Hipokrasi demokrasi Barat

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 30 Januari 2006


Di kalangan intelektual politik di Amerika Syarikat (AS), termasuk yang berada di Harvard, khususnya daripada kalangan aliran konservatif yang berfikir untuk parti Republican, terdapat gambaran bahawa Islam merupakan agama antidemokrasi.

Malah mereka mengategorikan Islam politik (political Islam) sebagai aliran pelampau kanan, digolongkan bersama dengan fasisme yang tidak boleh hidup dalam dunia demokrasi.

Hujah mereka mudah. Di seluruh dunia Islam, dari Maghribi hingga ke Malaysia, tidak ada demokrasi sistem dua parti.

Hakikat bahawa banyak negara Islam melaksanakan proses pilihan raya dipandang serong dengan mengutarakan pelbagai hujah bahawa apa yang berlaku bukanlah demokrasi sebenar.

Malah Malaysia yang mengamalkan demokrasi sejak negara mencapai kemerdekaan tidak begitu dibanggakan Barat. Maka diutarakan betapa negara ini memiliki pelbagai peraturan dan undang-undang yang bagi mereka menghalang pewujudan demokrasi sebenar.

Indonesia yang mempunyai pilihan raya langsung bagi pemilihan presiden juga tidak begitu dihargai barat, kerana sistem di Indonesia tidak memperlihatkan bentuk dua parti, pembangkang dan kerajaan.

Apatah lagi dengan Iran. Penolakan taraf sah bagi banyak calon presiden dalam pilihan rayanya menyebabkan sistem di Republik Islam itu dipandang tidak demokratik.

Turki, sebuah negara sekular sekutu AS yang mengamalkan sistem pilihan raya juga dianggap belum benar-benar demokratik kerana pengaruh besar tentera dan soal hak asasi Kurdis hingga ia menjadi alasan bagi Kesatuan Eropah (EU) menolak hasrat Ankara menjadi anggotanya.

Bagi golongan intelektual Barat ini, negara Islam yang benar-benar demokratik adalah Afghanistan dan Iraq kerana kedua-duanya berada di bawah pemantauan mereka dalam melaksanakan proses pilihan raya.

Maka tidak hairanlah seringkali apabila timbul isu palestin, maka sokongan diberi kepada Israel kerana ia dianggap satu-satunya entiti demokratik di Asia barat, kerana sifat Israel yang demokratik, maka wajib AS dan Barat mempertahankan. Israel dilihat sebagai kubu demokrasi.

Sebaliknya Palestin yang dipandang sebagai salah sebuah entiti Arab tidak berupaya mengamalkan sistem demokrasi. Jika Palestin dibenarkan wujud sebagai negara merdeka, ia tidak akan menjadi demokratik kerana sistemnya mengikuti apa yang berlaku di lain-lain negara Arab khususnya Mesir, Syria dan Iraq zaman Saddam Hussein.

Lebih-lebih lagi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dengan Al-Fatah sebagai organisasi utama tidak mengamalkan sistem demokrasi dan mempunyai fahaman seperti lain-lain negara radikal Arab yang mendapat ilham daripada nasionalisme Gamal Nasser di Mesir.

Demokrasi

Allahyarham Yasser Arafat yang menjadi pemimpin Palestin begitu lama dikategorikan sama dengan diktator Arab lain pada zamannya seperti Gamal Nasser, Hafez Assad (Syria), Saddam Hussein, Muammar Gaddafi (Libya) dan Jaafar Numeiri (Sudan).

Maka hujahnya, dunia tidak patut menyokong Palestin kerana ia tidak demokratik.

Apabila sebuah negara Arab yang pernah nyaris-nyaris menjadi sebahagian daripada Perancis iaitu Algeria memperkenalkan demokrasi melalui langkah awal mengadakan pilihan raya bandaran, hipokrasi Barat terhadap demokrasi jelas terbayang.

Dalam pilihan raya itu, parti berhaluan Islam, Barisan Penyelamat Islam (FIS) menang dan rejim tentera Algiers ketika itu bertindak menghalang pengiktirafannya.

Barat menyokong tindakan Algiers menghalang demokrasi. Ini kerana Barat tidak dapat menerima kemenangan FIS. Hujahnya ialah walaupun rakyat Algeria menyokong FIS tetapi pemilihannya mesti ditolak kerana parti itu dikatakan akan menamatkan demokrasi di Algeria.

Tetapi hakikat bahawa rejim tentera Algiers yang tidak demokratik kerana membatalkan pilihan raya itu tidak diambil kira dengan sewajarnya.

Senario ini berulang dengan kemenangan Hamas dalam pilihan raya Palestin baru-baru ini. AS tidak mahu mengiktiraf kemenangan Hamas walaupun secara demokrasi dengan jelas rakyat memilih pertubuhan itu.

AS dan Israel hanya mahu berunding dengan Fatah walaupun majoriti rakyat tidak memilih mereka. Demokrasi apa yang diinginkan Barat kalau tidak hipokrasi? Jika rakyat Palestin memilih Fatah, maka barulah demokrasi di Palestin diterima. Sedangkan hakikat demokrasi adalah mengiktiraf pilihan rakyat.

Hujah pertama AS dan Israel dalam menolak kemenangan Hamas ialah parti itu tidak mengiktiraf Israel, malah mahu menghancurkannya.

Tetapi hakikat bahawa negara Palestin sudah lama dihancurkan oleh rejim tel Aviv atas sokongan AS tidak diambil kira. Hamas baru berhasrat memusnahkan Israel tetapi rejim Tel Aviv telah lama menghancurkan Palestin.

Sementara rejim Tel Aviv sejak penubuhannya tidak pernah mahu mengiktiraf negara Palestin. Bagaimana Hamas mahu mengiktiraf Israel yang tidak pernah mengiktiraf Palestin?

Hujah kedua AS dan Israel ialah Hamas merupakan pertubuhan pengganas. Sedangkan Parti Buruh atau Parti Likud yang secara bergantian menang pilihan raya Israel tidak perlu menjadi pengganas kerana keganasan dilakukan oleh tentera Israel.

Hamas perlu dilihat dalam dua bentuk. Pertama, sebagai badan politik yang menyertai pilihan raya dan membentuk kerajaan. Kedua, sayap bersenjata yang melakukan tindakan ketenteraan. Sebagai negara, Israel mampu memiliki angkatan tenteranya. Tetapi dalam keadaan sedang berjuang, sudah tentu Hamas memerlukan sayap bersenjatanya untuk mempertahankan negara.

Maka tidak hairanlah jika Fatah melakukan bantahan terhadap kemenangan Hamas itu secara kekerasan dengan menceroboh Parlimen. Tindakan mereka pasti akan disokong oleh AS dan Israel. Ia menunjukkan demokrasi hipokrasi Barat.

Read more!

Implikasi kemenangan Bachelet

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 22 Januari 2006


KEMENANGAN Michele Bachelet sebagai Presiden Chile dialu-alukan di seluruh dunia sebagai satu lagi petanda bahawa manusia sejagat sedang dalam proses memilih kaum wanita sebagai pemimpin politik mereka.

Tanda-tanda dunia sedang menerima kepimpinan wanita diperkukuhkan bukan saja oleh kemenangan Bachelet tetapi juga oleh Ellen Johnson Sirloif yang menang pilihan raya Liberia pada hari yang sama.

Tetapi dari sudut politik, kemenangan Bachelet memberi erti lebih besar terhadap ideologinya. Kemenangan beliau mengukuhkan kedudukan aliran kiri di benua Amerika Latin yang turut menyaksikan sebuah lagi negara iaitu Bolivia yang memilih calon Movimiento al Socialismo, Evo Morales sebagai presiden.

Kemenangan Morales menunjukkan bahawa apa yang gagal dicapai oleh Che Guevara melalui revolusi bersenjata dapat diraih melalui jalan damai demokrasi.

Fenomena gerakan kiri di Amerika Latin dalam era pasca Perang Dingin bermula dengan kemenangan pemimpin kiri, Hugo Chavez bagi jawatan presiden Venezuela. Ini diikuti oleh Luico Gutierez dari Ecuador dan Luiz Inacio Lula la Silva, pemimpin Parti Pekerja di Brazil pada tahun 2002.

Dalam tahun 2004, calon sosialis Nestor Kirchner memenangi jawatan presiden Argentina. Tahun lalu, Tabare Ramon Vazquez Rosas menang pilihan raya Uruguay. Langkah pertama beliau ialah memulihkan hubungan negaranya dengan Cuba. Calon berikutnya yang dijangka akan menambah jalan kiri Amerika Latin ialah Manuel Laor Obrador, Datuk Bandar sosialis Mexico City yang bercita-cita hendak mencabar presiden negaranya.

Namun begitu, parti Bachelet, Parti Sosialis Chile telah memerintah negaranya dalam satu kerajaan campuran kiri-tengah lebih awal lagi iaitu pada tahun 1990 selepas kejatuhan kediktatoran Jeneral Augusto Pinochet.

Semasa kediktatoran Pinochet, Bachelet turut menjadi mangsa. Pada tahun 1975, beliau ditahan, diseksa dan dibuang ke Australia. Pada tahun 1982, beliau layak menjadi doktor bedah dan pada tahun 1995, Bachelet dilantik sebagai jawatankuasa Pusat Parti Sosialis.

Kerajaan kiri Chile pimpinan Ricado Lagos melantik beliau sebagai Menteri Kesihatan pada tahun 2000. Walaupun aliran kiri, Lagos memilih polisi pasaran bebas dan ia menjadikan Chile antara negara memiliki ekonomi paling kuat di benua itu. Pada tahun 2002, beliau dilantik sebagai Menteri Pertahanan.

Dalam ucapan kemenangannya, beliau akan meneruskan polisi Lagos yang dianggap sebagai berjaya dan tidak akan melakukan perubahan radikal.

Kaedah kiri terbaik adalah apa yang ditawarkan oleh parti-parti sosialis yang menang pilihan raya secara demokratik dan mengamalkan polisi ekonomi pasaran bebas dan terbuka. Apa yang rakyat mahukan mungkin nilai kesaksamaan dan keadilan dalam peluang ekonomi di negara masing-masing.

