Didiklah guna Internet dengan betul

Oleh: Ku SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 19 Jun 2005


Laman web porno lagi. Kali ini kerajaan menerusi Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi dipertanggungjawabkan membendung kegiatan melayari laman web porno.

Kerajaan mengambil langkah drastik. Semua syarikat telekomunikasi dan pembekal khidmat Internet (ISP) diarah menyediakan perisian untuk menyekat laman web porno. Semua ini berkuat kuasa serta- merta. Sebelum ini selepas 12 tahun Internet diperkenalkan di negara ini, bergegar satu negara bahawa 1.5 juta laman web porno dapat diakses dengan mudah.

Kita wajar menyambut baik usaha drastik kerajaan menangani gejala sosial dari Internet. Sekalipun mengambil masa agak lama (12 tahun) untuk menyekat akses laman web porno, usaha kali ini menuntut sokongan daripada semua pihak.

Menyekat laman-laman web tertentu khususnya porno dan politik bukan perkara baru. Di negara lain sudah lama mengamalkan sekatan begini. Misalnya Amerika Syarikat (AS) menerusi Communication Decency Act 1996 yang menyekat bahan politik tertentu.

Di China pula kerajaan mewajibkan pemasangan perisian menyekat laman-laman web porno yang dikenali sebagai Great Firewall of China. China mempunyai 40 juta pengguna Internet setakat ini setelah lebih 1,000 pemilik kafe siber dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan penggunaan Internet.

Myanmar pula melarang sepenuhnya akses Internet. Sementara Korea Selatan mengarahkan ISP menyekat akses laman web yang isi kandungannya mempunyai simpati dengan Korea Utara.

Serentak dengan arahan terbaru daripada kerajaan, sesetengah daripada kita menjadi retorik. Seperti biasa, kita akan bercakap mengenai syarat itu dan ini. Kali ini antara syaratnya ialah pihak berkuasa tempatan tidak mengeluarkan lesen sekiranya kafe siber tidak memasang perisian antilaman web porno. Ironiknya banyak pendedahan dibuat di akhbar mengenai kafe siber yang tidak berlesen.

Tanpa menafikan hasrat murni kerajaan mengarahkan syarikat telekomunikasi dan ISP menyediakan perisian menyekat laman web porno, tetapi menggunakan Internet dengan berhemah juga menyekat gejala akses laman web porno.

Tetapi siapa peduli tentang literasi Internet untuk mendepani satu budaya teknologi yang baru? Selama 12 tahun ini nyatakan berapa banyak program mendidik masyarakat menggunakan Internet dengan betul?

Baguslah kalau kita prihatin untuk menyekat laman web porno. Itu suatu yang baik untuk umum. Tetapi menyekat laman web porno saja tanpa melihat masalah ini secara mikro, ia tidak membudayakan masyarakat dengan Internet. Kita banyak bercakap fasal teknologi, Internet memang teknologi tetapi khalayaknya manusia. Hal-hal manusia yang sukakan laman web porno bukan luar biasa. Maka mereka perlu dibimbing bahawa Internet lebih berfaedah kepada manusia.

Masyarakat atau keluarga tentu tidak boleh lepas tangan kepada perisian antilaman web porno. Kalau menunggu perisian itu, apa tugas mereka melindungi anak-anak daripada laman web porno? Jangan bersikap menyerahkan tugas melindungi anak-anak daripada gejala laman web lucah kepada kerajaan.

Ini kerana tugas menyediakan literasi Internet dan menggunakan teknologi ini dengan berhemah berada di tangan masyarakat. Perisian antilaman web porno tidak dapat membudayakan pengguna khususnya remaja supaya menjadi pengguna berhemah tanpa penglibatan masyarakat.

Perisian itu hanya salah satu alternatif membendung jangka pendek. Tetapi untuk jangka panjang, apabila Internet menjadi suatu yang maha penting, membendung dengan "peralatan'' seperti itu tidak meninggalkan kesan.

Sebelum ini Badan Bertindak Kesedaran Penderaan Seksual Kanak-Kanak (MCPSA) telah menggemparkan negara apabila mendedahkan terdapat 1.5 juta laman web porno dan boleh diakses dengan mudah. Tujuan pendedahan ini mungkin baik tetapi kesannya boleh menjauhkan masyarakat dengan Internet.

