Idola dan budaya popular

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Utusan Malaysia 1 November 2004


Siapa sebenarnya yang layak menjadi idola? Tokoh korporat, sasterawan, ahli sukan atau artis yang berada dalam lingkungan budaya popular? Secara rambang artis dikatakan idola kepada sekian banyak remaja yang seusia.

Tidak banyak remaja yang menjadikan tokoh korporat idola mereka. Jauh sekali sasterawan kerana remaja kita rata-ratanya antisastera kononnya mereka cuba menjadi manusia maju. Kerana itu nilai seorang sasterawan pada ukuran komersialnya lebih kecil daripada artis.

Artis yang menjadi idola sebenarnya tidak bersendirian. Mereka tidak boleh menjadi idola remaja kalau sekarang ini bukan era pasca modenisme. Dalam era pasca modenisme, media khususnya elektronik memainkan peranan besar untuk mencipta idola demi idola.

Media pada era pasca modenisme mencipta keagungan budaya popular yang di dalamnya ada golongan artis. Media mencipta satu bayangan keunggulan hingga artis menjadi sangat luar biasa dan dihalang hidup secara biasa.

Memang agak aneh apabila khalayak pada umumnya mahu mengetahui apa saja perkembangan mengenai artis. Biarpun mereka sewajarnya ada perkara lain yang lebih besar untuk diketahui, mereka tetap tidak mahu ketinggalan perihal idola mereka.

Barangkali yang dianggap idola belum layak menjadi idola. Misalnya belum ada kejayaan besar yang menyumbang kepada masyarakat sekeliling mereka. Tetapi kerana ada elemen popular, maka artis menjadi pilihan terbanyak untuk dijadikan idola. Gaya berpakaian, beraksi di pentas malah cara berkomunikasi akan menjadi ikutan. Secara tanpa sedar budaya popular yang terpancar menerusi perilaku artis tadi menjadi perhatian para kapitalis untuk mengaut untung.

Lihat saja Zahid yang baru saja menjadi juara Akademi Fantasia 2, kini tidak ada manusia yang lebih popular daripada Zahid sekalipun dia menyanyikan lagu penyanyi lain. Budaya popular tidak pernah mempersoalkan kualiti tetapi pengaruh.

Maka jangan merasa cemburu kalau Zahid umpamanya menjadi model iklan kad prabayar dan mungkin banyak lagi tawaran selepas ini. Zahid dilahirkan dalam ledakan budaya popular yang menunya ditentukan oleh televisyen.

Dalam kehidupan pasca modenisme, yang berlaku kepada Zahid atau rakan-rakan artis lain bukanlah luar biasa. Ini kerana mereka menjadi sebahagian daripada faktor yang menyuburkan budaya popular di kalangan masyarakat.

Laras kehidupan pasca modenismelah yang menjadikan budaya popular lebih penting daripada budaya masyarakat. Maka idola yang lahir di sekeliling kita hari ini adalah hasil daripada hebatnya pengaruh budaya popular.

Kita sudah tidak ada masa untuk menyoal apakah seseorang itu layak menjadi idola kepada ke sekian banyak kelompok yang memujanya. Malah kita juga tidak mahu dianggap kolot untuk berada di luar arus perdana sekalipun kita mempunyai pendirian yang berbeza.

Sekiranya yang menjadi idola tidak mampu dijadikan motivasi, yang ruginya adalah pengagum mereka. Pengagum hanya arif isu skandal idolanya. Idolanya tidak rugi apa-apa. Lebih-lebih lagi kapitalis yang akan memperdagangkan idola baru selepas idola lapuk ditelan zaman.

Read more!