Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 13 Jun 2004
MASSA tidak sepatutnya mati. Tetapi hakikatnya hayat majalah mingguan bahasa Melayu yang tunggal ini terpaksa berakhir sekalipun baru berusia sembilan tahun atau 448 keluaran pada 5 Jun lalu.
Massa bukan majalah hiburan atau majalah cerita hantu yang persaingannya cukup sengit. Tetapi Massa sebagai majalah berita mingguan langsung tidak ada saingan (dalam bahasa Melayu). Kalau adapun mungkin majalah Minda tetapi diterbitkan sebulan sekali. Jadi kenapa ditutup?
Tentu banyak yang tidak bercakap tentang penutupan Massa kerana keluaran terakhir hanya mencatatkan jualan 6,000 naskhah. Kalau bercakap pun hanya kalangan 6,000 pembeli atau lebih kurang 18,000 pembaca setia yang memanjangkan hayat Massa hingga keluaran ke 448.
Kenapa begitu malang sekali nasib majalah yang berunsur serius, sama ada bahasa Inggeris atau Melayu? Apakah kita tidak mempunyai banyak orang cerdik pandai dalam kelas menengah dan elit untuk membeli majalah jenis ini?
Apakah penutupan Massa disebabkan oleh kebiasaan rakyat kelas menengah dan elit membaca majalah bahasa Inggeris keluaran asing seperti Time, Newsweek, Far Eastern Economic Review, The Economist dan sebagainya? Tanggapan ini sebenarnya tidak semuanya benar. Penjualan majalah bahasa Inggeris ini juga tidak terlalu jauh berbanding Massa. Jadi persoalannya apa sudah jadi dengan budaya membaca bahan serius di kalangan masyarakat kita?
Persoalan ini dilontarkan bukan kerana Massa ditutup. Sebaliknya faktor yang mendorong penutupan Massa wajar menjadi satu indikator untuk kita melihat secara mikro tahap membaca bahan-bahan serius di negara ini.
Faktor penutupan majalah seperti Massa sebenarnya berkait-kait antaranya prejudis bahasa, sikap pengiklan, sikap masyarakat dan akhir sekali mungkin sajian yang diberikan kepada pembaca. Semuanya ada kemungkinan.
Secara mudah majalah yang seperti Massa tidak dapat diteruskan penerbitannya kerana jumlah jualan yang kecil. Apabila jualan kecil tidak ada pengiklan yang memasukkan iklan mereka. Apabila jualan kecil dan tidak ada iklan, tidak ada majalah yang dapat bertahan kecuali yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Tetapi jawapan mudah dari sudut perniagaan itu sebenarnya tidak mudah untuk menjawab pertanyaan lain yang lebih rumit misalnya di mana tahap membaca bahan serius di kelas menengah dan elit? Sebenarnya bukan Massa saja yang mendepani krisis ketiadaan pembaca, penerbitan serius dalam bahasa Inggeris juga serupa. Lalu apa masalah sebenarnya?
Tetapi penerbitan dalam bahasa Inggeris agak lebih bernasib baik kerana sikap prejudis kepada bahasa Melayu memberi laluan kepada pengiklan memilih penerbitan berkenaan. Statistik oleh Audit Bureau of Circulation (ABC) menunjukkan majalah Melayu hanya meraih RM31 juta peruntukan iklan berbanding majalah Inggeris sebanyak RM91 juta.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Mohamad Md. Yusof dalam tulisannya dalam Utusan Malaysia 9 Jun lalu bertanya, adakah majalah bahasa Melayu tidak layak untuk iklan? Pertanyaan ini juga menarik untuk dihubungkan dengan penutupan Massa kerana majalah itu tidak ada iklan.
Mohamad menghujah mitos majalah bahasa Inggeris lebih berkomunikasi dengan orang yang mempunyai kuasa membeli juga mendorong pengiklan memilih medium kerana faktor bahasa.
Itu statistik yang memperlihatkan kedudukan majalah Melayu dari sudut industri. Bagaimanapun di luar sudut perniagaan dan prejudis pengiklan, kecundangnya majalah berunsur serius wajar juga dilihat daripada faktor sikap masyarakat terhadap bahan bacaan serius.
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Prof. Madya Dr. Darussalam Abu Bakar berkata, minat membaca tidak disemai di peringkat sekolah lagi. Sekarang ini pelajar kurang membaca pun boleh lulus cemerlang dalam peperiksaan.
"Lalu mereka pula bertanya apa perlunya membaca kalau kurang membaca pun boleh lulus peperiksaan?'' kata Dr. Darussalam. Beliau pernah membuat kajian mengenai hubungan media dan bahan hiburan mendapati tidak ada keseimbangan antara kecenderungan memilih bahan bacaan hiburan atau santai dengan bahan bacaan serius.
"Orang boleh mendapat maklumat dengan pantas secara online dan ini juga menyumbang kepada faktor kenapa mereka tidak membaca bahan bercetak untuk mendapat maklumat,'' jelas Dr. Darussalam.
