Rugi tidak manfaatkan ilmu graduan seni

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Utusan Malaysia 30 Ogos 2004


Dalam akhbar Mingguan Malaysia semalam, Universiti Malaya mengiklankan program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Drama). Dalam akhbar yang sama juga ada iklan Finas dan Akademi Filem Malaysia menganjur kursus lakonan peringkat sijil.

Sebelum ini institusi pengajian tinggi seperti Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga ada kursus sama ada peringkat ijazah, diploma atau sijil dalam bidang drama dan lakonan. Semua kursus ini tidak lain untuk melahirkan pelakon yang berwibawa selain memiliki bakat.

Kita sangat mengharapkan mereka yang mengambil bidang lakonan tidak memilih pekerjaan yang tiada kena-mengena dengan ilmu yang dipelajari. Kita mahu mereka menjadi pelakon generasi baru Malaysia yang berbakat dan juga berilmu.

Tentu suatu yang merugikan kalau mereka akhirnya terpaksa memilih profesion yang terpisah daripada lakonan. Tetapi peluang mereka terlalu kecil.

Berapa banyak filem atau drama yang memberi laluan kepada mereka yang mendapat pendidikan seni? Tanyalah kepada produser kita, siapa yang mereka bayangkan apabila merancang membuat filem atau drama?

Biarlah sebanyak mana sekalipun pelakon yang dilahirkan oleh institut pengajian tinggi kita, produser tetap memilih `bintang' untuk menjual filem atau drama mereka.

Perkembangan yang berlaku dalam dunia filem kita sangat tidak sihat. Untuk apa bersusah payah mengadakan kursus lakonan kalau pelakon yang dipilih tetap pada sejauh mana dia boleh melariskan filem? Banyak produser filem yang tidak membuka mata kepada graduan di jurusan lakonan. Mereka membuka mata kepada selebriti.

Lihatlah bagaimana mudahnya peserta Akademi Fantasia mendapat peluang sekalipun hanya tiga bulan belajar berlakon. Masing-masing berebut menawarkan peluang berlakon kerana populariti yang ada pada peserta berkenaan.

Siapa yang peduli kepada ratusan graduan jurusan seni khususnya lakonan untuk dimanfaatkan ilmu yang mereka pelajari? Kita sebenarnya bukan ketandusan pelakon yang baik tetapi ketandusan produser dan pengarah yang celik dan bertanggungjawab.

Balik-balik ambil penyanyi untuk berlakon. Dalam filem bukan berlakon tetapi hadir sebagai dirinya yang sebenar. Produser dan pengarah peduli apa dengan kualiti lakonan asalkan mendapat untung.

Kerana itu untuk menjadi pelakon popular, mereka tidak perlu belajar berlakon. Asalkan ada cerita sensasi, popular di bidang lain bukan menjadi masalah kerana bagi produser, kualiti lakonan tidak pernah menjamin keuntungan.

Bidang perfileman negara ini tidak banyak mempunyai pengarah seperti Rahim Razali, U-Wei, Adman Salleh dan beberapa lagi yang percaya bahawa kualiti lakonan lebih penting daripada populariti.

Siapa yang memberi laluan kepada Eman Manan kalau bukan Rahim menerusi Matinya Seorang Patriot. Siapa Zaidi Omar atau Khalid Salleh dalam filem kalau tanpa keyakinan U-Wei bahawa mereka boleh berlakon dengan baik? Namron juga pelakon hebat tetapi tidak ada produser yang menjeling pun kepada Namron kecuali Adman.

Maka kalau lakonan dalam filem atau drama kita buruk, itu adalah sumbangan produser dan pengarah kepada industri filem kita.

Read more!

Hang Tuah dianggap sebahagian sejarah Melaka - Hebatnya sebuah hikayat

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 29 Ogos 2004


Sejak sebulan lalu, ingatan khalayak kepada wira mitos melayu Hang Tuah kembali segar. Hang Tuah kembali terpampang di dada akhbar kemudian di papan-papan tanda mewah mempromosikan filem Puteri Gunung Ledang. Ini adalah kali keempat watak Hang Tuah wujud dalam filem tempatan; Hang Tuah (1956) arahan Phandi Majundar, Hang Jebat (1961) arahan Hussein Haniff, Puteri Gunung Ledang (1961) arahan S. Romainoor dan Puteri Gunung Ledang (2004) arahan Saw Teong Hin.

Tanpa filem-filem ini pun Hang Tuah tidak pernah mati. Mitos Hang Tuah sangat popular di negara ini khususnya masyarakat Melayu. Dia menjadi simbol kesetiaan kepada pemerintah, sedia berkorban dan memiliki sifat kepahlawanan yang sangat luar biasa.

Ciri-ciri wira kepada Hang Tuah ini antara faktor yang meletakkan Hang Tuah jauh lebih popular daripada Awang Sulung Merah Muda yang juga sebuah watak mitos. Tidak cukup dengan kepahlawanan Hang Tuah, dikaitkan pula dengan satu mitos lain, Puteri Gunung Ledang yang menjadi kegilaan Sultan Melaka.

Siapakah sebenarnya Hang Tuah? Benarkah Hang Tuah wujud dalam sejarah dan adakah gambaran Hang Tuah dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah itu sekadar fantasi sosial kesusasteraan Melayu? Hebat sangatkah Hang Tuah sebagai laksamana pada zaman empayar Melaka?

Kalau melihat kepada periodiknya, Hang Tuah hidup pada abad ke-14. Sementara pada awal abad ke-15 iaitu 1511 empayar Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Meletakkan Hang Tuah abad ke-14 sebagai merujuk kepada kedatangan Laksamana China, Zheng He (Cheng Ho) ke Melaka. Sementara Zheng He pula dikatakan membawa puteri Maharaja China, Hang Li Po. Bagaimanapun Hang Li Po tidak ada dalam sejarah China atau Melaka.

