Implikasi bayi rekaan

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 29 Jun 2006


ISTILAH bayi rekaan merupakan terjemahan daripada designer babies. Mungkin lebih tepat ialah bayi yang direka bentuk. Apabila menggunakan istilah bayi rekaan maka seolah-olah manusia yang mencipta bayi itu.

Istilah rekaan mungkin lebih selesa kerana ia hanya mengubah sesuatu yang telah ada.

Ada satu istilah berbunyi reka cipta. Ia merujuk pada perkataan Inggeris, invention. Sekali imbas, invention diterjemahkan kepada mencipta. Jadi cipta bermaksud menghasilkan sesuatu daripada bahan-bahan yang telah ada. Bukanlah mewujudkan sesuatu yang tidak ada dalam erti kata agama. istilah cipta harus dilihat dari sudut manusia dan bukannya ketuhanan. Begitu juga dengan rekaan dan bayi rekaan.

Walaupun kerajaan telah pun mengharamkan bayi rekaan tetapi kejayaan teknik dan teknologi ini mempunyai implikasi kepada manusia.

Kini manusia boleh campur tangan pembentukan bayi untuk menurut kehendaknya, iaitu jantina dan ciri-ciri seperti rambut, warna mata, malah kecerdasan.

Sememangnya keupayaan menentukan jantina ini akan mendatangkan implikasi besar di mana imbangan lelaki-perempuan boleh terjejas tetapi ciri kecerdasan membawa kepada implikasi yang lebih besar.

Maka menjadi dorongan semula jadi manusia untuk memiliki anak yang lebih cerdas daripadanya. Ibu bapa sanggup berbelanja besar untuk pelajaran anaknya.

Justeru, tidak hairan ibu bapa yang mampu akan melabur untuk melahirkan anak yang lebih cerdas melalui teknik bayi rekaan ini. Mungkin mereka tidak meminda ciri-ciri lain seperti fizikal dan jantina.

Tetapi mereka mahukan bayi rekaan yang terbaik dalam soal kesihatan dan kecerdasan.

Maka lambat laun, jika teknik ini berkembang akan muncul golongan bayi rekaan yang lebih cerdas berbanding orang lain. Dengan sokongan persekitaran yang menggalakkan, maka mereka bukan saja lebih cerdas tetapi lebih beruntung dan akhirnya lebih mampu menguasai dunia berbanding golongan lain.

Tidakkah ini mengingatkan kita kepada gerakan eugenik dan fahaman darwinisme sosial yang berkait pula pada fahaman fasisme dan Nazisme pada tahun-tahun 1930-an.

Sejarah menunjukkan bahawa fahaman eugenik, darwinisme, fasisme dan Nazisme sebagai antara kesilapan manusia yang akhirnya membawa kepada Perang Dunia Kedua dan pembunuhan ramai dalam Holocaust.

Tetapi di sudut lain, mungkinkan fenomena bayi rekaan dan pengklonan merupakan sebahagian daripada evolusi manusia untuk menjadi spesies lebih baik?

Tetapi baik atau tidak bukan nilai bagi alam yang hanya mematuhi hukum-hukum alam seperti yang ditentukan oleh Allah s.w.t.

Read more!

Elak perang dunia keempat

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 25 Jun 2006


MENGAPAKAH Piala Dunia didominasi negara-negara Eropah dan Amerika Latin? Akhbar antarabangsa International Herald Tribune (IHT) ada mengulas betapa perlawanan bola sepak telah menggantikan peperangan dalam pertembungan antara negara.

Maksudnya, manusia, khususnya orang lelaki mempunyai dorongan agresif untuk berperang. Jadi jika tidak berperang, dorongan dan tenaga untuk berperang ini perlu disalurkan kepada cara lain, maka permainan sukan merupakan antara kaedah psikologi bagi menampung kecenderungan untuk berperang ini.

Dalam hal ini, Eropah dianggap telah serik untuk berperang selepas mengalami penderitaan dan kemusnahan teruk semasa Perang Dunia Kedua dahulu. Maka secara umumnya, mereka telah memansuhkan peperangan dengan menubuhkan Kesatuan Eropah (EU) dan dorongan berperang itu disalurkan kepada permainan bola sepak dengan kemuncak pertempuran berlaku semasa Piala Dunia.

Mungkin ada benarnya sangkaan ini. Teringat sebuah filem fiksyen sains tahun 70-an dahulu bernama Rollerball. Ia mengisahkan betapa pada masa akan datang dunia telah mengharamkan perang. Sebagai ganti, sebuah permainan ganas yang mencantumkan elemen American football, bola sepak dan hoki ais dan gelongsor dicipta. Di sinilah segala dorongan agresif lelaki disalurkan sebagai menggantikan perang. Permainan ini ganas hingga boleh membawa maut tetapi ia menyelamatkan dunia daripada kancah peperangan.

Sangkaan bahawa sukan, olahraga dan permainan fizikal sebagai kaedah mengurangkan dorongan untuk berperang bukan perkara baru.

Malah banyak bentuk olahraga dan permainan berasal dari bentuk peperangan. Memanah, membaling lembing dan berlawan pedang adalah asalnya untuk perang. Apatah lagi acara-acara seperti judo, karate, tae kwan do dan silat yang memang asalnya untuk berperang.

Maka asal usul Sukan Olimpik juga berkait rapat dengan usaha untuk mewujudkan perdamaian di Yunani purba, yang mana kota-kotanya sentiasa berperang di antara satu sama lain.

Begitu juga dengan sejarah bola sepak yang banyak menunjukkan kaitannya dengan tentera dan peperangan. Kini simbol-simbol termasuk warna bendera dan jersi pasukan menggambarkan warisan ketika negara berperang di antara satu sama lain.

Dalam tradisi Melayu, beberapa peperangan dielakkan apabila digantikannya dengan perlawanan laga ayam dan lembu. Maka peperangan antara Jawa dan Melayu dapat dielakkan melalui laga kerbau di mana lahirnya suku kaum Minangkabau atau menang kerbau. Begitu juga dengan kisah bagaimana daerah Besut berpindah daripada pemerintahan Kelantan kepada Terengganu.

Tetapi kalau sungguh penglibatan Eropah dalam bola sepak dikaitkan dengan hasrat warganya untuk mengelak perang, bagaimana pula dengan Amerika Latin?

Perlu difikirkan bahawa walaupun Amerika Latin tidak terlibat dengan Perang Dunia Kedua, tetapi benua itu sejak ia mencapai kemerdekaan daripada Sepanyol dan Portugis, ia terus bergolak yang melibatkan peperangan dalaman. Selepas revolusi kemerdekaan pimpinan Simon Bolivar, benua Amerika Selatan bergolak dengan rampasan kuasa serta pemberontakan gerila berlaku terus-menerus hingga ke zaman Perang Dingin apabila Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet turut terlibat.

Demokrasi sukar untuk dilaksanakan hinggakan seluruh benua itu sentiasa dirundung oleh pemerintahan junta tentera. Ia pula mendorong kebangkitan gerakan gerila dan melahirkan banyak wira revolusi kiri, antaranya yang terkenal ialah che Guevara.

Hanya selepas Perang Dingin, barulah terdapat tanda-tanda damai meliputi seluruh dunia dengan demokrasi dilaksanakan dan rakyat memilih parti-parti kiri.

Sepanjang pergolakan itu turut lahir pasukan-pasukan bola sepak yang kuat dan mungkinkah ekspresi untuk damai terlihat dengan kemunculan Amerika Selatan sebagai benua yang mendominasi Piala Dunia.

Maka tinggallah Afrika dan Asia. Peperangan masih berlaku di beberapa tempat di Afrika tetapi beberapa negara benua itu, yang miskin dan turut dalam peperangan menyumbang kepada wira-wira bola sepak.

Asia masih jauh ketinggalan dalam bola sepak. Benua ini walaupun terkenal dengan kepesatan pertumbuhan ekonomi mempunyai pusat-pusat ketegangan paling utama di dunia. Palestin, Iraq, Iran, Afghanistan, Pakistan, India, Sri Lanka dan Korea Utara adalah dalam benua Asia.

Pasukan Asia yang sampai ke pesta Piala Dunia di Jerman ialah Arab Saudi, Iran, Korea Selatan dan Jepun.

Korea Selatan dan Jepun pernah mengalami kesan Perang Dunia Kedua amat teruk. Kedua-duanya juga kini di ambang ancaman senjata nuklear Korea Utara.

Dalam sejarah kontemporari, Iran terlibat dengan perang dengan Iraq, dan kini menerima ancaman perang AS berhubung dengan soal nuklear.

Arab Saudi pula terlibat dengan perang dengan Iraq apabila Saddam Hussein menceroboh Kuwait. Ia juga dibayangi dengan pergolakan AS-Iran berhubung dengan nuklear.

Maka soal perang berkaitan nuklear inilah yang disifatkan sebagai perang dunia keempat oleh Forum Keamanan Global, satu gerakan mengharamkan perang pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengadakan sidangnya sepanjang minggu lalu.

Forum itu menunjukkan keprihatinannya terhadap ketegangan antara Washington dan Teheran berhubung isu nuklear di mana AS menunjukkan ancaman akan menyerang Iran.

Jika benar-benar AS menyerang Iran, inilah yang disifatkan sebagai bermulanya perang dunia keempat yang akan merebak ke seluruh dunia melibatkan penggunaan nuklear.

Iran sendiri baru berhasrat untuk membina kemudahan tenaga nuklear tetapi AS sudah memiliki senjata nuklear. Di antara negara-negara yang menyertai Piala Dunia, mereka yang memiliki senjata nuklear selain daripada AS ialah Perancis dan England.

Tetapi melihat Eropah yang komited terhadap mengelak peperangan, maka boleh disebut bahawa adanya senjata nuklear di tangan Perancis dan England tidak menghalang benua itu menikmati keamanan.

Justeru, jika Iran dibenarkan memiliki senjata nuklear, ia mungkin juga boleh mendatangkan keamanan di Asia Barat, iaitu untuk menjadi pengimbang kepada Israel yang memiliki senjata sedemikian.

Bagaimanapun jika hari ini AS menyerang Iran yang belum memiliki senjata nuklear, maka perang dunia keempat boleh meletus. Iran mampu membalas dengan menyerang Israel. Rejim Tel Aviv pula membalas dengan menggunakan senjata nuklear.

Rusia yang berpihak pada Iran akan turut serta membalas serangan dan bumi tercebur dalam kancah perang dunia keempat.

Di sebelah Asia Timur pula, Korea Utara mampu menyerang Korea Selatan dan Jepun, kedua-dua sekutu AS.

Serangan balas akan dilakukan oleh AS yang melindungi sekutunya. China yang memiliki senjata nuklear tidak akan duduk diam. Maka bertambah terheretnya bumi ke dalam kancah peperangan.

Maka keadaan itulah yang hendak dielakkan. Cara bagi mengelaknya ialah AS hentikan saja sebarang hasratnya untuk menyerang.

Bagi gerakan keamanan, peperangan wajar dihapuskan sama sekali. Kalau institusi perhambaan yang begitu lama diamalkan oleh manusia boleh diharamkan, maka mengapa tidak peperangan?

Peperangan harus dilihat sebagai kejahatan dan bukannya sifat semula jadi manusia. Tetapi jika pemansuhan perhambaan membawa kepada kelas pekerja sebagai gantian, maka begitu juga dengan peperangan. Ia wajar ada bahan ganti kepadanya. Ini kerana peperangan juga melibatkan budaya dan psikologi manusia. Maka sukan dan permainan boleh menggantikan peperangan sebenar.

Perang Dingin yang dianggap sebagai perang dunia ketiga oleh gerakan keamanan sejagat ini memperlihatkan beberapa perkara yang boleh dipelajari.

Walaupun tidak ada pertempuran secara besar-besaran dan berhadapan antara AS dan Soviet tetapi pertempuran berlaku secara proksi dan ia melibatkan banyak negara, dari Korea, Vietnam hinggalah kepada Afghanistan.

Soviet pernah menampilkan pasukan bola sepaknya untuk Piala Dunia tetapi ia kecundang di tangan Brazil walaupun sukan itu dirancang sebegitu saintifik.

Tetapi sepanjang Sukan Olimpik yang diadakan, negara-negara blok Soviet berjaya menampilkan kehebatan mereka di bidang sukan. Kemuncaknya ialah apabila Moscow berjaya menjadi tuan rumah Sukan Olimpik tetapi gagal mendapat penyertaan dunia kerana pencerobohannya ke atas Afghanistan.

Ada dua andaian di sini. Sama ada penglibatan besar negara-negara bersaing dalam sukan itu mengendurkan Perang Dingin hingga ia bertahap dingin dan tidaklah sampai kepada perang yang benar-benar panas atau kesannya terhadap semangat berperang tidak wujud langsung.

