Menganalisis video Osama

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 23 September 2007


KENYATAAN pemimpin utama Al-Qaeda, Osama bin Laden dan timbalannya, Ayman Al-Zawahiri melalui video Khamis lalu membawa maksud kumpulan itu telah mengisytiharkan peperangan ke atas sasaran baru.

Osama mengisytiharkan perang ke atas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf sebagai membalas tindakan kerajaan Islamabad menyerang Masjid Lal sementara Ayman pula menggesa perang jihad dilancarkan ke atas pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung masalah Darfur di Sudan.

Kedua-dua video ini disebarkan dengan meluas melalui Internet dan ditambah pula oleh media antarabangsa bersama ulasan-ulasannya, mengiringinya khususnya daripada penganalisis Barat. Sejak kebelakangan ini, hebahan video daripada Al-Qaeda dilihat semakin bertambah. Sejak ulang tahun peristiwa 11 September keenam, Osama sendiri mengeluarkan tiga video.

Media Barat khususnya dari Amerika Syarikat (AS) kelihatan obses dengan video-video ini. Setiap kali ada video baru, mereka terus menyiarkannya dengan ulasan- ulasan daripada pakar-pakar mengenai terorisme.

Malah televisyen yang dianggap mengutamakan video- video ini adalah stesen dari AS iaitu Fox dan bukannya Al-Jazeera seperti tanggapan Barat.

Adakah video-video ini benar? Kesahihannya pun boleh dipertikaikan dan sering kali media akan merujuk kepada pakar-pakar untuk menentukan kesahihannya. Sudah tentu keupayaan pakar-pakar ini juga terhad. Maka kepercayaan penonton haruslah diletakkan pada peringkat yang tidak muktamad.

Itu dari segi kesahihan video. Bagi yang gemar mempercayai teori-teori konspirasi, maka mudah untuk mempertikaikan dan menolak video-video itu. Bagaimanapun secara umumnya, walaupun setiap media mempunyai kecondongan yang tertentu dalam apa saja isu politik tetapi mereka masih mempunyai asas profesional yang kukuh berbanding banyak media di negara-negara Islam.

Bagaimanapun, andai kata video ini betul-betul benar, tetapi bagaimana mereka menyiarkan ulasan-ulasan daripada pakar-pakar terorisme menimbulkan banyak tanda tanya. Keupayaan pakar terorisme itu adalah satu perkara dan bagaimana wartawan itu memetik dan mentafsirkan analisis itu adalah suatu perkara lain.

Namun begitu, para penganalisis Barat mempunyai sumber yang banyak untuk membuat analisis, jauh lebih baik dari kalangan negara-negara Islam, tetapi itu tidak bermakna mereka boleh dipercayai dan disetujui sepenuhnya. Apa saja perkara berhubung geopolitik global wajar dilihat dengan skeptik dan minda terbuka.

Di kalangan orang Islam pula, mereka cenderung untuk menolak apa saja yang datang dari Barat dan menerima ulasan daripada kalangan umat Islam semata-mata. Sedangkan dalam banyak keadaan wartawan dan penganalisis dari kalangan negara-negara Islam mempunyai sumber yang terhad dan integriti profesional yang lebih rendah berbanding dengan mereka di Barat.

Cuba bandingkan ulasan Fox dengan Al-Jazeera terhadap video pertama Osama yang disiarkan sempena ulang tahun peristiwa 11 September baru-baru ini. Dalam ulasan-ulasan yang disiarkan oleh Fox, mesej utama daripada video itu yang diberi tumpuan ialah perisytiharan semula perang ke atas AS dan dunia Barat. Sementara bagi Al-Jazeera, melalui ulasan-ulasan pakar yang dipetik daripada kalangan penganalisis dunia Arab, perisytiharan perang itu adalah perkara lama. Sedangkan mesej penting ialah apabila Osama mengajak rakyat AS memeluk agama Islam.

Tetapi sekali lagi dalam mentafsirkan ajakan rakyat AS memeluk Islam, terdapat perbezaan komentar antara pakar-pakar Barat seperti yang disiarkan oleh Fox berbanding ulasan penganalisis Arab yang ditayangkan oleh Al-Jazeera. Bagi pakar AS, ajakan Osama supaya rakyat negara itu memeluk agama Islam adalah petanda akan ada serangan baru. Ini kerana mereka menyebut bahawa amalan tradisi kuasa Islam ialah mengajak rakyat sesebuah negara bukan Islam memeluk agama Islam sebelum dilakukan serangan. Jika memeluk Islam, maka serangan tidak akan dilakukan. Sekiranya mereka berdegil, maka akan dilakukan serangan.

