Bayangan Perang Dingin kedua?

Oleh: ZIN MAHMUD
Smber: Mingguan Malaysia 22 Julai 2007


Sebaik saja Rusia mengusir empat kakitangan kedutaan Britain di Moscow sebagai satu tindak balas, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Condoleeza Rice mengingatkan London bahawa tidak bijaksana Rusia dipencilkan.

Walaupun Washington tidak senang dengan pendekatan Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam hubungannya dengan dunia Barat, berbanding keadaan zaman Boris Yeltsin tetapi AS tidak mahu Rusia berasa dipinggirkan apatah lagi mengizinkan suatu keadaan Perang Dingin yang baru.

Tindakan Moscow mengusir kakitangan kedutaan Britain itu adalah sebagai tindak balas kepada apa yang dilakukan oleh London terhadap duta-duta mereka Selasa lalu. Ia berkaitan tuntutan ekstradisi oleh London terhadap seorang yang terlibat dengan pembunuhan.

Dalam keadaan perspektif Washington terhadap bayangan Perang Dunia Kedua ini begitu rupa, iaitu untuk mengelakkannya tetapi cara pendekatan Putin menampakkan perbezaan. Beliau dilihat lebih bersikap konfrontasi, termasuk dalam soal senjata dan ketenteraan. Hinggakan dunia Barat melihat bahawa Rusia di bawah Putin tidak berbeza seperti zaman Kesatuan Soviet.

Bagaimanapun di pihak Rusia pula, di mana sentimen mereka dapat dirasakan melalui laporan-laporan media Moscow di Internet, menganggap Barat adalah pihak yang mengenakan tekanan terhadap mereka. Rusia dianggap sudah dipinggirkan sejak kejatuhan Soviet dahulu, dan AS terus-menerus menekan negara besar itu.

Yeltsin dipandang telah banyak mengalah dan apa yang dilakukan oleh Putin sekarang hanyalah mendapatkan kembali kedudukan Rusia sebagai negara yang perlu dihormati pada peringkat sewajarnya pada mata Barat.

Sejak berakhirnya Perang Dingin, Barat khususnya AS memperlihatkan kejayaannya mengalahkan Rusia. Yang jelas ialah apabila Eropah Timur beralih arah ke Barat. Mereka berebut-rebut ingin menyertai Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Bukan itu saja, negara-negara di Asia Tengah juga memandang ke Washington lebih daripada Moscow. Tidak kira lagi terhadap konflik di bekas Yugoslavia, di mana pengaruh AS sudah mengatasi Rusia. Malah dalam soal Chechnya, Moscow berasa diceroboh oleh Washington.

Dalam keadaan begini, kemaraan pengaruh Barat ke atas Rusia seperti tidak terhalang. Maka apa yang diharapkan oleh rakyat Rusia dalam memilih Putin ialah untuk mempertahankan negara itu daripada penguasaan oleh Barat khususnya AS.

Condoleeza Rice mesti memahami benar emosi nasional Rusia. Beliau yang tahu berbahasa Rusia dalah seorang sarjana negara itu. Sesiapa yang dibesarkan semasa Perang Dingin di AS pasti perlu mempelajari dan memahami Rusia jika ingin memegang jawatan politik tinggi. Ini kerana pesaing AS adalah Rusia walaupun selepas kejatuhan Soviet.

Kedudukan geopolitik Rusia menjadikannya pesaing semula jadi pada AS. Adalah menjadi kecenderungan banyak pihak untuk melihat China sebagai pesaing baru AS selepas kejatuhan Soviet. Lebih-lebih lagi pada masa ini dengan kepesatan perkembangan China dalam ekonomi global. Tetapi hakikatnya percaturan geopolitik global tidak berubah. China masih bimbang terhadap Rusia, dan ia mudah menjadi sekutu kepada AS.