Sejarah Portugis di Melaka tercatat dengan fakta tetapi Hang Tuah terus diulang bicara tentang kehebatannya sebagai sebuah hikayat. Inilah satu-satunya hikayat yang paling berpengaruh lagi klasik dalam kesusasteraan Melayu. Hikayat Hang Tuah menjadi milik masyarakat.

Kepada kita Hang Tuah adalah laksamana yang maha hebat, menewaskan Patih Karma Wijaya dari Majapahit, menjadi pengutus ke negara China dan orang pertama melihat wajah Maharaja China selain orang yang bertanggungjawab melarikan Tun Teja dari Terengganu untuk diberikan kepada Sultan Melaka. Semua kehebatan ini diterima sebagai sejarah oleh sebahagian besar daripada kita.

Tetapi dalam buku 1421: The Year China Discovered America tulisan Gavin Menzies yang menjejak kembali laluan Laksamana Zheng He, nama Hang Tuah sebagai laksamana Melaka tidak tercatat. Buku setebal 551 halaman itu ada menyebut tentang Sultan Melaka semasa Cheng Ho singgah di Melaka. Masakan orang kanan sultan seperti Hang Tuah tidak wujud di sisi Sultan Melaka?

Ini satu bukti bahawa watak Hang Tuah (seorang melayu dan laksamana) adalah mitos dan hanya ditulis pada 1621 dalam Hikayat Hang Tuah. Ada pihak pula menganggap Hang Tuah dengan empat watak lagi itu sebenarnya lima pengiring Zheng He dari China yang mengikuti pelayaran laksamana tersohor China itu? Ini ada tercatat dalam 1421: The Year China Discovered America. Adakah semasa sampai ke Melaka, mereka berlima ini tidak pulang bersama Zheng He dan terus menetap di Melaka?

Maka kita boleh bertanya lagi adakah Hang Tuah adalah Cina dan bukan Melayu seperti yang banyak orang fahami sebelum ini? Hujah ini diperkuatkan lagi dengan pangkal nama "Hang'' tidak ada dalam bangsa Melayu dan lebih kepada pangkal nama orang Cina.

Sekiranya Hang Tuah wujud pada abad ke-14 tetapi tidak disebut langsung dalam sejarah Melaka menentang Portugis hingga Melaka tewas pada 1511, adakah ketika itu Hang Tuah telah meninggal dunia?

Buku ini antara yang menguatkan lagi tanggapan bahawa Hang Tuah adalah mitos Melayu yang paling agung. Tidak ada hikayat yang begitu berpengaruh dan mitos dianggap sebagai sejarah kecuali Hikayat Hang Tuah. Dalam masyarakat hari ini Hang Tuah bukan lagi dianggap watak mitos dalam hikayat yang sama dengan sekian banyak hikayat lagi seperti Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malin Deman dan pelbagai lagi. Hikayat Hang Tuah bertenggek di atas sejarah Melaka membuatkan ia lebih kelihatan sebagai sejarah daripada hikayat.

Kita wajar mengagumi orang yang menulis Hikayat Hang Tuah. Ini kerana kejayaan yang luar biasa membawa hikayat itu hingga merentasi beberapa zaman. Malah lebih mengagumkan lagi apabila hikayat itu berada di atas garis pemisah yang nipis antara latar sejarah dan mitos.

Kenyataannya Hang Tuah wujud dalam teks kesusasteraan Melayu dan ia sangat mistik. Nilai-nilai mistik dalam Hikayat Hang Tuah barangkali paralel dengan imaginasi Melayu yang juga sangat jauh mistiknya. Hang Tuah sebagai watak mitos apabila Hang Tuah sendiri tidak pernah dibuktikan wujud secara arkeologikal atau antropologikal.

Hikayat Hang Tuah dipercayai ditulis pada 1621 tetapi sehingga kini tidak dapat mengesan penulis ajaib yang berjaya memukau berbilang generasi selepas abad ke-16. Sementara Sejarah Melayu pula ditulis pada 1621 oleh Tun Sri Lanang juga ada tersebut watak Hang Tuah di dalamnya dan wujud beberapa fakta yang bercanggah.

Kejayaan Hikayat Hang Tuah mempengaruhi masyarakat adalah kejayaan penulisnya menghadiahkan seorang wira kepada orang Melayu selepas Melaka kecundang di tangan Portugis. Apabila sebuah empayar sehebat Melaka tewas sedangkan namanya tercatat di pentas dunia, ini adalah peristiwa malang bagi orang Melayu. Mereka telah hilang wira dan Hang Tuah muncul dengan igauan yang amat hebat.

Inilah pengaruh sebuah naskhah sastera Melayu menggarap secara konvensional pertembungan watak hitam dan putih dalam Hikayat Hang Tuah.

Mungkin kita boleh bertanya, adakah Hikayat Hang Tuah sebagai usaha untuk mengembalikan semangat orang Melayu apabila mereka tidak mampu menentang Portugis? Kerana itu yang wajar dibincangkan sekarang bukan wujud atau tidaknya Hang Tuah. Sebaliknya kedudukan Hikayat Hang Tuah dalam masyarakat.

Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu adalah naskhah klasik untuk mengenali orang Melayu. Misalnya untuk melihat kesetiaan Melayu kepada raja, lihatlah bagaimana orang Melayu dapat menerima tindakan Hang Tuah membunuh sahabatnya Hang Jebat yang membela penganiayaan ke atas Hang Tuah.

Orang Melayu tidak pernah menganggap Hang Tuah zalim kerana membunuh orang yang memperjuangkan keadilan ke atas dirinya. Malah Melayu berpegang kepada "Pantang Melayu menderhaka raja''. Pada masa yang sama orang Melayu tidak pernah melihat Hang Tuah sebagai kaki ampu apabila sanggup melarikan Tun Teja tunang Megat Panji Alam. Tun Teja dipersembahkan kepada sultan.

