Oleh: Muhammad Alias
Sumber: Utusan Malaysia 25 Jun 2007
MALAPETAKA menimpa Palestin berpunca daripada campur tangan pemimpinpemimpin Arab. Dalam krisis terbaru mereka sepatutnya mengambil jalan tengah dan berusaha mencari jalan damai. Sebaliknya memihak kepada kumpulan tertentu berdasarkan kepentingan sendiri.
Presiden Hosni Mubarak, Mesir memanaskan lagi suasana dengan menuduh Hamas merampas kuasa di Gaza. Jordan dan Arab Saudi nampaknya bersetuju dengan Hosni dan Mahmood Abbas. Paling memeranjatkan apabila Mahmood menyifatkan Hamas sebagai kumpulan pengganas dan pengkhianat.
Ahmed Yousef, penasihat Ismail Hanieh dalam suratnya yang disiarkan oleh New York Times dan Washington Post pada 20 Jun mendakwa meskipun Hamas memenangi pilihan raya Palestin Januari 2006, Fatah gagal menyerahkan kuasa kepada kerajaan Hamas.
Kesediaan kedua-dua akhbar terkemuka ini menyiarkan surat Ahmed secara total merupakan sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah terjadi sebelum ini. Tambahan pula kedua-dua akhbar tersebut menyiarkannya di hari yang sama.
Hamas didakwa punca segala masalah melanda Palestin. Dosa pertama kerana berjaya mengalahkan Fatah dalam pilihan raya Januari 2006. Dosa kedua kerana enggan mengiktiraf kewujudan Israel.
Dulu Fatah enggan mengiktiraf Israel tetapi kini mereka merupakan rakan dialog.
Krisis Hamas-Fatah berpunca daripada kekalahan Fatah dalam pilihan raya Januari 2006. Selain daripada kehilangan kuasa pemimpin-pemimpin Fatah juga hilang sumber kekayaan. Selama lebih 40 tahun mereka menerima bantuan kewangan (tahunan) dari negara-negara Islam dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Jumlahnya sudah pasti berbilion-bilion dolar.
Ketika Yasser Arafat masih hidup Pihak Berkuasa Palestin didakwa mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan wang. Berjuta-juta dolar dilaporkan dilabur dalam berbagai perniagaan di serata dunia khususnya Eropah.
Soalan timbul apakah tindakan menghalang Hamas berkuasa ada kaitan dengan sumber-sumber kewangan di samping menutup kepincangan berhubung dengan pengurusan kewangan.
Mungkin Fatah juga bimbang Hamas akan menggantikan duta-duta Palestin yang sebahagiannya berkhidmat di sesuatu negara dalam jangka waktu yang cukup lama. Ada antaranya lebih 15 tahun.
Ramai yang menganggap krisis ini bertujuan menjatuhkan kerajaan Hamas. Mahmood seolah-olah Mikhail Gorbachev kepada rakyat Rusia arkitek kemusnahan Soviet Union. Cara kebetulan Mahmood telah disebut-sebut sebagai pengganti Yasser lama sebelum beliau meninggal.
Menurut bekas Presiden Jimmy Carter pilihan raya Palestin Januari 2006 adalah paling demokratik. Lantaran itu beliau mengkritik pentadbiran Bush kerana enggan mengiktiraf kerajaan Hamas dan tindak-tanduk AS yang cuba memecahbelahkan rakyat Palestin dengan menyambung semula bantuan kewangan kepada Tebing Barat sementara terus mengenakan sekatan ke atas Gaza.
Keengganan Hamas mengiktiraf Israel merupakan satu alasan yang sering digembar-gemburkan. Tetapi Hamas membuat cadangan yang cukup konkrit iaitu gencatan senjata selama 10 tahun dengan Israel. Cadangan Hamas bagaimanapun, tidak mendapat sambutan kerana sejak awal lagi banyak pihak-pihak tidak mahu Hamas berkuasa.
Hamas tentu mempunyai strategi sendiri. Mengiktiraf Israel tanpa apa-apa jaminan bukanlah satu strategi yang baik. Hamas pasti belajar daripada kesilapan Yasser. Perjanjian Oslo ditandatangani tahun 1993. Malangnya hingga beliau mati tahun 2004 negara Palestin masih merupai satu mimpi.
Masalah Palestin tidak selesai dengan pemecatan kerajaan Hamas. Mendapatkan semula ratusan juta wang cukai dari Israel yang sememangnya hak Palestin hanya merupakan satu kejayaan jangka pendek. Sedangkan masalah yang lebih besar iaitu penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Mesyuarat kuartet dijangka berlangsung tidak lama lagi. Tetapi mesyuarat tidak akan memberi makna sekiranya perkara-perkara asas tidak dipersetujui. Kini keadaan menjadi semakin rumit ekoran daripada penyingkiran kerajaan Hamas.
Mungkin Mahmood berharap dengan kesukaran yang dihadapi oleh penduduk Gaza mereka akan menolak Hamas dalam pilihan raya yang akan datang. Tetapi sebagaimana kata Carter, Hamas begitu berdisiplin dan teratur lantaran itu mereka berjaya mengalahkan tentera-tentera Fatah yang lebih besar dan lengkap dengan senjata.
Dalam keadaan sekarang nampaknya Rusia dan Presiden Carter lebih realistik dibandingkan dengan Mahmood dan pemimpin-pemimpin konservatif Arab. Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov menggesa Abbas dan Haniyeh menyelesaikan masalah melalui dialog.
Menurutnya, Presiden, kerajaan dan parlimen yang majoriti ahlinya terdiri dari Hamas adalah badan-badan yang sah. Kenyataan seumpama ini pasti memberi tamparan kepada Mahmood dan penyokong-penyokongnya.
Seperti mana Carter, pemerhati-pemerhati politik yang menegur Mahmood bukan kerana cintakan Hamas. Sebaliknya tindakan beliau menyingkirkan kerajaan Hamas yang memenangi 70 undi dalam pilihan raya dikira bertentangan dengan prinsip demokrasi.