Menjadikan keperibadian Rasulullah s.a.w. contoh bagi abad ke-21

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 31 Mac 2007


Hari ini umat Islam di seluruh dunia menyambut Maulidur Rasul dan sewajarnya kita berhenti sejenak dalam kesibukan hidup abad ke-21 ini untuk memperingati Rasulullah s.a.w., keperibadian dan ajarannya.

Perkara ini penting kerana kehidupan abad ke-21 khususnya di kalangan umat Islam di Malaysia dipenuhi dengan pelbagai tarikan kepada minda hingga melalaikan seseorang terhadap hakikat kewujudan mereka di muka bumi ini.

Dua unsur utama yang paling kuat menjadi tarikan abad ke-21 ini ialah budaya hiburan dan kebendaan. Budaya hiburan yang ditandai oleh media elektronik dengan kegilaan terhadap program televisyen realiti mendominasi masyarakat Islam di negara ini. Untuk menyokong budaya itu pula ia memerlukan dokongan nilai-nilai kebendaan yang antara ikon-ikonnya ialah televisyen, telefon bimbit, sistem pesanan ringkas (sms), talian prabayar, kad kredit dan segala apa yang didorong oleh industri pengiklanan.

Dalam suasana budaya hiburan dan kebendaan yang memukau ini, maka sewajarnya hari-hari kebesaran Islam yang utama seperti Awal Muharam, Maulidur Rasul, bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Aidil-adha menjadi tanda-tanda peringatan bagi umat Islam tentang siapakah mereka.

Maka Maulidur Rasul ini menjadi istimewa kerana peringatan ini adalah kepada seorang manusia unggul untuk dijadikan contoh abadi bagi umat Islam. Sewajarnya hari ini sekurang-kurangnya kita memikirkan sejenak mengenai keperibadian Rasulullah s.a.w.

Secara tradisinya umat Islam di negara ini akan mengadakan majlis-majlis berzanji bagi memuji-muji Baginda dan mengadakan majlis-majlis syarahan untuk mendengar riwayat kehidupannya. Tetapi dalam zaman maklumat dan sudah lebih banyak orang terpelajar di kalangan umat Islam hari ini, sewajarnya kita tidak lagi hanya sekadar mendengar syarahan ataupun berzanji.

Apa yang perlu dilakukan pada satu hari ini ialah berusaha untuk berfikir mengenai Rasulullah s.a.w., kalaupun tidak dapat mengadakan majlis-majlis perbincangan mengenai Baginda, sekurangnya kita membaca buku-buku mengenai Rasulullah s.a.w.

Kalau zaman-zaman dahulu mungkin kita hanya membaca sirah yang serupa setiap tahun, tapi kali ini, ada baiknya kita membaca kajian-kajian segar yang lebih mencabar minda mengenai Rasulullah s.a.w. yang ditulis oleh ulama dan ahli-ahli akademik. Kalau tidak pun, layarilah internet sepanjang hari ini untuk melihat apa yang orang tulis mengenai Rasulullah s.a.w.

Maka dalam internet, juga daripada buku-buku yang pernah diterbitkan, manusia ini boleh dibahagi kepada tiga. Di satu pihak ialah golongan yang mencintai Rasulullah s.a.w., moga-moga kita adalah sebahagian daripadanya.

Kedua, golongan yang membenci Rasulullah s.a.w. Golongan ini banyak terdapat di Eropah dan Amerika yang menulis, melukis kartun dan bercakap bukan saja memfitnah Nabi tetapi juga menghina Baginda. Antara mereka adalah bekas orang Islam sendiri. Berdoalah agar kita tidak tergolong dalam kumpulan ini. Golongan ketiga ialah mereka yang tidak peduli terhadap Rasulullah s.a.w., sama ada kerana kejahilan atau, saja tidak berminat.

Bagaimanakah kita hendak mencintai Rasulullah s.a.w. kalau kita tidak berusaha mengenal Baginda. Tidak semestinya oleh kerana kita beragama Islam, secara automatik kita akan mengenal dan menyayangi Rasulullah s.a.w.

Sudah tentu ia memerlukan usaha dan perhatian. Dengan pengetahuan, barulah kita dapat menangkis segala tohmahan yang dilemparkan oleh golongan yang membenci Nabi.

Dalam banyak-banyak buku, ada sebuah buku kecil dan tipis yang menarik mengenai Rasulullah s.a.w. Ia berupa novelet. Tajuknya ialah Bilik-Bilik Muhammad oleh A.R. Baswedan, seorang pejuang kemerdekaan Indonesia terbitan sekitar tahun 1940-an. Buku ini ditulis dengan mengambil hadis-hadis sebagai landasannya.

Walaupun buku ini ditulis pada awal abad ke-20 ketika dunia Islam sedang berjuang menuntut kemerdekaan daripada penjajah, ia membawa dua lapis mesej. Pertama, ia berlandaskan pada hadis yang dirawikan secara turun-temurun sejak zaman Rasulullah s.a.w. Dan nilai yang dibawa terus relevan walaupun dalam abad ke-21 ini.

Hadis-hadis yang dijadikan sandaran adalah banyak diketahui umum, tetapi bagaimana seseorang mengolahkannya balik untuk dijadikan kisah pengajaran menjadi kelebihan penulis ini.

Dengan cara yang baik, buku ini berjaya memaparkan kemanusiaan Rasulullah s.a.w.

Cara bagaimana Baginda menguruskan keluarganya dan dari situ terpancar sifat mulianya yang wajar menjadi ikutan. Kesabaran, keadilan dan persaudaraan yang ditunjukkan dalam hubungannya sesama manusia.

Kulit buku bagi terbitan tahun 1980-an memaparkan gambaran pelukis tentang bagaimana bentuk rumah Rasulullah s.a.w. yang bersebelahan dengan masjid.

Di sinilah ciri utama kehidupan Rasulullah s.a.w., iaitu kesederhanaan Baginda. Bilik-biliknya yang ada hanya untuk memenuhi keperluan hidupnya.

Walaupun kehidupan zaman Baginda jauh berbeza daripada masa Khalifah Umaiyah dan Khalifah Abasiah yang memiliki istana gilang-gemilang apatah lagi dengan bangunan-bangunan besar dimiliki umat Islam hari ini, tetapi ciri kesederhanaan wajar dicontohi oleh umat Islam abad ke-21.

Bukanlah wajar umat Islam perlu hidup susah ala kadar dan menyisihkan harta benda mereka. Harta benda perlu sebagai modal untuk kekuatan ilmu dan politik. Umat Islam pun bila dibandingkan dengan orang bukan Islam masih jauh ketinggalan dengan kemiskinan dan kejahilan.

Tetapi ajaran Rasulullah s.a.w. yang ditunjukkan dengan cara hidupnya adalah bukan bermewah-mewah. Di kalangan sahabat, terdapat banyak Muslimin berharta seperti Sayidina Usman, Tetapi itu tidak bermakna Rasulullah s.a.w. mahu umatnya bermewah-mewah, angkuh dengan kekayaan dan berbudaya kebendaan.

Read more!

Iktibar kekejaman Barat

Oleh: Muhammad Alias
Sumber: Utusan Malaysia 28 Mac 2007


Pada 25 Mac lalu, Ghana merayakan ulang tahun ke-200 penghapusan perdagangan hamba abdi. Perdagangan manusia yang dianggap tersangat kejam dalam sejarah tamadun manusia berakhir pada 23 Mac 1807.

Tahun itu Britain yang memonopoli perdagangan hamba abdi melarang kemasukan hamba abdi Afrika ke negara tersebut.

Bagaimanapun, Britain hanya mengharamkan hamba abdi pada tahun 1833. Sementara perdagangan hamba abdi diteruskan oleh beberapa pihak lain.

Majlis ulang tahun pengharaman hamba abdi berlangsung di Elmina, Ghana dianggap amat signifikan. Elmina sebuah bandar kecil di pesisiran pantai negara itu merupakan lokasi bermulanya perdagangan hamba abdi secara sistematik dan besar-besaran.

Di bandar inilah Portugis yang merupakan pengasas pedagang hamba abdi kalangan negara-negara Eropah membina sebuah pos perniagaan hamba abdi trans atlantik yang pertama dan kekal pada tahun 1492.

Tahanan

Pos tersebut yang dikenali sebagai Elmina Castle merupakan tempat pemprosesan dan tahanan hamba abdi sebelum dihantar ke Eropah dan benua Amerika selama 450 tahun. Bangunan tersergam berwarna putih, dua tingkat siap dengan gereja dan pejabat serta kediaman gabenor jeneral.

Sementara bilik-bilik kurungan lelaki dan perempuan, bilik seksaan, dan pintu kecil mengarah ke laut yang dikenali the door of no return terletak di bahagian bawah bangunan. Itulah pintu akhir bagi hamba abdi sebelum berjalan bagi satu jarak kira-kira 50 ela ke kapal-kapal yang akan membawa mereka ke Eropah atau ke benua Amerika.

Elmina Castle merupakan satu struktur batu bata yang sangat kukuh terletak di atas bukit kecil. Ia merupakan satu lokasi yang amat strategik baik dari segi mempertahankan diri dari serangan atau mengawal hamba abdi dari melarikan diri.

Selain daripada laut, pos tersebut juga disediakan dengan terusan. Peluang melarikan diri adalah amat nipis.