Kerana Hikayat Hang Tuah bukanlah sejarah maka ia membuka laluan untuk kita melihat dan memberikan tafsiran baru ke atas naskhah klasik ini. Buatlah apa saja ke atas naskhah Hikayat Hang Tuah, tidak ada siapa yang boleh menghalangnya. Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang memberikan konsep antihero apabila menghasilkan naskhah teater Matinya Seorang Pahlawan. Di tangan Usman Awang, pahlawan bukanlah Hang Tuah tetapi Hang Jebat yang memperjuangkan keadilan dan bukan setia membuta tuli kepada sultan.

Matinya Seorang Pahlawan adalah percubaan kedua membuat tafsiran baru selepas Ali Aziz menulis lakon layar filem Hang Jebat arahan Hussein Haniff. Watak Hang Jebat yang hitam dalam Hikayat Hang Tuah menjadi putih di tangan Ali Aziz.

Kini apabila watak Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang dipinjamkan untuk filem Puteri Gunung Ledang, ini satu lagi tafsiran baru terhadap Hikayat Hang Tuah. Dalam Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah (lakonan M. Nasir) bercinta dengan seorang puteri dari Majapahit (lakonan Tiara Jacquelina) kemudian berlindung di Gunung Ledang. Dia dipanggil Puteri Gunung Ledang yang juga digilai oleh Sultan Melaka.

Naskhah asal Hikayat Hang Tuah bahawa Puteri Gunung Ledang meminta pelbagai hantaran perkahwinan yang tidak masuk akal. Tetapi apabila menjadi naskhah filem ini, puteri itu berbuat demikian untuk mengelak berkahwin dengan Sultan Melaka kerana dia mencintai Hang Tuah. Semuanya bermula daripada Hikayat Hang Tuah.

Read more!

Membaca semula seni dan hiburan

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Utusan Malaysia 23 Ogos 2004


Apabila 6,000 orang berebut-rebut menyertai sesi uji bakat Malaysian Idol di Kuala Lumpur tidak lama dulu, adakah ini petanda masyarakat kita sudah tinggi cita rasa seni mereka? Apabila penonton program Akademi Fantasia bermurah hati menyumbang RM7.5 juta melalui 15 juta SMS, adakah mereka ini peminat seni?

Di Barat, hiburan begini mendapat sambutan yang luar biasa. Gila mereka juga memang luar biasa. Tetapi pada masa yang sama persembahan yang berteraskan seni juga mendapat sambutan yang hebat. Teater dan muzik klasik misalnya adalah sebahagian menu untuk hidup selain makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Maka apabila konsert Akademi Fantasia mencetuskan kegilaan yang maha hebat di kalangan kita, definisi seni dan hiburan wajar dibaca semula. Ini kerana yang menjadi tumpuan khalayak bukannya seni tetapi cara berhiburnya.

Cara mendapat hiburan yang melampau dan menjurus kepada hedonisme perlu dirawat segera. Hiburan jenis ini bukan saja berselera rendah dan tidak ada keindahan seninya malah menjadi pemangkin minda yang malas dan hanyut dalam fantasi. Ini kerana, berkembangnya industri hiburan tidak semestinya turut menjulang kualiti manusia kecuali ia dibina dengan penuh tanggungjawab.

Seni dan hiburan terbahagi dua. Sewajarnya kedua-dua ini digaul menjadi satu; ada nilai seni dan ada pula elemen yang menghiburkan. Tetapi kerana budaya menghayati seni tidak ada, hiburan itulah yang difaham sebagai seni. Ini songsang namanya.

Sebenarnya yang berlaku dalam masyarakat hari ini ialah penyusupan masuk budaya hedonisme yang dieksport Barat kepada negara di sebelah sini. Hiburan kosong menjadi tumpuan utama, khalayak menjadi leka, malas dan tidak bermaya.

Tanyalah apa matlamat semua peserta yang berpusu-pusu menyertai Malaysian Idol dan Akademi Fantasia? Semuanya mahu menjadi penyanyi. Sebab penyanyi itu berada dalam lingkungan hiburan, hiburan pula jadi tumpuan.

Tidak ada profesion yang paling mudah disertai kecuali hiburan. Apabila terlalu mudah, yang menjadi masalah bukan saja kualiti malah bahan yang hendak diisi. Semua orang boleh mencuba jadi penyanyi, kalau nasib baik popular dan khalayak yang buta seni menganggap mereka berjaya.

Kepincangan ini ditambah lagi dengan sekian banyak pertandingan mencari penyanyi yang mengabaikan kualiti, mengukur populariti. Lihatlah bagaimana Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Who Will Win mencari juara. Malah Bintang RTM yang dulu dikagumi juga berjangkit sama.

Untuk menjadi penyanyi misalnya, perkara utama yang tidak dapat dinafikan ialah kualiti seseorang itu. Kalau penyanyi tentulah kualiti nyanyiannya. Kalau pelakon kualiti lakonannya. Mengukur kualiti bukan semua orang boleh lakukan. Lalu dipilih kalangan yang arif untuk menjadi pemilih. Tetapi kerana dunia hiburan lebih banyak caca marbanya, terbius dengan istilah televisyen realiti maka pemilih adalah orang ramai yang tidak ada rasa seni yang khusus.

Ini menjadikan seni dan hiburan kita berpisah jauh. Cuma yang jelas ialah hambatan yang melampau untuk berhibur. Entahlah kalau ini tandanya kita telah maju.

Read more!

Lebih 50,000 dibunuh di Darfur dan sejuta jadi pelarian - Bantuan AS dan PBB ada muslihat

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 22 Ogos 2004


APAKAH yang sebenarnya berlaku di Darfur, Sudan hingga mengakibatkan 50,000 nyawa terkorban dan lebih sejuta lagi rakyat terpaksa meninggalkan kampung halaman masing-masing?

