa tidak dicari istilah Melayu untuk tidal flow. Walaupun ia istilah baru, tidak patutlah ia tidak diterjemahkan atau dicari perkataan Melayu. Kalau tidak mampu menciptanya, apa salahnya minta bantuan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Usaha memperkasakan bahasa Melayu yang melibatkan penggunaan istilah Melayu dan adaptasinya sememangnya memerlukan usaha keras. Seseorang perlu rajin dan memerah otak serta meningkatkan kreativiti untuk mencari istilah baru.

Jika tidak ada perkataan Melayu, bolehlah cari perkataan bahasa suku kaum rumpun Melayu, bahasa Sanskrit dan bahasa Arab yang dirasakan hampir dengan citra Melayu. Jika tidak ada barulah ambil dari bahasa Inggeris tetapi diadaptasikan supaya dapat dirasakan Melayunya.

Kita tahu money changer ialah pengurup wang. Pengurup adalah istilah yang berasal dari bahasa suku kaum Banjar. Perkataan Sanskrit memang rapat dengan Melayu. Damansara yang begitu indah disebut berasal dari bahasa Sanskrit. Begitu juga dengan Titiwangsa dan Melawati. Seroja, yang asalnya Saroja juga bahasa Sanskrit. Pustaka juga berasal dari bahasa Sanskrit yang bermakna kebukuan.

Bagaimanakah caranya untuk memperkasa bahasa?

Hanya dengan banyak menggunakan bahasa yang baik akan memperkasakannya.

Read more!

JPA, Mara patut kaji dasar biasiswa

Oleh: Muhammad Alias
Sumber: Utusan Malaysia 23 Mac 2006


Kegagalan peminjam membayar balik pinjaman biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menjadi isu negara. Kedua-dua agensi tersebut terpaksa mengambil tindakan tegas untuk mendapatkan semula wang pinjaman.

Ini termasuklah tindakan Mara menutup pintu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kepada anak-anak peminjam yang gagal membayar balik pinjaman.

Sungguhpun begitu, dalam keghairahan mengambil tindakan-tindakan tersebut, agensi-agensi kerajaan janganlah pula lupa tanggungjawab terhadap rakyat. Termasuklah kegagalan berpuluh ribu graduan mendapat pekerjaan.

Tidak dapat dinafikan kegagalan membayar balik pinjaman ini juga ada kaitan dengan pekerjaan dan gaji bulanan. Sebagai contoh seorang pelajar meminjam RM200,000. Kadar bayar balik bulanan lebih daripada RM500. Jangka masa bayar balik pinjaman hampir-hampir 30 tahun.

Sering kali setelah menolak bayaran balik pinjaman pelajaran, pinjaman kereta, sewa rumah, belanja sekolah anak-anak dan lain-lain, mungkin tidak ada yang tinggal.

Memang benar masalah berbangkit ekoran daripada bayaran balik pinjaman ini bukan masalah pihak yang memberi pinjaman. Tetapi, dibimbangi masalah kewangan peminjam boleh menggalakkan budaya rasuah.

Mungkin JPA dan Mara dapat mencari jalan menyelesaikan masalah ini dengan saksama. Umpamanya memberi diskaun kepada semua peminjam. Sementara tempoh bayaran balik dipendekkan antara 36-72 bulan (bergantung kepada jumlah pinjaman).

Menjangkau

Dari segi ekonomi, cara ini adalah lebih menguntungkan dibandingkan dengan peraturan sekarang yang jangka masa bayaran balik menjangkau hampir-hampir 30 tahun. Paling penting ia dapat mengurangkan beban peminjam dan untuk mengelak daripada ketidakmampuan peminjam membayar balik.

Pelajaran merupakan isu paling emosional di kalangan orang Melayu. Tambahan pula ia salah satu komponen penting bagi memastikan kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Perlu disedari bahawa ramai pelajar terpaksa meminjam kerana kemiskinan ibu bapa. Mereka juga terpaksa meminjam kerana jumlah biasiswa kerajaan semakin berkurangan.

Di samping itu, timbul pula rungutan tentang anak-anak orang berada dan berkedudukan tinggi yang juga diberi biasiswa. Tujuan asal biasiswa adalah untuk membantu anak-anak orang miskin.

Sebagaimana dimaklumi pengangguran dan tidak mendapat gaji yang setimpal merupakan antara faktor graduan gagal membayar balik pinjaman. Pihak-pihak berwajib juga harus melihat beberapa aspek khususnya kekurangan pekerjaan di sektor awam, kegagalan graduan-graduan Melayu berkhidmat di sektor swasta, dasar-dasar serta kurikulum universiti tempatan.

Malang sekali hingga ada syarikat-syarikat bumiputera yang tidak berminat memberi pekerjaan kepada graduan-graduan Melayu kononnya atas soal untung rugi dan kelemahan bahasa Inggeris.

Selain daripada itu, JPA, Mara dan agensi lain sepatutnya mengkaji semula beberapa dasar biasiswanya bertujuan menjimatkan belanja. Khususnya penghantaran pelajar-pelajar ke universiti-universiti luar negara yang mahal yurannya termasuk yang dikenali sebagai 10 universiti terbaik.

Di Amerika Syarikat (AS) bukan universiti yang menjadi faktor utama tetapi sekolah atau fakulti.

Ekoran daripada dasar ke universiti terbaik ini, jumlah pelajar yang sepatutnya mendapat biasiswa dikurangkan.

Begitu juga dengan perbelanjaan-perbelanjaan lain yang dikira membazir. Ini termasuklah mendiami bangunan-bangunan yang berasingan dengan bangunan kedutaan. Sepatutnya semua agensi kerajaan di luar negara tinggal di bawah satu bumbung dengan pihak kedutaan.

Begitu juga dengan peraturan-peraturan dan aktiviti-aktiviti yang melibatkan para pelajar di luar negara yang antaranya dikira telah ketinggalan zaman.

Akhir sekali bagaimana pula dengan tindakan-tindakan Mara terhadap peminjam-peminjam lain selain daripada pinjaman pelajaran.

Sebagai anak kampung, saya berpendapat memberi biasiswa dan pinjaman kepada anak-anak orang kampung dan miskin merupakan satu amanah yang perlu diteruskan.

Read more!

Penjenamaan semula DAP

Oleh; Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 21 Mac 2006


Ahad lalu, DAP menyambut hari ulang tahun ke-40 dengan kongres tahunannya meluluskan cadangan pindaan kepada perlembagaannya yang berbentuk suatu penjenamaan semula parti itu.

Tiga perkara utama dalam cadangan pindaan yang melibatkan 18 perkara itu mengaitkan juga soal bahasa dan ideologi.

