“Hari bahagia bagi orang Melayu”

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 29 Mei 2006


Hari ini Utusan Melayu menyambut ulang tahun ke-67. Ia lahir pada 29 Mei 1939 di Queen Street, Singapura dengan menyatakan dirinya sebagai “akhbar harian yang pertama diterbitkan dengan modal dan tenaga bangsa muafakat berbantuan-bantuan, bersatu dan bersetiawan.''

Dinyatakan juga ia merupakan “Malay National Daily Newspaper'' (Surat khabar harian kebangsaan Melayu).

Apa yang dimaksudkan dengan kenyataan itu ialah buat pertama kali di Tanah Melayu dan Singapura terbit sebuah akhbar harian Melayu yang bermodalkan oleh sumbangan wang orang Melayu secara tolong-menolong, bersatu dan setia sesama sendiri. Ia juga merupakan akhbar kebangsaan dalam dua pengertian iaitu ia bukanlah akhbar untuk mana-mana negeri tertentu tetapi untuk keseluruhan orang Melayu di Tanah Melayu dan Singapura. Pengertian maksud kebangsaan yang satu lagi ialah memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu. Ini termasuklah di dalamnya membela kepentingan politik dan sosioekonomi orang Melayu. Sudah tentu perjuangan menuntut kemerdekaan dan mengisinya adalah sebahagian daripada semangat Utusan Melayu.

Pengasas Utusan Melayu ialah Yusof Ishak, lahir di Trong, Perak pada tahun 1910 dan menjadi Yang Dipertuan Negara Singapura dari tahun 1959 dan presiden pertama republik itu sejak pembentukannya hingga beliau meninggal dunia pada tahun 1970.

Dalam buku 10 Tahun Utusan Melayu yang diterbitkan pada tahun 1949, bertulisan jawi dan naskhahnya ada di Perpustakaan Utusan, Allahyarham menceritakan bagaimana beliau ketika berusia 27 tahun iaitu pada tahun 1938 bersama 20 orang lain telah berbincang selama tiga jam di rumah Daud Muhammad di Siglap, Singapura merancang untuk melancarkan Utusan Melayu.

“Sekelian pengasas telah meletakkan serba sedikit wang membawa jumlah bagi belanja permulaan sebanyak $2,000, syarikat Utusan Melayu Press Limited didaftarkan.

“Dalam masa tiga bulan saya telah mengunjungi tidak kurang daripada 30 kampung di Singapura dan bersyarah kepada lebih kurang 5,000 orang Melayu.”

“Sahabat yang lain telah melihat air mata saya menitik bila saya menyatakan pada mereka bahawa sekiranya wang sebanyak $8,500 tidak didapati dalam masa tiga hari lagi, maka segala usaha kami akan menjadi hampa layang saja,''
tulisnya.

Usaha beliau berjaya atas bantuan akhir Daud Mohamad Shah dan Ambok Suloh Omar.

Pada 29 Mei 1939, akhbar naskhah sulung Utusan Melayu dicetak.

Tuan Haji Abas bin Taha, Chief Kadhi Singapura (kemudian menjadi Mufti Pahang) membaca doa selamat. Dan naskhah sulung Utusan Melayu yang pertama sekali pun dicetak.

“Maka sekelian yang hadir di situ berseri-seri oleh senyum yang gembira. Hari yang berbahagia bagi orang-orang Melayu telah sampai.

“Bagi kali yang pertamanya di dalam sejarah orang-orang Melayu, sebuah surat khabar harian Melayu, dipunyai oleh rakyat jelata Melayu dengan satu azam yang kuat hendak berjaya dilancarkan,”
tulis Yusof.

Read more!

Kemerdekaan Timor Leste tidak selesai masalah

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Utusan Malaysia 28 Mei 2006


Kini giliran bagi mereka yang menentang kemerdekaan Timor Leste untuk menunjukkan bahawa pandangan mereka benar ekoran kekacauan di negara itu minggu lalu.

Ini kerana kekacauan yang melibatkan rusuhan akibat tindakan kerajaannya memberhentikan sebilangan tenteranya akibat tidak mampu membayar gaji telah memaksa Dili meminta bantuan luar termasuk Malaysia.

Persoalannya ialah di mana negara-negara Barat, khususnya Australia yang amat kuat memperjuangkan kemerdekaan Timor Leste daripada pendudukan Indonesia tetapi kini membiarkan negara itu dalam kancah yang menyayat hati?

Mungkin kalau Timor Leste masih merupakan salah sebuah wilayah Indonesia bernama Timor Timur, masalah kekurangan sumber untuk membiayai pentadbirannya tidak timbul. Sememangnya ketika negara ini menjadi salah sebuah wilayah Indonesia, Jakarta telah mencurahkan begitu banyak wang untuk pentadbiran dan pembangunannya, bukan saja untuk memenangi hati rakyat negara itu bahkan mengelak daripada dituduh menindas oleh dunia luar.

Malah kerajaan Presiden Suharto turut membina sebuah patung keagamaan di Dili sebagai menghormati kepercayaan rakyat wilayah itu.

Walaupun pemerintahan Suharto dianggap zalim kerana bukan saja menceroboh dan menakluki Timor Leste tetapi juga hingga menyebabkan terjadinya pembunuhan ramai, tetapi terdapat tanda-tanda azam politik bahawa Indonesia mahu memelihara wilayah itu sebaik ia mampu.

Malah selepas kejatuhan Suharto pun, jika Timor Leste terus berada dalam Indonesia, Jakarta akan memberi perhatian istimewa kepadanya lebih-lebih lagi dalam era Reformasi yang memberi kebebasan luas kepada wilayah seperti berlaku sekarang di bahagian-bahagian lain Indonesia.

Tetapi sejarah menyaksikan bahawa dunia lebih-lebih lagi dengan dorongan Barat, ditambah pula dengan kezaliman yang dilakukan oleh tentera Indonesia ke atas rakyat Timor Leste, maka rakyat wilayah itu memilih untuk merdeka.

Sememangnya sekali imbas sesiapapun boleh mengetahui bahawa Timor Leste sukar untuk hidup berdikari. Ia mesti dibantu. Justeru, pejuang-pejuang kemerdekaan Timor Leste dalam mewujudkan negara mereka mengharapkan bantuan dunia, khususnya negara-negara Barat yang beria-ia mahukan kemerdekaannya.

Negara paling besar bertanggungjawab membantunya pastinya ialah Australia. Tetapi Dili juga mahu mengimbangkan pengaruh Australia, dan oleh itu ia terus mengharapkan sokongan dan bantuan negara-negara ASEAN khususnya Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Katolik, Timor Leste seharusnya menjadi negara seagama dengan Filipina. Tetapi Indonesia, walaupun sebagai bekas negara yang pernah menaklukinya adalah sebuah negara jiran, dan lebih penting lagi merupakan serumpun dengan mereka. Bangsa Timor Leste adalah serumpun dengan penduduk Nusa Tenggara Timur (NTT), bahagian barat pulau Timor yang merupakan wilayah Indonesia.

Pulau Timor terbahagi kepada dua, iaitu Timor Barat dan Timor Timur. Timor Barat inilah yang menjadi wilayah Indonesia, NTT dan Timor Timur menjadi Timor Leste. Leste bermakna Timur dalam bahasa Portugis.

Dalam zaman penjajahan, wilayah ini dikenali sebagai Timor Portugis sementara Timor Barat ialah Timor Belanda.

Pulau Timor ini adalah sebahagian daripada Kepulauan Sunda Kecil yang juga terdiri daripada pulau Bali, Lombok, Sumbawa, Flores, Sumba, kepulauan Alor, pulau Barat Daya dan Tanimbar.

Kepulauan Sunda Besar pula merujuk kepada pulau-pulau Jawa, Sumatera dan Borneo (Kalimantan).

Keseluruhan Kepulauan Sunda, Sulawesi, Maluku dan Semenanjung Tanah Melayu termasuk Singapura adalah sebahagian daripada Gugusan Kepulauan Melayu atau Nusantara.

Selepas kemerdekaan Indonesia, Kepulauan Sunda Kecil ini dinamakan Nusa Tenggara yang bermakna negara di sebelah bahagian tenggara. Nusa Tenggara terbahagi kepada dua, Nusa Tenggara Barat (NTB) dan NTT. NTB terdiri daripada Lombok, Sumbawa dan beberapa pulau kecil. Bali adalah wilayah tersendiri.

Ekonomi

Sementara pulau-pulau yang lain terletak pada NTT, termasuklah pulau Timor. Nama Timor pada pulau itu adalah pertepatan kerana kedudukannya di bahagian paling timur di Gugusan Kepulauan Melayu.

Secara geografi manusia, sememangnya pulau Timor di kedua-dua bahagian, iaitu barat dan timur adalah sebahagian daripada Nusantara.

Kalaupun Timor Leste bukan sebahagian daripada Indonesia, ia merupakan salah sebuah negara dalam Nusantara dan Asia Tenggara; iaitu hampir kepada dunia Melayu dari Australia, yang merupakan negara Barat.

Namun apabila pemerintah kemerdekaannya memilih Leste sebagai nama negara itu, ia menegaskan hubungan budayanya dengan Portugis. Negara penjajah yang berada di beribu batu daripadanya telah memberikan jati diri kepada bangsa Timor Leste, yang berupa bahasa Portugis, agama Katolik dan budaya tamadunnya.

Di sinilah satu-satunya wilayah yang menjadi negara berjatidirikan Portugis walaupun negara penjajah itu tidak pernah memberi pembangunan dan kemajuan ekonomi, malah sebaliknya mengeksploit kekayaannya.

Di sebelah timur dunia, Timor Leste adalah seperti Goa, Melaka, Maluku dan Macau menjadi tanah-tanah jajahan Portugis yang mencorak geopolitik kurun ke-16 dan 17.

Tetapi kalau Goa kini menjadi sebahagian daripada India melalui penaklukan New Delhi ke atasnya; Melaka menjadi sebahagian daripada Malaysia melalui penjajahan Belanda dan Inggeris; Maluku menjadi sebahagian daripada Indonesia juga melalui penjajahan Belanda dan Macau kembali ke tangan China melalui perjanjian, maka sewajarnya dengan pertimbangan serumpun, Timor Leste wajar menjadi sebahagian daripada Indonesia.

Semasa penjajahan Portugis, muncul gerakan kemerdekaan pimpinan Xanana Gusmao melalui Persatuan Demokrasi Sosial Timor (ADT) yang kemudian menjadi Barisan Revolusi Kemerdekaan Timor Timur (Fretilin) yang muncul bersama dengan gerakan sosialis di Portugal ekoran kejatuhan rejim berbentuk Fasis di Lisbon pada tahun 1974.

Portugal dalam abad ke-20 mempunyai dua sisi politik iaitu kanan, Fasisime dan kiri, Sosialisme. Setelah memerintah secara kediktatoran rejim kanan tumbang dalam Revolusi Bunga Carnation tahun 1974 dan digantikan dengan tentera sayap kiri yang memulakan proses pendemokrasian dan pembebasan tanah jajahan.

Di sinilah Fretilin yang sudah beberapa lama menentang Portugal mengambil kesempatan untuk mengisytiharkan kemerdekaan 1975 untuk menubuhkan Republik Demokratik Timor Timur.

Republik Demokratik bermaksud negara Timor Timur ini adalah cenderung kepada kiri. Dengan menyedari bahawa Timor Timur tidak boleh berdikari dari segi ekonomi, kemungkinannya ia terpaksa bergantung kepada sokongan dari negara-negara komunis dan sosialis.

Jika aspirasi Gusmao tercapai, maka tiba-tiba muncul sebuah negara problok Soviet di Asia Tenggara. Kesatuan Soviet yang sedang bersaing dengan Amerika Syarikat (AS) dalam Perang Dingin pasti memberi bantuan kepada Timor Timur dan ia menjadi seperti Cuba, terpaksa bergantung pada Moscow dan Beijing.

Walaupun kecil dan tidak bersumber, Timor Timur adalah strategik dari segi ketenteraan dan boleh mengancam kedua-dua Indonesia dan Australia.

Bayangkan pada tahun 70-an di mana AS sedang bertarung hebat di Vietnam dan kebangkitan komunis berlaku di Thailand, Malaysia dan Filipina, maka Washington tidak akan membenarkan Timor Timur menjadi Cuba yang mengancam kepentingan dunia demokrasi.

Bagaimanapun kalau negara-negara demokrasi pimpinan sosialis yang bukan komunis di Eropah seperti Portugal, Sepanyol, Perancis, Itali dan Scandinavia dapat membantu Timor Timur ketika itu, mungkin kebimbangan Washington terhadap kemunculan negara prokomunis dapat dielakkan.