Buat masa ini ketika Rusia lemah, perkara ini kembali tersembunyi. Tetapi lama-kelamaan Rusia pasti mahu membangun dan maju. Katakan Barat dan China berusaha menghalang kemajuan Rusia, mereka tidak boleh melakukan secara berlebih-lebihan, kerana ia boleh mendatangkan permusuhan. Dalam hubungan antara kuasa global, imbangan amat penting. Bagi rakyat Rusia, imbangan ini telah terjejas dengan kemaraan Barat ke dalam ruang pengaruh mereka. Justeru, mereka mahu Putin membetulkannya.

Sebaiknya Perang Dingin tidak wajar dilihat dari sudut persaingan ideologikal komunis lawan kapitalis. Kerana ia lebih bersifat nasionalistik, iaitu antara Rusia dan AS. Sementara AS pula lebih wajar dilihat sebagai pewaris kepada empayar British.

Di sinilah relevannya krisis hubungan antara London dan Moscow dalam konteks persaingan geopolitik Barat dan Rusia. Dari satu sudut, tindakan politik Rusia terhadap Britain adalah seperti amaran kepada AS. Di sudut lain pula, sikap Britain itu adalah seperti negara itu memberi amaran kepada Rusia bagi pihak AS.

Tetapi AS dan Britain perlu dianggap serupa. Bagi Rusia, baik masa sekarang sebagai persekutuan demokratik ataupun negara komunis Soviet, malah sebelum itu pun, sebagai empayar Czar, mereka menjadi pesaing Anglo-Saxon, iaitu kalau dulu adalah Britain, kini AS.

Sebelum tahun 1917, iaitu pada zaman Czar, maharaja Rusia menjalankan pemerintahan kuku besi di mana penentang-penentang mereka ditekan. Kebanyakan penentang mereka terdiri daripada golongan kiri, daripada anarkis, sosialis hinggalah kepada komunis. Akibat ditindas Czar, golongan ini menjadi pelarian dan mendapatkan perlindungan di Britain.

Maka di akhir kurun ke-18 dan awal ke-20, banyak pelarian politik Rusia berada di London. Antara mereka adalah golongan anarkis yang terkenal sebagai pengganas yang mula menggunakan bom. Berlaku pengeboman di London bukanlah perkara zaman ini. Selain daripada serangan yang dilakukan oleh pihak Ireland Utara, golongan anarkis merupakan pelopor bidang ini. Tokoh anarkis terkemuka dunia ialah Kroptkin dari Rusia yang menolak sebarang bentuk kerajaan. Mereka menganggap kerajaan adalah institusi penindas. Suasana ini diabadikan oleh novelis Britain zaman itu, John Conrad bertajuk The Secret Agent.

Czar yang mempunyai ibu kota di St. Petersburg menghantar perisik-perisik ke London untuk membunuh penentang-penentangnya yang datang dalam bentuk golongan kiri. Jadi apa yang dialami oleh London dari segi Moscow menghantar perisiknya bukanlah perkara baru.

Britain tidak disenangi oleh Rusia pada zaman itu kerana melindungi penentang-penentang Czar. Walaupun Britain melakukan dasar perlindungan kepada pelarian politik atas nama demokrasi, tetapi ia juga mempunyai agenda politik terhadap Rusia. Di peringkat global akhir abad ke-19, Britain bersaing dengan Rusia di Asia Tengah khususnya di Parsi (Iran sekarang) dan Afghanistan.

Mungkin kebetulan tetapi hakikatnya Karl Marx membuat kajiannya yang melahirkan ideologi komunis di Perpustakaan British, dengan dibantu oleh seorang usahawan Britain, Friedrich Engels. Akhirnya ideologi ini yang menjatuhkan Czar dan melahirkan negara Soviet. Kemudian Soviet muncul dan mencabar Barat, yang akhirnya tumbang juga. Kini digantikan dengan Persekutuan Rusia yang demokratik, dan Putin mahu mengembalikannya kepada kedudukan sewajarnya.