Perlu juga diingatkan betapa Jerman Nazi pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dan dia menggunakan sukan untuk kepentingan fahaman politiknya tetapi ternyata gagal.

Akhirnya Perang Dunia Kedua berlaku juga dan semasa ia berlaku, tidak ada negara yang ada selera untuk bersukan atau menganjurkan permainan.

Selepas Perang Dunia Kedua, hampir seluruh dunia serik untuk berperang. Tetapi kemudian Perang Dingin berlaku juga.

Di satu pihak Moscow yang mengetuai blok komunis mahu menyebarkan ideologinya. Di satu pihak blok Barat tidak mahu melepaskan tanah-tanah jajahannya.

Maka perjuangan menuntut kemerdekaan di Vietnam berubah menjadi gerakan komunis kerana pada awalnya kuasa penjajah Perancis enggan melepaskannya.

Belum reda daripada kepenatan perang, tentera British datang menyerang pejuang kemerdekaan Indonesia di Surabaya bagi membantu Belanda kembali memerintah tanah jajahannya.

Tetapi dilihat dengan ancaman perang dunia keempat ini ialah elemen rebutan pada minyak dan lebih penting lagi ialah keengganan AS, Eropah dan Israel untuk menerima bahawa Palestin mahukan sebuah negara merdeka yang berdaulat dan bebas.

Di situlah kunci masalah dunia dan menjadi penyumbang besar kepada ancaman perang dunia keempat.

Mungkin bagi AS, perang dunia keempat sudah pun bermula iaitu apabila Al-Qaeda melakukan serangannya ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York pada 11 September 2001.

Penaklukannya ke atas Iraq dan ancamannya terhadap Iran adalah sebahagian daripada peperangan ini.

Perang menentang keganasan inilah perang dunia keempat dan seperti Perang Dingin dahulu, AS melihat dunia secara hitam putih. Siapa yang tidak bersamanya adalah musuhnya.

Kalau banyak parti sosialis dan nasionalis yang bukan komunis dan berkecuali disifatkan sebagai musuh AS pada Perang Dingin dahulu, maka begitu juga dalam perang menentang keganasan. Mana-mana pihak yang tidak bersamanya, sama ada Hamas atau kerajaan- kerajaan kiri di Amerika Latin yang tidak memihak pada AS, maka mereka dianggap musuh seperti juga Al-Qaeda.

Dalam tiga peperangan dunia, Perang Dunia Pertama, Kedua dan Dingin, Washington berasa mereka menang kerana kebenarannya. Maka keangkuhannya inilah yang boleh membawa kepada ancaman perang dunia keempat.

Iran mempunyai istilah untuk golongan takbur ini, iaitu mustakbirin. Untuk menghapuskan perang, pemikiran golongan ini mesti dipinda. Inilah sebahagian usaha daripada Forum Keamanan Global Perdana 2006.

Read more!

Dunia diancam nuklear

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 25 Jun 2006


Selepas runtuhnya negara-negara blok komunis dan berakhirnya Perang Dingin, dunia nampaknya belum pasti selamat daripada ancaman nuklear. Malah ancaman itu semakin ketara apabila Korea Utara menggiatkan pembangunan program nuklear sekalipun tidak disenangi negara jiran.

Ancaman nuklear menjadi semakin hampir apabila terciptanya Taepodong 2, peluru berpandu jarak jauh Korea Utara dan kini menunggu masa untuk diuji.

Taepodong 2 berkuasa tinggi, mampu menepati sasaran sejauh 6,000 kilometer atau jarah antara Pyongyang dengan Washington di Amerika Syarikat (AS).

Maka ujian peluru berpandu itu bukanlah sembarangan. Ini adalah petunjuk akan berlaku ketegangan antara Korea Utara dengan AS yang mempunyai kepentingannya di Okinawa, Jepun. AS mempunyai pangkalan tenteranya di Okinawa dan jarak dengan Pyongyang tentu saja boleh dicapai oleh peluru berpandu sebelum ini, Taepodong 1.

Maka AS menerusi Setiausaha Negaranya, Condoleeza Rice mengesyorkan China mengenakan tekanan kepada Korea Utara. Ujian peluru berpandu yang dijalankan dalam masa terdekat ini mengocak ketenangan dan memberi isyarat ancaman nuklear bukan suatu yang mustahil.

Taepodong 2 adalah reka cipta pemusnah dunia terkini Korea Utara yang mencetuskan kegusaran dan kebimbangan di Asia dan seluruh dunia. Bukan itu saja malah Korea Utara juga begitu taksub dengan program pembangunan nuklear yang sangat terancang itu.

Program nuklear Korea Utara telah lama mencetuskan ketegangan dengan jiran-jiran seperti Korea Selatan dan juga Jepun. Kekuatan nuklear boleh meledakkan kedua-dua negara ini bila- bila masa saja.

Lebih membimbangkan lagi apabila Korea Utara berikrar mempertahankan program pembangunan nuklear dan akan menyerang balas waima AS sekalipun kalau cuba menghalangnya. Dengan sikap yang tidak kenal diplomasi inilah membimbangkan kuasa besar seperti AS.

Ujian peluru berpandu itu tidak boleh dielakkan lagi. Selepas melepasi peringkat mengisi bahan api, ujian itu mesti dilakukan sekalipun Korea Utara menerima kecaman hebat daripada dunia.

Kuasa besar seperti AS tertekan dengan keberanian Korea Utara menguji Taepodong 2. Pentagon bersiap sedia dengan penangkis peluru berpandu sementara sistem satelit mengawasi persiapan ujian yang difahamkan di peringkat akhir itu.

Bagaimanapun bekas Setiausaha Pertahanan AS, Ashton Carter mengesyorkan AS bertindak memusnahkan peluru berpandu itu sebelum diuji. Bukannya mengawal dari jauh.

Beliau mengingatkan AS supaya jangan mengulangi kesilapan seperti yang berlaku di Iraq yang sehingga kini belum ditemui loji nuklear yang didakwa Presiden George W. Bush.

Bagi Carter, bahaya Korea Utara adalah di depan mata dan AS tidak perlu berlengah-lengah lagi untuk menghalang ujian yang boleh mencetuskan perang dan kemusnahan.

Kronologi program pembangunan nuklear Korea Utara bermula selepas keruntuhan Soviet dan berakhirnya Perang Dingin pada penghujung tahun 1980-an. Keruntuhan Soviet bermakna kehilangan pergantungan ekonomi dan keselamatan Korea Utara kepada kuasa besar itu selama 45 tahun.

Kerana berasa tidak selamat apa lagi dengan kuasa tunggal iaitu AS, Korea Utara membangunkan program nuklear secara sulit sebagai senjata pertahanan. Bagaimanapun perisik AS berjaya mengesan imej satelit sebuah kompleks di Yongbyon yang dipercayai loji nuklear.

Korea Utara menandatangani Perjanjian Kawalan Senjata Nuklear (NPT) pada 1985. Tetapi mempunyai helah lain dan tidak membenarkan pasukan pemeriksa memeriksa loji nuklear itu ketika peringkat awal pembuatan senjata nuklear.

Hanya pada Mei 1992 barulah Korea Utara buat pertama kali membenarkan pasukan dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) membuat pemeriksaan di loji di Yongbyon. Bagaimanapun setahun kemudian, Korea Utara mengejutkan dunia apabila mengumumkan keluar daripada NPT.

Pada September tahun lalu, Korea Utara mengatakan persetujuan untuk memusnahkan loji senjata nuklear kepada pakatan enam kuasa besar; AS, Perancis, Jerman, Britain, China dan Rusia. Tetapi Korea Utara tidak berdiam diri sebaliknya meneruskan pembangunan senjata nuklear sehinggalah secara terbuka mengumumkan akan mengadakan ujian baru-baru ini.

Ini adalah detik yang genting bagi mengundurkan Korea Utara daripada rancangan asalnya. Malah Taepodong 2 seolah-olah menjadi saksi kekuatan dan keangkuhan sebuah negara komunis yang disingkirkan oleh dunia.

Bagaimanapun AS kelihatan tidak bersungguh-sungguh untuk menghalang Korea Utara meneruskan program senjata nuklear. Apa muslihatnya?

Sekalipun Bush pernah menggelarkan Korea Utara sebagai “paksi kejahatan” selepas tragedi 11 September 2001, usaha membanteras nuklear Korea Utara tidak sehebat tekanan ke atas Iran dan Iraq.

AS mempunyai motif lain untuk menekan Iran. Bukan kerana program nuklear. Malah Iran sudah menjelaskan program nuklear itu untuk sumber tenaga.

Iran tidak memperlihatkan dengan nyata kecenderungan pembangunan nuklear untuk pertahanan. Malah di Iraq pula sehingga kini AS belum dapat menunjukkan bukti negara itu mempunyai loji nuklear selepas beribu-ribu orang awam menjadi mangsa perang AS ke atas Iraq.

AS semacam terlepas pandang kekuatan nuklear Korea Utara yang begitu terbuka ke arah perang nuklear. Pada masa yang sama AS memfokuskan ke Iran. AS memberi kata dua; diserang atau menerima pakej untuk memusnahkan loji nuklear.

Korea Utara ternyata jauh lebih membahayakan dunia berbanding Iran. Tekanan harus ditumpukan kepada Korea Utara dan bukannya memberi ugutan kepada Iran yang jauh lebih diplomasi pendekatannya.

Iran kini dalam tekanan pakatan enam kuasa besar. Kuasa besar ini menuntut Iran menghentikan program nuklear dan menyertai pakej keamanan. Kalau tidak, Iran dikenakan sekatan atau AS sendiri menyerang seperti yang dilakukan ke atas Iraq.

Ketika diuji pada 1998, Taepodong 1 mampu untuk menggempur utara Jepun meliputi pangkalan AS di Okinawa. Kenapa tekanan itu hanya kelihatan berat kepada Iran dan tidak Korea Utara?

Ketika ini Korea Utara mempunyai 700 peluru berpandu jenis Rodong yang boleh mencapai sasaran sejauh 1,300 kilometer. Semua ini membayangkan ancaman nuklear yang serius dan kemuncaknya adalah ujian Taepodong 2.

Membiarkan Korea Utara dengan program pembangunan nuklear samalah dengan membiarkan dunia kembali diancam nuklear. Maka cadangan Carter supaya AS mengambil langkah proaktif menghapuskan Taepodong 2 ada kewajarannya.

Read more!

Mengurus pentadbiran negara pada zaman transisi

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 23 Jun 2006


Allahyarham Tun Abdullah Salleh yang meninggal dunia semalam menjadi Ketua Setiausaha Negara (KSN) ketika Malaysia berada pada era transisi, antara menjadi negara pertanian kepada perindustrian.

Beliau menjadi KSN dari Oktober 1976 hingga 1979 iaitu semasa negara dipimpin oleh Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn.

Bagaimanapun, beliau memantapkan kerjayanya sebagai pentadbir awam semasa kepimpinan Allahyarham Tun Razak.

Ketika Perdana Menteri kedua itu mula memegang jawatan pada tahun 1970, Allahyarham Abdullah dilantik sebagai Pendaftar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baru ditubuhkan. Pada tahun 1972 pula, Allahyarham dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Perikanan diikuti dengan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun 1974.

Maka dapat dilihat beliau memainkan peranan penting dalam menjayakan visi Allahyarham Tun Razak. UKM, Kementerian Pertanian dan JPA memainkan peranan penting dalam dasar-dasar Tun Razak seperti Dasar Ekonomi Baru, Buku Merah dan Buku Hijau.

Justeru selepas Perdana Menteri kedua meninggal dunia pada Januari 1976 dan Allahyarham Abdullah dilantik sebagai KSN, beliau mempunyai pengalaman untuk terus menjayakan visi Tun Razak sepanjang kepimpinan Allahyarham Tun Hussein.

Zaman Perdana Menteri ketiga itu pula ditandai satu proses peralihan dalam usaha negara untuk berubah daripada hanya sebagai negara pertanian kepada perindustrian.

Jadi pada ketika memantapkan visi Tun Razak dalam usaha memajukan penduduk luar bandar, Allahyarham Abdullah dapat disifatkan telah menguruskan persiapan negara dalam sektor perindustrian.

Beliau bersara daripada kerajaan pada 1979 tetapi kerjaya Allahyarham tidak terhenti di situ.

Beliau kemudian dilantik sebagai Pengerusi dan Ketua Eksekutif Petronas pada tahun 1979.

Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981 dan menetapkan haluan negara ke era perindustrian. Untuk ini Petronas memainkan peranan penting.

