Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Utusan Malaysia 28 Mei 2006
Kini giliran bagi mereka yang menentang kemerdekaan Timor Leste untuk menunjukkan bahawa pandangan mereka benar ekoran kekacauan di negara itu minggu lalu.
Ini kerana kekacauan yang melibatkan rusuhan akibat tindakan kerajaannya memberhentikan sebilangan tenteranya akibat tidak mampu membayar gaji telah memaksa Dili meminta bantuan luar termasuk Malaysia.
Persoalannya ialah di mana negara-negara Barat, khususnya Australia yang amat kuat memperjuangkan kemerdekaan Timor Leste daripada pendudukan Indonesia tetapi kini membiarkan negara itu dalam kancah yang menyayat hati?
Mungkin kalau Timor Leste masih merupakan salah sebuah wilayah Indonesia bernama Timor Timur, masalah kekurangan sumber untuk membiayai pentadbirannya tidak timbul. Sememangnya ketika negara ini menjadi salah sebuah wilayah Indonesia, Jakarta telah mencurahkan begitu banyak wang untuk pentadbiran dan pembangunannya, bukan saja untuk memenangi hati rakyat negara itu bahkan mengelak daripada dituduh menindas oleh dunia luar.
Malah kerajaan Presiden Suharto turut membina sebuah patung keagamaan di Dili sebagai menghormati kepercayaan rakyat wilayah itu.
Walaupun pemerintahan Suharto dianggap zalim kerana bukan saja menceroboh dan menakluki Timor Leste tetapi juga hingga menyebabkan terjadinya pembunuhan ramai, tetapi terdapat tanda-tanda azam politik bahawa Indonesia mahu memelihara wilayah itu sebaik ia mampu.
Malah selepas kejatuhan Suharto pun, jika Timor Leste terus berada dalam Indonesia, Jakarta akan memberi perhatian istimewa kepadanya lebih-lebih lagi dalam era Reformasi yang memberi kebebasan luas kepada wilayah seperti berlaku sekarang di bahagian-bahagian lain Indonesia.
Tetapi sejarah menyaksikan bahawa dunia lebih-lebih lagi dengan dorongan Barat, ditambah pula dengan kezaliman yang dilakukan oleh tentera Indonesia ke atas rakyat Timor Leste, maka rakyat wilayah itu memilih untuk merdeka.
Sememangnya sekali imbas sesiapapun boleh mengetahui bahawa Timor Leste sukar untuk hidup berdikari. Ia mesti dibantu. Justeru, pejuang-pejuang kemerdekaan Timor Leste dalam mewujudkan negara mereka mengharapkan bantuan dunia, khususnya negara-negara Barat yang beria-ia mahukan kemerdekaannya.
Negara paling besar bertanggungjawab membantunya pastinya ialah Australia. Tetapi Dili juga mahu mengimbangkan pengaruh Australia, dan oleh itu ia terus mengharapkan sokongan dan bantuan negara-negara ASEAN khususnya Indonesia, Malaysia dan Filipina.
Sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Katolik, Timor Leste seharusnya menjadi negara seagama dengan Filipina. Tetapi Indonesia, walaupun sebagai bekas negara yang pernah menaklukinya adalah sebuah negara jiran, dan lebih penting lagi merupakan serumpun dengan mereka. Bangsa Timor Leste adalah serumpun dengan penduduk Nusa Tenggara Timur (NTT), bahagian barat pulau Timor yang merupakan wilayah Indonesia.
Pulau Timor terbahagi kepada dua, iaitu Timor Barat dan Timor Timur. Timor Barat inilah yang menjadi wilayah Indonesia, NTT dan Timor Timur menjadi Timor Leste. Leste bermakna Timur dalam bahasa Portugis.
Dalam zaman penjajahan, wilayah ini dikenali sebagai Timor Portugis sementara Timor Barat ialah Timor Belanda.
Pulau Timor ini adalah sebahagian daripada Kepulauan Sunda Kecil yang juga terdiri daripada pulau Bali, Lombok, Sumbawa, Flores, Sumba, kepulauan Alor, pulau Barat Daya dan Tanimbar.
Kepulauan Sunda Besar pula merujuk kepada pulau-pulau Jawa, Sumatera dan Borneo (Kalimantan).
Keseluruhan Kepulauan Sunda, Sulawesi, Maluku dan Semenanjung Tanah Melayu termasuk Singapura adalah sebahagian daripada Gugusan Kepulauan Melayu atau Nusantara.
