Impian Eropah dalam ASEAN

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 25 November 2007


Rantau paling maju di dunia terletak di dunia Barat; iaitu Eropah dan Amerika Utara. Lihatlah betapa benua Eropah yang makmur dengan tamadunnya bukan saja berwarisan panjang tetapi juga bertambah mengukuh.

Itulah yang banyak dicita-citakan oleh rantau-rantau membangun lain, termasuklah Asia Tenggara. Walaupun Asia Timur muncul sebagai rantau paling pesat pertumbuhannya tetapi ia lebih berpusat di China dengan Jepun mapan sebagai negara maju. Sementara Asia Tenggara melihat mereka tercabar dengan kebangkitan China dan India. Adalah jelas masa depan Asia Tenggara berkait rapat dengan kebangkitan China dan India.

Tetapi Asia Tenggara yang terdiri daripada pelbagai negara dan bergabung dalam ASEAN lebih wajar dibandingkan dengan Eropah kerana benua itu terdiri daripada pelbagai negara dan disatukan melalui Kesatuan Eropah (EU). Malah dalam EU, tahap kemajuan negara-negara anggota tidak sekata. Ada negara-negara maju seperti anggota pengasas EU sementara ahli-ahli baru di Eropah Timur, iaitu di kalangan bekas negara komunis berada di tahap membangun dan mundur. Dalam ASEAN, pembangunan negara-negaranya juga tidak sekata, tentunya Vietnam, Kemboja, Laos dan Myanmar tidaklah setahap dengan kemajuan yang dicapai oleh Singapura dan Malaysia.

Tetapi sebagai benua, Eropah adalah maju. Sementara AsiaTenggara masih membangun. Satu-satu negara di Asia Tenggara yang maju ialah Singapura. Kalau hendak dibandingkan dengan Eropah, dengan kuasa-kuasa ekonomi seperti Jerman, Perancis dan Britain, sudah tentu Asia Tenggara jauh ketinggalan.

Namun begitu, ASEAN mempunyai impian untuk menjadi Eropah, dalam erti kata mengecapi sebuah benua yang maju dan makmur. Setiap tahun, dalam sidang kemuncak ASEAN, ada saja langkah untuk mengeratkan lagi pertalian dalam rantau ini. Tidak terkecuali ialah Sidang Kemuncak ASEAN di Singapura Selasa lalu. Piagam ASEAN merupakan dokumen bersejarah yang menandai ulang tahun ke-40 pertubuhan itu. Piagam itu, yang meliputi soal-soal hak asasi manusia, perlindungan alam sekitar dan mewujudkan ekonomi bebas merupakan penyerlahan hasrat peradaban Asia Tenggara untuk menjadi rantau maju. Tidak jauh bezanya dengan gagasan Eropah.

Perjalanan untuk menjadi rantau maju seperti Eropah masih jauh. Tetapi langkah permulaan wajar dilakukan pada setiap peluang negara-negara ASEAN berhimpun, dalam apa jua acara, tidak semestinya sidang kemuncaknya. Ia juga tidak semestinya dilakukan oleh pemimpin-pemimpin politik saja. Rakyat negara-negara ASEAN dalam apa saja bidang harus mengekspreskan aspirasi untuk menjadi maju sebagai satu rantau pada mana-mana kegiatan yang melibatkan sesama sendiri.

Tidak boleh dinafikan bahawa tamadun moden berpusat di Eropah melalui Revolusi Demokrasi, Revolusi Sains dan Revolusi Industri. Walaupun terdapat sisi negatif dalam tamadun Barat, apa yang positif daripadanya kini sudah membaku menjadi nilai universal dan global. Nilai-nilai demokrasi, hak asasi manusia, perlindungan alam sekitar dan ekonomi bebas yang turut wujud dalam tamadun bukan Barat berjaya diserlahkan secara sistematik oleh Eropah dan Amerika Utara.

Maka begitu juga dengan Asia Tenggara yang memiliki tradisi intelektual dan budaya tersendiri berasaskan Islam dan Buddha turut menerima baik sisi-sisi positif dari Barat, di samping mengenali dan menolak apa yang negatif dari sana.

Umpamanya, ASEAN turut mahu mengecapi amalan demokrasi, yang boleh disifatkan sebagai sistem terbaik pernah dicipta manusia untuk mengurus hubungan politik sesama sendiri. Ini berlaku walaupun terdapat negara-negara ASEAN yang masih tidak melaksanakan demokrasi sepenuhnya seperti Vietnam, Laos dan Myanmar. Tetapi negara-negara lain yang mengamalkan demokrasi juga mempunyai sektor-sektor tertentu yang perlu diperbaiki. Sama ada Singapura, Thailand, Indonesia, Kemboja, Filipina, malah Malaysia. Setiap negara mempunyai kelemahan tersendiri.

Selain demokrasi, soal hak asasi manusia, perlindungan alam sekitar dan ekonomi bebas juga mahu ditingkatkan untuk kepentingan hidup makmur rakyat rantau ini. Walaupun dalam keadaan tertentu EU, seperti juga Amerika Syarikat (AS) sering kali menunjukkan sikap yang ingin mengajar nilai-nilai itu kepada rantau, dengan pendekatan yang tidak disenangi negara-negara ASEAN, tetapi sesiapa pun manusia tentunya ingin hidup bebas, maju dan dalam persekitaran alam yang baik.