Analisis ini bertentangan sekali dengan anggapan pakar-pakar politik dari negara-negara Arab yang lebih faham rentak fikir orang Islam dan Osama sendiri. Penganalisis dari negara-negara Arab ini memperlekehkan saja seruan Osama. Ini kerana Osama dan Al- Qaeda sememangnya sedang berperang dengan kuasa- kuasa Barat. Sebarang kenyataan baru tidak pula menunjukkan sebarang perkembangan berbeza.

Sementara dalam tradisi dan sejarah Islam, tidak ada paksaan beragama ke atas orang lain. Lebih-lebih lagi mereka yang beragama Kristian dan Yahudi. Seruan untuk memeluk agama Islam sememangnya sentiasa dilakukan tetapi tiada paksaan menukar agama. Apa yang dilakukan oleh tentera Islam dalam zaman khalifah adalah menuntut supaya mereka menerima pemerintahan khalifah, dan bukannya menukar agama. Itu pun jika mereka memerangi kerajaan Islam.

Sikap Rasulullah s.a.w. terhadap kaum Musyrikin dalam pertembungan politik antara Mekah dan Madinah dalam zamannya adalah tindakan mempertahankan diri di mana umat Islam diusir dan hartanya dirampas. Ketika Perjanjian Hudaibiah berkuat kuasa, orang Islam tidak memerangi Musyrikin yang menyembah berhala.

Menurut pakar-pakar daripada kalangan orang Arab yang ulasannya disiarkan oleh Al-Jazeera, penganalisis Barat terperangkap dengan mitos yang ditanam oleh Orientalis dalam usaha mereka memahami Islam. Mereka percaya bahawa Islam tersebar melalui kekerasan dan paksaan. Sebab itu mereka percaya Osama mahu memaksa Barat memeluk Islam. Sedangkan hakikatnya bukan begitu.

Sebaliknya Osama dan Al-Qaeda bukan saja menganggap Barat sebagai musuhnya tetapi semua kerajaan orang Islam di seluruh dunia termasuk Republik Islam Iran. Bukan saja kerana perbezaan mazhab tetapi juga sebab politik. Kalau hendak ditimbangkan, musuh ketat Al- Qaeda bukannya AS tetapi Iran.

Sebab itu kenyataan perangnya menentang kerajaan Pakistan dan Sudan dapat difahami. Ideologi Al-Qaeda melihat semua kerajaan Islam sebagai musuh kerana disifatkan sebagai sekutu Barat. Baginya, satu-satunya kerajaan yang tidak wajar ditentang ialah Taliban semasa memerintah Afghanistan. Ini kerana bukanlah Taliban dan Al-Qaeda seideologi seperti difahami Barat, tetapi mereka bersekutu dari segi politik dan ketenteraan.

Terdapat perbezaan fahaman politik antara Taliban dengan Al-Qaeda walaupun tidak besar. Osama membantu Taliban kerana Mullah Omar memberi perlindungan kepada kumpulannya.

Jadi tafsiran bahawa ajakan Osama supaya AS memeluk agama Islam adalah petanda terdapatnya serangan baru merupakan satu andaian yang boleh dipertikaikan. Sudah tentu sebagai golongan pengganas yang sedang berjuang menentang AS, mereka sentiasa mencari jalan untuk menyerang kuasa besar itu. Lebih-lebih lagi operasi Al-Qaeda berbentuk rangkaian dan dikatakan, menurut pakar Barat juga, tidak mempunyai saluran arahan biasa seperti organisasi lain.

Sebab itu apabila tersiar video Osama atau Ayman, pakar-pakar di AS membuat analisis dengan menimbangkan sama ada akan berlaku serangan baru. Adalah lebih mudah mempercayai bahawa A-Qaeda akan sentiasa bersedia melakukan serangan pada bila-bila masa.

Menurut satu laporan, pihak-pihak keselamatan AS mempunyai banyak pemantau laman web daripada kalangan orang ramai yang berminat bagi mendapat maklumat terhadap sebarang video atau kenyataan teroris.

Hakikatnya ialah mengapakah penyebaran video ini tidak disekat atau diperkecilkan hebahannya jika pihak keselamatan berpendapat bahawa ia merupakan cara Osama memberi isyarat kepada pengganas-pengganas di seluruh dunia untuk bertindak. Tetapi video-video itu bukan saja dibiarkan lepas tetapi diulas sebegitu rupa untuk menunjukkan bahawa pengganas masih memberi ancaman kepada dunia.

Sudah tentu terdapat kepentingan banyak pihak bagi memastikan keganasan daripada Osama berpanjangan. Ini membolehkan tentera AS sentiasa dalam keadaan bersedia. Perlu diingat bahawa sejak aktivisme teroris moden bermula pada kurun ke-19 oleh golongan Anarkis di Eropah khususnya Britain dan Rusia, mereka amat memerlukan media bagi mencapai objektif propaganda.