Sejak awal tahun ini Darfur tiba-tiba tercatat terang dalam peta dunia. Ia tercatat kerana mengikut media Barat di sini berlaku pembersihan etnik dan krisis kemanusiaan yang paling hebat. Benarkah wujud pembersihan etnik seperti yang berlaku di Bosnia?

Gambaran kekejaman di Bosnia melekat di fikiran sesiapa saja. Tidak kira Barat atau Timur, Bosnia adalah sejarah "Nazi moden'' yang meninggalkan trauma panjang. Lalu apabila Darfur dikaitkan dengan wujudnya pembersihan etnik, berita militan Janjaweed membunuh dan memperkosa di media Barat, dunia segera mempercayainya.

Sama ada benar atau sebaliknya wujud pembersihan etnik, bukan persoalannya. Media Barat dan aktivis hak asasi manusia yang pro-Amerika Syarikat (AS) sudah berjaya meyakini dunia dengan sokongan sebuah badan dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

AS berminat untuk campur tangan dalam hal dalaman Sudan. Hasrat ini dilakukan dengan memperalatkan PBB untuk menggunakan resolusi Majlis Keselamatan PBB ke atas Sudan. AS bukan mahu memberhentikan pembunuhan yang dilakukan oleh militan Arab, Janjaweed ke atas orang kulit hitam. Pecahan etnik di Sudan ialah 52 peratus etnik kulit hitam, 39 peratus Arab, 6 peratus Beja dan 2 peratus orang asing. Darfur bagi AS mempunyai potensi ekonomi sekiranya Sudan menjadi Iraq.

Orang awam terus dibunuh, wanita dan kanak-kanak diperkosa. Presiden Omar Al Bashir pula bukanlah seorang pemimpin yang baik. Dia merampas kuasa, memerintah dengan kuku besi dan kini menggunakan militan Arab untuk mencetuskan huru-hara di Darfur. Omar Al Bashir mempunyai musuh politik di Darfur.

Bekas Speaker Parlimen Sudan, Hassan Al Tarubi mempunyai pengaruh yang hebat malah cuba merampas kuasa daripada Omar Al Bashir. Orang awam yang dikorbankan di Darfur adalah kesan sengketa politik dan strategi untuk melumpuhkan musuh politik apabila Darfur menjadi medan perang.

Bagaimanapun pertelingkahan etnik di Darfur sebenarnya bukan perkara baru. Malah bukan saja Darfur, Sudan sendiri mencatatkan rekod perang saudara yang paling panjang iaitu 17 tahun.

Tetapi krisis politik yang melibatkan militan Arab, Janjaweed, ia membuka laluan kepada kuasa luar untuk menjadi dalang yang mengeksploitasi keadaan runcing ini. Media dan aktivis hak asasi manusia khususnya di Amerika Syarikat (AS) dengan tiba-tiba menjadi begitu "manusia'' dan memperjuangkan kemanusiaan.

Kalau merujuk kepada para aktivis hak asasi manusia yang condong kepada AS, Darfur mesti diselamatkan. Kuasa besar dalam konteks ini tentulah AS dan Britain dan mereka wajar memainkan peranan untuk mengembalikan kemanusiaan di Darfur. Bunyinya memang manis dan sangat "kemanusiaan''.

Membaca krisis politik dalaman Sudan sesulit memahami kepelbagaian etnik yang mempunyai perjuangan berbeza di negara itu. Kerana itu sejarah Sudan dipenuhi dengan perang saudara.

Sementara AS pula selalu masuk dan membuat kacau di negara lain dengan alasan memperjuangkan kemanusiaan. Modus operandi ini digunakan di banyak negara di mana AS mempunyai kepentingan tertentu. Contohnya di Afghanistan. Motifnya menumbangkan rejim pemerintah yang anti-AS. Contoh terbaru di Iraq. Motifnya sama juga. Iraq mempunyai sumber minyak di bawah rejim Saddam Hussein anti-AS. Semua yang dilakukan oleh AS dengan tentera sekutunya menumpang krisis dalaman negara berkenaan. Apabila ada krisis dalaman, ada pula kekacauan. Lalu AS boleh campur tangan demi "untuk memperjuangkan kemanusiaan''.

Darfur yang terletak di selatan Sudan adalah kawasan yang subur dan kaya dengan hasil minyak. Darfur mengikut sejarah adalah sebuah negara Islam yang total tetapi menyertai Sudan pada 1916.

Bagi politik dalaman, Darfur menjadi kebimbangan Omar Al Bashir. Lalu membawa penglibatan Arab untuk menghalau rakyat ke Chad yang bersempadan dengan Sudan.

Kerana itu sejak awal tahun ini, Darfur meninggalkan mimpi yang paling ngeri kepada penghuni yang mendiami kawasan ini. Krisis politik dalaman Sudan memang buruk. Dua kelompok pemberontak utama Sudan, Tentera Pembebasan Sudan (SLA) dan Pergerakan Keadilan dan Kesaksamaan (JEM) menjadi musuh rejim pemerintah. Sementara militan Arab pula difahamkan mahu membalas dendam terhadap kumpulan etnik Afrika yang berkulit hitam.

Penglibatan AS di Darfur sangat licik. AS dan Britain mencampuri hal ehwal dalaman Sudan dengan tiket PBB yang ternyata telah lama diamerikakan. Maka yang kelihatan di Darfur bukanlah AS atau Britain tetapi PBB. Di dunia ini kalau tidak yakin kepada PBB, kepada siapa lagi biarpun semua tahu PBB adalah AS?

PBB pula mempunyai tiket "pembersihan etnik'' yang membolehkan badan dunia itu campur tangan dalam hal ehwal dalam negara Sudan.

Darfur atau dalam kata lain Sudan akan menjadi Iraq kedua. Negara yang merdeka daripada Britain pada 1956 ini akan dijajah oleh AS dengan modus operandi yang dilakukan di Iraq.

