Apabila Tony Blair terleka

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 10 Julai 2005


CONTROL Risks Group sebuah perunding risiko antarabangsa dalam laporannya pada November 2003 antara lain menggariskan Perdana Menteri Britain, Tony Blair mempunyai peratusan tinggi menjadi sasaran serangan teroris. Rasional laporan perunding itu bertolak daripada sokongan kuat Blair kepada Amerika Syarikat (AS) menyerang Iraq.

Pengarah Control Risks Group, Jake Stratton dalam laporan bertajuk 2004 Risks Map berkata, sebelum ini juga ekstremis Islam menjadikan Barat sebagai sasaran serangan.

Secara perbandingan dengan 195 negara lain, laporan itu menyebut Britain (London) yang berada dalam kedudukan terendah sasaran teroris kini berada di tahap pertengahan. Perubahan risiko menjadi sasaran teroris ini sewajarnya telah mengejutkan Blair daripada zon selamatnya.

"London adalah kunci kepada signifikan politik di Britain membuatkan London sasaran yang paling diidamkan oleh ekstremis Islam,'' tegas Stratton. Adakah Blair memandang serius kepada kemarahan negara-negara Islam kerana sikapnya yang menyokong perang ke atas Iraq?

Pada September 2003, perkhidmatan bantuan kecemasan London mengadakan latihan mendepani serangan senjata kimia di stesen bawah tanah. Latihan ini berikutan kenyataan Ketua Polis Metropolitan John Stevens bahawa negara itu menjadi sasaran serangan berani mati.

Laporan perunding antarabangsa itu barangkali sukar dipercayai memandangkan Britain khususnya London tidak ada sejarah besar menjadi sasaran serangan.

Fenomena kemarahan Asia Barat terhadap Barat berubah menjadi runcing selepas tragedi 11 September 2001.

Ini dibakar pula dengan serangan penuh prejudis AS terhadap Afghanistan yang mengorbankan banyak orang awam. Kemudian AS mengetepikan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyerang Iraq. Blair juga mungkin terlupa faktor pertembungan peradaban yang menyumbang kepada prejudis Timur dan Barat.

Belum pun sampai dua tahun laporan hasil kajian perunding Control Risks Group, kenyataannya kini berada di depan mata. Khamis lalu pukul 4 petang waktu London, kota raya yang selama ini dianggap paling selamat berbanding New York waima Bali di Indonesia menjadi sasaran pengeboman.

Tujuh letupan yang hampir serentak di stesen kereta api bawah tanah London bukan sekadar melumpuhkan sistem perhubungan malah mengorbankan 50 orang awam selain mencederakan 700 yang lain. Jangka masa hampir serentak memperlihatkan serangan ini dirancang dengan baik dan perisik gagal mengesan untuk mengambil langkah-langkah awal.

Pengeboman sempena meraikan Scotland sebagai tuan rumah persidangan pemimpin Negara Kumpulan Lapan (G8) dilakukan dengan licin, terancang dan berjaya. Tarikh 7 haribulan Julai di tujuh lokasi strategik menjadi detik yang mengejutkan Blair daripada zon selamatnya sebelum ini. Tarikh ini menjadi satu tranformasi penting bagi Britain untuk memperketatkan pengawasan keselamatan di London.

Isyarat

Serangan bom ini juga satu isyarat awal kepada Blair yang bersekongkol dengan AS untuk menyerang negara-negara Islam sebelum ini. Presiden George W. Bush cukup honar memporak-perandakan dunia atas lesen pembanteras teroris. Blair juga ikut menjadi sekutu penting Bush untuk melanggar PBB, satu-satunya badan dunia yang sewajarnya dihormati oleh kedua-dua mereka ini.

Tragedi 11 September 2001 di New York meninggalkan trauma yang panjang kepada AS. Tetapi malangnya Blair tidak melihat isyarat kemarahan umat Islam yang ditindas Barat; Palestin ditindas Israel misalnya. Atau AS sendiri yang bertindak mengstrukturkan politik di Asia Barat. Semua perlakuan AS ke atas Asia Barat menyalakan api kemarahan yang tidak mungkin dikawal lagi.

