Al-Aqsa: Tindakan Israel diragui

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 11 Februari 2007


JORDAN dan Palestin menyuarakan kebimbangan berhubung kerja penggalian di sekitar Masjid Al-Aqsa yang dilakukan oleh pihak berkuasa Israel.

Dunia Islam pun pasti turut bimbang terhadap perkara ini. Bukan itu saja, dunia juga mesti prihatin terhadap perkara ini.

Kalau dunia Islam sering kali menegaskan bahawa punca akar keganasan adalah masalah Palestin, maka soal Masjid Al-Aqsa inilah merupakan teras kepada ancaman keselamatan dunia.

Manakan tidak, agenda Israel untuk memusnahkan kebenaran dan digantikan dengan kepalsuan fahaman mereka menjadi ancaman kepada persefahaman hubungan antara bangsa dan agama di dunia.

Pihak berkuasa Israel menyatakan bahawa kerja-kerja penggalian itu dilakukan untuk membina satu laluan baru bagi menggantikan tempat yang menjadi lalu-lalang para pengunjung kerana dikatakan telah rosak dan buruk.

Bolehkah Israel dipercayai? Tentunya dunia Islam tidak dapat mempercayai Israel. Bukan saja dari segi rekod, malah dari segi prinsip dan kepercayaan, Israel tidak dapat dipercayai.

Dalam hal ini, perlu dilihat perbezaan antara Yahudi, Zionis dan Israel berhubung dengan Baitulmaqdis serta Masjid Al-Aqsa.

Yahudi membawa kepada dua konsep iaitu agama dan bangsa. Zionisme membawa konsep ideologi. Sementara Israel membawa konsep politik negara bangsa.

Dalam agama Yahudi, terdapat pelbagai mazhab, yang antaranya mengimpikan pembinaan balik Rumah Ibadat Raja Sulaiman.

Mereka berasa bertanggungjawab untuk membina semula Rumah Ibadat Raja Sulaiman, atau King Solomon Temple yang didirikan pada tahun 953 sebelum Masihi oleh Nabi Sulaiman.

Rumah ibadat ini dianggap oleh penganut agama Yahudi sebagai tempat paling agung telah dimusnahkan oleh tentera Babylon. Kemudian ia dibina balik dan dikenali sebagai Rumah Ibadat Kedua oleh Raja Herod. Sebahagian daripada tembok yang dibina itulah kini dikenali sebagai Tembok Ratapan atau Wailing Wall di mana penganut-penganut Yahudi menziarahinya dan meratap di situ mengenangkan nasib bangsa mereka ketika ditakluki.

Penakluk Rom kemudian memusnahkan lagi Rumah Ibadat Kedua itu dan orang Yahudi bertebaran ke seluruh empayar Rom di sekitar negara-negara Laut Mediterranean.

Orang Rom kemudian membina sebuah Kuil Jupiter untuk meraikan dewa Jupiter di satu tapak tidak jauh dari Rumah Ibadat Raja Sulaiman itu.

Setelah empayar Rom menjadi Kristian, maka maharajanya membina sebuah gereja besar Church of Holy Sepulchre tidak jauh dari Kuil Jupiter yang kemudian dimusnahkan.

Bagi orang Islam, Rumah Ibadat Raja Sulaiman itu dianggap sebagai Masjid Al-Aqsa. Masjid dalam erti kata, tempat sujud, atau rumah ibadat.

Walaupun konsep masjid sebagai rumah ibadat orang Islam hanya timbul setelah munculnya agama Islam tetapi jika diambil pengertian bahawa agama Islam adalah merujuk kepada semua agama yang benar termasuk agama yang sebelumnya gerakan dakwah Rasulullah s.a.w., maka agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, Nabi Sulaiman dan Nabi Isa yang dikenali juga dengan agama Hanif, agama Yahudi asal dan Nasrani, maka konsep masjid juga merujuk kepada rumah-rumah ibadat agama sebenar ini.

Justeru Masjidilharam di Mekah yang dibina oleh Nabi Ibrahim dan juga Masjid Al-Aqsa yang dibangunkan oleh Nabi Sulaiman adalah disebut juga sebagai masjid walaupun ketika Rasulullah belum lahir.

Maka dalam Israk dan Mikraj Rasulullah yang masa itu masih berada di Mekah dan belum lagi dibina mana-mana masjid oleh orang Islam, baginda sampai di Masjid Al-Aqsa sebelum berangkat ke Sidratul Muntaha.

Masjid Al-Aqsa inilah juga menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum berubah ke Masjidilharam.