Dunia tidak mungkin melupakan tragedi krisis kemanusiaan yang paling besar di Bosnia. Tragedi di Bosnia adalah yang kedua selepas pembersihan etnik Yahudi yang dilakukan oleh tentera Nazi di dalam Perang Dunia Kedua dulu. Tetapi apakah yang dilakukan oleh PBB untuk menghalang orang awam Bosnia daripada disembelih oleh Serbia?

Adakah Majlis Keselamatan PBB bertindak pantas ke Bosnia seperti mereka memberikan tempoh 30 hari kepada rejim Omar Al Bashir untuk mengamankan Darfur? Penglibatan Majlis Keselamatan PBB dalam krisis di Darfur mempunyai helah untuk memberi laluan kepada AS dan Britain ke Sudan.

Pada Januari lalu saja dianggarkan 10,000 pelarian dari Darfur menyeberangi sempadan ke Chad. Mereka meninggalkan kampung halaman apabila militan Janjaweed mengganas membunuh dan memperkosa wanita dan kanak-kanak.

Sudan kini diancam kebuluran dan penyebaran wabak penyakit yang tidak terkawal lagi. Semua ini disebabkan oleh tahap kesihatan yang paling rendah di kem-kem pelarian. Selain 50,000 telah mati dibunuh, dianggarkan lebih sejuta orang lagi akan menghadapi kebuluran.

Dalam keadaan sekarang dianggarkan lebih sejuta orang akan mati kebuluran. Bayangkan apabila Majlis Keselamatan PBB mengenakan segala macam sekatan ke atas Sudan? Semua senario krisis kemanusiaan yang dicetuskan oleh AS ini telah berlaku di Iraq. Sebuah negara yang sekaya seperti Iraq akhirnya kebuluran, apatah lagi Sudan yang terkenal dengan kemiskinan?

Majlis Keselamatan PBB telah memberi tempoh 30 hari kepada Sudan untuk melucutkan senjata militan Janjaweed. Ini bermakna sekiranya Sudan gagal mematuhi ketetapan majlis itu, Sudan berdepan dengan sekatan diplomatik dan ekonomi.

Rejim pemerintah Sudan menganggap Majlis Keselamatan PBB telah melancarkan perang ke atas Sudan. Semua ini mencari helah dengan menggunakan kuasa-kuasa yang dimiliki oleh Majlis Keselamatan untuk memporak- perandakan negara yang terkenal dengan krisis politik dalaman itu.

Omar Al Bashir khabarnya tidak akan tunduk kepada tekanan AS menerusi Majlis Keselamatan PBB ke atas Sudan. Sementara itu sebuah akhbar Britain, The Telegraph melaporkan bahawa pengintip dan komando AS sudah berada di Sudan untuk memburu pengganas yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.

Malangnya menjadi rakyat di sebuah negara yang miskin lagi kucar-kacir. Sudan dihuni oleh 39.1 juta orang dengan pendapatan negara hanya AS$1.4 bilion. Perbelanjaan negara pula AS$1.6 bilion. Sudan mempunyai hasil minyak tetapi kemiskinan membuatkan hasil itu tidak mungkin dimanfaatkan sebanyak yang mungkin.

Kuasa-kuasa besar seperti AS dan Britain sebenarnya bukan bersimpati kepada mereka. Sebaliknya mencari peluang untuk menguasai Darfur serta telaga minyaknya secara sah dengan keizinan PBB. Inilah yang berlaku di Sudan. Pembunuhan yang dilakukan oleh pihak militan dan ancaman penyakit yang membawa kepada maut sentiasa menunggu mereka.

Bayangkan selama 17 tahun Sudan terperangkap dalam perang saudara, sebanyak 1.9 juta orang kehilangan nyawa terutama di selatan dan tengah Sudan. Mengikut perkiraan seorang daripada lima orang mati dalam perang saudara sebelum ini. Sudan barangkali hanya boleh berbangga apabila negara itu mencatatkan rekod perang saudara yang paling lama di dunia.

Demikianlah apabila pemimpin berkuku besi, naik takhta dengan rampasan kuasa dan dia sebenarnya tidak pernah kasih dan sayang kepada rakyatnya. Rakyat bagi orang seperti Omar Al Bashir tidak lebih biri-biri yang menyumbangkan kekayaan kepada dia.

Sekiranya Sudan kecundang di tangan AS, rakyat jelata akan terus menderita. Nasib rakyat tidak akan berubah apa-apa. Mereka akan terus jadi pelarian, mangsa pembunuhan dan kekayaan negara menjadi milik orang.

Read more!

Nasib lulusan Universiti Harvard mengahwini Putera Naruhito - Masako derita di sangkar emas

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 15 Ogos 2004


PUTERI Masako telah melakukan pengorbanan paling besar dalam hidupnya apabila tidak sampai hati mengecewakan Putera Naruhito. Tiga kali dia menolak cinta Naruhito tapi akhirnya mengalah.

Apakah ini kerana Naruhito pernah berjanji dan meyakinkan Masako supaya jangan bimbang dengan protokol istana, "Saya akan melindungi awak sepanjang hayat saya?''

Menyambut cinta seterusnya menjadi isteri dan bakal maharani Jepun adalah pengorbanan apabila hari ini dia umpama terlempar dalam sangkar emas. Selepas 11 tahun berlalu, berkahwin dengan putera raja adalah turut "berkahwin'' dengan tatacara rasmi yang konservatif sistem monarki Jepun.

Selama 11 tahun juga Masako membuang kebebasan hidupnya sebagai rakyat biasa. Dia menjadi ahli keluarga diraja yang paling dihormati dan dijulang oleh rakyat. Masako yang berjiwa rakyat pula menjadi idola wanita Jepun.

Bagaimanapun pada masa yang sama rakyat juga memberikan tekanan untuk melihat dia menyambung salasilah keluarga diraja sekiranya melahirkan seorang anak lelaki. Tapi Masako melahirkan anak perempuan, Aiko dua tahun lalu.