Mengenai bahasa, secara jelas buat pertama kali DAP menerima bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dengan jaminan bahawa bahasa-bahasa ibunda lain diberi hak untuk digalakkan dan dikembangkan.

Sedangkan selama ini DAP yang sebelum 40 tahun dahulu adalah cawangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura, memperjuangkan empat bahasa kebangsaan iaitu Inggeris, Melayu, Mandarin dan Tamil.

Pindaan itu juga mahu menggantikan ideologi sosialisme demokratik di dalam perlembagaannya kepada demokrasi sosial dengan penekanan terhadap ekonomi pasaran sosial.

Satu lagi perkara yang berkaitan dengan ideologi ialah slogan yang diwariskan daripada PAP iaitu Malaysian Malaysia (Malaysia untuk semua rakyat Malaysia) ditukarkan kepada Malaysian First (Utamakan warga Malaysia).

Dari segi makna, slogan itu mungkin tidak ada beza tetapi ia sekurang-kurangnya melepaskan dirinya daripada beban sejarah yang berkaitan dengan Malaysian Malaysia, sebuah gagasan PAP semasa Singapura dalam Malaysia dengan membawa erti bertentangan dengan fahaman Perikatan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang merupakan arkitek proses penjenamaan semula ini dalam ucapan dasarnya menyebut tentang perlunya penyertaan besar orang Melayu dalam partinya.

Terdapat tanda-tanda pada pihaknya yang mahu mengubah DAP sebagai parti Cina kepada parti pelbagai kaum, dan dalam konteks Malaysia, pastinya majoriti adalah orang Melayu.

Justeru Malaysian First boleh ditafsirkan sebagai mengutamakan kepentingan rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu yang menjadi majoriti.

Dengan melepaskan diri daripada kaitan kaum, DAP mahu penekanan terhadap ideologi parti.

Hakikatnya, istilah sosialisme demokrasi dan demokrasi sosial tidak berbeza tetapi lebih kepada penjenamaan semula kerana selepas era Perang Dingin, perkataan sosialisme sudah tidak begitu popular dan digugurkan oleh banyak parti kiri di seluruh dunia. Ini turut dilakukan di Malaysia oleh Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang kini bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tetapi Guan Eng menegaskan bahawa partinya mahu mencontohi parti-parti tengah-kiri sederhana di negara-negara Eropah yang berjaya memenangi pilihan raya di sana.

Dengan penjenamaan semula ini, DAP sebenarnya menjadi saingan kepada PKR dan bukannya kepada UMNO atau Barisan Nasional (BN), apatah lagi MCA.

Read more!

Sains, teknologi jadi jati diri baru

Oleh: Zin Mahmud (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 15 Mac 2006


Apakah jati diri orang Melayu? Allahyarham Datuk Onn Jaafar ketika membuat takrif orang Melayu sebagai usaha menyatukan bangsa ini menyatakan tiga ciri ini iaitu: Beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Jadi apa saja suku kaum dan keturunan, jika seseorang itu beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu, maka dia boleh diiktiraf sebagai orang Melayu, walaupun tidak ada setitik darah keturunan bangsa ini.

Maka anak-anak angkat yang dipelihara oleh orang Melayu walaupun keturunannya Cina, India atau Inggeris dan tidak ada setitik darah Melayu tetap dianggap orang Melayu kerana mempunyai tiga ciri ini.

Jati diri Melayu ini mampu mempertahankan integriti bangsa dan takrif ini dimasukkan ke dalam perlembagaan negara.

Sebab itu mempertahankan bahasa Melayu adalah penting bagi bangsa. Kerana tanpanya akan kehilangan satu jati diri bangsa. Jadi selain daripada slogan Hidup Melayu, dan Takkan Hilang Melayu di Dunia, kita juga miliki Bahasa Jiwa Bangsa.

Kepentingan agama Islam bagi orang Melayu mudah difahami. Tetapi kekuatan bahasa Melayu sudah mula tercabar kerana ada anggapan bahawa bukan saja Melayu boleh terus hidup tanpa bahasanya tetapi perlu pula menguasai bahasa Inggeris untuk berjaya.

Hakikatnya tanpa bahasa Melayu, sudah hilang jiwa bangsa. Begitu juga dengan kepentingan adat istiadat Melayu dipertahankan. Adat istiadat Melayu terserlah ketika melakukan upacara adat semasa melahirkan dan membesarkan anak, berkhatan, perkahwinan dan kematian. Paling terserlah ialah majlis-majlis perkahwinan yang menyaksikan adat Melayu secara jelas. Selain itu pertabalan raja-raja Melayu juga berkait dengan adat Melayu. Begitu juga dengan amalan adat semasa menyambut perayaan agama, baik semasa Hari Raya Aidilfitri mahupun sambutan-sambutan seperti Awal Muharam dan Maulidur Rasul.

Termasuk adat istiadat adalah amalan hidup dari segi pemakanan, pakaian, hiasan rumah dan seni kraf. Sebab itu kraf tangan Melayu amat penting bagi jati diri bangsa.

Sememangnya ketiga-tiga jati diri bangsa ini akan mempertahankan jiwa dan identiti bangsa. Ia juga terserlah dalam pembentukan negara Persekutuan Malaysia. Ini kerana agama rasmi negara ialah Islam, bahasa Malaysia adalah bahasa Melayu dan budaya Melayu menjadi teras budaya kebangsaan.

Tetapi kini orang Melayu menghadapi cabaran besar dalam persaingannya dalam dunia berarus sejagat. Ancaman besar adalah juga seperti dahulu iaitu penjajahan. Kalau dahulu, Melayu kalah kerana gagal menguasai sains dan teknologi, maka begitu juga pada masa depan.

Justeru, pemikiran sains dan amalan teknologi wajar menjadi dua jati diri baru untuk Melayu bagi meneruskan hidup. Inilah juga semangat rancangan perindustrian negara yang menjadi penggerak bagi mencapai Wawasan 2020.

Read more!

Insinerator: Jangan bantah lagi

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 12 Mac 2006


SEPULUH tahun lalu bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyuarakan idea mengenai pembinaan insinerator iaitu sistem pelupusan sampah yang mesra alam sekitar. Tetapi malangnya hingga kini projek insinerator itu masih belum menjadi kenyataan akibat bantahan demi bantahan.

Malah projek pembinaan insinerator di Broga, Semenyih beberapa tahun lalu juga masih belum menjadi kenyataan. Masalahnya sama; orang ramai membantah dan badan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan memperjuangkan suara rakyat.

Barangkali juga kerana memberikan ruang demokrasi yang terlalu luas, semua projek untuk kesejahteraan rakyat seperti insinerator ini menjadi tergendala. Projek insinerator di Broga meliputi kawasan seluas 265 hektar dan menelan belanja RM1.5 bilion.

