Nasib lulusan Universiti Harvard mengahwini Putera Naruhito - Masako derita di sangkar emas

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 15 Ogos 2004


PUTERI Masako telah melakukan pengorbanan paling besar dalam hidupnya apabila tidak sampai hati mengecewakan Putera Naruhito. Tiga kali dia menolak cinta Naruhito tapi akhirnya mengalah.

Apakah ini kerana Naruhito pernah berjanji dan meyakinkan Masako supaya jangan bimbang dengan protokol istana, "Saya akan melindungi awak sepanjang hayat saya?''

Menyambut cinta seterusnya menjadi isteri dan bakal maharani Jepun adalah pengorbanan apabila hari ini dia umpama terlempar dalam sangkar emas. Selepas 11 tahun berlalu, berkahwin dengan putera raja adalah turut "berkahwin'' dengan tatacara rasmi yang konservatif sistem monarki Jepun.

Selama 11 tahun juga Masako membuang kebebasan hidupnya sebagai rakyat biasa. Dia menjadi ahli keluarga diraja yang paling dihormati dan dijulang oleh rakyat. Masako yang berjiwa rakyat pula menjadi idola wanita Jepun.

Bagaimanapun pada masa yang sama rakyat juga memberikan tekanan untuk melihat dia menyambung salasilah keluarga diraja sekiranya melahirkan seorang anak lelaki. Tapi Masako melahirkan anak perempuan, Aiko dua tahun lalu.

Berita kelahiran Aiko disambut gembira oleh rakyat. Tapi pihak istana membisu kerana Aiko seorang bayi perempuan. Istana mahu bayi lelaki sebagai pewaris takhta.

Siapa yang akan memerintah Jepun selepas Naruhito? Rakyat bertanya, keluarga diraja merungut dan pelaksana sistem monarki Jepun juga bersuara. Seolah-olah tiada anak lelaki adalah kegagalan Masako dan bukan Naruhito.

Tekanan yang tidak tertanggung ini membuatkan Masako tidak muncul pada majlis rasmi sejak lapan bulan lalu. Spekulasi tersebar dan hangat dibahaskan. Akhirnya baru-baru ini Naruhito mengesahkan Masako mengalami tekanan perasaan.

Tekanan perasaan itu berpunca daripada ketidakserasian Masako sebagai wanita moden Jepun yang terperangkap dalam sistem monarki yang konservatif.

Masako seorang gadis pintar, mendapat pendidikan di Universiti Harvard kemudian ke Universiti Oxford. Dia barangkali nampak kesulitan untuk menjadi ahli keluarga diraja yang sangat konservatif itu.

Sebagai isteri dan bakal maharani Jepun, Masako menggalas tugas berat lagi besar. Harapan rakyat dan Maharaja Akihito supaya pasangan diraja itu memperoleh anak lelaki sangat tinggi.

Ini kerana dalam Akta Keluarga Diraja Jepun 1889, wanita tidak boleh menjadi pemegang teraju sistem monarki di Jepun. Masako sebenarnya bergelut dengan pemikiran konservatif rakyat dan warga istana yang mengamalkan budaya mengutamakan lelaki.

Masako dalam konteks Jepun adalah sebahagian daripada perjuangan membebaskan wanita daripada menjadi mangsa diskriminasi gender.

Sebagai wanita yang mendapat didikan di Barat, pemikiran Masako cukup terbuka. Tapi apabila menjadi keluarga diraja Jepun, Masako tewas kerana terpaksa mematuhi sekian banyak protokol yang ketinggalan zaman. Malah karakter dan pemikiran Masako dan Naruhito juga berbeza. Naruhito yang konservatif dan Masako yang moden mencetuskan ketidakserasian.

Kini Masako terpaksa mendapatkan terapi di hospital untuk meredakan tekanan perasaannya. Sudah lapan bulan dia terpisah daripada khalayak dan terkurung bersama juruterapi dan kaunselor untuk mengembalikan Masako kepada keadaan biasa.

Semua ini bertolak daripada kegagalan Naruhito untuk menyumbangkan anak lelaki sebagai penyambung simbol ketinggian sistem monarki di Jepun. Tetapi sedikit pun kegagalan ini tidak ditujukan kepada Naruhito. Sebaliknya kepada Masako. Perasaannya memberontak, persepsi yang tidak adil daripada banyak pihak ini akhirnya menewaskan Masako sebagai mangsa tekanan perasaan.