Selepas kemerdekaan Indonesia, Kepulauan Sunda Kecil ini dinamakan Nusa Tenggara yang bermakna negara di sebelah bahagian tenggara. Nusa Tenggara terbahagi kepada dua, Nusa Tenggara Barat (NTB) dan NTT. NTB terdiri daripada Lombok, Sumbawa dan beberapa pulau kecil. Bali adalah wilayah tersendiri.
Ekonomi
Sementara pulau-pulau yang lain terletak pada NTT, termasuklah pulau Timor. Nama Timor pada pulau itu adalah pertepatan kerana kedudukannya di bahagian paling timur di Gugusan Kepulauan Melayu.
Secara geografi manusia, sememangnya pulau Timor di kedua-dua bahagian, iaitu barat dan timur adalah sebahagian daripada Nusantara.
Kalaupun Timor Leste bukan sebahagian daripada Indonesia, ia merupakan salah sebuah negara dalam Nusantara dan Asia Tenggara; iaitu hampir kepada dunia Melayu dari Australia, yang merupakan negara Barat.
Namun apabila pemerintah kemerdekaannya memilih Leste sebagai nama negara itu, ia menegaskan hubungan budayanya dengan Portugis. Negara penjajah yang berada di beribu batu daripadanya telah memberikan jati diri kepada bangsa Timor Leste, yang berupa bahasa Portugis, agama Katolik dan budaya tamadunnya.
Di sinilah satu-satunya wilayah yang menjadi negara berjatidirikan Portugis walaupun negara penjajah itu tidak pernah memberi pembangunan dan kemajuan ekonomi, malah sebaliknya mengeksploit kekayaannya.
Di sebelah timur dunia, Timor Leste adalah seperti Goa, Melaka, Maluku dan Macau menjadi tanah-tanah jajahan Portugis yang mencorak geopolitik kurun ke-16 dan 17.
Tetapi kalau Goa kini menjadi sebahagian daripada India melalui penaklukan New Delhi ke atasnya; Melaka menjadi sebahagian daripada Malaysia melalui penjajahan Belanda dan Inggeris; Maluku menjadi sebahagian daripada Indonesia juga melalui penjajahan Belanda dan Macau kembali ke tangan China melalui perjanjian, maka sewajarnya dengan pertimbangan serumpun, Timor Leste wajar menjadi sebahagian daripada Indonesia.
Semasa penjajahan Portugis, muncul gerakan kemerdekaan pimpinan Xanana Gusmao melalui Persatuan Demokrasi Sosial Timor (ADT) yang kemudian menjadi Barisan Revolusi Kemerdekaan Timor Timur (Fretilin) yang muncul bersama dengan gerakan sosialis di Portugal ekoran kejatuhan rejim berbentuk Fasis di Lisbon pada tahun 1974.
Portugal dalam abad ke-20 mempunyai dua sisi politik iaitu kanan, Fasisime dan kiri, Sosialisme. Setelah memerintah secara kediktatoran rejim kanan tumbang dalam Revolusi Bunga Carnation tahun 1974 dan digantikan dengan tentera sayap kiri yang memulakan proses pendemokrasian dan pembebasan tanah jajahan.
Di sinilah Fretilin yang sudah beberapa lama menentang Portugal mengambil kesempatan untuk mengisytiharkan kemerdekaan 1975 untuk menubuhkan Republik Demokratik Timor Timur.
Republik Demokratik bermaksud negara Timor Timur ini adalah cenderung kepada kiri. Dengan menyedari bahawa Timor Timur tidak boleh berdikari dari segi ekonomi, kemungkinannya ia terpaksa bergantung kepada sokongan dari negara-negara komunis dan sosialis.
Jika aspirasi Gusmao tercapai, maka tiba-tiba muncul sebuah negara problok Soviet di Asia Tenggara. Kesatuan Soviet yang sedang bersaing dengan Amerika Syarikat (AS) dalam Perang Dingin pasti memberi bantuan kepada Timor Timur dan ia menjadi seperti Cuba, terpaksa bergantung pada Moscow dan Beijing.
Walaupun kecil dan tidak bersumber, Timor Timur adalah strategik dari segi ketenteraan dan boleh mengancam kedua-dua Indonesia dan Australia.