Penulis pernah beberapa kali melawat Elmina Castle. Ia merupakan tempat pertama dilawati sebaik sahaja tiba di Ghana untuk memulakan tugas.

Ketika mengunjungi Elmina Castle perasaan sedih tidak dapat dibendung. Bilik kurungan yang hanya layak untuk seratus orang penuh sesak dengan hamba abdi. Akibatnya hamba abdi termasuk kanak-kanak kecil hanya boleh tidur sambil duduk. Mereka tidak dibenarkan keluar dari kurungan kecuali untuk mandi sekali sekala dan perjalanan terakhir sebelum memasuki kapal.

Hingga hari ini perigi yang digunakan 450 tahun lalu masih wujud dan boleh digunakan.

Buang air besar dan kecil serta makan semuanya dilakukan di dalam bilik kurungan. Bilik yang sempit dan dicampur dengan udara panas dan bau najis manusia menyebabkan ramai yang diserang penyakit. Jumlah sebenar yang mati di dalam castle tersebut tidaklah diketahui.

Cerita-cerita mengenai castle ini amat memilukan. Hamba abdi perempuan menjadi bahan untuk pihak berkuasa memuaskan nafsu. Mereka boleh memilih sesiapa saja yang mereka suka. Tidak ada yang berani membantah.

Kalau diamati the door of no return pertanyaan timbul bagaimanakah orangorang Afrika yang berbadan besar dapat meluluskan diri melalui pintu yang hanya muat untuk seorang. Apatah lagi ketika melalui pintu ini kaki dan tangan mereka dirantai. Ini membuktikan bahawa tubuh mereka menjadi begitu kurus.

Elmina Castle merupa satu testimoni kepada kekejaman manusia khususnya orang-orang Barat yang mengaku lebih tinggi tamadunnya daripada orang-orang berkulit warna.

Sejarah Elmina Castle banyak dipengaruhi perkembangan politik di kalangan negara-negara Eropah. Selepas Portugis, Belanda mengambil castle tersebut dan akhir sekali Britain. Paling penting bermulalah penjajahan Britain di Ghana.

Sepanjang 450 tahun dianggarkan seramai 11 hingga 60 juta orang hamba abdi dihantar ke Eropah dan benua Amerika. Jumlah sebenar masih menjadi perdebatan. Ini tidak termasuk antara 9 hingga 14 juta hamba abdi dari Afrika Timur yang dihantar ke negara-negara Arab oleh pedagang-pedagang Arab dan Afrika.

Beberapa buah negara Eropah terlibat di dalam perdagangan hamba abdi. Bagaimanapun, Britain, Portugis, Belanda, Sepanyol dan Perancis memainkan peranan yang cukup besar.

Sepanyol merupakan kuasa Barat yang pertama membawa hamba abdi ke benua Amerika iaitu pada tahun 1503. Sementara Britain mendominasikan perniagaan ini buat satu jangka masa yang lama selepas Sepanyol dan Belanda.

Selain dari Elmina terdapat satu lagi pos perniagaan hamba abdi di Senegal. Namun Elmina memainkan peranan yang cukup besar.

Hamba-hamba abdi ini ditawan dengan kerjasama orang-orang Afrika sendiri. Mereka bukan sahaja terdiri daripada orang-orang Ghana bahkan dari negara-negara lain di Afrika Barat seperti Mali, Burkina Fasso, Ivory Coast, Niger dan beberapa buah negara lain.

Hamba-hamba abdi ini terdiri daripada penduduk yang berfahaman animisme dan penduduk Islam. Ketika kuasa-kuasa Eropah tiba di Afrika Barat dan bermulanya perniagaan hamba abdi Islam telah pun berkembang di beberapa buah negara seperti Senegal, Burkina Fasso, Mali dan Niger.

Bagaimanapun, hamba-hamba abdi telah dipaksa menukar nama mengikut nama tuan-tuan mereka selain daripada dipaksa memeluk agama Kristian. Tidak hairanlah sejak beberapa tahun lalu ramai orang-orang Afrika-Amerika yang memeluk Islam menganggap mereka sebagai revert to Islam.

Ramai hamba-hamba abdi yang mati. Antaranya dalam perjalanan darat ke Elmina, ketika ditahan di Elmina Castle, dalam kapal ke Eropah dan benua Amerika dan ketika bekerja di ladang-ladang. Ini tidak termasuk yang dibunuh kerana menentang tuan-tuan mereka.

Banyak implikasi buruk terhadap benua Afrika ekoran dari perniagaan hamba abdi. Penduduk Afrika dikatakan beku buat beberapa ketika. Selain daripada kehilangan rakyatnya yang terbaik. Hamba abdi banyak mempengaruhi psikologi orang-orang Afrika.

Sebaliknya hamba abdi menjadikan negara-negara Eropah dan benua Amerika kaya-raya melalui tenaga buruh percuma.

Perdana Menteri Britain, Tony Blair meluahkan rasa kesal di atas kekejaman yang dilakukan terhadap orang Afrika. Bagaimanapun, beliau enggan memohon maaf terbuka. Mungkin bimbang akan implikasinya khususnya dalam soal pampasan.

Namun beberapa pemimpin Afrika mengakui kekejaman yang dilakukan adalah terlalu besar. Tiada jumlah wang yang boleh menebus kekejaman tersebut.

Read more!

Khutbah pegang raifal tidak wajar

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 28 Mac 2007


Islam adalah agama perdamaian, dan bukannya peperangan. Islam adalah agama nasihat-menasihati, dan bukannya paksaan secara kekerasan.

Jihad paling utama ialah usaha perang melawan nafsu.

Peperangan hanya dilakukan untuk mempertahankan diri dan menuntut hak serta menebus maruah. Itu pun peraturan bagi peperangan amat ketat.

Dalam Islam, tidak ada pengganas, apatah lagi pengebom bunuh diri. Tidak ada senjata pemusnah besar-besaran (WMD), apatah lagi senjata nuklear.

Tetapi apa yang dilakukan oleh segelintir kumpulan Islam mencemarkan nama Islam. Islam dipaparkan sebagai agama pengganas, kekerasan dan peperangan. Jihad menjadi simbol keganasan paling besar. Maka Barat dengan mudah mengambil kesempatan dengan tindak-tanduk umat Islam sendiri untuk menunjukkan keganasan Islam.

Ada sesetengah kalangan intelektual Barat aktif memaparkan bahawa al-Quran adalah kitab keganasan, peperangan dan kekerasan. Mereka menyemai fahaman kebencian terhadap Islam, Islamofobia.

Justeru, dalam zaman di mana Islam dipaparkan demikian, adakah saranan supaya pegawai polis membaca khutbah dengan memegang raifal M-16 akan membantu Islam?

Raifal M-16 dibawa ke dalam masjid sudah cukup untuk dipaparkan kepada dunia bahawa Islam adalah agama kekerasan. Sedangkan orang Islam tidak mencipta raifal. Orang Baratlah yang menghasilkan pelbagai senjata, daripada raifal hingga ke bom nuklear. Merekalah yang ganas. Bukannya umat Islam.

Memang benar Rasulullah s.a.w. dan kemudian khalifah-khalifah memegang pedang semasa berkhutbah. Pedang itu simbol kekuasaan pada zaman itu. Ia bukan tanda kekerasan. Seperti di kalangan pembesar Melayu pada zaman dahulu yang memegang keris sebagai simbol kekuasaan.

Tetapi raifal adalah jauh lebih berbahaya dan ganas daripada pedang atau keris.

Zaman kemudian berubah dan khalifah mengarahkan supaya khatib-khatib tidak lagi memegang pedang semasa membaca khutbah. Atas sebab-sebab tertentu pada zaman itu, mungkin bagi menegah salah guna senjata itu, pedang digantikan dengan tongkat.

Tongkat walaupun hanya kayu tetapi sudah cukup menjadi simbol kekuasaan khatib di masjid.

Setelah beratus-ratus tahun keadaan ini berlaku, maka Revolusi Islam Iran pada tahun 1979 menyaksikan di mana ulama di sana memegang raifal semasa berkhutbah. Mungkin sesuai mereka berbuat demikian kerana ketika revolusi, simbol kekuasaan itu hendak ditegaskan sebagai telah beralih daripada istana Syah Iran kepada ulama.

Tetapi pada zaman dalam keadaan umat Islam diserang Islamofobia di seluruh dunia hari ini, dengan media global mempunyai pengaruh besar, kenyataan ahli politik Islam menggalakkan pegawai polis membaca khutbah memegang raifal hanya akan memburukkan lagi imej agama dan ummah.

Read more!

Semangat guru luar bandar tahun 50-an

Oleh: DATUK MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 26 Mac 2007


DAKWAAN keengganan guru-guru mengajar di luar bandar agak mengejutkan. Ini adalah kerana situasi di luar bandar dewasa ini amat berbeza dengan luar bandar tahun 50-an.

Lima puluh tahun lalu luar bandar disinonimkan dengan pelita minyak tanah, perigi dan kelambu. Sementara jalan raya seolah-olah tidak wujud. Yang ada cuma jalan tanah merah berlopak, berdebu dan ditakungi air di musim hujan.

Sementara basikal merupakan pengangkutan utama termasuk guru-guru.

Begitulah pemandangan sebahagian besar kampung-kampung di Perak Utara tahun 50-an termasuk kampung saya sendiri. Sekolah Melayu hanya setakat darjah 5. Menariknya guru besar saya, merupakan salah seorang guru ketika ibu saya bersekolah.

