Ketenteraan jambatan berkesan integrasi kaum
Oleh: Datuk Muhammad Alias (bekas wartawan Utusan Melayu edisi jawi)
Sumber: Utusan Malaysia 21 Februari 2006
Ketenteraan adalah satu institusi yang unik. Ia mempunyai dunianya yang tersendiri. Tidak ada institusi lain kecuali polis yang bidang tugasnya melibatkan penggadaian nyawa. Ironinya, wang ataupun pangkat bukanlah matlamat utama belia-belia memasuki tentera.
Ketika saya masih kecil, tahun 1950-an beratus-ratus belia kampung menyertai tentera, polis atau polis khas (special squad). Antaranya termasuk abang, bapa saudara, abang ipar dan keluarga terdekat. Di kala itu Malaya sedang berperang dengan pengganas komunis. Ramai belia kita yang menemui ajal atau mengalami kecederaan kekal.
Lantaran itu orang kampung sering menggunakan istilah sign mati atau tandatangan mati. Saya tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan sign mati hinggalah saya sendiri menceburkan diri dalam tentera tahun 1965. Jelaslah setiap belia yang memasuki tentera dianggap akan mati. Harapan mereka hidup adalah tipis.
Ribuan belia menyertai bidang ketenteraan di zaman Konfrontasi Indonesia (1963-1966). Saya masih ingat berpuluh kaum keluarga dan sahabat handai menghantar saya di Stesen Keretapi Prai dalam perjalanan ke Pusat Latihan Rekrut, Port Dickson untuk memulakan latihan rekrut. Stesen kereta api yang kecil itu penuh dibanjiri kaum keluarga rekrut.
Malahan suasana yang sama juga kelihatan di setiap stesen kereta api dari Prai ke Kuala Lumpur. Setiap stesen ada saja bakal-bakal rekrut. Pandangan saling tak tumpah seperti Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang ketika menghantar orang mengerjakan haji. Azan tak semena-mena memecah keheningan malam dan esakan tangis kaum keluarga. Seolah-olah itu merupakan pertemuan terakhir.
Tetapi kenapakah ramai belia, khususnya Melayu menyertai bidang ketenteraan meskipun ia melibatkan nyawa. Kenapa tidak memasuki bidang pekerjaan awam yang lebih selamat.
Ketika itu ramai antara kami berkelulusan LCE (Lower Certificate Education) malah ada yang mempunyai SC (School Certificate) atau MCE (Malaysia Certificate Education). Masa itu kelulusan LCE sahaja sudah cukup untuk berkhidmat sebagai posmen, guru atau kerani.
Jelaslah keinginan berkorban kepada negara datangnya dari hati yang suci dan semangat waja. Bukan dipaksa-paksa. Bukan kerana wang dan pangkat.
Gaji ketika mengikuti latihan rekrut hanya RM60 sebulan. Gaji asas seorang prebet ialah RM70 sebulan. Jika dibandingkan dengan beban tugas adalah tidak patut.
Kebelakangan ini kedengaran beberapa kenyataan yang penyertaan belia-belia bukan Melayu khususnya Cina dalam angkatan tentera amatlah kecil. Antara faktor kurangnya minat belia Cina menyertai angkatan tentera dikatakan kerana gaji dan peluang-peluang kenaikan pangkat.
Bagaimanapun, berdasarkan kepada maklumat tangga gaji anggota tentera baik dari kumpulan pegawai bertauliah atau anggota lain-lain pangkat dewasa ini adalah lumayan dibandingkan dengan yang kami peroleh dahulu. Begitu juga dengan faedah-faedah lain seperti gratuiti (ganjaran) dan pencen.
Sebagai contoh, ramai anggota lain-lain pangkat yang mampu mempunyai kereta sendiri. Pada tahun 1970-an kalau mempunyai motosikal Honda Cup sudah cukup lumayan.
Mengatasi
Meskipun begitu, sebagaimana yang dicadangkan oleh beberapa pihak mungkin kerajaan dapat mengkaji semula beberapa aspek skim perkhidmatan angkatan tentera.
Matlamatnya adalah untuk menarik lebih ramai belia menjadikan perkhidmatan tentera sebagai karier tetap. Selain daripada mengatasi masalah brain drain di kalangan juruterbang, jurutera dan sebagainya.
Mungkin salah satu langkah ialah memendekkan tempoh perkhidmatan (pertama) bagi anggota lain-lain pangkat kepada tujuh tahun. Tempoh perkhidmatan (pertama) yang pendek membolehkan bekas-bekas tentera memulakan kehidupan awam pada usia yang masih muda. Sementara yang berminat boleh terus menyambung tugas hingga pencen.
Mungkin kerajaan juga boleh mempertimbangkan perkhidmatan negara atau perkhidmatan wajib misalnya selama dua tahun seperti dipraktikkan oleh banyak negara. Kemudahan-kemudahan melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi diberi selepas tamat perkhidmatan negara/wajib mereka.
Mana yang berminat boleh memasuki tentera (tetap) selepas tamat perkhidmatan negara/wajib ataupun selepas tamat pengajian di institusi pengajian tinggi.
Sekali pandang kehidupan tentera adalah terlalu lasak dan dikongkongi oleh disiplin. Tetapi ramai yang tidak menyedari disiplin membentuk perwatakan positif ketika bertugas ataupun selepas kembali ke kehidupan awam.
Saya sendiri umpamanya menyambung semula pelajaran ketika di dalam tentera hingga berupaya memasuki universiti.
Paling menarik semangat kekitaan mendorong anggota tentera tanpa mengira kaum bekerjasama untuk mencapai sesuatu matlamat. Tidak dinafikan bahawa bidang ketenteraan merupakan jambatan paling berkesan ke arah integrasi nasional.
Sebarang kajian semula hendaklah untuk kebaikan semua rakyat dan negara sejajar dengan peredaran masa dan teknologi terkini. Tanggungjawab untuk berkhidmat dan mempertahankan negara adalah tanggungjawab semua, tanpa memikirkan kepentingan diri semata-mata.