Tetapi komuniti sosialis Eropah lambat bergerak dan AS memberi restu kemasukan tentera Indonesia ke wilayah tersebut. Berlakulah pembunuhan ramai dan ia mendorong Fretilin berjuang untuk menentang penjajahan Indonesia, yang di bawah Suharto adalah pro-Washington.

Indonesia dapat membantu Timor Timur sebagai sebahagian daripada wilayahnya dengan sokongan material dari AS dan dunia Barat.

Tetapi apabila Perang Dingin sudah tamat dan rejim Suharto tumbang, maka Barat memberi tekanan kepada Jakarta untuk melepaskan Timor Timur.

Memang sewajarnya republik kecil itu dibantu oleh dunia, khususnya Barat kerana sememangnya mereka perlu bertanggungjawab.

Kekayaan minyak yang ada dan berpotensi boleh membantu tetapi tidak mencukupi kerana industri berintensifkan teknologi itu tidak memberi pekerjaan kepada rakyat. Australia dan dunia Barat mesti membantu dalam bentuk pembangunan yang sampai ke akar umbi bukan sekadar menambah pendapatan negara.

Bekas tentera Timor Timur yang diberhentikan telah melancarkan satu pemberontakan gerila menentang kerajaan Dili. Tetapi tindakan mereka hanya memburukkan keadaan.

Hakikatnya tidak ada negara kecil yang boleh hidup tanpa bantuan negara-negara besar. Di Asia Tenggara ada dua negara kecil yang lebih maju dan kaya berbanding jiran-jirannya iaitu Singapura dan Brunei.

Tetapi Singapura berjaya kerana bantuan dan sokongan negara-negara besar, pada mulanya Britain sebagai bekas penjajahnya, dan kemudian AS.

Singapura pernah diancam dengan komunisme pada tahun 60-an dan nyaris jatuh ke tangan Parti Komunis Malaya (PKM) melalui pilihan raya dan agitasi. Negara itu juga dibimbangi boleh menjadi Cuba di tengah-tengah Asia Tenggara. Adalah menjadi kepentingan Barat bagi memastikan Singapura berjaya dan mengelak daripada menjadi pangkalan komunis.

Maju

Caranya ialah dengan menggabungkan Singapura dengan Tanah Melayu dalam Malaysia. Begitu juga Brunei yang juga merupakan sebuah negara kecil dan kemenangan Parti Rakyat dalam pilihan raya pertama negara itu juga membimbangkan Barat.

Walaupun Singapura dan Brunei akhirnya berada di luar malaysia tetapi kuasa barat, AS dan Britain melakukan segala usaha untuk memastikan kedua-dua negara itu maju dan makmur bagi mengelak ketidakstabilan yang boleh mengundang ancaman komunis.

Dapat dibayangkan walaupun katakan Timor Leste keluar dari Indonesia dan perang dingin masih berterusan, maka AS dan Australia akan memastikan negara itu aman dan makmur bagi mengelakkannya daripada jatuh ke tangan komunis.

Tetapi kini ancaman komunis sudah tidak ada dan barat tidak begitu berminat untuk membantunya.

Jika kekacauan Timor Leste berterusan, maka ia menambah satu lagi kawasan konflik seperti mana apa yang berlaku di selatan Thailand dan selatan Filipina. Iaitu di samping konflik dalaman Indonesia seperti Acheh dan Papua Irian Jaya.

Rakyat Timor Leste sudah lama menderita, di bawah Portugal, Indonesia dan kini era merdeka. Bantuan mesti diberikan kerana ia tidak mampu berdiri sendiri.

Seperti juga banyak negara lain atau wilayah dalam sesebuah negara besar. Kemerdekaan tidak menjamin kemakmuran, ia masih bergantung pada ihsan masyarakat antarabangsa.

Read more!

Negara baru Montenegro

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 24 Mei 2006


Tidak lama lagi akan muncul sebuah lagi negara baru di dunia ini berikutan majoriti rakyat Montenegro memilih untuk keluar daripada persekutuan Serbia dan Montenegro.

Dalam pungutan suara yang keputusannya disahkan semalam, sebanyak 55.5 peratus mengundi untuk keluar daripada negara Serbia dan Montenegro yang merupakan sisa Yugoslavia.

Kesatuan Eropah (EU) telah menetapkan 55 peratus sebagai angka yang perlu dicapai oleh rakyat Montenegro untuk berpisah dari Serbia. Maka setelah habis proses ini, akan muncul negara baru di dunia bernama Montenegro.

Montenegro yang bermakna gunung hitam pernah menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat pada tahun 1918. Tetapi ia kemudian menjadi salah sebuah republik dalam Yugoslavia. Apabila Yugoslavia, yang nama rasminya Persekutuan Republik-Republik Sosialis Yugoslavia berpecah dengan Slovenia, Croatia, Macedonia dan BosniaHerzegovina mengisytiharkan kemerdekaan, Montenegro dan Serbia kekal dalam sebuah negara bernama Persekutuan Republik Yugoslavia pada tahun 1992.

Tahun 2003, ia ditukar nama menjadi Serbia dan Montenegro.

Apabila Montenegro keluar daripada persekutuan ini, maka Serbia akan muncul sebagai sebuah negara tanpa sebarang persekutuan dengan republik lain.

Maka sempurnalah pemecahan Yugoslavia yang bermula pada tahun 1991 apabila Presiden Broz Tito meninggal dunia dan Belgrade diperintah oleh nasionalis ekstrem Serbia, Slobodan Milosevic.

Bagaimanapun, bagi Serbia ia masih menghadapi cabaran pemisahan daripada salah sebuah wilayahnya, Kosovo yang menuntut untuk keluar daripada negara itu.

Kelahiran sebuah negara baru bukan semata-mata memiliki kerajaan yang merdeka, berdaulat dan berpemerintahan sendiri, malah ia memiliki idealisme, ciri-ciri, jati diri dan impian tertentu. Setiap negara mempunyai karakter tersendiri. Tidak kira sama ada ia besar atau kecil.

Sememangnya semua negara mahu menjadi aman, makmur, selesa, berjaya dan maju. Tetapi walaupun semua negara mempunyai cita-cita yang sama, tetapi ada perkara yang disebut sebagai budaya menjadikan setiap negara mempunyai karakter masing-masing.

Negara dikenali dengan bendera, lambang-lambang rasmi masing-masing tetapi ia terdiri daripada tiga komponen yang menentukan karakter tersendiri.

Pertama, manusia yang tinggal di dalamnya; kedua, alam yang membentuk sesebuah negara itu; dan ketiga ialah sejarahnya.

Sekali imbas, boleh dikatakan bahawa negara merupakan ekspresi penduduknya baik dalam aspirasi, cita-cita mahupun emosinya. Tetapi dalam bentuk lain pula, bukan itu saja, sesebuah negara juga menampung ekspresi alam sekitar yang membentuk negara berkenaan. Flora dan fauna serta bentuk geologi adalah kesemuanya merupakan sebahagian daripada sesebuah negara.

Boleh dikatakan konsep negara itu merupakan antara idea zaman moden yang berkesan supaya tamadun hari ini, yang bukan saja melibatkan manusia dapat diuruskan dengan baik.

Membentuk

Hampir kesemua manusia di dunia merupakan warganegara bagi negaranegara tertentu. Tetapi sesebuah negara bukan saja milik atau ditentukan oleh warganegara masing-masing. Di dalamnya juga tinggal ramai bukan warganegara, yang statusnya sama ada penduduk tetap atau pendatang haram.

Walaupun mereka bukan warganegara tetapi kehadiran mereka di sesebuah negara membentuk keadaan berkenaan.

Seperti di Malaysia, walaupun secara rasminya warganegara yang menentukannya, tetapi penduduk yang terdiri bukan saja pendatang dengan izin tetapi juga pendatang tanpa izin memainkan peranan dalam membentuk kedudukan ekonomi, sosial dan politik negara ini.

Malah konsep istilah penduduk itu sendiri tidak terhad pada manusia. Haiwan yang tinggal di dalam sesebuah negara juga wajar dianggap sebagai penduduk.

Pada zaman kesedaran terhadap alam sekitar dan haiwan yang diancam kepupusan, peranan penduduk bukan manusia ini bertambah penting. Malah setiap negara bangga dengan alam fauna dan flora masing-masing. Hampir semua negara pula mempunyai haiwan dan bunga kebangsaan masing-masing.

Negara juga seperti manusia, mereka tidak dapat hidup bersendirian. Negara tidak boleh terpencil dan pastinya mempunyai hubungan penting dengan negara-negara luar. Sebab itu dasar luar dan hubungan asing merupakan komponen penting dalam mana-mana negara.

Kalau dilihat pentadbiran Amerika Syarikat (AS) umpamanya, apa yang disebut sebagai jabatan negara atau States Department iaitu jabatan paling utama negara ialah yang berurusan dengan hal ehwal luar.

Maka kedutaan-kedutaan juga memainkan peranan penting bagi menunjukkan jati diri kewujudan sesebuah negara.

Negara-negara mempunyai perjanjian dan menyertai pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang kesemuanya mendefinisikan kedudukan negara berkenaan.

Seperti dalam halnya Republik Montenegro, pengiktirafan kedudukannya bergantung pada EU. Hanya dengan 55.5 peratus undi menyokong keluar dari Serbia dan Montenegro, ia sudah diiktiraf EU. Pengiktirafan negara asing juga perlu bagi membolehkan sesebuah negara wujud.

Sementara 44.5 peratus pengundi yang mahu negara mereka terus bersama Serbia terpaksa menerima kedudukan kemerdekaan Montenegro.

Dalam politik, baik nasional mahupun antarabangsa, ia ditentukan melalui suara majoriti dan kekuatan sesuatu pihak yang berasaskan pelbagai faktor termasuk ketenteraan.

Sejak tahun 1990, pertumbuhan negara-negara baru muncul dengan pesat ekoran kejatuhan komunis Soviet. Negara-negara bekas Soviet menyumbang jumlah negara paling banyak. Czechoslovakia berpecah kepada dua: Czech dan Slovakia. Begitu juga dengan keseluruhan Yugoslavia.

Kecuali negara-negara bekas Yugoslavia, secara keseluruhan, pertumbuhan negara-negara baru ini berjalan dengan demokratik. Bagaimanapun BosniaHerzegovina yang mengalami peperangan dahsyat hanya kerana mahu merdeka dari Yugoslavia.

Tetapi di negara-negara luar Eropah, hanya Timor Leste dapat mencapai kemerdekaan apabila Indonesia akur dan mengundurkan dirinya. Beberapa wilayah Indoensia iaitu Aceh dan Papua Irian Jaya gagal untuk memisahkan dirinya bagi membentuk sebuah negara baru. Begitu juga dengan Filipina Selatan.

Tetapi perang pemisahan yang lama dan dahsyat serta dijangka berterusan adalah Tamil Eelam di Sri Lanka dan Kashmir di India.

Namun begitu, perjuangan paling lama dan sukar adalah apa yang diusahakan oleh rakyat Palestin yang bercita-cita untuk muncul sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Montenegro mungkin mudah mencapai kemerdekaan kerana kesediaan Serbia dan di bawah pengiktirafan EU. Perkara yang sama juga berlaku terhadap Czechoslovakia. Tetapi Palestin masih jauh daripada impiannya untuk merdeka kerana sikap rejim Tel Aviv.

Sememangnya satu ironi, di satu pihak sesebuah negara itu merdeka, tetapi di satu pihak kemerdekaan dan kedaulatannya bergantung pada pengiktirafan kuasa-kuasa di luarnya, sama ada EU, AS ataupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun begitu, walaupun dengan memiliki pelbagai karakter, negara hanyalah satu konsep yang merupakan alat bagi memudahkan kehidupan manusia. Maknanya negara yang wajar berkhidmat untuk manusia dan bukan sebaliknya. Manusia menguruskan negara untuk kebaikan dirinya dan makhlukmakhluk lain yang tinggal di dalamnya.

Tetapi jika manusia dikorbankan untuk negara, maka ia mengandungi unsur-unsur penyelewengan daripada tujuan mula diciptakan konsep bernama negara.

Read more!

Bukan sebab Napoleon Kecil

Oleh: Datuk Muhammad Alias
Sumber: Utusan Malaysia 24 Mei 2006


TIBA-tiba sahaja perkataan Little Napoleon atau Napolean Kecil menghiasi dada-dada akhbar Malaysia.

Perdana Menteri dilaporkan mengingatkan pegawai-pegawai kerajaan supaya jangan berlagak seperti Napoleon Kecil. Menariknya, kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memilih Napoleon dan tidak pemimpin-pemimpin dunia lainnya. Hanya beliau sahaja yang tahu.