Pada tahun 1984, Petronas disusun semula bagi memenuhi peranan strategik ini dan Abdullah dilantik semula dalam struktur baru sebagai Presiden yang turut mencantumkan kedua-dua jawatan Pengerusi dan Ketua Eksekutif.

Beliau memegang jawatan ini sehingga 1988 dan menyaksikan pertumbuhan awal yang penting bagi Petronas dalam konteks Malaysia hendak menjadi negara perindustrian.

Selepas itu beliau dilantik pada jawatan yang amat rapat dengan Tun Razak iaitu pada tahun 1988 sebagai Pro-Canselor UKM dan Pengerusi Yayasan Tun Razak pada tahun 1989.

Penulis mengenal beliau ketika Yayasan Tun Razak melaksanakan projek menerbitkan buku mengenai Perdana Menteri kedua itu pada tahun 1997.

Menjadi editor kepada buku meja kopi Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot tulisan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin membawa penulis untuk banyak berurusan dengan Allahyarham Abdullah baik dalam mesyuarat yayasan mahupun di rumahnya.

Ucapan takziah kepada keluarga beliau. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

Read more!

Apabila Amerika gagal di Somalia

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 18 Jun 2006


PADA Rabu lalu, kumpulan pejuang sekular yang disokong Amerika Syarikat (AS) melalui Agensi Perisikan Pusat (CIA) berundur dari bandar terakhir yang dipegangnya di Jowhar, Somalia selatan apabila ia jatuh ke tangan gerakan Kesatuan Mahkamah Islam (UIC).

Ini bermakna kumpulan Islam itu menguasai keseluruhan Somalia selatan termasuk ibu negara Mogadishu dan Perikatan bagi Pemulihan Perdamaian dan Menentang Keganasan (APRCT) sokongan AS telah kalah.

Kerajaan rasmi pimpinan Presiden Abdullahi Yusuf yang berpangkalan di Baidoa hanya memerhatikan perkembangan itu tanpa memiliki keupayaan untuk menentangnya.

Sekali lagi AS gagal di Somalia dan UIC dijangka terus bergerak untuk menguasai keseluruhan wilayah negara itu.

Di AS, kritikan dilemparkan kepada CIA dan kerajaan disebabkan kegagalan strategik kerana gagal membendung UIC yang disifatkan mereka sebagai gerakan ala Taliban dan berbahaya kerana dibimbangi membenarkan pengganas Al-Qaeda bergerak di situ.

Sejak peristiwa 11 September dan menjadi sebahagian daripada perang menentang keganasan yang dilancarkan oleh Presiden George W. Bush, Somalia sememangnya menjadi sasarannya untuk menghalang ia menjadi lapangan baru bagi Al-Qaeda bergerak.

Oleh itu mereka menyokong kumpulan bersenjata di Somalia Selatan yang menentang UIC. Mereka yang menamakan APRCT itu diberi bantuan senjata dan wang tetapi ternyata gagal membendung UIC.

Kerajaan rasmi Somalia yang dianggap sebagai kerajaan peralihan hanya memiliki kumpulan militia kecil untuk mempertahankan diri. Pada asasnya Somalia adalah negara tanpa kerajaan dan kekosongan diisi oleh UIC.

Siapakah UIC? Tidakkah pelik sebuah gerakan bernama Mahkamah Islam atau mahkamah syariah? Adakah mereka benar-benar satu gerakan yang mahu menerapkan amalan seperti yang dilakukan oleh Taliban?

Pertamanya, Somalia adalah sebuah negara gagal dan tidak mempunyai kerajaan sejak kejatuhan Presiden Siad Barre pada tahun 1991. Kemasukan AS ke negara itu ditentang secara kuat, sesuatu yang jarang berlaku dan peristiwa Black Hawk Down terkenal sebagai tanda kegagalan tentera AS berhadapan dengan pejuang Somalia.

Tentera Malaysia bersama dengan tentera negara Islam lain pernah dihantar ke situ bagi mewujudkan keamanan ekoran kegagalan AS itu.

Somalia kemudian ditinggalkan kerana kumpulan- kumpulan yang bertarung di situ membahagi-bahagikan Somalia tanpa usaha untuk menubuhkan kerajaan berkesan. Malah kawasan di sebelah di utara diisytiharkan sebagai Somaliland dan berpisah daripada Mogadishu. Bagaimanapun, mereka tidak diiktiraf dunia.

AS pun tidak mahu mempedulikan keadaan negara itu hinggalah selepas peristiwa 11 September.

Di Somalia, tidak ada kumpulan Islam yang kuat untuk menguasai kesemua wilayah itu dan ia membuka ruang bagi kemasukan Al-Qaeda.

Dalam keadaan tanpa undang-undang, maka daerah-daerah tempatan mewujudkan kaedah menyusun peraturan dan undang-undang. Maka ia berkisar pada imam-imam dan masjid-masjid tempatan untuk wujudkan undang-undang.

Rujukan

Oleh kerana mereka beragama Islam dan hanya imam menjadi rujukan dalam keadaan kacau-bilau itu, maka muncullah mahkamah-mahkamah syariah.

Mewujudkan sistem mahkamah syariah adalah paling mudah kerana undang-undang sudah tergubal dan ia pula dihormati oleh penduduk tempatan.

Apabila mahkamah ini beroperasi, maka perlulah penguatkuasaan. Apabila ada penguat kuasa, sudah tentu ada pejuangnya. Maka muncul pula penentangnya.

Maka mahkamah-mahkamah ini berpakat dan bersatu bagi pelaksanaannya dan muncullah gerakan Mahkamah Syariah atau Kesatuan Mahkamah Islam.

Mendengar saja nama Syariah, maka AS pasti bimbang akan muncul pemerintahan Islam di Somalia dan seterusnya memberi perlindungan kepada Al-Qaeda seperti Afghanistan.

Maka sebab itu ia menyokong APRCT. Tetapi APRCT tidak mendapat sokongan rakyat. Sudah tentu dalam masyarakat Islam, mereka cenderung menyokong Mahkamah Syariah daripada kumpulan yang diketahui didukung oleh AS.

Walaupun media Barat menggambarkan gerakan Mahkamah Syariah ini seperti Taliban, tetapi keadaannya tidaklah serupa.

AS juga faham dan mereka tidak mahu campur tangan dalam hal-ehwal dalaman Somalia selagi ia tidak menjadi pangkalan Al-Qaeda yang mencabar keselamatan AS.

Washington hanya mahu gerakan Mahkamah Syariah ini bekerjasama dengan mereka bagi menyerahkan pengganas atau pejuang Al-Qaeda.

Terhadap Taliban dahulu, begitu juga. Andai kata, Taliban bekerjasama dengan AS dan menyerahkan Osama bin Laden dan Al-Qaeda, mungkin Kabul masih diperintah oleh kumpulan itu.

Tetapi adakah gerakan mahkamah Syariah itu berfahaman serupa dengan Taliban?

Satu petanda yang menunjukkan persamaan adalah munculnya satu laporan AFP yang menyatakan bahawa pihak berkuasa Mahkamah Syariah mengharamkan penduduk Mogadishu daripada menonton Piala Dunia.

Penduduk Mogadishu minggu lalu dikatakan melancarkan protes terhadap pengharaman itu. Timbalan Pengerusi Kesatuan Mahkamah Islam itu, Abdul Kadir Ali Omar mengingatkan bahawa mereka akan menutup pawagam, kedai video dengan menggambarkan bahawa filem barat dan televisyen adalah tidak bermoral.

Tindakan-tindakan seperti ini memang membimbangkan penduduk Somalia, umat Islam dan dunia Barat. Masing-masing dengan pandangan yang berbeza.

Penduduk Somalia sudah tentu bimbang terhadap kehidupan mereka yang lebih tertekan. Dunia Islam pula bimbang bahawa amalan Mahkamah Syariah Somalia ini akan memburukkan lagi imej agama Islam.

Bagaimana perlawanan Piala Dunia dianggap haram sedangkan Republik Islam Iran dan Arab Saudi turut mengirim pasukan bola sepak masing-masing?

Tetapi mungkin laporan itu hanyalah mengenai satu kejadian terpencil yang dilakukan oleh seorang pejuang Mahkamah Syariah dari jenis ekstrem daripada biasa.

Mungkin tidak semua pendukung Mahkamah Syariah bersifat begitu.

Pemimpin gerakan itu, Sheikh Sharif Sheikh Ahmed menyatakan bahawa beliau tidak akan melaksanakan undang-undang syariah kecuali diminta oleh penduduk tempatan.

Begitulah mulanya gerakan Mahkamah Syariah di Somalia. Ia ditubuhkan hanya apabila penduduk tempatan berhadapan dengan masalah pertikaian sesama sendiri. Jadi apabila timbul masalah jenayah umpamanya, maka dalam keadaan tidak wujud kerajaan, mereka terpaksa pergi mencari imam di masjid sebagai ketua kawasan tempatan bagi melaksanakan undang-undang, sudah tentu berasaskan pada syariah.

Isu

Undang-undang syariah boleh dikuatkuasakan di mana-mana saja dan bila-bila masa walaupun dalam ketiadaan kerajaan. Ia tidak perlu menunggu Parlimen untuk menggubalkan undang-undang dan kerajaan bagi penguatkuasaan.

Semuanya ada dalam al-Quran dan kitab-kitab muktabar yang hanya perlu imam yang faham tentang agama untuk melaksanakannya.

Bukan saja soal jenayah, masalah mengenai hubungan dalam keluarga juga boleh dirujuk kepada Mahkamah Syariah.

Jika kemudian daripada gerakan ini muncul sebuah kerajaan, iaitu daripada kekuatan bersenjata para pejuang Mahkamah Syariah, maka sistem ini kemudian tertakluk kepada institusi pemerintahan yang ditubuhkan.

Sememangnya tafsiran terhadap syariah bergantung kepada imam-imam dan disokong oleh pengikut-pengikutnya. Politik di antara mereka pasti berlaku. Tafsiran mereka pula bergantung pada di mana dan sedalam mana mereka mempelajari agama.

Jadi mengapakah mereka mengharamkan menonton Piala Dunia? Menurut laporan itu apa yang mereka haramkan bukan kerana bola sepak semata-mata tetapi apa yang ada di sekitarnya.

Piala Dunia berkait rapat dengan pengiklanan. Antara iklan yang ditayangkan ialah arak. Itulah yang menjadi isu bagi imam-imam itu.

Tetapi di seluruh dunia, perlawanan Piala Dunia amat berkait rapat dengan perjudian. Tetapi yang salah ialah judi dan arak, bukannya bermain bola sepak.

Sementara keganasan juga merupakan jenayah. Begitu juga dengan penjajahan, penindasan dan mengaut keuntungan secara melampau hingga meminggirkan orang miskin di seluruh dunia.

Read more!

Bila pluralisme jadi isu

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 16 Jun 2006


MUZAKARAH Ulama 2006 yang berlangsung Isnin lalu di Ipoh, Perak menyatakan keprihatinan mereka terhadap fahaman pluralisme dan liberalisme yang dianggap sebagai mengancam akidah umat Islam.

Umumnya bagi umat Islam yang mengikuti perkembangan mengenai gerakan pluralisme dan liberalisme di negara ini dapat memahami keprihatinan muzakarah itu.

Sikap ulama yang menyertai muzakarah itu berhubung dengan pluralisme dan liberalisme secara umumnya mencerminkan sikap masyarakat Islam di negara ini yang rata-rata konservatif dan tradisional.

Tetapi apabila isu ini sampai ke perhatian orang bukan Islam di negara ini, mereka tentu terkejut apabila ulama menolak pluralisme dan liberalisme.

Mereka pasti tertanya-tanya tidakkah negara ini mengamalkan pluralisme dan liberalisme? Ini kerana Malaysia sebagai negara didiami oleh rakyat berbilang agama dan kepercayaan dan sudah tentu menjamin ciri pluralisme masyarakat. Begitu juga dengan liberalisme.

Tidakkah Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi mengamalkan liberalisme? Malah disebut dalam Rukun Negara disebut perkataan liberal itu sendiri.

Jadi apabila dinyatakan bahawa ulama negara ini menentang pluralisme dan liberalisme, maka dilihat oleh orang bukan Islam bahawa sedang muncul pemikiran ekstremisme di kalangan orang Islam. Pastinya mereka berasa bimbang.

Apa yang menjadikan perkara ini sebagai isu dalam hubungan antara kaum dan agama di negara ini ialah istilah pluralisme dan liberalisme.

Perkataan ini menimbulkan salah faham dan kebimbangan yang tidak perlu.

