Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 23 Januari 2005
Nasib awaklah Sarjan Charles Graner. Awak hanya seorang sarjan, maka jadi kambing hitamlah kepada tuan-tuan yang bijak menyuci tangan.
Demikian malangnya seorang sarjan tentera Amerika Syarikat (AS) yang dikambinghitamkan untuk menutup perlakuan "binatang'' tuan-tuannya, Presiden George Bush, bekas Setiausaha Negara Colin Powell dan Setiausaha Pertahanan Donald Rumsfeld.
Graner dihukum penjara sepuluh tahun selepas didapati bersalah menyeksa tawanan perang Iraq di penjara Abu Gharib, Baghdad. Ini dianggap penutup kepada skandal penderaan di penjara Abu Gharib.
Barangkali sesetengah pihak berasa puas apabila pihak yang melakukan "kerja binatang'' itu dihukum. Hukumannya pula berat; penjara 10 tahun dan dipecat dari perkhidmatan tentera.
Tunggu. Jangan gembira dulu. Menghukum seorang sarjan sebenarnya tidak membawa apa-apa makna dalam isu skandal Abu Gharib. Pencabulan hak asasi manusia itu tidak selesai kalau hanya seorang sarjan saja menerima hukuman.
Graner yang baru berusia 36 tahun ini sebenarnya berjasa besar kepada tuan-tuannya. Pengorbanan dengan menanggung semua perlakuan itu adalah menyelamat dan menyucikan nama pihak atasan daripada ikut terlibat dalam babak "binatang gila'' di Iraq itu.
Ini menunjukkan untuk "kelihatan'' ada keadilan bukanlah suatu yang sukar. Lesen keadilan boleh diberikan oleh mahkamah, biarpun mahkamah tentera. Apabila dunia menuding bahawa ideologi Rumsfeldisme yang mencetuskan skandal penyeksaan itu, mangsakan saja si kambing hitam yang tidak punya kuasa. Setidak-tidaknya ini mampu memulihkan keyakinan kepada kepimpinan Bush dan Rumsfeld.
Skandal penyeksaan tawanan Iraq di penjara Abu Gharib menggoncangkan Bush, Powell dan Rumsfeld. Perlakuan kebinatangan itu dikaitkan Rumsfeldisme yang dibayangi oleh Setiausaha Pertahanan AS, orang paling penting dalam misi menyerang Iraq.
Menghukumkan Graner sekadar menunjukkan AS "mengambil berat'' kecaman dunia khususnya pejuang hak asasi manusia. Riuh-rendah dan kecaman yang membara di seluruh dunia selama ini ternyata tidak akan padam dengan muslihat bahawa Graner melakukan tanpa arahan daripada pihak atasan.
Graner antara tujuh anggota tentera AS yang didakwa berhubung skandal penderaan yang tidak berperikemanusiaan itu. Graner dihukum penjara 10 tahun dan dipecat daripada perkhidmatan tentera.
Semasa wartawan AFP bertanyakan Graner mengenai hukuman tersebut, sarjan itu hanya berkata, "Saya hanyalah seorang tentera. Jika saya melakukan sebarang kesalahan, beginilah kesudahannya.''
Sarjan ini yang gambarnya tertera berdiri di sisi batang tubuh manusia yang disusun sebagai piramid sambil ketawa sebenarnya bukanlah manusia baik. Dia memang melakukan penderaan bersama-sama yang lain.
Masih ingat lagi dengan seorang anggota tentera wanita yang mengheret tawanan Iraq bagai binatang? Itu adalah Lynndie England teman wanita Graner yang hamil hasil hubungan dengan Graner dan telah pun melahirkan anak itu di sebuah hospital tentera di Baghdad.
Tetapi yang terus menjadi persoalan selepas Graner dihukum adalah perbuatan kejam itu dilakukan dengan pengetahuan kalaupun bukan keizinan pihak atasan.
Mujurlah skandal tawanan Iraq yang dikencing, dilumur najis, dikenakan kejutan elektrik selain kehormatan mereka sebagai manusia dicabulkan didedahkan oleh media AS sendiri.
