Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 27 Jun 2004
GRO adalah singkatan daripada Guest Relation Officer. Dalam bahasa Melayu ialah Pegawai Perhubungan Pelanggan. Dalam bahasa yang semua orang faham GRO adalah pekerja seks. Sama ada bahasa Inggeris atau bahasa Melayu GRO disekutukan dengan kegiatan memperagakan dan menjual diri untuk mendapatkan wang. Maknanya GRO bukan saja satu kerjaya yang tidak mulia malah sangat menjijikkan.
Kalau ada pihak mahu mempertahankan GRO bekerja mengikut aturan hidup yang betul dan mencari rezeki halal, kita boleh bahas pada forum yang lain. Tetapi untuk kali ini GRO hanya disamaertikan dengan pelacur yang menjual diri untuk mendapatkan wang. Simpan dulu hujah anda kalau anda menemui ada GRO yang baik dan mulia.
Apabila istilah GRO membawa pengertian yang tidak baik sekali gus boleh memalukan kalangan wanita. Maka hujah mengenai GRO wajar berhati-hati. Dakwaan mesti disokong dengan fakta-fakta supaya tidak kelihatan ada unsur prejudis, retorik dan hujah yang dangkal.
Kesan psikologi, trauma dan dimalukan bukan dirasai oleh GRO. Sebaliknya wanita lain yang menanggung kesan psikologi ini. Apalagi kalau spesifik kepada kelompok tertentu. Maka atas alasan apa sekalipun, hujah mesti berasaskan fakta. Malah bukan saja fakta, kredibiliti pihak yang mengeluarkan fakta juga sangat penting.
Kerana itu apabila Penasihat Majlis Belia Kelantan (MBK) Mustapa Yaacob mendakwa 13,000 gadis Kelantan jadi GRO di Lembah Klang, seluruh negara menjadi gempar. Mereka terkejut, kecewa dan sekali gus menyoal kembali, benarkah semua itu?
Gadis itu tentulah gadis Melayu. Lagilah menggemparkan. Orang tertanya-tanya begitu teruk sangatkah gadis Kelantan? Gadis Melayu terutama dari Kelantan tertekan dengan isu ini. Malangnya mereka ini tidak boleh mempertahankan diri daripada prejudis dan persepsi serong orang sekeliling.
Mustapa atau siapa saja boleh mendakwa bukan saja 13,000 malah 30,000 sekalipun. Tetapi mereka mesti bertanggungjawab dan mempertahankan dengan statistik yang sah. Kalau benar 13,000 gadis Kelantan jadi GRO di Lembah Klang, sedih atau kecewa macam mana sekalipun kita terpaksa terima kenyataan ini. Tetapi sampai sekarang, statistik yang didedahkan secara terbuka di Wacana Ekonomi dan Sosial Negeri Kelantan itu tidak dipertahankan dengan fakta.
Beberapa pihak mempersoalkan kebenaran dakwaan Mustapa. Mereka tanya dari mana Mustapa dapat statistik itu? Tetapi malangnya sehingga kini tidak ada hujah dan fakta yang meyakinkan.
Dakwaan bahawa 13,000 gadis Kelantan jadi GRO sangat serius. Sekalipun barangkali statistik ini dimanfaatkan untuk menggambarkan ketiadaan peluang pekerjaan di Kelantan, ia tetap memberikan kesan yang buruk kepada aspek moral dan juga sosial.
Ini boleh dilihat sebagai memberikan satu perspektif moral yang rendah kepada wanita. Dalam erti kata lain, wanita Melayu - Islam sanggup menjual maruah untuk mendapatkan wang. Bukanlah tidak ada yang melakukan pekerjaan itu. Tetapi soalnya kesan menjadi lebih besar dengan statistik yang luar biasa itu.
Daripada satu aspek, Mustapa mungkin mendapat keuntungan politik untuk memberikan gambaran bahawa kerajaan Kelantan pimpinan Pas gagal memberikan kemewahan kepada rakyat. Malah dakwaan ini juga mengajak khalayak melihat dasar-dasar kerajaan negeri yang gagal hingga 13,000 gadis sanggup jadi GRO.
Tetapi kita kena realistik bahawa keuntungan di segi politik tidak selalunya memberikan keuntungan jangka panjang. Dalam konteks 13,000 gadis Kelantan ini kesannya lebih memalukan golongan wanita. Malah lebih mendukacitakan lagi apabila semua gadis Kelantan menjadi bahan jenaka kerana "rakan-rakan'' mereka yang ke Lembah Klang jadi GRO.
Percayalah trauma ini bukan kecil. Golongan yang menjadi mangsa jenaka hitam ini menjadi pemarah kerana mereka semacam kehilangan keadilan sosial. Gadis Kelantan dilihat secara rambang sebagai murah dan materialistik. Tentu saja ini sangat tidak adil kepada mereka.