Bayangkan pada tahun 70-an di mana AS sedang bertarung hebat di Vietnam dan kebangkitan komunis berlaku di Thailand, Malaysia dan Filipina, maka Washington tidak akan membenarkan Timor Timur menjadi Cuba yang mengancam kepentingan dunia demokrasi.
Bagaimanapun kalau negara-negara demokrasi pimpinan sosialis yang bukan komunis di Eropah seperti Portugal, Sepanyol, Perancis, Itali dan Scandinavia dapat membantu Timor Timur ketika itu, mungkin kebimbangan Washington terhadap kemunculan negara prokomunis dapat dielakkan.
Tetapi komuniti sosialis Eropah lambat bergerak dan AS memberi restu kemasukan tentera Indonesia ke wilayah tersebut. Berlakulah pembunuhan ramai dan ia mendorong Fretilin berjuang untuk menentang penjajahan Indonesia, yang di bawah Suharto adalah pro-Washington.
Indonesia dapat membantu Timor Timur sebagai sebahagian daripada wilayahnya dengan sokongan material dari AS dan dunia Barat.
Tetapi apabila Perang Dingin sudah tamat dan rejim Suharto tumbang, maka Barat memberi tekanan kepada Jakarta untuk melepaskan Timor Timur.
Memang sewajarnya republik kecil itu dibantu oleh dunia, khususnya Barat kerana sememangnya mereka perlu bertanggungjawab.
Kekayaan minyak yang ada dan berpotensi boleh membantu tetapi tidak mencukupi kerana industri berintensifkan teknologi itu tidak memberi pekerjaan kepada rakyat. Australia dan dunia Barat mesti membantu dalam bentuk pembangunan yang sampai ke akar umbi bukan sekadar menambah pendapatan negara.
Bekas tentera Timor Timur yang diberhentikan telah melancarkan satu pemberontakan gerila menentang kerajaan Dili. Tetapi tindakan mereka hanya memburukkan keadaan.
Hakikatnya tidak ada negara kecil yang boleh hidup tanpa bantuan negara-negara besar. Di Asia Tenggara ada dua negara kecil yang lebih maju dan kaya berbanding jiran-jirannya iaitu Singapura dan Brunei.
Tetapi Singapura berjaya kerana bantuan dan sokongan negara-negara besar, pada mulanya Britain sebagai bekas penjajahnya, dan kemudian AS.
Singapura pernah diancam dengan komunisme pada tahun 60-an dan nyaris jatuh ke tangan Parti Komunis Malaya (PKM) melalui pilihan raya dan agitasi. Negara itu juga dibimbangi boleh menjadi Cuba di tengah-tengah Asia Tenggara. Adalah menjadi kepentingan Barat bagi memastikan Singapura berjaya dan mengelak daripada menjadi pangkalan komunis.
Maju
Caranya ialah dengan menggabungkan Singapura dengan Tanah Melayu dalam Malaysia. Begitu juga Brunei yang juga merupakan sebuah negara kecil dan kemenangan Parti Rakyat dalam pilihan raya pertama negara itu juga membimbangkan Barat.
Walaupun Singapura dan Brunei akhirnya berada di luar malaysia tetapi kuasa barat, AS dan Britain melakukan segala usaha untuk memastikan kedua-dua negara itu maju dan makmur bagi mengelak ketidakstabilan yang boleh mengundang ancaman komunis.
Dapat dibayangkan walaupun katakan Timor Leste keluar dari Indonesia dan perang dingin masih berterusan, maka AS dan Australia akan memastikan negara itu aman dan makmur bagi mengelakkannya daripada jatuh ke tangan komunis.
Tetapi kini ancaman komunis sudah tidak ada dan barat tidak begitu berminat untuk membantunya.
Jika kekacauan Timor Leste berterusan, maka ia menambah satu lagi kawasan konflik seperti mana apa yang berlaku di selatan Thailand dan selatan Filipina. Iaitu di samping konflik dalaman Indonesia seperti Acheh dan Papua Irian Jaya.
Rakyat Timor Leste sudah lama menderita, di bawah Portugal, Indonesia dan kini era merdeka. Bantuan mesti diberikan kerana ia tidak mampu berdiri sendiri.
Seperti juga banyak negara lain atau wilayah dalam sesebuah negara besar. Kemerdekaan tidak menjamin kemakmuran, ia masih bergantung pada ihsan masyarakat antarabangsa.