Masalah pencemaran alam sekitar (air dan udara) tidak pernah selesai. Baru-baru ini tujuh daerah di Wilayah Persekutuan dan Selangor menghadapi masalah air busuk. Lapan daerah itu ialah Gombak, Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Shah Alam, Klang, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

Air di daerah-daerah ini bukan saja busuk malah tidak selamat digunakan kerana mengandungi paras ammonia yang tinggi. Pelbagai pihak dipersalahkan. Misalnya Syarikat Bekalan Air Selangor telah dilonggokkan kesalahan dan kelemahan apabila kualiti air menjadi demikian rupa.

Masalah air busuk daripada sumber air Sungai Selangor dikatakan berpunca dari kawasan pelupusan sampah Bukit Tagar dan kawasan pelupusan sampah terbuka di Kundang. Nah, sekarang punca air busuk disebabkan oleh sistem pelupusan sampah konvensional yang tidak dapat menampung pungutan sampah terlalu banyak.

Rakyat negara ini dianggarkan membuang sebanyak 16,000 tan sampah setiap hari atau 800 gram seorang. Jumlah ini tidak dapat ditampung oleh sistem pelupusan sampah konvensional. Satu projek insinerator yang dicadangkan itu mempunyai keupayaan melupuskan 1,500 tan sampah sehari.

Sekiranya program kitar semula berjaya, tentu kita tidak memerlukan insinerator. Tetapi malangnya kempen yang dilancarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu hanya mencatatkan kadar tiga peratus sampah yang dikitar semula. Kerajaan membelanjakan lebih kurang RM40 juta mulai 2001 hingga 2003 untuk program kitar semula.

Difahamkan lima tahun lalu terdapat 230 kawasan pelupusan sampah di negara ini. Bagaimanapun kini hanya tinggal 170 kawasan saja dan 112 daripadanya di Semenanjung. Tetapi 80 peratus daripada jumlah ini dijangka akan ditutup dalam masa tiga tahun lagi kerana sudah penuh.

Jadi apabila tercetus masalah air busuk seperti yang dialami oleh lapan daerah itu, menyalahkan Syabas misalnya bukanlah menyelesaikan masalah. Semua masalah ini berpunca daripada kawasan pelupusan sampah yang menghasilkan mendapan mengandungi ammonia.

Kerana itu sama ada kita mahu atau sebaliknya, pembinaan sistem pelupusan sampah insinerator adalah keperluan bagi menyelesaikan masalah yang meruncing ini. Sudah sampai masanya negara ini mempunyai sistem insinerator seperti yang dipraktikkan oleh banyak negara maju.

Kita sudah tidak ada pilihan. Menangguhkan sepuluh tahun lagi untuk membina insinerator bukan saja melibatkan kos yang berganda tingginya. Masalah yang lebih besar ialah isu air busuk dan membahayakan nyawa manusia akan berulang pada masa akan datang.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pernah menyuarakan kekecewaan mengenai kontroversi projek insinerator di Broga sambil menegaskan, "Saya nak jelaskan, walau apa pun Malaysia perlukan insinerator kerana masalah sampah yang semakin kritikal.''

Mohamad Khir tentunya realistik dengan masalah "penghasilan'' sampah dan sistem pelupusan yang daif ketika ini. Malah kita semua seharusnya realistik bahawa tanpa sistem pelupusan moden, masalah sisa toksik dalam air tidak dapat diatasi.

Kaedah pelupusan konvensional bukan saja tidak mampu malah memberikan kesan yang besar terhadap alam sekitar. Salah satunya masalah air busuk dan mengandungi ammonia seperti yang berlaku baru-baru ini.

Di Denmark misalnya sistem pelupusan sampah menggunakan insinerator membuktikan dapat mengurangkan kesan ke atas alam sekitar. Buktinya ada insinerator di Denmark dibina kurang satu kilometer dari kawasan perumahan.

Kalau Denmark boleh dijadikan sebagai satu testimoni mengenai insinerator, tidak ada alasan lagi untuk kita membantah projek yang sama di negara ini. Tanpa sistem pelupusan yang canggih dan penambahan jumlah pungutan sampah, kita semua semacam sengaja mendedahkan diri kepada bahaya dalam jangka panjang.

Di Jepun misalnya kawasan insinerator diperindahkan seumpama taman rekreasi yang tidak mencacatkan pemandangan. Manusia terpaksa menghasilkan sampah. Sewajarnya manusia juga mampu mengendalikan bahan buangan itu supaya tidak membahayakan diri sendiri.

Kerajaan tidak boleh terlalu demokratik apabila tiba kepada perkara-perkara untuk kepentingan umum. Asalkan projek untuk kebaikan manusia, biarlah kelihatan sedikit autokratik asalkan memberikan kesan yang baik. Difahamkan insinerator akan mengurangkan isi padu sampah hingga 90 peratus.

Kalau semua orang tidak mahu projek insinerator dibina berdekatan kawasan mereka, apakah kesudahannya? Kejayaan menghalang projek insinerator sebenarnya memberikan implikasi yang lebih buruk. Buktinya air Sungai Selangor tercemar akibat mendapan ammonia.

Biarlah sepuluh tahun terbuang begitu saja kerana melayan bantahan demi bantahan. Hari ini apabila sumber air menerima kesan daripada pelupusan sampah yang tidak sistematik, projek insinerator mesti diteruskan.

Read more!

Makna penutupan Abu Gharib

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 12 Mac 2006


AMERIKA Syarikat (AS) mengumumkan penutupan penjara Abu Gharib, terletak di barat Baghdad yang terkenal sebagai tempat di mana tenteranya mendera tahanan Iraq.

Pada satu masa Abu Gharib menjadi simbol kediktatoran Saddam Hussain kerana di situlah tempatnya presiden Iraq itu menyeksa dan membunuh penentang-penentangnya.

Tetapi ketakutan itu berbentuk nasional dan apa yang berlaku tidak banyak diketahui oleh dunia.

Bagaimanapun pendudukan AS ke atas Iraq dan skandal penderaan tenteranya ke atas tahanan itu menggegarkan dunia dan ia menjadi terkenal dan menyentak hati budi manusia seluruh dunia.

Ini kerana ia dilakukan oleh tentera AS sedangkan kalau apa yang dibuat oleh pihak Saddam adalah seolah-olah dapat difahami. Ini kerana Saddam adalah seorang diktator zalim sementara AS merupakan negara demokratik yang bertindak sebagai polis dunia.

Kini Abu Gharib menjadi simbol kezaliman AS dan bukannya Saddam.

Tetapi adakah adil menyamakan AS dengan Iraq pada zaman Saddam? Begitu juga adakah adil menyamakan George W. Bush dengan Saddam? Tentunya tidak.

