Rakyat lawan tentera di Myanmar

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 30 September 2007


SEPANJANG 10 hari lalu adalah minggu kebangkitan rakyat Myanmar menentang kerajaan junta tentera. Beribu-ribu orang termasuk sami Buddha ke jalan raya berdemonstrasi dan darah sudah tumpah akibat serangan balas pihak tentera.

Apa yang banyak pihak jangkakan akhirnya berlaku. Ternyata rakyat Myanmar sudah kehilangan sabar menanti perubahan demokrasi. Janji demokrasi tinggal janji hinggakan negara-negara ASEAN yang membela Myanmar di depan dunia kecewa kerana keengganan Yangon untuk berubah.

Sudah 19 tahun rakyat Myanmar bersabar dengan kerajaan tentera walaupun mereka pasti tidak lupa atau memaafkan pembunuhan pada 8 Ogos 1988. Pada tarikh itu beribu- ribu rakyat Myanmar yang menunjuk perasaan terbunuh oleh peluru tentera.

Mereka dengan jelas menolak junta tentera yang jelas hilang kesahihannya apabila enggan menyerahkan kuasa kepada Liga Nasional bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi yang menang besar dalam pilihan raya tahun 1990.

Junta tentera yang menamakan dirinya sebagai Majlis Perdamaian dan Pembangunan Negara (SPDC) menggunakan pelbagai cara untuk mengesahkan kedudukan. Hinggakan nama asal negara itu, Burma ditukar kepada Myanmar tanpa persetujuan mana- mana Dewan yang mewakili rakyat. Ibu negara Rangoon ditukar kepada Yangon dan kota pentadbiran dipindah ke Nay Pyi Taw.

SPDC menggantikan nama lama junta, iaitu Majlis Pemulihan Undang-undang dan Peraturan Negara (SLORC) yang ditubuhkan selepas rusuhan 1988. Sepatutnya majlis hanya untuk memulihkan undang-undang dan peraturan dengan mengadakan pilihan raya dan menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam.

Tetapi junta tentera pimpinan Than Shwe terus memegang kuasa dan mengubah majlis kepada SPDC bagi menekankan usaha untuk perdamaian dan pembangunan. Maknanya, junta ingin mendapatkan kesahihan pemerintahannya melalui usaha menyemai perdamaian dan pembangunan. Mereka menggambarkan bahawa usaha itu adalah persediaan kepada keadaan yang mana akhirnya demokrasi akan turut dilaksanakan.

Bagaimanapun setelah menunggu 17 tahun, rakyat Myanmar yang tidak percaya kepada janji tentera akhirnya turun ke jalan raya juga. Bagi mereka, pihak tentera hanya mahu memegang dan membolot kuasa.

Dalam konteks Asia Tenggara, pemerintahan tentera bukanlah perkara asing. Dua negara besar di Asia Tenggara turut mempunyai tentera memainkan peranan besar dalam politik. Mereka ialah Indonesia dan Thailand. Sementara dalam konteks Asia, kerajaan tentera yang terkenal ialah Pakistan dan Turki. Umumnya, pemerhati politik melihat bahawa apabila tentera sudah keluar kem dan menguasai kerajaan, amat sukar untuk mengheret mereka kembali ke berek. Maklumlah, mereka memiliki senjata dan itulah asas kepada kekuasaan.

Tetapi lama-kelamaan darah rakyat adalah lebih kuat daripada peluru senjata. Kuasa senjata mesti diletakkan di bawah kerajaan awam. Pemerintahan demokrasi mempunyai tiga cabang iaitu legislatif, eksekutif dan judikatif. Tentera bukanlah satu cabangnya.

Debat mengenai peranan tentera sering dibincangkan apabila bercakap mengenai politik di Indonesia, Thailand, Pakistan dan Turki. Pihak tentera yang ingin terus berkuasa mengemukakan pelbagai sebab mengapa mereka perlu berperanan. Antaranya adalah fungsi sebagai pelindung jati diri dan kedaulatan negara. Justeru, pihak tentera di Turki bercakap mengenai sekularisme sebagai jati diri negara yang perlu dipertahankan oleh tentera, walaupun ditolak oleh rakyat. Pihak tentera Pakistan bercakap mengenai peranan tentera mempertahankan kedaulatan negara daripada perpecahan dan pencerobohan luar, yang memerlukan mereka aktif dalam politik. Alasan bahawa mereka mahu melindungi negara daripada ahli-ahli politik korup juga sering dikemukakan. Inilah alasan junta tentera Thailand dan Pakistan.