Tetapi mengikut sejarah Napoleon dari segi fizikal merupakan antara rakyat Perancis yang pendek dan kecil tubuh badannya. Namun beliau mempunyai kepakaran dalam ilmu ketenteraan. Bagaimanapun, keegoan dan nafsu ingin menjadi orang besar menyebabkan Perancis dan negara-negara yang ditakluknya punah.

Kepada saya Napoleon Kecil ini terdapat di mana-mana, di pelbagai lapisan masyarakat asalkan mereka mempunyai kuasa.

Kurang dari tiga tahun lalu, Abdullah menggunakan cogan kata “bekerja dengan saya” dan bukan “bekerja untuk saya”. Kenapa nada beliau tiba-tiba berubah. Mungkin Perdana Menteri tidak puas hati tentang banyak perkara sejak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan.

Lantaran itu ramai yang tertanya-tanya sama ada cogan kata “bekerja dengan saya” gagal mencapai matlamatnya.

Isu Napoleon Kecil ini juga mendapat perhatian beberapa orang kawan yang masih bertugas dan yang telah bersara. Ada yang mempertahankan penjawat awam dan ada juga bersetuju dengan Perdana Menteri.

Beberapa orang kawan meluahkan kekecewaan kerana sering diketepikan untuk kenaikan pangkat. Sedangkan ramai kawan-kawan yang sama kumpulan yang telah naik pangkat hingga ke peringkat JUSA.

Beberapa orang teman yang telah bersara pula menceritakan tentang nasib mereka selepas bersara. Layanan yang diterima amat menyedihkan. Seolah-olah mereka merupakan beban kepada masyarakat dan negara.

Apakah rungutan kawan-kawan yang tidak naik pangkat, yang tidak mendapat layanan sepatutnya berpunca dari tindakan Napoleon Kecil. Mungkin ia atau tidak.

Tetapi mungkinkah kelewatan-kelewatan dan kurang daya antara agensi kerajaan ada kaitan dengan beberapa peraturan lama yang dikira lapuk, tetapi masih digunakan lagi. Beberapa minggu lalu Perdana Menteri sendiri pernah menyentuh tentang isu peraturan-peraturan lapuk ini.

Banyak perkara yang boleh dikategorikan sebagai peraturan lapuk. Ketika kita mula memasuki era ICT dulu, kita sering diingatkan dengan e-kerajaan. Pentadbiran tanpa kertas. Segala-galanya pantas dan cepat. Tidak perlu lagi buang wang untuk kertas dan lain-lain.

Lantaran itu kerajaan memberi tumpuan kepada ICT. Ribuan pelajar diberi biasiswa di bidang tersebut oleh agensi-agensi kerajaan. Setiap kementerian mempunyai bahagian ICT sendiri dengan pegawai dan kakitangan cukup ramai. Hingga ada yang membuat empayar mereka sendiri.

Hasilnya, cuba layari laman web beberapa kementerian. Ada antara maklumat yang tidak dikemas kini berbulan-bulan lamanya.

Kelewatan

Beberapa tahun berselang. Rungutan-rungutan tentang kelewatan dan peraturan-peraturan lapuk seperti mana yang dikatakan oleh Perdana Menteri masih berlaku. Penggunaan kertas terus berleluasa. Malahan ada antara sesuatu aktiviti memerlukan penggunaan kertas (mengisi borang) yang cukup banyak.

Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti yang melibatkan pengisian borang yang semakin rumit dan memeningkan kepala. Bahasa dan istilah yang digunakan kadangkala terlalu sukar sehingga terpaksa diberi penjelasan lanjut (melibatkan kertas dan tenaga sia-sia). Apalah salahnya kalau digunakan bahasa yang mudah difahami.

Penggunaan bahasa yang sukar dan pelik ini semakin dirasai di sekolah-sekolah hari ini. Ada antara istilah sains, ekonomi dan terakhir sekali ICT yang dikira lebih mudah sekiranya menggunakan bahasa asal.

Apakah perkara seumpama ini juga disebabkan oleh Napoleon Kecil. Tetapi sebagai manusia biasa kita khususnya bila menjadi ketua cuba menunjuknunjuk kelebihan kita. Kita megah kalau orang lain tidak tahu apa yang kita maksudkan ataupun bila orang lain mengatakan kita bijak.

Lantaran itu tidak hairanlah kalau ada antara kita yang sentiasa cuba mereka-reka sesuatu yang kadangkala pelik dan menyusahkan orang lain semata-mata untuk menunjukkan kepandaian kita.

Bahasa adalah untuk dipraktikkan. Semasa di sekolah guru sering mengingatkan supaya menggunakan bahasa mudah supaya senang difahami oleh pembaca. Paling penting ketika menjawab soalan peperiksaan. Kalau pemeriksa pening kepala ketika membaca kertas jawapan, akibatnya nasib kurang baik.

Persoalannya kalau ada Napoleon Kecil mesti ada Napoleon Besar. Sayangnya Perdana Menteri tidak menyatakan dengan jelas. Mungkin beliau mahu rakyat yang semakin bijak ini memikirkannya.

Read more!

AS–Libya pulih hubungan

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 21 Mei 2006


ADA sekurang-kurangnya tiga makna daripada pemulihan hubungan diplomatik antara Amerika Syarikat (AS) dan Libya yang berlaku minggu lalu.

Pertama, mesej AS kepada Iran dan Korea Utara bahawa inilah nikmat yang akan diperoleh oleh mereka jika menurut jejak langkah Libya.

Kedua, Washington tidak berminat untuk menukar kerajaan, iaitu perubahan rejim berhubung dengan soal demokrasi. Apa yang penting bagi AS ialah terima permintaannya dalam soal hal-ehwal luar dan pertahanan. Ini sebenarnya yang penting.

Ketiga, penyusunan semula pola sekutu politik antarabangsa di Timur Tengah.

Banyak pihak melihat pemulihan hubungan diplomatik antara AS dan Libya menguntungkan kedua-dua pihak, iaitu Washington dan Tripoli. Bagi Presiden George W. Bush, penerimaan AS terhadap Libya bermakna negaranya menguatkan kedudukan diplomatiknya di Timur Tengah dengan menjadikan Tripoli sebagai negara sahabat. Hubungan diplomatik bermakna sahabat.

Di pihak Libya, Presiden Muammar Gaddafi mengambil kesempatan ini sebagai cara menyelamatkan rejimnya daripada terus ditekan oleh AS.

Dalam keadaan hubungan tegang antara AS dan Iran, Washington perlu mencari sahabat baru bagi mengukuhkan kedudukan diplomatiknya lebih-lebih lagi apabila Iran beroleh sokongan moral dari Rusia yang mana presidennya, Vladimir Putin terang-terang memberi amaran kepada Washington supaya tidak menyerang Teheran.

Kejayaan Washington mendapatkan Gaddafi sebagai sahabat perlu dilihat dalam konteks bahawa Libya adalah sebuah negara Arab, Islam dan Afrika. Ia menganggotai Liga Arab, Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan bagi Perpaduan Afrika (OAU).

Dalam hal ini, perlu dilihat betapa Presiden Iran, Mahmoud Ahmedinejad telah mengunjungi Malaysia dan Indonesia serta mendapat sokongan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang mencerminkan bahawa OIC dan NAM berada di pihak Teheran.

Jadi dari segi imbangan persaingan diplomatik, pemulihan hubungan AS-Libya meningkatkan tahap kedudukan Washington. Di pihak Libya pula, perkembangan ini memberikannya dua kelebihan.

Pertama, ia mengukuhkan kedudukan rejim Gaddafi yang berhadapan dengan tekanan dalam negara supaya berubah. Maknanya kalau beliau juga terpaksa berhadapan dengan tekanan dari AS dan Barat maka rejim itu berada dalam kedudukan yang lebih sukar.

Dalam negara, rejim Gaddafi berdepan dengan dua bentuk pembangkang. Pertama yang berasaskan fahaman fundamentalis Islam; dan kedua, aliran demokratik yang beranggapan rejim Gaddafi sudah terlalu lama dan perlu diubah untuk digantikan dengan pemerintahan yang demokratik serta boleh diterima dunia.

Selama ini, kedua-dua aliran ini mendapat dukungan dari Barat yang mahu menggulingkan Gaddafi. Tetapi pemulihan hubungan Tripoli-Washington akan menghentikan sokongan Barat kepada kedua-dua aliran ini. Mungkin aliran fundamentalisme Islam beralih kepada Iran untuk mendapatkan sokongan politik asing.

Bagi mendapatkan kedudukan ini, Gaddafi telah menerima tuntutan-tuntutan AS, antaranya menghentikan sebarang usaha membangun senjata pemusnah besar-besaran, WMD serta menamatkan sebarang kaitannya dengan apa yang Barat sifatkan sebagai keganasan, termasuklah memberi sokongan kepada perjuangan bersenjata Palestin.

Beliau juga menunjukkan kepada rakyatnya bahawa Libya boleh kembali kepada masyarakat antarabangsa pimpinan Barat dengan segala pemulihan kemudahan ekonomi global tanpa perlu mengubah amalan politik dalam negara.

Maknanya Libya tidak perlu demokratik dan Gaddafi tidak perlu diganti bagi negara itu menikmati kemajuan yang dapat diperoleh melalui aktiviti komersial yang disokong Barat.

Mesej ini juga yang boleh disampaikan oleh AS kepada Iran dan Korea Utara. Kedua-dua negara yang dianggap sebagai jahat oleh Washington tidak perlu berubah rejim atau mengamalkan demokrasi untuk diterima oleh Barat.

Mereka hanya perlu menghentikan sebarang program dan mematikan sebarang niat untuk membangunkan senjata WMD seperti nuklear. Selepas itu, negara-negara itu tidak akan dipencilkan dan mereka dapat menikmati kelebihan hubungan ekonomi yang menguntungkan.

Perlu diingat betapa kedudukan Libya sebelum ini pada kaca mata AS adalah lebih buruk daripada Iran dan Korea Utara. Melalui letupan bom yang mengakibatkan pesawat Pan America jatuh di atas Lockerbie di Britain, Libya telah secara langsung dianggap terlibat dengan keganasan.

Perkara ini tidak berlaku terhadap Iran walaupun negara itu merupakan penyokong kuat Hizbullah, Lebanon yang disifatkan oleh AS sebagai pengganas. Begitu juga dengan Korea Utara walaupun negara itu pernah terlibat dengan serangan ke atas pemimpin-pemimpin Korea Selatan di Burma beberapa dekad lalu.

Ideologi

AS sendiri pernah melancarkan serangan ke atas Libya. Begitu juga dengan Israel, sesuatu yang tidak dilakukan ke atas Iran, kecuali untuk usaha membebaskan tebusan AS yang gagal. Selepas Perang Korea, AS tidak pernah menyerang Korea Utara.

Dari segi ideologi, Libya telah mengubahnya dengan besar berbanding ketika mula-mula Gaddafi memegang kuasa.

Rejim Gaddafi amat radikal, lebih daripada Revolusi Islam Iran dan fahaman komunis Korea Utara.

Malah selepas Gaddafi merampas kuasa daripada Al-Malik Idris pada tahun 1969, ia mengutarakan sebuah gagasan nasionalisme radikal yang tidak ada tolok bandingnya di dunia. Nama rasmi Libya ialah Jamahariya Sosialis Rakyat Arab Libya yang dari segi konsepnya lebih radikal daripada Republik Islam Iran dan Republik Demokratik rakyat korea (DPRK) iaitu nama rasmi Korea Utara.

Jamahariya yang lebih kurang bermaksud republik dari segi teori adalah lebih radikal mana-mana bentuk negara yang pernah diwujudkan di dunia. Gaddafi bermaksudkan jamahariya sebagai melangkaui konsep republik rakyat yang diwujudkan di negara-negara komunis. Tetapi ini dari segi teori saja. Dari segi amalannya, ia merupakan rejim Gaddafi.

Ideologi jamahariya ini berasakan kepada sebuah buku dinamakan Buku Hijau mengandungi fahaman sosialisme dan demokrasi yang cuba disebarkan oleh Gaddafi sebagai perjuangan revolusinya. Revolusi Gaddafi bermaksud rampasan kuasa yang dilakukan terhadap Libya dan mengubahnya dari sebuah negara beraja kepada republik rakyat.

Pada asalnya, fahaman Gaddafi adalah berserta dengan nasionalisme radikal yang dibawa oleh Gamal Nasser. Sebagai golongan Nasseriyun, Gaddafi turut mengimpikan negara Arab besar yang bersatu dari Maghribi ke Yemen. Maka ia pernah berarak ke sempadan Mesir bagi mengisytiharkan penyatuan Libya dengan negara pimpinan Presiden Anwar Sadat itu.