AS adalah sebuah negara bebas, demokratik dan bertamadun. Iraq pada zaman Saddam pula adalah negara terkongkong, autokratik dan pelik.

Bush pula dipilih secara demokratik dalam sistem politik yang mengamalkan perdebatan umum. Saddam memimpin melalui kekuatan senjata yang lahir daripada sistem politik penuh ketakutan.

Simbol

Maka kelihatan bercanggah di antara satu sama lain, malah bermusuhan dan akhirnya bertemu dalam peperangan.

Tetapi lihatlah Abu Gharib. Apabila tentera AS masuk ke Baghdad, mereka tidak menutup atau meruntuhkan simbol kezaliman Saddam itu, tetapi sebaliknya meneruskannya untuk dijadikan penjara bagi mereka yang menentang AS, dan akhirnya apabila skandal penderaan itu berlaku, ia menjadi kesinambungan kepada kezaliman Saddam.

AS dan Iraq pada zaman Saddam mempunyai hubungan. Bush dan Saddam juga mempunyai kaitan.

Sememangnya Saddam berbahaya kepada jiran-jirannya. Sebab itu dia pernah terlibat dalam peperangan dengan Iran dan Kuwait. Tetapi apa kurangnya AS. Dalam zaman George W. Bush saja, negara itu sudah terlibat dengan dua peperangan, iaitu di Afghanistan dan Iraq. Banyak orang awam yang tidak bersalah mati begitu saja.

Kedua-dua AS dan Iraq adalah republik. Mereka menolak raja. George Washington yang memimpin perang kemerdekaan AS pada tahun 1776 menentang raja Inggeris yang ketika itu kuasa besar. Tetapi Saddam bersama dengan anggota Baathis dalam tentera di bawah pimpinan Presiden Abdul Karim Kassim telah menggulingkan Al-Malik Faisal II, raja Iraq ketika itu pada tahun 1958.

Raja Iraq dari keluarga Hashim yang pernah mentadbir Mekah pada zaman Khalifah Uthmaniah mendapat kedudukan itu selepas pemberontakan Arab yang didukung oleh T. E. Lawrence, pegawai penjajah British.

Kedua-dua AS dan Iraq di bawah Saddam adalah republik sekular. Walaupun Saddam berada dalam kem Kesatuan Soviet pada Perang Dingin tetapi selepas revolusi Islam Iran pada tahun 1979, AS dan kuasa-kuasa Eropah membantu Iraq dalam peperangannya menentang Iran.

Semua senjata Saddam dibeli dari negara-negara Barat atas restu AS. Kezaliman yang dilakukan oleh Saddam bukan saja di Abu Gharib tetapi juga menggunakan bom kimia di Halabja, yang mana kes ini sedang dibicarakan ke atas Saddam adalah kesemuanya datang daripada senjata bekalan dari barat.

Dari manakah Saddam memperoleh wang untuk membeli pelbagai senjata itu? Tentunya dari hasil jualan minyak yang dibekalkan ke AS dan Eropah.

Peperangan AS ke atas Iraq adalah sebahagian daripada agenda neokonservatif yang mahu mewujudkan demokrasi di negara itu. Demokrasi di Iraq dalam erti kata yang luas meliputi kedudukannya sebagai sebuah negara yang menjadi sekutu kuat kepada AS dan menjadi sahabat Israel.

Antara perkara pertama yang dicadangkan apabila Saddam tumbang ialah untuk mereka bentuk bendera baru Iraq menggantikan bendera negara itu pada zaman Saddam.

Seorang pereka bentuk Iraq, Rifat al-Chadirchi yang bermastautin di Britain mencadangkan supaya bendera baru negaranya adalah berwarna putih dengan bulan sabit biru dan dua jalur biru di bawah mengapit satu jalur kuning.

Bulan sabit menandakan Islam dan dua jalur biru di bawah melambangkan Sungai Furat (Tigris) dan Sungai Dajlah (Euphrates) dengan jalur kuning bagi mewakili etnik Kurdis.

Bendera ini diterima oleh Majlis Pemerintah Iraq (IGC) pada tahun 2004 yang anggotanya dilantik oleh AS. Reka bentuk bendera baru ini dibakar oleh pejuang Iraq dan ia ditolak oleh rakyat yang menyifatkannya seperti bendera Israel.

Maka kerajaan Iraq membuat keputusan untuk mengekalkan bendera Iraq zaman Saddam tetapi hanya mengubah khat kalimah takbir yang diapit oleh tiga bintang hijau.

Kalimah takbir di bendera Iraq itu diperkenalkan oleh Saddam ketika peperangannya menceroboh Kuwait. Khat yang digunakan di atas bendera itu ialah tulisan tangan Saddam. Maka perubahan yang dilakukan oleh rejim baru Iraq ialah dengan mengubah khat itu kepada jenis Kufi, yang secara tradisi berasal dari sebuah bandar di Iraq iaitu Kufa.

Pengekalan dan pengenalan kalimah takbir di atas bendera Iraq itu menunjukkan tiga perkara.

Pertama hubungan kuat sentimen agama di negara itu.

Kedua, penolakan rakyat negara itu terhadap Israel, dan ketiga, rejim baru Iraq akan mengubah suai matlamat mereka menurut tuntutan rakyat Iraq semasa.

Mungkin pada mulanya, aspirasi neokonservatif terhadap Iraq adalah untuk mewujudkan sebuah negara demokratik, pro-AS dan mesra Israel telah terpaksa menerima penyesuaian baru.

AS dan kerajaan baru Iraq sedang menghadapi tentangan keras daripada pemberontak, penentang dan antaranya pengganas yang ada kaitan dengan Al-Qaeda. Tiga fahaman elemen yang mereka perjuangkan iaitu nasionalisme, fundamentalisme Islam, mazhab Sunni dengan unsur Wahabbi.

Justeru, apa yang AS perlu lakukan ialah meningkatkan elemen-elemen ini dalam kerajaan baru Iraq. Baghdad mesti memiliki kedaulatan, kemerdekaan dan Islam Sunni.

Implikasi daripada skandal penjara abu Gharib ialah bukan saja tentera negara demokratik seperti AS berupaya melakukan penderaan seperti tentera diktator tetapi juga ia memaparkan bagaimana penghinaan telah dilakukan terhadap umat Islam.

Dalam zaman Bush ini, dua negara Islam diperangi iaitu Afghanistan dan Iraq, yang menghasilkan dua penjara berbentuk penghinaan terhadap Islam, iaitu Abu Gharib dan Guantanamo.

Tatapan

Secara berterusan, Iraq, Afghanistan, Abu Gharib dan Guantanamo akan terus menjadi simbol penghinaan terhadap umat Islam.