Selama ini istilah pluralisme di negara ini lebih merujuk kepada kepelbagaian kaum dan agama di negara ini, serta keperluan sikap toleransi terhadap keadaan ini. Seringkali disebut ungkapan, Malaysia adalah negara plural iaitu pengiktirafan terhadap kepelbagaian dan keharmonian melalui sikap toleransi.

Sementara liberalisme pula dikaitkan dengan demokrasi. Sebagai sebuah negara demokrasi, Malaysia mengamalkan sikap liberal terhadap cara hidup rakyatnya, baik terhadap budaya mahupun agama. Kebebasan memilih cara hidup dijamin dan diizinkan dalam negara, tidak berbeza dengan negaranegara Barat yang turut mengamalkan demokrasi liberal. Sudah tentu secara terperinci, terdapat perbezaan dari segi pelaksanaan dengan mengambil kira sensitiviti budaya dan agama. Tetapi umumnya Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi dan moden menerima liberalisme sebagai cara hidup.

Terhadap ini umat Islam juga tidak mempunyai masalah. Ini kerana Islam menerima masyarakat majmuk dan tidak ada paksaan dalam agama. Pluralisme dan liberalisme dari segi ini tidak menjadi masalah. Lebih-lebih lagi dari segi ini, umat Islam bersikap toleran terhadap penganut agama lain.

Diprihatinkan

Bagaimanapun, apa yang diprihatinkan oleh muzakarah ulama itu bukanlah pluralisme dan liberalisme dalam hubungan hidup bernegara di antara penganut agama berbeza.

Pluralisme dan liberalisme yang dirujuk oleh muzakarah itu ialah mengenai satu fahaman yang baru timbul sejak akhir-akhir ini iaitu sekitar 10 tahun kebelakangan ini.

Ia berasal dari negara-negara Arab sendiri, khususnya Mesir dan Sudan kemudian tersebar ke Eropah, masuk ke Indonesia dan sampai di Malaysia. Di Indonesia, fahaman ini dikenali sebagai Islam Liberal dan organisasi yang membawanya ialah Jaringan Islam Liberal (JIL).

Tetapi Islam Liberal ini pula bukanlah satu bentuk saja. Ia muncul dalam banyak bentuk. Antara fahamannya mungkin boleh diterima sebagai penyegaran semula tafsiran terhadap Islam. Tetapi tidak kurang pula yang terang-terang bercanggah dengan akidah Islam, pastinya tidak dapat diterima oleh masyarakat Islam di negara ini yang jelas fahamannya berdiri di atas mazhab Sunah Waljamaah menurut Imam Syafie seperti yang diajar oleh jabatan agama Islam di semua negeri kecuali Perlis.

Islam Liberal seperti yang ada di Indonesia mengajak umat Islam menafsirkan semula al-Quran mengikut konteks hari ini.

Ajakan untuk mentafsirkan semula alQuran menurut keadaan semasa mungkin boleh diterima sekiranya ia mengikut prosedur seperti apa yang telah ditetapkan oleh jumhur ulama muktabar dan pewaris-pewarisnya hari ini.

Apa yang menjadi masalah kumpulan Islam Liberal ini mahu al-Quran ditafsirkan semula dengan melihat kitab itu menurut konteks pada zaman Rasulullah s.a.w. Maknanya, al-Quran hendaklah dianggap sebagai teks yang tidak terlepas daripada konteks. Mereka menyifatkan tafsir tradisional sebagai literal dan tidak mengambil kira konteks. Sudah tentu anjuran Islam Liberal ini ditolak oleh ulama dan umat Islam pada keseluruhannya.

Liberalisme inilah yang ditentang oleh muzakarah ulama di Ipoh itu.

Pluralisme pula, juga timbul di Indonesia membawa hujah bahawa semua agama adalah sama dan setaraf. Maknanya bukan saja perlu ada kepelbagaian anutan agama, tetapi semua agama adalah setaraf dan perlu dilayan sama. Bukan itu saja, sikap pluralisme juga menuntut supaya dalam Islam, wajar muncul pelbagai fahaman dan tidak tertakluk kepada pengiktirafan institusi-institusi agama atau ulama.

Maka pegangan ini tidak dapat diterima oleh ulama dan orang Islam secara umumnya, lebih-lebih lagi di Malaysia.

Bagi umat Islam Malaysia, toleransi terhadap kepelbagaian agama adalah wajar tetapi Islam adalah agama rasmi dan mempunyai kedudukan istimewa di negara ini. Bukan itu saja, bagi umat Islam Malaysia, agama Islam adalah satu-satunya agama benar sementara yang lain adalah salah. Fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah benar dan setaraf tidak boleh diterima oleh umat Islam di negara ini.

Sementara Islam di negara ini pula dianggap hanya dalam satu bentuk iaitu Sunah Waljamaah mazhab Imam Syafie dan tidak dibenarkan tafsiran lain dan di luar daripada fahaman ini.

Orang Islam boleh mempunyai pandangan peribadi daripada hasil pemikiran masing-masing tetapi di tengah-tengah masyarakat, mereka mesti menerima fahaman yang telah ditetapkan oleh jabatan agama negeri-negeri di Malaysia. Fahaman yang lain dianggap batil. Tidak ada pluralisme dan liberalisme dalam hal ini.

Bila melihat sebegini, maka keprihatinan ulama terhadap pluralisme dan liberalisme adalah suatu yang dapat difahami dan bukannya sikap ektsremisme.

Jadi orang bukan Islam tidak wajar gusar dengan sikap menentang pluralisme dan liberalisme oleh ulama dan umat Islam di negara ini. Mereka tetap menerima pluralisme dan liberalisme dalam erti kata kebebasan beragama dan amalan cara hidup individu masing-masing dengan toleransi terhadap kepelbagaian fahaman di negara ini.

Pluralisme dan liberalisme yang ditentang ulama adalah berhubung dengan agama Islam dan tidak berkaitan dengan kehidupan orang bukan Islam.

Namun begitu, masyarakat Islam di negara ini wajar juga melakukan persediaan mental bahawa pada satu masa kelak, mungkin muncul tafsiran-tafsiran berbeza mengenai Islam seperti mana yang pernah berlaku pada zaman-zaman lalu.

Dalam masyarakat dan dunia terbuka pada hari ini, lambat-laun pastinya muncul pemikiran-pemikiran baru yang mencabar kepercayaan hari ini, walaupun amat kita sayangi.

Read more!

Gula jadi alat penjajah

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 15 Jun 2006


SEORANG profesor anthropologi di Johns Hopkins University, Sidney W. Mintz telah membuat kajian mengenai sejarah gula dan hasilnya ialah buku Sweetness and Power, The Place of Sugar in Modern History (Kemanisan dan Kuasa, kedudukan gula dalam sejarah moden) diterbitkan oleh Viking Penguin pada tahun 1985.

Dalam kajiannya, Mintz menunjukkan betapa orang Eropah dan Amerika mengubah gula, dimaksudkan di sini ialah gula pasir, daripada suatu bahan makanan mewah yang jarang-jarang digunakan dan hanya dimakan oleh golongan atasan menjadi keperluan manusia moden di seluruh dunia.

Beliau memaparkan bahawa apa yang mengubah kedudukan gula sebagai bahan makanan tambahan yang jarang digunakan, dan kadangkala hanya untuk dijadikan ubat ialah dorongan mengaut keuntungan besar-besaran oleh pihak penjajah pada zaman imperialisme abad ke-17.

Maknanya, ketagihan gula pasir oleh manusia di seluruh dunia berlaku serentak dengan perkembangan Revolusi Industri dan kapitalisme yang mewujudkan pasaran-pasaran di tanah-tanah jajahan.

Pada asalnya, gula pasir bukanlah suatu keperluan manusia walaupun spesies homo sapiens seperti juga mamalia lain khususnya di kalangan primat mempunyai cita rasa yang berkecenderungan kepada manisan.

Asli

Tetapi manisan yang digunakan oleh manusia seperti haiwan-haiwan lain datangnya secara asli daripada tumbuhan- tumbuhan.

Walaupun gula pasir berasal daripada tebu, iaitu suatu tumbuhan asli yang dipercayai oleh pengkaji berasal dari Papua New Guinea, tetapi proses pemutihan yang menjadikannya sedap tetapi berbahaya pada manusia hanya dapat dicipta setelah berlaku Revolusi Industri bermula di England.

Gula pasir seperti juga tembakau yang menjadi rokok dianggap sebagai komoditi palsu, iaitu bahan yang bukan keperluan tetapi pasarannya diada-adakan kerana hendak mengaut keuntungan yang berlebihan.

Jadi kesedaran terhadap potensi gula boleh mendatangkan keuntungan besar-besaran hanya timbul dengan kemunculan kapitalisme seiring Revolusi Industri.

Pasaran pula hanya boleh diwujudkan apabila orang ramai berasa keperluan terhadap sesuatu bahan. Kemanisan gula menjadi tarikan besar kepada orang ramai untuk menjadi ketagih dan cenderung untuk menggunakannya secara kerap dan berulang kali.

Apabila sudah dilihat potensinya, maka para kapitalis pula mesti memperoleh cara pengeluarannya secara besar-besaran. Tanpa pengeluaran besar-besaran, maka keuntungan tidak akan dapat dikaut walaupun pasaran itu wujud.

Jika tidak berlaku pengeluaran besaran, maka keinginan terhadap gula pasir akan hilang begitu saja. Ini kera na ia sebenarnya bukanlah satu keperluan.

Dalam sejarah gula pasir ini, peluang untuk dapat mengeluarkannya secara besar-besarannya ialah apabila Sepanyol dan Portugis menakluki dan membuka tanah-tanah jajahannya di Amerika Tengah. sekitar Laut Carribean dan khususnya pulau seperti Puerto Rico dan Cuba.

Menurut sejarah, dipercayai Christopher Columbus adalah orang yang pertama membawa tebu daripada Eropah ke benua Amerika. Tetapi ketika itu industri gula belum lagi bermula.

Hanya selepas kedatangan penjajah Inggeris ke benua Amerika, barulah industri ini dapat bermula. Itupun setelah teknologi memproses gula dicipta.

Jadi apa yang mereka perlukan adalah ladang-ladang yang besar untuk menanam tebu. Perkara itu dapat dilakukan apabila mereka menjajah benua Amerika itu.

Bagaimanapun, ladang-ladang tebu itu hanya dapat mendatangkan manfaat jika mereka mempunyai pekerja yang ramai. Sistem perhambaan dalam bentuk yang diwujudkan oleh penjajah memberikan tenaga bagi industri ini.

Untuk membolehkan keuntungan secara besar-besaran yang dikaut maka diperlukan kuasa-kuasa politik yang boleh mengekalkan ladang-ladang besar itu, di samping para hamba, dan laluan-laluan kapal bagi mengangkut hamba dan gula pasir, beserta dengan pasaran yang terjamin.

Kesemua ini hanya dapat diwujudkan jika sistem penjajahan berkuat kuasa. Itulah yang berlaku pada abad ke-18 dan 19. Britain menguasai tanah-tanah jajahan di Amerika Tengah yang menempatkan ladang-ladang tebu itu, begitu juga dengan kapal-kapal dagang yang dilindungi oleh Tentera Laut Diraja Inggeris di samping pasaran-pasaran di seluruh dunia, yang berada dalam jajahannya.

Ketagihan

Kuasa politik penjajah menjadi perkara utama supaya keuntungan dapat dikaut daripada ketagihan manusia terhadap gula pasir.

Sistem inilah yang mengasaskan industri gula pasir. Walaupun kini zaman penjajahan sudah berlalu dan Britain hanya menjadi kuasa kerdil diapit oleh Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, tetapi gula pasir sudah menjadi industri besar dengan dianggap sebagai komoditi perlu.

Kalau dahulu, gula pasir berkait rapat dengan politik, maka begitu juga hari ini.

Gula pasir dianggap sebagai barang perlu dan harganya dikawal dengan diberi subsidi oleh kerajaan. Kekurangan gula pula boleh menjadi isu yang memberi kesan politik.

Gula sememangnya sudah wujud beribu-ribu tahun lalu, sebelum Masihi sejak dari zaman tamadun India purba di mana ia disebut dalam karya sastera Sanskrit sekitar 400 tahun sebelum Masihi.

Iskandar Zulkarnain yang datang dari Yunani dan menawan hingga India dipercayai membawa gula dan cara membuatnya ke Asia Barat.

Kemunculan Islam membawa gula ke seluruh dunia Islam, dari Sepanyol hingga ke Afrika. Dunia Melayu mungkin menerima gula ketika dipengaruh oleh tamadun India.

Dari Asia Barat, tentera Salib membawa gula dan tekniknya ke Eropah dan menjelang berlakunya Revolusi Industri, gula sudah ada di benua itu. Dari situlah kemudiannya Sepanyol membawanya ke benua Amerika.

