Berakhirkah derita Palestin?

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 20 Mac 2005


Apabila dua pemimpin Asia Barat, Presiden Palestin Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon bersalam di Sharm el-Sheikh, Mesir, dunia tidak berasa apa-apa yang luar biasa. Salam dan bertukar senyum hampir tidak ada makna untuk dibaca sebagai anjakan yang mengubah nasib Palestin.

Rakyat Palestin tetap seperti sekarang dan sebelum ini; hak yang dinafikan, dibunuh, dicederakan dan dianiaya. Tanah Palestin terus diceroboh sekalipun dua tangan bersalam bererti bermulanya rangka pelan damai terbaru.

Pelan damai Israel - Palestin dianjurkan oleh Amerika Syarikat (AS) bertujuan menamatkan sengketa hampir setengah abad lamanya.

Tetapi harapan untuk Palestin menikmati keamanan dan kedamaian masih jauh. Malah terlalu kabur apakah Israel benar-benar jujur atau sekadar helah untuk satu tujuan lain. Sekalipun media seluruh dunia menyiarkan gambar retorik dua pemimpin ini bersalaman, tersenyum riang, kita kena realistik bahawa pelan damai tetap ada seribu liku.

Untuk berdamai dengan Israel bukan semudah dijangka. Manusia yang murah jiwa ke arah perdamaian tidak akan menceroboh, menafikan hak rakyat asal dan menindas seumpama tuan tanah. Maka apabila Israel begitu sifatnya, pelan damai yang pasti satu catatan dalam sejarah luka Palestin bahawa telah tiga kali Israel menolak perdamaian. Jawapan seterusnya hanya ada kepada pejuang berani mati dan meletupkan bom kereta.

Bagi Palestin, pelan damai ini tidak banyak mengubah perjuangan mereka. Daripada pengalaman lalu Israel tidak pernah jujur dengan perjanjian yang dimeterai. Apa lagi perjanjian lisan di Sharm el-Sheikh ini. Kegagalan perjanjian damai selalunya disebabkan oleh Israel yang dinaungi oleh AS, kuasa besar yang sangat bias kepada Israel dan itu bukanlah rahsia lagi.

Pelan damai terbaru ini tidak memberi harapan yang jernih supaya Palestin boleh hidup tanpa ditindas, Israel pula boleh hidup tanpa trauma pengebom berani mati. Tidak lama selepas pertemuan Mahmoud Abbas dan Sharon untuk "berdamai'', Israel telah merancang membina lebih 6,000 rumah penempatan Yahudi di Tebing Barat tahun ini. Angka ini merupakan satu peningkatan mendadak di kawasan jajahannya.

Penempatan baru untuk Yahudi itu dengan sendirinya menolak cadangan AS supaya Israel membekukan penempatan barunya di Tebing Barat. Ini kerana antara yang terkandung dalam pelan damai kali ini AS menegaskan tiada penempatan baru di kawasan yang dijajah Israel sejak 1967.

Sementara undang-undang antarabangsa pula telah menetapkan bahawa penjajah tidak dibenarkan membina sebarang penempatan baru di kawasan jajahan mereka. Tetapi Israel yang angkuh dan sangat tidak berperikemanusiaan itu menolak undang-undang yang dipersetujui oleh anggota-anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tetapi Israel sangat berat untuk membebaskan lebih kurang 7,000 tahanan di penjara negara itu. Sharon tentunya dalam dilema untuk membebaskan tahanan yang tangan mereka "berdarah merah'' kerana membunuh Yahudi. Tahanan yang dibebaskan terlalu kecil daripada sepatutnya.

Lalu apa maknanya pelan damai yang dianggap sebagai cetusan baru era Mahmoud Abbas selepas kematian Yasser Arafat? Tentunya terlalu awal untuk melihat pelan damai ini sebagai kerdipan di hujung terowong yang dirintis oleh Mahmoud Abbas menuju Palestin yang merdeka dan berdaulat. Yasser Arafat pernah dikatakan menjadi batu penghalang proses damai antara Israel dan Palestin.