Dari sudut politik dalaman Britain, krisis diplomatik London-Moscow ini merupakan ujian terkini bagi Perdana Menteri Gordon Brown. Kalau dalam sejarah Perang Dunia lalu, kerajaan Soviet menemui lebih banyak masalah dengan London ketika diperintah oleh Parti Buruh. Malah Josef Stalin pernah membayangkan bahawa mereka lebih selesa berurusan dengan Perdana Menteri dari Parti Konservatif.

Ini kerana walaupun Parti Buruh dan Parti Komunis mempunyai asal usul ideologi tradisi yang serupa, mereka menjadi seteru yang lebih ketara di mana pihak masing-masing menganggap pesaingnya itu telah mengkhianati prinsip perjuangan. Dengan mengamalkan cara pemerintahan yang kejam, kerajaan Soviet dianggap oleh Parti Buruh telah mengkhianati perjuangan pekerja. Begitu juga anggapan pihak Soviet terhadap Parti Buruh yang dilihat telah menyertai sistem kapitalis. Maka dalam keadaan begini, adalah lebih mudah. Bagi Moscow untuk berurusan dengan kerajaan pimpinan Parti Konservatif.

Justeru, semasa Perang Dunia Kedua, Soviet menjadi sekutu Britain semasa London dipimpin oleh Parti Konservatif. Sebaliknya ketika Perang Dingin meletus, London diperintah oleh Parti Buruh. Semasa dasar Détente dan kewujudan bersama (co-existence), London diperintah oleh Parti Konservatif. Akhirnya apabila Soviet tumbang, Britain dipimpin oleh Margaret Thatcher dan John Major dari Parti Konservatif.

Bagaimanapun kini, pihak komunis tidak lagi memerintah Rusia. Namun apa yang jelas cara Yeltsin dan Putin adalah berbeza. Bagi Rusia, masalah yang dihadapi dengan Britain adalah ketika Parti Buruh memerintah. Di sini tidak timbul lagi soal ideologikal. Ia adalah lebih kepada nasionalisme geopolitik Rusia yang ingin dipulihkan oleh Putin.

Walaupun Putin dan kerajaan bukanlah lagi bersifat komunis, banyak pihak di Barat termasuk di kalangan penganalisis aliran Parti Buruh, melihat cara pemerintahan Putin, baik dari segi sikapnya terhadap demokrasi dan dasar luar adalah bayangan kepada apa yang ditampilkan oleh Rusia di zaman Soviet. Inilah yang disebut sebagai bayangan Perang Dingin. Bukanlah Perang Dingin dalam erti kata dalam bentuk yang dahulu. Tetapi hanya dalam bentuk bayangan kepada yang dahulu.

Seorang penganalisis dari Rusia memberitahu penulis bahawa Moscow menolak sebarang bentuk Perang Dingin baru. Tetapi cara Putin dan persekitaran dunia yang sudah bosan dengan sikap unipolar AS akan mendorong Rusia untuk kembali tampil sebagai kuasa pengimbang kepada Barat.

Maka adalah menarik jika dilihat sejarah hubungan London-Moscow, baik dari zaman Czar, Soviet dan pasca-Soviet. Hubungan Barat dengan Rusia mengalami turun dan naik mengikut pemimpin pada zaman tertentu. Justeru ia tidak berkaitan dengan ideologi atau sistem pemerintahan, lebih kepada kepentingan nasional dalam medan geopolitik.

Mungkin juga Britain di bawah Parti Buruh adalah lebih bersikap nasionalis berbanding dengan Parti Konservatif. Sebab itu sering kali hubungan tidak selesa antara keduanya adalah berasaskan kepada pertembungan kepentingan nasional. Nampaknya dalam bentuk bayangan Perang Dingin, pertembungan antara Barat dan Timur akan berterusan. Timur merujuk kepada Rusia dan bukannya China atau negara-negara Islam. Moscow tidak akan dianggap sebagai sebahagian daripada Barat.