Tetapi ketika itu, proses membuat gula masih primitif, tidak besar-besaran dan tidaklah seputih semudarat seperti yang ada pada hari ini.

Tambahan pula, gula pada zaman itu, seperti juga rempah ratus adalah bahan mahal yang digunakan secara jarang-jarang untuk tujuan perubatan, pengawetan makanan dan bahan makanan kalangan bangsawan. Maknanya kebanyakan manusia zaman itu tidak menggunakan gula, dan mereka bukan saja hidup tetapi sihat untuk bekerja secara fizikal sebagai petani dan peladang.

Eksperimen membuka ladang tebu bagi tujuan membuat gula secara besar-besaran mula dilakukan oleh Sepanyol dan Portugis pada kurun ke-15 selepas kuasa- kuasa penjajah itu masing-masing menakluki kepulauan Sao Tome dan Canaries di Lautan Atlantik.

Setelah menambah bekalan gula dan didapati permintaanya semakin meningkat di Sepanyol dan Portugis maka kuasa penjajah lain seperti Britain dan Belanda juga turut menceburkan diri dalam industri ini.

Pada tahun 1526 Brazil menjadi pengeluar utama gula yang dibekalkan ke Portugal. Gula dari situ tersebar ke benua Eropah yang lain dan permintaannya terus meningkat. Begitu juga dengan harganya yang sudah tentu menarik minat para kapitalis yang dahagakan keuntungan apabila bermulanya Revolusi Industri.

Perkembangan seumpama ini bukan saja berlaku terhadap gula, tetapi juga komoditi lain seperti kopi, kapas dan tembakau.

Menjelang tahun 1700, nilai gula yang sampai ke England dan Hindia Barat Perancis berganda daripada tembakau. Melihat keuntungan yang besar daripada gula, Britain menumpukan perhatian kepada industri ini dan perang dilancarkan bagi menawan banyak tanah jajahan di Amerika Tengah bagi mendapatkan ladang- ladang tebu.

Pasaran gula yang mula menjadikannya bahan keperluan berlaku di England. Gula digunakan dengan meluas dan ia mengubah cara pemakanan orang Inggeris. Maka gula- gula dan kek dicipta dan ia menjadi ikutan oleh seluruh dunia sehingga hari ini.

Mintz menulis: “Secawan teh panas pertama yang dibubuh gula dan diminum oleh seorang pekerja Inggeris merupakan suatu peristiwa bersejarah kerana ia memulakan suatu transformasi keseluruhan masyarakat, dan perubahan besar asas ekonomi dan sosial.”

Read more!

Bunuh diri di Guantanamo

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 13 Jun 2006


Tiga tahanan di pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo, Cuba, dua orang warga Arab Saudi dan seorang warga Yemen diumumkan telah membunuh diri.

Televisyen menyiarkan pemandangan bilik tahanan yang dipancarkan ke seluruh dunia. Biliknya kemas, maklumlah penjara negara dunia pertama, dan sehelai sejadah berwarna hijau terbentang di atas salah sebuah katil tahanan berkenaan.

Presiden George W. Bush menyatakan perhatian beratnya terhadap kejadian bunuh diri ini tetapi Laksamana Madya Harry Harris yang mengetuai Pasukan Petugas Gabungan Guantanamo menyatakan bahawa tahanan-tahanan itu adalah teroris dan jihadis yang berdedikasi dan tindakan mereka “bukannya kerana keadaan terdesak, tetapi merupakan sebahagian daripada kaedah perang asimetrik dilakukan bagi menentang kita (AS).”

Dari sini dapat dilihat bahawa ketika dunia, termasuk Presiden Bush memandang berat terhadap kejadian bunuh diri yang boleh menunjukkan kezaliman kem tahanan Guantanamo itu, pihak tentera AS menilainya, sekurang-kurangnya di peringkat awal ini bahawa kejadian itu merupakan sebahagian daripada taktik pengganas dalam peperangannya menentang AS.

Kaedah perang asimetrik atau asymmetric warefare merujuk kepada peperangan yang tidak setara antara kedua pihak. Makanya, ia bukanlah perang konvensional yang memperlihatkan pertembungan dua bala tentera sepadan.

Perang biasa ini boleh disebut sebagai simetri iaitu kedua-dua belah pihak mempunyai kekuatan dan cara serupa dalam satu pertembungan.

Asimetri bermakna tidak simetri apabila dirujuk kepada kaedah perang bermaksud perang yang tidak menggunakan cara atau kekuatan serupa.

Perang gerila, revolusi dan terorisme adalah antara contoh kaedah asimetri ini.

Jadi jika menurut jalan fikir laksamana tentera AS, kejadian bunuh diri itu tidak perlu diratapi atau mengejutkan kerana ia hanyalah satu cara perang pengganas. Maksudnya, dengan pembunuhan diri itu, dunia akan mengenakan tekanan terhadap AS supaya menutup kem tahanan Guantanamo dan membebaskan tahanan-tahanannya, dan mereka akan kembali menyertai perang menentang AS melalui keganasan.

Apa yang dilihat oleh mereka ialah peperangan. Tetapi bagi dunia, kem tahanan Guantanamo adalah satu kezaliman yang bercanggah dengan Konvensyen Geneva mengenai tahanan perang.

Seramai 460 orang ditahan di situ tanpa perbicaraan dan tidak ditentukan tarikh pembebasannya. Ia tidak mematuhi sebarang undang-undang. Dalam keadaan yang tidak mempunyai harapan, tidakkah tahanan itu mengalami tekanan besar yang boleh mendorong mereka membunuh diri?

Banyak persoalan yang boleh diutarakan mengenai pembunuhan diri, Guantanamo dan perang antara AS dan pengganas.

Pertamanya, apa yang jelas bunuh diri dilarang keras oleh Islam. Tidak ada kompromi mengenainya. Nyawa adalah hak Allah s.w.t. dan tidak ada makhluk berhak mengambilnya tanpa mengikut syarak. Menurut syarak, seseorang tidak boleh membunuh diri.

Sebab itu, antara hujah bagi menentang serangan berani mati ialah elemen bunuh diri yang di dalamnya. Dalam jihad atau perang, bunuh diri tetap diharamkan. Seseorang yang pergi perang mesti bersiap sedia dan mengelak diri daripada terbunuh. Senjata dan kaedah mesti lengkap supaya nyawa terpelihara. Bagaimanapun jika mati juga dalam jihad, maka ia adalah syahid.

Serangan berani mati yang membahayakan orang awam dianggap sebagai tidak menepati syariah. Bagaimanapun ada ulama kontemporari menjadikan medan Palestin sebagai kekecualian kerana mereka berhadapan dengan jentera perang Israel yang begitu kuat, zalim dan disertai sendiri oleh orang awam negara Zionis itu.

Umumnya, tahanan di Guantanamo itu adalah mereka yang faham dan komited terhadap Islam dan pasti faham mengenai larangan membunuh diri.

Jarang benar terdengar tahanan orang Islam walaupun diseksa teruk melakukan tindakan membunuh diri, hatta di penjara-penjara berpemerintahan diktator di kalangan negara Islam yang keadaannya lebih dahsyat daripada Guantanamo.

Tetapi tahanan di Guantanamo itu adalah mereka yang ditangkap semasa perang AS di Afghanistan. Besar kemungkinan antaranya adalah anggota Al-Qaeda yang turut percaya terhadap cara keganasan yang dianjurkan Osama bin Laden.

Tetapi banyak lagi yang merupakan pejuang-pejuang asing di bumi Afghanistan yang menyokong Taliban. Perlu dibezakan antara Taliban dan Al-Qaeda. Tidak semua pejuang Taliban mengikut cara Al-Qaeda yang berpegang cara keganasan.

Pejuang-pejuang Taliban yang datang dari banyak negara Islam percaya mereka berjihad untuk menegakkan Islam di bumi Afghanistan. Walaupun fahaman Taliban yang fundamentalis ditolak oleh orang Islam arus perdana tetapi mereka tidak sama dengan keganasan yang dibawa oleh Al-Qaeda.

Apa yang malang bagi umat Islam ialah peperangan antara Taliban dan Perikatan Utara merupakan suatu perang saudara. Perikatan Utara yang asalnya adalah mujahidin juga disertai oleh pejuang Islam yang berada di Afghanistan untuk mengusir tentera komunis dahulu.

Mujahidin ini mendapat senjata dari AS. Begitu juga dengan Taliban yang memperoleh senjata daripada sekutu- sekutu AS.

Washington hanya melihat dari sudut perang antara dirinya dengan pihak-pihak yang menentangnya dari kalangan orang Islam. Mereka menggunakan istilah jihadis dan teroris bagi merujuk golongan ini.

Tetapi jihadis atau istilah sebenarnya mujahidin, iaitu pejuang jihad dan teroris membawa dua maksud berbeza. Teroris iaitu pengganas tidak boleh menjadi jihadis. Ini kerana keganasan dilarang dalam Islam. Pejuang jihad tidak boleh menjadi pengganas. Sementara pengganas tidak boleh dianggap sebagai mujahid.

Bagi AS, mungkin ada benarnya, jihadis dan teroris wajar dilayan sama kerana kedua-dunya menjadikan Washington sebagai musuhnya.

Maka persoalannya di sini: Adakah AS musuh umat Islam? Atau adakah umat Islam musuh AS? Sudah tentu anggapan umum begini tidak wajar.

Umat Islam tidak memusuhi AS, dan Washington tidak memusuhi umat Islam.

Tetapi banyak dasar luar AS mengancam kedudukan umat Islam baik di Palestin, Iran, Iraq dan Afghanistan.

Umat Islam pula tidak memusuhi Islam walaupun banyak yang marah dan kecewa. Dan antara yang amat marah dan kecewa ini, muncullah segolongan yang melancarkan perang ke atas AS, baik melalui serangan bersenjata mahupun melalui kaedah bom bunuh diri.

Tetapi adakah bunuh diri tahanan Guantanamo itu merupakan satu taktik perang? Tidakkah lebih tepat kem tahanan Guantanamo itu merupakan institusi zalim yang berada di luar amalan perang negara-negara bertamadun. Walaupun kelihatan kemas tetapi kem tahanan itu merupakan pusat penderaan jiwa yang jelas merupakan tindakan perang ke atas orang Islam yang tidak jelas kesalahan mereka. Ini kerana tidak ada perbicaraan dan kalau ia berbentuk tahanan perang, maka tidak pula menepati Konvensyen Geneva.

Read more!

Retorik negara-negara Arab tidak ke mana

Oleh: DATUK MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 8 Jun 2006


SIDANG Kemuncak Negara-Negara Arab yang ke-18 berlangsung akhir Mac lalu di Khartoum, Sudan. Seperti beberapa sidang kemuncak yang lalu sidang kali ini juga dipenuhi dengan kontroversi. Hinggakan sidang yang sepatutnya berakhir dua hari telah ditamatkan dalam masa sehari sahaja.

Presiden Hosni Mubarak dari Mesir dan Raja Abdullah yang mewakili Arab Saudi antara lapan ketua negara dari 22 negara anggota yang tidak hadir. Sebab-sebab Mubarak tidak hadir tidaklah begitu jelas.

Sementara Raja Abdullah pula dikatakan sengaja mengelak daripada bertemu Presiden Muammar Gadaffi.

Episod menyedihkan ini jelas membuktikan negara-negara Arab semakin renggang. Mereka bercakaran dalam berbagai isu sedangkan benua Arab sedang menghadapi berbagai masalah yang genting.

Seperti mana sidang kemuncak yang lepas-lepas, sidang kali ini begitu hambar. Resolusi-resolusi yang diluluskan merupakan ulang tayang kepada beberapa persidangan yang lalu. Meskipun ada antara resolusi seperti perdamaian Arab-Israel berdasarkan pertukaran tanah untuk perdamaian di Beirut tahun 2002 gagal mencapai kemajuan.

Pergeseran antara beberapa pemimpin menyukarkan sidang mencapai keputusan yang berkesan. Mereka juga mempunyai kiblat dan kebimbangan atas isu-isu yang berbeza.

Kebimbangan seumpama inilah menjadi punca kepada Perang Iran-Iraq pada tahun 1980. Saddam Hussein yang begitu terhina dengan perjanjian Algeirs tahun 1976 yang menetapkan sempadan Iran-Iraq di Shattal Arab terkena pancing negara-negara Teluk yang begitu takut dengan revolusi Iran.

Persengketaan

Saddam diberikan bantuan wang dan senjata untuk berperang. Jutaan rakyat kedua negara mati. Perang lapan tahun tersebut hanya menguntungkan tauke-tauke senjata dan pemimpin negara-negara Teluk yang menjadi penonton di kala Iran dan Iraq musnah.