Sementara sistem demokrasi pula akan memastikan kerajaan-kerajaan kiri ini benar-benar memenuhi aspirasi rakyat dan tidak terikat pada ideologi yang tidak berpijak pada bumi nyata. Kemenangan parti-parti kiri dalam beberapa tahun kebelakangan ini di Amerika Latin mendapat petunjuk daripada kejayaan Parti Sosialis Chile.

Fenomena politik ini kini tercermin dengan kemenangan Jose Miguel Insulza sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-negara Amerika (OAS) dengan mengalahkan calon yang disokong oleh Presiden George W. Bush.

Negara-negara Amerika Latin dengan jelas menolak polisi serantau yang semata-mata untuk memenuhi kepentingan AS. Sebaliknya mereka mencorak cara tersendiri, yang lain daripada kehendak AS.

Untuk itu, Brazil, disokong oleh Argentina dan Venezuela, ketiga-tiga diperintah oleh presiden kiri telah menubuhkan Komuniti Negara-negara Amerika Selatan.

Bagaimanapun, benua ini masih terkebelakang dan menghadapi cabaran ekonomi yang sangat besar. Fahaman kiri menjadi popular kerana desakan ekonomi yang mewujudkan banyak rakyat terpinggir daripada arus pembangunan. Ia ditambah pula dengan penguasaan golongan elit dalam politik dan ekonomi negara yang mewujudkan jurang perbezaan sangat jauh.

Era demokrasi yang menjadi pemangkin kepada kemenangan parti-parti sosialis ini merupakan permulaan bagi aspirasi rakyat diserlahkan melalui parti yang memerintah.

Kedudukan pribumi yang ketinggalan jauh menjadikan keadaan lebih rumit di benua ini. Sejak pendaratan Christopher Columbus dari Sepanyol di Cuba, penduduk pribumi mengalami penaklukan dan penjajahan. Pendatang dari Sepanyol dan Portugis yang menetap di benua ini kemudiannya menolak pemerintahan Sepanyol dan perang pembebasan dilancarkan.

Walaupun Amerika Latin merdeka daripada penjajahnya, iaitu Sepanyol dan Portugis tetapi mereka tidak putus hubungan budaya. Kini mereka tidak bermusuhan dengan Sepanyol atau Portugis, kedua-duanya pernah diperintah oleh diktator tentera dan kini dipimpin oleh presiden sosialis.

Sebaliknya perseteruan Amerika Latin dengan AS adalah sambungan kepada konflik antara Sepanyol dengan Britain dari segi sudut agama. Sepanyol mewakili Katolik yang berkepimpinan Pope, sementara Britain dianggap pengkhianat apabila rajanya membentuk mazhab Anglican. Apabila AS merdeka daripada Britain, ia mewakili dunia Protestan untuk menentang Katolik Sepanyol.

Penentangan AS ke atas Sepanyol di benua Amerika Latin dianggap sebagai peperangan pembebasan dengan memperkenalkan Doktrin Monroe yang menyatakan bahawa Hemisfera Barat iaitu benua Amerika, baik Utara, mahupun Selatan adalah bebas daripada pengaruh Eropah.

Justeru, Sepanyol dan Portugis wajar melepaskan tanah-tanah jajahannya. Kekaguman negara-negara baru Amerika Latin terhadap AS terlihat daripada Chile yang benderanya seakan-akan kuasa besar itu. Tetapi AS juga tidak terlepas daripada budaya Latino. Ini kerana California, New Mexico, Texas dan Florida pernah menjadi sebahagian daripada Amerika Latin.

Di kalangan aktivis kiri AS sendiri, terdapat yang menjadi penyokong Amerika Latin. Che Guevara menjadi ikon dunia adalah atas pengaruh warga AS sendiri. Penulis terkemuka AS, Ernest Hemingway juga pendukung Amerika Latin. Bachelet sendiri mendapat pengaruh daripada gerakan kiri tahun 60-an di AS. Kebangkitan pelajar menentang perang Vietnam dan lirik lagu penyanyi AS, Joan Baez dan Bob Dylan membentuk idealisme beliau.

Idealisme pelajar 60-an yang memberi inspirasi kepada anak-anak muda terpelajar di seluruh dunia datangnya dari AS. Kini generasi itulah yang sampai kepada puncak kekuasaan di negara masing-masing.

Apa yang berlaku di Amerika Latin hari ini adalah cermin kepada AS sendiri. Kedua-duanya akan saling mempengaruhi. Negara-negara Amerika Latin mahu bebas dan makmur setanding dengan AS sendiri.

Kalau pada zaman Perang Dingin, Washington bimbang terhadap pengaruh Moscow di belakang dapurnya. Tetapi faktor itu sudah tidak timbul. Demokrasi dilaksanakan di benua itu.

Washington pula perlu menerima aspirasi penduduk benua itu, yang mahukan keadilan dan kesejahteraan ekonomi, di samping kedaulatan politik. Sistem dua aliran yang terdapat di Eropah sedikit demi sedikit mula menjadi budaya politik di benua itu.

Read more!

Menerima hak kebebasan orang lain

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 21 Januari 2006


Orang Melayu beragama Islam dari segi sejarah dan tradisi berasal dari kampung. Seperti juga banyak masyarakat di dunia baik di Timur mahupun di Barat, iaitu sebelum mereka melalui proses perbandaran.

Nilai-nilai Timur, ditambah pula berasaskan pada budaya pertanian kampung mengutamakan kepentingan kehidupan bermasyarakat dan kolektif. Kepentingan individu terletak di bawah masyarakat. Individu dianggap hanya hidup sebagai sebahagian daripada masyarakat. Hak individu terkandung dalam kehidupan bermasyarakat.

Agama Islam yang dianut orang Melayu mengukuhkan lagi budaya bermasyarakat ini dan institusi yang mengatur kehidupan ini adalah masjid dan surau.

Kehidupan berkolektif ini bermakna anggota masyarakat menolong antara satu sama lain dan ia memberikan kemakmuran kepada kampung berkenaan itu. Bukan itu saja, anggota-anggota masyarakat juga saling tegur-menegur dan menghalang sebarang perbuatan buruk yang menyimpang daripada nilai-nilai yang sudah diterima bersama dengan berasaskan pada agama.

Masyarakat tradisi Melayu mewujudkan keamanan kampung melalui sistem hubungan kolektif dan tidak bergantung pada undang-undang, polis atau penguat kuasa rasmi yang lain. Anggota-anggota masyarakat akan memberi bantuan dalam sebarang bencana, memberi nasihat kepada sebarang salah laku dan menjamin kampung berkenaan bebas daripada maksiat.

Tetapi Putrajaya bukannya kampung. Begitu juga dengan Kelana Jaya dan Bandar Raya Melaka.

Putrajaya adalah sebuah bandar moden lagi bestari yang menjadi pusat pentadbiran Malaysia, sebuah negara majmuk yang warganya terdiri daripada pelbagai penganut agama, kaum, latar belakang dan pemahaman. Malah di kalangan orang Islam yang menjadi majoriti rakyat negara ini, mereka juga mempunyai perbezaan pandangan nilai di antrara satu sama lain.

Maka Putrajaya bukan milik penduduknya, yang rata-rata kakitangan kerajaan, beragama Islam, kaum Melayu dan mempunyai asal-usul kampung dari segala pelosok Malaysia.

Putrajaya adalah milik rakyat Malaysia berbilang kaum, agama, budaya dan fahaman. Malah ia juga milik pengunjung, pelawat dan pelancong bukan saja dari dalam negara, tetapi seluruh dunia.

Bandar ini juga berfungsi bukan atas kerjasama kolektif penduduknya tetapi mengikut sistem yang berasaskan pada undang-undang di mana penguatkuasaannya dilakukan oleh pasukan rasmi negara seperti polis atau pegawai-pegawai penguat kuasa yang menjalankan tugas secara terlatih dan profesional.

Maka apabila sebahagian daripada penduduk Putrajaya dari jemaah salah sebuah suraunya menubuhkan sebuah kumpulan rasmi untuk membuat rondaan dengan tujuan memberi nasihat kepada mereka bagi menghalang maksiat di bandar itu, maka sudah tentu ia mengundang bantahan daripada warga Malaysia yang tidak berkongsi fahaman dengan mereka.

Tidak semua warga Malaysia menerima takrif maksiat yang difaham secara tradisi oleh orang Melayu Islam di negara ini.

Orang bukan Islam tidak dapat menerima nilai yang dipegang oleh orang Islam mengenai hubungan antara lelaki dan perempuan.

Umpamanya, kelakuan menunjukkan kasih sayang di tempat awam yang sudah diterima oleh orang bukan Islam tetapi tidak pula diterima oleh orang Islam.

Malah di kalangan orang Islam pun, nilai sudah mula berubah. Sudah terdapat sebilangan orang Islam yang mengambil sikap toleran kepada tingkah laku bebas sedemikian.

Proses perbandaran dan kemodenan mendorong sebahagian daripada orang Islam untuk menerima tingkah laku seumpama itu. Perubahan nilai sedang berlaku dan semua pihak harus menghormati pandangan dan pegangan golongan lain. Saling hormat-menghormati perlu untuk hidup bersama dalam negara yang dikongsi pelbagai agama dan fahaman.

Putrajaya yang walaupun mempunyai senibina berasaskan tamadun Islam tetapi ia adalah kota Malaysia, milik semua warganegaranya. Bukan itu saja, ia tergolong sebagai kota moden dan berteknologi yang menjadi tumpuan dan perhatian pelancong dalam dan luar negara.

Read more!

Masa depan pada telefon

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 19 Januari 2006


Buat masa ini sememangnya ibu bapa dan banyak pihak tidak bersetuju kebenaran penggunaan telefon bimbit di sekolah.

Ini kerana golongan yang mempunyai kuasa dan tanggungjawab dalam masyarakat hari ini adalah generasi yang membesar tanpa telefon bimbit.