Guru-guru pula semuanya datang dari luar. Hinggalah ke hari ini. Sejajar dengan pembangunan negara kampung saya kini telah mempunyai sebuah sekolah menengah, balai polis dan pusat kesihatan. Perkhidmatan bas ke bandar berhampiran setiap setengah jam. Perkhidmatan teksi boleh didapati dengan mudah.

Penduduk tidak lagi menggunakan minyak tanah kerana sudah ada elektrik. Tidak lagi mandi air telaga kerana sudah ada air paip.

Namun kampung tersebut masih tetap kampung. Masih kawasan luar bandar. Masih ada guru-guru yang enggan tinggal di kampung tersebut. Sanggup berulang-alik dari bandar berdekatan. Mungkin ramai yang tidak mahu bertugas di kampung tanpa paksaan.

Keadaan amat berlainan ketika saya bersekolah dulu. Meskipun guru-guru semuanya orang luar, mereka datang membawa anak isteri. Tinggal sampai berpuluh tahun.

Rumah mereka sama taraf dengan orang kampung. Mandi air telaga atau sungai. Malam-malam pasang lampu minyak tanah dan tidur dalam kelambu kerana takutkan nyamuk malaria.

Namun mereka tidak bersungut. Tidak minta tukar. Sebaliknya menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab. Kalau tidak, sudah tentu beberapa kanak-kanak yang bernasib baik tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.

Kekurangan

Mungkin dimaksudkan luar bandar di abad ke-21 ini ialah penempatan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Tetapi apalah bezanya kampung-kampung ini dengan kampung-kampung di Persekutuan Tanah Melayu tahun 50-an. Kalaulah guru-guru di zaman itu sanggup menghadapi keadaan yang serba kekurangan kenapa tidak sekarang. Sebenarnya anggota angkatan tentera lebih awal dihantar bertugas di Sabah dan Sarawak dalam serba kekurangan.

Mungkin ramai guru-guru tidak bersetuju dengan kata dua Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar.

Ketika bertugas di sebuah negara Afrika Barat beberapa tahun lalu, setiap tahun beratus-ratus orang sukarelawan Jepun terdiri daripada doktor, guru, jururawat dan jurutera datang bertugas sebagai sukarelawan selama 2-3 tahun. Mereka ditugaskan di kawasan-kawasan luar bandar yang kurang atau tidak ada langsung kemudahan asas.

Mereka tinggal dalam rumah-rumah yang dibuat daripada tanah liat, mandi dan minum air perigi, memakan makanan tempatan terdiri daripada ubi kayu. Mereka membuat apa saja tugas perlu. Termasuklah mengajar di sekolah-sekolah (sebenarnya bangsal tanpa kerusi meja dan ada juga di bawah pokok), mengajar ibu-ibu dalam bidang kraf tangan atau ilmu pertanian moden.

Malahan ada juga doktor-doktor perubatan yang dihantar membuat kajian membasmi berbagai penyakit terutama sekali malaria. Seorang daripada doktor pakar malaria bagaimanapun, meninggal dunia apabila beliau sendiri gagal menangkis serangan malaria.

Namun kematian tersebut tidak menakutkan para sukarelawan. Sementara program tersebut telah menjangkau 30 tahun.

Selain daripada sukarelawan Jepun terdapat ratusan dan ribuan sukarelawan dari negara-negara Barat bertugas di beberapa buah negara Afrika. Termasuklah mubaligh-mubaligh Kristian antaranya dari Filipina. Mereka sanggup tinggal di bangsal-bangsal kambing kerana agama. Membantu pesakit-pesakit termasuk yang mengalami AIDS.

Tahun 60-an ratusan sukarelawan American peace corps bertugas di Malaysia. Program bertujuan mengeratkan hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dengan negara-negara dunia ketiga inisiatif Presiden Kennedy. Sebahagian besar daripada mereka bertugas di luar bandar dalam berbagai bidang termasuk pendidikan (guru) dan sektor pertanian.

Beberapa orang daripada bekas sukarelawan ini saya temui ketika bertugas di Los Angeles. Kini mereka masih bertugas dan memegang jawatan penting dalam sektor awam dan swasta. Rata-rata mereka mempunyai kenangan manis terhadap Malaysia. Malahan ada yang masih boleh berbahasa Melayu.

Sekiranya masalah guru menjadi semakin serius, dicadangkan kerajaan membawa masuk guru-guru dari negara-negara maju khususnya Eropah dan AS. Ia sekali gus dapat menyelesaikan masalah guru-guru berkelayakan untuk mengajar matapelajaran Sains dan Matematik serta Bahasa Inggeris sebagai satu mata pelajaran.

Selain daripada itu, pesara-pesara kerajaan sama ada bekas guru atau kakitangan awam eloklah diberi peluang untuk mengajar dalam mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Bahasa Malaysia atau apa sahaja mata pelajaran.

Percaya pesara-pesara ini masih dapat memberi sumbangan berkesan apatah lagi generasi yang dilahirkan dalam tahun-tahun 40-an dan 50-an mendapat pendidikan di sekolah-sekolah aliran Inggeris.

Saya rasa mereka tidak keberatan dihantar ke kawasan-kawasan luar bandar.

Di California siapa sahaja boleh menjadi guru asalkan mereka mempunyai kelulusan dan lulus peperiksaan untuk mendapat tauliah mengajar. Umur tidak menjadi soal. Asalkan disahkan masih waras dan sihat tubuh badan.

Read more!

Biografi penuh makna

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 26 Mac 2007


Tahun ini ketika negara yang menyambut ulang tahun kemerdekaannya ke-50, sebuah buku biografi penuh makna bakal diterbitkan dalam masa dua bulan lagi.

Mengingatkan bahawa negara bukan dibina oleh pemimpin-pemimpin utama semata-mata, maka biografi yang memaparkan kisah hidup dan keperibadian Timbalan Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman akan memberikan perspektif segar mengenai perjuangan kemerdekaan dan pembinaan negara.

Biografi Dr. Ismail yang meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 akan menunjukkan betapa beliau mempunyai keperibadian tegas dalam soal urus tadbir negara yang baik. Beliau tidak akan bertolak ansur dalam soal-soal penyelewengan, rasuah atau pembaziran. Malah baginya, urus tadbir negara yang baik mesti didahulukan serta diutamakan berbanding pembangunan itu sendiri.

Buku bertajuk Bukan Kerana Pangkat: Tun Dr. Ismail dan Masanya itu adalah terjemahan kepada The Reluctant Politician: Tun Dr. Ismail and His Times yang diterbitkan Disember tahun lalu dan pelancarannya dilakukan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam pada Khamis lalu.

Penulis buku ini ialah Dr. Ooi Kee Beng, Fellow Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS) Singapura berdasarkan kepada koleksi kertas yang diserahkan oleh anak Allahyarham Dr. Ismail, iaitu Tawfik Tun Dr. Ismail.

Ooi melengkapkannya dengan penyelidikan serta wawancara saudara mara Dr Ismail dan tokoh-tokoh yang mengenalinya termasuk Allahyarham Tun Ghafar baba, Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Robert Kuok, Lee Kuan Yew dan Tan Sri Ghazali Shafie, iaitu berjumlah sehingga 50 orang.

Penulisan yang mengambil masa 15 bulan ini memaparkan peristiwa mengenai perjuangan menuju kemerdekaan, hubungan Malaysia dengan Singapura, asal- usul falsafah keserantauan Asia Tenggara, konflik dalaman UMNO, hubungan MCA-UMNO, masalah kesihatan Allahyarham Tun Razak, rusuhan 13 Mei dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Sementara The Reluctant Politician diterbitkan oleh ISEAS, buku Bukan Kerana Pangkat diterbitkan oleh ISEAS bersama Pusat Maklumat Strategik dan Pembangunan Penyelidikan (SIRD) Kuala Lumpur.

ISEAS disifatkan sebagai pusat penyelidikan sejarah, politik dan sosial Asia Tenggara paling berwibawa. Perpustakaannya dikenali sebagai terbaik bagi kajian Asia Tengara. Koleksi kertas peribadi Dr. Ismail menambahkan lagi kekayaan khazanahnya.

Sementara SIRD pula dikenali sebagai penerbit buku isu-isu politik dan sejarah Malaysia meliputi hal ehwal gerakan kiri.

Kerjasama

Apa yang menarik tentang buku ini ialah kerjasama penerbitannya yang melibatkan daripada kedua-dua pihak dari Malaysia dan Singapura. Walaupun penulisnya, Kee Beng ialah seorang warganegara Singapura, tetapi beliau adalah kelahiran Pulau Pinang dan memperoleh ijazah kedoktoran falsafah di Stockholm dalam bidang Sinologi (Kajian Tamadun China).

Beliau yang bidang penyelidikannya meliputi falsafah bahasa, falsafah China, pembinaan negara dengan fokus kepada Malaysia, ekonomi politik dan falsafah sains itu bertanggungjawab terhadap Program Kajian Malaysia di ISEAS.

Bagaimanapun, apa yang membolehkan ISEAS menerbitkan The Reluctant Politician ialah dorongan kuat daripada Pengarah ISEAS, K. Kesavapany, bekas Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia.

Beliau juga walaupun warganegara Singapura adalah kelahiran Malaysia iaitu di Kuala Lumpur. Antara buku tulisan beliau ialah Malaysia-Singapore Relations under Abdullah.