Pihak istana juga difahamkan melarang Masako mengikuti Naruhito ke Eropah Mei lalu. Semua ini membuka sehelai demi sehelai tekanan yang diterima oleh seorang wanita biasa dalam sistem monarki Jepun.

Tambah tertekan lagi sejak lapan bulan lalu, Masako tidak mendampingi Naruhito ke majlis-majlis rasmi. Semua ini menjadi penyumbang kepada tekanan perasaan yang lebih serius apalagi Masako kini bukan lagi rakyat biasa yang boleh ke mana-mana saja.

April lalu selepas sebulan di kediaman keluarganya di kaki bukit yang damai, Masako tidak mendapat layanan sebagai keluarga diraja. Pegawai istana hanya memberitahu bahawa peruntukan untuk itu tidak diluluskan.

Sangkar tetap sangkar sekalipun diperbuat daripada emas. Masa depan Masako bergantung kepada sejauh manakah sistem monarki membuat perubahan. Dengan sistem konservatif yang sedia ada, Masako diramal akan lebih teruk.

Malang sekali bagi Masako yang menjadi pemimpin bayangan generasi muda Jepun semasa menyertai Kementerian Luar Negara Jepun. Pintar, berilmu dan realistik kepada modenisasi menjadi pemangkin untuk dia berjaya sebagai angkatan muda Jepun.

Memetik kata seorang psikologis dari Academy of Counsellors Japan, Yoshitaka Fukui, tekanan perasaan begini akan berlaku kepada seseorang yang memasuki persekitaran baru tanpa persiapan mental secukupnya. Ini adalah kesan daripada pertembungan dua nilai hidup yang berbeza; moden dan konservatif yang dialami oleh Masako.

Ditambah pula diskriminasi gender secara terhormat dalam sistem monarki Jepun yang menidakkan kemampuan wanita sebagai pemimpin negara. Masako ternyata gagal untuk mengubah keadaan ini kerana lingkungan istana terlalu kuat dengan pegangan konservatif.

Yoshitaka menambah, suatu yang sangat penting dilakukan untuk memulihkan Masako adalah mengeluarkan dia daripada persekitaran yang tidak diingininya. Tinggal bersama keluarganya selama sebulan bagi Yoshitaka terlalu singkat. Ini kerana mereka yang mengalami tekanan seperti ini memerlukan antara enam bulan hingga setahun untuk pulih.

Tekanan kepada Masako tidak berkurang sebaliknya bertambah apabila seorang wartawan, Toshiaki Kawahara mendedahkan ada pihak mengemukakan cadangan supaya Naruhito menceraikan Masako dan berkahwin lain.

Tetapi ini tidak mungkin terjadi kalau melihat semula sejarah panjang sistem monarki di Jepun di mana belum pernah berlaku perceraian semata-mata kerana kegagalan mendapat anak lelaki.

Kasihan Masako, pengorbanannya untuk tidak melukakan hati seorang putera raja akhirnya memakan diri. Naruhito yang konservatif tidak dapat memahami pemikiran moden Masako, seperti Masako yang tidak faham kenapa diskriminasi gender berlaku dalam sistem monarki pada zaman moden ini.

Bayangkan dalam masa 11 tahun menjadi keluarga diraja, Masako hanya berpeluang lima kali saja ke luar negara. Masako bukan dibesarkan di Jepun. Dia dibesarkan di AS dan Rusia kerana bapanya seorang diplomat. Dunianya bukan saja terperap di ceruk istana.

Masako pernah meluahkan perasaannya dengan menulis, "Sejak berkahwin 11 tahun lalu saya cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sangat menekankan.''

Difahamkan Masako pernah berkempen untuk mengubah sistem yang membolehkan Aiko mewarisi takhta Jepun. Tapi tradisi monarki kuno Jepun yang sangat kukuh tidak goyah.

"Isu antara Masako dan Aiko adalah diskriminasi wanita dan menafikan hak wanita yang akhirnya mereka perlu berhujah sebagai masyarakat moden,'' demikian kata ahli undang-undang Yoko Komiyama daripada Parti Demokratik, parti pembangkang terbesar di Jepun.

Demikianlah bagaimana seorang wanita Jepun yang moden dan terpelajar tenggelam dan binasa dalam sistem monarki Jepun yang lapuk. Masako dihadiahkan sebuah kekecewaan kerana dia tidak terlebih dahulu melukakan Naruhito 11 tahun lalu.