Bukan itu saja, banyak kalangan generasi ini ketika mereka mencecah dewasa dahulu tidak mempunyai telefon di rumah ibu bapa masing-masing di kampung.

Tetapi pelajar-pelajar di sekolah hari ini adalah generasi telefon bimbit, iaitu di samping kemahiran mereka menggunakan komputer dan gajet-gajet terkini seperti MP3 dan iPod.

Masa depan adalah milik gajet-gajet ini dan paling terulung ialah telefon bimbit, yang pada satu hari kelak bukan saja bertindak sebagai kamera dan video tetapi banyak lagi fungsi yang belum tergambar oleh manusia sekarang.

Sesungguhnya pada masa depan telefon bimbit bukan semata-mata alat komunikasi tetapi alat perlu bagi manusia yang sudah bergantung pada teknologi.

Jangan terkejut bahawa pada satu masa kelak, telefon bimbit ini akan menjadi alat pendidikan. Semua pelajar diwajibkan memilikinya seperti mana mereka perlu mempunyai buku teks pada hari ini.

Pada masa depan, silap gaya kerajaan terpaksa memberi bantuan telefon bimbit kepada pelajar yang kurang mampu.

Generasi telefon bimbit ini pada satu hari akan menjadi ibu bapa, dan mereka pasti menghadapi cabaran lain yang tidak tergambar oleh datuk nenek mereka.

Majalah Newsweek keluaran September tahun lalu melontarkan satu senario di mana manusia tidak lagi membaca untuk mendapat ilmu.

Malah sekarang pun tanda-tandanya sudah ada.

Generasi remaja sekarang tidak mempunyai keupayaan untuk menatap buku pada jangka waktu yang lama. Sebaliknya mereka boleh duduk berjam-jam di hadapan skrin komputer, atau telefon bimbit.

Akhirnya ilmu pengetahuan yang akan disampaikan tidak akan berbentuk tulisan. Mungkin dalam bentuk lain, secara multimedia dalam pakej bukan sebagai karya sastera atau non-fiksyen, sebaliknya dalam format yang tidak dapat dijangkakan.

Umpamanya permainan komputer yang ada hari ini mungkin bergabung dengan video dan muzik untuk menjadi wahana baru bagi menyampaikan ilmu pengetahuan.

Sebelum wujudnya tulisan, ilmu pengetahuan disampaikan secara lisan oleh penglipur lara. Satu hari mungkin tulisan akan dianggap sebagai kaedah purba yang ketinggalan zaman. Cuba berhenti sejenak dan lihatlah bagaimana anak-anak sekarang tekun menatap skrin komputer dan telefon bimbit. Interaktiviti sudah menggantikan literasi.

Read more!

Apabila Fujimori menuntut Peru

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 15 Januari 2006


ADA orang berkata, menjadi orang politik tidak boleh pantas kecewa dan kecil hati. Malah tidak boleh patah hati dengan segala macam rintangan yang ditempuh di sepanjang laluan politik untuk menuju ke puncak. Kecewa bermakna kegagalan. Musuh politik sentiasa mencari jalan membuatkan pihak yang satu lagi kecewa dan bosan.

Orang politik juga sentiasa mencuba sekalipun bagi khalayak umum mereka tidak punya harapan untuk berjaya dalam sesuatu perebutan. Demi yang kian jugalah yang dilakukan oleh bekas presiden Peru, Alberto Fujimori yang disingkirkan dan melarikan diri ke Jepun atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan jenayah.

Fujimori yang berdarah Jepun dan dilahirkan di Peru itu mempunyai impian politik yang hebat. Disingkirkan daripada menjadi orang nombor satu Peru tidak mematahkan impian untuk kembali berkuasa di negara tersebut. Sekalipun Fujimori sendiri yang "meletakkan'' jawatan dan terus lari ke Jepun, itu adalah penyingkiran. Kerana itu sesetengah pihak melihat impiannya untuk kembali kepada kedudukan dulu adalah tidak masuk akal.

Ini kerana Fujimori dikehendaki oleh pihak berkuasa Peru atas tuduhan rasuah, melanggar hak asasi manusia dan membunuh. Beliau melarikan diri ke Jepun, negara nenek moyangnya. Dalam pelarian, Fujimori tetap mempunyai penyokong yang tidak kurang hebatnya di Peru. Dari Jepun beliau menyusun strategi untuk bertanding pilihan raya presiden yang akan diadakan April depan.

Tuduhan

Beliau tidak boleh pulang ke Peru kerana mempunyai 21 tuduhan jenayah daripada rasuah hinggalah kepada penubuhan skuad pembunuh untuk menghapuskan musuh-musuh politiknya. Tuduhan itu sangat berat dan sekiranya didapati bersalah Fujimori boleh dipenjara hingga 30 tahun.

Orang lain barangkali tidak berani untuk menghampiri Peru lagi. Tetapi Fujimori mempunyai strategi dengan menggunakan negara jiran yang tidak sehaluan dengan Peru iaitu Chile.

Malah ketegangan baru antara kedua-dua negara itu tidak memungkinkan Chile memberikan ekstradisi kepada Peru untuk membawa balik Fujimori. Sehari sebelum Fujimori ditahan di Santiago, Chile membatalkan rundingan perdagangan bilateral dengan Peru.

Sebelum ini empat warga Peru yang mempunyai hubungan dengan Fujimori ditahan di Chile juga tidak diberikan ekstradisi untuk dibicarakan di Peru. Ini memperlihatkan Chile tidak mudah menyerahkan Fujimori kepada Peru.

Fujimori tidak pernah kecewa untuk kembali berkuasa dan memegang tonggak politik Peru. Kerana itu beliau merancang membuat come back pada pilihan raya presiden April depan. Sebagai langkah awal Fujimori telah melawat Chile. Dengan sebuah pesawat peribadi, beliau terbang ke Santiago, Chile. Nasib tidak baik, beliau ditahan oleh pihak berkuasa Chile dan Peru memohon ekstradisi pada 3 Januari lalu untuk membawa Fujimori pulang ke Peru untuk dibicarakan.

Fujimori yakin beliau tidak akan dilepaskan dengan mudah oleh Chile untuk dibicarakan di Peru. Hubungan tegang antara Chile dan Peru memberikan kelebihan kepada Fujimori untuk terus ditahan di Chile.

Dalam penamaan calon presiden pada 6 Januari lalu, pihak berkuasa Peru menghalang pencalonan Fujimori untuk bertanding bagi kerusi presiden yang pernah didudukinya suatu ketika dulu. Menerusi anak perempuannya, Keiko, hadir di National Electoral Court di Lima atas nama bapanya sebagai calon presiden.

Bagaimanapun pencalonan Fujimori tidak diterima. Harapan untuk memberi saingan kepada calon-calon yang sebenarnya tidak mengatasi pengaruh beliau tidak kesampaian. Bagaimana pun pengaruh bekas presiden itu di Peru masih hebat. Para penyokong Fujimori telah membuat tunjuk perasaan membantah langkah pihak berkuasa menghalang Fujimori daripada turut bertanding.

Kehadiran Keiko bersama-sama ribuan penyokong menggusarkan calon-calon lain yang kebanyakannya musuh politik Fujimori. Pengaruh hebat bekas presiden itu tidak boleh dihapuskan dalam masa lima tahun ketiadaannya di negara itu.

Kali ini barangkali hasrat Fujimori tidak tercapai untuk bertanding dan seterusnya kembali berkuasa di negara itu. Apa lagi beliau meghadapi banyak tuduhan salah guna kuasa.

Hanya inilah satu-satunya cara untuk menghalang kebangkitan semula Fujimori di Peru. Beliau seorang yang hebat dan rakyat melihat jasa-jasa yang ditinggalkan sekalipun rakyat juga tahu strategi politik beliau bukan saja sangat licik malah rejimnya sangat ganas. Dalam kata lain pengaruhnya membolehkan beliau merampas kerusi presiden sekiranya tidak dihalang sejak awal.

Melihat kepada tunjuk perasan yang menggegarkan Lima beberapa hari lalu, para penganalisis politik yakin Fujimori akan memberikan saingan sengit sekiranya beliau berpeluang bertanding. Tetapi sekiranya laluannya terus dihalang, penyokong-penyokong Fujimori tidak akan berdiam diri. Bagi kerajaan, ini satu yang sangat bahaya kerana membuka jalan supaya penjenayah politik kembali berkuasa.

Selepas lima tahun melepaskan jawatan, Fujimori ternyata seorang tokoh politik Peru yang hebat legasinya. Ketokohan dalam kepimpinan dan pelan pembangunan negara terserlah. Semasa Peru di tangan Fujimori, dunia memandang sepi kepada negara ini dan tidak yakin berjaya menarik banyak pelabur luar. Tetapi Peru menjadi sebaliknya apabila berada di tangan Fujimori.

"Orang Peru nostalgia kepada seseorang seperti Fujimori,'' demikian kata Pengarah Institut Pertahanan dan Perundangan, Ernesto de la Jara. "Fujimori memang seorang yang korup. Beliau juga pembunuh dan perompak. Tetapi sekurang-kurangnya beliau juga membina laluan untuk kita.''

Fujimori menduduki kerusi presiden Peru pada 28 Julai 1990 hingga 17 November 2000. Beliau merupakan orang pertama dari Asia Timur yang menjadi pemimpin tertinggi di negara Amerika Latin. Cara Fujimori meletakkan jawatan juga memperlihatkan peribadi seorang strategis. Pada 2000 Fujimori menghadiri persidangan APEC ang diadakan di Brunei. Selepas persidangan itu beliau terus ke Jepun dan meletakkan jawatan semasa di Jepun. Surat peletakan jawatan itu hantar menerusi faksimile menerusi Kedutaan Peru di Tokyo.

Semasa Fujimori menjadi presiden, Peru berada dalam ancaman pengganas, inflasi yang teruk, ketiadaan kemudahan pendidikan, kesihatan untuk rakyat. Cabaran beliau sangat hebat antara tumpuan kepada pembangunan dan juga kestabilan politik akibat daripada kekacauan yang dilakukan oleh pengganas antaranya pengganas fahaman Maoist, Sendero Luminoso atau SL dan Pergerakan Revolusi Tupac Amaru (MRTA).