Mungkin timbul persoalan mengapakah ahli-ahli politik cenderung untuk terlibat dengan korupsi berbanding pihak tentera. Dalam persekitaran di negara-negara Dunia Ketiga, di mana institusi demokrasi lemah dan tidak dihormati, maka kekuasaan harus bersandarkan kepada kekuatan iaitu senjata. Maka itulah yang dimiliki oleh tentera dan bukannya ahli politik awam. Maka ahli politik ini perlukan wang sebagai senjatanya. Dalam persekitaran integriti yang lemah, korupsi merupakan kaedah mendapatkan wang untuk membeli sokongan.

Itulah yang berlaku dalam politik Indonesia. Presiden Suharto mendapat kuasa pada tahun 1965 atas kekuatan tentera dengan meminggirkan ahli-ahli politik awam. Bagi mendapatkan kesahihan, beliau mewujudkan sistem di mana parti-parti politik dikawal dengan kelihatan demokrasi berlaku tetapi hakikatnya tentera yang berkuasa.

Kemudian penekanan kerajaan Indonesia ketika itu adalah kepada ketenteraman awam dan pembangunan. Tetapi dalam proses ini, ahli-ahli politik yang mendukung sistem ini turut terjebak dalam korupsi hingga akhirnya pada tahun 1997, semuanya runtuh atas desakan gerakan reformasi.

Tetapi kejayaan Suharto kelihatan mahu dicontohi oleh junta tentera Myanmar dengan usahanya untuk menekankan kepada soal keamanan dan pembangunan. Kalau mereka dapat mendatangkan pertumbuhan ekonomi di Myanmar, maka kesahihan politik mungkin dapat diperoleh seperti yang diterima oleh Suharto. Ia juga mahu mewujudkan sistem politik yang mengawal parti-parti bagi menyokongnya. Bagaimanapun parti yang menyokong rejim, Parti Perpaduan Nasional (NUP) hanya mendapat 10 peratus undi dalam pilihan raya tahun 1990.

Justeru Myanmar tidak dapat mengikut jejak kejayaan Indonesia semasa pemerintahan Suharto dahulu. Suharto berjaya meminggirkan semua pihak yang menentangnya dengan penyusunan semula struktrur pilihan raya pada tahun 70-an dahulu.

Satu lagi perkara penting yang mana jeneral-jeneral Myanmar itu gagal berbanding dengan Indonesia ialah berhubung dengan sokongan dari Barat. Suharto mendapat sokongan luas dan mendalam dari Amerika Syarikat (AS) dan Barat. Tetapi Barat memihak kepada Aung San Suu Kyi.

Walaupun Barat menganggap sistem politik Suharto sebagai tidak demokratik tetapi mereka melihat alternatif kepada beliau adalah komunisme, atau lebih buruk lagi fundamentalisme Islam.

Sebaliknya Aung San Suu Kyi dan NLD adalah sefahaman dengan mereka, iaitu demokrasi liberal. Maka tidak ada sebab untuk Barat menyokong junta tentera, tidak seperti apa yang mereka berikan kepada Indonesia, Thailand, Pakistan dan Turki.

Justeru tidak hairanlah kalangan junta tentera di Yangon mengaitkan Suu Kyi dan NLD sebagai pihak yang membawa kepentingan Barat. Maka adalah lebih penting bagi junta tentera mempertahankan kedudukannya menjaga kepentingan nasional Myanmar.

Dalam hal ini, dapat dilihat pula betapa persaingan kuasa serantau antara Barat dan China. Ini kerana China dilihat membantu Myanmar untuk membangun dalam keadaan dipencilkan oleh Barat. Selain itu Myanmar juga menggunakan ASEAN untuk mendapatkan kesahihan. Bagi ASEAN pula, mereka lebih mempercayai pendekatan rundingan. Biarlah junta tentera dengan sukarela menyerahkan kuasa.