Lihat saja bagaimana Iraq dirobohkan dan digantikan dengan pemimpin boneka AS. Keruntuhan Iraq adalah sebahagian keruntuhan peninggalan tamadun Islam disebabkan AS. Penghinaan ke atas banduan Islam Iraq di penjara Abu Gharib bukan kecil kemarahannya di kalangan orang Islam. Sekutunya adalah Britain yang sekali lagi memberi peluang kepada Blair menjadi Perdana Menteri.

Kalau dilihat saiz kemusnahan jiwa dan harta benda, pengeboman di London pada relatifnya sangat kecil berbanding New York. Malah lebih kecil daripada pengeboman di Madrid pada 11 Mac tahun lalu yang mengorbankan 191 mangsa. Maka ini bukanlah serangan tetapi isyarat supaya Blair jangan campur tangan urusan AS dengan Asia Barat.

Apalah sangat dengan 50 nyawa di London berbanding ribuan nyawa orang awam di Iraq dan Afghanistan. Memanglah dengan apa alasan sekalipun, serangan yang sasarannya orang awam tidak wajar sama sekali. Tetapi untuk melupakan mangsa-mangsa yang angka-angkanya yang tidak terkira di Iraq, tentulah tidak adil sama sekali. Tragedi pembunuhan manusia adalah di Iraq dan dilakukan oleh AS dengan sekutunya.

Dunia tentu tidak akan lupa ribuan warga Iraq yang mati dan menderita seumur hidup akibat perang AS ke atas Iraq. Serangan ini pun kalau dikatakan hutang, masih terlalu banyak lagi yang belum dibayar oleh Blair dan Bush. Tragedi di London ini terlalu kecil untuk mengalih perhatian dunia bersimpati kepada Blair ketika memberikan sidang akhbar Khamis lalu.

Blair dengan tanpa rasa bersalah menggunakan istilah "barbaric acts'' sebagai merujuk kepada teroris yang mengebom London. Siapa yang bertindak mengikut "barbaric acts'' kalau bukan Bush dan Blair, pemain utama dalam perang Iraq?

Bush pula berkata kepada wartawan di luar sidang G8 selepas serangan bom itu, "Mereka mempunyai hati yang kejam dan sanggup membunuh orang yang tidak berdosa.'' Sebenarnya skrip ini silap dibaca oleh Bush kerana dialah yang mengajar teroris membunuh orang yang tidak berdosa.

"Kempen memerangi keganasan akan diteruskan,'' demikian tambah Bush. Sebenarnya tragedi ini menjadi laluan kepada Bush untuk terus menyerang negara-negara yang dicurigainya selama ini.

Kepada mereka yang menyaksikan kenyataan Bush mengenai serangan ini menerusi CNN atau BBC Khamis lalu, secara psikologinya Bush tidak berasa apa-apa, jauh sekali berdukacita dengan terkorbannya 50 orang itu. Sebenarnya semua ini menyumbang kepada Bush yang selalu menekankan keazaman untuk membanteras keganasan. Nah, sekarang keganasan di depan mata maka dia pun menuding sepantas kilat kepada Al-Qaeda.

Boleh jadi Al-Qaeda yang melakukan serangan ini. Tetapi siapa yang melakukan bukan persoalannya. Yang harus ditanya kenapa ada orang menyerang London, kota pelancongan dan syurga membeli-belah yang agung? Tidak waras sangatkah penyerang ini untuk membunuh orang yang tidak berdosa kalau bukan sekadar isyarat bahawa Blair sentiasa diperhatikan?

Kalau benar tujuan membunuh, pengeboman boleh dilakukan di konsert AIDS di Hyde Park yang dikunjungi oleh ratusan ribu penonton beberapa hari lalu. Tetapi kenapa tidak di Hyde Park? Kenapa di stesen kereta api bawah tanah?

Ini kerana tujuan utama pengeboman bukan untuk membunuh. Tujuannya mencetuskan hiruk-pikuk, kacau-bilau yang melumpuhkan kota London. Secara psikologi kesannya jauh lebih besar kalau pengeboman dilakukan di Hyde Park. Trauma tragedi 11 September masih basah di ingatan warga seluruh dunia. Gegaran di kota London ini mengembalikan ingatan kepada dendam orang-orang yang tertindas.

Kesannya London akan kehilangan sumber pendapatan daripada pelancong seluruh dunia yang datang membeli- belah di kota yang dianggap paling selamat sebelum ini. London sebuah lagi kota yang tidak selamat.