Penterjemahan The Reluctant Politician untuk dijadikan Bukan Kerana Pangkat dilakukan oleh Bashir Basalamah, seorang warga Singapura. Bagaimanapun, penerbitnya, SIRD dan pengedarnya di Malaysia, Gerakbudaya berpusat di Kuala Lumpur.

Hubungan Malaysia-Singapura yang tercermin dalam usaha penerbitan buku ini turut terlihat semasa pelancaran The Reluctant Politician yang dilakukan di Danga Bay, Johor Bahru di mana tetamu-tetamu dari Singapura turut hadir.

Adalah menarik juga betapa Musa yang melancarkan The Reluctant Politician adalah juga Ahli Majlis Penasihat Wilayah Pembangunan Iskandar. Di wilayah ini, negara akan menyaksikan kerjasama yang bertambah dalam bentuk pelaburan dari Singapura.

Musa dan Dr. Ismail mempunyai persamaan dari segi kedudukan kedua-duanya sebagai orang yang pernah menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan juga merupakan tokoh politik UMNO Johor yang berpengaruh.

Musa dalam ucapan pelancaran buku itu menganggap dirinya sebagai pengkagum Allahyarham Dr. Ismail. Beliau menyatakan betapa Allahyarham berusaha keras untuk mewujudkan pelabuhan dan lapangan terbang Johor Bahru.

Kedua-dua infrastruktur di Johor itu dilihat sebagai menampung limpahan ekonomi dari Singapura. Johor pula diharap dapat memanfaatkan apa saja kemajuan pembangunan yang berlaku di republik itu.

Menurutnya, Allahyarham tidak mempunyai masalah apa yang disebut sebagai ‘‘Sindrom Singapura.’’ Apa yang dimaksudkan mungkin ialah perasaan takut atau bimbang kepada Singapura.

Beliau juga menyebut betapa rakan sejawat Allahyarham di pihak Singapura pada masa zamannya, iaitu Dr. Goh Keng Swee juga tidak mempunyai masalah ‘‘Sindrom Malaysia’', iaitu takut atau bimbang kepada Malaysia.

Keng Swee bagaimanapun adalah kelahiran Melaka.

Dalam hal ini, Musa melihat bagaimana Wilayah Pembangunan Iskandar boleh dianggap sebagai usaha yang dapat didedikasikan kepada wawasan Dr. Ismail terhadap negara ini.

Kee Beng pula menyatakan Dr. Ismail dan Musa adalah kedua-duanya anak Johor Bahru yang membesar dalam persekitaran budaya campuran dengan berada hampir pada Singapura yang rancak dan menarik.

‘‘Buku ini akan mengingatkan rakyat Malaysia tentang kepentingan Johor Bahru dalam proses membinaan negara Malaysia.

‘‘Penyelidikan yang saya lakukan untuk buku ini secara besar mengubah pandangan saya mengenai banyak perkara, dan ia membaharui optimisme saya terhadap masa depan Malaysia, dan juga hubungan Malaysia dengan jiran-jirannya,”
kata Kee Beng.

Read more!

Lindungi pengguna daripada godaan kad kredit

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 17 Mac 2007


Sistem kad kredit dicipta di Amerika Syarikat (AS) di mana produk berasal dari sana menguasai pasaran hingga ke seluruh dunia pada hari ini.

Bank-bank di sana telah lama memikirkan cara mana untuk mengaut lebih banyak keuntungan dan daripada penyelidikan serta inovasi, sistem kad kredit inilah antara hasilnya. Bagaimana bayaran minimum ditetapkan, serta yuran dan cara mana promosi dilakukan adalah kesemuanya hasil daripada pemikiran lampias otak yang mendalam. Kesemuanya berasaskan terhadap kesedaran mengenai kelemahan manusia dari sudut psikologi berbelanja dan berhutang. Matlamatnya adalah untuk keuntungan besar institusi-institusi kewangan di sana.

Dalam keadaan ini, persatuan-persatuan pengguna serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan melindungi pengguna bangkit dan mempertahankan orang ramai daripada godaan kad kredit.

Tetapi persatuan-persatuan pengguna tidak berupaya melawan bank-bank besar itu. Bank-bank itu mempunyai badan-badan penyelidikan masing-masing untuk mencari jalan bagaimana hendak mengaut keuntungan daripada pengguna. Mereka juga tidak mahu pengguna jatuh bankrap. Ini kerana jika bankrap, pengguna itu tidaklah dapat menggunakan kad kredit mereka.

Maka mereka menubuhkan unit-unit penasihat kewangan bagi membimbing para pengguna kad kredit supaya tidak jatuh muflis, dan terus dapat menggunakan perkhidmatan bank serta selanjutnya meningkatkan lagi keuntungan institusi kewangan itu.

Persatuan pengguna juga menubuhkan unit-unit kaunselor dan nasihat mereka tetapi ia lebih menjuruskan kepada menghalang terus penggunaan kad kredit. Ini kerana secara keseluruhannya penggunaan kad kredit merugikan pengguna.

Bagaimanapun, pengguna tidak berupaya melawan godaan kad kredit. Ini kerana terdapat dua ciri sistem ekonomi kapitalis. Pertama, pengguna digalakkan berbelanja. Kedua, pengguna digalakkan berhutang. Barulah sistem ini dapat bergerak dan berkembang.

Sistem ini di mana bank juga adalah sebahagian daripadanya berkempen melalui iklan dan promosi besar-besaran. Sedangkan iklan dan kempen bagi melindungi pengguna tidak banyak kerana motivasi serta dana yang dimiliki oleh persatuan pengguna adalah terhad.

Dalam keadaan ini, muncul pula industri kaunselor kewangan swasta. Mereka menawarkan khidmat motivasi untuk pengguna supaya merancang kewangan ini. Industri ini juga besar. Kejayaannya adalah kerana pengguna tidak mampu merancang kewangan mereka apabila berdepan dengan godaan berbelanja.

Sudahlah kena keluarkan wang untuk berbelanja, dan ditambah lagi membayar caj-caj kredit, pengguna pula membayar lagi untuk mendapat nasihat kewangan. Begitulah sistem ini berfungsi.

Maka amalan menggunakan kad kredit juga sampai ke Malaysia dan mula luas digunakan pada tahun 90-an apabila penduduk negara ini ghairah dengan pelbagai produk kewangan, termasuk saham dan pelbagai jenis pinjaman.

Tetapi kini dapat dilihat betapa terdapat empat pinjaman yang hampir terpaksa dibuat oleh pengguna di negara ini. Pertama, pinjaman pelajaran. Kedua, pinjaman kereta. Ketiga, pinjaman perumahan. Keempat, pinjaman melalui kad kredit.

Dari mana inovasi-inovasi kewangan ini dicipta? Sudah tentu kebanyakannya dari AS. Termasuk produk yang memaksa kepada pinjaman itu. Umpamanya konsep pembinaan taman-taman perumahan teres dimulakan di AS. Ia dapat dijayakan melalui pinjaman. Malah kereta serta cara mana menggalakkan pembeliannya melalui pinjaman bank juga dicipta di AS. Sementara perkembangan kad kredit juga dikaitkan dengan pertumbuhan kompleks membeli-belah, semuanya ciptaan AS.

Manusia moden tidak akan bebas daripada hutang dalam keadaan seperti ini, lebih-lebih lagi melalui adanya kad kredit.

Apabila amalan kad kredit mula meluas di Malaysia, persatuan pengguna khususnya Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dengan tegas menolak penggunaannya. Ia tidak mempersoalkan sistem atau syarat, tetapi terus menolaknya secara mutlak.

Tetapi promosi kad kredit semakin agresif dan digalakkan. Sudah tentu persatuan pengguna tidak berupaya berlawan dengan bank-bank yang bajet iklan dan promosinya adalah besar. Akhirnya masyarakat akan menerima dengan mudah.

Pihak yang harus melindungi pengguna adalah Bank Negara kerana mereka mempunyai kuasa untuk mengenakan peraturan. Tetapi sudah tentu Bank Negara juga menjaga kepentingan industri bank. Malah hubungannya yang rapat dengan bank adalah lebih kuat daripada kaitannya dengan persatuan pengguna.

Mungkin ada baiknya sebahagian daripada keuntungan besar yang dikaut oleh syarikat-syarikat kad kredit itu diperuntukkan kepada kempen mengurangkan penggunaan kad kredit.

Akhirnya, pengguna menanggung semua. Ia terpaksa berbelanja untuk menggunakan kad kredit. Sebahagian daripada wang itu pula digunakan untuk mendidik diri sendiri supaya mengurangkan penggunaan kad kredit.

Tetapi komuniti bisnes akan menolak usaha mengurangkan penggunaan kad kredit. Ini kerana pengurangan penggunaan kad kredit akan menjejaskan perniagaan mereka. Jika perniagaan mereka terjejas, ekonomi juga terganggu. Ada yang tidak kena dengan sistem ini. Pengguna biasa terus terbeban, terhimpit dan terkapai-kapai di bawah bayangan bangunan-bangunan pencakar langit milik bank-bank.

Read more!

Dagang secara adil

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 6 Mac 2007


Terdapat fahaman di dunia hari ini yang menyatakan bahawa perdagangan bebas akan meningkatkan keupayaan ekonomi semua negara dan dengan itu memperluaskan kemakmuran sejagat.