Sering kali kalangan Barat cenderung untuk menyifatkan bahawa keganasan berasal daripada Islam, iaitu kepada kumpulan Hasyasyin (nama ini menjadi Assasin dalam bahasa Inggeris yang bermakna pembunuh orang politik) yang bergerak pada zaman Abasiah dahulu. Tetapi Hasyasyin hakikatnya adalah kumpulan politik yang menggunakan kaedah pembunuhan secara tradisi yang terdapat dalam banyak masyarakat zaman Pertengahan, bukan saja daripada kalangan orang Islam saja. Ia muncul di China, Jepun, India dan Eropah sendiri.

Kaedah terorisme moden mulanya muncul di Eropah kerana ia membabitkan penggunaan bom dan memiliki nilai propaganda yang memerlukan media, iaitu akhbar pada kurun ke-19. Semasa kemunculan pengganas golongan Kiri seperti tentera Merah Jepun (JRA), ia sudah bertambah canggih kerana ia menggunakan televisyen bagi mendapatkan nilai propagandanya.

Kini Al-Qaeda menggunakan Internet sebagai saluran penyampaian nilai propaganda tindakannya. Video-video yang disalurkan melalui Internet ditambah sebar melalui televisyen satelit. Internet dan televisyen satelit mempunyai asal-usul daripada inovasi angkatan tentera AS.

Ketika zaman ancaman pengganas golongan kiri sering kali dihujahkan bahawa antara cara membendung propaganda pengganas ialah dengan menafikan hebahan daripada mereka. Akhbar, radio dan televisyen dihalang menyiarkan kenyataan pengganas kerana dianggap akan menggalakkan mereka untuk terus melakukan aktiviti demikian. Halangan ini adalah demi keselamatan. Tetapi pada masa ini, Internet dan televisyen satelit tidak boleh dihalang tetapi boleh dibendung demi keselamatan.

Bayangkan bagaimana Al-Qaeda hendak menyiarkan video-video hebahannya jika tidak ada kemudahan Internet. Tentu matlamat propagandanya terbantut. Hakikat bahawa aktivisme keganasan memerlukan sasaran yang spektakular atau sarat propaganda dapat dilihat dengan pemilihan Pusat Dagangan Dunia (WTC), Pentagon dan Rumah Putih sebagai tempat rempuhan kapal terbang dalam peristiwa 11 September.

Jika sekadar serangan kecil-kecil, bom di sana sini, ia tidak membawa kesan propaganda. Rempuhan terhadap WTC ini diabadaikan melalui televisyen yang kameranya menyiarkan secara langsung. Ini menjadikan serangan itu sebagai paling terbesar pernah dicapai oleh mana- mana kumpulan pengganas sejak kurun ke-19. Kini setiap tahun, ia diperingati pada 11 September dan seluruh jentera media AS menjana pelbagai sudut dan gambaran aktiviti keganasan. Objektif Al-Qaeda sudah tercapai. Jika ia mahu melakukan satu serangan baru, kumpulan itu perlu mencari sasaran yang lebih besar.

Tetapi dengan Al-Qaeda benar-benar menjadi ancaman kepada dunia, ada juga pihak yang boleh menggunakan keadaan ini untuk kepentingan mereka. Difikirkan bahawa betapa senjata-senjata pelbagai jenis dihantar oleh AS ke Pakistan untuk dibawa ke Afghanistan pada tahun-tahun 80-an. AS di bawah pimpinan Presiden Ronald Reagan, antara pemimpin AS paling popular di kalangan rakyatnya mahu supaya Mujahidin mempunyai senjata yang mencukupi untuk melawan Kesatuan Soviet. Tentera AS tidak terlibat dan nyawa tentera mereka tidak menjadi pertaruhan. Tetapi pertempuran sengit antara kerajaan komunis Afghanistan yang dibantu oleh tentera Soviet dengan Mujahidin mendatangkan kesengsaraan dahsyat bukan saja bagi rakyat Afghanistan tetapi juga Soviet. Yang paling untung dalam proses ini ialah pembuat senjata di AS.

Setelah komunis tumbang, Mujahidin pula berkelahi sesama sendiri. Mereka terus menggunakan senjata yang dibekalkan. Kemudian Taliban masuk ke pentas politik di Afghanistan. Mereka juga dibekalkan oleh senjata yang banyak oleh Pakistan.

Sekarang peperangan berterusan pula antara Taliban dengan kerajaan Hamid Karzai di satu pihak; dan antara Al-Qaeda dengan AS. Siapakah yang membekal senjata kepada Al-Qaeda? Tentunya ia buatan dari negara-negara Barat. Pembuat senjata terus mengaut keuntungan.

Maka adalah menjadi kepentingan pembuat senjata untuk memastikan peperangan ini berlanjutan kerana keuntungan menjadi milik mereka. Mereka juga mengaut keuntungan dengan video-video Osama dan imej rempuhan pesawat ke atas WTC. Paparan-paparan ini akan memastikan dunia dalam keadaan peperangan berpanjangan.