Jumlah jualan majalah serius berbahasa Inggeris menunjukkan masyarakat tempatan tidak gemar membaca bahan-bahan serius. Kita boleh menjadikan majalah Massa, Malaysian Business atau sebelum ini Era sebagai indikator bahawa masyarakat yang kelihatan moden dan elit sebenarnya menjauhkan diri daripada bahan bacaan seperti ini.
Sejak awal lagi Kumpulan Utusan realistik dengan kesukaran mengumpul pembaca bagi Massa. Sebelum Massa, sebuah majalah berita mingguan, Era diterbitkan pada 1985 tetapi berakhir dua tahun kemudian. Selepas ketiadaan Era, wujud satu vakum dan tidak ada penerbit yang berani mengambil risiko untuk menyambung impian Era. Lalu pada 16 September 1995 Massa dengan penuh tanggungjawab berusaha mengisi vakum itu; mingguan berita bahasa Melayu.
Dr. Darusaalam menambah, dalam bahan bacaan hiburan atau santai seperti cerita hantu wujud satu elemen yang dipanggil wild and crazy yang memancing pembaca. Tetapi elemen ini tidak ada dalam bahan bacaan serius atau separuh ilmiah.
Penerbit majalah Era tahun 1985, Datuk Baha Zain mengakui perit dan jerihnya untuk menjual majalah berita mingguan Era sekalipun Era tidak ada persaingan di pasaran.
Beliau agak kecewa dengan penutupan Massa kerana katanya, Era terpaksa ditutup kerana beliau hanya mempunyai Era dan tidak ada majalah lain yang boleh menyumbangkan sedikit keuntungan kepada Era.
"Saya berasa rugi apabila Massa ditutup kerana sudah tiada lagi majalah berita mingguan berbahasa Melayu di pasaran,'' kata Baha.
Jadi benarlah kelas menengah dan elit kita sangat malas membaca bahan yang separuh ilmiah atau serius. Kecenderungan membaca bahan begini tidak berubah dari tahun 1985 dengan Era hingga Massa 2004. Pembaca keluaran terakhir Era tahun 1985 sebanyak 6,000 naskhah sama dengan jumlah pembaca keluaran terakhir Massa sekalipun senggang masanya hampir dua dekad.
Bagaimanapun Ketua Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof Dr. Rahman Saari tidak setuju kalau dikatakan kelas menengah dan elit tidak banyak membaca. Bagi Dr. Rahman, ada faktor lain yang membuatkan mereka tidak membaca majalah-majalah yang dimaksudkan.
"Kalau mereka tidak membaca, Pesta Buku Antarabangsa tidak diadakan setiap tahun. Orang pergi pesta buku hendak membeli buku, selepas beli mereka baca,'' tegas Dr. Rahman.
Beliau melihat majalah berkenaan tidak sampai kepada sasaran sekalipun isi kandungannya bermutu. Dr. Rahman mengesyorkan penerbit majalah lebih proaktif untuk membawa majalah berkenaan kepada pembaca daripada menunggu pembaca datang kepada mereka.
Suatu yang banyak pihak lupa ialah pengeluaran permit untuk bahan bacaan ringan terlalu banyak. Malah bahan-bahan bacaan yang bercorak hiburan atau misteri tidak pula disukat kewajarannya seperti pengeluaran barangan lain menerusi Sirim. Pengeluaran majalah tidak ada kelulusan sebuah badan seumpama Sirim untuk memastikan bahan bacaan itu selamat atau sebaliknya kepada masyarakat.
Wajar ada sukatan, kalau untuk majalah hiburan mesti ada sukatan hiburan yang bagaimana, begitu juga untuk majalah cerita misteri supaya industri penerbitan majalah dilihat secara makro memang berkembang pesat. Tetapi secara mikro, yang berkembang pesat sebahagian besarnya menyumbang kepada sikap menolak bahan bacaan yang serius dan membina.
Orang kita wajar berasa malu dengan tradisi membaca bahan serius oleh masyarakat Indonesia. Lihat saja majalah Tempo, pengaruh dan jumlah pembacanya bukan kepalang. Selepas ``dibunuh'' oleh rejim Suharto, muncul bagai cendawan majalah yang membawa bahan bacaan dan idealisme yang serupa; Editor dan Gatra. Kemudian muncul pula Forum, Tiras dan Sinar.
"Nasib yang menimpa Massa sama seperti majalah saya, Minda. Jualan hanya 6,000 naskhah saja. Entah sampai bila boleh tahan,'' demikian kata Jalil Ali Ketua Pengarang Kumpulan Karangkraf yang menerbitkan majalah bulanan Minda.
Orang kita membaca apa? Satu majalah Massa pun mereka tidak dapat pertahankan? Massa menjadi terlalu kerdil berbanding Tempo bukan kerana kerdilnya pengisian Massa. Tetapi Massa kerdil kerana sikap sebahagian daripada kita yang tidak membacanya. Adakah masyarakat hari ini berundur dan memilih kisah-kisah hantu atau bahan bacaan yang bertaraf wild and crazy sebagai santapan minda?