Ini kerana fahaman itu menyatakan bahawa pelaburan dan produk akan dapat masuk ke mana pasaran yang menarik dan melahirkan serta mencergaskan aktiviti-aktiviti perniagaan.

Oleh kerana produk dan perkhidmatan boleh bergerak bebas ke mana-mana dalam pasaran yang lebih luas, maka bertambah banyak persaingan perniagaan akan berlaku dengan menghasilkan barangan yang semakin kompetitif dengan akhirnya menguntungkan pengguna di samping meningkatkan keuntungan syarikat.

Pada masa ini, terdapat dua mekanisme bagi meningkatkan perdagangan bebas, iaitu pertama, multilateralisme atau pelbagai negara melalui Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Cara kedua ialah melalui persetujuan perdagangan bebas (FTA) antara dua negara iaitu berbentuk bilateral.

Kalau dalam WTO, negara-negara membangun boleh berpakat untuk menghalang persetujuan yang merugikan mereka apabila berdepan dengan negara-negara maju.

Tetapi FTA antara negara maju dan negara membangun, boleh menimbulkan ketidakadilan yang boleh membentuk kepada keadaan di mana seakan-akan berlaku penjajahan ekonomi.

Ini kerana dalam menghadapi FTA, negara-negara membangun berada dalam kedudukan lemah kerana kerendahan kemampuan ekonominya, kelemahan kedudukan politiknya dan kelemahan sumber bagi merunding untuk kepentingan mereka.

Jadi apabila FTA ditandatangani antara negara maju dan membangun, kesannya kelak adalah penguasaan ekonomi oleh negara maju melalui pelaburan dan syarikat korporatnya yang besar.

Syarikat-syarikat negara membangun tidak berupaya menandingi apa yang datang dari negara maju, baik dari segi pelaburan, produk mahupun perkhidmatan.

Persaingan sihat tidak akan wujud kerana padang permainan tidak seimbang dan pastinya hasil daripada perdagangan bebas kaedah FTA ini hanyalah menyaksikan terkorbannya syarikat, produk dan perkhidmatan negara membangun.

Apa yang berlaku kelak bukannya kemakmuran tetapi penjajahan ekonomi dengan rakyat negara-negara membangun terpinggir daripada arus perdagangan dunia. Rakyat di negara-negara membangun ini hanya mampu menjadi kakitangan peringkat rendah syarikat-syarikat milik negara maju.

Senario yang membimbangkan ini membayangi rundingan persetujuan perdagangan bebas Malaysia-Amerika Syarikat (MUFTA) yang masih berjalan sejak dimulakan pada 8 Mac tahun lalu.

Oleh kerana AS adalah sebuah negara maju dan besar, maka FTA dengannya mengundang kebimbangan besar terhadap kemampuan negara ini menghadapi persaingan sengit daripadanya.

Tetapi FTA meliputi banyak aspek hinggakan ia dikatakan mampu mengancam kebebasan kerajaan untuk menggubal dasar-dasar ekonomi termasuk Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan usaha membantu bumiputera dalam perniagaan.

Kajian

Seorang aktivis ekonomi yang banyak membuat kajian mengenai perdagangan bebas, WTO dan FTA khususnya MUFTA ialah Martin Khor. Pengarah Third World Network, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpusat di Pulau Pinang ini melakukan kajian mengenai isu-isu perdagangan ini sejak 1991.

Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia Ahad lalu, Khor menghujahkan betapa FTA Malaysia-AS boleh mengakibatkan harga ubat akan naik melambung tinggi hingga 10 kali ganda.

Selain perubatan, peladang juga akan menerima akibatnya apabila tarif tanaman luar negara akan dikurangkan. Dengan adanya FTA bersama AS, Malaysia akan dibanjiri oleh hasil tanaman AS yang amat murah berbanding dengan harga tanaman Malaysia.

Tetapi lebih parah lagi, menurut Khor, implikasi daripada FTA Malaysia-AS boleh menjejaskan dasar-dasar kerajaan dalam membantu perniagaan bumiputera kerana pemberian kontrak atau tawaran perniagaan oleh kerajaan mesti dibuka kepada syarikat-syarikat AS yang pastinya lebih mampu bersaing.

Banyak lagi aspek ekonomi negara yang terancam dengan FTA Malaysia-AS dengan akhirnya Khor mengungkapkan bahawa sempena negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50 tahun ini, kita juga menghadapi ancaman penjajahan ekonomi bentuk baru.

Pada hari yang sama The Sunday Times menyiarkan tulisan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam kolumnya, Out of the Cage (Keluar dari Kandang) bertajuk ‘FTA mesti meningkatkan perdagangan yang adil dan bukannya bebas’.

Beliau membayangkan sentimen sama iaitu ketika negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50, ia menghadapi satu ujian serius terhadap kedaulatannya. Beliau kemudian memaparkan risiko dan ancaman yang dihadapi oleh Malaysia berhubung FTA negara ini dengan AS.

Khairy mengakhiri tulisannya dengan harapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz akan bertegas dengan pendirian dan tidak terburu-buru.

Katanya, tidak perlu bagi Malaysia tergesa-gesa menyempurnakan perjanjian itu sebelum Julai untuk mendapatkan persetujuan segera Presiden AS.

Menurut Khairy, apa yang lebih penting mengenai persetujuan perdagangan, baik dalam bentuk multilateral mahupun bilateral ialah apa yang boleh menggalakkan perdagangan adil, dan bukannya bebas.

Di sinilah kunci perdebatan mengenai FTA di pihak Barat dan negara-negara membangun.

Fahaman di Barat ialah perdagangan bebas merupakan suatu yang adil, di mana pasaran dibuka seluas mungkin dan produk serta pelaburan beoleh masuk ke mana-mana tempat. Bebas itu dianggap adil.

Tetapi bagi negara-negara membangun, bebas tidak semestinya adil. Ini kerana apabila berlaku perdagangan bebas, mereka yang mempunyai kekuatan dan pengaruh, baik ekonomi, politik dan budaya pasti mendominasi pasaran. Selama ini kerajaan melalui tarif dan dasar-dasar awam melindungi kepentingan pihak yang lemah.

Akhirnya, fahaman bagi menggalakkan perdagangan bebas dapat dilihat sebagai suatu agenda Barat untuk menguasai dunia dan terus unggul serta menafikan negara lain untuk turut maju.

Ingatlah betapa pada tahun 1511 apabila Portugis sampai ke Melaka, apa yang mereka tuntut ialah sultan membuka pelabuhan kepada kapal dagang Barat.

Read more!

Persediaan mencari pengganti Presiden Bush

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 4 Mac 2007


SENATOR berpengaruh dari Parti Republikan, John McCain mengumumkan akan bertanding untuk pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) tahun depan.

Bagi dunia, beliau hanyalah salah seorang daripada calon-calon yang menyertai persaingan untuk menjadi orang paling berkuasa di dunia.

Dalam Parti Republikan, calon lain ialah Rudolph Giuliani, bekas Datuk Bandar New York. Di pihak Demokratik pula, calon ialah Senator Hillary Clinton dan Senator Barack Obama. Bekas Naib Presiden AS, Al Gore turut disebut semula ekoran kemenangan filem dokumentarinya mengenai perubahan iklim, An Inconvenient Truth (Kebenaran yang sukar untuk diterima) untuk memperoleh Oscar minggu lalu.

Maka nama-nama ini; McCain, Giuliani, Clinton, Obama dan Gore akan disebut-sebit dan mereka pasti dikenali di seluruh dunia hinggalah berlaku pusingan-pusingan pemilihan yang menyaksikan siapakah calon Republikan dan Demokratik.

Ia akan berakhir dengan persaingan kemuncak pilihan raya Presiden pada November 2008 di mana salah seorang akan diumumkan sebagai Presiden AS menggantikan George W. Bush.

Kesemua calon itu mempunyai peribadi dan pegangan dalam pelbagai isu yang berbeza. Ada kalanya perbezaan itu besar, ada pula perbezaan itu kecil. Tetapi dalam persaingan merebut jawatan Presiden kuasa besar dunia itu, pelbagai ciri calon dikemukakan, termasuk perkara-perkara peribadi dan remeh-temeh. Sementara pengundi AS pula memilih Presiden mereka menurut rasa hati, bukannya pertimbangan secara rasional. Pilihan mereka lebih kepada emosional dan psikologikal.

Justeru, calon-calon itu akan memaparkan ciri-ciri yang dianggap dapat diterima para pengundi. Akibatnya dunia akan mendapati bahawa dasar antara kedua-dua calon akhir tidak banyak berbeza.

Walaupun dari segi spektrum politik, Demokratik dan Republikan ini, satu di sebelah kiri dan satu lagi di sebelah kanan, tetapi akhirnya dasar calon-calon itu berada di tengah-tengah. Perbezaan antara keduanya hanyalah dari segi pendekatan dan anggota pasukan yang akan mentadbir AS apabila salah satunya menang.

Seharusnya Demokratik dan Republikan mempunyai dasar berbeza dan menawarkan pilihan kepada pengundi-pengundi. Kedua-duanya mempunyai tradisi politik yang diwarisi turun-temurun dan memiliki karakter tertentu yang menarik minat penyokong masing-masing.

Tetapi apa yang terjadi, tidak akan berlaku pemilihan Presiden daripada calon selain Demokratik dan Republikan walaupuna dari segi teori, mana-mana calon boleh dikemukakan.

