Maruah yang tercemar

Oleh: ROSNAH MAJID
Sumber: Utusan Malaysia 23 September 1999


ANDAINYA para pejuang kemerdekaan Indonesia bangun semula dari kubur, mereka sudah tentu akan menangisi keadaan yang sedang dilalui oleh negara itu sekarang.

Apa tidaknya, kemerdekaan yang diperoleh dengan nyawa dan darah telah tergadai kini.

Sejarah perjuangan kemerdekaan Indonesia daripada Belanda, sangatlah menyayat hati. Indonesia bukan menerima kemerdekaan pada tahun 1947 dalam dulang emas, sebaliknya membayar dengan jutaan nyawa terkorban. Inilah perkara yang sering menjadi kebanggaan rakyatnya. Malah para pejuang kemerdekaan negara itu berusaha keras membina sebuah republik besar yang terdiri daripada beribu pulau dengan penduduk berbagai suku kaum dan agama, tetapi disatukan melalui semangat nasionalisme ''satu bangsa Indonesia''.

Cerita bagaimana para penarik beca di Jakarta memasang bendera pada beca masing-masing di setiap 17 Ogos, hari kemerdekaan menggambarkan jiwa nasionalisme rakyatnya yang menjadi kebanggaan. Akan tetapi apa yang berlaku ke atas Indonesia sejak setahun lalu membuktikan betapa rapuhnya nasionalisme tersebut. Betapa dalam hanya satu generasi, kemerdekaan yang begitu sukar diperoleh telah tergadai.

Apa yang berlaku di Indonesia memberi pengajaran yang besar kepada kita di Malaysia. Nasib yang menimpa rakyat Indonesia bermula dengan masalah keruntuhan ekonomi yang disebabkan oleh serangan terhadap nilai rupiah oleh penyangak mata wang. Akibat serangan itu, ekonomi Indonesia yang sebelum itu merupakan salah sebuah ekonomi membangun yang dianggap ''naga'' runtuh. Tekanan ke atas ekonomi negaranya menyebabkan Presiden Suharto bersetuju menerima apa yang dijanjikan sebagai ''pakej bantuan IMF'' (tabung mata wang antarabangsa) yang dianggap boleh menyelamatkan negara itu.

Sebenarnya pakej bantuan itu adalah laluan kemasukan penjajahan bentuk baru yang menghakis kemerdekaan negara tersebut. Penerimaan bantuan IMF ini telah mendedahkan Indonesia kepada campur tangan asing, satu demi satu, yang telah menodai kemerdekaan negara tersebut tanpa had.

Sewaktu kempen pilihan raya umum awal tahun ini, beberapa pemimpinnya tanpa segan silu menjemput kuasa asing untuk turut campur tangan dalam hal ehwal politik negara itu. Pemimpin Parti PAN, Amien Rais secara terbuka meminta Amerika Syarikat (AS) mencampuri urusan politik Indonesia.

Demikian pula dengan media Indonesia, tidak mengecam campur tangan asing yang terang-terang berada di negara itu. Malah mereka umpama bersubahat merestui kemasukan orang-orang asing untuk menentukan hala tuju Indonesia. Kini selepas setahun menerima pakej bantuan IMF bagi memulihkan ekonomi serta keghairahan beberapa pemimpin politiknya menjemput AS campur tangan dalam politik negara itu, akhirnya rakyat Indonesia kini merasai kesannya.

Kalau sebelum ini tunjuk perasaan oleh anak-anak muda di Jakarta menuntut reformasi dan demokrasi sehingga kerajaan Suharto tumbang, kini anak-anak muda yang sama kembali semula ke jalan-jalan raya membantah campur tangan asing ke atas negara mereka. Mereka membakar bendera AS, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Australia.

''Setelah setahun menerima pakej bantuan IMF, kini barulah anak-anak muda Indonesia mahu membuat tunjuk perasaan membantah campur tangan asing. Sekarang baru timbul soal nasionalisme,'' demikian ulas wartawan CNBC dengan nada sinis. Apa yang dilihat sekarang ini adalah hasil tunjuk perasaan menuntut reformasi dan demokrasi. Apa yang mereka dapat? Buat permulaannya, mereka dapat pakej bantuan kewangan yang sering ditangguh-tangguhkan, yang ternyata lebih memburukkan keadaan ekonominya daripada memulihkannya.