Asia Tenggara mempunayi hubungan rapat dengan Eropah sejak zaman kolonialisme. Penjajahan adalah salah satu gejala negatif yang lahir daripada tamadun Barat. Portugis, Sepanyol, Belanda, Perancis dan Britain berjaya menjajah sebahagian daripada Asia Tenggara. Tujuan mereka hanya untuk mengaut keuntungan dan mempertahankan penduduk rantau ini. Mereka tidak mempunyai niat demokratik ketika datang ke sini.

Hanya Thailand yang terlepas daripada cengkaman penjajahan. Tetapi itu pun kerana pertembungan Britain-Perancis menyebabkan Siam menjadi wilayah penampan di mana London menguasai Burma dan Paris menjajah Indochina. Walaupun kini negara-negara ASEAN sudah merdeka, tetapi kebimbangan terhadap agenda tersembunyi Barat; sama ada AS mahupun EU untuk menjajah rantau ini dalam bentuk baru, iaitu ekonomi yang disusuli dengan politik. Apa yang dilakukan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semasa kegawatan ekonomi pada 1997 merupakan amaran kepada negara-negara Asia Tenggara tentang ancaman penjajahan bentuk baru ini.

Sememangnya Eropah dan EU mengajukan nilai-nilai liberalisme dan demokrasi yang membawa kemajuan ekonomi. Britain, Belanda, Portugal, Perancis dan Sepanyol merupakan negara penting dalam EU. Tentunya ramai penduduk Asia Tenggara yang jika mendapat peluang bersedia berhijrah ke negara-negara itu.

Bagi golongan yang kesempitan hidup, negara-negara Eropah itu menjamin pekerjaan yang baik, iaitu adanya peluang ekonomi yang luas. Sementara bagi golongan terpelajar dan intelektual, selain kerjaya, kebebasan intelektual dan politik juga menarik bagi mereka.

Bukan itu saja, Eropah juga memiliki landskap cantik dan merupakan destinasi pelancongan menarik hinggakan ia menjadi suatu impian bagi banyak manusia di dunia. Gambaran bukit-bukau menghijau serta gunung bersalji Eropah sering kali menjadi poster di dinding-dinding di luar Eropah termasuk di kalangan Asia Tenggara.

Britain, Belanda, Portugal, Perancis dan Sepanyol mempunyai pemandangan indah di samping menjadi negara-negara yang dianggap turut mengajukan nilai-nilai murni Barat seperti demokrasi, hak asasi manusia, perlindungan alam sekitar dan amalan ekonomi bebas. Bagaimanapun cuba bayangkan betapa negara-negara inilah juga yang menjadi penjajah di Asia Tenggara hingga merosakkan kerajaan-kerajaan peribumi di rantau ini dari abad ke-16 hinggalah ke-20. Ketika mereka mewariskan beberapa amalan baik dalam pentadbiran, tetapi dari segi lain, mereka merosakkan jati diri nasional rantau ini hingga kesannya masih ditanggung ASEAN.

Umpamanya Perjanjian Inggeris-Belanda membahagi dua Nusantara dan memecahbelahkan rantau ini kepada Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei. Sebaliknya pemimpin-pemimpin rantau ini pula kini sedang berusaha untuk menyatukan semula rantau ini.

Hanya selepas Perang Dunia Kedua dan kekalahan negara-negara Barat ini kepada Jepun, baru konsep-konsep demokrasi, liberalisme, hak asasi dan perlindungan alam sekitar dicanangkan oleh Eropah dan ditujukan, antaranya kepada Asia Tenggara.

Tetapi ketika negara-negara Eropah menjajah Asia Tenggara, tidak timbul soal demokrasi dan hak asasi. Contohnya, buat masa ini Myanmar menjadi sasaran kritikan Eropah. Tetapi ketika Burma menjadi sebahagian daripada empayar British berpusat di Calcutta, pemerintahan dan pentadbiran dijalankan secara diktator. Begitu juga ketika Belanda memerintah Indonesia dalam bentuk Hindia Timur Belanda. Kediktatoran penjajahan Belanda berpusat di Betawi lebih dahsyat daripada apa yang berlaku dalam pemerintahan Suharto dan Sukarno. Di Malaysia, tidak pernah timbul di kalangan pentadbir British untuk memperkenalkan demokrasi walaupun ketika sudah kalah dalam Perang Dunia Kedua. Penubuhan Malayan Union pula tidak disertai dengan demokrasi dan hak asasi manusia.

Sebaliknya kini negara-negara di Asia Tenggara menerima tekanan dari Barat untuk melaksanakan demokrasi, hak asasi dan perlindungan alam sekitar. Negara-negara Asia Tenggara diminta memelihara hutan hujannya dan pembukaan ladang kelapa sawit secara besar-besaran dipandang serong kerana dianggap akan menambah pemanasan global. Sedangkan siapakah yang memulakan kaedah perladangan besar-besaran di Asia Tenggara kalau tidak negara-negara penjajah dahulu? Ingatlah betapa penjajah Belanda memaksa penduduk Jawa mengorbankan sawah mereka untuk ditanam dengan getah kerana komoditi amat diperlukan mereka.

