Oleh: Muhammad Alias
Sumber: Utusan Malaysia 28 Mac 2007
Pada 25 Mac lalu, Ghana merayakan ulang tahun ke-200 penghapusan perdagangan hamba abdi. Perdagangan manusia yang dianggap tersangat kejam dalam sejarah tamadun manusia berakhir pada 23 Mac 1807.
Tahun itu Britain yang memonopoli perdagangan hamba abdi melarang kemasukan hamba abdi Afrika ke negara tersebut.
Bagaimanapun, Britain hanya mengharamkan hamba abdi pada tahun 1833. Sementara perdagangan hamba abdi diteruskan oleh beberapa pihak lain.
Majlis ulang tahun pengharaman hamba abdi berlangsung di Elmina, Ghana dianggap amat signifikan. Elmina sebuah bandar kecil di pesisiran pantai negara itu merupakan lokasi bermulanya perdagangan hamba abdi secara sistematik dan besar-besaran.
Di bandar inilah Portugis yang merupakan pengasas pedagang hamba abdi kalangan negara-negara Eropah membina sebuah pos perniagaan hamba abdi trans atlantik yang pertama dan kekal pada tahun 1492.
Tahanan
Pos tersebut yang dikenali sebagai Elmina Castle merupakan tempat pemprosesan dan tahanan hamba abdi sebelum dihantar ke Eropah dan benua Amerika selama 450 tahun. Bangunan tersergam berwarna putih, dua tingkat siap dengan gereja dan pejabat serta kediaman gabenor jeneral.
Sementara bilik-bilik kurungan lelaki dan perempuan, bilik seksaan, dan pintu kecil mengarah ke laut yang dikenali the door of no return terletak di bahagian bawah bangunan. Itulah pintu akhir bagi hamba abdi sebelum berjalan bagi satu jarak kira-kira 50 ela ke kapal-kapal yang akan membawa mereka ke Eropah atau ke benua Amerika.
Elmina Castle merupakan satu struktur batu bata yang sangat kukuh terletak di atas bukit kecil. Ia merupakan satu lokasi yang amat strategik baik dari segi mempertahankan diri dari serangan atau mengawal hamba abdi dari melarikan diri.
Selain daripada laut, pos tersebut juga disediakan dengan terusan. Peluang melarikan diri adalah amat nipis.
Penulis pernah beberapa kali melawat Elmina Castle. Ia merupakan tempat pertama dilawati sebaik sahaja tiba di Ghana untuk memulakan tugas.
Ketika mengunjungi Elmina Castle perasaan sedih tidak dapat dibendung. Bilik kurungan yang hanya layak untuk seratus orang penuh sesak dengan hamba abdi. Akibatnya hamba abdi termasuk kanak-kanak kecil hanya boleh tidur sambil duduk. Mereka tidak dibenarkan keluar dari kurungan kecuali untuk mandi sekali sekala dan perjalanan terakhir sebelum memasuki kapal.
Hingga hari ini perigi yang digunakan 450 tahun lalu masih wujud dan boleh digunakan.
Buang air besar dan kecil serta makan semuanya dilakukan di dalam bilik kurungan. Bilik yang sempit dan dicampur dengan udara panas dan bau najis manusia menyebabkan ramai yang diserang penyakit. Jumlah sebenar yang mati di dalam castle tersebut tidaklah diketahui.
Cerita-cerita mengenai castle ini amat memilukan. Hamba abdi perempuan menjadi bahan untuk pihak berkuasa memuaskan nafsu. Mereka boleh memilih sesiapa saja yang mereka suka. Tidak ada yang berani membantah.
Kalau diamati the door of no return pertanyaan timbul bagaimanakah orangorang Afrika yang berbadan besar dapat meluluskan diri melalui pintu yang hanya muat untuk seorang. Apatah lagi ketika melalui pintu ini kaki dan tangan mereka dirantai. Ini membuktikan bahawa tubuh mereka menjadi begitu kurus.
Elmina Castle merupa satu testimoni kepada kekejaman manusia khususnya orang-orang Barat yang mengaku lebih tinggi tamadunnya daripada orang-orang berkulit warna.
Sejarah Elmina Castle banyak dipengaruhi perkembangan politik di kalangan negara-negara Eropah. Selepas Portugis, Belanda mengambil castle tersebut dan akhir sekali Britain. Paling penting bermulalah penjajahan Britain di Ghana.
Sepanjang 450 tahun dianggarkan seramai 11 hingga 60 juta orang hamba abdi dihantar ke Eropah dan benua Amerika. Jumlah sebenar masih menjadi perdebatan. Ini tidak termasuk antara 9 hingga 14 juta hamba abdi dari Afrika Timur yang dihantar ke negara-negara Arab oleh pedagang-pedagang Arab dan Afrika.
Beberapa buah negara Eropah terlibat di dalam perdagangan hamba abdi. Bagaimanapun, Britain, Portugis, Belanda, Sepanyol dan Perancis memainkan peranan yang cukup besar.
Sepanyol merupakan kuasa Barat yang pertama membawa hamba abdi ke benua Amerika iaitu pada tahun 1503. Sementara Britain mendominasikan perniagaan ini buat satu jangka masa yang lama selepas Sepanyol dan Belanda.
Selain dari Elmina terdapat satu lagi pos perniagaan hamba abdi di Senegal. Namun Elmina memainkan peranan yang cukup besar.
Hamba-hamba abdi ini ditawan dengan kerjasama orang-orang Afrika sendiri. Mereka bukan sahaja terdiri daripada orang-orang Ghana bahkan dari negara-negara lain di Afrika Barat seperti Mali, Burkina Fasso, Ivory Coast, Niger dan beberapa buah negara lain.
Hamba-hamba abdi ini terdiri daripada penduduk yang berfahaman animisme dan penduduk Islam. Ketika kuasa-kuasa Eropah tiba di Afrika Barat dan bermulanya perniagaan hamba abdi Islam telah pun berkembang di beberapa buah negara seperti Senegal, Burkina Fasso, Mali dan Niger.
Bagaimanapun, hamba-hamba abdi telah dipaksa menukar nama mengikut nama tuan-tuan mereka selain daripada dipaksa memeluk agama Kristian. Tidak hairanlah sejak beberapa tahun lalu ramai orang-orang Afrika-Amerika yang memeluk Islam menganggap mereka sebagai revert to Islam.
Ramai hamba-hamba abdi yang mati. Antaranya dalam perjalanan darat ke Elmina, ketika ditahan di Elmina Castle, dalam kapal ke Eropah dan benua Amerika dan ketika bekerja di ladang-ladang. Ini tidak termasuk yang dibunuh kerana menentang tuan-tuan mereka.
Banyak implikasi buruk terhadap benua Afrika ekoran dari perniagaan hamba abdi. Penduduk Afrika dikatakan beku buat beberapa ketika. Selain daripada kehilangan rakyatnya yang terbaik. Hamba abdi banyak mempengaruhi psikologi orang-orang Afrika.
Sebaliknya hamba abdi menjadikan negara-negara Eropah dan benua Amerika kaya-raya melalui tenaga buruh percuma.
Perdana Menteri Britain, Tony Blair meluahkan rasa kesal di atas kekejaman yang dilakukan terhadap orang Afrika. Bagaimanapun, beliau enggan memohon maaf terbuka. Mungkin bimbang akan implikasinya khususnya dalam soal pampasan.
Namun beberapa pemimpin Afrika mengakui kekejaman yang dilakukan adalah terlalu besar. Tiada jumlah wang yang boleh menebus kekejaman tersebut.