Fujimori berjaya mematahkan pengaruh pergerakan revolusi malah akan diingat dalam sejarah apabila berjaya menyelamatkan 400 diplomat yang ditahan di kediaman Duta Jepun di Peru pada 17 Disember 1996. Mereka ditahan oleh 14 anggota MRTA.

Kempen

Sekalipun pihak ahli kongres menghalang Fujimori daripada turut bertanding jawatan presiden tetapi penyokong-penyokong menganggap tindakan itu melanggar perlembagaan. Maka mereka menaruh harapan Juri Pilihan raya Kebangsaan Peru (JNE) yang lebih kredibiliti membuat kata putus sama ada menerima kemasukan Fujimori atau sebaliknya. Kerana itulah penyokong-penyokong Fujimori tidak mempedulikan halangan kongres dan mereka terus berkempen untuk Fujimori.

Menghalang Fujimori bertanding tentunya bukan saja kerana 21 tuduhan yang dihadapi oleh bekas presiden itu. Kalau disebabkan rasuah dan salah guna kuasa, presiden Alejandro Toledo juga apa kurangnya? Toledo berdepan dengan tuduhan rasuah tetapi kelebihannya beliau memegang kuasa sedangkan Fujimori memburu kuasa.

Selalunya pemimpin buangan adalah yang hebat. Kerana hebat dan berpengaruh mereka dibuang. Inilah halangan yang akan dihadapi oleh Fujimori untuk mengambil semula kuasanya di Peru.

Read more!

Khaddam mampu gerak demokrasi Syria?

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 15 Januari 2006


SERUAN bekas Naib Presiden Syria, Abdul Halim Khaddam supaya Presidennya, Bashar Al-Assad digulingkan membuka dimensi baru dalam politik Asia Barat. Halim menyebut bahawa Bashar terlibat dengan pembunuhan pemimpin Lebanon.

Sudah tentu sikap bekas pemimpin Syria itu memberi ruang baik bagi Amerika Syarikat (AS) untuk menekan negara itu yang dianggap sebagai salah sebuah paksi kejahatan.

Bukan saja apa yang dinyatakan oleh Abdul Halim itu dijadikan propaganda tetapi beliau sendiri mampu muncul sebagai pemimpin pembangkang Syria, dan lebih lanjut lagi menjadi pelopor kepada perubahan di Asia Barat.

Wajar dilihat bahawa dengan Iraq berada di bawah AS, maka tumpuan perubahan bagi Washington ialah Iran dan Syria. Kedua-duanya merupakan sahabat yang pernah bersama menentang Iraq pada masa Saddam Hussein.

Pun begitu, masalah Iraq belum benar-benar selesai dan AS mendakwa bahawa Syria sekurang-kurangnya tidak secara langsung sedang membantu gerila yang menentang tentera kuasa besar itu.

Matlamat polisi AS di Asia Barat adalah jelas iaitu untuk memastikan kepentingannya di rantau itu, yang berbentuk dua, terpelihara iaitu minyak dan Israel.

Senjata untuk mencapai matlamat ini ialah demokrasi yang diterjemahkan kepada kehendak rakyat negara-negara itu hendak hidup aman dan bebas. Melalui demokrasi, AS berharap negara-negara Arab akan berdamai dengan Israel.

AS mengharapkan Iraq sebagai contoh dan pemula kepada proses pendemokrasian seluruh rantau Asia Barat. Walaupun ia menghendaki keseluruhan rantau itu menjadi demokrasi, tapi tumpuan perhatiannya adalah kepada Syria dan Iran yang dianggap sebagai negara-negara penyangak.

Tetapi Syria dan Iran sendiri memberi peluru kepada AS untuk menekan mereka. Syria dengan masalah Lebanon sementara Iran berhubung senjata nuklear.

Dengan cara masing-masing, kedua-duanya memberi ruang kepada campur tangan dan serangan oleh AS.

Pembunuhan pemimpin Lebanon, Rafik Hariri membuka ruang besar kepada AS untuk campur tangan, lebih-lebih lagi apabila Abdul Halim sendiri membuat kenyataan yang memburukkan lagi kedudukan Damsyik.

Sememangnya Iran kelihatan lebih berbahaya berbanding Syria kerana negara itu sedang membangunkan kemudahan nuklearnya. Tetapi apa yang perlu ditangani segera oleh AS adalah Syria.

Ini kerana dalam konteks Israel di mana rejim Tel Aviv itu menduduki Bukit Golan, penyelesaian masalah Syria adalah lebih mendesak, lebih-lebih lagi hubungannya dengan gerila yang menentang AS di Iraq.

Walau apa pun sikap Iran terhadap Israel, tetapi dalam soal Iraq, Tehran berada di pihak Syiah yang bersikap menerima AS.

Terdapat tanda-tanda bahawa AS tidak mahu melancarkan perang baru menentang Syria atau Iran kerana apa yang dilaluinya di Iraq sudah cukup sukar. Terhadap Iran, mungkin serangan boleh dilakukan bukan olehnya tetapi Israel seperti pernah dilakukan oleh rejim Tel Aviv terhadap loji nuklear Iraq di Ossirak pada zaman Saddam dahulu.

Berhubung dengan Syria, AS juga tidak mahu penglibatan dalam bentuk tentera. Ia lebih mengehendaki satu perubahan rejim yang datang dari dalam negara itu sendiri.

Maka seruan Abdul Halim supaya rakyat Syria bangkit dan menggulingkan rejim Baathis mudah diterima baik oleh Washington. Persoalannya ialah adakah Abdul Halim mempunyai kewibawaan dan kemampuan untuk menjadi pemimpin demokratik?

Berbahaya

Jika dilihat negara-negara Arab yang mula berjinak dengan demokrasi seperti Mesir, dan Iraq sendiri, pemimpin demokratik yang diterima rakyat hendaklah mempunyai platform Islam. Sebab itulah Ikhwanul Muslimin boleh meraih kerusi di Mesir dan Jordan, demikian juga Hamas di Palestin. Di Iran sendiri, Presiden Mahmoud Ahmedinejad menang atas platform Islam.

Maka Syria juga mungkin menampilkan fenomena yang sama. Sememangnya rakyat Arab, dan dunia Islam pada keseluruhannya mahukan negara yang aman, maju dan demokratik. Tetapi mereka juga mahukan budaya dan nilai-nilai Islam diamalkan.

Washington mungkin juga sedar bahawa musuhnya bukanlah Iran dan Syria tetapi satu kekuatan yang tidak berbentuk dan dinamakan oleh mereka sebagai rangkian pengganas Al-Qaeda. Kumpulan pengganas ini sedang berperang menentang AS dan mereka menggunakan hujah dan landasan agama Islam.

Walaupun umat Islam menentang keganasan dan kaedah Al-Qaeda yang dianggap bertentangan dengan cara Islam khususnya berhubung dengan membunuh diri dan orang awam, tetapi dari sudut politik yang berkaitan dengan Islam, ia tidak berbeza dengan aspirasi parti-parti yang menyertai pilihan raya di dunia Arab seperti Ikhwanul Muslimin, Hamas, Jamaati Islami Pakistan dan malah Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) di Turki.

Satu perkembangan baru dan bermakna sedang berlaku di Palestin apabila Hamas tidak menyatakan akan terus menghancurkan Israel. Terdapat tanda-tanda mereka bersedia untuk mengiktiraf Israel tetapi rejim Tel Aviv hendaklah mengiktiraf kewujudan negara Palestin dengan beribunegarakan Baitulmaqdis.

Malangnya Israel yang sedang mengubah pucuk pimpinannya dipercayai tidak akan menerima Palestin merdeka. Mereka boleh memberi Gaza tetapi sebahagian saja kawasan Tebing Barat. Baitulmaqdis dan Golan mahu dimilikinya.

Justeru walaupun Iraq, Syria dan semua negara Arab menjadi demokratik, tetapi sikap kerajaan mereka tidak akan berubah terhadap Israel. Demokrasi tidak menjamin bahawa mereka akan bersifat pro-AS dan toleran pada Israel.

Begitu juga, pendemokrasian dunia Islam tidak akan menghentikan keganasan Al-Qaeda ke atas AS.

Israel merupakan punca masalah. Rejim Tel Aviv mesti belajar hidup di tengah-tengah dunia Arab.

Read more!

Cabaran krisis Congo

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 9 Januari 2006


Empat puluh enam tahun lalu, Tanah Melayu baru tiga tahun mencapai kemerdekaan, Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman membuat satu keputusan besar bagi menunjukkan kepada dunia bahawa negara ini berhasrat untuk aktif dalam pentas antarabangsa dengan menjalankan tanggungjawabnya selaku ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Langkah untuk memberi sumbangan kepada PBB ini bukan saja hendak menunjukkan kepada dunia bahawa Tanah Melayu yang dikenali oleh badan dunia itu sebagai Malaya bukan saja mahu menjadi anggota pada nama saja tetapi juga mahu bergerak secara aktif dengan memberi sumbangan bererti.

Tanah Melayu pada tahun 1960 adalah sebuah negara lebih kecil daripada Malaysia hari ini. Pertahanan dan dasar luarnya masih berkait rapat dengan bekas penjajahnya Britain melalui mekanisme Komanwel.

Kedudukan ekonominya juga masih rendah. Malah Sri Lanka dan Filipina masa itu mempunyai kedudukan lebih baik.

Tetapi Tanah Melayu mempunyai sahabat-sahabat di peringkat antarabangsa. Selain daripada Britain dan negara-negara Komanwel lain, negara jiran Indonesia dan Thailand turut menyokong, mengiktiraf kemerdekaan Tanah Melayu dan seterusnya mengundi supaya negara ini menjadi anggota PBB.

Hanya negara yang merdeka diterima menjadi anggota PBB. Keanggotaan dalam PBB merupakan pengiktirafan dunia terhadap kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah negara.

