Indonesia jadi USSR?

Oleh: ROSNAH MAJID
Sumber: Utusan Malaysia 12 Oktober 1999


KALAU Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR) berjaya dihancurkan pada tahun 1991 melalui perestroika dan glasnost, kini kita sedang melihat pula bagaimana Indonesia diporak-perandakan melalui 'reformasi dan demokrasi'.

Pembentukan sebuah negara 'The Great Russia' yang mula dilahirkan sejak kurun ke-14 lagi akhirnya berjaya membina kesatuan yang lebih besar pada tahun 1922 apabila beberapa republik bercantum menjadi USSR.

Untuk selama 69 tahun USSR muncul sebagai kuasa besar yang telah berjaya mencorakkan sejarah dunia dalam berbagai bidang - politik, ketenteraan dan sains angkasa lepas. USSR muncul sebagai satu-satunya kuasa besar yang menjadi pencabar Amerika Syarikat (AS) dalam ketiga-tiga bidang ini.

Selama tujuh dekad dunia terbelah dua - blok USSR dan blok AS. Negara-negara lain mempunyai pilihan untuk menerima mana satu ideologi - sosialis/komunis ataupun kapitalis/demokrasi. Selama itu dunia mempunyai satu perimbangan kuasa sehinggalah USSR hancur berkecai pada tahun 1991.

Usaha untuk menghancurkan USSR sebagai satu kuasa besar merupakan kejayaan paling besar Agensi Perisik Pusat (CIA) dalam abad ini. Setelah sekian lama berusaha akhirnya AS dapat memasuki 'jarum' mereka menerusi Mikhail Gorbachev yang dipilih menjadi pemimpin Parti Komunis Rusia pada tahun 1985.

Pada tahun 1987 Gorbachev melakukan reformasi politik dan sosial menerusi dua panggilan keramat bernama glasnost (keterbukaan) dan perestroika (penyusunan semula). Waktu itu kedua-dua perkataan ini menjadi begitu penting menghiasi dada akhbar dan peti TV di seluruh dunia, khasnya media Barat.

Beliau menjadi pemimpin USSR paling popular di Barat dan mendiang isterinya, Raisa dijulang sebagai wanita moden Rusia. Gorbachev tenggelam dalam pujian Barat sehingga lupa bahawa perestroika dan glasnost menjadi punca hancurnya USSR sebagai sebuah negara/kuasa besar.

Program reformasi Gorbachev ini walaupun dipuji oleh Barat tetapi mendapat tentangan daripada pemimpin komunis lain dalam Politburo, berlaku percubaan rampasan kuasa pada bulan Ogos 1991. Presiden Republik Russia, Boris Yeltsin mengambil kesempatan memimpin mogok dan tunjuk perasaan besar-besaran.

Gorbachev yang meletak jawatan kerana dikatakan sakit telah dilantik semula menjadi Presiden pada 19 Ogos 1991, tetapi lima hari kemudiannya beliau meletak jawatan sebagai pemimpin Parti Komunis Soviet, namun masih menjadi pemimpin kerajaan.

Keadaan kacau-bilau ini akhirnya mencapai kemuncaknya pada 21 Disember 1991 apabila 11 dari 12 republik yang membentuk USSR - Ukraine, Armenia, Azerbijan, Belarus, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Moldova, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan dan Rusia mengisytiharkan diri mereka lalu membentuk Commonwealth of Independent States (CIS).

Kemudiannya Gorbachev pun meletak jawatan sebagai pemimpin USSR pada 25 Disember dan Parlimen mengesahkan pembubaran USSR pada 26 Disember tahun tersebut. Demikianlah tamatnya riwayat sebuah kuasa besar di abad ini yang berpunca daripada langkah reformasi glasnost dan perestroika.

Sesungguhnya sejarah begitu sarat dengan pengajaran. Tetapi sayangnya manusia tidak pernah belajar daripadanya. Inilah yang berlaku ke atas Indonesia hari ini. Mereka kini sedang menyaksikan bagaimana mereka kehilangan satu daripada wilayahnya iaitu Timor Timur dalam keadaan yang sungguh menghinakan.

