Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 11 Mei 2006
APA agaknya terjadi pada Malaysia jika UMNO tidak ditubuhkan pada 11 Mei 1946? Jawapannya, besar kemungkinannya Malaysia tidak ada. Konsep Bumiputera juga tidak wujud. Malah Melayu mungkin mengecewakan Hang Tuah kerana bangsa ini hilang di dunia.
Jadi apa yang ada? Mungkin yang ada hari ini ialah Malayan Union tetapi bukan dalam bentuk gagasan ketika ia mula diutarakan penjajah British.
Malayan Union pada tahun 2006 mungkin merupakan sebuah negara merdeka yang menggabungkan Malayan Union 1946 dengan Singapura. Nama panggilan antarabangsanya ialah Malaya. Ibu negaranya bukan Kuala Lumpur, apatah lagi Putrajaya. Tetapi ia adalah Singapura. Bahasa kebangsaannya ialah Inggeris dengan bahasa-bahasa diiktiraf, Cina, Melayu dan Tamil.
Apa akan jadi dengan Sarawak dan Sabah? Kemungkinannya tanpa UMNO, Sarawak dan Sabah menjadi sebahgian daripada Indonesia sebagai propinsi Kalimantan Utara dan Sabah menjadi wilayah paling selatan Filipina.
Di satu pihak mungkin Malayan Union lebih maju daripada Malaysia tetapi orang Melayu jauh ketinggalan daripada kaum lain.
Malayan Union mungkin lebih maju kerana pemerintahannya tidak perlu membuat pertimbangan untuk berusaha meningkatkan tahap kedudukan ekonomi bumiputera.
Di satu pihak yang lain pula mungkin Malayan Union menjadi kacau-bilau akibat pergaduhan kaum akibat ketidakseimbangan taraf ekonomi antara kaum. Ataupun lebih teruk lagi, Malayan Union jatuh ke tangan komunis untuk menjadi Republik Rakyat Malaya.
Jika Malayan Union menjadi komunis, ia boleh menjadi kunci kepada kemenangan komunis bukan saja di Asia Tenggara tetapi juga seluruh dunia.
Bayangkan pada tahun 50-an jika Malayan Union menjadi komunis. Parti Komunis Indonesia (PKI) pula berjaya menguasai Jakarta, dengan kemenangan komunis Vietnam, maka teori domino menjadikan seluruh Asia Tenggara komunis.
Dengan laluan dagang tersekat antara Jepun dan Eropah, begitu juga Australia, maka dunia lebih mudah jatuh ke tangan komunis. Lebih-lebih lagi Soviet Union dapat bersatu dengan China yang mungkin dapat mengalahkan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah Barat. Keadaan dunia menjadi begitu berubah dan jauh berubah dengan keadaan pada hari ini.
Terlalu pahit untuk membayangkan apakah nasib orang Melayu di bawah pemerintahan komunis.
Jika komunis di Malaya menjadi seperti apa yang berlaku di China, maka hanya selepas pemerintahan Deng Xiaoping, barulah Malaya dapat menikmati kemajuan ekonomi seperti apa yang sedang berlaku di China hari ini.
Dalam senario lebih buruk, jika Parti Komunis Malaya (PKM) menjadi begitu zalim seperti Khmer Rouge di Kemboja, mala petaka besar pasti menimpa penduduk Malaya.
Tanpa UMNO, apakah parti orang Melayu di Malayan Union yang sudah menjadi minoriti kerana kehadiran Singapura di dalamnya? Yang wujud kemungkinannya adalah parti-parti yang tidak berasaskan mana-mana kaum, tetapi lebih kepada ideologi.
Melayu mungkin berpecah dua. Satu pihak akan menyebelahi aliran kanan, sementara satu lagi aliran kiri.