Tentunya perkara itu tidak praktikal tetapi Libya menjadi salah sebuah negara Arab radikal didukung Soviet seperti Mesir, Iraq, Syria, Sudan dan Yemen Selatan pada tahun-tahun 70-an itu.

Bagaimanapun Gaddafi tidak puas hati dengan dunia Arab kiri pimpinan Kaherah lebih-lebih lagi apabila Sadat beralih arah dan menjadi pro-AS serta mengiktiraf Israel selepas Perang ramadan 1973.

Maka dilancarkan satu revolusi seperti revolusi kebudayaan dengan mengemukakan ideologi Buku Hijau. Menurut laporan, fahaman ini digubal oleh panel yang turut disertai oleh penasihat dari negara komunis Jerman Timur. Namun begitu Buku Hijau menggabungkan tiga ciri ideologi: nasionalisme Arab, sosialisme kiri dan Islam radikal.

Beliau menolak konsep negara bangsa dan diisytiharkannya sebagai jamahariya. Dibuangnya segala simbol pada bendera negara yang dijadikannya hanya warna hijau. Kedutaan Libya ditukar namanya kepada biro rakyat, termasuk di Malaysia. Juga ditubuhkan Pusat Kebudayaan Libya bagi memberikan kefahaman tentang pegangan ini.

Melihat bagaimana Gaddafi menggabungkan nasionalisme, Islam dan sosialisme mengingatkan banyak pemerhati terhadap gagasan Nasakom yang pernah diutarakan oleh Sukarno apabila beliau mencirikan ideologi negara sebagai gabungan nasionalisme, agama dan komunisme.

Pun begitu, Gaddafi telah memulakan gerakan fahaman politik Islam, beberapa tahun awal sebelum Revolusi Islam Iran.

Malah seminar politik antarabangsa yang dianjurkan beliau menjadi perintis kepada usaha menggagaskan politik Islam global. Umpamanya, Dr. Kalim Siddiqui yang mengasaskan Institut Muslim berpusat di London memulakan gagasan tentang politik Islam ketika membentangkan kertas kerja dalam seminar politik seumpama ini. Institut itu kemudian menjadi jurucakap fahaman Revolusi Islam Iran untuk dunia berbahasa Inggeris.

Dari segi dasar luarnya, fahaman Gaddafi membawanya menjadi penyokong aktif gerakan pembebasan golongan terpinggir dunia khususnya di kalangan orang Islam. Maka Libya menjadi penyokong aktif kepada perjuangan Moro di Filipina Selatan. Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) turut mempunyai markas di Tripoli apabila dihalau dari Beirut, Lebanon atas desakan Israel.

Gaddafi membantu minoriti Islam dunia melalui Liga Muslim Sedunia (WML).

Tetapi kegiatan Libya yang campur tangan secara ketenteraan di Chad, Mesir, Sudan serta kegiatan keganasan di Eropah menyebabkan AS membekukan asetnya pada tahun 1986. Libya dan AS bermusuhan lebih-lebih lagi selepas letupan kapal terbang Pan Am di Lockerbie pada tahun 1988.

Libya menunjukkan langkah untuk berbaik dengan Barat apabila ia menyerahkan pengebom Lockerbie pada tahun 1999. Ini diikuti dengan penyerahan senjata WMD yang sudah tidak boleh digunakan pada tahun 2003. Ini diikuti dengan pemberhentian pengiriman senjata kepada Tentera Pembebasan Ireland (IRA).

Ia kemudian menghantar militan Palestin, Abu Nidal ke Baghdad. Gaddafi pernah menyatakan bahawa Israel dan Palestin patut bergabung dalam sebuah negara bernama Isratin.

Itu dari segi dasar luar. Dalam negara, Gaddafi mula memperkenalkan pembaharuan yang bersifat membuka negara itu kepada perniagaan luar. Libya mula menggalakkan industri pelancongan dan juga mempelawa pelabur asing.

Pemulihan hubungan AS-Libya ini merupakan langkah akhir menunjukkan bahawa kini Gaddafi bersama dengan negara-negara Arab lain yang berada di pihak As.

Tetapi di satu pihak pula, apa yang disebut oleh Washington tentang perjuangannya untuk menukar rejim dan menggalakkan demokrasi tanpa syarat bukanlah realiti sebenarnya.

Mereka hanya mahu dasar luar yang tunduk pada AS dengan pasaran terbuka kepada kapitalisme global. Kalau rejim tidak bertukar pun tidak mengapa.

Dapat dibayangkan andai kata Saddam Hussein menurut kehendak Washington, maka Parti Baath hingga ke hari ini masih memerintah Iraq.

Model jelas adalah China. Negara itu bersahabat dengan AS dalam dasar luar dan membuka ekonominya tanpa memerlukan perubahan kepada kuasa politik Parti Komunis China. Korea Utara patut mengikut jejak China, dan lebih baik lagi ialah seperti Libya. Maka AS pun tidak akan mengganggu.

Maka inilah yang diharapkan terhadap Iran. Teheran boleh terus mengamalkan sistem republik Islamnya tanpa gangguan AS, asalkan dasar luar dan pertahanannya menurut kehendak Washington.

Read more!

Suasana memihak kepada Iran

KETIKA ini Iran dilihat sedang ditekan hebat oleh Amerika Syarikat (AS) dan Barat ekoran program nuklearnya yang dianggap mengancam keselamatan Asia Barat dan dunia.

Namun pada hakikatnya republik itu langsung tidak menunjukkan tanda-tanda akan berundur sebaliknya menyebabkan blok negara penentang terpaksa mengemukakan pelbagai syor setelah keputusan merujuk republik itu kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi sebarang sekatan atau tindakan ketenteraan ditolak dua negara kuasa besar, Rusia dan China.

Presiden Mahmoud Ahmedinejad terus mendapat sokongan pelbagai negara termasuk Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang mahu isu tersebut diselesaikan secara diplomatik dan tidak menghalang republik itu memajukan program nuklear untuk keamanan.

Bagi mendapatkan penjelasan lebih dekat mengenai isu tersebut wartawan Mingguan Malaysia, ZIN MAHMUD dan HELMI MOHD. FOAD menemu bual Ayatollah Mesbah Yazdi yang sedang dalam rangka kunjungannya ke negara ini.

Mesbah, 72, merupakan salah seorang anggota Majlis Pakar Kepimpinan iaitu badan yang bertanggungjawab melantik pemimpin tertinggi republik itu yang kini dipegang oleh Ayatollah Seyed Ali Khameini.

Mesbah juga dikatakan adalah tokoh yang berpengaruh ke atas Ahmedinejad termasuk dilaporkan menyatakan sokongan ke atas beliau ketika pilihan raya presiden tahun lalu.

Anak murid pengasas Revolusi Islam Iran, Ayatollah Khomeini itu kini merupakan tokoh penting pusat pengajian Islam di Iran iaitu Qom dengan berkhidmat sebagai Pengarah Institut Pendidikan dan Penyelidikan Imam Khomeini.

MINGGUAN: Program nuklear Iran amat dibimbangi oleh Amerika Syarikat (AS) dan Barat ekoran ancaman bahawa negara anda dikhuatiri akan membangunkan senjata nuklear. Kenapa senjata nuklear amat penting bagi Iran?

MESBAH: Pemimpin kami sejak dari zaman Ayatollah Imam Khomeini sampai sekarang, mereka menyatakan agama kami tidak membenarkan kami untuk membuat senjata yang boleh membunuh ramai orang.

Walaupun kami pernah berperang dengan Iraq (ketika di zaman Saddam Hussein) di mana berlakunya jenayah perang yang besar, kami tetap tidak akan bertindak untuk menghasilkan senjata nuklear.

Jadi ini bermaksud bahawa Iran tidak akan membina senjata nuklear dan proses pengayaan uranium adalah semata-mata untuk keamanan?

MESBAH: Seperti yang disebutkan tadi dan kami pada masa ini tidak mahu sesuatu yang tidak betul dan kami ingin gunakan tenaga nuklear bagi tujuan yang membawa ke arah kedamaian.

Tetapi Amerika Syarikat (AS) dan Barat tidak pernah percaya Iran akan menggunakan untuk keamanan.

MESBAH: Kuasa besar itu hanya buat-buat tidak percaya sedangkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan dengan kawalan rapi agensi tersebut terhadap program nuklear Iran, kalau sekiranya kami mempunyai maksud untuk membina senjata sudah pasti akan terbongkar.

Jadi apakah muslihat AS terhadap Iran berhubung isu nuklear Iran ini?

MESBAH: Mereka begitu sensitif terhadap Iran kerana republik kami berada di satu kawasan yang mana terdapatnya negara Israel dan setiap kekuatan yang Iran hasilkan ia akan memberikan mudarat dan kesan ke atas Israel. Tenaga atom juga dapat meninggikan kekuatan ekonomi dan politik Iran.

Kalau Iran menghentikan sahaja program nuklear, walaupun untuk keamanan adakah ini dapat mengelakkan konflik tersebut?

MESBAH: Kuasa besar tersebut tidak akan berundur daripada berusaha untuk menjadikan kami lemah, mereka tidak cukup setakat tahap tertentu. Kalau hari ini kami berundur di sini, esok mereka akan memaksa kami kepada sesuatu yang lain. Dalam tempoh perbincangan dalam tempoh tiga tahun perkara tersebut telah menjadi jelas.

Dalam keadaan sekarang ini bagaimana kedudukan hubungan Iran dengan Rusia dan negara-negara lain.

MESBAH: Sekarang hubungan kami dengan negara-negara Asia adalah lebih baik berbanding sebelum ini. Rusia dan China adalah negara Asia yang besar dan kami mempunyai hubungan baik dengan mereka. Tetapi yang lebih penting bagi kami ialah untuk memperkukuhkan lagi hubungan dengan negara-negara Islam.

Adakah Iran mendapat sokongan penuh dari negara tersebut dan isu konflik program nuklear?

MESBAH: Alhamdulillah dalam suasana antarabangsa sekarang, ia tidak memberikan sebarang kepentingan kepada negara tersebut (Rusia dan China) untuk menyatakan penentangan terhadap kami.

Bagaimana dengan sokongan negara-negara dan jiran Iran?

MESBAH: Saudara dapat melihat sokongan mereka hari demi hari kepada kami adalah lebih kuat setelah kemajuan dari segi sains dan teknologi di Iran.

Bagaimana peranan AS yang cuba menarik sokongan negara lain termasuk Rusia dan China daripada memberikan sokongan kepada Iran dalam isu ini?

MESBAH: AS berusaha secara maksimum untuk menarik pandangan Rusia dan China tetapi sebagaimana yang disebutkan tadi dalam keadaan suasana antarabangsa pada masa ini, kuasa besar itu tidak akan berjaya berbuat demikian.

Adakah peperangan mungkin berlaku?

MESBAH: Kemungkinan itu kita tidak boleh tolak tetapi kita kemungkinan berlakunya peperangan tidak begitu besar sehingga ia boleh dianggap suatu yang rasional. Tetapi dalam masa yang sama Iran tidak sekali-kali alpa dengan andaian itu dan mempunyai persediaan yang penuh untuk berhadapan dengan perkara tersebut.

Persediaan yang bagaimana?

MESBAH: Kita ada dua bentuk persediaan iaitu pertamanya, keseragaman (sokongan) menyeluruh daripada rakyat dan ia akan menjadi halangan bagi sesuatu kuasa yang kuat untuk memaksa peperangan ke atas kami.

Yang kedua adalah dari segi kemajuan ilmu sains dan teknologi serta kemajuan sistem pertahanan yang hari demi hari semakin baik.

Ada cadangan untuk memindahkan loji nuklear Iran ke Rusia untuk menamatkan konflik yang sedang berlaku sekarang.

MESBAH: Cadangan itu 100 peratus telah ditolak oleh Iran

Presiden Rusia, Vladimir Putin ada menyebut konflik yang berlaku sekarang boleh membuka semula perang dingin, jadi apa kedudukan Iran sekarang?

MESBAH: Ini adalah perkara yang disebut tadi dalam keadaan politik antarabangsa sekarang AS tidak dapat melakukan paksaan ke atas Iran.

Adakah AS dalam keadaan lemah atau Iran berada dalam kedudukan yang kuat?

MESBAH: Keseluruhan suasana politik itu dan ditambah pula keadaan rakyat mereka sendiri telah menyebabkan AS berada dalam keadaan yang lemah malah tahap populariti Presiden Bush juga hari demi hari berkurangan. Perbelanjaan perang AS di Iraq sudah membebankan rakyat mereka dan sekarang ini segala perbelanjaan tersebut ditanggung oleh rakyat melalui cukai yang mereka bayar.