Selepas perang negara-negara berkenaan mendesak supaya Saddam membayar hutang. Iraq bagaimanapun, tidak mampu kerana negara itu telah muflis. Maka berlakulah penaklukan Kuwait oleh Iraq.

Sidang kemuncak kali ini diadakan di saat-saat yang paling genting untuk umat Arab. Masalah Palestin yang berlarutan. Sementara di Iraq, persengketaan antara Sunni dan Syiah memakan korban yang besar.

Seperti mana filem ulang tayang, sidang kemuncak kali ini juga meluluskan resolusi menyokong Palestin, Iraq dan Syria. Ini termasuklah bantuan kewangan kepada Palestin.

Namun, resolusi tersebut tidak lebih daripada melepaskan batuk di tangga. Liga Arab dikatakan gagal menunaikan bantuan kewangan di masa-masa lalu. Kini setelah hampir-hampir dua bulan sidang kemuncak berlalu tidak ternampak sebarang penyelesaian terhadap masalah yang dibincangkan.

Bagaimanapun mengikut laporan terkini Raja Saudi merupakan orang paling kaya di kalangan ketua-ketua negara di dunia. Harta beliau dikatakan melebihi USD76 billion.

Lain-lain resolusi yang diluluskan tidak ubah seperti bunga-bunga yang akhirnya layu tanpa dihidu. Ini termasuklah gesaan supaya negara-negara dunia (barat) menghormati hak-hak rakyat Palestin memilih kerajaan yang mereka sukai. Menggesa Israel supaya menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dan membuka segala aktiviti nuklearnya kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Membelenggu

Dalam isu Palestin, nampaknya pemimpin-pemimpin Arab telah kehilangan tenaga. Negara-negara Arab telah jemu dengan isu-isu yang membelenggu mereka. Kalau benar-benar telah letih mereka hendaklah berusaha menyelesaikan masalah Palestin. Retorik selama 58 tahun tidak sampai ke mana-mana.

Hasilnya tanah yang dicadangkan untuk negara Palestin semakin kecil. Hari ini, tanah yang dicadangkan untuk negara Palestin hanya tinggal 20 peratus daripada 40 peratus peruntukan asal (tahun 1948).

Hasrat untuk mendapatkan semula keseluruhan Palestin hanya merupakan mimpi di siang hari. Tragedi yang menimpa rakyat Palestin dan Iraq adalah ekoran daripada mainan politik negara-negara Arab sendiri.

Saya sering tertanya-tanya, bagaimanakah agaknya peta Timur Tengah sekiranya dunia Arab menerima kewujudan Israel pada tahun 1948. Mungkin rakyat Palestin mempunyai negara mereka sendiri dan tidak tinggal di kem-kem pelarian.

Sayang sekali keputusan mengenai masa depan rakyat Palestin dibuat oleh pemimpin-pemimpin Arab tahun 1948 apabila mereka menyerang Israel.

Serangan tersebut berdasarkan nasionalisme Arab, keegoan pemimpin-pemimpin Arab serta sangkaan Israel lemah.

Akibatnya rakyat Palestin yang menjadi mangsa. Kini mereka dibiarkan bersendirian.

Read more!

Rebutan kuasa Barat–Islam

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 4 Jun 2006


Filem The Da Vinci Code berakhir dengan satu mesej yang boleh menggambarkan tentang kedudukan tamadun dunia berasaskan Barat ini.

Walaupun filem itu hanyalah fiksyen tetapi ia menyatakan bahawa kebenaran mungkin diselindungkan demi wujudnya ketenteraman dan kestabilan yang ada.

Maknanya kebenaran yang boleh merosakkan keselesaan banyak orang di seluruh dunia tidak wajar didedahkan. Biarlah manusia hidup dalam kepalsuan asalkan mereka berasa bahagia dan tenteram. Filem yang berdasarkan pada buku tulisan Dan Brown itu mengemukakan hakikat kononnya akidah Kristian yang ada sekarang tidak betul. Tetapi kebenaran ini tidak wajar didedahkan kerana kasihankan begitu banyak penganut agama itu yang selesa dengan kepercayaan mereka.

Di sinilah letaknya hakikat kepercayaan dunia Barat. Umumnya kebanyakan daripada mereka sudah tidak percaya kepada agama. Mereka sama ada merupakan ateis, agnostik atau skeptik. Iaitu tidak percaya Tuhan, tidak dapat memutuskan kepercayaan tentang Tuhan atau meragui agama.

Namun begitu, mereka tidak mahu menolak tradisi budaya dan intelektual yang berasal Kristian. Kepercayaan yang seolah- olah mereka miliki ialah menerima budaya Kristian dengan menolak kepercayaannya. Mereka tetap bersikap toleran terhadap kepercayaan agama Kristian tetapi pada waktu yang sama mahu pihak gereja turut menghormati pegangan bebas mereka.

Cara fikir seumpama ini sering kali dikaitkan dengan fahamn sekularisme, iaitu memisahkan agama dengan kehidupan bermasyarakat. Tetapi apa yang berlaku di Barat bukanlah begitu. Mereka menolak agama tetapi mahu berpegang pada tradisi budaya dan intelektualnya, tanpa menindas kalangan yang mahu terus teguh dengan kepercayaan Kristiannya.

Maka tidak hairanlah The Da Vinci Code bukan saja popular tetapi terdapat usaha bersungguh-sungguh untuk menyebarkannya di seluruh dunia. Di kalangan penganut agama Kristian, reaksi mereka berbeza. Ada segolongan kecil marah kerana ia melecehkan akidah agama Kristian. Tetapi kebanyakannya menerima bukan saja kerana bersikap toleran terhadap apa yang dianggap sebagai fiksyen tetapi mengalu-alukan sesuatu karya yang menggambarkan tradisi jati diri mereka. Iaitu berasaskan pada Kristian dan segala kehebatannya tetapi tidak terikat dengan agama dan kepercayaan. Justeru, cerita itu walaupun berkisar kepada kehidupan Jesus Christ dan konon keturunannya tetapi ia melibatkan banyak unsur Renaisans seperti Leonardo Da Vinci, Enlightenment dan Revolusi Industri dan Sains yang diwakili oleh Isaac Newton.

Perlu diingat bahawa Newton menganut fahaman Arianisme yang menganggap Jesus Christ sebagai seorang manusia dan bukan anak Tuhan.

Renaisans, Enlightenment dan Revolusi Sains mengandungi banyak unsur yang bertentangan dengan Kristian. Tetapi keseluruhan ini dianggap sah dan merupakan sebahagian daripada tradisi dan budaya Barat.

Di sinilah seolah-olah The Da Vinci Code mahu menampilkan bahawa Barat merupakan satu kepercayaan yang bukan Kristian tetapi berasal dan merangkumi Kristian.

Maka Barat bukanlah Amerika Syarikat (AS) semata-mata, ia mempunyai asal dan asas di Eropah. Maka begitulah novel The Da Vinci Code yang banyak berkisar di Eropah iaitu Perancis dan Britain. Dengan latar Itali yang kuat.

Sejak Perang AS ke atas Iraq, terdapat tanda-tanda perpecahan di kalangan dunia Barat dalam soal politik. Rusia, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Kanada tidak bersama AS.

Rusia, Perancis dan Jerman bercakap tentang multilateralisme. Konsep ini pula turut diperjuangkan oleh dunia bukan Barat, baik China, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan negara-negara berkecuali (NAM), Afrika dan Amerika Latin yang sudah menganggap diri mereka sebagai aliran kiri dunia.

Pembela

Dapat difahami bahawa AS tidak gemar terhadap gagasan multilateralisme. Ia mahu mempertahankan unilateralisme dan menampilkan dirinya sebagai satu-satunya kuasa yang memiliki hak, mampu dan berwibawa menjadi polis dunia yang bertanggungjawab.

Tetapi untuk berbuat demikian, AS perlu mewajarkan dirinya sekurang-kurangnya kepada dunia Barat. Washington harus menyatakan bahawa AS merupakan pembela kepada nilai-nilai dan tamadun Barat. Ia bukan soal agama tetapi adalah pertembungan dua tamadun berlainan nilai.

Di sinilah ia memerlukan sokongan padu negara-negara Eropah di belakangnya, khususnya Perancis dan Jerman. Peluang ini diperoleh melalui kartun menghina Rasulullah s.a.w. yang berlaku di Denmark. Maka dapat diungkapkan betapa umat Islam mempunyai nilai berbeza daripada barat.

Kalau Barat sudah kehilangan nilai-nilai penghormatan soal kesucian, orang Islam masih mempertahankannya.

Maka The Da Vinci Code menunjukkan bahawa Barat masih menghormati agama tetapi tidaklah fanatik terhadap satu-satu jenis kepercayaan. Bagaimana orang barat melayani The da Vinci Code berbeza dengan cara orang Islam melihat kartun-kartun Denmark itu.

Maka akhirnya dapat dilihat bahawa Scandinavia dan Eropah memiliki nilai yang sama dengan AS. Sementara dunia Islam yang wakilnya jelas melalui Iran adalah berbeza.

Dalam pertembungan antara AS dan Iran berhubung dengan pembangunan tenaga nuklear, maka terdapat elemen pertembungan nilai.

Teheran mempersoalkan mengapa dunia Barat dibenarkan memiliki senjata nuklear dan tidak Iran. Jawapannya mudah. AS dan Eropah tidak mempercayai Iran kerana negara Islam itu berbeza nilai, fahaman dan tradisi.

Kekuasaan dan dominasi adalah milik dunia Barat kerana mereka berasal daripada tradisi Kristian, tetapi tidak Iran. Bukan saja Iran, malah keseluruhan dunia Islam.

Mengapa Barat tidak boleh mempercayai umat Islam? Ini kerana umat Islam tidak dapat menerima hegemoni Barat. Walaupun banyak negara-negara Islam merupakan sekutu AS tetapi ia dilakukan atas kepentingan politik dan ekonomi. Tetapi di dalam jiwa, orang Islam mahu merdeka dan tidak tertakluk pada Barat.

Arab Saudi umpamanya adalah sekutu kuat AS tetapi rakyatnya berpegang kuat kepada kepercayaan Islam, hingga segelintir pula jadi ekstrem dan seleweng hingga melahirkan orang seperti Osama bin Laden yang menjadi ancaman kepada dunia Barat.

Apa yang Iran lakukan dipercayai mendapat sokongan kebanyakan orang Islam di seluruh dunia. Apa salahnya negara Islam berani tampil dan menuntut hak membina senjata nuklear sendiri?

Bukan itu saja, Presiden Iran, Mahmoud Ahmedinejad menyoal Holocaust dan hak orang Yahudi untuk menafikan orang Palestin daripada memiliki negara merdeka. Dalam wawancaranya di majalah Jerman, Die Spiegel minggu lalu belau menyatakan bahawa dunia Barat rela hidup dalam kepalsuan dan tidak toleran terhadap kepercayaan yang berbeza daripada apa yang diterima umum.

Mengingatkan kembali mesej The da Vinci Code, maka kemungkinan Barat juga merupakan satu fahaman yang memiliki doktrin dan mitos sendiri, termasuklah Holocaust.

Peristiwa kejam Holocaust itu dapat diterima benar-benar berlaku tetapi kesan daripadanya yang menimbulkan tanda tanya. Mungkin soal Holocaust sentiasa digembar-gemburkan supaya orang Eropah menerima hak Yahudi untuk memiliki negara Israel dan menafikan hak rakyat Palestin.

Dipulau

Mahmoud mempersoalkan mengapakah generasi Jerman hari ini yang tidak terlibat dengan Perang Dunia Kedua harus memikul kesalahan yang dilakukan oleh datuk nenek mereka?

Cuba bayangkan kalaulah ada penulis Barat yang mereka fiksyen mempersoalkan Holocaust. Pastinya bukan saja bukunya tidak diterbitkan. Jauh sekali filem mengenainya ditayangkan tetapi penulis itu akan dipulau dan dihina begitu rupa.

Di sinilah timbul tanda tanya mengenai dunia Barat itu sendiri. Pada satu ketika mereka bangga dengan tradisi kebebasan yang terlihat melalui Renaisans dan Enlightenment. Tetapi mengapa jika tentang Yahudi, mereka amat bimbang dicap sebagai anti-Semitisme lalu bersikap tidak toleran.

Mereka mampu memperlecehkan para nabi. Bukan saja Nabi Muhammad bahkan juga Jesus Christ. Tetapi kalau mengenai hak politik Yahudi, mereka anggapnya sebagai jauh lebih suci. Inilah dunia Barat dan adakah nilai-nilai sebegini baik?