Antara kesannya Internet akan dilihat hanya di sisi gelap; laman web porno, penyebaran ideologi yang bertentangan dengan dasar negara dan membawa budaya kuning dalam masyarakat. Perkara-perkara ini akan diingat melampaui sumbangan Internet sebagai sumber maklumat paling cekap di dunia.

Kalau benar kita masyarakat yang prihatin, kita pasti tidak akan banyak bercakap fasal perisian antilaman web porno. Keprihatinan atau rasa sayang kepada generasi muda hari ini perlu dizahirkan menerusi program yang boleh meningkatkan literasi Internet.

Masyarakat atau sesiapa saja tidak boleh menjadikan arahan memasang perisian antilaman web porno untuk "lepas tangan'' memikul obligasi sosial kepada generasi muda. Malah mereka perlu memikirkan program bercorak pendidikan untuk menjadi pengguna Internet yang berhemah.

Jangan terlalu mengharapkan "kekebalan'' perisian antilaman web porno. Menyekat sesuatu daripada masuk menerusi maya bukan mudah. Kalau ada pun kosnya kepada pengguna sangat tinggi. Sebelum ini kekebalan perisian antivirus sering dipertikai.

Perisian antivirus gagal memberi jaminan bahawa virus tidak merosakkan sebarang data dalam komputer kita. Antivirus juga tugasnya menyaring keluar masuk e-mel yang kemungkinan menyebabkan virus. Maknanya semua komputer yang menggunakan Internet belum selamat seratus peratus daripada serangan virus.

Dengan kegagalan ini apakah kita menaruh harapan yang besar kepada perisian menyekat laman web porno? Suatu yang dibimbangkan adalah usaha ini tidak memberi manfaat sepenuhnya kepada golongan sasaran. Definisi sasaran di sini adalah keluarga, anak-anak mereka dan juga pemilik kafe siber. Sebaliknya keuntungan kepada pihak lain, pembekal perisian misalnya.

Apabila arahan menyekat laman web porno dikuatkuasakan, tentu banyak pembekal perisian ini yang muncul di tengah-tengah kita. Kita (kerajaan atau individu) mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli perisian tersebut.

Faedah kepada golongan sasaran belum pasti dikecapi tetapi pihak pembekal akan mendapat keuntungan yang besar daripada jualan perisian untuk menyekat laman web porno.

Tentu ada baiknya kalau sebahagian daripada kos menyediakan perisian itu diperuntukkan kepada program-program untuk mendidik penggunaan Internet. Ini penting untuk jangka panjang bagi menangkis penggunaan Internet untuk tujuan yang tidak berfaedah.

Read more!

Clarks gempur pasaran Asia

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 12 Jun 2005


Jenama kasut Clarks tidak perlu diperkenalkan lagi. Clarks membina monumen keunggulan sebagai jenama berprestij sejak 180 tahun lalu. Nama lelaki yang menjadi titik mula Clarks, James Clarks di sebuah pekan kecil Somerset, United Kingdom (UK) terpancar di seluruh dunia.

Tetapi selepas 180 tahun, kalau usia menjadi ukuran, Clarks sebenarnya sangat hebat kerana konsistensi yang begitu panjang. Bagaimanapun Clarks kelihatan proaktif untuk menjadi pemain utama dalam pasaran kasut di gerbang antarabangsa.

Clarks realistik dengan persaingan. Kekuatan jaringan pemasaran dan ledakan promosi dengan jenama lain sentiasa tidak melekakan gergasi dalam perniagaan kasut ini. Dalam era di mana budaya kepenggunaan (consumers cultural) mempengaruhi hidup manusia, Clarks melipatgandakan usaha menakluk dunia.

Clarks cuba untuk tidak dikenali sebagai jenama mewah semata-mata. Sebaliknya jenama yang mampu dimiliki oleh sesiapa saja kerana keselesaan dan pembuat faham keperluan pengguna.

Selebihnya mutu dan cara produk ini disampaikan kepada pengguna menjadi suatu yang penting. Bermutu sahaja tetapi jaringan pemasaran yang kurang mantap juga tidak bermakna.

Pengarah Antarabangsa Clarks, Sarah Lynch mengakui Clarks tidak berasa selesa dengan kedudukan sekarang malah mahu mencapai kejayaan yang lebih besar di peringkat global.

