Jangan jadi pahat dan penukul

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 5 Februari 2006


Orang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita.

Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan "ketukan'' supaya sekian banyak "pahat'' membuat kerja masing-masing.

Tetapi selama mana penukul mampu mengetuk? Inilah yang berlaku dalam usaha membanteras cetak rompak yang menjadi barah dalam industri hiburan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Sekalipun memerangi cetak rompak di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tetapi agensi-agensi kerajaan yang lain turut mempunyai tanggungjawab.

Bagaimanapun yang hanya kelihatan bersungguh-sungguh memerangi cetak rompak produk muzik dan perisian komputer hanyalah KPDNHEP. Jadi tidak salah kalau kita bertanya apa sudah jadi dengan agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), polis, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas)?

Gerakan menggempur kegiatan cetak rompak dilakukan sekali lagi sepanjang tahun ini. Gerakan 2006 itu akan membanteras cetak rompak hingga ke akar umbi serta mencari punca masalah seperti bertambahnya kilang cakera optik haram dan memastikan yang ada lesen tidak terlibat dalam kegiatan haram itu.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengarahkan pembanterasan cetak rompak dilakukan secara besar-besaran pada 2003. Hasilnya sangat membanggakan kerana semua agensi kerajaan bersama-sama KPDNHEP bergerak secara bersepadu. Tahun 2003 tercatat sebagai tahun sifar cetak rompak.

Banyak pihak dalam industri mengharapkan usaha membanteras cetak rompak dilakukan secara konsisten oleh agensi-agensi berkenaan. Mereka sentiasa mengharapkan kerja membanteras cetak rompak dilontarkan kepada KPDNHEP saja. Dengan kakitangan dan pegawai penguat kuasa yang terhad, kita sangat memahami kesukaran yang dihadapi oleh KPDNHEP.

Tetapi selepas 2003 sedikit demi sedikit kegiatan cetak rompak bertunas kembali. Daripada angka sifar, dalam masa dua tahun, keadaan menjadi seperti sebelum gerakan besar-besaran 2003. Apa puncanya? Apakah keadaan ini berlaku disebabkan kelemahan daripada aspek perundangan atau ada undang-undang tetapi tidak dilaksanakan?

Dengan sekian banyak akta yang berkaitan pembanterasan cetak rompak misalnya Akta Cakera Optik, Akta Hakcipta 1987 atau Akta Perihal Dagangan, secara teorinya cetak rompak tidak mempunyai ruang untuk tumbuh, berkembang dan menguasai industri hiburan dan ICT. Tetapi apabila undang-undang tidak dilaksanakan khususnya oleh PBT seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), maka tidak hairanlah terpaksa wujud Gerakan 2006.

Apakah Gerakan 2006 akan mengulangi kejayaan 2003 dan juga kegagalan selepas tidak ada lagi ``penukul'' yang mengetuk agensi-agensi yang terlibat? Apabila semua kerja-kerja pembanterasan cetak rompak diserahkan bulat-bulat kepada KPDNHEP, kegagalan pasti akan berulang. Ini bukan kerana kelemahan KPDNHEP tetapi kerja membanteras menuntut gerakan bersepadu.

Secara jujur kita patut bersimpati dengan tenaga manusia yang terhad di bahagian penguatkuasaan KPDNHEP. Sekalipun terhad bahagian penguatkuasaan melaksanakan tugas dengan cemerlang. Mereka merampas, menggempur kilang-kilang cakera optik haram malah mengheret pihak yang tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Bagaimanapun PBT tidak berbuat apa-apa. Mereka tidak agresif seperti selepas diarahkan oleh Perdana Menteri pada 2003 lalu. Maknanya bukanlah tidak ada undang-undang untuk dikenakan tetapi tidak dilaksanakan secara penuh tanggungjawab. Apakah DBKL akan berkata mereka tidak tahu Jalan Petaling atau Jalan Imbi menjadi lubuk cetak rompak?

Antara statistik yang menjadi "kenangan'' kita semua pada 2003 ialah penurunan jumlah premis terbuka yang menjual CD dan VCD daripada 2,386 kepada 163 pada penghujung 2003. Sementara itu antara kejayaan besar KPDNHEP tahun ini ialah merampas mesin memproses DVD cetak rompak di Semenyih yang bernilai lebih RM20 juta.

Sasaran pihak penguatkuasaan kementerian itu ialah 20 kilang haram serta 38 kilang berlesen tetapi ada antaranya terlibat dalam kegiatan cetak rompak. Selain itu kita juga tetap tertanya-tanya apakah yang dilakukan oleh kilang yang mempunyai lesen dengan saiz pasaran produk dalam negara ketika ini. Cetak rompak sebenarnya suatu penyakit sosial yang serius. Kegiatan tidak bermoral ini telah memberikan label yang buruk kepada Malaysia di mata dunia. Bukan itu saja malah cetak rompak juga menjadi faktor yang boleh menjejaskan kelancaran Koridor Raya Multimedia (MSC) apabila begitu banyak perisian komputer dicetak rompak.

Keseriusannya bukan main-main. Misalnya pada tahun 1998 pihak United State Trade Representative (USTR) telah menyenaraikan Malaysia sebagai negara dalam List 301. Negara yang tersenarai dalam 301 adalah yang mempunyai kadar cetak rompak yang tinggi dan ini menjadi rujukan syarikat luar yang mahu melabur dalam bidang perisian komputer di sesebuah negara.

Sementara daripada perspektif sosio- budaya pula, cetak rompak bukanlah sekadar kegiatan haram yang menjejaskan pendapatan golongan artis. Sebaliknya ia boleh mengubah pola sosial dengan menyuburkan kegiatan jenayah terancang dan diterima sebagai satu kebiasaan.

Maka kerana itu dalam agenda Gerakan 2006 untuk membanteras cetak rompak, selain bertindak merampas dan membawa ke muka pengadilan, usaha membanteras juga perlu menekan aspek sosial. Masyarakat perlu ditekankan bahawa mereka juga bertanggungjawab membanteras jenayah.

Tahun 2003 menjadi bukti bahawa tidak ada mustahilnya untuk kita mencapai kejayaan menjadikan negara ini sifar cetak rompak. Maka Gerakan 2006 tidak ada alasan untuk gagal kalau KPDNHEP dibantu oleh agensi-agensi kerajaan yang lain. Ingat jangan ulangi cerita pahat dengan penukul.