Kenanglah pejuang kemerdekaan

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 11 September 2005


Sempena melangkah ke alaf baru lima tahun lalu, majalah India Today menerbitkan 25 siri edisi khas tentang sejarah dan pencapaian India. Keluaran khas pertama bertajuk 100 People Who Shaped India. Tajuk ini memberi fokus kepada tokoh yang mengubah cara rakyat India hidup, fikir dan bekerja.

Makna daripada edisi khas itu adalah jasa tokoh-tokoh yang ``membentuk'' negara wajar dikenang sepanjang zaman. India mempunyai tokoh hebat umpamanya Mahatma Gandhi atau Indira Gandhi. Apabila menyenaraikan 100 tokoh, mereka tidak memadam atau meminggirkan tokoh yang turut menyumbang kepada kecemerlangan India.

Saya teringat kepada rencana ini apabila mengenangkan kemerdekaan kita. Kita menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-48 pada 31 Ogos lalu. Seperti biasa kita bersorak-sorai sambil mendongak ke langit melihat bunga api yang memercik kemudian berkecai dan hilang di angkasa.

Merdeka adalah harta pusaka peninggalan tokoh-tokoh Melayu pejuang kemerdekaan kepada kita. Sebahagian besar daripada kita telah sinonim dengan Allahyarham Tunku Abdul Rahman yang digelar Bapa Kemerdekaan. Jasa Tunku kepada kita tidak terbalas hingga ke hujung usia. Hingga ke anak cucu kita menikmati harta yang ditinggalkan Tunku dan pejuang-pejuang kemerdekaan yang sezaman dengannya.

Tetapi agak malang pejuang Melayu lain jarang diperkatakan. Padahal mereka juga merintis denai dan relung ke destinasi kemerdekaan. Jalannya bukan saja penuh dolak-dalik malah onak duri dan ranjau sengsara.

Semua ini mereka redah tanpa dijanjikan apa-apa kecuali merdeka. Tetapi sebahagian besar daripada mereka tertimbus dalam lipatan sejarah, cuma segelintir yang tertonjol dan diulang bicara tentang mereka. Sebagai generasi yang hari ini menikmati hasil kemerdekaan, kita kenanglah mereka.

Kita mempunyai lebih 100 tokoh yang membentuk negara zaman kesultanan Melaka hingga sekarang. Tetapi pada setiap kali ulang tahun kemerdekaan, mereka yang berjasa kepada kita hilang bak percikan bunga api malam kemerdekaan. Adakah ini kerana nilai patriotisme dalam erti kemerdekaan kita sangat nipis? Atau adakah kita lebih banyak memadam daripada menjernihkan lubuk sejarah yang menyimpan banyak rahsia sengsara untuk merdeka?

Sekadar bertanya, bilakah kali terakhir kita ingat tokoh-tokoh ini diperkatakan; Dato' Onn, Dr. Burhanudin Al-Helmi, Ahmad Boestamam, Dr. Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Ibrahim Yaakob atau Mustapha Hussain? Mustapha mungkin mudah diingati apabila terbitnya buku memoirnya, Nationalism Before UMNO: The Memoirs of Mustapha Hussain.

Kita tentu terpinga-pinga cuba mengingatkan yang lain. Kemerdekaan hakikatnya bukan boleh dicapai oleh seorang dua. Perjuangan kemerdekaan digerakkan antaranya oleh tokoh-tokoh yang namanya dipadam dalam sejarah perjuangan kemerdekaan. Tanpa menafikan usaha Tunku, tetapi gerakannya bukan dilakukan oleh Tunku seorang. Kalangan tokoh daripada jurus kewartawanan dan kaum guru misalnya merupakan peledak yang besar untuk mencetus gelombang patriotisme.

Tunku memang pejuang kemerdekaan malah tokoh penting yang berunding dengan penjajah British kerana ilmu undang-undangnya. Tetapi di sebalik Tunku, ada pejuang-pejuang lain yang meratah kepahitan; dihimbau ke rumah pasung, dihina dan tidak kurang diancam nyawanya. Kita terpaksa menerima hakikat bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan bukan saja oleh tokoh-tokoh dalam haluan kanan. Kanan maksudnya yang berada di sebelah raja-raja Melayu dan bekerja dengan penjajah British.

Perjuangan juga diperkuatkan oleh tokoh-tokoh daripada haluan kiri yang tidak berkompromi dengan penjajah British. Politik kepartian waktu sebelum merdeka dan masa kini wajar dilihat dalam konteks dan premis yang berbeza. Sekali pun memilih haluan kiri, destinasinya tetap satu iaitu merdeka.

Apabila sejarah lebih menonjolkan tokoh-tokoh berhaluan kanan, tentunya ini tidak adil kepada Ahmad Boestamam, Dr. Burhanudin Al-Helmi, Pak Sako dan sekian banyak lagi haluan kiri yang ikut berjuang.

Pengkaji sejarah Datuk Profesor Ramlah Adam pernah menulis, ``Walaupun bersifat radikal dan pembangkang, namun dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, perjuangan seperti ini sangat bermakna dalam memberi satu perjuangan yang kental dan tidak bersifat pak turut.''

Tulisan Ramlah membuktikan tanggapan bahawa ada tokoh-tokoh berhaluan kiri dipinggirkan. Ini kerana kecenderungan lebih ruang kepada tokoh berhaluan kanan. Apabila kita memadamkan perjuangan tokoh berhaluan kiri, maknanya kita cuba meminda sejarah. Kesannya generasi baru tidak dapat belajar daripada sejarah sebenarnya waktu negara ini masih muda. Belajar daripada sejarah adalah merenung ke depan dan menoleh ke belakang. Tetapi sejarahnya mesti benar.

Lalu sama ada tokoh dari haluan kiri atau kanan, mereka berhak mendapat tempat seadilnya dalam sejarah. Ini untuk membolehkan generasi hari ini menoleh ke belakang dan belajar daripada sejarah yang adil kepada generasi yang sebelumnya.

Kerana itu Dr. Burhanudin Al-Helmi dari Pas, Ahmad Boestamam dari Parti Rakyat, Dato' Onn Jaafar dari Parti Negara misalnya wajar diberikan hak sejarah yang sama dengan Tunku. Kalau kita mahu menulis 100 tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan, tokoh-tokoh ini tidak wajar terlepas pandang hanya kerana berhaluan kiri.

Empat tokoh ini adalah pemimpin utama parti politik yang berpengaruh menjelang Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Mereka berempat juga antara pejuang kemerdekaan dan di belakangnya ratusan lagi yang tidak kurang besar jasanya.

Apabila berlaku apa yang disebut sebagai ``pensejarahan semula'' yang memadam tokoh-tokoh berhaluan kiri dalam perjuangan kemerdekaan, kita perlu menulis semula sejarah kemerdekaan negara ini. Sama ada tokohnya datang dari haluan kanan atau kiri, sejarah mesti berlaku adil kepada mereka.

Perbezaan fahaman politik sebelum merdeka tidak memesongkan tujuan perjuangan kemerdekaan. Semua tokoh Melayu ini berjuang untuk merdeka. Mereka adalah nasionalis dan wajar ditonjolkan kepada generasi hari ini tanpa ada bias politik yang sempit.

Dua tahun lagi kita akan menyambut setengah abad kemerdekaan negara ini. Barangkali kita boleh mulai memikirkan 100 tokoh yang berjuang mendapatkan kemerdekaan. Ini setidak-tidaknya membuktikan kita generasi yang tahu mengenang jasa pejuang-pejuang kemerdekaan yang tidak diperkatakan selama ini.