"Strategi perniagaan kami adalah mahu membina jenama Clarks di seluruh dunia. Tahun lalu Clarks memasarkan 45 juta pasang kasut dengan pulangan RM7.5 bilion,'' kata Sarah kepada wartawan di Somerset, UK baru-baru ini.

Dalam usaha menakluki dunia dengan jenama ini, Sarah memberitahu, Asia menjadi sasaran Clarks kerana potensi pasaran yang terbuka luas. Selepas satu dekad syarikat pengeluar iaitu C.&J. Clarks diurus sebagai sebuah korporat, ledakan promosi dan jaringan pemasaran dilipatgandakan.

Selepas menguasai pasaran kasut di UK, Clarks mengalih haluan ke Asia kerana menurut Sarah, sebelum ini Asia belum digempur sepenuhnya oleh pemasaran Clarks.

Kenapa Asia?

"Populasi global mencatatkan pertumbuhan 60 peratus tetapi Clarks hanya 1 peratus. Tentu banyak ruang pemasaran untuk diperkemaskan dan salah satu ialah menguasai pasaran di Asia,'' tegas Sarah.

Pada tahun lalu, jualan Clarks di Asia hanya 133,000 pasang. Tetapi sehingga lima bulan pertama tahun ini jualan Clarks di Asia mencatatkan pertambahan mendadak iaitu 160,000 pasang.

"Kalau dilihat peningkatan jualan di Asia mencatatkan lebih 56 peratus antara 2003/ 2004 dan 2004/2005,'' kata Sarah yang menekankan slogan untuk pasaran di Asia, A Dynamic, Fast Growing, Global Brand.

Sarah menegaskan, Clarks bukan saja melipatgandakan strategi pemasaran malah meletakkan mutu sebagai kriteria utama. Clarks mempunyai bahagian khas yang mengawal mutu yang dilakukan menerusi ujian makmal di ibu pejabat C.& J. Clarks di Somerset.

Ledakan pemasaran di Asia diperhebat. Di beberapa bandar raya utama terdapat gedung dan butik Clarks yang menekankan konsep yang kontemporari. Di Kuala Lumpur misalnya, terdapat beberapa butik Clarks. Ini untuk mendekati pelanggan baru di samping mengekalkan pelanggan lama yang tidak pernah dikecewakan oleh Clarks dari aspek mutunya.

Clarks sejak dulu lagi bukan sekadar mempunyai kelebihan reka bentuk yang menarik malah sentiasa memastikan keselesaan kepada pengguna. Ini membuktikan Clarks bukan sekadar gaya hidup tetapi keperluan dalam kehidupan harian.

Di makmal di Somerset, material seperti kulit dan getah dibuat ujian makmal untuk memastikan mutunya. Biarpun Clarks mempunyai kilang di beberapa negara di luar UK seperti Vietnam dan Brazil tetapi semua material mendapat kelulusan makmal di Somerset. Sementara di kilang berkenaan ditempatkan pengawal mutu yang mesti mengikut piawaian Clarks di UK.

Sarah yakin dengan ledakan pemasaran yang hebat serta mutu yang tinggi, Clarks akan mencatatkan pertumbuhan membanggakan untuk tahun depan. Untuk tahun 2003/2004, pulangan yang dicatatkan oleh Clarks ialah 59 peratus dari UK dan 11 peratus di pasaran global.

"Tahun depan saya yakin Clarks mampu mencatatkan pulangan 60 peratus di UK dan 13 peratus di pasaran global,'' tegas Sarah.

Ini menunjukkan pendapatan Clarks banyak dibantu oleh penjualan di UK sendiri dan bukan di peringkat global. Selepas diuruskan sebagai sebuah korporat sepuluh tahun lalu, Clarks mahu mengubah keadaan ini dengan mencari laluan menambah saiz pendapatan dari pasaran di peringkat global.

Lalu Asia menjadi destinasi penting bagi Clarks untuk menambahkan saiz pendapatan dari luar UK. Strategi yang dilancarkan kini memperlihatkan Clarks akan menguasai pasaran di Asia dengan menjana semula keunggulan mutu, reka bentuk yang mesra pengguna dan jenama yang panjang sejarahnya.

Read more!