Antara syarat IMF ialah menutup 16 buah bank dan menghapuskan subsidi minyak yang menyebabkan beratus ribu rakyat hilang pekerjaan serta harga barang melambung tinggi. Akibatnya, kegawatan ekonomi menjadi kegawatan politik. Kegawatan politik itu diperlukan untuk menjatuhkan Suharto.

Sebagai sebuah bangsa besar, Indonesia sanggup menerima kemasukan pemerhati asing bagi menjadi ''mata-mata'' kepada pilihan raya umum pada bulan Mei lalu. Ternyata tangan mereka telah dipulas. Mereka dalam tekanan. Mereka tidak berdaya melawannya. Keadaan begini menjadi lebih ketara dalam isu Timor Timur. Tekanan telah membuatkan Presiden B.J. Habibie bersetuju untuk mengadakan pungutan suara di kalangan penduduk wilayah yang strategik itu. Pungutan suara tersebut diawasi dengan ketat oleh pihak PBB. Seperti yang diduga, keputusannya, 78.5 peratus rakyat Timor Timur menolak tawaran autonomi dan memilih untuk merdeka.

Apabila berlaku kacau bilau di wilayah itu, PBB, AS dan Australia mahukan Indonesia menerima tentera PBB untuk memastikan Timor Timur aman. Kerajaan Habibie dan Panglima Angkatan Tenteranya, Jeneral Wiranto berkata Indonesia mampu memulihkan keamanan di wilayah bekas tanah jajahan Portugis itu tanpa campur tangan PBB. Ternyata Indonesia gagal bertahan. Tangan mereka sekali lagi dipulas. Akhirnya, Habibie membuat pengumuman dalam Bahasa Inggeris menyatakan Indonesia bersetuju menerima kemasukan tentera PBB.

Kemudiannya jurucakap Habibie, Dewi Fortuna Anwar berkata Indonesia ''lebih senang melihat wajah-wajah ASEAN'' yang merujuk kepada kemahuan negara itu supaya ASEAN mengetuai operasi tentera PBB dan tidak mahu Australia, AS, Portugal di dalamnya.

Dengan kata lain, Indonesia mahu mempunyai hak bersuara dalam menentukan negara mana yang akan menghantar tentera ke Timor Timur di bawah panji PBB.

Namun, Menteri Luar British, Robin Cook berkata, ''Indonesia tidak ada hak untuk menentukan negara mana yang akan dihantar ke Timor Timur.'' Perdana Menteri Australia, John Howard pula berkata, ''Australia tetap akan menghantar tenteranya ke Timor Timur sama ada Indonesia bersetuju atau tidak.'' Seperti diduga, keputusannya, PBB memilih Australia mengetuai operasi tentera PBB di Timor Timur.

Timor Timur mungkin kecil dari segi saiznya dan tidak signifikan di segi pembangunannya sebelum ini, tetapi kini ia membawa makna yang besar bagi masa depan Indonesia khasnya dan rantau Asia keseluruhannya. Australia yang telah lama mengidam untuk menjadi kuasa terulung di Asia sedang membuktikannya di Timor Timur. Bagi republik Indonesia, apakah kemerdekaan Timor Timur ini sebagai satu permulaan kepada keruntuhannya. Apakah selepas ini satu demi satu wilayah yang membentuk republik Indonesia menuntut kemerdekaan? Acheh, Kalimantan, Sumatera, Sulawesi, Ambon. Apakah akhirnya yang dikatakan Indonesia itu hanya tinggal Pulau Jawa sahaja, sebagaimana Rusia? Jika berlaku keruntuhan republik Indonesia bererti terjadinya keruntuhan negara Islam terbesar di dunia, kehancuran sebuah kuasa Melayu yang terkuat dan berkecainya kuasa besar terulung di ASEAN.

Apa yang berlaku kepada Indonesia ini tentu sekali disenangi oleh negara-negara yang bimbangkan kekuatan Indonesia selama ini, tetapi akan ditangisi oleh jiran serumpun sebangsanya. Jikalah Sukarno dengan karismanya menyatukan bangsa Indonesia dihidupkan semula hari ini, Allahyarham tentu akan menangisi akan nasib bangsanya. Apa agaknya yang akan diperkatakan kepada puterinya, Megawati Sukarnoputri?

Read more!