Berita kelahiran Aiko disambut gembira oleh rakyat. Tapi pihak istana membisu kerana Aiko seorang bayi perempuan. Istana mahu bayi lelaki sebagai pewaris takhta.

Siapa yang akan memerintah Jepun selepas Naruhito? Rakyat bertanya, keluarga diraja merungut dan pelaksana sistem monarki Jepun juga bersuara. Seolah-olah tiada anak lelaki adalah kegagalan Masako dan bukan Naruhito.

Tekanan yang tidak tertanggung ini membuatkan Masako tidak muncul pada majlis rasmi sejak lapan bulan lalu. Spekulasi tersebar dan hangat dibahaskan. Akhirnya baru-baru ini Naruhito mengesahkan Masako mengalami tekanan perasaan.

Tekanan perasaan itu berpunca daripada ketidakserasian Masako sebagai wanita moden Jepun yang terperangkap dalam sistem monarki yang konservatif.

Masako seorang gadis pintar, mendapat pendidikan di Universiti Harvard kemudian ke Universiti Oxford. Dia barangkali nampak kesulitan untuk menjadi ahli keluarga diraja yang sangat konservatif itu.

Sebagai isteri dan bakal maharani Jepun, Masako menggalas tugas berat lagi besar. Harapan rakyat dan Maharaja Akihito supaya pasangan diraja itu memperoleh anak lelaki sangat tinggi.

Ini kerana dalam Akta Keluarga Diraja Jepun 1889, wanita tidak boleh menjadi pemegang teraju sistem monarki di Jepun. Masako sebenarnya bergelut dengan pemikiran konservatif rakyat dan warga istana yang mengamalkan budaya mengutamakan lelaki.

Masako dalam konteks Jepun adalah sebahagian daripada perjuangan membebaskan wanita daripada menjadi mangsa diskriminasi gender.

Sebagai wanita yang mendapat didikan di Barat, pemikiran Masako cukup terbuka. Tapi apabila menjadi keluarga diraja Jepun, Masako tewas kerana terpaksa mematuhi sekian banyak protokol yang ketinggalan zaman. Malah karakter dan pemikiran Masako dan Naruhito juga berbeza. Naruhito yang konservatif dan Masako yang moden mencetuskan ketidakserasian.

Kini Masako terpaksa mendapatkan terapi di hospital untuk meredakan tekanan perasaannya. Sudah lapan bulan dia terpisah daripada khalayak dan terkurung bersama juruterapi dan kaunselor untuk mengembalikan Masako kepada keadaan biasa.

Semua ini bertolak daripada kegagalan Naruhito untuk menyumbangkan anak lelaki sebagai penyambung simbol ketinggian sistem monarki di Jepun. Tetapi sedikit pun kegagalan ini tidak ditujukan kepada Naruhito. Sebaliknya kepada Masako. Perasaannya memberontak, persepsi yang tidak adil daripada banyak pihak ini akhirnya menewaskan Masako sebagai mangsa tekanan perasaan.

Pihak istana juga difahamkan melarang Masako mengikuti Naruhito ke Eropah Mei lalu. Semua ini membuka sehelai demi sehelai tekanan yang diterima oleh seorang wanita biasa dalam sistem monarki Jepun.

Tambah tertekan lagi sejak lapan bulan lalu, Masako tidak mendampingi Naruhito ke majlis-majlis rasmi. Semua ini menjadi penyumbang kepada tekanan perasaan yang lebih serius apalagi Masako kini bukan lagi rakyat biasa yang boleh ke mana-mana saja.

April lalu selepas sebulan di kediaman keluarganya di kaki bukit yang damai, Masako tidak mendapat layanan sebagai keluarga diraja. Pegawai istana hanya memberitahu bahawa peruntukan untuk itu tidak diluluskan.

Sangkar tetap sangkar sekalipun diperbuat daripada emas. Masa depan Masako bergantung kepada sejauh manakah sistem monarki membuat perubahan. Dengan sistem konservatif yang sedia ada, Masako diramal akan lebih teruk.

Malang sekali bagi Masako yang menjadi pemimpin bayangan generasi muda Jepun semasa menyertai Kementerian Luar Negara Jepun. Pintar, berilmu dan realistik kepada modenisasi menjadi pemangkin untuk dia berjaya sebagai angkatan muda Jepun.

Memetik kata seorang psikologis dari Academy of Counsellors Japan, Yoshitaka Fukui, tekanan perasaan begini akan berlaku kepada seseorang yang memasuki persekitaran baru tanpa persiapan mental secukupnya. Ini adalah kesan daripada pertembungan dua nilai hidup yang berbeza; moden dan konservatif yang dialami oleh Masako.

Ditambah pula diskriminasi gender secara terhormat dalam sistem monarki Jepun yang menidakkan kemampuan wanita sebagai pemimpin negara. Masako ternyata gagal untuk mengubah keadaan ini kerana lingkungan istana terlalu kuat dengan pegangan konservatif.

Yoshitaka menambah, suatu yang sangat penting dilakukan untuk memulihkan Masako adalah mengeluarkan dia daripada persekitaran yang tidak diingininya. Tinggal bersama keluarganya selama sebulan bagi Yoshitaka terlalu singkat. Ini kerana mereka yang mengalami tekanan seperti ini memerlukan antara enam bulan hingga setahun untuk pulih.

Tekanan kepada Masako tidak berkurang sebaliknya bertambah apabila seorang wartawan, Toshiaki Kawahara mendedahkan ada pihak mengemukakan cadangan supaya Naruhito menceraikan Masako dan berkahwin lain.

Tetapi ini tidak mungkin terjadi kalau melihat semula sejarah panjang sistem monarki di Jepun di mana belum pernah berlaku perceraian semata-mata kerana kegagalan mendapat anak lelaki.

