Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 4 November 2006
BENAR seperti kata Ketua Penyelaras Pusat Sumber Pemindahan Organ Kebangsaan (NRTC) Hospital Kuala Lumpur, Dr. Lela Yasmin Mansor bahawa orang ramai tidak selesa membincangkan isu yang melibatkan kematian, justeru menimbulkan salah faham mengenai pendermaan organ.
Maka kesannya orang ramai takut hendak menderma ginjal hingga menyebabkan banyak pesakit buah pinggang tidak dapat diselamatkan.
Tetapi bayangkan senario di sebaliknya. Jika orang ramai selesa untuk membincangkan tentang kematian secara terbuka, maka kefahaman mengenai pendermaan organ akan lebih meluas dan mendalam. Akibatnya pula, orang ramai akan lebih bersedia untuk menderma organ khususnya ginjal mereka.
Hasilnya, lebih banyak pesakit buah pinggang akan terselamat dan dapat menyambung hidup lebih lama lagi. Walaupun sememangnya pada akhirnya, manusia akan semuanya mati.
Kemampuan manusia memindahkan ginjal kepada pesakit buah pinggang dan selanjutnya menyelamatkan nyawa merupakan hasil daripada penemuan dan pemahaman dalam bidang sains perubatan dan teknologi.
Sebelum munculnya kepandaian ini, pesakit buah pinggang tidak mempunyai pilihan lain untuk selamat dan terpaksa menerima kematian akibat penyakit itu.
Tetapi sebelum munculnya sains perubatan dan teknologi, manusia sudah lama mengenal agama. Selamat untuk dinyatakan bahawa sejak wujudnya manusia, maka agama sudah bersama mereka, walaupun dalam apa jua bentuk, primitif ataupun berfalsafah.
Begitu juga dengan kematian. Sejak muncul manusia, pastinya mereka sedar tentang kematian. Misteri kematian cuba dijelaskan dalam pelbagai cara, sama ada mitos atau legenda, tetapi akhirnya agama yang menjelaskan mengenai kematian dengan selesa.
Malah kematian dan pemahaman agama adalah sehubungan. Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa agama wujud untuk menjelaskan kematian.
Apa saja ajaran agama mengenai kehidupan adalah akhirnya untuk menempatkan kedudukan manusia semasa kematiannya.
Maka Islam juga membincangkan mengenai kematian secara luas dan mendalam. Kematian sudah tidak menjadi misteri dalam Islam. Ia dijelaskan hingga menyebabkan isu kematian selesa untuk dibincangkan dan difahami.
Mengenai pemindahan dan pendermaan organ, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah banyak membincangkan perkara ini dan menggalakkan umat Islam menderma organ.
Langkah menderma organ bukan saja dibolehkan tetapi juga digalakkan sebagai suatu amalan kebajikan yang mendatangkan pahala kepada pendermanya.
Dalam perbincangan di kalangan ahli-ahli agama atau golongan terpelajar, pada hemat saya, ia dilakukan dengan selesa dan umumnya orang Islam dapat menerima tentang kebaikan dan keperluan menderma organ.
Terdedah
Ketidakselesaan timbul apabila sampai kepada hendak melakukannya di kalangan orang ramai yang sudah tentu tidak banyak terdedah kepada perbincangan mengenainya.
Ada pihak mencadangkan supaya ceramah-ceramah dan khutbah menghebahkan mesej pendermaan organ ke tengah-tengah masyarakat supaya orang ramai akhirnya dapat menerima hakikat ini dan lebih penting lagi bertindak untuk menderma organ.
Tetapi saya percaya perbincangan, ceramah dan khutbah tidak mencukupi dan kurang berkesan. Langkah menderma organ memerlukan contoh praktikal dan lebih ketara lagi ialah keperluan satu gerakan menggalakkan pendermaan organ.
Cuba lihat bagaimana program derma darah. Di satu segi, gerakan kesedaran bagi menderma darah sudah mencapai kejayaan dengan orang ramai tidak berasa bermasalah untuk menderma darah.
Pada awalnya, galakan bagi menderma darah juga sukar untuk mencapai kejayaan. Tetapi setelah bertahun-tahun gerakan ini berjalan, maka akhirnya ia mencapai keadaan yang ada sekarang.
Itu pun pada masa-masa tertentu, di sesetengah kalangan, derma darah ini turut menjadi satu fobia.
Apatah lagi dengan menderma organ yang melibatkan soal kematian dan jenazah.
Kalau dulu dengan darah ditimbulkan soal darah bercampur. Sama ada haram atau halal. Kalau makanan dianggap jadi darah daging, maka dibimbangi pencampuran darah. Tetapi kini sains menunjukkan bahawa darah hanyalah sel-sel merah dan putih yang boleh dicampur serta tidak berkaitan dengan soal etika.
Kebaikan terletak pada menyelamatkan manusia. Soal makanan haram dan halal adalah bersifat agama dan etika, ia tidak berkait dengan percampuran darah. Sebaliknya membiarkan manusia sakit atau mati kerana keengganan menderma darah adalah satu keburukan dan dosa.
Begitu juga dengan pemindahan dan pendermaan organ. Hujah bahawa memindah organ merupakan menyeksa mayat tidak kena pada tempatnya.
Jenazah mesti dihormati kerana ia merupakan maruah manusia. Merosakkan mayat merupakan perbuatan yang tidak beretika dan tentunya dilarang Islam.
Tetapi memindahkan organ sebagai derma bukanlah merosakkan mayat. Ia merupakan satu kebaikan kerana ia menyelamatkan manusia yang lain. Kebaikan ini jelas.
Sedangkan apabila jenazah itu dikebumikan, pastinya jasad itu akan hancur dimamah oleh ulat, bakteria dan segala makhluk dalam tanah yang mahu mengambil semua bahan-bahan dalam tubuh manusia. Begitu juga dengan organ manusia seperti ginjal.
Sedangkan daripada menyerahkan organ itu kepada makhluk-makhluk tanah itu, adalah suatu kebaikan jika ia dapat terus hidup untuk dipindahkan kepada manusia yang memerlukannya.