Jika rakyat dan kerajaan Indonesia mengambil pengajaran daripada nasib yang menimpa USSR, mereka mungkin tidak terjebak seperti sekarang. Jika mereka bertindak tegas seperti China dan Vietnam, negara Islam terbesar itu mungkin tidak menderitai nasib seperti kini.

China dan Vietnam juga menerima tekanan hebat untuk membuat reformasi politik dan doi moi dengan melaksanakan demokrasi bagi menggantikan sistem komunis. Tetapi kedua-dua negara itu memilih untuk melakukan reformasi ekonomi mendahului reformasi politik, kerana mereka belajar daripada kesilapan USSR. Sehingga kini mereka terselamat daripada keruntuhan.

Dengan melumpuhkan ekonomi Indonesia melalui serangan ke atas rupiah, negara Melayu terbesar itu terseret dalam kancah kekacauan politik. Gerakan apa yang dipanggil 'reformasi dan demokrasi' telah memenuhi jalan-jalan raya di Jakarta, Jogjakarta, Surabaya, Bandung hinggalah ke Medan.

Anak-anak muda yang mendapat sokongan oleh para pemimpin reformasi dan demokrasi seperti Amein Rais, Megawati Sukarnoputri, Abdurrahman Wahid yang disokong oleh media tempatan dan asing telah berjaya menumbangkan Suharto pada bulan Mei tahun lalu. Reformasi dan demokrasi menjadi perkataan keramat bagi rakyat dan pemimpin Indonesia ketika itu.

Gema reformasi turut bergegar di Malaysia. Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terang menyokong gerakan reformasi Indonesia. Beberapa pemimpin reformasi Indonesia datang ke Kuala Lumpur atas undangan Institut Kajian Dasar (IKD) untuk memberi taklimat/ceramah mengenai cara-cara reformasi Indonesia menumbangkan Presiden Suharto.

Kemudiannya apabila Anwar dipecat, gerakan reformasi Malaysia menjadi formal. Para penyokongnya menjadikan reformasi sebagai perjuangan mereka selaras dengan reformasi Indonesia. Ketika itu reformasi Indonesia sentiasa saja menjadi rujukan. Malah para pemimpin reformasi - Mohd. Ezam Mohd. Noor, Saifudin Nasution dan Rahim Ghaus - lari ke Indonesia.

Sewaktu di Jakarta, Saifudin Nasution menjadi salah seorang ahli panel seminar yang menyokong kemerdekaan Timor Timur, walaupun sewaktu menjadi Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, beliau turut merempuh masuk persidangan APCET di Hotel Asia, Kuala Lumpur kerana membantah langkah beberapa NGO yang mahukan kemerdekaan wilayah itu daripada Indonesia.

Naib Presiden AS, Al Gore yang berucap di Dewan Merdeka, Kuala Lumpur pada bulan November 1998 secara terang menyokong gerakan reformasi dan menganggap para perusuh di jalan raya sebagai 'rakyat Malaysia yang berani'.

Setelah lebih setahun berlalu, kini barulah dunia dapat menyaksikan apa sebenarnya yang dirancang di sebalik serangan ke atas rupiah dan laungan reformasi serta demokrasi itu. Gerakan reformasi dan tuntutan demokrasi itu tidak lebih daripada gerakan melumpuhkan kesemua institusi yang mendokong sebuah negara besar bernama Republik Indonesia.

Apa hasil reformasi dan demokrasi ini? Ia tidak lain daripada runtuhnya sebuah negara Islam/Melayu terbesar di dunia dan musnahnya kuasa besar di rantau ekonomi paling dinamik di dunia. Bukan saja ekonomi tidak pulih dan kerajaan pimpinan Habibie terus lemah, kuasa-kuasa besar, khasnya AS dan Australia terus melakukan campur tangan dalam negara itu secara terang.

Australia yang ingin menjadi 'Timbalan AS' di Asia kini menguasai Timor Timur dengan kehadiran tenteranya paling ramai di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tanpa Indonesia berdaya menghalangnya.

Walaupun Indonesia telah nyata menjadi lemah hasil reformasi dan demokrasi, namun dalam lawatannya ke Jakarta baru-baru ini Setiausaha Pertahanan AS, William Cohen tetap memberi amaran kepada Habibie dan Panglima Tentera, Jeneral Wiranto supaya negara itu meneruskan usaha 'pembaharuan demokrasi' dan 'menjamin keamanan Timor Timur yang merdeka.'