Tutup kem Guantanamo bukan isunya

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 12 Jun 2005


Di kem tahanan Guantanamo, Cuba, mereka yang dilabelkan "teroris'' diperlakukan sesuka hati oleh tentera AS. Guantanamo memercikkan makna kekejaman yang dilakukan tanpa dilindungi oleh mana-mana undang-undang antarabangsa, waima Konvensyen Geneva.

Demi mengotakan janjinya ketika berdiri di atas runtuhan Pusat Perdagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001 bahawa "teroris'' akan diburu hingga ke lubang cacing, Presiden George W. Bush bersedia mengetepikan isu hak asasi manusia.

Contoh yang paling jelas adalah kaedah penderaan tahanan yang dilakukan di kem Guantanamo. Bush mengetepikan persepsi dunia terhadapnya. Lihat saja reaksi dunia selepas dipilih semula sebagai presiden. Daripada tinjauan global yang dibuat oleh stesen televisyen BBC, 58 peratus menganggap Bush adalah ancaman kepada kestabilan dunia.

Kelmarin Setiausaha Pertahanan, Donald Rumsfeld berkata, AS lebih suka kalau tahanan di Guantanamo ditahan oleh kerajaan mereka sendiri. Ini kenyataan yang sangat retorik sekali gus memperlihatkan seolah-olah bukan hasrat AS untuk menahan tahanan di kem itu.

Beberapa jam selepas Rumsfeld mengeluarkan kenyataan, Bush pula berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan menutup kem tahanan itu. Bagi Bush, kem yang juga dikenali sebagai Kem X Ray itu sudah mencapai matlamat untuk mengekang serangan teroris. Maknanya di kem itu tentera AS mendapat banyak maklumat daripada 540 tahanan Islam.

Banyak yang gembira apabila Bush membayangkan kemungkinan kem tahanan Guantanamo itu ditutup. Banyak menganggap ini kejayaan protes dunia Islam terhadap layanan buruk kepada tahanan.

Guantanamo sudah menjadi senama dengan kezaliman tahanan tanpa bicara dari Pakistan dan Afghanistan. Pendedahan yang dibuat oleh media AS menunjukkan di situ bukanlah sekadar kem tahanan. Guantanamo adalah kem penderaan hingga ada yang menemui maut.

Tentera AS membawa tahanan secara rahsia dari Pakistan dan Afghanistan selepas menyerang negara itu. Semua ini berlaku selepas tragedi 11 September 2001. Paparan di media tentang penderaan mental dan fizikal di Guantanamo mencalarkan kredibiliti Bush.

Benar atau tidak dakwaan Bush tentang maklumat yang diperoleh itu adalah soal lain, malah bukan perkara penting. Pengumuman yang membayangkan kem itu kemungkinan ditutup pula bukanlah suatu yang boleh disambut dengan gembira. Ini kerana kem tahanan Guantanamo tidak ada kena-mengena dengan penderaan oleh AS terhadap pihak yang dilabelkan sebagai musuh mereka.

Kontroversi kencing atas al-Quran yang meletus baru-baru ini menjadi api menyemarakkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia terhadap AS. Api kemarahan terhadap kebiadapan AS menyala dengan bahang yang sangat luar biasa.

Sebelum ini juga tidak kurang kontroversinya. Media melaporkan tahanan Pakistan dan Afghanistan diseksa secara mental dan fizikal. Tahanan ditutup kepala, dirantai kaki dan tangan dan dibiar duduk berjam-jam seharian di tanah lapang.

Kerajaan Bush menjadi sasaran kecaman pejuang hak asasi manusia. Tetapi Bush peduli apa dengan kecaman kelompok yang hanya bersuara tetapi tidak ada kuasa. Pengarah Sokongan Human Right Watch, Wendy Patten menganggap Guantanamo sebagai Bermuda Triangle bagi hak asasi manusia. Maknanya di Guantanamo tidak ada undang-undang.

Dalam program This Week yang disiarkan di stesen televisyen ABC baru-baru ini, anggota kanan Demokrat AS, Senator Joseph Biden menggesa Bush menutup saja kem tahanan itu. Bagi Biden kem itu lebih membawa padah daripada memberi faedah kepada AS.

Apabila Bush membayangkan akan menutup kem tahanan itu, banyak pihak yang menganggap kononnya satu perjuangan telah mencapai kejayaan. Kononnya desakan daripada pelbagai pihak telah menekan Bush hingga akhirnya mahu menutup kem itu.

