Legasi jelas Tun Razak

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 18 Jun 2007


SEMINAR Legasi Tun Razak kepada Pembangunan Negara yang berakhir Sabtu lalu memiliki dua kewajaran. Pertama, sememangnya masa ini adalah sesuai untuk memperingati legasi Allahyarham Tun Razak memandangkan negara menyambut ulang tahun hari kemerdekaannya ke-50.

Kedua, seminar itu sememangnya wajar dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO kerana merekalah yang akan mewarisi kepimpinan negara akan datang, dan perlu untuk anggota-anggota pergerakan itu memiliki apresiasi terhadap perjuangan, wawasan dan pencapaian Perdana Menteri Kedua Malaysia itu.

Dalam merayakan ulang tahun kemerdekaan negara, sudah tentu kecenderungan rakyat negara ini untuk menghargai pencapaian Bapa Kemerdekaan iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Sebagai pemimpin politik yang berjaya membawa negara ini mencapai kemerdekaan, maka adalah sewajarnya beliau ditempatkan dalam kedudukan tertinggi dalam sejarah nasional Malaysia. Rakyat juga mesti menghargai kejayaannya mendapatkan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah dalam menentang penjajah. Kaedah diplomasi ini bukannya mudah dan mesti difahami dan dihargai.

Tetapi kejayaan beliau tidak dapat dicapai bersendirian. Ia perlu dilihat dalam konteks. Bagaimana tokoh-tokoh sebelum beliau turut memberi sumbangan, baik daripada kalangan UMNO iaitu pengasasnya Datuk Onn Jaafar ataupun daripada pejuang-pejuang kemerdekaan lain di luar UMNO dan Perikatan.

Tidak kurang penting ialah kejayaan Tunku ini juga disumbangkan oleh timbalannya iaitu Tun Razak. Juga perlu diingatkan betapa Tun Razak yang berjumpa dengan Tunku serta memujuk beliau untuk memimpin UMNO selepas Datuk Onn. Tun Razak tidak pula merebut jawatan Yang Dipertua UMNO walaupun beliau mampu, tetapi sebaliknya mencari Tunku untuk menjadi pemimpinnya. Ternyata sejarah menunjukkan kebijaksanaan Tun Razak itu mendatangkan hasil.

Bagaimanapun kejayaan sesebuah negara tidak hanya setakat mencapai kemerdekaan. Banyak bekas tanah jajahan di seluruh dunia selepas Perang Dunia Kedua turut mencapai kemerdekaan. Tetapi akhirnya kedudukan mereka selepas mencapai kemerdekaan lebih buruk daripada semasa menjadi tanah jajahan.

Faktor pemimpin kedua selepas tokoh yang membawa kemerdekaan adalah amat penting. Di sinilah peranan ini dimainkan oleh Tun Razak dengan jayanya.

Maka dalam memperingati kemerdekaan negara, penghargaan rakyat negara ini tidak wajar kepada Tunku seorang. Ia mesti diimbangkan dengan penghargaan kepada Tun Razak.

Sememangnya terdapat sesetengah golongan yang hanya cenderung untuk menghargai Tunku dan seolah-olah melupakan Tun Razak. Ini kerana mereka berpendapat cara fikir Tunku adalah selari dengan fahaman mereka, tetapi tidak pula terhadap Tun Razak.

Hakikatnya rakyat negara ini terhutang budi kepada kedua-duanya, Tunku dan Tun Razak jika mereka benar-benar mahu menghargai pencapaian Malaysia pada hari ini.

Cuba ingati 10 tahun pertama selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan iaitu dari tahun 1957 hingga 1967, ketika Tunku menjadi Perdana Menteri dan Tun Razak timbalannya. Waktu itu negara ini dalam pergolakan politik dan keselamatan yang dahsyat.

Ketika mula mencapai kemerdekaan, Persekutuan Tanah Melayu begitu mentah dan rapuh, serta masih mencari identiti.

Walaupun kemerdekaan dicapai secara aman, iaitu tidak ada peperangan antara Tanah Melayu dengan Britain tetapi negara ini sedang dilanda dengan konflik.