Setiap kali pilihan raya Presiden, senarai calon datang daripada banyak parti yang dunia tidak pernah dengar selain Demokratik dan Republikan. Mereka adalah parti kecil yang hanya bertanding sebagai menolak Demokratik dan Republikan.

Bagaimanapun, sering kali terdapat sebuah parti yang agak besar dan dianggap sebagai calon ketiga untuk menyaingi Demokratik dan Republikan. Walaupun calon daripada parti ini tidak dapat mengalahkan kedua-dua parti itu tetapi ia tetap mampu menjejaskan undi perdana pilihan raya.

Contoh jelas pada pilihan raya Presiden lalu ialah penyertaan Ralph Nader dari Parti Hijau (Green Party).

Nader, aktivis pengguna berada di sebelah kiri, iaitu melebihi Demokratik. Andaiannya ialah jika Nader tidak menyertai pilihan raya Presiden dulu, kemungkinan George W. Bush tidak boleh menang kerana undi golongan liberal, istilah rujukan kepada spektrum kiri tidak akan terpecah.

Banyak penyokong Al Gore yang bertanding ketika itu menyalahkan Nader. Maknanya pengikut Nader meletakkan kedudukan dasar liberal dalam keadaan lebih buruk apabila AS ditadbir Bush.

Sedangkan tentunya keadaan akan lebih baik bagi penyokong dasar liberal termasuk pengikut Nader jika Gore terpilih.

Penyokong Nader pula menegaskan, Gore tidak cukup menarik bagi mereka hingga terpaksa mengemukakan calon berbeza.

Sejarah AS mungkin berbeza jika Gore memberi ruang memadai bagi penyokong Nader dan akhirnya menyatukan undi golongan liberal hingga mampu menafikan Bush daripada kemenangan.

Jika Bush tidak menang, Gore akan membawa AS pada jalan yang berbeza. Tidak dapat dibayangkan bagaimana reaksi Gore terhadap serangan 11 September.

Imej Parti Demokratik adalah ia sebagai sebuah parti yang kurang mempunyai sifat mahu berperang. Namun begitu, andainya ia mahu kelihatan lebih patriotik, mungkin ia akan bergelagat lebih agresif.

Tetapi fahaman neokonservatisme berada pada Republikan. Katakanlah, AS di bawah Gore mungkin melancarkan perang ke atas Afghanistan selepas peristiwa 11 September tetapi tidak perang Iraq.

Projek perang Iraq selain merupakan agenda golongan neokonservatif dilihat oleh banyak orang sebagai ditandai dengan kepentingan perasaan Bush. Bahawa terdapat rasa permusuhan dan dendam oleh keluarga Bush terhadap bekas diktator Iraq itu yang dikatakan pernah cuba membunuh bapa Bush semasa menjadi Presiden.

Maka suasana ini memudahkan dorongan kepada tindakan AS melancarkan perang ke atas Iraq. Sesuatu yang mungkin tidak berlaku jika Gore menjadi Presiden.

Kini isu perang Iraq masih menguasai kempen persaingan pilihan raya itu.

Senario di AS hari ini dikatakan menyalahkan Bush kerana dianggap gagal menyelesaikan masalah perang itu. Sebab kepercayaan itu, Republikan kalah dalam pilihan raya Kongres yang baru lalu dan banyak pihak menjangkakan bahawa dalam pilihan raya Presiden tahun depan, undi akan memihak kepada calon Demokratik: Iaitu sama ada Clinton, Obama atau Gore, jika dia mahu bertanding.

Tetapi Republikan tidak mudah menyerah kalah. Cadangan Bush menambah tentera di Iraq seterusnya menyelesaikan masalah perang dilakukan dalam konteks ini.

Sementara golongan neokonservatif juga berpecah dan kini kurang menarik untuk diikuti sementara fokusnya adalah menyelesaikan masalah perang Iraq di samping mencari peluang kemenangan dalam pilihan raya Presiden bagi Republikan.

Jadi hujah berlegar berhubung perang Iraq ialah di pihak Demokratik, tentera AS mesti diundurkan serta-merta. Sementara di pihak Republikan pula, tentera AS mesti ditambah. Soal bagaimana Bush melancarkan perang tidak ditonjolkan.

Parti Demokratik yang berpegang kepada manifesto mengundurkan tentera Iraq sepanjang kempen pilihan raya Kongres dahulu berasa perlu menegaskan pegangan ini hinggalah kepada pilihan raya Presiden akan datang.

Tetapi strategi Republikan ialah mahu mendedahkan kelemahan parti Republikan berhubung dengan keselamatan dan kekuatan strategik ketenteraan AS.

Apabila Bush mencadangkan supaya bilangan tentera AS di Iraq ditambah, Kongres pula mengundi menolaknya, ia mahu memaparkan betapa Parti Demokratik tidak cukup bertanggungjawab bagi memelihara kepentingan AS di Iraq dan Asia Barat.

Pandangan yang dikemukakan ialah pengunduran serta-merta daripada Iraq bukan saja menyebabkan perang saudara yang lebih memburuk tetapi menjejaskan lagi kepentingan geopolitik AS.

Maka taktik politik Republikan ialah menggambarkan kelemahan Demokratik menyelesaikan masalah perang Iraq. Jadi mereka berharap calon yang akan dikemukakan datang daripada kalangan yang keras dan mampu menamatkan kerja yang dimulakan Bush.

McCain yang mengumumkan hasratnya untuk bertanding melalui program televisyen CBS, Late Show with David Letterman mempunyai sikap tegas untuk menambah tentera AS di Iraq.

Sikap ini nampak tidak popular dalam keadaan rakyat AS mahukan pengunduran serta-merta tentera mereka. McCain, 70, yang pernah kalah pada Bush dalam penamaan calon tahun 2000 terkenal sebagai seorang yang memiliki pandangan pelik dan ekstrem. Namun sikapnya yang berani dan lantang menjadi tarikan.

Tetapi sikap ini akan menjadikan pendirian Giuliani lebih menarik. Bekas Datuk Bandar New York itu terkenal sebagai seorang berjaya menangani serangan 11 September dahulu.

Tetapi polisi hanyalah satu sisi dalam pertandingan Presiden itu. Lebih penting ialah sosok kepimpinan calon.

Kepimpinan sukar untuk ditakrifkan tetapi ia dapat dinilai dari susut emosional dan psikologikal para pengundi.

Jentera pilihan raya setiap calon pasti menggilap tokoh mereka supaya mempunyai imej yang kepimpinan terbaik.

Ini kerana sifat kepimpinan akan mengatasi polisi, pendirian dan aliran parti mereka. Maka nilai kepimpinan akan diuji bukan semata-mata daripada percakapan dan ucapan, tetapi lebih penting bagaimana seseorang menunjukkan reaksi kepada tuduhan atau isu-isu remeh-temeh.

Tuduhan bersifat peribadi dan remeh-temeh bukanlah bertujuan mengupas perkara yang dilemparkan tetapi kepada bagaimana seseorang calon itu menjawab dan menghadapi dengan tenang.

Kalau calon-calon ini: Clinton, Obama, McCain, Giuliani dan Gore dinilai lebih kepada persepsi kemampuan kepimpinan, apakah peluang rakyat AS, apatah lagi penduduk dunia untuk mendapatkan perubahan dasar yang tidak kurang penting.

Kepimpinan yang baik tidak semestinya mendatangkan dasar yang baik, walaupun kecenderungan itu ada. Apa yang menjadi amalan di AS, dasar dan kempen untuknya dilakukan oleh agensi-agensi pemikir yang dikenali sebagai think tank di samping yayasan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang membentuk masyarakat sivil.

Mereka melobi untuk dasar dan pegangan tertentu dan antaranya pula berkhidmat bukan kepada negara secara keseluruhannya tetapi kumpulan-kumpulan kepentingan tertentu, khususnya industri.

Sudah tentu korporat yang mempunyai dana besar menaja pelbagai yayasan, agensi pemikir dan NGO untuk mempromosi kepentingan mereka, dan akibatnya mereka meraih hasil lebih baik.

Jadi, walaupun calon Presiden berasak-asak mempromosi diri, tetapi mereka hanyalah menawarkan kepimpinan dalam konteks sebuah sistem yang dipenuhi gerakan pemikiran pelbagai aliran.

Bagaimanapun, aliran pemikiran yang dapat didengar adalah kumpulan-kumpulan yang bukan saja berjaya berhujah dengan baik tetapi memiliki sumber untuk penyelidikan teliti dalam isu-isu pilihan mereka. Untuk memiliki dana yang baik, pastinya ia datang daripada badan-badan berharta berasaskan kejayaan dalam dunia korporat.

Walaupun AS tetap dianggap sebagai demokrasi berasaskan ilmu pengetahuan, tetapi di bawahnya ialah kekayaan harta benda bagi menanggungnya. Lebih tepat AS negara plutokrasi (pemerintahan golongan kaya) berselindung di sebalik demokrasi.
Read more!

‘Penjajahan’ melalui FTA

Oleh: ZIN MAHMUD, AZNAN BAKAR dan YULPISMAN ASLI
Sumber: Mingguan Malaysia 4 Mac 2007


MUKADIMAH
Oleh kerana Amerika Syarikat (AS) adalah sebuah negara maju dan kuat, maka FTA dengannya mengundang kebimbangan besar terhadap kemampuan negara ini menghadapi persaingan sengit daripadanya. Tetapi Persetujuan Perdagangan Bebas (FTA) meliputi banyak aspek hinggakan ia dikatakan mampu mengancam kebebasan kerajaan untuk menggubal dasar-dasar ekonomi termasuk Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan usaha membantu bumiputera dalam perniagaan.