Berapa statistik peluang pekerjaan yang diwujudkan oleh kerajaan Kelantan dan berapa pula statistik penganggur di Kelantan? Apabila isu sesensitif ini dilontarkan tanpa hujah yang kukuh, kredibiliti individu yang memperkatakannya juga terjejas. Bagaimanapun kita tidak pasti adakah Mustapa sengaja menyembunyikan sumber, statistik dan hujah lain berkaitan isu 13,000 gadis Kelantan ini.
Secara mudah, kalau statistik menunjukkan 13,000 gadis Kelantan menjadi GRO, ini bermakna 13,000 itu telah diberkas oleh pihak berkuasa. Selalunya setelah diberkas oleh pihak berkuasa, butir-butir diri direkodkan oleh pihak berkuasa. Mustahil kita boleh membilang mereka yang jadi GRO dan tahu pula dari Kelantan tanpa penglibatan pihak berkuasa. Soalnya sekarang pihak berkuasa itu siapa?
Menurut statistik tangkapan maksiat di Kuala Lumpur oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun lalu ialah 1,173 tangkapan. Sementara tahun ini sehingga April lalu ialah 393 tangkapan. Statistik 1,173 itu belum dipecahkan mengikut kaum dan tentunya penglibatan gadis Melayu sebagai GRO tidak sampai 1,173 orang.
Cuba lihat statistik pelacur di bawah umur di seluruh negara. Tahun 2000 sebanyak 373 orang dan tahun 2002 sebanyak 175 orang. Semua mereka ini diselamatkan oleh pihak berkuasa dan statistik ini didapati selepas menahan gadis-gadis terbabit.
Maknanya statistik yang tidak terbabit dalam tangkapan oleh pihak berkuasa tidak ada siapa yang tahu. Maka kerana itu kita boleh beranggapan 13,000 gadis Kelantan itu sudah ditahan oleh pihak berkuasa. Tanda tanya besar kalau tidak ada pihak berkuasa yang tampil mengaku statistik itu wujud dan betul. Kalau benar mereka kena tampil menjernihkan kekeruhan ini.
Tetapi masih jadi persoalan, misalnya pekerja seks (semua kaum) yang ditahan di Kuala Lumpur tahun lalu hanya 1,173. Bagaimana dengan dakwaan 13,000 gadis Kelantan jadi GRO di Kuala Lumpur? Adakah ini tidak termasuk dalam statistik yang dikeluarkan oleh pihak polis? Kalau bukan polis, siapa pula?
Kita juga mahu tahu adakah 13,000 orang gadis Kelantan jadi GRO itu dikira dalam jangka masa bila? Adakah 13,000 itu dalam setahun, sepuluh tahun atau sejak negara ini wujud? Kita percaya Mustapa sangat yakin dengan statistik itu. Buktinya beliau membuat spesifik bahawa 13,000 gadis itu kini berada di Lembah Klang dan bukan di Johor Bahru, Ipoh atau tempat-tempat lain.
Apabila ada elemen-elemen "sangat pasti'' ini, kita pula mempunyai kewajaran untuk mempersoalkan pihak berkuasa kenapa tidak membendung gejala sosial yang nazak ini? Ini mengalih tumpuan daripada mengkritik kerajaan Kelantan kepada mendedahkan kegagalan pihak berkuasa seperti polis, pihak berkuasa tempatan (di Kuala Lumpur) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Malangnya statistik Mustapa sangat bercanggah dengan statistik oleh PDRM iaitu pekerja seks Melayu di Kuala Lumpur yang ditahan sejak 1998 hingga 2003 ialah 274 orang, Cina 283 orang dan India 41 orang. Kalau diperincikan lagi, tahun 2001 sebanyak 77 orang dan tahun 2003 hanya enam orang.
Pegawai Turus Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat Kuala Lumpur (D7), Deputi Supritenden Azhar Hamzah memberitahu majalah MASSA, kebanyakan GRO yang ditangkap adalah daripada golongan ibu tunggal, janda dan orang susah.
Berdasarkan kenyataan itu, maka kita boleh menganggap terjebaknya wanita Melayu sebagai GRO kerana desakan hidup tidak seperti dakwaan Mustapa mereka menjadi GRO kerana kemiskinan.
MASSA juga melaporkan statistik oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 2000 mengatakan di negara ini terdapat 142,000 pelacur dan 10,000 daripadanya bergiat di Kuala Lumpur. Bagaimanapun bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Tan Sri Zaleha Ismail memberitahu agensi berita AP tahun 1998, kerajaan tidak mempunyai data terperinci mengenai pelacur atau GRO. Ini kerana sukar untuk mendapatkan statistik secara sukarela oleh pekerja-pekerja seks di negara ini. Maknanya statistik direkodkan hasil daripada tangkapan.
Sebenarnya tidak ada siapa pun yang menafikan penglibatan wanita Melayu sebagai pekerja seks di negara ini. Ia memang wujud. Tetapi usaha membanteras memerlukan pendekatan yang bijaksana, bertanggungjawab dan berniat murni.