Bekas Presiden Iran yang disukai Barat, Mohammad Khatami menganjurkan Dialog Antara Tamadun bagi mengendurkan pertembungan antara barat dan Islam. Cadangannya disambut baik oleh Vatican dan banyak golongan politik dan intelektual Barat.

Tetapi selagi dialog yang bersifat bertukaran idea peradaban, ia tidak menggusarkan Washington.

Apa yang menjadi masalah ialah apabila timbul soal politik, ekonomi dan pertahanan. Itulah yang timbul apabila Teheran pimpinan Mahmoud mahu membangun tenaga nuklear.

Soal Israel, minyak, globalisasi dan senjata pasti menimbulkan kesukaran hubungan antara Islam dan Barat.

Bagi umat Islam, soal peradaban, sama ada Renaisans, Enlightenment dan Revolusi Sains tidak menjadi masalah. Begitu juga dengan soal demokrasi dan hak asasi manusia. Malah tradisi intelektual Yahudi dapat diterima oleh dunia Islam. Lagipun tradisi Yahudi menyumbang besar kepada tamadun Islam, baik pada zaman Umaiah, Abasiah mahupun Uthmaniah.

Jamaluddin Al-Afghani, pelopor fahaman pan-Islamisme, pejuang pemulihan institusi khalifah dan boleh dikatakan antara bapa gerakan fundamentalisme Islam moden menerima perkembangan sains dan industri barat secara terbuka. Apa saja teori Barat daripada Charles Darwin, Sigmund Freud mahupun Karl Marx boleh didialogkan dalam dunia Islam.

Isunya bukan pertembungan tamadun atau intelektual. Tamadun Islam sendiri mewarisi intelektual Yunani dan Rom Bizantin dan kemudian turut bertransformasi apabila diasak dengan pemikiran daripada pihak penjajah.

Apa yang menjadi pertembungan seperti yang dapat disaksikan dalam konflik AS-Iraq dan AS-Iran ialah soal hegemoni Barat di dunia melalui kedudukan Israel, minyak dan kekuatan ekonomi. Kekuatan ini pula dikukuhkan oleh keampuhan tentera mereka yang didukung oleh penemuan sains dan teknologi.

Maka akhirnya pertembungan Barat dan Islam bukannya soal agama atau isu-isu keselamatan tetapi lebih kepada rebutan untuk mendapatkan kekuasan dan kekayaan. Barat mahu terus hidup selesa di atas peminggiran umat yang lain.

Ia bukan soal kaum atau ideologi. Isu-isu itu walaupun ada yang relevan hanya merupakan kesan dan penampilan sampingan.

Perkiraan sebenar terletak pada ketamakan yang tidak terhingga. Barat dari segi tamadun tidak menjadi masalah. Apa yang menjadi masalah ialah nilai tamak haloba. Ia boleh dianggap berhala kepada segelintir manusia yang tergamak menindas manusia-manusia lain.

Maka apabila Ayatollah Khomeini melabel AS sebagai “syaitan besar”, ia merujuk bukan pada negara atau pemimpin, tetapi lebih kepada satu ciri berbentuk ketamakan kepada kuasa dan kekayaan yang tidak berkehujungan.

The Da Vinci Code dipaparkan bahawa pemalsuan dan persaingan antara kumpulan-kumpulan rahsia dalam Kristian digerakkan bukan kerana kebenaran tetapi lebih kepada soal rebutan kuasa.

Adakah rebutan kuasa merupakan fenomena semula jadi manusia?

Read more!

Bahasa Melayu malang selalu

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 4 Jun 2006


Banyak yang tersinggung apabila sesetengah majikan meletakkan bahasa Mandarin sebagai syarat untuk diambil bekerja. Majikan ini tentulah terdiri daripada bukan Melayu dan mempunyai keyakinan bahawa menguasai bahasa Mandarin adalah satu kelebihan.

Kita yang mendukung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan memang wajar berasa terhina dan tersinggung. Masalahnya bukan tidak boleh menguasai bahasa Mandarin tetapi kita sudah ada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Ini kerana sekiranya kecenderungan majikan bukan Melayu terus bersikap demikian, tidak mustahil ini mendorong orang mempelajari bahasa Mandarin. Tujuannya untuk memudahkan mereka mendapat pekerjaan.

Isu majikan memilih bahasa Mandarin bukanlah dari aspek menambahkan siswazah menganggur. Itu bukan isunya kerana bahasa boleh dipelajari. Kalau kita tidak mahu menganggur terpaksalah belajar bahasa Mandarin.

Sebelum ini pun bahasa Melayu bukan semuanya laku di korporat-korporat besar di negara ini. Bahasa Melayu tidak laku kerana pihak majikan ada pilihan kepada bahasa Inggeris. Ini berbalik kepada sikap kita yang menerima bahasa Inggeris dalam semua perkara.

Sebenarnya isu bahasa Mandarin menghantar satu mesej yang lebih besar tentang sikap kita termasuk birokrat. Kita memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu dengan akta itu dan ini. Apabila sudah ada akta, maka lengkaplah perjuangan bahasa Melayu. Kita pun menjadi leka dan selesa.

Sekarang sudah terbukti akta atau undang-undang tanpa perlaksanaan tidak ada maknanya. Undang-undang tidak boleh bergerak sendiri menjulang bahasa Melayu kalau kita tidak meletakkan di tempat yang wajar.

Lihatlah kita ada Akta Bahasa Kebangsaan, tetapi tidak ada pun akta bahasa Mandarin. Kenapa dalam isu bahasa Mandarin, Akta Bahasa Kebangsaan tidak dapat menghalang orang daripada belajar bahasa Mandarin untuk mendapat kerja?

Syarat

Majikan yang mengutamakan pekerja bahasa Mandarin melaksanakan proses mendaulatkan bahasa Mandarin. Mereka tidak memerlukan akta itu dan akta ini tetapi mereka membuatkan bahasa Mandarin menjadi satu keperluan hidup.

Mereka mengkomersialkan bahasa Mandarin mengatasi bahasa Inggeris yang menjadi bahasa dunia. Pihak yang tidak berbuat apa-apa untuk menjulang bahasa Melayu tidak wajar berasa tersinggung dengan pendekatan radikal para majikan ini.

Memberi keutamaan kepada bahasa Mandarin bukanlah kerana urusan perniagaan semata-mata. Tetapi apabila ada syarat, pihak yang memerlukan pekerjaan terpaksa mengikut syarat. Inilah cara paling berkesan untuk mengembangkan penguna sesuatu bahasa.

Sewajarnya isu bahasa Mandarin ini memberikan kesedaran kepada kita bahawa bahasa Melayu selama ini diserahkan kepada akta semata-mata. Mempelajari bahasa lain selain bahasa ibunda bukanlah perbuatan yang melanggar tatasusila hidup.

Maka kalau majikan terus dengan syarat-syarat mereka, semua orang akan belajar bahasa Mandarin. Semua orang bukan saja mahir bertutur dalam bahasa Mandarin tetapi secara tidak langsung menaikkan kedudukan bahasa berkenaan.

Seperti biasa, kita selalu menganggap bahasa Melayu sebagai jambatan perpaduan. Maka tindakan majikan dilihat secara retoriknya sebagai tidak menjurus kepada perpaduan kaum di negara ini.

Tetapi secara jujur, apakah sekarang ini bahasa Melayu sudah kukuh sebagai jambatan perpaduan? Dalam keadaan bahasa Melayu seumpama kelas tiga, kita kena realistik bahawa kita tidak membuat sesuatu yang besar untuk menjulang bahasa Melayu.

Berubah

Realiti ini sebenarnya sangat pedih tetapi kita terpaksa menerimanya sehingga bahasa Melayu tidak boleh memberikan kita makan. Dasar mengenai bahasa Melayu tidak pernah berubah tetapi malangnya bahasa Melayu tidak kelihatan sebagai bahasa istimewa, dilindungi dan mempunyai tempat dalam semua kaum dan taraf sosial.

Kalau bahasa Melayu menerima dukungan yang kuat, kita pasti tidak menjadikan syarat berbahasa Mandarin sebagai suatu yang menggusarkan. Masalahnya bahasa Melayu tidak diberi keistimewaan, tidak boleh berbahasa Melayu pun bukan suatu yang mengaibkan.

Jadi, janganlah terlalu berduka dengan keistimewaan bahasa Mandarin. Ini hanya permulaan. Sebelum ini kerana bahasa Inggeris ada nilai dagang, dasar pendidikan kita juga ikut berubah. Selepas ini apabila bahasa Mandarin ada nilai dagang, kita pasti akan berubah lagi.

Kitalah yang tidak memberikan nilai dagang kepada bahasa Melayu yang kita tabalkan sebagai bahasa kebangsaan. Bergembira sajalah.

Read more!

Tragedi My Lai berulang di Haditha

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 4 Jun 2006


Sejarah pembunuhan beramai-ramai orang awam oleh tentera Amerika Syarikat (AS) berulang lagi. Malah bukan saja membunuh tetapi lebih buruk lagi menyembunyikan fakta serta berusaha menutup tragedi itu daripada pengetahuan dunia.

Ini adalah antara sikap buruk dan tidak bertanggungjawab AS yang semua dunia tahu. Kalau 38 tahun lalu tentera AS membunuh 300 orang awam di Kampung My Lai di selatan Vietnam, dalam perang AS-Iraq tentera marin AS membunuh 24 orang awam di Haditha, Iraq.

Kedua-dua tragedi pembunuhan kejam ini adalah serupa. Tentera AS mengabaikan etika dan membunuh orang awam yang bukan saja tidak bersenjata malah tidak terlibat apa-apa pun dalam konflik perang itu. Kedua-dua tragedi itu pula memperlihatkan kehadiran tentera AS di negara orang bukan untuk menyuburkan keamanan. Mereka menambahkan penderitaan dan kemarahan untuk melengkapkan diri sebagai satu bangsa yang hina.

Kedua-dua tragedi itu juga menunjukkan AS berusaha menutup, mengubah fakta, menyembunyikan saksi supaya kematian orang awam tidak menjerat AS di tribunal jenayah antarabangsa. Dalam kes My Lai, tragedi yang berlaku pada 16 Mac 1968 itu tidak didedahkan hasil siasatannya kepada umum. Kes ini ditutup sehinggalah dibongkar oleh wartawan penyiasatan Independent, Seymour Hersh pada 12 November 1969.

Dunia berterima kasih kepada wartawan. Selepas pendedahan eksklusif dalam Independent, pada 20 November majalah Time, Life dan Newsweek membuat laporan khas sementara stesen televisyen CBS juga membuat temu bual-temu bual eksklusif yang mengoncang kedudukan Richard Nixon sebagai Presiden, Penasihat Keselamatan Henry Kissinger serta Setiausaha Pertahanan Melvin Laird.

Tragedi My Lai yang ditutup rapat akhirnya terbongkar juga. Misi menyerang gerila termasuk tentera Viet Cong (VC) yang dipercayai berkubu di My Lai berakhir dengan tragedi pembunuhan beramai-ramai orang awam. Ketika AS berkuasa penuh di Vietnam, setidak-tidaknya dengan keganasan, siapa yang akan mendedahkan perilaku buruk tentera AS kepada dunia?

Perilaku

Kebebasan media telah mengatasi kuasa dan pengaruh AS untuk mendedahkan tragedi ini. Media telah melaksanakan tugas kepada masyarakat dengan jayanya apabila mendedahkan fakta sebenar My Lai.

Moral tentera AS selepas pendedahan sebenar tragedi My Lai jatuh mendadak. Kejahatan mereka terpampang di semua media dan mereka tidak berupaya untuk cuci tangan selepas rakyat di seluruh dunia percaya kepada kebebasan media dan wartawannya.

Itu kisah 38 tahun lalu di Vietnam. Tragedi Haditha pula berlaku pada 19 November tahun lalu di Haditha sebuah bandar yang sepi di lembah Euphrates. Kawasan ini dikenali sebagai kubu penentang AS, sama seperti My Lai 38 tahun lalu.

Ketika konvoi tentera AS melintasi Haditha, mereka diserang. Selepas diserang tentera AS membunuh secara kejam orang-orang awam di kawasan perumahah yang berhampiran. Orang yang dibunuh itu pun tidak tahu puak mana yang menyerang tentera marin AS.Pembunuhan berlaku dengan mudah kerana orang awam tidak sempat untuk menyelamatkan diri. Kanak-kanak dan wanita bergelimpangan, darah membasahi Haditha dan ini telah memecah kesunyian bandar mati ini.

