Jangan toleran lagi dengan pendatang tanpa izin

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 18 Julai 2004


DI SEKELILING kita sekarang ada 1.2 juta pendatang tanpa izin. Bagi sebuah negara yang mempunyai penduduk sebanyak 23 juta, 1.2 juta pendatang tanpa izin tentu saja boleh mengacau kestabilan sosial selain memperlihatkan mudahnya mereka membolos diri ke negara ini.

Difahamkan 1.2 juta pendatang tanpa izin ini adalah pekerja di pelbagai sektor terutamanya perladangan dan pembinaan. Sebelum ini kita tahu kehadiran mereka. Tetapi sekarang kita bukan sekadar tahu malah dapat menganggarkan hingga 1.2 juta orang. Ke mana mereka kalau bukan berada di sekeliling kita?

Jumlah 1.2 juta pendatang tanpa izin adalah cukup serius. Orang pasti akan bertanya kenapa sampai 1.2 juta orang pendatang tanpa izin berada di negara ini? Bagaimana perkembangannya tindakan memburu dan menghantar pulang?

Kalau dicampurkan dengan pendatang yang sah, jumlahnya menjangkau 2.4 juta orang. Dari sudut sosial, jumlah ini boleh mengubah dan memberikan corak sosial yang kacau di negara ini.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid baru-baru ini mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya 1.2 juta pekerja daripada kalangan pendatang tanpa izin di negara ini. Kata Azmi, kerajaan memastikan mereka ini akan dihantar pulang ke negara asal apabila sistem Mykad dilaksanakan sepenuhnya.

Pendedahan ini sangat mengejutkan. Banyak persoalan yang timbul apabila sebenarnya kita tahu ada 1.2 juta pendatang tanpa izin. Apakah ini berlaku kerana kita tidak cukup undang-undang atau undang-undang telah cukup tetapi kurang tegas melaksanakannya?

Ini kerana majikan pula seolah-olah diberi kelonggaran mengambil pendatang tanpa izin bekerja di premis mereka. Apabila kita mempunyai statistik, ini bermakna semua yang berlaku adalah dalam pengetahuan kita. Tidak adakah tindakan yang dikenakan ke atas majikan yang dikenal pasti mengambil pendatang tanpa izin? Apabila jumlah 1.2 juta pekerja daripada kalangan pendatang tanpa izin ini membayangkan seolah-olah tidak ada tindakan diambil ke atas majikan dan juga pendatang berkenaan.

Adakah statistik ini mencapai 1.2 juta kerana kita terlalu toleran dengan majikan? Ketika kerajaan menawarkan pengampunan beramai-ramai hingga 31 Julai 2002, sebanyak 282,000 pendatang tanpa izin menyahut tawaran itu. Pihak majikan terutama di sektor pembinaan pula merungut kerana ada syarikat pemaju terpaksa membayar hingga RM300 juta kerana lewat menyiapkan projek. Kelewatan ini dakwa mereka disebabkan kerajaan menghantar pulang pekerja pendatang tanpa izin.

Lihatlah betapa "besar kepala'' majikan di negara ini yang secara terang-terangan menggaji pendatang tanpa izin. Mereka menyalahkan kerajaan kerana menghantar pendatang tanpa izin sedangkan tindakan merekalah yang salah kerana mengambil pendatang tanpa izin. Apakah ini dinamakan toleransi?

Ketika ini, sebelum kerajaan melaksanakan Mykad yang baru sepenuhnya, semua majikan mesti menghentikan pengambilan pendatang tanpa izin sebagai pekerja mereka. Dalam kata lain pengambilan pekerja di kalangan pendatang tanpa izin berlaku dalam pengetahuan kita. Sewajarnya bukan lagi meminta majikan menghentikan pengambilan pendatang tanpa izin tetapi mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka.

Kita tidak perlu melayan kerenah majikan yang sangat materialistik itu. Mereka bukan tidak boleh mengambil pekerja daripada kalangan pendatang. Barangkali kurang tegas dalam pelaksanaan undang-undang telah memberi ruang kepada majikan ini untuk mengambil pendatang tanpa izin sebagai pekerja.

Senario sekarang memperlihatkan kita telah berlaku tidak adil kepada pendatang yang masuk ke negara ini melalui prosedur yang betul. Buktinya negara ini terdapat 2.4 juta pekerja asing tetapi 1.2 juta adalah pendatang tanpa izin. Di mana ketegasan kalau separuh daripada 2.4 juta pekerja asing tanpa izin?

Hujah ini sama sekali tidak menafikan kerja kuat pihak imigresen, polis dan anggota Rela. Mereka tidak pernah putus membuat serbuan dan tangkapan. Tetapi lebih daripada itu perlu ada usaha yang lebih strategik untuk memastikan sekurang-kurang 1 juta pendatang tanpa izin dihantar pulang ke negara asal.

Sewajarnya memburu dan menghantar pulang pendatang tanpa izin bukan kerana pelaksanaan Mykad. Memanglah kad pintar ini akan merekodkan data peribadi pemiliknya. Itu untuk yang datang secara sah dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Masalah tetap timbul untuk memantau yang datang secara haram kerana mereka tidak perlu melalui apa-apa proses merekodkan data peribadi.

Ketegasan memburu dan menghantar pulang pendatang tanpa izin selain menjulang kedaulatan undang-undang negara ini, ia juga untuk membanteras kekacauan sosial yang dicetuskan oleh pihak berkenaan.

Pensyarah Antropologi dan Sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Lee Wai Lee pernah berkata, kebanjiran pendatang tanpa izin ke negara ini telah mewujudkan suasana tidak selesa di kalangan rakyat negara ini. Pendatang tanpa izin ini bukan saja menutup peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan malah mencetuskan banyak masalah sosial.

Sebenarnya mengaitkan pendatang asing dengan masalah sosial seperti jenayah dan sebagainya bukan prejudis kepada golongan ini. Tetapi statistik yang dikeluarkan oleh polis mengenai perilaku pendatang asing ini sangat membimbangkan. Tahun lalu misalnya, statistik polis menunjukkan 15,798 kes ragut dilakukan oleh pendatang asing dan pendatang Indonesia yang paling banyak terlibat.

Itu hanya kes ragut, belum lagi jenayah lain yang lebih berat. Kalau dilihat statistik jenayah yang dilakukan oleh pendatang asing, kita hari ini memang dikepung dengan ketakutan. Tahun lalu sebanyak 156,315 kes jenayah dilakukan oleh pendatang asing. Sementara sepanjang lima bulan pertama tahun ini pula mencatatkan 65,737 kes jenayah yang melibatkan pendatang asing. Bukankah ini ancaman kepada kestabilan sosial negara ini?

Memang benarlah seperti yang dikatakan oleh Dr. Lee bahawa pendatang asing yang membanjiri negara ini telah mencetuskan rasa tidak selesa dan tidak selamat kalangan rakyat tempatan. Ini kerana sebahagian besar pendatang asing membawa budaya yang bertentangan nilai hidup negara ini.

Kerana itu kita hanya membenarkan pendatang asing yang mengikut prosedur saja menumpang cari rezeki di negara ini. Kalau mengikut prosedur, pergerakan mereka boleh dipantau, data peribadi mereka direkodkan dan mereka tidak akan mudah terlepas kalau terlibat dalam jenayah.

Toleran kita kepada pendatang tanpa izin jauh lebih besar daripada sewajarnya. Itu tidak mengapa. Tetapi pastikan tindakan itu jangan sampai memperlihatkan kita tidak tegas terhadap kesalahan mereka menceroboh ke negara ini.