Ahmedinejad baru-baru ini telah menghantar surat kepada Presiden Bush iaitu kali pertama oleh pemimpin Iran selepas 27 tahun. Ini mengulangi tindakan Imam Khomeini yang pernah menghantar surat kepada Kesatuan Soviet 17 tahun lalu dan selepas itu komunis di Soviet jatuh. Jadi adakah tindakan Ahmedinejad itu petanda AS juga akan jatuh?

MESBAH: Pada masa itu ketika di bawah Soviet, ia adalah satu kejatuhan yang diakibatkan kelemahan mereka sendiri tetapi sekarang ini kejatuhan AS adalah dari segi politik. Salah satu contoh pada hari ini terdapat negara-negara kecil yang pada masa dahulu tidak melakukan sesuatu tetapi pada hari ini secara rasmi dan sebagai sebuah negara yang merdeka mengumumkan penentangan mereka terhadap (dasar) AS.

-------------------
Sumber: Mingguan Malaysia 21 Mei 2006

Read more!

Usahawan perlu tumpu pada perniagaan teras

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 20 Mei 2006


Ketika melawat Pulau Pangkor Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan usahawan-usahawan bumiputera dalam bidang pertanian dan bioteknologi supaya mengukuhkan perniagaan teras sebelum memasuki bidang-bidang lain.

Beliau mengingatkan usahawan supaya tidak terlalu ghairah untuk memasuki bidang-bidang lain sebaik saja mendapat nikmat daripada keuntungan pertama mereka.

Nasihat beliau itu adalah benar dan saya pasti ia turut disetujui oleh ahli-ahli perniagaan yang matang dan berjaya. Maknanya, usahawan yang terlibat dalam pertanian apabila berjaya harus memperkembangkan dalam bidang yang sama, dan bukannya berhijrah ke bidang-bidang lain yang tidak berkaitan.

Bersikap fokus terhadap bidang teras sudah menjadi satu fahaman yang berkesan untuk berjaya dalam perniagaan. Sebuah buku perniagaan bertajuk Focus tulisan Al Ries, seorang ahli pemasaran memaparkan banyak contoh tentang kejayaan syarikat-syarikat Barat yang mengutamakan bidang teras mereka, berbanding dengan mereka yang menceburi pelbagai bidang hingga tidak dapat menumpukan kekuatan mereka.

Sememangnya pada tahun-tahun 80-an, terdapat fahaman di kalangan korporat bahawa mereka harus berkembang menjadi empayar dalam pelbagai bidang perniagaan bagi mewujudkan apa yang disebut sebagai sinergi. Fahaman ini juga dilakukan di Malaysia apabila syarikat-syarikat yang berjaya dalam sesuatu bidang turut memasuki bidang-bidang lain tetapi ternyata konsep ini membawa kepada kegagalan.

Akhirnya, setelah mengalami kerugian dalam pengembangannya ke lain-lain bidang di luar kemahirannya, syarikat ini kembali kepada terasnya dengan menjual atau melupuskan pegangan dalam syarikat di bidang-bidang lain.

Pada tahun 90-an dan alaf baru, fokus kepada teras menjadi fahaman yang sudah diterima.

Apa yang ingin saya tarik perhatian dalam soal ini ialah sikap usahawan dan ahli-ahli perniagaan Melayu yang tidaklah begitu berjaya berbanding dengan kaum-kaum lain.

Seringkali apabila menerima kad perniagaan mereka, kita dapat melihat bahawa peniaga bumiputera menceburi banyak perniagaan dan memegang banyak jawatan.

Kalau ahli perniagaan bumiputera ini memiliki syarikat besar, maka ia juga mempunyai anak-anak syarikat yang menceburi dalam pelbagai bidang selain daripada terasnya. Jika dia hanya merupakan ahli perniagaan kecil, mentaliti untuk membuat pelbagai perniagaan dapat juga dilihat. Sebagi contoh, apabila seorang penerbit buku bumiputera menghulurkan kad perniagaannya kepada saya, yang tertera di situ bukanlah beliau sebagai seorang penerbit buku semata-mata. Akan dapat dilihat beliau turut terlibat dalam percetakan, pengiklanan dan pelbagai lagi aktiviti, termasuklah insurans.

Kesimpulan daripada melihat bidang-bidang yang diceburi ini dapat disimpulkan bahawa ahli perniagaan ini tidak menumpukan perhatian kepada satu jenis perniagaan. Ia seolah-olah melakukan banyak jenis perniagaan tetapi kesemuanya tidak kuat atau kukuh. Peniaga ini seolah-olah melakukan perniagaan secara separuh masa kerana tidak benar-benar mahir dan memberi tumpuan pada satu-satu bidang.

Penyakit mahu melakukan banyak perkara dan tidak mahir dalam mana-mana bukan saja berada pada ahli perniagaan bumiputera yang besar dan sederhana tetapi juga di peringkat kedai-kedai peruncitan.

Umpamanya kalau kita pergi ke kedai buku bumiputera, ada antaranya bukan saja menjual buku atau alat tulis tetapi lain-lain barang yang berkaitan seperti ubat-ubat herba atau lain-lain perkhidmatan seperti insurans.

Akibatnya persoalan timbul, kedai ini menjual buku atau ubat?

Kita boleh percaya bahawa ahli perniagaan ini tidak mempunyai kekuatan sama ada dalam perniagaan menjual buku ataupun ubat. Ia kehilangan fokus dan perniagaannya tidak ke mana.

Maka dapat dilihat banyak usahawan dan ahli perniagaan bumiputera yang bersifat umum dan tidak cenderung untuk membuat pengkhususan hingga ia menjadi istimewa dalam sesuatu bidang.

Contoh-contoh ini dapat dilihat di banyak tempat khususnya di luar-luar bandar di mana dipercayai bahawa penceburan mereka dalam banyak bidang akan mendatangkan keuntungan, tetapi sebaliknya ia hanya menghalang tumpuan dan tidak mempertingkatkan kemahiran.

Umpamanya kedai komputer yang harus ditumpukan kepada menjual dan membaiki komputer diluaskan untuk memasuki bidang-bidang lain seperti membuka kafe siber dan malah ada lagi apabila ia juga dicampurkan dengan perniagaan telefon bimbit. Sememangnya apa jenis perniagaan akan mendatangkan keuntungan apabila ada pasaran tetapi ketiadaan tumpuan mendatangkan kelemahan kepada keseluruhan operasi.

Gejala ini boleh disebut sebagai “macam-macam hendak buat, tetapi akhirnya tidak ada apa yang dapat.''

Read more!

Menilai 11 September

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 11 September 2006


APABILA dua kapal terbang penumpang merempuh runtuh dua menara Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York pada 11 September 2001, ia bukan saja memusnahkan simbol ekonomi tamadun Barat dan imej kebal Amerika Syarikat, ia juga menusuk maruah umat Islam.

Orang Islam boleh membuat pelbagai analisis terhadap apa jua yang berkaitan dengan peristiwa 11 September dengan mengaitkannya pada kezaliman pihak Barat terhadap dunia khususnya umat Islam.

Dari sudut sejarah, peristiwa ini dikaitkan dengan Perang Salib dipanjangkan hingga kepada masalah Palestin, minyak dan sikap Barat yang menzalimi umat Islam di seluruh dunia.

Seperti mana manusia biasa, umat Islam juga pastinya cenderung untuk mempertahankan diri dan menyalahkan pihak lain. Seperti juga orang Barat dan Yahudi. Mereka juga mempertahankan sikap pihak sendiri dan menyalahkan umat Islam.

Sikap begitu dapat dijangkakan tetapi ia tidak dapat menyelesaikan masalah. Penyelesaian masalah hanya dapat dilakukan apabila mana-mana pihak berani melihat kesilapan dan kelemahan di pihak diri sendiri.

Justeru dalam memperingati peristiwa 11 September, sikap yang berani bagi umat Islam adalah untuk menilai dari sudut kelemahan dan kesilapan diri sendiri. Ini tidak bermakna pihak Barat itu betul.

Tetapi kaedah muhasabah ini mempunyai kelebihan dan mampu menjadi titik mula bagi cara fikir yang berbeza dan mungkin dapat merintis jalan lain bagi mencari penyelesaian masalah.

Melihat sejarah, dapat disenaraikan betapa umat Islam telah melakukan kesilapan demi kesilapan sejak pada zaman kemuncak pemerintahan Khalifah Uthmaniah di Istanbul, hinggalah kepada kejatuhannya, kegagalan mereka mempertahankan wilayah hingga Palestin terlepas ke tangan Britain.

Pihak Islam iaitu pemerintah-pemerintah Arab yang mempunyai kuasa di sekitar Asia Barat terus melakukan kesilapan demi kesilapan hinggalah Israel dapat diwujudkan dan menakluki Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis.

Ia tidak terhenti di situ, kesilapan umat Islam terus berlaku dalam pengurusan sumber minyak. Baik di Baghdad, Riyadh, Teheran atau kota-kota negara Teluk, pengurusan minyak mengakibatkan keadaan yang resah dan tidak seimbang di kalangan penduduk.

Bukan itu saja, kesilapan dan kelemahan kerajaan Islam di tempat lain juga akhirnya berkait dengan Asia Barat dan mendatangkan kesan yang tidak terbayang oleh manusia sejagat apabila berlaku peristiwa 11 September.

Kegagalan Raja Afghanistan, Zahir Shah dalam mempertahankan negaranya daripada penyusupan komunis berakhir dengan kacau-bilau yang dahsyat.

Maka akhirnya berlakulah jihad di Afghanistan. Tetapi setelah tumbang komunis, giliran pihak Mujahidin pula yang melakukan kesilapan.

Ia merintis kepada penguasaan oleh Taliban. Golongan ini yang dibantu oleh negara-negara asing juga melakukan kesilapan.

Gabungan kesilapan yang berlaku di Afghanistan, Pakistan, Arab Saudi dan negara-negara Islam yang lain akhirnya melahirkan rangkaian Al-Qaeda.

Kesilapan

Begitu juga dengan kesilapan besar Saddam Hussein. Daripada melancarkan perang ke atas Iran, menakluki Kuwait dan akhirnya membuka ruang bagi pencerobohan AS ke atas negaranya.

Kesemuanya itu membuka medan bagi percambahan rangkaian pengganas di negara yang malang itu.

Apakah kelemahan dan kesilapan umat Islam? Terdapat sebilangan besar umat Islam yang berpegang teguh pada agama memberi kesimpulan yang simplistik. Iaitu umat Islam tidak berpegang kepada ajaran Islam sebenar.

Kepercayaan ini membawa kepada penubuhan gerakan Islam yang disifatkan sebagai fundamentalis. Ia sampai kemuncak kepada penubuhan sistem pemerintahan seperti di Iran.

Tetapi cara ini juga tidak menyelesaikan masalah. Apabila disebut bahawa umat Islam perlu mengikuti ajaran Islam untuk kuat dan berjaya, maka bayangan yang timbul adalah pelaksanaan syariah, dalam erti kata undang-undang dan hukum-hakam.

Sedangkan ia tidak semudah itu. Pelaksanaan undang-undang dan hukum-hakam tidak menjamin kejayaan dan kekuatan. Ajaran Islam juga mempunyai teras yang lebih penting dan jelas, iaitu keadilan.

Pemerintahan yang adil pula bermaksud bukan dalam erti kata undang-undang tetapi soal pembelaan kepada rakyat, khususnya dari segi ekonomi dan kemudahan kehidupan seharian.

Cuba menilai setiap negara-negara Islam, pastinya soal keadilan sosial ini tidak benar-benar dapat ditangani dan diatasi.

Bukan mudah untuk mengatasinya kerana ia memerlukan kepimpinan yang cemerlang. Untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang berkesan pula, ia memerlukan proses atau institusi politik yang begitu demokratik hingga dapat memunculkan pemimpin terbaik melalui ambilan daripada bilangan warganegara yang luas.

Di sinilah timbul gerakan demokrasi dan masyarakat sivil atau madani bagi negara-negara Islam yang menjadi kepercayaan sebilangan umat Islam terdidik daripada ilmu pengetahuan berpunca Barat.

Bagi mereka, masalah umat Islam ini terletak pada kelemahan ilmu pengetahuan dalam erti kata yang luas.

Maknanya, kalaulah umat Islam mempunyai ilmu pengetahuan setanding dengan Barat, mungkin muncul masyarakat yang maju, makmur dan demokratik – iaitu seperti Barat.