Apabila Sayidina Omar sampai di Baitulmaqdis sebagai panglima tentera Islam yang membebaskan Palestin, tempat pertama yang beliau cari ialah tapak Masjid Al- Aqsa. Tidak ada lagi bangunan di situ. Yang ada menurut riwayat sejarah adalah tempat pembuangan sampah.

Baginda kemudian membersihkan tempat itu yang dianggap sebagai tempat suci memandangkan ia merupakan tapak Masjid Al-Aqsa dan mengarahkan pembinaan Masjid Al-Aqsa seperti yang ada pada hari ini.

Tetapi itu bukanlah bermakna keseluruhan bangunan Masjid Al-Aqsa yang ada itu dibina oleh Sayidina Omar sebagai khalifah kedua.

Menambah bangunan

Pada tahun-tahun kemudian, khalifah-khalifah telah membaiki dan menambah bangunan Masjid Al-Aqsa hingga menjadi bentuk pada hari ini.

Toleransi pemerintahan khalifah jelas apabila gereja yang tidak jauh dari situ terus dibenarkan digunakan. Bagaimanapun dengan melihat kehebatan Sayidina Omar, maka ramailah penduduk Palestin pada zaman itu berduyun-duyun memeluk agama Islam lebih-lebih lagi sebelumnya semasa pemerintahan Rom Bizantin, mereka menanggung pemerintahan kejam.

Selepas beberapa ratus tahun kemudian, semasa pemerintahan khalifah ke-9 Umaiyah, Khalifah Malik ibni Marwan mengarahkan pembinaan sebuah masjid yang lebih cantik tidak jauh dari Masjid Al-Aqsa dan gereja besar itu.

Masjid yang dikenali sebagai Masjid Omar atau Kubah Al-Sakhra, atau Dome of the Rock (Kubah batu) mempunyai seni bina yang cantik dan gemilang hingga ia menjadi terkenal hingga ke hari ini sebagai simbol bukan saja Baitulmaqdis tetapi Palestin.

Banyak orang keliru bahawa Dome of the Rock ini adalah Masjid Al-Aqsa. Tetapi ia merupakan masjid indah dan menjadi simbol kegemilangan Islam hingga ada kalangan orientalis yang membuat andaian bahawa pembinaan masjid itu oleh Khalifah Umaiyah adalah untuk menegaskan keagungan agama Islam mengatasi Kristian, iaitu untuk mengatasi gereja Church of Holy Sepulchre.

Pada masa itu, pemerintahan Islam iaitu khalifah Umaiyah berpusat di Damsyik dan Palestin terletak di pemerintahan langsung dari Damsyik.

Perlu diingat bahawa semasa pemerintahan Khalifah-ar-Rasyidin yang empat, Palestin terletak di bawah pentadbiran wilayah Syam dengan ibu wilayah di Damsyik.

Damsyik pula sebelum diperintah oleh Islam adalah juga ibu wilayah Rom bagi Syam yang meliputi Palestin. Melihat sejarah yang sebegini tidak hairanlah kini Syria yang mempunyai ibu negara di Damsyik cenderung untuk memainkan peranan ke atas masalah Palestin.

Semasa Damsyik menjadi ibu wilayah empayar Rom Bizantin yang beragama Kristian, terdapat gereja paling besar di Asia Barat terletak di kota itu.

Pada masa itu, tamadun Rom berada di peringkat jauh lebih tinggi daripada orang Arab. Maka apabila orang islam dapat menguasai Damsyik dan Syam, mereka mewarisi tamadun Rom dan menjadikannya sebahagian daripada peradaban Islam.

Sayidina Muawiyah yang menjadi gabenor Islam di Damsyik menjadi perintis kepada proses ketamadunan Islam.

Lebih-lebih lagi selepas beliau menjadi khalifah kelima Islam dan khalifah pertama daripada kerajaan Umaiyah, maka jelas segala kegemilangan Rom diwarisi oleh Islam.

Gereja besar Damsyik diambil alih untuk dijadikan Masjid Umaiyah utama seperti yang ada pada hari ini. Untuk memajukan kerajaan besar Islam, khalifah-khalifah Umaiyah telah menyerap orang Yahudi ke dalam jentera kerajaan.

Ada yang memeluk agama Islam, tidak kurang pula yang terus kekal berada dalam agama Yahudi.

Namun begitu, dari segi budaya, orang Yahudi yang pandai menulis ini telah menjadi bahagian penting dalam tamadun Islam. Kepentingan peranan orang Yahudi dalam tamadun Islam bukan saja berlaku dalam pemerintahan Umaiyah di Damsyik tetapi juga kerajaan Umaiyah di Andalusia.

Mereka kemudian terus diberi tempat dalam kerajaan Uthmaniah di Istanbul.