Maka tidak hairanlah gambar terbaru yang dilepaskan untuk tatapan dunia ialah kawasan Camp Redemption (Penebusan) dalam kompleks penjara Abu Gharib yang menunjukkan beberapa orang tahanan Iraq sedang sujud ketika melakukan solat.

Mesej ini mahu menampilkan bahawa tahanan Islam diberi layanan baik dengan dibenarkan melakukan ibadat.

Jeneral Peter Pace, pengerusi Ketua Turus Tentera AS dilaporkan memberitahu kompleks itu akan diserahkan kepada pihak pentadbiran Iraq yang kini ditadbir di bawah kerajaan baru Baghdad pilihan rakyat Iraq secara demokratik.

Keputusan untuk menutup kompleks penjara itu adalah ekoran daripada perbicaraan di Senat tetapi pelaksanaannya dijangka akan mengambil masa berbulan dengan tidak ada tarikh tepat untuknya.

Daripada laporan tentera dinyatakan bahawa langkah AS itu adalah ekoran daripada serangan daripada pemberontak Iraq yang kian meningkat ke atasnya. Akibatnya, pihak tentera terpaksa memberikan lebih perlindungan kepadanya dan ini menimbulkan tekanan kepada pasukan itu.

Laporan seumpama ini hanya menambah berita-berita sebelumnya yang menunjukkan bahawa serangan daripada pemberontak semakin bertambah dan Iraq menjadi amat kurang selamat.

Serangan terbaru ke atas masjid Syiah, masjid Askariya menunjukkan petanda bahawa Iraq sedang menuju ke kancah peperangan mazhab, suatu keadaan berbahaya kerana kerajaan yang didominasi Syiah tidak akan diterima.

Dapat dibayangkan bahawa setelah pengunduran tentera AS, berkemungkinan kerajaan demokratik ini tidak dapat bertahan dengan penyusunan semula politik negara untuk membuka ruang kepada kembalinya dominasi Sunni.

Ia juga bermakna aspirasi neokonservatif untuk Iraq tidak tercapai.

Dari segi lain, dinyatakan bahawa skandal Abu Gharib yang menunjukkan penderaan dan penghinaan seks terhadap tahanan Iraq dan menimbulkan kemarahan besar dunia Islam pada tahun 2004, dikatakan menjadi alat bagi pengganas mendapatkan pejuang baru.

Maka Abu Gharib muncul sebagai simbol penentangan orang Islam terhadap AS.

Seorang bekas menteri luar dan anggota parlimen baru Iraq, Adnan Pachachi mencadangkan supaya ia dijadikan sekolah atau hospital. Baginya, Abu Gharib melambangkan semua perkara yang salah pada zaman Saddam dan kemudian ia menjadi simbol kepada semua benda yang salah pada zaman pendudukan.

Ini menunjukkan Abu Gharib merupakan simbol hubungan antara kejahatan Iraq dan AS.

Dalam keadaan ini, apa yang diperlukan oleh Iraq adalah satu aliran dan kekuatan baru yang berkecuali serta bebas daripada kepentingan neokonservatif AS, kelompok dan gerakan pemberontak ganas.

Membantu

Umat Islam dan sahabat-sahabat progresif yang mengambil berat tentang Iraq wajar menyusun tenaga membantu rakyat dan negara Iraq untuk keluar daripada cengkaman AS dan anasir-anasir berkepentingan kelompok.

Dipercayai masalah-masalah Iraq banyak dikaji oleh AS dan negara-negara barat yang lain, tetapi kurang dilakukan oleh dunia Islam sendiri.

Iraq bukan saja amat penting bagi umat Islam tetapi dunia juga. Perhatian dan fikiran harus diberikan padanya. Ingatlah betapa tamadun Sumeria, Babylon dan Mesopotamia memberi sumbangan besar pada manusia. Peninggalan arkeologi dan artifak banyak dimusnahkan oleh tentera AS yang mengebom di sana sini di negara malang itu.

Ingatlah Baghdad pernah menjadi kota gemilang umat Islam pada zaman Khalifah Abasiah. Selain itu, di situlah tempat-tempat suci Syiah yang dikaitkan dengan Saidina Ali r.a. dan ahlul bait.

Khazanah sejarah bumi Iraq jauh lebih berharga daripada minyak yang menjadi rebutan AS.

Perhatian kepada soal-soal ini menuntut wujudnya institusi dan agensi-agensi pemikir yang benar-benar berdedikasi untuk membentuk negara baru Iraq yang merdeka, berdaulat dan mencerminkan sebagai sebuah negara pewaris tamadun gemilang silam.

Malah di kalangan cendekiawan Malaysia, mereka juga wajar menunjukkan minat terhadap Iraq supaya dokumentasi dan kajian terhadapnya dapat dilakukan oleh anak-anak negara ini.

Mengapa pula intelektual AS saja yang membuat kajian dan penyelidikan mengenai Iraq hinggakan golongan neokonservatifnya menjadikannya medan politik mereka.

Negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) lebih berhak untuk mengkaji tentang Iraq dan selanjutnya memperakukan jalan-jalan penyelesaian kepada masalah di sana dengan benar-benar menurut kepentingan rakyatnya dan tamadun sejagat.

Read more!

Umat Islam berjaya di AS

Oleh: Datuk Muhammad Alias (bekas diplomat Malaysia dan bekas wartawan Utusan Melayu)
Sumber: Utusan Malaysia 9 Mac 2006


Awal tahun 1970-an dua orang belia Islam dari Thailand tiba di Amerika Syarikat (AS) dengan tujuan berasingan. Manat dari Bangkok datang untuk melanjutkan pelajaran, sementara Surachai dari Yala untuk berniaga. Kini, lebih dari 30 tahun kemudian, kedua-duanya masih berada di California. Bekerja, berkahwin dan mempunyai beberapa orang cucu.

Kedua-duanya berjaya dalam bidang masing-masing. Jelas sekali, kehidupan mereka adalah tersangat baik dibandingkan dengan saudara mara di negara asal.

Dua orang belia dari Thailand ini merupakan sebahagian daripada sejarah yang dilalui oleh berjuta-juta orang Islam yang meninggalkan negara asal untuk merantau ke AS. Sejak awal tahun 1960-an lagi, beratus-ratus orang pelajar Islam dari seluruh dunia khususnya India, Pakistan dan Asia Barat belajar di beberapa buah universiti di AS. Penumpuan lokasi universiti ketika itu ialah di California dan Michigan.

Lantaran itu Muslim Students Association (MSA) pertama ditubuhkan di Michigan tahun 1963, kemudian diikuti di California.

Ramai kalangan pelajar ini terus menetap di sini. Lantaran itu hingga ke hari ini penduduk Islam paling ramai mendiami California Selatan dan Michigan.