Pandangan ini turut dipegang oleh banyak pemikir Barat. Mereka juga melihat betapa masyarakat Islam yang mundur dari segi ilmu pengetahuan membawa kepada kelemahan ekonomi dan kegagalan amalan demokratik.

Tetapi adakah jika umat Islam berpakat dengan kepimpinan yang cemerlang bangkit dan meraih ilmu pengetahuan akhirnya akan dapat mengatasi kelemahan dan kegagalan?

Melihat daripada perspektif peristiwa 11 September, terdapat kecenderungan memahami dunia dari sudut Barat lawan Islam.

Tetapi hakikatnya tidak demikian. Dunia termasuk umat Islam mesti melihat jauh melangkaui peristiwa 11 September.

Dunia Islam dan Barat adalah satu. Kemajuan dan kekuatan Barat berdiri di atas kelemahan umat Islam.

Tamadun Barat digerakkan oleh minyak dunia Islam. Untuk menguasainya, dunia Barat terpaksa mengetepikan nilai-nilai demokrasi dan kebebasan yang diamalkan di negara sendiri.

Umat Islam wajar membebaskan diri daripada peristiwa 11 September dan melihat tamadun Barat sebagai sebahagian daripada mereka.

Hanya dengan ilmu pengetahuan dalam erti kata yang luas, masyarakat Islam dapat melahirkan kepimpinan yang baik dan cemerlang. Dalam keadaan sekarang, ilmu itu perlu ditimba dari Barat.


Dengan memiliki kepandaian kepimpinan, pemerintahan dan pengurusan, barulah umat Islam kurang melakukan kesilapan. Maka segala punca masalah seperti Palestin dapat dihindarkan jika umat Islam memiliki kekuatan ilmu pengetahuan.
Read more!

Tiga dialek Melayu akan datang

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 18 Mei 2006


Kemungkinannya pada masa akan datang bahasa Melayu Malaysia mengalami evolusi dan akan muncul tiga bentuk dialek yang diterima umum.

Pertama, dialek rasmi; kedua, dialek rojak dan ketiga, dialek pesanan ringkas (SMS). Buat masa ini, bahasa rasmi yang digunakan oleh media arus perdana yang dianggap benar dan betul. Tetapi dalam amalan masyarakat, bahasa rojak sudah berleluasa hingga cerok-cerok luar bandar. Akibat perluasan bahasa Inggeris yang separuh masak, lebih-lebih lagi dengan semangat pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (EST), maka bahasa rojak Melayu-Inggeris bertambah rancak.

Buat masa ini bahasa rojak tidak diiktiraf secara rasmi tetapi dari segi percakapan harian, ia lebih luas digunakan berbanding bahasa rasmi.

Bahasa Melayu rasmi bagaimanapun masih dominan dalam bentuk penulisan dan media arus perdana, tetapi ciri-ciri kerojakan sudah menjalar masuk dan ia menimbulkan kebimbangan bagi pecinta-pecinta bahasa.

Jika asakan terhadap penggunaan bahasa rojak begitu kuat, akhirnya ia akan menjadi bahasa diiktiraf dan dominan. Sebaliknya bahasa rasmi menjadi terpencil dan digunakan hanya oleh golongan elit tertentu yang masih kuat mempertahankan ketulenannya.

Tetapi satu dialek sedang menjalar masuk, yang menjadi ancaman kepada kedua-dua bahasa rasmi dan rojak. Dialek SMS yang pada masa ini digunakan oleh anak-anak muda yang menggunakan SMS mengandungi ciri-ciri bahasa rojak. Malah boleh dikatakan bahawa ia merupakan serpihan kepada bahasa rojak Melayu-Inggeris.

Tetapi ia muncul dengan lebih berbeza daripada bahasa rojak itu sendiri kerana sifatnya yang menggunakan ejaan ringkas, bersimbol dan nada mudah, malah boleh dianggap ‘kurang ajar' bagi pengguna bahasa Melayu rasmi.

Sememangnya, pada mula ia merupakan ringkasan kepada ejaan bahasa rojak untuk digunakan dalam skrin telefon bimbit yang sempit. Tetapi ia kemudian berkembang ke dalam bentuk lisan dan muncul sebagai dialek Melayu tersendiri walaupun skrin paparan telefon bimbit sudah mampu menampung lebih banyak perkataan.

Lenggok dan langgam bahasa dialek ini juga amat berbeza dengan bahasa Melayu rasmi. Kalau hendak melihat bentuknya hari ini bacalah ruangan SMS yang ada pada televisyen dan juga majalah-majalah komik. Slanga anak muda pada hari ini juga menjadi ciri kepada dialek ini.

Mereka sudah tidak menggunakan perkataan ‘sangat’. Ia digantikan dengan ‘giler' dari perkataan gila, yang sudah membawa maksud lain daripada makna rasmi.

Maka suatu hari bahasa Melayu SMS ini akan menjadi dominan, malah mengatasi bahasa rojak yang masih menggunakan campuran penuh tata- bahasa Melayu-Inggeris. Bahasa Melayu SMS mempunyai tatabahasa tersendiri.

Apabila ini berlaku, bahasa Melayu rasmi yang dominan pada hari ini akan menjadi dialek klasik hanya digunakan oleh pencinta-pecintanya, seperti mana nasib bahasa Sanskrit dan Latin.

Read more!

Perang dingin baru bermula?

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 14 Mei 2006


SATU cadangan bagi menyelesaikan isu nuklear Iran ialah dengan meletakkan proses pengkayaan uranium negara itu di bumi Rusia. Maknanya, program nuklear Iran dibuat dalam wilayah Rusia, jadi ia berada di bawah pengawasan Moscow.

Teheran menunjukkan tanda setuju kerana ia tetap dapat meneruskan kehendaknya walaupun tidak berada di buminya. Di pihak lain pula, AS wajar menerimanya kerana proses itu berada dalam pengawasan Rusia.

Jika Washington boleh terima, maka krisis ini boleh berakhir. Tetapi adakah AS boleh terima kerana pada hakikatnya Iran dapat meneruskan programnya itu?

Apa yang berlaku antara AS, Rusia dan Iran amat kritikal kepada dunia. Rusia boleh menjadi orang tengah kepada konflik ini, malah ia boleh berkesan.

Tanpa penyelesaian, konflik ini akan mengheret dunia kepada keadaan yang tidak menentu dan menjadi penyebab kepada kenaikan harga minyak dunia.

Tetapi jika penyelesaian negatif yang berlaku iaitu peperangan, maka padah buruk akan menimpa dunia, bukan saja Iran tetapi juga AS.

Sejarah menunjukkan bahawa apabila tercetus peperangan, ia sukar hendak dihentikan dan terus menyusahkan dunia. Malah lebih mudah mengelak peperangan daripada berusaha untuk menghentikan setelah ia tercetus.

Perang di Iraq adalah contoh. Walaupun Saddam Hussein sudah kalah tetapi penderitaan, pembunuhan dan pertempuran terus berlangsung.

Apa yang berlaku di Iraq juga mendatangkan kesan kepada Iran. Dalam sejarah moden, Teheran bertembung dengan Baghdad. Bukan saja selepas tertubuhnya Republik Islam Iran. Sebelum itu, semasa zaman Shah Iran, ketegangan juga berlaku antara Teheran dan Baghdad.

Maka dari satu segi, pada masa ini berlaku ketegangan antara Teheran dengan Baghdad, dalam erti kata, Iraq sebagai negara yang berada di bawah pemerintahan AS.

Beberapa minggu lalu, penduduk Baghdad menyaksikan pembinaan kedutaan terbesar AS dunia di kota itu. Ia menunjukkan bukan saja AS mahu terus lama berada di Iraq tetapi juga kekuasaan sebenar di negara itu pada masa akan datang akan tetap pada Washington walaupun terdapat kerajaan demokratik di Baghdad.

Sememangnya Iran mampu menggunakan pengaruhnya di kalangan masyarakat Syiah di Iraq untuk memelihara kepentingan politiknya. Tetapi mereka tentu bimbang terhadap kehadiran AS di Iraq.

Di sinilah konteks krisis nuklear Iran. AS sudah bertambah kukuh di Asia Barat dan Iran mesti meningkatkan pertahanannya. Atau sekurang-kurangnya dapat menunjukkan sikap tegas terhadap sebarang niat hegemoni AS ke atas negara itu.

Tetapi pendirian ini digemari oleh Rusia. Secara tradisi sejarah, Rusia mesti hendakkan pengaruh ke atas Iran. Walaupun bukan menguasainya, tetapi Iran yang berkecuali dan tidak membenarkan kemasukan AS adalah sebahagian daripada kehendak geopolitik Iran sejak dari dulu.

Maka Moscow perlu berada di sebelah Iran. Sebab itu laporan-laporan yang menyatakan bahawa Rusia membantu program nuklear Iran yang dikeluarkan AS boleh disyaki benar.

Jika keadaan ini berlaku, maka mungkin konflik nuklear yang berlaku ini bukanlah antara AS dan Iran tetapi Washington dengan Moscow. Teheran hanya menjadi bidak dalam persaingan ini.

Di peringkat ini, apa yang ternyata Moscow tidak berhasrat untuk menguasai Iran. Yang menunjukkan tanda minat untuk menguasai Iran ialah AS.

Jika perang benar-benar berlaku di mana tentera AS memasuki Iran, maka senario yang dilihat ialah pencerobohan Washington seperti berlaku di Iraq.

Dalam sejarah moden, Iran tidak pernah dikuasai Rusia. Tetapi AS pernah berbuat demikian pada zaman Shah Iran. Bagaimanapun Iran mempunyai kepentingan nasionalnya sendiri dari segi mahu kemerdekaan dan kedaulatan. Sama ada mereka mahu melancarkan program nuklear, untuk keamanan atau peperangan, terpulang kepada mereka. Ini bukan soal tenaga atau senjata, tetapi hakikatnya ialah soal martabat dan maruah.

Iran mahu kemerdekaan penuh, tidak dikuasai oleh AS atau Rusia, walaupun kedua- duanya mempunyai keinginan strategik untuk mempengaruhnya.

Perjuangan nasionalisme moden pimpinan Ahmad Mossadegh pada tahun 50-an dahulu adalah di atas landasan kesedaran untuk merdeka.

Ketika itu, Iran yang dikenali sebagai Parsi baru keluar dari zaman feudal. Bagi Mossadegh yang mendapat sokongan rakyat melalui proses demokrasi, Iran perlu muncul sebagai negara merdeka, bebas dari Rusia mahupun British.

Dari segi ideologi sememangnya beliau mengambil aliran kiri kerana ia serasi dengan semangat nasionalisme berkecuali.

Tetapi di mana-mana negara pun dunia, nasibnya bergantung kepada kedudukan geografi. Geopolitik membentuk sejarah dan seterusnya menentukan masa depan negara.

Pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua, Iran menjadi rebutan antara Moscow yang mahu meluaskan pengaruhnya hingga ke Teluk Parsi dan Lautan Hindi, dan London yang menghalangnya.

Cita-cita Moscow zaman Czar diteruskan pada masa Soviet. Tetapi lepas Perang Dunia Kedua, peranan Britain digantikan dengan AS.

Maka Mossadegh hidup pada zaman nasionalisme kiri sedang muncul di negara-negara dunia ketiga. Mereka mahu kemerdekaan dan kedaulatan tetapi berkecuali bebas dari Washington dan Moscow. Mossadegh memiliki semangat sama dengan Gamal Nasser, Jawaharlal Nehru, Broz Tito dan Sukarno.

Tetapi bagi AS, apabila berkecuali bermakna pro-Moscow. Maka Mossadegh ditumbangkan dan digantikan dengan Shah Iran yang pro-AS. Hakikatnya ketika itu Washington sudah menguasai Teheran.

Moscow sudah kalah di Iran. Parti Komunis Iran, Tudeh yang pro-Moscow ditekan habis.

Pada tahun 70-an, bukan saja Iran dipengaruhi AS tetapi juga Pakistan. Kepungan ini menjadi faktor kepada kemasukan Soviet ke Afghanistan.

Terdapat banyak faktor yang mendorong kepada tercetusnya Revolusi Islam Iran tetapi sifat bangsa Parsi yang mahu merdeka perlu juga diambil kira.

Maka inilah sentimen yang ada pada Mahmoud, pendukung kuat Ayatollah Khomeini. Aliran kemerdekaan Mossadegh dan Khomeini dalam soal kemerdekaan negara adalah serupa. Bezanya Mossadegh berfahaman sekular kiri tetapi Khomeini berlandaskan agama Islam.

