Sikap masyarakat dorong peragut

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 3 Julai 2004


Ketika semua akhbar menyiarkan gambar dua anak mangsa ragut yang meninggal dunia, Chong Fee Cheng di pangkuan ayah mereka, sebahagian daripada kita menitiskan air mata. Kita menjadi sebak dan pilu. Tiba-tiba saja kita seakan berada di tempat anak kecil bermata jernih yang tidak tahu apa yang menimpa ibu mereka.

Kita marah kepada peragut mengingatkan tragedi yang menimpa mangsa yang tidak berdosa itu. Kemarahan kepada peragut itu juga telah meragut nyawa seorang yang didakwa meragut akibat dibelasah hingga mati. Ingat, ini bukan caranya kita menyelesaikan masalah.

Tetapi berapa lamakah keprihatinan kita terhadap jenayah ragut? Seminggu? Sebulan atau paling lama tiga bulan? Selepas itu kita kembali seperti sebelumnya sehinggalah ada mangsa terbaru yang menemui ajalnya disebabkan peragut.

Dalam masa yang terdekat selain Chong Fee Cheng, Chen Wai Fun dan yang terbaru Rosli Mohd Saad menemui ajal kerana peragut. Sewajarnya nyawa mereka tidak menjadi begitu murah di tangan peragut.

Sementara mangsa terbaru seorang pegawai bank Rashidan Mat Aris berada dalam keadaan koma setelah terlibat dalam kejadian ragut di Taman Desa Jaya, Kepong, Selangor. Kenapa ini berlaku?

Tanpa meletakkan kesalahan kepada pihak polis, kita wajar bertanya siapakah yang membuatkan mangsa-mangsa di atas menemui ajal? Pasti banyak tidak setuju kalau dikatakan sebahagian kita menyumbang kepada jenayah ragut ini berleluasa.

Ragut bukanlah jenayah baru. Ia bukan seperti mencuri wang dengan menggunakan transaksi dalam talian yang orang terpinga-pinga kerana tidak tahu modus operandinya. Ragut adalah jenayah yang telah lama wujud. Tetapi kenapa baru ini saja ia menjadi heboh dan semua orang mahu bercakap mengenainya?

Jawabnya jenayah ragut menjadi isu dan diperkatakan selepas pemimpin negara memberi perhatian mengenainya. Jangan sama sekali menuding jari kepada polis. Polis ternyata telah lama melaksanakan tugas dan memberkas serta membawa penjenayah ke muka pengadilan.

Ini adalah tugas dan tanggungjawab polis dan mereka melakukannya. Tetapi apa tugas kita pula untuk membendung jenayah ragut? Banyak pihak yang berebut-rebut memberi idea tetapi malangnya tidak banyak yang konstruktif.

Jenayah yang meragut nyawa ini seolah-olah ruang pihak tertentu tampil berdrama, idea yang melimpah-ruah hingga menjadi jenaka. Dalam keadaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) misalnya yang sibuk dengan idea memasang kamera di lokasi strategik, sudah banyak yang menjadi mangsa. Kamera belum ada cuma idea saja yang mencurah-curah.

Bukan idea memasang kamera untuk mengesan peragut tidak baik tetapi tidak praktikal. Kamera itu hanya boleh digunakan selepas peragut berkenaan diberkas dan dihadapkan ke mahkamah. Rakaman itu sebagai bukti yang dia melakukan jenayah tersebut.

Tetapi selagi peragut tidak dapat diberkas, rakaman itu tidak dapat membantu apa-apa untuk mengurangkan kes ragut terutama di Kuala Lumpur. Hasilnya bandar raya ini terus menjadi tidak selamat untuk semua orang.

Selain memasang kamera, ada pula idea untuk melarang motosikal memasuki pusat bandar di Kuala Lumpur. Rasionalnya sangat mudah. Banyak kes ragut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, maka kalau dilarang masuk kita menjangka kawasan berkenaan akan selamat.

Tetapi kita tidak memikirkan yang peragut juga mempunyai pelan B iaitu meragut tanpa menggunakan motosikal. Selepas peragut menggunakan pelan B, apa lagi pelan lain yang kita ada?

Cuba kita lihat statistik ini, tahun 2002 ada 14,640 kes ragut di seluruh negara. Tahun 2003 pula statistik menunjukkan ada peningkatan iaitu 15,798 kes. Sementara lima bulan pertama tahun ini mencatatkan 5,515 kes dan 2,710 kes berjaya diselesaikan. Kalau dikaji tentu ada sesuatu yang menjadi pendorong kepada peragut meneruskan jenayah ini.

Mereka bukan tidak takut ditangkap oleh polis dan kemudian dihumban ke penjara. Tetapi pendapatan yang dikaut daripada hasil meragut agak lumayan. Ini barangkali membuat peragut memperjudikan nasib, kalau malang tertangkap. Kalau bertuah dapat habuan yang besar. Macam dapat wang dan barang kemas berjumlah RM40,000 hasil meragut seorang anggota polis wanita di Melaka baru-baru ini.

Statistik juga menunjukkan pendapatan empat bulan pertama peragut di Kuala Lumpur mencecah RM2 juta. Ini berdasarkan daripada kerugian sebanyak RM2.3 juta yang dialami oleh warga Kuala Lumpur akibat jenayah ragut.

Wajar diingat RM2 juta bukan kecil kalau dibahagikan dengan 1,144 kes yang dilaporkan dalam jangka waktu yang sama. Barangkali sesetengah daripada kita terkejut dan bertanya kenapa sampai RM2.3 juta mengalir ke tangan peragut? Berapa banyak orang Kuala Lumpur bawa duit dan barang berharga semasa keluar bekerja atau membeli-belah?

Memetik kata aktivis membanteras jenayah, Kamal Affandi Hashim dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia dua minggu lalu, "Maaf cakaplah, ada orang kita apabila keluar berjalan, hampir separuh isi rumah ada dalam beg tangan mereka.''

Ini berbalik kepada "bekalan dan permintaan''. Permintaan kepada kes ragut meningkat kerana bekalan yang berupa wang dan barang berharga juga meningkat. Maknanya kerja peragut tidak sia-sia kerana sikap sebahagian daripada kita yang mendorong jenayah ragut ini.

Kalau peragut hanya mendapat dokumen dan sejumlah kecil wang, sudah tentu rangsangan untuk melakukan jenayah ini tidak bertambah. Dalam budaya hidup hari ini tidak ada alasan untuk seseorang itu membawa `separuh daripada isi rumah' dalam beg tangan.

Meminimumkan wang tunai dalam beg tangan dan gunakanlah kemudahan kad ATM atau kad kredit untuk berbelanja. Ini adalah tujuan memiliki kad plastik yang boleh menyelamatkan kehilangan wang ke tangan peragut. Malah janganlah menjadikan diri sebagai ruang pameran barang kemas bergerak.

Kita kena berubah sikap. Sebenarnya sikap sebahagian besar daripada kita amalkan selama inilah yang mendorong kepada tragedi yang menimpa mangsa hingga menemui ajal. Setelah kita puas menyalahkan peragut, kini tiba masanya pula untuk kita menyalahkan sikap buruk kita sendiri yang menjadikan nyawa sangat murah dan cepat melayang.