Seorang aktivis ekonomi yang banyak membuat kajian mengenai perdagangan bebas, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan FTA ialah Martin Khor. Pengarah Third World Network, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpusat di Pulau Pinang ini melakukan kajian mengenai isu-isu perdagangan sejak 1991.

Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZIN MAHMUD, AZNAN BAKAR dan YULPISMAN ASLI di pejabat Utusan Khamis lalu, Khor menghujahkan betapa FTA Malaysia-AS boleh mengakibatkan harga ubat akan naik melambung tinggi hingga 10 kali ganda kerana lebih banyak ubat akan dipatenkan oleh syarikat AS yang menentukan harga ubat bagi mengaut keuntungan.

Selain perubatan, peladang juga akan menerima akibatnya apabila tarif tanaman luar negara akan dikurangkan. Dengan adanya FTA bersama AS, Malaysia akan dibanjiri oleh hasil tanaman AS yang amat murah berbanding dengan harga tanaman Malaysia.

Tetapi lebih parah lagi, menurut Khor, implikasi daripada FTA Malaysia-AS boleh menjejaskan dasar-dasar kerajaan dalam membantu perniagaan bumiputera kerana pemberian kontrak atau tawaran perniagaan oleh kerajaan mesti dibuka kepada syarikat-syarikat AS yang pastinya lebih mampu bersaing.

Banyak lagi aspek ekonomi negara yang terancam dengan FTA Malaysia-AS dengan akhirnya Khor mengungkapkan bahawa sempena negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50 tahun ini, kita juga menghadapi ancaman penjajahan ekonomi bentuk baru.

Mingguan: Apa sebenarnya terkandung dalam FTA?

Martin Khor: Sebenarnya FTA adalah satu perjanjian. Saya tidak pasti mungkin ia membabitkan 500 atau 700 muka surat. Jika kita lihat FTA yang ditandatangani antara AS dengan Singapura, ia memberikan satu gambaran baik di mana terdapat banyak bab, enam perjanjian merangkumi banyak bab. Setiap bab ada perjanjian tersendiri. Jadi terlalu banyak perjanjian untuk dipersetujui.

Apakah pecahan yang terdapat dalam bab-bab ini?

MARTIN KHOR: Ada satu bab membabitkan bagaimana hendak mengurangkan tarif makanan. Misalnya produk pertanian seperti beras. Bagaimana hendak mengurangkan tarif beras. Terdapat bab tentang pemerolehan kerajaan (government procurement).

Bab itu turut merangkumi perkara bagaimana untuk membenarkan pihak asing mendapat kontrak kerajaan bagi membekalkan kertas atau perabot, atau turut serta dalam projek kerajaan seperti membina jalan raya, sekolah, empangan dan sebagainya.

Terdapat juga bab tentang perkhidmatan seperti perbankan, insurans, pengangkutan, telekomunikasi, bekalan air, perkhidmatan guaman, kedai gunting dan banyak lagi.

Dalam bab-bab ini, AS mencadangkan supaya Malaysia membuka ‘pintunya’. Jadi, syarikat mereka boleh masuk dan beroperasi dalam bidang-bidang tersebut yang ketika ini dihadkan kepada beberapa negara sahaja. Atau, mereka juga boleh membeli syarikat-syarikat Malaysia.

Bab perkhidmatan adalah serius kerana ketika ini kita mengehadkan pemilikan pihak asing dalam perbankan dan sebagainya.

Bab pelaburan pula sama dengan bab perkhidmatan, tetapi ia lebih luas kerana merangkumi perkilangan, pertanian, peladangan, perlombongan dan sebagainya. AS hendak menggunakan bab ini untuk membolehkan syarikat-syarikatnya masuk dan memiliki atau mengambil alih syarikat atau ladang dan sebagainya.

Bab Harta Intelek (IP) pula satu bab yang sangat penting kerana ia akan turut memberi kesan kepada orang ramai. Bergantung kepada jenis perlindungan Harta Intelek yang dibenarkan. Ada perjanjian IP yang Malaysia tidak dan belum tandatangani di peringkat antarabangsa kerana kita berpendapat keburukannya lebih banyak berbanding kebaikan.

Sekarang, jika kita menandatangani FTA, ia akan menyebabkan kita terikat sama dengan perjanjian-perjanjian IP di peringkat antarabangsa.

Kajian yang kita buat mendapati, sesetengah perjanjian itu memberi kesan negatif kepada Malaysia.

Kenapa wujud kebimbangan apabila Malaysia mahu menandatangani FTA dengan Amerika Syarikat (AS)?

Martin Khor: Saya berpendapat, terdapat banyak kebimbangan. Satu daripadanya ialah dari segi pengguna. Sebagai contoh kita terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk ubat-ubatan dan kita tidak lagi boleh membeli ubat baru yang berada di pasaran. Pada masa hadapan, terlalu sukar untuk membeli ubat pada harga murah, sebaliknya perlu membayar harga yang tinggi.

Ini kerana ubat-ubat bagi pesakit-pesakit Aids, lelah, Parkinson atau sakit jantung, ketika ini ada dua jenis ubat yang digunakan. Satu yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat besar, dan kedua ubat generik yang tiada jenama.

Kebanyakannya dikeluarkan oleh syarikat tempatan atau asing seperti India. Ini kerana, menurut kesatuan pengeluar ubat generik, ubat berjenama yang telah dipatenkan sepuluh kali lebih mahal berbanding ubat generik.

Mengikut cadangan yang dikemukakan oleh AS dalam FTA, mereka mahu melanjutkan tempoh perlindungan paten.

Mereka mahukan paten diberikan perlindungan lebih kukuh dan mereka juga mempunyai mekanisme baru dikenali sebagai Data Exclusivity yang menyukarkan sama sekali pengeluar ubat generik memasarkan produk mereka di sini, sama ada ia dihasilkan di dalam negara apatah lagi yang diimport.

Jadi, sekiranya kita tidak ada ubat generik maka kita hanya boleh membeli ubat berjenama dengan kos 10 kali ganda lebih tinggi. Ini akan memberi kesan kepada pengguna. Mereka yang mempunyai anggota keluarga sama ada ayah, abang, ibu atau nenek yang bergantung kepada ubat-ubatan, akan lebih terjejas.

Adakah perkara ini telah berlaku pada negara-negara yang menandatangani FTA dengan AS?

Martin Khor: Di Korea misalnya, syarikat-syarikat insurans menjangka jika paten ubat dilanjutkan bagi tempoh empat tahun akibat perjanjian FTA, rakyat negara itu terpaksa membayar kos tambahan sebanyak AS$750 juta (RM2.63 bilion) bagi mendapatkan ubat-ubatan. Jumlah itu sudah tentu amat tinggi.

Malah rakyat Kanada, negara yang turut menandatangani FTA dengan AS mendapati, mereka terpaksa membayar AS$600 juta (RM2.1 bilion) lebih tinggi untuk mendapatkan ubatan-ubatan disebabkan adanya Data Exclusivity.

Bagi Malaysia, kita telah bertindak bijak dalam tempoh dua tiga tahun lalu apabila Kementerian Kesihatan mengeluarkan lesen untuk mengimport ubat dari India bagi pesakit HIV/AIDS.

Ini kerana ubat tersebut dijual 50 peratus lebih rendah.

Ia membolehkan kementerian memberikan rawatan kepada lebih ramai pesakit. Bagaimanapun, jika Malaysia menandatangani FTA, adalah sukar untuk pihak kementerian mengeluarkan lesen berkenaan dan dengan jumlah peruntukan yang sama sebelum ini, pihak kementerian hanya mampu merawat sebilangan kecil pesakit disebabkan kos ubat yang meningkat.

Perkara ini telah menimbulkan kebimbangan kepada persatuan-persatuan yang mewakili pesakit AIDS dan mereka menentang keras FTA. Ini perkara berkaitan hidup dan mati kerana harga ubat meningkat dan mereka (pesakit) pula tidak boleh mendapatkan ubat yang murah. Selain itu, kemampuan pihak kementerian merawat pesakit juga semakin berkurangan dan lebih ramai pesakit AIDS akan meninggal dunia.

Sejauh mana FTA menjejaskan dasar kerajaan?

Martin Khor: Saya berpendapat, kerajaan dan semua rakyat tahu sejak 1970-an, kerajaan memperkenalkan apa yang kita panggil Dasar Ekonomi Baru. Sebelum itu, kita mempunyai dasar ekonomi yang agak sederhana dan orang asing boleh memiliki apa sahaja yang mereka mahu, tetapi dasar itu telah diubah. Dalam perbankan kita mula memperkenalkan bank tempatan dan sudah tentu pemilikan asing dibataskan.

Ini kerana kita berpendapat, polisi sebelum ini kurang baik, maksud saya, selepas 13 tahun (sehingga tahun 1970) merdeka pemilikan asing dalam ekonomi adalah 70 peratus. Sementara pemilikan bumiputera hanya sekitar satu atau dua peratus.