Tetapi kedua-duanya mencerminkan keadaan zaman masing-masing. Kalau pada zaman Mossadegh, beliau muncul bersama dengan kehadiran Nasser, Nehru dan Sukarno; Khomeini pula mencerminkan kebangkitan Islam yang ditandai di seluruh dunia Islam, dari Ikhwanul Muslimin di dunia Arab hingga ke dunia Melayu.

AS menggunakan kebangkitan ini untuk mengusir Soviet dari Afghanistan. Kekalahan Moscow ini boleh dikatakan sebagai turut menyumbangkan kepada kejatuhan komunisme.

Tetapi pada waktu yang sama, Afghanistan menyediakan satu ruang yang kemudian digunakan oleh kumpulan-kumpulan Islam yang menggunakan keganasan untuk menentang AS.

Kemunculan Taliban dan penglibatan Pakistan yang juga berkaitan dengan polisi di negara-negara Arab membawa kepada gejala keganasan bagi menentang AS.

Ketika Taliban yang dibantu Pakistan dan Arab Saudi menguasai Kabul, Mujahidin yang pernah dibantu AS menerima tekanan teruk hingga berundur ke sebelah utara negara itu.

Pemimpin Mujahidin, Ahmad Massoud pernah berkempen hingga ke Eropah dan mengingatkan AS bahawa jika Washington tidak menghalang Taliban, maka akhirnya ia akan memakan diri kuasa besar itu.

Massoud yang faham benar tentang ideologi Islam seleweng Taliban itu menjangkakan bahawa akan muncul pengganas yang menyalahgunakan Islam mengancam keselamatan AS sendiri.

Kesanggupan Al-Qaeda melancarkan serangan pengganas di luar kefahaman manusia telah diingatkan oleh Massoud lama sebelum berlaku peristiwa 11 September.

Tetapi AS tidak peduli, ia terus benarkan Pakistan dan Arab Saudi membantu Taliban. Sementara Massoud bersama kumpulan Mujahidin lain, dan bekas penyokong komunis mewujudkan Perikatan Utara. Kumpulan ini disokong oleh Rusia dan Iran yang faham tentang bahaya Taliban.

AS hanya masuk setelah peristiwa 11 September yang mengubah aturan politik dunia.

Bagaimanapun pertimbangan AS menjadi pelik apabila terdapat sentimen Islamofobia dengan menggolongkan semua gerakan politik Islam dengan fahaman Taliban dan Al- Qaeda.

Maka keganasan Al-Qaeda turut dikaitkan dengan Iraq Saddam Hussein dan Iran. Sedangkan Saddam dan Iran bercanggah dengan fahaman Taliban dan Al-Qaeda.

Semua kerajaan negara Islam di dunia menolak fahaman Taliban dan Al-Qaeda. Begitu juga dengan keseluruhan kumpulan Islam di dunia. Hanya segelintir kecil yang boleh dianggap sesat dan seleweng mendukung keganasan bunuh diri. Tetapi AS dan Barat tidak melihat dari sudut demikian. Akibatnya berlaku Islamofobia yang meluas. Maka pertimbangan sesat mendorong kepada peperangan di Iraq dan ancamannya terhadap Iran.

Perang ke atas Iraq juga mendorong persoalan betapa dasar unipolar AS mengancam kepentingan negara-negara lain. Maka Eropah pimpinan Perancis dan Jerman, berserta Rusia turut mempersoalkan kaedah AS.

Kini konflik nuklear di Iran membawa dimensi baru kepada kedudukan politik sejagat. Tekanan AS terhadap Iran dilihat di Moscow sebagai ancaman kepadanya.

Lebih-lebih lagi pada masa pemerintahan Vladimir Putin yang mempunyai pendekatan untuk mengembalikan kewibawaan Rusia sebagai kuasa besar.

Kedudukan Rusia sebagai kuasa besar tumbang semasa Soviet berpecah dan ia diteraju oleh Boris Yeltsin. Dari segi politik global, Rusia gagal mengekalkan kedudukannya sebagai pengimbang kepada AS. Ini terbukti dengan tindakan mudah AS untuk menyerang Iraq.

Tetapi pengaruh AS yang semakin kuat di negara-negara bekas Soviet di Asia Tengah, Caucasus dan Eropah Timur memencilkannya lagi. Sedangkan masalah Chechnya menyebabkan ia seolah-olah tidak bermaya.

Putin sedar tentang perkara ini dan sedikit demi sedikit perubahan dilakukan untuk mengembalikan kedudukan Rusia sebagai kuasa besar.

Cabaran untuk kembali kepada kedudukan itu amat besar. Kedudukan ekonominya yang masih lemah dengan masih terlalu bergantung kepada AS menjadikan Moscow tidak dapat keluar daripada kekangan kelemahan.

Berbanding dengan China, Rusia sudah ketinggalan. Tetapi Putin tetap berusaha. Suasana politik berhubung konflik nuklear Iran memberikan peluang baru dan cabaran bagi Moscow.

Segala faktor ini akan menyumbang kepada percaturan baru dalam politik Asia Barat dan dunia. Malah nada perang dingin mula disuarakan antara Moscow dan Washington.

Dalam keadaan begini, Iran boleh menjadi sahabat kepada Rusia. Untuk mengimbangi sebarang pengaruh baru Moscow, Iran perlu kukuhkan hubungan dengan negara-negara yang menentang hegemoni AS.

Baik di kalangan negara-negara Islam seperti Malaysia dan Indonesia mahupun negara-negara Amerika Latin yang condong untuk menentang AS.

Akhirnya dapat disaksikan bahawa perkembangan yang berlaku tidak akan terlepas daripada geografi sesebuah negara yang dikaitkan dengan sejarah politik masing-masing. Inilah geopolitik yang menentukan masa depan dunia.

Read more!

Jika UMNO tidak wujud

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 11 Mei 2006


APA agaknya terjadi pada Malaysia jika UMNO tidak ditubuhkan pada 11 Mei 1946? Jawapannya, besar kemungkinannya Malaysia tidak ada. Konsep Bumiputera juga tidak wujud. Malah Melayu mungkin mengecewakan Hang Tuah kerana bangsa ini hilang di dunia.

Jadi apa yang ada? Mungkin yang ada hari ini ialah Malayan Union tetapi bukan dalam bentuk gagasan ketika ia mula diutarakan penjajah British.

Malayan Union pada tahun 2006 mungkin merupakan sebuah negara merdeka yang menggabungkan Malayan Union 1946 dengan Singapura. Nama panggilan antarabangsanya ialah Malaya. Ibu negaranya bukan Kuala Lumpur, apatah lagi Putrajaya. Tetapi ia adalah Singapura. Bahasa kebangsaannya ialah Inggeris dengan bahasa-bahasa diiktiraf, Cina, Melayu dan Tamil.

Apa akan jadi dengan Sarawak dan Sabah? Kemungkinannya tanpa UMNO, Sarawak dan Sabah menjadi sebahgian daripada Indonesia sebagai propinsi Kalimantan Utara dan Sabah menjadi wilayah paling selatan Filipina.

Di satu pihak mungkin Malayan Union lebih maju daripada Malaysia tetapi orang Melayu jauh ketinggalan daripada kaum lain.

Malayan Union mungkin lebih maju kerana pemerintahannya tidak perlu membuat pertimbangan untuk berusaha meningkatkan tahap kedudukan ekonomi bumiputera.

Di satu pihak yang lain pula mungkin Malayan Union menjadi kacau-bilau akibat pergaduhan kaum akibat ketidakseimbangan taraf ekonomi antara kaum. Ataupun lebih teruk lagi, Malayan Union jatuh ke tangan komunis untuk menjadi Republik Rakyat Malaya.

Jika Malayan Union menjadi komunis, ia boleh menjadi kunci kepada kemenangan komunis bukan saja di Asia Tenggara tetapi juga seluruh dunia.

Bayangkan pada tahun 50-an jika Malayan Union menjadi komunis. Parti Komunis Indonesia (PKI) pula berjaya menguasai Jakarta, dengan kemenangan komunis Vietnam, maka teori domino menjadikan seluruh Asia Tenggara komunis.

Dengan laluan dagang tersekat antara Jepun dan Eropah, begitu juga Australia, maka dunia lebih mudah jatuh ke tangan komunis. Lebih-lebih lagi Soviet Union dapat bersatu dengan China yang mungkin dapat mengalahkan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah Barat. Keadaan dunia menjadi begitu berubah dan jauh berubah dengan keadaan pada hari ini.

Terlalu pahit untuk membayangkan apakah nasib orang Melayu di bawah pemerintahan komunis.

Jika komunis di Malaya menjadi seperti apa yang berlaku di China, maka hanya selepas pemerintahan Deng Xiaoping, barulah Malaya dapat menikmati kemajuan ekonomi seperti apa yang sedang berlaku di China hari ini.

Dalam senario lebih buruk, jika Parti Komunis Malaya (PKM) menjadi begitu zalim seperti Khmer Rouge di Kemboja, mala petaka besar pasti menimpa penduduk Malaya.

Tanpa UMNO, apakah parti orang Melayu di Malayan Union yang sudah menjadi minoriti kerana kehadiran Singapura di dalamnya? Yang wujud kemungkinannya adalah parti-parti yang tidak berasaskan mana-mana kaum, tetapi lebih kepada ideologi.

Melayu mungkin berpecah dua. Satu pihak akan menyebelahi aliran kanan, sementara satu lagi aliran kiri.

Read more!

Kukuhkan harapan damai Kashmir

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 7 Mei 2006


KETIKA petanda kegagalan dilihat di dua tempat konflik dunia iaitu di Palestin dan Sri Lanka, terdapat pula unsur-unsur harapan di Kashmir.

Ini kerana Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush Jumaat lalu menyatakan bahawa kerajaannya tidak akan mengadakan sebarang hubungan dengan Hamas, parti yang memerintah Palestin selagi pertubuhan itu tidak mengiktiraf Israel.

Ini bermakna tidak akan berlaku perundingan antara kerajaan Palestin dengan AS. Tanpa keadaan ini, maka sukar untuk mencapai perdamaian kerana rundingan mesti melibatkan bukan saja Palestin tetapi juga AS.

Sementara di Sri Lanka, rundingan antara kerajaan dengan pertubuhan pemisah Harimau Pembebasan bagi Tamil Eelam (LTTE) diumumkan telah gagal dan pertempuran bermula lagi.

Sebaliknya di Kashmir Rabu lalu, rundingan awal damai diadakan antara Perdana Menteri India, Manmohan Singh dengan gabungan kumpulan-kumpulan pemisah Kashmir dikenali sebagai Persidangan Semua Parti Huriyat (kebebasan) diketuai Mirawaz Umar Farooq.

Perkembangan selanjutnya, iaitu Jumaat lalu Mirawaz menyatakan hasrat untuk mengajak kumpulan-kumpulan militan pemisah Kashmir menyertai rundingan.

Ini merupakan perkembangan damai yang lebih baik dan maju jika pihak militan itu bersetuju menyertai rundingan berkenaan.

Terdapat banyak kumpulan militan yang berkeliaran di Kashmir dan pengeboman baru-baru ini disyaki dilakukan oleh mereka sebagai antara usaha untuk menggagalkan rundingan. Itulah tafsiran banyak pihak pemerhati, dan ada kalanya benar.

Tetapi menurut laporan, Manmohan tidak berganjak untuk terus berunding walaupun peristiwa pengeboman itu. Jika komitmen beliau jelas, maka jalan damai akan terus lancar.

Kashmir terbahagi dua. Di dalam pentadbiran Pakistan ialah Azad Kashmir (Kashmir Bebas). Ia diperintah oleh parti politik Kashmir yang pro-Pakistan dan mahukan keseluruhan wilayah itu berada dalam pentadbiran Islamabad.

Mereka membantu gerakan pemisah Kashmir yang beroperasi di wilayah Kashmir dalam pentadbiran India.

Wilayah Kashmir India bernama negara Jammu Kashmir, iaitu gabungan Jammu yang berpenduduk Hindu dan Kashmir berpenduduk Islam.

Kekuatan politik di Jammu Kashmir terbahagi pada dua. Satu adalah pihak yang mahu mengekalkan negeri itu di bawah New Delhi. Pihak ini menyertai pilihan raya India, menang dan mentadbir negeri itu dengan restu New Delhi.

Tetapi pilihan raya di Kashmir yang selalunya tercemar dengan kekerasan dan keganasan diboikot oleh rakyat yang mahu memisahkan diri daripada India.

Gerakan pemisah ini boleh dikatakan majoriti, tetapi ia terbahagi dua. Satu yang mahu mengambil cara damai iaitu politik dan rundingan. Satu lagi ialah kumpulan-kumpulan militan.

