Oleh: Ku Seman Ku Hussain (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 26 Jun 2004
Untuk apa sesebuah festival filem diadakan? Untuk bersuka ria dalam suasana pesta, mengagih-agihkan trofi atau menilai pencapaian pada tahun yang sama? Sewajarnya bagi iklim penghayatan seni yang nipis negara ini, festival filem wajar didukung oleh ketiga-tiga perkara itu.
Sebenarnya di negara luar, festival filem adalah acara penghayatan seni.
Festival filem akan dimuatkan dengan forum, diskusi yang topiknya serius selain menayangkan filem-filem pelbagai genre. Tujuannya menghayati dan menghargai karya seni yang dihasilkan.
Festival filem penting bagi sesebuah negara yang mempunyai aktiviti pembikinan filem. Ia boleh saja dianggap sebagai `kenduri' yang diusahakan oleh warga karyawan filem untuk mereka sendiri.
Elemen `kenduri' dalam masyarakat Melayu ini juga wajar ada dalam festival filem tempatan.
Tujuannya untuk melupakan sementara kekangan birokrasi, protokol dan soal remeh-temeh yang selalu menjadi perkara penting dalam birokrasi.
Tetapi nampaknya kita belum bersedia untuk menjadikan festival filem sebagai kenduri, sambil bersuka ria, bertegur sapa, kita menilai hasil yang dituai pada tahun yang sama.
Festival Filem Malaysia (FFM) yang masuk kali ke-17 malam ini tidak meminjam konsep di atas. FFM sejak dulu lagi meminjam konsep Anugerah Academy yang kelihatan lebih kemilau berbanding acara kenduri.
Dalam direktori festival, Festival Filem Cannes dianggap lebih berprestij. Filem-filem yang dinobatkan oleh Festival Filem Cannes jauh lebih hebat dan kontroversi berbanding Anugerah Academy di Amerika Syarikat (AS).
Sejak 1929, Anugerah Academy memang merangka konsep yang gemerlapan dengan bintang-bintang. Di atas pentas, pemberi trofi silih berganti dan mereka adalah kalangan celebrity Hollywood. Tetapi Festival Filem Cannes memilih konsep yang lebih ringkas dan padat.
Bagi warga filem di dunia, mereka lebih menghormati Festival Filem Cannes berbanding Anugerah Academy. Tetapi kalangan masyarakat tempatan kita, mereka lebih mengenali Anugerah Academy yang selalu disebut Anugerah Oscar.
Lalu tidak hairanlah kalau di sini Oscar lebih popular daripada Anugerah Palm d'Or dari Cannes.
Malam ini adalah acara kemuncak FFM-17 yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Malam ini juga akan diumumkan penerima beberapa anugerah utama seperti Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Aktor Terbaik dan Aktres Terbaik.
Setakat ini belum diketahui siapa yang akan menjulang trofi kemenangan. Cuma yang pasti malam ini tetamu di Dewan Merdeka akan sesak nafas dengan ucapan terima kasih yang berjela-jela oleh pemenang.
Malah tetamu juga kena bersedia untuk merasa rimas dengan pertanyaan "Apa khabar?'' oleh pasangan artis yang akan menyampaikan trofi. Itulah dialog yang paling banyak disebut sejak FFM-1 dan mungkin juga yang ke-17 ini.
Mungkinkah ucapan di atas pentas perlu diskripkan? Kita boleh sama-sama memikirkan kewajarannya setelah artis-artis kita `kehilangan' kata-kata yang tajam dan bernas di pentas.
Dari segi pertandingan, kali ini memperlihatkan persaingan sengit. Antara 23 filem yang bertanding, ada tiga atau empat filem yang dihasilkan dengan baik.
Sekiranya filem-filem ini tewas di gelanggang sendiri, bintangnya mungkin menyinar di festival lain di luar negara.
Secara umum, biarpun selepas 23 tahun bidang perfileman diberi perhatian oleh kerajaan dengan penubuhan Finas, kilauan yang boleh membanggakan kita masih jauh. Kalau filem-filem yang menyertai FFM-17 dijadikan indikator, yang bergerak hanya waktu bukan mutu karya.
Acuan pemikiran filem-filem yang menyertai FFM-1 dua dekad lalu masih wujud dalam filem-filem yang menyertai FFM-17 ini.
Maknanya selepas dua dekad kita tidak menyaksikan perubahan yang ketara sama ada dari segi mutu dan jumlah filem yang dihasilkan.
Malam ini selepas Dewan Merdeka ditinggalkan dengan cebisan-cebisan perada (kertas kilat) berkilau di pentas, tamatlah mimpi sementara filem kita.
Esok realiti hidup seperti biasa, wira Hollywood Spiderman 2 menunggu akan menguasai panggung kita. Korporat pun turut menaja.
Katakan apa lagi kalau bukan kita terpaksa bersaing dengan mereka?