Yasser digeruni sekali gus dibenci oleh Israel. Lalu apabila Mahmoud Abbas mengambil alih kedudukan itu, ada yang menganggap ini satu cahaya baru untuk menamatkan sengketa dan penindasan ke atas rakyat Palestin. Tetapi Israel bukanlah Israel kalau tidak biadap, curang dan berniat jahat kepada Palestin. Tentunya kegagalan proses damai sebelum ini bukanlah kerana Yasser Arafat tetapi disebabkan tidak ada kejujuran di pihak Israel.

Sebenarnya tidak ada harapan baru kepada pelan damai yang terbaru ini. Malah tidak dijangka ada kesan luar biasa hasil pertemuan Mahmoud Abbas dengan Sharon yang disaksikan oleh Presiden Mesir Hosni Mubarak dan Raja Abdullah dari Jordan.

Ternyata pelan damai ini tidak akan menunaikan hasrat tertangguh Yasser Arafat untuk melihat Palestin merdeka, hak mereka dipulangkan dan keamanan berbunga. Perjuangan Yasser Arafat hingga ke akhir hayatnya untuk hidup damai dan merdeka. Yasser Arafat hampir maut dalam kurungan kerana Palestin. Tetapi pelan damai terbaru ini belum menampakkan hasrat Yasser Arafat akan tertunai sekalipun selepas ketiadaannya.

Palestin bukanlah agen keganasan sementara Yasser Arafat pula bukanlah provokator yang sengaja membakar kemarahan Israel. Tetapi sikap Israel atau lebih tepat lagi Sharon terhadap Palestin sangat kejam dan penuh kebinatangan.

Sharon bukanlah manusia yang boleh diajak berbincang menuju kedamaian. Kalau melihat sejarah silamnya, siapa lagi yang menganjurkan pembunuhan beramai-ramai di kem Sabra dan Shatila kalau bukan Sharon yang ketika itu Menteri Pertahanan Israel? Mangsanya orang awam, wanita-wanita termasuk yang sarat hamil dan kanak-kanak. Kekejaman ini berlaku di hadapan masyarakat dunia yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia.

Penentu kejayaan pelan damai bukan terletak kepada Palestin sebaliknya Israel dan AS. Tanpa kesungguhan dan kejujuran Israel serta sokongan AS, kedamaian tidak akan wujud. Hanya menerusi kesungguhan untuk berdamai sahaja kedua-dua negara, Palestin dan Israel boleh hidup senang tanpa curiga dan takut antara satu dengan lain.

Kalau AS tidak berupaya membuat apa-apa terhadap Israel yang membuat penempatan baru di Tebing Barat dan melanggar prinsip pelan damai, apa lagi yang hendak diharapkan kepada kuasa besar yang sebenarnya sangat bias kepada Israel ini?

Kerana itu sejauh manakah kejujuran Israel dan AS dalam pelan damai kali ini tetap dipersoalkan. Apakah pelan damai ini menjadi agenda retorik setiap Presiden AS tetapi semuanya gagal mencapai kata sepakat apabila membiarkan Israel curang kepada perjanjian?

Kalau benar AS prihatin terhadap krisis Asia Barat, buktikan kesungguhan menzahirkan kedamaian di Palestin dan Israel. Penggal kedua Bush di Rumah Putih seharusnya meninggalkan sesuatu untuk Asia Barat dan bukannya menjadi pengacau. Bush terlalu ghairah mendukung kembali demokrasi di Iraq tetapi kenapa tidak di Palestin? Apakah AS tidak nampak kelicikan Israel yang awal-awal lagi melanggar syarat-syarat pelan damai ini?

Sejak Israel menjadi sebuah negara (mencuri dari Palestin), Palestin telah menjadi mangsanya. AS pula berat sebelah dan berada di kelompok pro Israel. Ini ditambah dengan tidak ada sepakat antara negara-negara Arab untuk membantu Palestin. Maka jangan salahkan Palestin kalau menjadi ganas dan militan. Apa lagi yang boleh dilakukan oleh Palestin kecuali menjadi pengebom berani mati sebagai usaha terakhir selepas ikhtiar lain semuanya tidak berhasil.