Pada 31 Ogos 1957, darurat masih berlaku. Ia seolah-olah perang saudara antara kerajaan Perikatan yang dibantu oleh Britain dan negara-negara Komanwel dengan Parti Komunis Malaya (PKM) disokong oleh China dan negara-negara komunis lain.

Tunku berjaya meyakinkan rakyat untuk menentang komunis dan akhirnya Darurat dapat ditamatkan pada 1960. Tetapi ancaman komunis terus wujud dengan mereka berada di Singapura dan Sarawak dengan mendapat sokongan Indonesia ketika itu.

Tunku berjaya menumpaskan ancaman ini melalui penubuhan Malaysia pada tahun 1963 yang hanya mantap selepas kejatuhan Sukarno pada tahun 1964 dan pemisahan Singapura pada tahun 1965.

Walaupun Tunku dapat meraikan kejayaan Malaysia itu dengan selesa ketika hari kemerdekaan ke-10 disambut meriah di Kuala Lumpur pada tahun 1967, tetapi di situ mula menampakkan bibit- bibit ancaman dari dalam negara yang jika tidak bijak ditangani akan meruntuhkan segala pencapaian beliau selama 10 tahun.

Tahun 1967 juga adalah ketika mana Utusan Malaysia mula diterbitkan. Tahun itu jugalah Bahasa Melayu yang telah dinamakan sebagai Bahasa Malaysia pada tahun 1963 dikuatkuasakan sebagai bahasa pentadbiran. .

Dari tahun 1967 hingga tahun 1974, Malaysia berada dalam keadaan yang tidak menentu. Rasa tidak puas hati timbul di kalangan rakyat, khususnya orang Melayu yang digolongkan sebagai bumiputera bersama penduduk peribumi Sarawak dan Sabah sejak tahun 1963.

Pilihan raya tahun 1969 dan peristiwa 13 Mei menjadi titik penting dalam sejarah nasional kerana apa yang akan dilakukan oleh pemimpin negara selepas itu menjadi penentu sama ada projek Malaysia ini akan berjaya atau tinggal menjadi eksperimen yang gagal.

Maka tokoh yang menjadikan projek Malaysia ini berjaya ialah Tun Razak. Penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran), gerakan Muhibah dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah satu aspek penting yang menyumbangkan kepada kejayaan Malaysia.

Tetapi lebih penting lagi ialah jentera politik yang membawa kepada kejayaan ini, iaitu gagasan Barisan Nasional (BN).

Tun Razak mempunyai ruang pemikiran luas dan mampu berfikir keluar daripada UMNO dan Perikatan. Beliau mengajak semua parti politik di negara ini termasuk musuh-musuh ketat UMNO untuk menyertai BN.

Allahyarham turut mengundang DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) tetapi kedua-duanya menolak.

Tetapi BN berjaya ditubuhkan dengan kerjasama Pas dan Gerakan. Kerajaan campuran Perikatan-Pas menjadi asas keseluruhan orde baru politik pembangunan yang ingin diwujudkan oleh Tun Razak.

Setelah kembali lawatan ke Republik Rakyat China, satu perhimpunan raksasa diadakan di Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka), Tun Razak jelas mendapat sokongan rakyat dan memasuki pilihan raya tahun 1974 dengan kemenangan besar.

Siapa yang melalui zaman itu akan dapat ingat betapa tingginya semangat rakyat Malaysia mengenai masa depan. Ekspo Pembangunan diadakan di Stadium Negara. Tun Razak mendapat gelaran Bapa Pembangunan dan projek- projek yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di luar bandar mula menampakkan hasil.

Masa depan bahasa Malaysia ternyata cerah dengan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di mana doktor dan jurutera dihasilkan dengan menggunakan bahasa pengantar sendiri.

Tun Razak mengubah Malaysia daripada sebuah negara dalam pelukan Barat kepada negara berkecuali yang bebas. Sistem ekonomi negara pula bersifat campuran yang mana kerajaan turut memiliki agensi-agensi perniagaan beroperasi bersama dengan syarikat-syarikat swasta dalam pasaran terbuka.

Legasi Tun Razak yang menyelamatkan negara ini dilanjutkan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kini Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.