Pendedahan eksklusif penderaan tawanan perang Iraq dibuat oleh saluran TV CBS menerusi program 60 Minute pada 29 April tahun lalu. Pendedahan itu kembali mengingatkan kekejaman tentera AS terhadap tawanan perang Afghanistan di penjara Teluk Guantanamo, Cuba.
Penderaan mental dan fizikal di Teluk Guantanamo tidak kurang dahsyatnya. Lupakan dulu yang ditangkap itu bersalah atau tidak. Tetapi modul soal siasat sangat menyeksakan. Siapa yang mewajarkan pencabulan hak asasi manusia di Teluk Guantanamo kalau bukan teraju perang yang paling berkuasa, Rumsfeld?
Media seperti saluran CBS juga mempunyai kepentingannya sendiri hasil pendedahan ini. Jangan terlalu awal menganggap telah wujud kebebasan media di AS. Selepas pendedahan CBS, skandal ini turut didedahkan oleh akhbar Daily Mirror dan Washington Post.
Skandal ini kemudian menjadi agenda utama media di negara-negara Islam khususnya di negara-negara Teluk. Matlamat AS menyerang Iraq untuk membebaskan rakyat daripada kekejaman Saddam Hussein kembali dipersoalkan. Apa bezanya penjara Abu Gharib pada era Saddam dan AS? Apa bezanya penjara Abu Gharib dengan Guantanamo?
Bush, Powell dan Rumsfeld menyembunyikan tangan dan pada masa yang sama mempunyai cara untuk meredakan kemarahan dunia.
Lihat saja kenyataan awal Bush sebelum tujuh tentera yang dituduh didapati bersalah; "Tujuh tentera AS ini memalukan dan mencalarkan imej AS.'' Bush telah menghukum sebelum dijalankan penyiasatan rapi terhadap tuduhan itu.
Ditubuhkan sebuah panel penyiasat yang kononnya bebas. Kelihatan dari luar ada ketelusan untuk menghukum mereka yang terlibat dalam penyeksaan tersebut. Pihak atasan menafikan terlibat dan menganggap penyeksaan di penjara Abu Gharib sebagai kes-kes terpinggir.
Maka reaksi ibu Graner, Irma di Texas selepas anaknya didapati bersalah ada relevannya dengan Bush dan konco-konconya dengan kambing hitam ini.
Kata Irma, "Anak saya telah dihukum apabila Bush berkata melalui televisyen bahawa tujuh tentera AS memalukan negara. Sebenarnya Bush dan Rumsfeld yang memalukan negara.''
Rumsfeld menafikan terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam skandal penyeksaan itu. Tetapi banyak yang percaya semua yang berlaku adalah dengan restu pemimpin Pentagon dan Rumah Putih.
Malah dipercayai ini sebahagian daripada arahan untuk dilakukan ke atas tawanan Iraq bagi tujuan "soal siasat''. Tetapi apabila skandal ini pecah dan menjadi kontroversi tidak ada siapa yang mahu bertanggungjawab. Dunia memerhati dan pihak perjuang hak asasi manusia mendesak mereka yang terlibat mesti dihukum.
Akhirnya seorang sarjan yang gambarnya ada bersama-sama tawanan yang diseksa dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun. Sarjan itu menjadi kambing hitam kepada "tuan-tuan'' yang sepatutnya menerima hukuman itu.
Bekas Setiausaha Pertahanan AS, James Schlesinger yang dilantik sebagai ketua panel penyiasat percaya, pihak atasan yang bertanggungjawab dan Washington bersetuju dengan apa yang berlaku.
Panel penyiasat juga mengkritik bekas komander tentera AS di Iraq, Leftenan Jeneral Ricardo Sanchez kerana tidak memberi perhatian terhadap Abu Gharib hingga tidak terkawal.
"Pihak pemimpin tentera dan awam di Pentagon wajar bertanggungjawab,'' demikian ulas Schlesinger mengenai hasil siasatan terhadap skandal di Abu Gharib.
Malah media AS juga percaya skandal penderaan tawanan itu mendapat restu daripada pihak atasan Pentagon termasuk Rumsfeld. Akhbar Washington Post misalnya dalam laporan pada Jun tahun lalu melaporkan Jabatan Kehakiman menganggap penderaan di luar AS sebagai "wajar''. Ini bermakna Bush, Rumsfeld dan Powell tahu apa berlaku di penjara Abu Gharib.