Mana-mana negara yang menyertai PBB mestilah mendukung Piagam PBB di mana ia komited terhadap usaha memerdekakan tanah-tanah jajahan di seluruh dunia. Inilah antara hasil positif dari Perang Dunia Kedua yang dimenangi oleh pihak Berikat terdiri daripada dua kuasa pimpinan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet.

Washington mewakili negara-negara yang mengamalkan sistem pasaran bebas sementara Moscow adalah ketua blok komunis. Tetapi tanah-tanah jajahan berada pada tangan sekutu-sekutu AS seperti Britain, Perancis, Belanda dan Belgium.

Moscow memberi tekanan supaya tanah-tanah jajahan itu dimerdekakan dengan memberi sokongan secara moral dan material kepada gerakan kebangsaan di seluruh dunia.

Salah sebuah negara yang tersepit ini ialah tanah jajahan Belgium bernama Congo, negara ketiga paling luas Afrika. Ia berada di tengah-tengah benua itu, kaya dengan khazanah bumi.

Terdapat dua negara Congo di dunia. Congo yang besar beribu negarakan Leopoldville. Nama Leopold mengambil sempena Raja Belgium, Leopold II yang berjaya menjajah negara itu. Kini ia bernama Kinshasa. Maka rujukan kepada negara ini ialah Congo-Kinshasa. Nama rasminya ialah Republik Demokratik Congo.

Nama Congo berasal daripada nama Sungai Congo. Di tebing timur sungai ini terletak Kinshasa sementara bersetentangannya ialah bandar Brazzaville, ibu negara Congo yang lebih kecil, bekas tanah jajahan Perancis. Selain dikenali sebagai Congo-Brazzaville, nama rasminya ialah Republik Congo.

Membantu

Tetapi negara yang banyak masalah hingga ke hari ini ialah Congo besar itu. Dalam pilihan raya umum pertamanya pada 31 Mei 1960, gerakan kemerdekaan Congo pimpinan tokoh kiri Patrice Lumumba menang dan diisytiharkan sebagai Perdana Menteri. Republik Congo merdeka diisytiharkan pada 30 Jun 1960.

Pihak barat tidak berpuas hati dengan kemenangan Lumumba kerana beliau dipandang sebagai nasionalis kiri yang pro-komunis. Maka barat menyokong dan membantu golongan pemberontak melalui tentera Belgium yang masih bertapak di situ. Kekacauan pertama berlaku.

Tetapi Majlis Keselamatan PBB pada 9 Ogos 1960 mengarahkan tentera Belgium berundur untuk digantikan dengan tentera pengaman PBB. Badan dunia itu memanggil mana-mana negara anggota untuk menghantar tentera.

Tunku Abdul Rahman menyahut panggilan PBB itu. Buat pertama kalinya tentera negara ini dihantar keluar negara untuk menjadi pengaman. Askar Melayu Diraja telah dihantar ke sana. Anak-anak Melayu biasa yang tidak pernah termimpi untuk pergi ke luar negara ini buat kali menjejak kaki ke benua Afrika. Tunku menghantar mereka di Pelabuhan Klang (ketika itu bernama Port Swettenham) Mereka pergi dengan kapal dan belayar menuju Mombasa, pelabuhan Kenya sebelum diterbangkan ke Congo.

Maka di kalangan rakyat negara ini, Congo mula dikenali. Ada pelawak mengambil sempena nama negara itu apabila dia dikenali sebagai Alias Congo. Terdapat tentera yang pulang dan bersara dibenarkan tinggal di satu tempat di Cheras, Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Kampung Congo. Ia kini bernama Bandar Tun Razak.

Pihak pemberontak Congo yang mendapat sokongan barat berjaya menjatuhkan Lumumba. Bukan saja Lumumba dilucut jawatannya sebagai perdana menteri tetapi dibunuh pada Februari 1961. Pembunuhannya diratapi oleh penyokong-penyokong gerakan kiri di seluruh dunia. Ia turut menjadi tema sebuah sajak oleh Kassim Ahmad, yang disiarkan di Utusan Zaman dan kemudian dimasukkan ke dalam antologi Kemarau di Lembah.

Peperangan saudara bertambah sengit di Congo apabila Leopoldville dikuasai oleh kumpulan pro-Barat. Pada tahun 1964, golongan kiri menubuhkan Republik Rakyat di Stanleyville (kini Kisangani). Tetapi pada tahun 1965, pemberontak kiri telah kalah. Jeneral Joseph Mobutu yang kemudian dikenali sebagai Mobutu Sese Seko menjadi presiden. Beliau kemudian menjadi diktator dan menukar nama negaranya kepada Zaire.

Ketika Tanah Melayu dan kemudian Malaysia bertambah makmur, Zaire merosot kerana korupsi dan perang saudara.

Mobutu tumbang pada 1997, di mana pemberontak pimpinan Laurent Kabila berjaya menguasai Kinshasa dan menukar kembali nama negara itu kepada Congo.

Kini Congo terus bergelumang dalam peperangan saudara dengan negara-negara jiran, Rwanda dan Uganda membantu pihak pemberontak. Kerajaan pula ditolong oleh Angola, Namibia dan Zimbabwe.

Jumaat lalu, tinjauan daripada jurnal Lancet beribu pejabat di London mengisytiharkan bahawa konflik kongo merupakan krisis kemanusiaan paling dahsyat di dunia sejak 60 tahun lalu.

Bantuan

Perang dari tahun 1998 hingga 2003 yang telah mengorbankan hampir empat juta orang itu menuntut supaya lebih banyak bantuan disalurkan dengan usaha meningkatkan keselamatan kepada rakyat.

Buat masa ini terdapat 17,000 anggota pasukan keselamatan PBB yang berusaha mewujudkan perdamaian di situ. Tetapi bagi Pengarah Kesihatan Jawatankuasa Penyelamatan Antarabangsa, Richard Brennan dalam laporannya kepada Reuters, bantuan dunia jauh daripada mencukupi untuk menyelamatkan nyawa di negara malang itu.

Sejak mengenali tamadun, rakyat Congo tidak pernah mengecapi kestabilan. Bermula dengan penjajahan Belgium, perjuangan kemerdekaan, kediktatoran selepas kemerdekaan dan kini, apabila perang saudara terus berlaku.

Dari segi menghadapi penyakit, Congo pernah mengalami wabak virus ngeri Ebola yang tiba-tiba muncul dan membunuh banyak orang, dan berakhir dengan begitu saja.

Namun begitu, dalam konteks serantau, Congo hanya sebahagian daripada konflik maut yang berterusan di benua itu. Pada masa ini kebuluran melalui konflik terus berlaku di Sudan, Eritrea, Somalia dan Habsyah.

Mungkin pada tahun 1960 ketika Congo mencapai kemerdekaan, harapan rakyat dan dunia kepada kemakmurannya adalah tinggi. Setelah 46 tahun, apa yang termampu adalah usaha tetapi tanpa harapan.

Read more!

Realiti kos pendidikan

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 8 Januari 2006


ISU yuran tambahan yang dikenakan oleh pihak sekolah timbul lagi. Kali ini kadar bayaran yuran tambahan itu dikatakan melampau dan sekali gus membebankan keluarga yang berpendapatan rendah.

Daripada senario ini ada pihak mempunyai persepsi pihak pengurusan sekolah hanya memikirkan kepentingan mereka tanpa mengambil kira beban yang terpaksa ditanggung oleh keluarga murid.

Kos sara hidup di bandar besar seperti Kuala Lumpur, tentunya yuran tambahan yang mencapai RM200 di sesetengah sekolah sudah pasti membebankan bagi keluarga yang pendapatan bawah RM1,000. Tambahan pula mempunyai anak yang bersekolah lebih daripada seorang.

Seorang bapa, Adnan Saidon yang anaknya belajar di salah sebuah sekolah di Seksyen 27 Shah Alam, Selangor mendakwa terpaksa membayar RM281.60 bagi anaknya yang memulakan tahun satu.

Antara yuran itu ialah yuran persekolahan RM27 pelbagai yuran lain (RM90.60), derma PIBG (RM50), bayaran tabung akademik (RM20), buku kerja (RM70) dan buku tulis (RM24).

"Penduduk Seksyen 27 bukan semuanya orang kaya,'' demikian luahan Adnan yang berpendapatan rendah dan berasa agak perit untuk menyediakan yuran sebanyak itu pada awal musim persekolahan lalu.

Isu yuran tambahan yang mahal sebenarnya bukan baru. Sebelum ini isu yang sama telah dibentangkan dan Kementerian Pelajaran berjanji dan memberi harapan bahawa mereka akan mencari jalan penyelesaian.

Mengikut satu kaji selidik yang dibuat oleh sekumpulan siswazah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), secara purata sebuah keluarga terpaksa membelanjakan sebanyak RM1,610 setahun bagi seorang pelajar sekolah menengah. Kos ini meliputi buku teks, yuran, alat tulis, pakaian seragam, wang saku, pengangkutan dan tuisyen.

Kaji selidik itu juga mendedahkan secara purata 65 peratus keluarga di luar bandar menanggung tiga atau lebih anak yang bersekolah berbanding 58 peratus keluarga di bandar-bandar.

Profesor Ekonomi UPSI, H. Osman Rani dalam satu tulisannya menekankan bebanan persekolahan anak-anak oleh keluarga yang berpendapatan rendah memerlukan perhatian daripada semua pihak, bukan saja kerajaan malah pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta badan kebajikan.

Sementara itu Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (Pendidik) Dr. Rajiee Hadi dalam satu kenyataan berkata, ada sekolah mengenakan yuran mencecah RM200 yang merangkumi yuran pembelian pelbagai buku latihan walaupun tidak digunakan sepenuhnya hingga akhir tahun.

"Dalam situasi ini, saya melihat pihak sekolah hanya memikirkan cara untuk memudahkan kerja mereka tanpa memikirkan beban yang ditanggung oleh ibu bapa,'' tegas Dr. Rajiee lagi.

Fakta-fakta yang diberikan oleh seo rang bapa yang anaknya bersekolah di Seksyen 27, sekumpulan siswazah UPSI, profesor ekonomi dan pihak pengamal pendidikan membolehkan kita melihat isu yuran tambahan ini daripada perspektif yang lebih menyeluruh.