AS dan Israel sebenarnya yang bertanggungjawab menjadikan Palestin senama dengan gerakan militan dan kemudian digeruni dengan intifada. Gerakan perjuangan intifada tidak wujud dengan sendirinya tetapi sebagai reaksi kecewa daripada kegagalan perjanjian damai Camp David 2000.

Perjanjian ini agenda bekas presiden AS, Bill Clinton pada 11 Jun 2000. Dia mempertemukan Perdana Menteri Israel Ehud Barak dengan Yasser Arafat di Camp David. Tetapi sidang kemuncak perjanjian damai itu gagal sama sekali terutama untuk menyelesaikan isu tertunggak daripada Perjanjian Oslo 1993.

Kegagalan perjanjian damai Camp David mencetuskan gerakan perjuangan Intifada yang mengorbankan 3,189 orang Palestin termasuk 617 kanak-kanak serta 940 orang Israel termasuk 167 kanak-kanak. Kegagalan perjanjian damai ini disebabkan oleh Israel yang menolak banyak cadangan yang akhirnya bukan damai tetapi peperangan.

Sekurang-kurangnya kegagalan dua pelan damai yang besar antara Israel dan Palestin sebelum ini memberi iktibar supaya Palestin tidak mengharapkan sesuatu yang luar biasa daripada pertemuan dua pemimpin di Sharm el-Sheikh, Mesir ini.

Malah dengan pencerobohan yang berterusan oleh Israel ke atas tanah milik Palestin memperlihatkan helah Sharon semata-mata. Sharon menggunakan kesempatan daripada gencatan senjata sempena pelan damai di Sharm el-Sheikh sebagai peluang untuk mengukuhkan penempatan di Tebing Barat. Tentunya ini bukanlah perjanjian yang jujur dan AS pasti tahu muslihat Sharon berbuat demikian.

Perjanjian Oslo dan Camp David sebenarnya mempunyai ruang yang banyak untuk Israel menunjukkan kesungguhan berdamai selepas merampas tanah Palestin. Daripada satu bangsa yang tidak ada negara, akhirnya mempunyai negara pada 1967 hasil rampasan dari Palestin. Kronologi kelahiran "negara'' Israel seharusnya diinsafi oleh Israel dan dibuktikan dengan bersungguh-sungguh menyambut pelan damai.

Kegagalan dua perjanjian damai, Perjanjian Oslo dan Camp David juga boleh dilihat kuasa besar seperti AS juga bukanlah jaminan bahawa kesepakatan negara berjiran boleh dicapai. Kegagalan Clinton menzahirkan perdamaian menerusi Camp David sebenarnya memalukan AS.

Dunia tahu bahawa Israel boleh dianggap sebagai "anak angkat'' AS di Asia Barat. Maknanya AS masih mempunyai kuasa penentu ke atas Israel, memaksa menerima dan jujur kepada terma-terma Camp David. Palestin tidak ada masalah untuk berbaik-baik dengan Israel.

Maka dunia tertanya-tanya apakah kegagalan Perjanjian Oslo dan Camp David juga kerana tidak ada kesungguhan AS? Walau apa sekalipun dunia yang waras tetap mendoakan biarlah kali ini berjaya menggapai kedamaian yang sebenar di kedua-dua negara; Palestin dan Israel. Biarpun selalu menindas Palestin, Israel tidak aman malah sentiasa diburu trauma bila-bila masa bom kereta akan meletup dan pejuang berani mati sudah tidak takut mati.

Biarlah kanak-kanak yang mati di pangkuan ayahnya menjadi ikon kekejaman Israel terhadap Palestin. Cukuplah wanita-wanita dan kanak-kanak Israel menjadi sebahagian mangsa letupan bom kereta. Mereka perlu hidup dan menyedut "bunga-bunga cinta'' sebagai manusia, bukan Palestin atau Israel.

Sama ada Israel atau Palestin, mereka tidak ada laluan lain. Laluannya hanya satu. Berdamai.