Islamic Center of Southern California (ICSC) ditubuhkan awal tahun 1960-an. Menurut ceritanya ketika ICSC ditubuhkan hanya kira-kira lapan orang terdiri daripada pelajar dan pekerja yang sering berjemaah sembahyang Maghrib dan Isyak. ICSC mula beroperasi di lokasi sekarang iaitu di South Vermont Avenue, Los Angeles awal tahun 1970-an.

Menariknya, pengasas imigran Islam ini mengutip derma untuk membeli tanah serta membangunkan masjid, surau dan pusat-pusat Islam. Sebagai sebuah negara yang memegang teguh kepada prinsip pemisahan antara gereja dan negeri, maka kerajaan tidak memberi bantuan kepada mana-mana agama di AS.

Lantaran itu setiap agama terpaksa mencari wang sendiri untuk membina tempat-tempat beribadat dan aktiviti-aktiviti keagamaan.

Ketika ini di California Selatan sahaja terdapat lebih daripada 100 buah masjid, surau dan pusat Islam. Di bandar raya Los Angeles sendiri terdapat tiga buah masjid besar yang boleh memuatkan ribuan jemaah.

Malahan di Anaheim yang terkenal dengan Disneyland terdapat pusat Islam yang besar. Ia merupakan tempat sembahyang dan lain-lain aktiviti keagamaan.

Begitu juga di Michigan, Washington D.C, New York dan lain-lain bandar besar dan kecil. Dianggarkan kira-kira 8,000 masjid, surau dan pusat Islam wujud di seluruh AS.

Penghijrahan beramai-ramai orang Islam ke AS adalah ekoran undang-undang Imigresen tahun 1964 yang berkuat kuasa mulai tahun 1968. Undang-undang tersebut buat pertama kalinya membatalkan sistem lama yang hanya memberi kemudahan imigrasi kepada penduduk-penduduk berasal dari negara-negara Eropah. Dalam lain perkataan undang-undang baru membuka pintu kepada imigran dari pelbagai pelosok dunia berhijrah ke AS.

Lantaran itu, orang Islam dari benua kecil India, Myanmar, Iran, Turki, Mesir dan Asia Barat mengambil peluang berhijrah ke AS. Antaranya termasuklah kumpulan profesional, pensyarah universiti, pakar undang-undang Islam dan guru-guru agama. Malahan ada antaranya yang datang atas sebab-sebab politik. Sementara para pelajar yang menamatkan pelajaran mengambil peluang untuk terus menetap.

Dasar

Tahun 1960-an juga kumpulan Black Muslims (masyarakat berkulit hitam AS) mula menonjolkan diri. Mereka menentang perang Vietnam atas dasar bertentangan dengan Islam. Muhammad Ali, peninju terkenal enggan berkhidmat di Vietnam sebaliknya sanggup dipenjarakan.

Kini Black Muslims berpecah dua. Satu diketuai oleh Louis Farrakhan dan satu lagi di bawah W.D. Muhammad. Kumpulan W.D. Muhammad dikenali sebagai Islam konservatif. Meskipun begitu, kedua-duanya mempunyai matlamat perjuangan yang sama.

Dewasa ini penduduk Islam di AS dianggarkan antara tujuh hingga lapan juta.

Penghijrahan imigran Islam ke AS semakin bertambah ekoran daripada persengketaan dunia. Penyatuan Vietnam di bawah rejim komunis pada pertengahan tahun 1970-an berkesudahan dengan penghijrahan ribuan orang Melayu Cham dari Vietnam.

Begitu juga dengan kemelut di Somalia, Palestin, Iraq, Iran, Lebanon, Bosnia, negara-negara Asia Tengah dan Afghanistan. Dewasa ini orang Islam mendiami setiap negeri di AS.

Sesuatu yang menarik, umat Islam AS mampu membina rumah-rumah ibadat sendiri tanpa bantuan kerajaan. Di samping bantuan daripada beberapa negara Arab, umat Islam AS juga mengutip derma sesama sendiri. Kemampuan mereka berbuat demikian kerana sebahagian besar mereka terdiri daripada golongan profesional atau peniaga.

Perpaduan di kalangan umat Islam khususnya imigran nampaknya rapat meskipun ada kalanya agak luaran sahaja. Orang Islam dari pelbagai mazhab bersembahyang bersama-sama.

Di AS tiada siapa yang bertanyakan mazhab seseorang. Agama adalah hak peribadi. Malahan apa sahaja mazhab dalam Islam terdapat di AS.

Read more!

Perkemaskan pengangkutan awam

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 5 Mac 2006


PENARIKAN balik subsidi harga minyak 30 sen seliter baru-baru ini wajar menjadi titik mula untuk mencari alternatif mengurangkan penggunaan bahan api berkenaan. Semua pihak wajar realistik bahawa harga minyak tetap akan naik. Kalaupun bukan sekarang tetapi ia tetap akan berlaku pada masa depan.

Malah wajar juga memikirkan sewaras mungkin bahawa bukan selamanya kerajaan mampu menanggung subsidi minyak. Maka apabila sampai masanya sama ada kita mahu atau tidak, untuk menggunakan minyak terpaksa juga kita membayar sekalipun harganya tinggi.

Sebenarnya yang berlaku baru-baru ini bukanlah kenaikan tetapi menarik balik 30 sen seliter subsidi yang selama ini diberikan kepada pengguna. Maka ini adalah satu isyarat supaya semua pihak membuat persiapan meminimumkan penggunaan minyak tanpa menjejaskan kehidupan seharian.

Adalah suatu yang mustahil untuk mengekalkan harga minyak misalnya pada kadar tahun ini. Maknanya perlu ada alternatif supaya kehidupan dapat diteruskan tanpa menanggung kos melampau daripada kenaikan harga minyak.

Golongan yang paling terasa sekali dengan penarikan subsidi 30 sen seliter ini ialah pengguna kenderaan persendirian, pengusaha pengangkutan awam dan pengusaha industri. Salah satu alternatif mengurangkan beban kos minyak ialah memaksimumkan penggunaan pengangkutan awam.

Mengikut statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kenderaan motosikal yang didaftarkan sebanyak 7,088,051 (427,255 sepanjang tahun 2005), kereta sebanyak 6,473,261 (537,900 tahun 2005) dan kenderaan awam sebanyak 136,500 (9,981 tahun 2005).

Kita boleh saja menganggap jumlah kereta yang begitu besar disebabkan oleh kempen dan strategi pemasaran yang sangat berjaya. Ada kereta boleh dimiliki tanpa bayaran pendahuluan.

Tetapi pada masa yang sama kita juga tidak boleh menolak sama sekali faktor orang ramai memerlukan kereta sebagai pengangkutan kerana kelemahan sistem pengangkutan awam.