Sementara Asia Tenggara pada waktu ini bergelut dengan soal kehidupan asas seperti makanan dan cara untuk mengatasinya ialah perladangan dan perindustrian. Malangnya usaha perladangan dan perindustrian ini akan menambah parah masalah pemanasan global dunia.

Asia Tenggara juga mahu maju seperti Eropah dengan landskap yang menarik dan kehidupan yang lebih baik. Perindustrian yang mapan dan kualiti hidup tinggi. Eropah dapat mencapai kedudukan ini dengan perindustrian yang pesat dan pemusnahan hutan besar-besaran. Keadaan itulah sebenarnya yang membawa kepada pemanasan global. Pada masa mereka memusnahkan hutan dan mencurahkan karbon dioksida ke udara secara besar-besaran, tidak ada sesiapa yang menghalangnya. Kini apabila giliran Asia Tenggara mahu melakukannya, mereka dihalang oleh Eropah. Adakah hanya orang Barat saja berhak menikmati kehidupan moden dan lebih baik? Sementara Asia Tenggara perlu terus bergelut dengan kemiskinan dan kemunduran?

Eropah kena terima bahawa Asia Tenggara juga mahu maju seperti mereka. Dunia ini bukan milik Barat. Penduduk Asia Tenggara mahukan rantau yang aman dan bebas daripada konflik berdarah. Pertumpahan darah di Thailand Selatan dan Filipina Selatan mesti dihentikan. Sepertimana di Eropah, keseluruhan benua itu dalam aman. Namun begitu realiti konflik juga wajar diterima. Walaupun benua Eropah aman, konflik di Ireland Utara dan Basque di Sepanyol terus bergolak.

Rakyat Asia Tenggara juga ingin menyaksikan demokrasi dan hak asasi manusia dilaksanakan sepenuhnya di rantau ini. Perkara-perkara ini sensitif bagi kerajaan-kerajaan dalam ASEAN. Tetapi demokrasi tidak boleh dinafikan baik oleh Myanmar, Laos, Vietnam dan Thailand. Demokrasi pula tidak hanya sekadar mengadakan pilihan raya. Ia perlu diiringi dengan hak asasi manusia termasuklah kebebasan akhbar.

Dalam ekonomi, Asia Tenggara juga mahukan kebebasan pergerakan produk di seluruh rantau ini. Sebenarnya, bukan saja kebebasan pergerakan produk tetapi juga kebebasan pergerakan manusia untuk mendapat kerja dan kehidupan lebih baik. Tentunya perkara-perkara ini memerlukan syarat-syarat lain seperti perlindungan terhadap golongan lemah dan terpinggir. Bayangkan jika tanpa perlindungan, rantau Asia Tenggara akan menjadi medan pengumpulan harta oleh golongan yang sudah kuat sementara minoriti suku kaum, umpamanya akan bertambah terhimpit.

Dalam hal ini, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam bentuk masyarakat sivil merupakan salah satu tonggak penting bagi Asia Tenggara yang maju dan makmur. Bagaimanapun, mereka harus digerakkan oleh kesedaran hati budi untuk membela golongan yang susah dan terpinggir dan bukannya semata-mata menjadi alat kepada agenda negatif Barat.

Sememangnya Barat khususnya Eropah menyalurkan bantuan untuk memperkasakan masyarakat sivil. Dalam hal ini, terdapat sisi negatif dan positif. Dari negatifnya, jika tidak berhati-hati, mereka menjadi alat kepada kuasa Barat bagi memenuhi kepentingan politik mereka. Dari segi positif, ada perkara tertentu, sememangnya agenda yang diajukan bersifat positif, umpamanya perjuangan memulihara alam sekitar secara tulen dan perlindungan suku kaum di hutan-hutan. Kecurigaan terhadap NGO harus terpilih, bukan stereotaip.

Penduduk Asia Tenggara tetap mengimpikan rantau yang maju. Biarlah penduduk di rantau ini tidak lagi bergelut dengan kemiskinan, kemunduran dan kejahilan. Kemajuan bukan sekadar dalam bentuk material tetapi juga intelektual dan kultural. Akan sampai masanya seseorang dapat ke Irian Barat atau Bali di Indoensia dan melihat mereka turut mencapai kemakmuran dan kemajuan seperti penduduk-penduduk Switzerland. Biarlah alam sekitar di Asia Tengara dapat dipelihara dengan baik dan tidak musnah dengan kerakusan usahawan yang hidup di atas kesusahan penduduk tempatan.

Asia Tenggara perlu muncul sebagai rantau yang bangga dengan tradisi budaya dan intelektualnya. Bangunan-bangunan lama dipelihara dan khazanah bersejarah dapat dipertahankan dengan penduduk rantau ini dapat menghargai kepentingannya.