Tanpa menyalahkan pihak pengurusan sekolah semata-mata, kita juga tidak wajar mengabaikan keperitan yang ditanggung oleh ibu bapa seperti Adnan dari Seksyen 27, Shah Alam tadi. Beliau mempunyai alasan yang wajar untuk menganggap kadar yuran itu membebankan.Tetapi kita juga tidak boleh melonggokkan semua kesalahan kepada pihak pengurusan sekolah apabila mengenakan yuran tambahan yang tinggi.

Pihak sekolah sudah tentu memerlukan bukan saja kemudahan mengajar tetapi keberkesanan pembelajaran kepada para pelajar. Semua itu memerlukan kos antaranya buku latihan dan sebagainya. Bagi pihak sekolah, semua itu adalah keperluan.Tetapi bagi keluarga yang menanggung lebih seorang anak yang bersekolah kadarnya agak memeritkan.

Kedua-dua pihak ini mempunyai kewajaran masing-masing kenapa mereka berbuat demikian. Maka dengan menyalahkan satu pihak tentulah tidak akan menyelesaikan masalah ini.

Kita boleh saja menafikan sepenuhnya keperluan pihak sekolah untuk mengenakan yuran yang tinggi. Malah boleh juga mengabaikan luahan rasa keperitan keluarga atas alasan semuanya memerlukan kos sekalipun di sekolah bantuan penuh kerajaan. Tetapi jangan lupa kedua-dua pihak memberi kesan secara langsung terhadap prestasi pelajar.

Untuk menyelesaikan isu ini tidak perlulah dipanjangkan hingga kepada Kementerian Pelajaran. Disebabkan pihak sekolah mempunyai kuasa untuk menetapkan kadar yuran tersebut, tentu pihak sekolah juga boleh toleran dalam beberapa hal supaya keluarga berada boleh menyumbang dan keluarga berpendapatan rendah mendapat manfaat daripadanya.

Pihak sekolah perlu selektif bahan yang perlu dibeli oleh pelajar untuk mengelakkan pembaziran. Untuk mengatasi yuran tambahan membebankan keluarga yang berpendapatan rendah, pihak sekolah boleh mengecualikan sesetengah yuran dan ditampung olah tabung PIBG.

Cadangan menyelaraskan kadar yuran tambahan tentu saja tidak wajar. Ibu bapa perlu memberi kerjasama supaya isu yuran tambahan tidak dibangkitkan lagi pada tahun depan.

Cara ini memerlukan sedikit keterbukaan dan pengorbanan daripada keluarga berada. Mereka perlu bersedia untuk membayar yuran lebih tinggi daripada ibu bapa yang diklasifikasikan oleh pihak sekolah sebagai pihak yang perlu dibantu.

Keterbukaan dan keikhlasan sangat penting di sini. Ibu bapa kalangan berada tidak wajar merasakan mereka teraniaya apabila perlu membayar lebih. Dengan berlandaskan konsep masyarakat penyayang dan hidup saling bantu-membantu, kenapa tidak diamalkan sikap ini demi pendidikan anak-anak kita?

Pihak sekolah perlu memegang amanah dan menjulang kepercayaan ibu bapa bahawa segala macam yuran yang dikenakan ke atas anak-anak mereka adalah satu keperluan. Malah pihak sekolah perlu memperlihatkan pengurusan yang mantap supaya pelajar daripada keluarga berada dan berpendapatan rendah mendapat peluang belajar yang sama rata.

Pada masa yang sama pihak sekolah boleh menggunakan tabung PIBG. Untuk apa diwujudkan tabung PIBG dan aktiviti kewangannya kalau bukan untuk keperluan pendidikan? Wajar diingat bahawa PIBG bukanlah badan korporat yang perlu memikirkan keuntungan dan isi tabung yang sentiasa penuh.

Prestij sesebuah PIBG atau sekolah bukanlah diukur kepada kemewahan yang dipaparkan untuk tontonan umum. Prestij sesebuah PIBG dan sekolah dilihat daripada kejayaan pelajar-pelajarnya dalam akademik dan kokurikulum. Jadi, yuran yang sewajarnya dibayar oleh keluarga yang tidak mampu perlu ditanggung oleh PIBG.

Tanpa menafikan keperitan hidup dengan kos yang serba-serbi tinggi di bandar-bandar besar, ibu bapa yang berpendapatan rendah juga perlu ada sikap mengutamakan apa saja yang bersangkutan dengan pendidikan anak-anak.

Kerajaan membelanjakan RM20 juta setahun dan RM100 juta dalam lima tahun untuk kempen antirokok. Seorang perokok secara purata membelanjakan RM7 sehari untuk rokok. Dalam sebulan secara kasar RM210 dan setahun ialah RM2,520 (purata kos pendidikan setahun seorang pelajar sekolah menengah ialah RM1,610). Apa kata kalau kalangan bapa yang berpendapatan rendah membuang tabiat merokok? Kadar yuran tambahan boleh sebenarnya tidak sampai nilai sebulan kos membeli rokok saja. Kesimpulannya di mana keutamaan kita? Jangan melenting dulu, lihat hujah saya di bawah ini.

Kita harus menilai semula pendirian terhadap pendidikan. Malah ini adalah permulaan supaya kita menyiapkan diri untuk mendepani realiti bahawa pendidikan bukan lagi urusan kerajaan semata-mata. Mahu tidak mahu inilah realitinya.

Lihatlah bagaimana pendidikan percuma hingga ke peringkat universiti sudah berakhir. Realiti baru di depan kita ialah kos membiayai pendidikan anak-anak akan menjadi tanggungjawab ibu bapa. Sempena tahun baru ini, eloklah kita memulakan dengan persepsi baru tentang pendidikan, kos dan imbuhan pada suatu hari nanti.

Read more!

Apabila Zionis marahkan Iran

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 5 Januari 2006


Dunia Barat sedang marah pada Iran bukan kerana kedegilan negara itu meneruskan program nuklearnya tetapi kenyataan Presidennya, Mahmoud Ahmedinejad bahawa Zionisme adalah serupa dengan fasisme.

Ini dianggap sebagai lanjutan kepada dua kenyataan Mahmoud sebelum ini, yang menyatakan bahawa pembunuhan ramai orang Yahudi oleh Nazi, dikenali sebagai Holocaust adalah mitos. Diikuti pula dengan seruannya supaya Israel dihapuskan dan negara Yahudi ditubuhkan di mana-mana negara di Eropah.

Sememangnya kenyataan Mahmoud itu pedih bagi orang Barat, khususnya Yahudi.

Jika membaca lidah pengarang majalah bisnes utama dunia kapitalis, Forbes, dapat dikesan kemarahan yang diluahkan oleh penerbitnya, Steve Forbes terhadap Mahmoud.

Beliau mencadangkan supaya Iran diperangi seperti mana Amerika Syarikat (AS) lakukan terhadap Iraq. Baginya Iran perlu dibebaskan daripada rejim ulama yang dianggap sebagai fasis.

Majalah itu mencadangkan bahawa kalau AS tidak mahu melakukan serangan ke atas loji nuklear, maka Israel boleh melakukannya.

Tetapi walaupun amalan demokrasi tidak serupa dengan AS, hakikatnya Mahmoud dipilih secara demokratik.

Persoalannya, adakah Iran menjadi ancaman bagi AS atau kuasa besar itu yang merupakan ancaman kepada Iran? Teheran tidak akan dapat menyerang Washington. Walaupun azam Mahmoud hendak menghapuskan Israel, beliau tidak dapat melakukannya. Loji nuklear Iran tidak sampai ke tahap menjadi senjata nuklear. Sebaliknya, AS dan Israel masing-masing mempunyai senjata nuklear yang boleh menghapuskan mana-mana negara di Asia Barat.

Sejak ditadbir oleh ulama, Iran hanya berperang melawan Iraq. Itupun kerana Saddam Hussein menghantar tentera menceroboh wilayahnya. Semasa perang Iran-Iraq, dunia Barat menyebelahi Saddam.

Tetapi AS dan Israel telah melancarkan banyak pencerobohan. Kini AS masih menduduki Iraq, Israel pula menguasai Bukit Golan milik Syria dan wilayah-wilayah Palestin.

Dunia kini mengeji fasisme, suatu ideologi yang mengamalkan kediktatoran dan bersifat perkauman keterlaluan hingga meminggirkan bangsa lain.

Fundamentalisme Islam yang diamalkan oleh Teheran walaupun dianggap sempit tetapi masih berlandaskan pada agama yang berasaskan universalisme merentasi bangsa, kaum dan keturunan.

Tetapi Zionisme merupakan ideologi yang berasaskan pada bangsa dan agama Yahudi. Ia meletakkan keagungan bangsa Yahudi hingga membenarkan kezaliman dilakukan ke atas bangsa dan agama lain.

Sementara demokrasi yang diamalkan oleh rejim Tel Aviv tidak memberi keadilan kepada penduduk Palestin.

Read more!

Rusia tunjuk kuasa baru

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 3 Januari 2006


Tahun 2006 bermula dengan krisis gas antara Ukraine dan Rusia. Ia kelihatan seperti satu masalah hubungan dua hala negara jiran yang pernah bergabung dalam Kesatuan Soviet semasa kedua-duanya diperintah oleh komunis.

Tetapi hakikatnya, krisis ini mempunyai implikasi luas kerana ia melibatkan tiga isu yang memberi kesan kepada seluruh dunia iaitu Eropah, tenaga dan Rusia sendiri.

Sememangnya ia bermula tentang pertikaian mengenai harga gas yang dibekalkan oleh Rusia kepada Ukraine. Tetapi kegagalan rundingan antara kedua-duanya pihak membawa kepada penghentian bekalan gas oleh syarikat tunggal Rusia, Gazprom pada hari tahun baru hingga boleh menjejaskan bekalan tenaga itu ke Eropah Barat.

Gazprom membekalkan satu perempat gas Eropah melalui paip merentas Ukraine.