Dalam apa jua konflik walaupun persekitaran dan sosiobudaya berbeza, tetapi ada kalanya dapat dikesan terdapat corak dan pola serupa mengenai punca konflik dan cara penyelesaiannya.

Tetapi komitmen damai pihak terbabit mesti jelas, khususnya di kalangan pertubuhan yang mewakili arus perdana sederhana politik tempatan.

Sememangnya dalam apa jua konflik, akan muncul tiga arus. Pertama, arus perdana yang sederhana; kedua, arus pelampau yang vokal; dan ketiga arus lembut yang mengalah.

Arus kedua dan ketiga adalah kecil tetapi tetap memainkan peranan besar. Arus perdana merupakan pihak yang mendapat sokongan rakyat yang sentiasa cintakan perdamaian. Tetapi mereka tidaklah sevokal arus pelampau, dan tidak mengalah kepada prinsip hak mereka.

Apa yang disebut sebagai pelampau, ini termasuklah golongan militan yang ada antaranya menggunakan keganasan. Sementara arus mengalah adalah pihak yang menyertai kerajaan musuh untuk mendapatkan perdamaian.

Maka dalam hal Kashmir, golongan yang memihak kepada India dianggap sebagai arus mengalah. Sementara arus perdana sederhana adalah 24 parti yang bergabung dalam Persidangan Semua Parti Huriyat itu. Sedangkan arus pelampau adalah militan seperti Lashkar-e-Jihad dan banyak lagi pelbagai kumpulan.

Pun begitu, perlu diingat jika konflik ini berterusan begitu lama, arus ini akan berubah, yang pelampau jadi arus perdana; atau sebaliknya, yang mengalah juga boleh jadi arus perdana.

Ini berlaku dalam perjuangan Palestin. Arus perdana sederhana sebelum pilihan raya terbaru adalah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang memayungi pelbagai parti yang menerima pimpinan Al-Fatah. Sementara Hamas dan kumpulan seperti Jihadi Islam adalah arus pelampau.

Arus mengalah adalah mereka yang berada di Israel dan menyertai sistem politik di situ sebagai parti orang Arab.

Oleh kerana sudah terlalu lama dan tidak membuahkan hasil perjuangan, rakyat Palestin beralih dan memberi sokongan kepada Hamas. Maka Hamas menjadi arus perdana, walaupun sebagai parti pelampau.

AS memberi tekanan supaya Hamas menjadi arus perdana sederhana dengan mengiktiraf Israel. Terdapat cara lain bagi mengatasi masalah ini. Hamas tidak perlu berunding secara langsung dengan Israel dan AS. Mereka cukup menghantar Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dari PLO sebagai jurubicara Palestin.

Takrifan terhadap arus perdana, adalah pihak yang mendapat sokongan majoriti rakyat dan mereka akan muncul menjadi pemimpin sesuatu perjuangan dan berunding bagi pihak rakyat mereka.

Ada konflik yang tidak ada golongan pelampau. Begitu juga ada konflik yang tidak ada golongan mengalah.

Dalam apa-apa jua konflik, terdapat hubungannya dengan negara luar dan konteks sejarah yang jelas hingga dapat dikesan asal usul pertembungan itu.

Dalam hal Kashmir, asal usul konflik adalah jelas dan ia berkaitan dengan pemisahan India dan Pakistan. Maka penyelesaiannya juga tidak lari daripada kerajaan New Delhi dan Islamabad. Kedua-dua negara ini mesti komited terhadap perdamaian di Kashmir.

Penyelesaian masalah Kashmir juga bergantung kepada kerajaan yang memerintah New Delhi dan Islamabad. Kalau kedua-duanya dilihat sebagai arus perdana sederhana, komitmen mereka untuk mencari penyelesaian akan nyata.

Pada masa ini, Parti Kongres dengan Perdana Menteri Manmohan adalah pihak arus perdana sederhana yang mahukan perdamaian. Tetapi sebelum ini, parti yang memerintah India, Parti Janata Bharatia (BJP), adalah parti yang dianggap pelampau kerana di dalamnya terkandung aliran mahukan supaya Kashmir terus dipaksa berada dalam India.

Mereka yang pada mulanya ekstremis menjadi arus perdana atas pelbagai sebab. Tetapi ia menjadi arus perdana ekstremis, kemudian bergerak menjadi sederhana dan sebab itu pada satu ketika mereka yang memulakan daya usaha berunding dengan Pakistan.

Rintisan rundingan ini memudahkan kerajaan Parti Kongres untuk meneruskan proses damai.

Di pihak Pakistan pula, arus perdana sederhana terletak di pihak tentera, Liga Muslim dan Parti Rakyat Pakistan (PPP). Liga Muslim dan PPP pernah memerintah Pakistan dan mereka juga boleh merintis kepada rundingan dengan India.

Tetapi jika Jamaati Islami atau Jamaati Ulama yang tegas mahu berperang untuk mendapatkan Kashmir memerintah Pakistan, maka rundingan dengan India tidak akan dapat dilakukan. Mereka adalah arus pelampau yang kini di peringkat Parlimen menjadi arus perdana.

Bagaimanapun, apa yang berlaku sekarang, Presiden Pervez Musharraf dari pihak tentera mempunyai kuasa dan mewakili arus perdana sederhana. Maka Islamabad dapat berunding dengan New Delhi.

Pengaruh Islamabad dan kesediaan New Delhi membolehkan proses rundingan dengan Huriyat, yang merupakan arus perdana sederhana. Mereka mengajak golongan militan untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai arus perdana.

Jika tidak, golongan militan ini akan berusaha menggagalkannya. Maka gabungan antara kedua-dua pihak ini akhirnya menjadikan mereka arus perdana sederhana.

Perlu diingat mengapa muncul golongan militan dalam sesuatu perjuangan politik. Apa yang dimaksudkan militan ialah kumpulan yang menggunakan senjata bagi mencapai matlamat.

Di sini harus memahami perbezaan antara istilah fundamentalis, radikal, pelampau, ekstremis, militan, pengganas dan berani mati. Mereka kesemua membawa maksud berbeza.

Sering kali terdapat pihak melonggokkan kesemua kumpulan ini sekali.

Fundamentalis Islam adalah mereka yang memperjuangkan pelaksanaan syariat Islam seperti apa yang difahami menurut rumusan ulama silam secara turun-temurun. Mereka tidak semestinya radikal, pelampau atau militan.

Kalau mereka mahu perubahan secara tertib, kecil-kecilan dan tidak segera, mereka bukanlah radikal. Golongan radikal mahukan perubahan mendadak.

Pelampau dan ekstremis adalah serupa. Mereka berpendirian yang melampau daripada penerimaan kebanyakan orang. Kalau mereka menurut kehendak sederhana banyak orang, mereka bukanlah pelampau.

Istilah militan adalah lebih mudah. Sesiapa yang mengangkat senjata untuk perjuangan dianggap militan. Tetapi jika kumpulan yang mahu perubahan mendadak dan bersifat pelampau dengan menggunakan proses pilihan raya, mereka bukanlah militan.

Sementara itu, tidaklah semua militan itu pengganas. Jika kumpulan itu berperang dalam medan pertempuran dengan pihak tentera kerajaan, tetapi tidak menyerang orang awam, mereka adalah militan saja, tetapi bukan pengganas.

Teroris dan pengganas bermaksud sama dan mereka melakukan serangan di tempat awam dan membunuh serta mencederakan orang.

Tetapi tidak semua pengganas adalah berani mati. Pengganas berani mati merujuk kepada mereka yang menyerang dengan membunuh diri seperti yang dilakukan oleh golongan Al- Qaeda.

Di Kashmir, dalam kalangan golongan militan terdapat juga pengganas dan mereka yang berani mati. Munculnya gerakan berani mati dianggap sebagai hasil daripada keadaan yang terdesak.

Maka harapan Huriyat mengajak mereka turut dalam rundingan adalah untuk menghentikan sabotaj usaha damainya.

Persoalan di sini adakah mereka mahu menyertainya atau tidak? Jika mereka enggan, Huriyat tidak dapat memaksa dan ia akan menyukarkan lagi proses damai.

Tetapi komitmen India juga penting. Jika kumpulan militan berkeras untuk terus beroperasi, maka ia akan mengundang serangan oleh tentera India. Konflik ini akan kembali mendalam dengan rakyat menanggung kesusahan dan penderitaan. Militan akan membalas balik dan ia menjadi lingkaran syaitan. Bunuh dibalas bunuh.

Apa yang perlu ada ialah kebijaksanaan pemimpin organisasi terutama di kalangan arus perdana sederhana.

Mereka mesti aktif dan vokal serta komited mencari jalan keamanan. Dalam pada itu mereka mesti kuat dan popular di kalangan rakyat untuk mendapatkan sokongan dan meminggirkan kumpulan arus pelampau.

Pengimbangan ini perlu bagi kejayaan sesebuah bangsa. Jika tidak, yang susah dan menderita adalah rakyat. Di Kashmir kejayaan ini belum kelihatan, rakyat di situ sengsara sudah lebih 60 tahun.

Ia menandakan kegagalan pemimpin India, Pakistan dan Kashmir sendiri. Memang sukar untuk mendapatkan pemimpin yang boleh menyelesaikan konflik dan seterusnya memberikan kemakmuran kepada rakyat.

Read more!

Makna di sebalik Pramoedya

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 1 Mei 2006


PADA tahun-tahun 70-an, novel Pramodeya Ananta Toer, Keluarga Gerilya menjadi teks mata pelajaran Sastera bagi pelajar Malaysia.

Sudah tentu untuk beberapa generasi, sebilangan besar rakyat negara ini kenal pada Pramoedya.

Ketika itu, novelis itu sedang ditahan di Pulau Buru, sebuah pulau terpencil seperti mana ribuan rakyat Indonesia yang dikaitkan dan terkait dengan komunis. Pramoedya sudah tentu kena tahan dengan rejim Suharto. Bukan saja beliau merupakan pemuka dalam Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra), sebuah organisasi komunis tetapi juga fahamannya sememangnya kiri.

Keluarga Gerilya memaparkan kisah Revolusi Indonesia. Ia bukannya suatu novel komunis, tetapi merupakan kisah perjuangan nasionalis menuntut kemerdekaan.

Masakan novel komunis menjadi teks sekolah di Malaysia.

Tetapi Keluarga Gerilya seperti Pramoedya mengandungi mesej perjuangan kental membebaskan minda, diri dan bangsa. Ia menuntut bukan sekadar memindahkan pemerintahan politik dari Belanda kepada elit nasional di Indonesia.

Revolusi yang diungkapkan oleh Pramoedya dalam kisah-kisahnya adalah pembebasan manusia daripada kezaliman dan penindasan. Penjajahan bukan saja terhadap bangsa tetapi terhadap manusia oleh manusia yang lain.

Tulisan Pramoedya sememangnya tidak lepas daripada perjuangan hidupnya sendiri. Beliau mengarang novel di mindanya kerana dia dinafikan untuk memperoleh pen dan kertas.

Kisahnya semasa menjadi tahanan Pulau Buru sudah cukup mengagumkan. Bacalah Nyanyi Sepi Seorang Bisu.

Ia juga menunjukkan jasad boleh dipenjarakan oleh manusia yang berkuasa, tetapi seseorang itu memilih untuk memiliki minda bebas atau mengizinkannya dijajah.

Tulisan Pramoedya bukan saja merupakan hasil sastera, ia sarat dengan mesej politik. Perjuangan sebagai penulis dan politik berkait rapat yang memperkayakan antara satu sama lain.

Malah tulisan novel sejarahnya, Arus Balik turut memaparkan suatu revolusi Indonesia yang lebih awal lagi, iaitu ketika Jawa sedang berubah daripada menganut Hindu kepada Islam. Ia turut berisi dengan isu-isu kemanusiaan dan perjuangan pembebasan.

Selepas reformasi dan kejatuhan Suharto, barulah Pramoedya memperoleh nikmat kemerdekaan zahir. Buku-bukunya mendapat perhatian dunia dan mulalah beliau menikmati honorarium.

Namun begitu, beliau tetap mengkritik kerajaan-kerajaan Reformasi Indonesia, termasuk ada terhadap Presiden Abdurrahman Wahid.

Beliau menolak menyertai mana-mana parti besar tetapi sebaliknya memilih untuk menjadi anggota Parti Rakyat Demokratik (PRD), sebuah parti kiri kecil yang ketika itu dipimpin anak muda, Budiman Soedjatmiko.

Kehidupan Pramoedya menyerlahkan bagaimana perjuangan dan keyakinan boleh membentuk menjadi hasil karya sastera yang indah.

Read more!