Jangan terlalu awal untuk bergembira. Soal sama ada kem tahanan Guantanamo ditutup atau dipindahkan ke negara lain, bukanlah isunya dalam konteks kekejaman AS terhadap tahanan. Kekejaman yang dilakukan oleh AS di Guantanamo bukanlah dasar kem tahanan itu. Perlakuan tidak berperikemanusiaan misalnya menahan tanpa bicara bertahun-tahun lamanya adalah dasar AS. Dasar ini tetap seperti sebelumnya, tidak berubah apa-apa.

Jadi, kalau kem itu ditutup sekalipun, sikap AS ini akan dibawa ke tempat lain di mana tahanan akan diseksa. Bush membayangkan penutupan kem ini sekadar mahu meredakan kontroversi terutama selepas al-Quran dikencing di kem itu. Kekejaman AS bukan saja di Guantanamo, sebaliknya di seluruh dunia. Dulu di Vietnam, kemudian Afghanistan dan Iraq.

Lihat saja bagaimana kekejaman tentera AS terhadap orang awam di Iraq. Lihat juga bagaimana AS menjadikan penjara Abu Gharib di Iraq sebagai Guantanamo kedua. Beberapa saksi dalam skandal penderaan tahanan di penjara Abu Gharib memberitahu media, perkara yang sama dilakukan di kem tahanan Guantanamo. Maknanya ini adalah dasar AS.

Jadi apalah ertinya khabar yang membayangkan penutupan kem tahan Guantanamo? Kalau ditutup dan kekejaman terhadap tahanan akan berterusan di tempat-tempat lain yang dikuasai oleh AS. Selagi sikap AS yang mengambil pendekatan tidak berperikemanusiaan, penderaan tahanan tidak akan berakhir.

Ketika ini di Guantanamo terdapat 540 tahanan yang ditahan di Afghanistan dan Pakistan pada 2001 dan 2002. Mereka yang ditahan dilabelkan sebagai teroris yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda pimpinan Osama Ben Laden. Tahanan ini didera secara mental dan fizikal tetapi tanpa dihadapkan ke muka pengadilan. Tahanan tidak diberi hak membela diri atau peluang bertemu peguam.

Menahan tanpa bicara adalah kezaliman sesama manusia. Perbuatan ini juga melanggar hak asasi manusia di mana orang dituduh melakukan kesalahan tidak diberi peluang membela diri. Itulah kem tahanan Guantanamo, peluang untuk bela diri tidak ada. Malah diseksa tanpa menjelaskan kesalahannya.

Kenapa AS memilih Guantamano? Kenapa tidak ditahan di AS yang tidak kurang ketat kawalannya? Kenapa AS bersusah payah membawa tahanan itu dari Afghanistan ke Guantanamo dan tidak terus ke AS?

AS sengaja memilih Guantanamo sebagai tempat tahanan. Muslihatnya AS boleh menghalalkan perlakuan di luar batas kemanusiaan tanpa perlu bimbang dilindungi mana-mana undang-undang antarabangsa.

Ini kerana Guantanamo berada di luar AS. Malah pangkalan tentera AS itu juga tidak tertakluk dengan apa-apa perjanjian dengan Cuba. Maka tentera AS bebas membuat apa saja di Guantamano tanpa sebarang undang-undang antarabangsa.

Senator Biden mencadangkan sebuah suruhanjaya bebas bagi menyiasat keadaan di kem tahanan Guantanamo yang juga disebut Gitmo. Tujuannya bagi memperjelaskan kepada dunia bahawa tahanan itu ditahan untuk tujuan risikan dan bukan tahan tanpa bicara.

Rumsfeld pernah berkata, tahanan itu sebenarnya pejuang perang yang tidak diiktiraf oleh undang-undang. Beliau menggunakan istilah enemy combatant, bukan tawanan perang. Frasa enemy combatant tidak ada dalam Konvensyen Geneva.

Tahanan dari Afghanistan dan Pakistan sengaja dibawa ke Guantanamo kerana ada muslihatnya. Maka ura-ura menutup kem Guantanamo juga pasti ada perlu dilihat secara mikro muslihatnya. Ini dan permainan licik AS untuk mengelakkan daripada dilabel pencabul hak asasi manusia. Kalau tidak masakan Rumsfeld mencipta frasa enemy combatant yang memeningkan kepala pengkaji undang-undang?

Read more!