Kiev menuduh Moscow mahu menjejaskan ekonomi Ukraine dengan menaikkan harga gas tetapi Moscow pula mendakwa negara itu mencuri gas yang sepatutnya dibekalkan kepada Eropah.

Amerika Syarikat (AS) sudah tentu campur tangan dan memberi sokongan kepada Ukraine. Selanjutnya tindakan Moscow itu menjejaskan keyakinan negara-negara Barat terhadap Rusia dalam konteks bahawa Moscow adalah pengerusi kumpulan negara-negara maju, G8 mulai Ahad lalu.

Sememangnya apa saja tentang tenaga termasuk gas menjadi isu sensitif walaupun bekalan Rusia ke Eropah hanya satu perempat. Tetapi apa yang menjadi isu ini bertambah bermakna ialah kedudukan Moscow sebagai pengerusi G8 bagi tahun 2006.

Maka terdapat tanda-tanda bahawa Rusia mahu menggunakan peluang ini untuk meningkatkan kedudukannya dalam pentas antarabangsa, seperti mana pernah ia peroleh pada zaman Soviet dahulu.

Sejak kejatuhan Soviet, kedudukan inilah merupakan pencapaian tertinggi Moscow untuk menunjukkan kekuatan pengaruh politiknya dalam hal ehwal sejagat.

Bulan lalu sudah dapat dilihat betapa Moscow cuba meningkatkan kedudukannya dengan usaha bersungguh-sungguh untuk diterima sebagai anggota Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) bersama dengan negara-negara baru yang cepat berkembang seperti China dan India.

Kejayaannya ialah apabila Rusia menerima sambutan baik dari Malaysia dan dalam sidang EAS tahun ini di Filipina dijangka Moscow akan diterima sebagai anggotanya melalui sokongan ASEAN.

Negara-negara besar seperti Jepun dan India juga mahukan penyertaan Rusia ke dalam EAS sebagai pengimbang kepada China. Tetapi China juga menerima penyertaan Rusia kerana ia pula dianggap boleh menjadi pengimbang kepada Jepun dan Australia, yang merupakan negara-negara maju dan menjadi sekutu AS. Washington sudah tentu tidak gemar kehadiran Moscow dalam EAS.

Tetapi tahun-tahun sebelum itu, Rusia sudah berusaha untuk meningkatkan profil diplomatiknya. Usaha Rusia ke dalam EAS dilakukan dalam sidang kemuncak Asia Timur pertama yang diusahakan oleh Malaysia. Kuala Lumpur pula adalah pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Sebelum Presiden Rusia, Vladimir Putin datang untuk menghadiri Sidang kemuncak Asia Timur itu, media Rusia melaporkan beliau mengunjungi Chechnya yang sedang bermasalah dengan Moscow, dan ia merupakan isu bagi OIC.

Namun begitu, pada tahun 2004, Moscow berjaya mendapat keyakinan anggota-anggota OIC untuk menerimanya hadir ke dalam sidang kemuncak negara-negara Islam yang diadakan di Putrajaya.

Aktiviti-aktiviti diplomatik ini menunjukkan bahawa walaupun Moscow tidak sekuat pengaruhnya seperti ketika ia menjadi Soviet, tetapi negara paling luas dunia itu terus mencuba untuk menjadi pengimbang kepada AS.

Setelah kejatuhan Soviet, Moscow mampu menganggap bahawa penerimaan kumpulan negara-negara maju, G8 menerimanya sebagai anggota pada tahun 1991 memberi nafas diplomatik yang penting kepadanya. Justeru, bekas negara komunis itu merupakan satu-satunya negara tidak maju yang menjadi anggota G8.

Terdapat pihak yang tidak menyetujui keputusan G8 membenarkan Moscow menjadi pengerusi kumpulan itu yang dibuat secara giliran atas dasar negara besar itu mempunyai rekod demokratik yang boleh dipertikaikan.

Tidak seperti pemimpin sebelumnya, Boris Yeltsin, Putin tidak begitu menekankan soal demokrasi kerana baginya pertumbuhan ekonomi adalah lebih penting. Beliau juga telah mencadangkan bahawa sidang G8 tahun ini, yang akan diadakan di St. Petersburg harus memberi fokus kepada keselamatan tenaga.

Rusia mempunyai simpanan tenaga yang besar dalam bentuk minyak dan gas. Potensinya masih jauh lebih besar dan Putin dilihat cenderung untuk menjadikan Rusia sebagai kuasa baru tenaga yang pada masa depan akan memulihkan kedudukannya sebagai kuasa besar.

Ketika kumpulan negara-negara maju mengundang Moscow untuk menjadi anggota, ia berlaku dalam konteks lain. Ketika itu, kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Kumpulan Tujuh, G7 mengundang Soviet yang masih diketuai oleh Mikhail Gorbachev sebagai usaha menggalakkan polisi keterbukaan (perestroika) yang berupa pembaharuan kepada sistem komunis.

Soviet tumbang pada tahun 1992 dan Rusia di bawah Yeltsin mewarisi keanggotaan G8 kerana negara-negara maju dalam sidang itu mahu Moscow meneruskan reformasi pasaran dan melindungi simpanan senjata nuklear, kimia dan biologi.

Apabila dilihat latar belakang ini, undangan negara-negara maju kepada Moscow untuk menyertai kumpulan itu bukanlah didorong kepada kedudukan Rusia, tetapi lebih merupakan kepada kepentingan mereka dalam isu-isu tertentu.

Maka sungguhpun Moscow menjadi anggota G8, negara itu tidak pernah diundang dalam diskusi ekonomi dan kewangan. Ini kerana walaupun Rusia mengalami pertumbuhan ekonomi pesat yang digerakkan melalui kehadiran minyaknya, Rusia berada pada kedudukan 16 dari segi ekonomi, lebih jauh daripada negara-negara G8 yang lain.

Anggota G8 yang lain ialah AS, Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Jepun dan Itali.

Masalah Rusia pada kaca mata negara-negara anggota G8 ialah amalan demokrasi dan ekonomi pasaran yang masih dianggap belum sempurna.

Putin dianggap telah melakukan pelbagai tindakan yang tidak mencerminkan amalan demokrasi dan pasaran bebas. Polisi-polisi berhubung dengan syarikat-syarikat besar milik kerajaan adalah berbentuk monopoli dan tidak menggalakkan persaingan secara sihat.

Sebaliknya polisi digubal itu lebih kepada memberi keuntungan pada golongan tertentu di atas kepentingan dana milik orang ramai.

Dari sini dapat dilihat G8 bukan saja berupa kumpulan negara-negara maju dari segi ekonomi tetapi ia juga bersifat ideologikal. G8 mahu kemajuan dikecapi di atas fahaman demokrasi dan ekonomi liberal. Bagi mereka, hanya cara itu, negara-negara dapat menikmati kemakmuran.

Bagi Putin, apa yang dikehendaki ialah pengembalian kekuatan Rusia, baik dari segi ekonomi mahupun politik.

Potensi besar yang dimiliki baginya sudah cukup untuk menjadikannya duduk semeja dan setaraf dengan negara-negara maju yang lain.

Read more!

Ujian gagasan Asia Timur

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 1 Januari 2006


Ketika memasuki tahun 2006 hari ini, Malaysia boleh dianggap berada pada kedudukan paling aktif di pentas antarabangsa dalam sejarahnya.

Ini kerana waktu ini Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri adalah pengerusi kepada empat pertubuhan dunia yang penting iaitu Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

Bagaimanapun, kecuali OIC, semua kedudukan Malaysia sebagai pengerusi pertubuhan-pertubuhan itu akan berakhir pada tahun 2006 apabila tempohnya tamat dan akan diambil alih oleh negara lain.

Kedudukan pengerusi OIC juga pada awalnya dijadualkan berakhir pada tahun 2006 apabila Senegal sepatutnya menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak pertubuhan negara-negara Islam itu.

Bagaimanapun, oleh kerana Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC baru saja diadakan pada awal Disember lalu di Jeddah, Arab Saudi, maka diputuskan bahawa Dakar hanya akan menjadi tuan rumah pada tahun 2007. Ini bermakna Malaysia akan menjadi pengerusi OIC setahun lagi.

Terhadap NAM, Malaysia akan menyerahkan jawatan pengerusi kepada Cuba apabila Havana menjadi tuan rumah sidang kemuncak NAM ke-14 September ini.

Ini adalah kali kedua Cuba menjadi pengerusi NAM dan ketua kerajaan yang menerajui negara itu pada kedua-dua sidang kemuncak ini ialah Fidel Castro, pemimpin paling lama memerintah di dunia.

Kali pertama Castro menjadi pengerusi NAM ialah pada sidang kemuncak pertubuhan itu kali ke-6 pada tahun 1979. Ketika itu, pemerintahan komunis dunia berada di puncaknya dan Kesatuan Soviet menjadi kuasa besar yang bersaing dengan Amerika Syarikat (AS).

Vietnam Selatan, Kemboja, Laos dan Afghanistan baru saja jatuh ke tangan komunisme.

NAM yang walaupun berupa gerakan negara-negara berkecuali daripada menjadi sekutu sama ada Washington atau Moscow tetapi ia turut dianggotai oleh negara-negara komunis.

Maknanya, negara-negara seperti Yugoslavia dan Cuba walaupun mengamalkan sistem komunis tidak mahu menyifatkan diri mereka sebagai sekutu Moscow.

Dunia ketika itu terbahagi kepada tiga. Dunia pertama merujuk kepada negara-negara maju yang demokratik dan mengamalkan sistem pasaran bebas. Dunia kedua adalah negara-negara komunis yang menjadi sekutu Moscow. Sementara dunia ketiga adalah negara-negara membangun dan mundur yang tidak mengamalkan sistem komunisme.

Bagaimanapun, bagi Washington, NAM hanyalah satu pertubuhan barisan depan untuk kepentingan Moscow. Lebih-lebih lagi apabila Cuba menjadi pengerusi NAM. maka pertubuhan itu dianggap sebagai pembangkang kepada AS.