Kasihan Masako, pengorbanannya untuk tidak melukakan hati seorang putera raja akhirnya memakan diri. Naruhito yang konservatif tidak dapat memahami pemikiran moden Masako, seperti Masako yang tidak faham kenapa diskriminasi gender berlaku dalam sistem monarki pada zaman moden ini.

Bayangkan dalam masa 11 tahun menjadi keluarga diraja, Masako hanya berpeluang lima kali saja ke luar negara. Masako bukan dibesarkan di Jepun. Dia dibesarkan di AS dan Rusia kerana bapanya seorang diplomat. Dunianya bukan saja terperap di ceruk istana.

Masako pernah meluahkan perasaannya dengan menulis, "Sejak berkahwin 11 tahun lalu saya cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sangat menekankan.''

Difahamkan Masako pernah berkempen untuk mengubah sistem yang membolehkan Aiko mewarisi takhta Jepun. Tapi tradisi monarki kuno Jepun yang sangat kukuh tidak goyah.

"Isu antara Masako dan Aiko adalah diskriminasi wanita dan menafikan hak wanita yang akhirnya mereka perlu berhujah sebagai masyarakat moden,'' demikian kata ahli undang-undang Yoko Komiyama daripada Parti Demokratik, parti pembangkang terbesar di Jepun.

Demikianlah bagaimana seorang wanita Jepun yang moden dan terpelajar tenggelam dan binasa dalam sistem monarki Jepun yang lapuk. Masako dihadiahkan sebuah kekecewaan kerana dia tidak terlebih dahulu melukakan Naruhito 11 tahun lalu.

Read more!

Selamatkah Jenkins di Jepun? -- Bekas sarjan AS "hilang'' sejak 1965 dituduh belot

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 8 Ogos 2004


Selepas hampir empat dekad hilang semasa sedang bertugas di sempadan Korea Utara dan Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) menganggap Sarjan Charles Robert Jenkins telah mati. Kematian bagi tentera AS yang buat honar di negara orang bukanlah suatu yang luar biasa malah tidak bernilai apa-apa.

Ketika itu AS tidak pernah rasa apa-apa apabila seorang sarjan yang berusia 24 tahun hilang. Jenkins bukanlah sama penting dengan Setiausaha Pertahanan AS, Donald Rumsfeld yang menjadi orang penting menyerang Iraq. Dia hanya seorang sarjan. Matinya bukan kehilangan kalau dibandingkan beribu-ribu tentera AS yang kecundang di Vietnam atau terbaru di Iraq.

Orang seperti Jenkins ini memang dilahirkan untuk mati kepada dasar negaranya yang angkuh. Cuma yang menangisi kehilangan Jenkins adalah keluarganya di North Carolina dan rakan-rakan rapatnya. Ketika hilang, dia bukanlah orang penting kepada Pentagon. Maka kisahnya telah terbenam begitu saja hinggalah pada 2002 mengatakan Jenkins masih hidup.

Kehidupan Jenkins berubah selepas lawatan pertama Perdana Menteri Jepun, Junichiro Koizumi pada September 2002 ke Korea Utara. Jenkins menemui Koizumi untuk meminta pertolongan mengeluarkan keluarganya dari Korea Utara. Dari situ terbongkar kisah seorang tentera AS yang mengahwini wanita Jepun, Hitomi Soga. Atas dasar diplomasi, Presiden Korea Utara Kim Jong-il membenarkan Hitomi Soga kembali ke Jepun.

Warna-warni dan perjalanan penuh liku relung kehidupan Jenkins menjadi bualan terutama rakyat Jepun. Mereka melihat aspek kemanusiaan mengatasi undang-undang AS. Sama ada yang percaya Jenkins seorang pembelot atau sebaliknya, cerita perihal keluarganya penuh melodrama.

Jenkins kini masih dalam bidang kuasa AS. Tuduhan meninggalkan tugas akan lupus selepas 40 tahun. Sedangkan mengikut catatan pihak Pentagon yang dikeluarkan 1996 Jenkins "hilang'' pada pukul 2.30 pagi 5 Januari 1965.

Persoalannya di mana Jenkins akan berlindung sementara menunggu tuduhan itu melewati 40 tahun iaitu hingga 5 Januari tahun depan? Di Jepun sekalipun pihak kerajaan dan rakyat mengalu-alukan tetapi tidak selamat. Ini kerana Jepun mempunyai perjanjian ekstradisi dengan AS.

Sementara menunggu 5 Januari 2005, semua kemungkinan boleh berlaku kecuali negara yang tidak ada perjanjian ekstradisi dengan AS. Jenkins boleh saja diculik oleh pihak AS dan dibawa pulang.

Bagaimanapun difahamkan Koizumi akan menempatkan Jenkins sementara menunggu tamat tempoh 40 tahun di negara ketiga yang neutral. Koizumi telah menyampaikan memo tulisan tangan kepada Jenkins meyakinkan dia tidak akan diserahkan kepada AS tanpa restu Jepun.

Bagi AS persoalannya Jenkins bukan saja masih hidup tetapi yang lebih penting menetap di Pyongyang, Korea Utara. Ingat, Korea Utara sebuah negara komunis yang menjadi musuh AS. Bahkan Korea Utara juga kini dengan giat membangunkan senjata nuklear yang boleh menghantar peluru berpandu ke Pentagon kalau mereka mahu.

Ketegangan antara AS dengan Korea Utara bukan rahsia lagi. Ini kerana Korea Utara antara negara yang digeruni selepas rejim Saddam Hussein di Iraq tumbang. Tinggal kini cuma Korea Utara yang secara terbuka mendedahkan pelan pembangunan senjata nuklearnya.

Diculik

Maka tidak hairanlah tiba-tiba Jenkins menjadi penting kepada AS. Seorang sarjan yang kini berusia 64 tahun dan telah uzur dilihat lebih penting daripada bala tentera yang bertarung nyawa di Iraq tidak lama dulu. AS berusaha untuk mengambil Jenkins dan akan mendakwanya di mahkamah tentera di atas tuduhan melarikan diri semasa bertugas. Itu tuduhan AS ke atas Jenkins.