Setelah berada di bawah penjajah Belanda hampir 5 abad, para pejuang kemerdekaan Indonesia berusaha keras untuk membentuk Republik Indonesia yang terdiri daripada beribu buah pulau dengan penduduk berbilang bangsa dan agama, tetapi muncul menjadi negara Islam terbesar di dunia dengan memiliki kekuatan tentera yang diakui.

Kini apa yang telah dibina ini sedang dalam proses menuju kemusnahan. Apakah Republik Indonesia akan menerima nasib yang sama seperti USSR? Bermula dengan Timor Timur dimerdekakan secara paksa, apakah selepas ini satu demi satu wilayah-wilayah yang membentuk Republik Indonesia ini akan juga dimerdekakan?

Bunga-bunga ke arah itu sudah pun ada. Acheh sudah pun menuntut kemerdekaan. Apakah selepas ini Ambon, Selawesi, Kalimantan, Sumatera akan juga dipaksa untuk dimerdekakan? Jika ini berlaku bermakna hancur berkecailah negara Islam paling besar di dunia. Inilah hasil terbesar gerakan reformasi.

Selain itu, dengan kemerdekaan Timor Timur, kuasa-kuasa Barat nampaknya sedang merancang pembentukan sebuah lagi negara Katholik di rantau ini selepas Filipina. Timor Timur yang sejak 1976 berada di bawah kerajaan yang dipimpin oleh umat Islam, kini berjaya menjadi negara satelit Australia dan kuasa Barat yang sangat strategik. Inilah hasil reformasi.

Sejak semakin jelas hasil reformasi Indonesia ini, maka para pendokong reformasi Malaysia pun mula menjauhkan diri mereka daripada reformasi Indonesia. Tiada lagi kedengaran suara-suara yang merujuk kepada reformasi Indonesia.

Jelas, jika gerakan reformasi Malaysia ditakdirkan berjaya tempoh hari, negara kita akan menjadi seperti Indonesia. Malah mungkin lebih buruk lagi kerana komposisi kaum di Malaysia lebih mudah menyemarakkan api perang perkauman yang boleh menghancurkan negara.

Indonesia yang selama ini merasakan Australia adalah pencabarnya dari segi keselamatan di rantau ini, sehingga hubungan kedua-duanya sentiasa tegang, kini mendapati negara kangaroo tersebut sedang menguasai Timor Timur. Dengan sokongan seluruh jentera Barat, Australia berjaya bertapak di bekas wilayah Indonesia itu.

Apakah kehadiran Australia di wilayah itu hanya dari segi ketenteraan saja? Kerap kali negara-negara maju tidak hanya menghantar tentera, tetapi turut menghantar pakar-pakar dalam berbagai bidang - ekonomi, kaji bumi, hasil mahsul alam - yang juga memakai uniform tentera.

Apa yang ada di Timor Timur? Wilayah yang pernah dijajah oleh Portugis selama 400 tahun ini, selain kedudukannya yang penting sebagai laluan Australia ke Asia, juga begitu kaya dengan hasil bumi yang belum lagi diterokai seperti minyak, gas asli, emas dan hasil balak.

Dengan menguasai Timor Timur, Australia sebenarnya melengkapkan penguasaannya terhadap wilayah Pasifik Selatan. Sejak berpuluh tahun, negara tersebut menjadi seolah-olah 'tuan' bagi negara-negara kepulauan kecil di rantau itu. Dari segi ekonomi mereka adalah pelabur terbesar serta negara rantau itu adalah pasaran bagi barangan Australia. Dari segi perhubungan dengan dunia luar ia berjalan hampir keseluruhannya melalui Australia.

Walaupun Perdana Menterinya, John Howard menafikan berkata yang negara itu mahu menjadi 'Timbalan AS' (setelah hampir seminggu berita itu tersiar), tetapi pada hakikatnya Australia memainkan peranan sebagai wakil kuasa Barat di Asia. Hakikat ini begitu terang lagi, sama ada mereka mengakuinya ataupun tidak. Inilah antara kejayaan gerakan reformasi.

Read more!