Kerana itu kerajaan perlu melihat kepentingan menaik taraf sistem pengangkutan awam untuk mengurangkan aliran kenderaan persendirian terutama di bandar-bandar besar. Sepatutnya kenaikan kos minyak hari ini tidak memberikan keresahan kepada pengguna sekiranya pihak-pihak tertentu mengambil langkah segera melicinkan sistem pengangkutan awam.

Di Kuala Lumpur misalnya sistem pengangkutan awam masih belum memuaskan sekalipun terbaik berbanding bandar-bandar besar yang lain. Ini kerana pengangkutan awam belum mampu mengambil alih keperluan kenderaan persendirian sebagai pengangkutan.

Kita boleh berkempen atau menyeru kakitangan awam dan swasta misalnya menggunakan pengangkutan awam. Tetapi sebelum itu perlu dilihat apakah sistem pengangkutan awam sudah mencapai tahap memuaskan supaya kenderaan persendirian tidak perlu lagi berpusu-pusu di tengah bandar-bandar besar.

Penarikan balik subsidi 30 sen seliter itu memberikan penjimatan dalam bentuk subsidi sebanyak RM4.4 bilion. Ini adalah sumbangan dalam bentuk pemulangan subsidi pengguna-pengguna minyak di negara ini.

Untuk meringankan beban kenaikan harga minyak pada masa akan datang, sebahagian daripada RM4.4 bilion tentunya boleh digunakan untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam di seluruh negara. Maknanya kalau subsidi minyak dinaikkan tahun depan, rakyat sudah tidak mengeluh lagi kerana pengangkutan awam mengambil alih keperluan kenderaan persendirian.

Kuala Lumpur dianggap mempunyai sistem pengangkutan awam yang selesa apabila Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) membelanjakan kira-kira RM240 juta. Kos ini ialah untuk membabitkan penggunaan 138 bas yang dijangka meningkat kepada 600 buah pada September depan.

Siapa kata orang tidak berminat menggunakan pengangkutan awam kalau sistem pengangkutan itu memberikan keselesaan dan memenuhi keperluan? Di Kuala Lumpur projek bas pengantara di pusat bandar telah mencatatkan peningkatan sekali ganda pengguna menjadi setengah juta orang sehari.

Maknanya projek ini berjaya mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian sebagai pengangkutan harian. Ini juga meringankan beban rakyat apabila penggunaan minyak menjadi kecil berbanding sebelum ini.

Tetapi ini cerita Kuala Lumpur yang menjadi ibu bagi segala-galanya bagi negara ini. Bukan semua bandar besar mengalami nasib sebaik Kuala Lumpur dari aspek sistem pengangkutan awamnya. Kos minyak akan tetap menjadi beban kerana mereka yang tinggal di luar Kuala Lumpur tidak mempunyai alternatif kecuali menggunakan kenderaan sendiri.

Bagaimanapun penarikan subsidi 30 sen seliter ini memberikan petunjuk baik apabila Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy mengumumkan kerajaan menubuhkan Dana Amanah Pengangkutan. Dana ini akan menggunakan sebahagian daripada penjimatan RM4.4 bilion untuk mempertingkatkan sistem pengangkutan awam di seluruh negara.

Dengan minda yang jernih, penarikan balik subsidi 30 sen seliter itu menjadi satu anjakan untuk mengubah wajah bandar-bandar besar kita. Apabila terlaksana usaha menaik taraf pengangkutan awam, bandar kita tidak lagi menjadi ``bandar kereta'' dengan kualiti udara yang sangat buruk.

Inilah pendekatan terbaik mendepani kenaikan harga minyak. Malah inilah yang perlu diisi dalam minda kita dan bukan merungut supaya harga minyak kembali murah.

Read more!

Nuklear jadi simbol kemerdekaan Iran

Oleh: ZIN MAHMUD
SUmber: Utusan Malaysia 5 Mac 2006


PADA pagi Jumaat lepas, kerusi dalam dewan besar Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur penuh. Hadirin menampakkan minat besar untuk mendengar apa yang hendak disampaikan oleh Dr. Mahmoud Ahmedinejad, Presiden Iran dalam syarahan umumnya atas tajuk Isu-isu antarabangsa tertunggak dan peranan dunia Islam.

Syarahan anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Asing (IDFR) yang dipengerusikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar itu diadakan sempena lawatan rasmi tiga hari Mahmoud ke negara ini.

Hadirin tentunya daripada kalangan para diplomat, ahli-ahli dalam bidang hubungan asing, khususnya Asia Barat dan ahli-ahli perniagaan yang mempunyai kepentingan.

Tetapi selain wajah-wajah biasa itu, turut hadir ialah segolongan yang merupakan generasi Mahmoud sendiri di kalangan rakyat Malaysia.

Perlu diingat bahawa Mahmoud yang dipilih menjadi Presiden Republik Iran pada Jun tahun lalu merupakan generasi mahasiswa yang terlibat secara langsung dengan Revolusi Islam Iran pada tahun 1979. Mereka menjadi penggerak kepada demonstrasi dengan tindakan politik di bawah pimpinan Allahyarham Ayatullah Khomeini yang berjaya menumbangkan rejim pro-Amerika Syarikat, Shah Iran.

Maka apabila presiden keenam Republik Islam Iran dipilih, ini bermakna ia sampai kepada generasi mahasiswa yang menjadi penggerak kepada kebangkitan revolusi itu. Mahmoud bukan saja mewakili generasi anak-anak muda ini, tetapi ia turut menjadi pewaris dan penyambung kepada fahaman politik Khomeini.

Sepanjang kerjaya politiknya, Mahmoud dikenali sebagai pendukung garis keras yang setia, iaitu merujuk kepada fahaman Khomeini itu sendiri.

Dalam sejarah Iran pascarevolusi, negara itu mengalami cabaran daripada tuntutan untuk perubahan. Dalam keadaan ini, timbul dua aliran yang bertentangan dikenali sebagai konservatif dan reformis. Khomeini dan pendukung-pendukungnya termasuk Mahmoud yang dahulunya dianggap sebagai radikal dan revolusioner tiba-tiba dilabel sebagai konservatif oleh dunia. Sementara golongan yang mahukan perubahan kepada sistem lebih terbuka dan arus perdana dilabel sebagai reformis.

Kemuncak kejayaan reformis ialah apabila Mohamad Khatami dipilih sebagai presiden kelima. Di situlah tanda-tanda akan berlakunya perubahan besar di Iran, malah di kalangan pemerhati Barat, ia dianggap sebagai revolusi kedua.

Bagaimanapun senario begini berubah tiba-tiba dengan kemenangan mengejut yang tidak disangka dunia apabila Mahmoud menang. Ini bermakna Iran kembali kepada garis keras fahaman Khomeini.

Perkembangan di Iran ini tentu mengelirukan pemerhati khususnya generasi pengagum Iran yang muncul pada awal 80-an.