Tetapi laporan yang dibuat oleh tentera AS kepada pihak berkuasa memihak kepada mereka. Semua yang dibunuh adalah antara orang yang berbalas tembak dengan tentera marin AS.Pada lapisan biasa memang wajarlah tentera marin AS membalas serangan puak penentang itu.

Dalam kata lain, tidak ada cerita yang menarik atau menimbulkan persoalan tentang pembunuhan di Haditha. Kepada media, pihak berkuasa tentera AS mengeluarkan kenyataan ringkas sekali gus menyembunyikan suatu yang besar sebenarnya telah berlaku di Haditha. Hasratnya adalah sama dengan tragedi di My Lai. AS cuba memberi gambaran kepada dunia bahawa di Iraq, manusianya sangat bahaya.

Semua ini adalah untuk mewajarkan apa saja yang dilakukan ke atas Iraq. Semasa merancang menyerang Iraq, Bush mengatakan faktor utamanya kerana loji nuklear Iraq yang boleh menghancurkan dunia. Iraq juga digelar negara paksi segala kejahatan kerana dikatakan mempunyai pertalian dengan serangan pada 11 September 2001 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York.

Maruah

Tetapi selepas Presiden Saddam Hussein tumbang, Iraq hancur, maruah rakyat Iraq dipersendakan alasan utama semasa menyerang dulu belum ditemui. Loji nuklear Iraq sehingga kini tidak wujud, AS menggunakan kuasanya memaksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi lesen untuk menyerang Iraq.

Kisah sebenar Haditha tenggelam dan tertimbus. Pembunuhan orang awam semacam tidak ada pembelaan. Nyawa mereka tidak bernilai. Mereka mati kerana teraniaya dan yang hidup tidak pula mendapat peluang untuk menegakkan keadilan. Siapa yang kisah dengan pembunuhan 24 orang tidak berdosa di Haditha?

Wartawan dan media sekali lagi menjadi penegak keadilan.Dalam keadaan banyak pihak sangsi dengan ketelusan media, dalam kes Haditha, media telah mengembalikan kepercayaan orang banyak. Sehari selepas tragedi, seorang wartawan tempatan, Taher Thabet merakamkan kesan pembunuhan itu.

Bayangkan hasil rakaman video itu menunjukkan mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak dan wanita Islam bergelimpangan bergelumang darah dalam pakaian tidur. Sementara di siling, dinding dan lantai penuh dengan kesan peluru. Inikah penyerang yang menembak tentera marin AS? Fakta ini tidak ada dalam laporan siasatan.

Pendedahan di sebalik tragedi Haditha disiarkan dalam majalah Time pada Januari lalu. Selepas pendedahan eksklusif itu, pihak tentera AS membuat penyiasatan tetapi ada kecenderungan untuk menutup kes ini. Tetapi kini semuanya terbongkar. Haditha adalah tragedi kemanusiaan yang tidak kurang tragisnya.

Dari sisi lain, tragedi ini membuatkan dunia mempersoalkan etika tentera AS selepas melakukan perkara yang sama di Vietnam.

Kedua-dua tragedi pembunuha orang awam di atas mempunyai banyak persamaan. Semasa tragedi My Lai, bekas Setiausaha Negara AS, Colin Powell seorang tentera berpangkat mejar tetapi masih muda.

“Saya berada dalam unit yang bertanggungjawab ke atas tragedi My Lai,” demikian pengakuan Powell pada 4 Mei 2004. Powell juga antara orang yang bertanggungjawab menghancurkan Iraq pada 2003.

Selepas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan Bush mengakui bahawa menyerang Iraq adalah satu kesilapan, untuk apa lagi tentera AS berada di Iraq? Kerana silap membuat keputusan, sengsaranya adalah rakyat Iraq. Kesilapan tidak boleh ditebus, yang boleh dilakukan ialah membetulkannya.

Cara membetulkan ialah mengeluarkan tentera AS dengan segera dari Iraq. Ini kerana semakin lama mereka di Iraq, mangsa mereka bukanlah musuh tetapi orang awam yang tidak ada kena-mengena dengan AS.

Read more!

Kepentingan konsep kedaulatan raja

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 3 Jun 2006


HARI ini ialah Hari Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalulail.

Bukanlah hari ini merupakan hari keputeraan sebenar Seri Paduka. Hari Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong ini merujuk kepada institusi tertinggi pemerintahan negara Malaysia.

Sememangnya dari segi amalan banyak negara-negara beraja di dunia, hari keputeraan mereka merupakan Hari Kebangsan masing-masing.

Tetapi sistem di Malaysia tidak meletakkan seseorang raja memerintah sepanjang hayatnya, sebaliknya kedaulatannya terhad pada tempoh lima tahun dan digilirkan antara Raja-raja Melayu melalui pemilihan yang dibuat di kalangan baginda dalam Majlis Raja-Raja.

Justeru untuk meraikan institusi Yang di-Pertuan Agong ini dipilih satu hari ulang tahun keputeraan yang ditetapkan setiap hari Sabtu pertama bulan Jun tidak kira tarikh sebenar hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Institusi Yang di-Pertuan Agong ini mula berfungsi dengan perisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Sistem ini kemudian diteruskan oleh Malaysia apabila ia ditubuhkan pada 16 September 1963.

Justeru Yang di-Pertuan Agong Tanah Melayu ketiga, Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalulail menjadi Yang di-Pertuan Agong pertama Malaysia.

Sungguhpun begitu, merujuk sebagai satu institusi tersendiri yang bebas daripada kedudukan wilayah kedaulatannya, Yang di-Pertuan Agong sekarang tetap dianggap sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12.

Yang di-Pertuan Agong merupakan institusi tertinggi dalam Perlembagaan Malaysia dan ia melambangkan kedaulatan kerajaan Kuala Lumpur ke atas wilayah-wilayahnya, sama ada terhadap Tanah Melayu, mahupun setelah penubuhan Malaysia, di peringkat awal termasuk Singapura, dan kemudiannya tanpa pulau itu sejak 15 Ogos 1965.

Namun begitu, kedudukan Yang di-Pertuan Agong hanya bersifat wakil kepada Raja-raja Melayu yang berdaulat di sembilan negeri-negeri Melayu di Malaysia.

Di negeri-negeri inilah terletak sebenar kedaulatan yang kemudian digabungkan dalam bentuk Persekutuan Malaysia dengan kekuasaan dibahagi-bahagi antara pihak persekutuan, antara pusat dan negeri menurut Perlembagaan Malaysia.

Kedaulatan

Sembilan Raja-raja Melayu mempunyai kedaulatan ke atas negeri masing-masing dan sebagai anggota Majlis Raja-Raja, mereka mewakilkan salah seorang raja-raja Melayu ini untuk mewakili mereka sebagai pemegang kedaulatan bagi seluruh Malaysia di pihak persekutuan.

Sementara negeri-negeri tidak beraja turut menerima kedaulatan Yang di-Pertuan Agong ke atas mereka melalui keanggotaan dalam Persekutuan Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong melantik gabenor-gabenor dan Yang Dipertua Negeri untuk melebarkan kedaulatannya ke atas negeri itu sementara mereka pula mempunyai wakil dalam Majlis Raja-Raja tetapi tidak mempunyai hak mengundi atau menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum kemerdekaan Tanah Melayu, kedaulatan Raja-raja Melayu hanya terhad kepada negeri masing-masing. Wilayah-wilayah Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah sudah berada di bawah kedaulatan Ratu Inggeris. Pulau Pinang, melaka dan Singapura adalah sebahagian daripada negeri-negeri Selat milik penjajah Inggeris. Kedaulatan Sarawak pula terletak pada keluarga Raja Brooke yang kemudian menyerahkan negeri itu kepada Inggeris. Sabah yang dikenali sebagai Borneo Utara sudah menjadi tanah jajahan Inggeris.

Sememangnya sebelum kedatangan penjajah, wilayah-wilayah ini terletak di bawah kedaulatan Raja-raja Melaka. Melaka adalah pusat Kesultanan Melaka yang kedaulatannya meliputi banyak wilayah di Sumatera dan Semenanjung Melayu, termasuklah Singapura. Pulau Pinang pula adalah sebahagian daripada wilayah kedaulatan Kesultanan Kedah. Sarawak merupakan sebahagian daripada wilayah Kesultanan Brunei dan Sabah pula menjadi sebahagian daripada kedaulatan Kesultanan Sulu.

Kebanyakan kesultanan Melayu zaman silam mempunyai susur galur daripada Kesultanan Melaka yang kedaulatannya sampai ke Brunei dan Pattani.

Nama Kesultanan Melaka adalah ciptaan ahli sejarah. Pada zamannya ia hanya dikenali sebagai Kesultanan Melayu dan pewaris kepada kerajaan Sri Wijaya yang pernah memerintah Sumatera dan Semenanjung dari Palembang.

Perbezaan utama Sri Wijaya dan Melaka ialah agama asas pemerintahannya iaitu Islam. Kerajaan Sri Wijaya berasas pada Hindu-Buddha. Bagaimanapun ia mempunyai asas kedaulatan yang dicipta awal lagi sebelum kedatangan agama Buddha dan Hindu dari India.

Konsep kerajaan Melayu tercipta daripada tamadun Sri Wijaya ini. Hubungan kedudukan antara raja dan rakyat dengan indah diungkapkan melalui kitab Sejarah Melayu. Di situlah diceritakan bagaimana terdapat dua raja bersaudara, Datuk Temenggong dan Datuk Perpatih. Temenggong mewujudkan sistem adat berasaskan lelaki sementara Perpatih berasaskan wanita.

Dalam pertembungan ini, Adat Perpatih bertapak di Minangkabau sementara Adat Temenggong di lain-lain tempat. Tetapi kedua-dua adat Melayu ini saling lengkap-melengkapi dan di Tanah Melayu, sistem perpatih ini terdapat di Negeri Sembilan. Ia turut menyumbangkan kepada kaedah sistem institusi Yang di-Pertuan Agong. Ini kerana pelantikan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan adalah berasaskan sistem pemilihan antara sembilan raja.

Pemilihan

Dalam sistem moden Malaysia, pemilihan Raja-raja Melayu juga adalah antara sembilan raja.

Kejatuhan Seri Wijaya menyaksikan kemunculan kerajaan-kerajaan di Melaka dan Jawa. Kedua-dua Melaka dan Jawa mewakili pola sistem kedaulatan dalam politik orang Melayu.

Ketika Jepun datang ke Nusantara di dapati kedaulatan Raja-raja Melayu di tanah jajahan Belanda telah musnah. Tetapi di Tanah Melayu dan Brunei, kedaulatan raja-raja Melayu sebagai kesinambungan kepada Kesultanan Melaka yang berpindah menjadi Kesultanan Johor-Riau Lingga masih wujud.

Walaupun terpaksa tunduk pada Jepun, kedaulatan Raja-raja Melayu masih sah. Ia hanya tercabar dan dimansuhkan apabila Malayan Union ditubuhkan.

Raja-raja Melayu telah menandatangani penyerahan kedaulatan kepada Britain. Malayan Union meletakkan keseluruhan Malaya di bawah raja Inggeris.

Setelah orang Melayu yang digerakkan UMNO membantah dan akhirnya Malayan Union dimansuhkan, maka Persekutuan Tanah Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1955 memulihkan kedaulatan Raja-raja Melayu di sembilan negeri Melayu.

Dengan kemerdekaan, kedaulatan Raja-raja Melayu melalui institusi Yang di-Pertuan Agong meliputi kembali kepada Melaka dan Pulau Pinang. Penubuhan Malaysia pula membawa kepada kedaulatan Raja-raja Melayu turut meliputi Sarawak, Sabah dan Singapura.

Konsep kedaulatan adalah berbeza daripada kekuasaan. Kekuasaan terletak pada kerajaan eksekutif yang dipilih oleh rakyat melalui sistem Parlimen. Sistem yang diamalkan oleh Malaysia ialah Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Keseluruhan sistem ini mempunyai asal usul daripada Magna Carta antara Raja Inggeris dan pembesar-pembesar mereka yang merintis kepada konsep raja berperlembagaan.

Amalan demokrasi Westminster di negeri ini pula diubahsuai dalam menggubal konsep federalisme perlembagaan India. Perlembagaan India secara terperinci menjelaskan kekuasaan negeri dan pusat.

Maka konsep federalisme India dan raja berperlembagaan Britain ini menjadi asas kepada penggubalan Perlembagaan Malaysia berhubung dengan sistem raja berperlembagaan.

Namun konsep kedaulatan raja-raja dan sistem penggiliran dan pemilihan dalam institusi Yang di-Pertuan Agong berasal daripada tradisi tamadun politik Melayu sejak zaman kerajaan Sri Wijaya dan Kesultanan Melaka.

Read more!