Ini kerana demokrasi sebagai ideologi bukan semata-mata diwujudkan untuk kepentingan rakyat tetapi ada kalanya digunakan sebagai alat oleh Barat untuk menguasai kedudukan politik dan ekonomi sesebuah negara.

Myanmar adalah negara besar dalam Asia Tenggara, mempunyai sumber asli yang masih belum diteroka dan tentunya menarik minat pelabur. Malah dalam konteks Asia Tenggara, negara yang berpotensi besar untuk bangkit ialah Myanmar dan Vietnam. Mereka boleh mengalahkan Indonesia, Thailand dan Filipina.

Buat masa ini, China mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Myanmar. Bagi China yang tidak mengamalkan demokrasi liberal, apa yang penting ialah kestabilan bagi mewujudkan pembangunan ekonomi. Fahaman yang sama berlaku di Vietnam. Maka ia dilihat sesuai untuk Myanmar.

Tanpa demokrasi liberal, negara tidak mudah dibolos oleh pihak asing yang akan masuk melalui parti-parti politik, dengan pemimpinnya terdedah kepada rasuah. Begitulah hujah aliran pandangan sedemikian.

Tetapi terdapat perbezaan antara China dan Vietnam berbanding Myanmar. Walaupun ketiga-tiganya tidak mengamalkan demokrasi liberal tetapi China dan Vietnam diperintah oleh ahli-ahli politik awam, walaupun dari kalangan parti komunis. Sedangkan kerajaan Myanmar adalah junta tentera yang ditolak dalam pilihan raya dan juga di jalan raya.

Rakyat tidak percaya bahawa Suu Kyi, anak pejuang kemerdekaan adalah pengkhianat negara. Mereka mahu Myanmar yang demokratik, moden, maju dan membangun. Malah sami-sami Buddha mereka juga.

Maka kalau Megawati Sukarnoputri ditampilkan oleh rakyat Indonesia bagi menentang Suharto dan tentera-tenteranya, maka begitu juga dengan Suu Kyi. Dalam keadaan sebegini, jika China dan ASEAN dengan tegas turut menyebelahi Suu Kyi, junta tentera Myanmar akan terpencil.

Dunia umumnya menyeru supaya tentera Myanmar menahan diri daripada melakukan kekerasan terhadap penunjuk-penunjuk perasaan. Mereka tidak mahu pembunuhan ramai pada 1988 berulang. Tetapi siapakah yang boleh menjamin kejadian itu tidak berulang? Dalam hal ini, ASEAN yang selama ini berusaha mencari penyelesaian tentu kecewa sementara tanggungjawab selanjutnya terletak di bahu Beijing yang masih menggesa tidak mencampuri urusan lain.

Akhirnya dunia akan memerhati AS untuk melakukan sesuatu. Kalau AS boleh melakukan perubahan rejim di Afghanistan dan Iraq, patutkah ia turut campur tangan dalam Myanmar? Setakat ini, desakan AS adalah ke atas China untuk melakukan sesuatu.

Bagaimanapun, bagi rakyat Myanmar lebih-lebih lagi para penunjuk perasaan, mereka tidak lagi dapat menerima pemerintahan tentera. Mereka mahu menjadi negara normal, diperintah oleh ahli-ahli politik awam melalui Parlimen di mana ekonomi dibuka untuk semua lapisan rakyat.

Zaman kerajaan tentera dan pemerintahan autokratik sudah berlalu. Rakyat Myanmar pasti mahu negara mereka turut aktif dalam ASEAN dan masyarakat antarabangsa.

Myanmar mencapai kemerdekaan pada 1948 setelah menjadi tanah jajahan Britain yang meletakkannya sebagai wilayah dalam India. Tetapi sejak 1962, ia diperintah tentera dengan nama Kesatuan Sosialis Burma di mana sektor ekonomi mereka ditutup.

Ketika rejim-rejim komunis tumbang dan kedudukan Myanmar sebagai negara penampan kepada dua kuasa bertelagah sudah berubah, maka sewajarnya ia muncul sebagai negara demokratik dan berdaya maju bermula ketika rakyatnya memilih NLD sebagai parti pemerintahnya.

Tetapi pihak tentera menghalang proses ini. Jadi adakah tentera yang semestinya bersifat patriotik dan nasionalistik menghalang kehendak rakyat untuk maju?