Kini Cuba masih bersikap anti-AS. Walaupun hakikat ini benar, sudut lain yang boleh diperhatikan ialah bahawa AS yang bersikap anti-Cuba.

Sememangnya satu ironi bahawa Cuba masih mengamalkan sistem komunis dalam dunia yang sudah menganggap ideologi itu sebagai tidak praktikal dan ketinggalan zaman. Cuba adalah salah satu daripada empat negara komunis dunia yang tinggal. Negara-negara lain ialah China, Korea Utara, Vietnam dan Laos. Tetapi hanya Korea Utara dan Cuba yang masih belum membuka ekonomi mereka. China, Vietnam dan Laos walaupun diperintah oleh parti komunis telah pun membuka pasaran mereka dengan mendatangkan kesan memberangsangkan bagi masa depan rakyatnya.

Fahaman

Sementara Korea Utara dan Cuba telah kaku dalam muzium ideologinya. Ketika mana Korea Utara telah bertukar pemimpin daripada pengasasnya, iaitu Kim Il-Sung kepada anaknya, Kim Jong-Il; Cuba terus diperintah oleh Castro yang berusia 79 tahun. Pada 13 Ogos akan datang ini, Castro akan menyambut hari jadinya ke-80.

Suatu yang ironi bahawa pada tahun 2006 iaitu jauh daripada era komunisme, suatu pertubuhan dunia sebesar NAM dipengerusikan oleh sebuah negara kecil, Cuba yang masih diperintah oleh komunis dan dipimpin oleh era-60-an.

Kecuali China, semua negara komunis yang ada pada hari ini adalah anggota NAM.

Sememangnya Castro, sistem kerajaan Cuba dan NAM sendiri berasal daripada sistem tahun 60-an. NAM mempunyai asal usul daripada Konferensi Bandung tahun 1955 ketika banyak negara baru mencapai kemerdekaan dan terpengaruh dengan fahaman kiri.

Ternyata ketika komunisme tumbang di Moscow dan berakhirnya Perang Dingin hingga hilang makna dunia pertama, kedua dan ketiga; maka terdapat suara yang mempersoalkan kerelevanan NAM.

Tetapi ketika Malaysia menjadi pengerusi, NAM menunjukkan kerelevanannya apabila ia menjadi pengimbang penting kepada sikap unipolar AS. Negara-negara NAM komited untuk menggalakkan polisi multilateralisme yang dirasakan perlu sejak AS melancarkan perang ke atas Iraq.

Dibandingkan OIC dan ASEAN, NAM merupakan pertubuhan tertua kerana ia diwujudkan pada tahun 1961 apabila Yugoslavia di bawah pimpinan Broz Tito menjadi pengerusi. Kini negara Yugoslavia pun sudah tidak wujud. Negara pewarisnya, Serbia dan Montenegro hanya mampu diterima sebagai pemerhati.

OIC ditubuhkan pada tahun 1969 sebagai reaksi negara-negara Islam terhadap pembakaran Masjid Al-Aqsa. Ia menjadi platform antarabangsa utama yang memperjuangkan pembebasan Palestin selepas Liga Arab. Kebanyakan anggota OIC adalah juga ahli NAM. Sikap OIC dan NAM terhadap Palestin adalah selari.

Badan dunia Islam menjadi bertambah relevan bukan saja kerana masalah Palestin dan Baitulmaqdis belum dapat diselesaikan. Tetapi kini isu-isu berhubung keganasan antarabangsa dan pembangunan menjadikan pertubuhan ini lebih relevan. Sepanjang Malaysia menjadi pengerusi OIC, soal memperkemaskan jentera pentadbiran dan penekanan terhadap kerjasama ekonomi adalah ditekankan.

Dalam dasar luar Malaysia, pertubuhan-pertubuhan multilateral seperti OIC, NAM, Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan lingkaran luar kepada polisi negara yang menitikberatkan kepada usaha mewujudkan keamanan, kerjasama dan kemakmuran ekonomi.

Lingkaran dalam, atau teras bagi dasar luar Malaysia ialah ASEAN yang ditubuhkan pada tahun 1967. Malaysia yang menjadi pengerusi ASEAN pada waktu ini akan melepaskannya di penghujung 2006 apabila Filipina menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-12 di Cebu.

Tempoh Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, walaupun pendek adalah penting kerana ia juga merupakan pengerusi pertama Sidang Kemuncak Asia Timur yang dianggotai oleh 10 negara ASEAN, China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand. Rusia telah pun diterima menjadi ahli pemerhati.

Pada Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-2 di Cebu pada November 2006 itu kelak, keputusan akan dibuat untuk menjadikan Rusia sebagai negara anggota. Matlamat sidang ini adalah pewujudan Komuniti Asia Timur (EAC).

ASEAN dan EAC ini merupakan lingkaran utama perhatian dasar luar Malaysia kerana ia membabitkan kesan besar baik dari segi politik dan ekonomi.

Sepatutnya, pengerusi ASEAN selepas Malaysia adalah Myanmar. Tetapi negara itu mempunyai masalah politik dalaman yang menyebabkan ia tidak dapat berfungsi selaku anggota ASEAN efektif.

Adalah menjadi ironi bahawa masalah utama politik ASEAN bukannya berkaitan dengan ideologi komunis tetapi layanan buruk pemerintah Myanmar terhadap pembangkangnya yang menang pilihan raya secara sah.

Dinamik

Myanmar bukan sebuah negara komunis tetapi pasarannya masih tertutup. Sedangkan negara-negara komunis ASEAN iaitu Vietnam dan Laos dengan ghairah membuka ekonomi mereka. Malah Vietnam dijangka menjadi ekonomi paling dinamik.

Apa yang menjadi masalah bagi ASEAN tentang Myanmar bukannya soal demokrasi tetapi lebih kepada hak asasi dan layanan mereka terhadap pembangkang, yang terus dipertikaikan oleh AS dan Kesatuan Eropah (EU).

Dalam dunia yang berkaitan seperti hari ini, pertikaian mereka tidak boleh diketepikan begitu saja. lebih-lebih lagi hubungan politik dan ekonomi ASEAN dengan kedua-dua kuasa itu amat penting.

Pada awal-awal penubuhan ASEAN sendiri, negara-negara anggota asal seperti Indonesia, Filipina dan Thailand tidak mengamalkan sistem demokrasi. Suharto dan Ferdinand Marcos juga tidak melayan baik pihak pembangkang. Tetapi mereka adalah sekutu AS dan pihak Barat tidak mempertikaikan tindak-tanduk mereka. Maka ia tidak menjadi masalah.

Dalam tahun 2006, ASEAN akan berusaha sekali lagi untuk mencari penyelesaian terhadap Myanmar.

ASEAN pada awalnya ditubuhkan dalam kerangka negara-negara bukan komunis dengan sokongan Washington untuk melawan kemaraan komunisme di Vietnam yang juga berkaitan dengan teori domino.

Dari satu segi, ia juga merupakan lanjutan kepada konsep Malaysia sendiri. Malaysia merupakan gabungan bekas tanah jajahan Britain yang dianggap mampu menjadi benteng kepada kemaraan pengaruh komunis di Indonesia semasa Sukarno.

Setelah berjaya Sukarno dijatuhkan, Indonesia di bawah Suharto menjadi negara teras kepada ASEAN, yang bersama Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina merupakan benteng baru terhadap sebarang perlayasan komunis di Indo-China.

Tetapi apabila AS mengadakan hubungan dengan China dan kedua-duanya berpakat menghadapi Soviet walaupun Beijing mengamalkan komunisme, percaturan politik bagi ASEAN sudah berubah.

Apabila Hanoi dengan sokongan Moscow yang berjaya mara dan menguasai ketiga-tiga negara Indo-China, ASEAN memandang Vietnam sebagai ancaman. Justeru sokongan ASEAN diberikan kepada kerajaan buangan Kemboja sokongan Beijing yang turut dianggotai Khmer Rouge, parti komunis paling zalim dalam sejarah, bagi menentang kerajaan Phnom Penh sokongan Hanoi.

Setelah kejatuhan Soviet, Hanoi dan selanjutnya Phnom Penh turut menyertai ASEAN dan perseteruan di Indo-China tinggal menjadi sejarah pahit.

Kini ASEAN dikembangkan hingga meliputi kesemua negara di Asia Tenggara yang bersatu supaya mereka dapat berdepan dengan cabaran ekonomi China.

Kebimbangan ASEAN terhadap China bukan lagi kerana politik tetapi lebih kepada soal daya saing ekonomi. Bagaimanakah ASEAN mahu mendapat manfaat dan bukannya menjadi mangsa kepada pertumbuhan pesat ekonomi China?

Maka cara terbaik ialah EAC. Justeru masa depan bagi Malaysia dan ASEAN terletak dalam banyak faktor atas kejayaan gagasan Komuniti Asia Timur ini.

Selaku pengerusi Sidang Kemuncak Asia Timur pertama, Malaysia mempunyai peranan penting dalam tahun 2006 untuk merealisasikan cita-cita satu komuniti ini.

Bagaimanapun, masalah politik utama Asia Timur ialah mengenai hubungan baik antara China dan Jepun, dua gergasi yang menjadi teras kepada komuniti ini.

Ironinya masalah antara kedua-keduanya bukan kerana ideologi atau ekonomi tetapi lebih kepada soal sejarah dan sentimen nasionalisme.

Pembunuhan beramai-ramai oleh tentera fasis Jepun di Nanjing, China dalam Perang Dunia Kedua dahulu terluka kembali setiap kali Perdana Menteri, Junichiro Koizumi menziarahi tanah perkuburan Yasukune, Tokyo.

Ini menjadi cabaran bagi hubungan China-Jepun dan selanjutnya keseluruhan Asia Timur. Sedangkan terdapat masalah lebih besar di rantau ini yang perlu diselesaikan seperti isu Korea Utara dan Taiwan.

Sedangkan tahun 2006 ini, Asia diberi peluang untuk mengemukakan calon Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila Kofi Annan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada Disember lalu.

Thailand berharap calonnya disokong oleh ASEAN dan Asia Timur. Tetapi kata putus terletak di tangan Washington.

Read more!