Tetapi Jenkins menafikan dia lari daripada tugas, sebaliknya ditangkap oleh tentera Korea Utara. Dia diseksa secara psikologi dan dipaksa mengajar bahasa Inggeris kepada pengintip-pengintip Korea Utara. Jenkins berkahwin dengan seorang wanita Jepun, Hitomi Soga pada 1980. Mereka dikurniakan dua orang anak, Mika dan Belinda. Kedua-duanya kini menuntut di Universiti Pyongyang.

Benarkah AS sekadar mahu mendakwa di mahkamah tentera kerana memberi moral yang buruk? Atau ada agenda lain yang lebih besar iaitu mendapatkan rahsia mengenai Korea Utara? Dalam konteks ketegangan Korea Utara dan AS, Jenkins adalah orang yang sangat penting. Dia dipercayai boleh memberi maklumat mengenai misi sulit Korea Utara. Jenkins tentu lebih tahu daripada perisik CIA mengenai pelan pembangunan senjata nuklear.

Sama ada Jenkins diculik kemudian didera secara psikologi atau sememangnya dia belot kepada AS bukan persoalan penting. Kerana itu usaha membawa balik Jenkins ke AS adalah bagi mendapatkan maklumat tentang Korea Utara.

AS mempunyai alasan yang kuat untuk menghukum Jenkins sebagai pembelot. Antaranya apabila sebuah siaran radio di Korea Utara memetik kenyataan Jenkins dalam majalah propaganda Fortune's Favourites yang diterbitkan tahun 1965. Dia juga pernah berlakon dalam filem propaganda Korea Utara, Nameless Heroes, Chapter 20 tahun 80-an. Filem ini filem anti-AS dan Jenkins berlakon sebagai perisik AS.

Plot kisah Jenkins dan keluarganya begitu berselirat. Hitomi Soga pula mendakwa diculik oleh pihak Korea Utara ketika bersama ibunya. Ketika itu Hitomi Soga seorang jururawat pelatih yang baru berusia 19 tahun. Bagaimanapun pihak Korea Utara menafikan menculik Hitomi Soga.

Babak-babak pertemuan tentera AS dengan jururawat Jepun di Korea Utara ini begitu dramatik. Hitomi Soga pada mulanya belajar bahasa Inggeris daripada Jenkins yang menjadi guru bahasa Inggeris di Pyongyang. Hitomi Soga pula menjadi asas kuat untuk menarik campur tangan Jepun dalam isu Jenkins.

Selepas tersebarnya berita Jenkins masih hidup dan menetap di Pyongyang, ketegangan antara AS, Korea Utara dan Jepun mulai terasa. Korea Utara dan Jepun masing-masing mahu memiliki Jenkins dengan alasan perikemanusiaan. Bagi Korea Utara, Jenkins sudah mempunyai keluarga di Korea Utara sementara Jepun pula yang telah membawa balik Hitomi Soga pada 2002 mahu mempertemukan semula keluarga itu.

Pada masa yang sama Jenkins boleh ditangkap bila-bila masa saja oleh pihak AS malah jawatannya sebagai sarjan masih belum dilucutkan. Jenkins masih tentera AS yang didakwa melarikan diri dan belot kepada negara. AS boleh menangkap Jenkins kecuali negara yang tidak ada perjanjian ekstradisi dengan AS. Sekiranya didapati bersalah iaitu belot terhadap tentera AS, Jenkins boleh dihukum mati. Malah Setiausaha Negara AS, Colin Powell pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Jenkins melarikan diri daripada tentera AS.

Bagaimanapun ada pula pihak yang menganggap "terkurung'' selama 38 tahun di Korea Utara adalah hukuman yang setimpal kalau benar Jenkins pembelot kepada AS. Itu sudah memadai dan sekarang biarlah Jenkins hidup sebagai orang biasa yang tidak memberi bahaya kepada mana-mana negara; AS, Korea Utara atau Jepun.

Bagaimanapun Jepun kelihatan ke depan untuk mempertahankan Jenkins apabila mengatur pertemuan Jenkins dengan isterinya selepas berpisah selama dua tahun di Jakarta 9 Julai lalu.

Pada Mei lalu, Koizumi sekali lagi membuat lawatan kontroversi ke Pyongyang untuk membincangkan pembebasan lima daripada tujuh rakyatnya yang ditahan di Korea Utara. Bagaimanapun Jenkins dan keluarganya menolak tawaran untuk mengikuti kumpulan itu kerana Jepun mempunyai perjanjian ekstradisi dengan AS.

Isu negara yang menatang pertemuan Jenkins dan Hitomi Soga ini juga menjadi perdebatan antara Korea Utara, AS dan Jepun. Di mana tempatnya yang selamat bagi Jenkins? Tentunya di negara yang tidak ada perjanjian ekstradisi dengan AS. Jenkins berkali-kali berkata dia takut untuk menghadapi tuduhan di mahkamah tentera AS.

Kim Jong-il mencadangkan pertemuan itu dibuat di Beijing tetapi pihak Jepun kurang senang kerana Beijing mempunyai hubungan baik dengan Korea Utara. Akhirnya Indonesia dipilih kerana mempunyai hubungan diplomatik dengan Korea Utara dan tiada perjanjian ekstradisi dengan AS.

Kini Jenkins berada di Tokyo, Jepun untuk mendapatkan rawatan pemulihan fizikal dan psikologi. Tetapi sampai bila? Ini kerana Jepun bukanlah negara selamat dan untuk menunggu 5 Januari 2005 masih panjang. Malangnya Jenkins kerana dia menjadi pelarian dari negara tanah tumpah darahnya. Isunya bukan kerana belot semasa bertugas tetapi dia diibaratkan cip komputer yang mempunyai maklumat penting bagi AS.

Read more!