Jenayah akibat penghijrahan ke kota

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 12 April 2007


ANTARA faktor yang dinyatakan oleh pihak polis mengenai kenaikan aktiviti jenayah di Kuala Lumpur ialah proses penghijrahan dari desa ke kota.

Oleh kerana sukar untuk mendapat rezeki di luar bandar, maka golongan ini berhijrah ke kota. Kuala Lumpurlah menjadi sasaran utama mereka.

Tetapi di kota, kehidupan tidaklah semudah yang dijangkakan. Memang terdapat banyak pekerjaan tetapi ganjarannya didapati tidak berpadanan.

Bagi pendatang asing, mungkin ia mencukupi kerana jangkaan mereka tidaklah setinggi yang diharapkan oleh warga tempatan.

Tetapi tuntutan keperluan bagi warga tempatan adalah besar, ditambah pula dengan masyarakat yang mengenakan tekanan supaya memilih gaya hidup yang penuh dengan kebendaan.

Apabila desakan begitu kuat tetapi tidak berpadanan dengan ketahanan diri untuk hidup dalam serba kekurangan, maka beralihlah cara hidup mereka dengan melakukan jenayah.

Bagaimana jenayah ini dapat diatasi? Usaha memperketatkan keselamatan melalui peningkatan aktiviti kepolisan dan kerjasama masyarakat adalah satu segi. Tetapi dari segi mencari akar punca jenayah yang timbul daripada penghijrahan dari desa ke kota juga tidak kurang pentingnya.

Jika benar kota dapat memberikan rezeki yang agak selesa bagi penghijrah, maka masalah jenayah ini mungkin tidak begitu ketara.

Justeru persoalan perlu juga dilontarkan bahawa adakah Lembah Klang memberikan ruang yang secukupnya untuk penghijrah-penghijrah hidup dengan selesa? Atau pendapatan yang diperoleh mereka tidak bersesuaian dengan kos yang terus meningkat.

Di Kuala Lumpur, kos paling tinggi kemungkinannya ialah tempat kediaman, diikuti dengan pengangkutan dan kemudian makanan.

Sewa rumah boleh dianggap tinggi. Kalau dahulu banyak rumah setinggan yang boleh menawarkan tempat tinggal yang murah. Tetapi suasana itu tidak berlaku lagi. Adakah rumah kos rendah mencukupi dan harganya termampu oleh banyak orang? Itu juga menjadi satu persoalan.

Kemudian adakah tempat-tempat tinggal itu berdekatan dengan tempat kerja hingga boleh menjimatkan kos perjalanan. Kenaikan harga minyak dan tol juga memberi kesan yang tidak boleh diketepikan begitu saja bagi mereka yang kehidupannya hanya paras hidung.

Di banyak kota negara-negara maju, kos pengangkutan awam adalah murah dan cekap. Ia disubsidi oleh majlis perbandaran mereka sebagai memudahkan kehidupan golongan berpendapatan rendah yang memberi perkhidmatan menggerakkan kehidupan bandar raya.

Tetapi pengangkutan awam di Lembah Klang khususnya kereta api masih boleh dianggap sebagai mahal. Kemudian dalam hal kos makan, persoalannya ialah adakah di kota, medan-medan selera untuk golongan berpendapatan rendah cukup disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)?

Justeru, usaha membanteras jenayah, seperti juga keganasan, tidak boleh dibuat sekadar dalam bentuk penguatkuasaan. Punca akar masalah wajar ditangani.