Jadi, adalah perlu untuk Malaysia memiliki dasarnya sendiri secara total, dasar untuk mengawal pelaburan dan pengagihan saham. Maka saham asing dapat dikurangkan kepada 40 peratus, bumiputera pula ditingkatkan kepada 30 peratus dan bukan bumiputera pula yang sebelum ini sekitar 20 peratus juga boleh ditingkatkan.

Kita mempunyai Dasar Pembangunan Nasional, dasar Misi Nasional dan sekarang di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Di bawah pelaksanaan FTA dasar ini akan secara drastik terjejas dalam beberapa aspek.

Terjejas dari aspek mana?

Martin Khor: Pertama, dalam bab pemerolehan (procurement). Sekarang kerajaan boleh membantu syarikat tempatan apabila kerajaan berbelanja seperti membeli peralatan pejabat dan menganjurkan seminar. Juga ketika kerajaan melaksanakan projek- projek seperti membina sekolah, jalan dan empangan berharga RM1 juta atau RM1 bilion.

Polisi kita adalah mengutamakan syarikat tempatan walaupun mungkin kos mereka 10 peratus lebih tinggi. Ini wajar kerana ia boleh mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan memberi keuntungan kepada syarikat tempatan.

Keuntungan itu mereka laburkan semula untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Jika kita buka kepada syarikat asing dan membeli produk luar, kita hanya merangsang ekonomi mereka dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat mereka.

Kedua, sudah tentu kita hendak memperkenalkan sektor domestik dan hasil daripada pemerolehan kerajaan merupakan langkah terbaik untuk mencapai hasrat tersebut. Selepas zaman penjajah, kita mahu menjana penyertaan warga tempatan dan kerajaan akan menggunakan bank-bank tempatan berbanding bank-bank asing. Kerajaan akan menggunakan syarikat tempatan untuk membina jalan.

Ketiga, di Malaysia kita ada dasar mengutamakan bumiputera. Dalam terma kontrak, dari segi membekalkan bahan-bahan dan sebagainya dasar ini yang diguna. Ia bertujuan membantu pengusaha kecil dan sederhana (SME).

Sudah tentu kita juga mempunyai syarikat-syarikat besar. Bagaimanapun, dasar pemerolehan kerajaan di Malaysia ialah mengutamakan bumiputera dan berkelayakan. Ini adalah langkah jelas untuk meningkatkan keusahawanan dan perniagaan kecil di kalangan bumiputera.

Dari apa yang kami tahu berdasarkan data yang dikumpulkan daripada WTO, perniagaan daripada pemerolehan kerajaan adalah berjumlah kira-kira RM92 bilion setahun. Angka ini mungkin mencecah sehingga RM100 bilion setahun, mengambil kira perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan, terutama syarikat milik kerajaan (GLC).

Jika kita buka kepada FTA berdasarkan cadangan AS dan FTA dengan lain-lain negara kelak, banyak perniagaan yang sebelum ini diperuntukkan kepada orang Malaysia akan ‘terhakis’. Ini tidak akan membantu dan tidak menjana ekonomi tempatan, ia akan mengalir keluar.

Adakah ini bermakna semua polisi yang dilaksanakan kerajaan akan terhapus dangan adanya FTA?

Martin Khor: Tidaklah semua, tetapi kita terpaksa menghapuskan kebanyakan polisi dan rangka tersebut akan mewujudkan banyak tekanan pada masa hadapan. Itulah masalahnya.

Dewan Perniagaan AS di Malaysia telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan mereka tentang segala tuntutan tersebut. Ia termasuk membuka sektor perbankan, insurans, industri penyiaran bagi membolehkan mereka mewujudkan stesen televisyen sendiri, pemasaran, pasar raya, ICT, industri farmaseutikal, peguam, doktor dan sebagainya.

Mereka telah menggariskan segala bentuk halangan yang dikenakan kerajaan sekarang termasuk kebenaran pemilikan asing sebanyak 20 peratus dan mahu ia ditingkatkan sehingga 100 peratus. Mereka mahu dasar kerajaan yang menyokong industri tempatan dihapuskan.

Sebagai contoh, jika sesebuah pasar raya atau hypermarket hendak beroperasi, dasar sekarang ialah mereka perlu menyediakan 30 peratus ruang untuk memasarkan produk tempatan terutama di kalangan SME bumiputera. Jadi, mereka mahu dasar ini dimansuhkan.

Saudara rasa Malaysia akan bersetuju dengan perjanjian FTA tersebut?

Martin Khor: Saya tidak kata Malaysia bersetuju dengan tuntutan tersebut. Saya juga pasti kumpulan perunding negara juga akan mengemukakan tuntutan bagi pihak kita.

Tetapi kerangka inilah yang sedang diwujudkan. Sekarang kita boleh kata, ya saya bersetuju ke atas beberapa perkara, dan tidak kepada beberapa yang lain, tetapi kita telah membuka rangka tersebut.

Jadi, AS boleh berkata, ini adalah pendekatan semasa yang anda perlu jika mahu mengekalkan sebahagiannya. Tetapi, anda perlu melaksanakannya dari semasa ke semasa. Anda tidak boleh berpatah balik. Jika sekarang anda membenarkan 49 peratus pemilikan asing, pada masa hadapan ia perlu dinaikkan kepada 70 atau 100 peratus, tetapi tidak mengurangkannya menjadi 30 peratus. Ini akan menyebabkan anda tersekat supaya tidak menukar dasar.

Jadi, dengan menandatangani FTA di bawah tuntutan AS, kita juga akan menghapuskan dasar yang mengehadkan pemilikan syarikat oleh pihak asing. Maka, mereka boleh mengambil alih bank dan banyak lagi.

Adakah kita mempunyai pilihan?

Martin Khor: Secara teorinya ada. Tetapi ia melibatkan dua negara dan segala kemungkinan boleh berlaku. Hakikatnya, AS telah menandatangani FTA dengan beberapa negara seperti Singapura, Chile, Mexico, Kanada dan Bahrain. Jika kita lihat FTA yang ditandatangani, ia lebih kurang sama sahaja atau template, ia rangka biasa dengan kandungan biasa.

Misalnya, kita tidak bersetuju berkaitan bab pemerolehan kerajaan dan kita keluarkan bab itu. Mungkin juga kita tidak bersetuju bab pelaburan, harta intelek dan boleh dikeluarkan. Tetapi AS akan berkata, kami tidak bersetuju untuk mengadakan perjanjian. Itu adalah hakikatnya, melainkan kita bersetuju dengan tuntutan mereka, maka perjanjian akan ada.

Pilihan ada. Tetapi bolehkah kita kata duduk berbincang dan berunding bagi menyatakan kita tidak mahu itu dan ini? Mungkin boleh. Tetapi, saya tidak fikir AS akan bersetuju dengan permintaan kita. Dalam erti kata lain, pilihan kita terhad iaitu terima atau tidak.

Pada pandangan saudara adakah perunding- perunding kita sedar perkara ini?

Martin Khor: Saya harap begitu. Saya tidak kata kerajaan menolak segala tuntutan, tetapi apa yang saya maksudkan ialah menyedarkan orang ramai bahawa inilah tuntutan AS.

Sebagai wakil persatuan pengguna saya mahu supaya kerajaan menolak tuntutan tersebut. Kita tidak menyalahkan AS. Mereka berbuat demikian demi kepentingan mereka. Tetapi kita tidak boleh tunduk. Lebih-lebih lagi ia akan menjejaskan orang ramai.

Ia juga akan menjejaskan para petani, sektor perniagaan. Kami persatuan pengguna amat prihatin terhadap kesannya ke atas pengguna. Pada masa yang sama kita tidak mahu sektor perniagaan di Malaysia hancur.

Adakah ini bermakna kerajaan kena tangguh dulu perjanjian FTA dengan AS?

Martin Khor: Janganlah kita terburu-buru dalam perkara ini. Walaupun ada tarikh akhir untuk membuat keputusan, kita boleh menandatanganinya jika sudah bersedia. Banyak isu berkaitan cadangan yang dikemukakan oleh AS. Kebanyakannya menyentuh perkara pokok, termasuk dasar ekonomi Malaysia, pelan pembangunan negara dan juga RMK-9. Matlamat RMK-9 boleh terjejas, begitu juga K-ekonomi melalui peraturan harta intelek dan hak cipta yang merendahkan kemampuan orang dan syarikat tempatan.

Apa yang saya hendak katakan, jika kita tidak membuat keputusan menjelang tarikh akhir iaitu 31 Mac ini, ia bukanlah satu tragedi besar kepada dunia.

Jika benar apa yang kita katakan perjanjian yang dikemukakan AS sebagai template dan meminta anda mematuhi tuntutannya, sekarang adalah baik untuk Malaysia menyatakan pendirian. Misalnya kita tidak boleh memansuhkan dasar pemerolehan yang properniagaan tempatan. Jika benar kita tidak mahu, maka tidak perlu FTA atau mungkin disebabkan kita tidak boleh menerima beberapa tuntutan AS, maka tidak perlu membuang masa.

Kita tidak perlu malu kerana gagal mencapai kata sepakat dalam FTA kerana ia bukan satu peperiksaan. Saya rasa, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz perlu membuat pendirian.

AS dan Malaysia masih boleh menjadi sahabat baik, walaupun tidak mengadakan FTA kerana kita sudah pun menjalin persahabatan sebelum ini. Dan ia mungkin lebih baik apabila pertikaian di bawah FTA dapat dielakkan.

Read more!