Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 28 Mac 2007
Islam adalah agama perdamaian, dan bukannya peperangan. Islam adalah agama nasihat-menasihati, dan bukannya paksaan secara kekerasan.
Jihad paling utama ialah usaha perang melawan nafsu.
Peperangan hanya dilakukan untuk mempertahankan diri dan menuntut hak serta menebus maruah. Itu pun peraturan bagi peperangan amat ketat.
Dalam Islam, tidak ada pengganas, apatah lagi pengebom bunuh diri. Tidak ada senjata pemusnah besar-besaran (WMD), apatah lagi senjata nuklear.
Tetapi apa yang dilakukan oleh segelintir kumpulan Islam mencemarkan nama Islam. Islam dipaparkan sebagai agama pengganas, kekerasan dan peperangan. Jihad menjadi simbol keganasan paling besar. Maka Barat dengan mudah mengambil kesempatan dengan tindak-tanduk umat Islam sendiri untuk menunjukkan keganasan Islam.
Ada sesetengah kalangan intelektual Barat aktif memaparkan bahawa al-Quran adalah kitab keganasan, peperangan dan kekerasan. Mereka menyemai fahaman kebencian terhadap Islam, Islamofobia.
Justeru, dalam zaman di mana Islam dipaparkan demikian, adakah saranan supaya pegawai polis membaca khutbah dengan memegang raifal M-16 akan membantu Islam?
Raifal M-16 dibawa ke dalam masjid sudah cukup untuk dipaparkan kepada dunia bahawa Islam adalah agama kekerasan. Sedangkan orang Islam tidak mencipta raifal. Orang Baratlah yang menghasilkan pelbagai senjata, daripada raifal hingga ke bom nuklear. Merekalah yang ganas. Bukannya umat Islam.
Memang benar Rasulullah s.a.w. dan kemudian khalifah-khalifah memegang pedang semasa berkhutbah. Pedang itu simbol kekuasaan pada zaman itu. Ia bukan tanda kekerasan. Seperti di kalangan pembesar Melayu pada zaman dahulu yang memegang keris sebagai simbol kekuasaan.
Tetapi raifal adalah jauh lebih berbahaya dan ganas daripada pedang atau keris.
Zaman kemudian berubah dan khalifah mengarahkan supaya khatib-khatib tidak lagi memegang pedang semasa membaca khutbah. Atas sebab-sebab tertentu pada zaman itu, mungkin bagi menegah salah guna senjata itu, pedang digantikan dengan tongkat.
Tongkat walaupun hanya kayu tetapi sudah cukup menjadi simbol kekuasaan khatib di masjid.
Setelah beratus-ratus tahun keadaan ini berlaku, maka Revolusi Islam Iran pada tahun 1979 menyaksikan di mana ulama di sana memegang raifal semasa berkhutbah. Mungkin sesuai mereka berbuat demikian kerana ketika revolusi, simbol kekuasaan itu hendak ditegaskan sebagai telah beralih daripada istana Syah Iran kepada ulama.
Tetapi pada zaman dalam keadaan umat Islam diserang Islamofobia di seluruh dunia hari ini, dengan media global mempunyai pengaruh besar, kenyataan ahli politik Islam menggalakkan pegawai polis membaca khutbah memegang raifal hanya akan memburukkan lagi imej agama dan ummah.