Pihak yang meminggirkan Yahudi adalah orang Rom dan kemudiannya Kristian, termasuk golongan tentera Salib.

Semasa Perang Salib, golongan Kristian dari mazhab Katolik sampai ke Baitulmaqdis dan Palestin. Ketika mereka masuk ke Baitulmaqdis, kota itu berlumuran darah kerana hampir semua penduduknya dibunuh, bukan saja orang Islam, tetapi juga Yahudi dan Kristian. Tentera Salib turut memusuhi orang Kristian yang bukan daripada mazhab mereka. Maka yang menjadi mangsa iaitu selain daripada orang Islam dan Yahudi, ialah Kristian Ortodoks.

Semasa pemerintahan kerajaan-kerajaan Kristian dan tentera Salib, mereka amat berminat mengenai apa yang terkandung di bawah tanah sekitar masjid Al-Aqsa. Muncul sekumpulan yang dikenali sebagai Pahlawan Templar atau Knights of the Templar yang dikatakan dapat memasuki kawasan-kawasan purba di bawah Masjid Al-Aqsa dan gereja Church of Holy Sepulchre. Sebagai tempat bersejarah tentunya ia mengandungi banyak rahsia dan pelbagai misteri serta mitos dikaitkan dengannya.

Malah Knights of Templar juga dikatakan mempunyai rahsia tersendiri yang dikatakan berkait dengan Nabi Isa. Kisah-kisah berkaitan rahsia ini mendorong banyak pihak khususnya ahli sejarah membuat kajian, baik daripada kalangan ahli arkeologi profesional mahupun amatur.

Tetapi dalam banyak-banyak kisah ini, terdapat penulis fiksyen dan rekaan turut serta membuat pelbagai cerita, maka antaranya muncullah novel seperti The Da Vinci Code yang sudah pun dijadikan filem.

Bagaimanapun, kemudiannya Palestin dan Baitulmaqdis kembali ke tangan orang Islam melalui usaha, antaranya Salahuddin Al-Ayubi, seorang sultan Kurdis yang memerintah dari Kaherah. Kemudian Baitulmaqdis dan Palestin berada pula di bawah pemerintahan kerajaan Uthmaniah.

Zaman moden

Menjelang zaman moden, iaitu apabila munculnya Enlightenment di Eropah diikuti dengan Revolusi Sains dan Industri, orang Yahudi didapati menjadi sebahagian daripada Eropah walaupun mereka disisihkan, dihina dan ditindas serta dipaksa tinggal dalam daerah-daerah sempit dikenali sebagai ghetto.

Dalam keadan tertindas ini, orang Yahudi terus cemerlang dalam bidang intelektual dan kewangan. Antara hasil daripada pemikiran ini, maka muncul fahaman Zionisme, yang secara ringkas mencita-citakan sebuah negara untuk orang Yahudi.

Pada awalnya Zionisme bukannya fahaman keagamaan. Ia lebih berbentuk politik dalam fahaman sekularisme, nasionalisme dan sosialisme. Mereka tidak begitu mencita-citakan sebuah negara Yahudi di Palestin. Bagi mereka, sudah cukup baik jika terdapat satu wilayah di mana-mana di muka bumi, walaupun di Eropah untuk dijadikan negara Yahudi.

Kesatuan Soviet pernah memperuntukkan sebuah republik Yahudi di bawah Persekutuan Soviet Sosialis Rusia (FRSSR).

Bagaimanapun, dengan keruntuhan khalifah Uthmaniah dan kekalahan pakatan Jerman-Turki dalam Peperangan Dunia Pertama, mereka mendapat peluang bertapak di Palestin. Dengan menggunakan gerakan terorisme, mereka dapat merampas tanah Arab untuk dijadikan wilayah Yahudi.

Tetapi hanya selepas berlaku Holocaust dan Perang Dunia Kedua, barulah golongan Zionis diberi wilayah untuk dijadikan Israel. Pada mulanya Britain mahu memberikan Uganda di Afrika sebagai negara bagi orang Yahudi.

Tetapi atas menanggung kesalahan orang Kristian dan Eropah terhadap apa yang mereka melakukannya kepada orang Yahudi, maka Palestin dijadikan Israel. Selepas perang tahun 1967, mereka berjaya menawan Baitulmaqdis, Masjid Al-Aqsa dan Dome of the Rock.

Hanya selepas itu, mereka bercita-cita untuk membangunkan semula Rumah Ibadat Raja Sulaiman di atas tapak Masjid Al-Aqsa. Model untuk itu sudah pun dibuat. Usaha penggalian arkeologi serta pelbagai helah dibuat untuk merosakkan Masjid Al-Aqsa.