Perlu diingat bahawa Revolusi Islam Iran telah memberi impak besar bukan saja kepada politik Asia Barat tetapi juga dunia Islam keseluruhan. Fenomena revolusi itu menjadi pendorong kepada suasana kebangkitan Islam di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Khomeini dilihat pada banyak pengagumnya di dunia Islam sebagai tokoh yang berani mencabar AS. Maknanya sikap menolak hegemoni AS dan mempertahan kemerdekaan dan kedaulatan negara Islam merupakan inti penting fahaman politik Khomeini.

Seperti di negara-negara lain, peminat Khomeini juga muncul di Malaysia, khususnya di kalangan mahasiswa aktivis Islam. Mereka inilah segenerasi dengan Mahmoud.

Sejak Mahmoud memimpin Iran, dasar dan sikapnya mencerminkan apa yang diajar Khomeini. Beliau mempertahankan hak Iran untuk memiliki tenaga nuklear. Mahmoud berani mencabar AS dan mempertikaikan Zionisme dan Israel. Dasar luar beliau benar-benar mengikuti ajaran Khomeini dan ia menyentap perasaan generasi beliau di seluruh dunia, yang menyokong revolusi itu.

Generasi beliau inilah yang turut muncul ketika beliau menyampaikan syarahannya di Kuala Lumpur. Ia seolah-olah menjadi pertemuan semula alumni pengagum fahaman Khomeini.

Menjawab satu soalan daripada hadirin, Mahmoud menekankan tentang soal kemerdekaan Iran. Beliau mempersoalkan mengapakah negara-negara asing mahu Iran mengikut telunjuk mereka. Iran wajar memelihara kepentingannya sendiri. Menurut beliau, Iran tidak mahu berkelahi dengan mana-mana negara tetapi janganlah ada pihak luar yang mahu memaksa negara itu mengikut kehendak mereka.

Beliau menggambarkan betapa pihak Barat menetapkan peraturan dan kemudian mahu dunia berfungsi menurut sistem yang dicipta untuk kepentingan mereka.

Beliau memberi contoh tentang Agensi Antarabangsa Tenaga Atom (EAIA) yang majoriti ahlinya terdiri daripada wakil Barat dan sudah tentu cenderung untuk memusuhi Iran.

Pada hari Mahmoud mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Khamis lalu, Presiden AS, George W. Bush berunding dengan Perdana Menteri India, Manmohan Singh dan bersetuju untuk mengadakan kerjasama nuklear.

Lawatan Bush ke Asia Selatan juga meliputi Pakistan dan Afghanistan.

Tentu persoalan yang timbul ialah mengapakah AS izinkan India dan Pakistan memiliki senjata nuklear tetapi membantah Iran membangunkan sumber tenaga nuklear?

Bagi Mahmoud, sejak dari dahulu AS mahu menguasai Iran. Mereka sanggup menyokong rejim Shah Iran yang melanggar hak asasi manusia dan demokrasi asalkan mereka mengikut kehendak Washington.

Gambaran yang diberikan oleh Mahmoud ialah Barat tidak jujur dalam soal demokrasi dan hak asasi manusia. Mereka mempunyai agenda dan kepentingan politik untuk menjadi hegemoni atas negara-negara lain.

Melihat peta Iran, dapat disaksikan betapa kehadiran AS di timur dan barat Iran. Di sebelah timur, AS dan sekutunya berada di Afghanistan dengan Pakistan dan India adalah sekutunya. Begitu juga di sebelah Barat di mana kehadiran AS adalah di Iraq. Sekutu AS di situ ialah Israel dan Turki yang menganggotai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Tetapi dalam keadaan begini, AS yang berada jauh dari Asia Barat mendakwa bahawa Iran merupakan ancaman kepada keselamatan. Bagaimana pula dengan AS sendiri. Tidakkah AS menjadi ancaman kepada Iran?

AS mengalu-alukan pilihan raya yang dianggap sebagai kejayaan demokratik di Afghanistan dan Iraq. Ini kerana mereka yang memenangi pilihan raya itu menyokong AS. Tetapi andai kata parti yang menang dalam pilihan raya itu bersikap anti-AS, mungkin berbeza, itulah yang berlaku ke atas Hamas di Palestin.

Sikap AS terhadap demokrasi dan hak asasi itu boleh disifatkan sebagai berbentuk selektif. Maknanya demokrasi disokong selagi ia memenuhi kepentingan politik AS.

Mahmoud dalam syarahan itu menunjukkan komitmennya untuk mempertahankan kemerdekaan negaranya dan terus mengikuti ajaran Khomeini berhubung dengan dasar luar, iaitu menentang AS.

Tetapi mendengar keseluruhan syarahan itu, serta jawapannya kepada soalan yang dibangkitkan timbul juga kebimbangan kalau-kalau apa yang diucapkannya itu hanya bertaraf retorik dan penyelesaian kepada masalah kompleks dunia berbentuk simplistik.

Mahmoud menyimpulkan fahamannya tentang politik antarabangsa di akhir syarahannya. Ia berbunyi: Tauhid dan keadilan adalah asas kepada keamanan. Dengan keadilan, akan datang perdamaian. Dengan perdamaian akan datang keselamatan.

Kata-kata ini adalah simplistik yang sukar untuk diterjemahkan dalam bentuk dasar.

Bagaimanakah harus diterjemahkan konsep tauhid dan keadilan untuk dijadikan asas perdamaian?

Iran merupakan negara berbudaya tinggi dan mewariskan satu tamadun silam yang besar, seperti juga China dan India. Perbahasan falsafah yang berasaskan tamadun ini seronok untuk dibicarakan dan boleh menjadi kompleks, kaya dan indah. Bukan saja falsafah Parsi sedemikian rupa tetapi juga falsafah tamadun lain seperti China dan India.

Tetapi kehebatan latar belakang ini tidak menjamin kestabilan, pembangunan dan kemakmuran.

Berdepan dengan AS pada zaman ini memerlukan kelicikan politik di samping kemahiran dalam membuat keputusan berhubung dengan soal-soal ekonomi.

Beberapa bidang seperti sains, teknologi dan kewangan mencabar nilai-nilai seperti keadilan dan konsep tauhid sendiri.

Dari segi latihannya, Mahmoud adalah seorang jurutera peringkat sarjana. Tetapi minat beliau terhadap politik dan agama yang akhirnya membawa kepada jawatan presiden.

Cabaran yang dihadapi beliau ialah bagaimana hendak menuai hasil revolusi untuk generasi akan datang supaya Iran bukan saja berjaya dalam soal ideologi Islam tetapi juga rakyatnya dapat menikmati kehidupan setara dengan apa yang dihayati oleh negara-negara maju.

Read more!